KONSEP & FUNGSI KESUSASTERAAN SERTA MANIFESTASI AKAL BUDI INTAN NUR AMALIN BT MOHD NOOR
Takrif Kesusasteraan Melayu Perkataan 'kesusasteraan' adalah berasal daripada perkataan Sanskrit iaitu susastera yang bererti huruf atau buku indah (Siti Hajar Abdul Aziz, 2011). Manakala menurut Hashim Awang (1985), kesusasteraan merupakan ciptaan seni yang disampaikan melalui bahasa. Secara keseluruhannya, kesusasteraan Melayu ialah kata-kata indah dan menarik yang memberi mesej atau menunjukkan sesuatu situasi dan perasaan seseorang. Malah kesusasteraan Melayu ini merupakan hasil karya masyarakat Melayu. Namun, dalam segi pendidikan pula bagi menyelaraskan semua aspek iaitu intelek, rohani, emosi dan jasmani, penulisan dalam Bahasa Melayu berbentuk novel, cerpen, drama, sajak, prosa tradisional atau puisi tradisional ditulis berunsurkan keindahan dan kehalusan.
Prosa tradisional merupakan hasil kesusasteraan iaitu penulisan pada zaman dahulu, dalam bentuk ayat-ayat yang biasa dengan menggunakan tatabahasa mudah (Siti Hajar Abdul Aziz, 2011). Menurut Siti Hajar Abdul Aziz (2011) lagi, beliau berpendapat bahawa tradisional membawa maksud serius dan abadi nilainya, menjadi standard kepada lain serta tidak berubah mengikut masa. Tambahan lagi, prosa ini adalah lebih mudah difahami berbanding puisi. Prosa ini juga adalah diwarisi secara turun-menurun walaupun cerita tersebut telah ditulis sekian lamanya. Prosa ini terbahagi kepada dua iaitu sastera rakyat dan sastera istana. Sastera juga ditakrifkan sebagai hasil-hasil kreatif kemampuan mencipta imaginasi oleh pencipta yang menggambarkan nilai world view itu sendiri (Azman Rahmat et al., 2022). Manakala menurut Kamus Dewan dan Pustaka (2007), rakyat bermaksud seluruh penduduk bagi sesebuah kerajaaan atau negara yang hidup dalam kelompok masyarakat. Selain itu, sastera rakyat ini biasanya disampaikan secara lisan dan disebarkan oleh masyarakat melalui mulut ke mulut. Menurut Zaidan et al. (2000), sastera lisan ialah ungkapan mulut ke mulut, hasil kebudayaan lisan dalam mayarakat tradisional yang kandungannya diselarikan dengan sastera tulisan dalam masyarakat moden. Manakala sastera rakyat pula terbahagi kepada sastera naratif dan bukan naratif. Prosa Tradisional
Sastera naratif pertama ialah mitos. Berdasarkan pendapat daripada Azman Rahmat et al. (2022), mitos bermaksud cerita yang dianggap benar-benar berlaku dan dianggap suci oleh pemilik cerita sendiri dan masyarakat yang mempercayainya. Biasanya mitos ini menceritakan tentang kejadian alam semesta, manusia, binatang, bentuk muka bumi dan kejadian alam serta perkara ini dipercayai oleh masyarakat. Mitos ini terbahagi kepada tiga kategori. Antaranya ialah mitos asal usul iaitu mitos yang dipercayai oleh kebanyakan masyarakat dan menjadi keramat. Contohnya, mitos tentang kejadian di Tasik Chini. Seterusnya, mitos institusi sosial pula merupakan cerita tentang asal usul kedatangan sesuatu institusi dalam masyarakat Melayu seperti mitos kedatangan Islam. Akhir sekali, mitos politik ialah cerita yang berkaitan dengan kejadian yang berlaku dalam pemerintahan dan kerajaan. seperti mitos penubuhan kerajaan Pasai. Selain daripada itu, sastera naratif juga mengisahkan tentang lagenda yang bermaksud kisah yang tidak suci tetapi dipercayai benarbenar berlaku. Kisah menceritakan tentang tokoh dantempat yang mempunyai sesuatu luar biasa. Legenda dibahagikan kepada lima bahagian iaitu legenda keagamaan, alam ghaib, perseorangan, tempat dan tokoh. Lagenda keagamaan mengisahkan tentang kejadian supernatural yang disebarkan oleh orang yang alim. Manakala legenda alam ghaib ialah legenda yang benar-benar terjadi berfungsi untuk menegakkan kepercayaan sesuatu perkara. Seterusnya, legenda perseorangan pula dibuktikan melalui latar masa dan tempa. Contohnya, kisah Hang Tuah. Legenda tempat menceritakan tentang asal usul tempat bagi sesuatu perkara dan berunsur fakta sejarah tempatan. Manakala legenda tokoh iaitu mengenai perjuangan tokoh persendirian seperti legenda Mahsuri. Buktinya, makam Mahsuri di Langkawi menunjukkan wujudnya Mahsuri.
Cerita rakyat merupakan cerita yang dianggap tidak benar-benar berlaku dan hanya sekadar hiburan yang memberi moral atau sindiran dalam kalangan masyarakat. Kebanyakan cerita rakyat mengisahkan tentang cerita binatang. Contohnya, kisah Sang Kancil dengan gergasi dan banyak lagi. Terdapat juga cerita rakyat yang dikenali sebagai cerita penglipur lara iaitu sesuatu cerita yang diceritakan oleh masyarakat mengikut generasi dan sentiasa ditokok tambah. Hal ini menyebabkan cerita itu menjadi milik masyarakat. Namun, cerita rakyat ini mampu memberi hiburan dan pendidikan kepada masyarakat Melayu tempatan. Misalnya, Hikayat Malim Dewa. Selain itu, cerita jenaka juga termasuk dalam cerita rakyat. Jenaka disampaikan bertujuan untuk menggembirakan hati orang yang mendengar seperti cerita Pak Kaduk. Akhir sekali, cerita teladan iaitu cerita yang mempunyai banyak unsur moral dan pendidikan. Contoh cerita teladan ialah Bawang Putih Bawang Merah. Di samping itu, sastera istana dalam bentuk tulisan diperkenalkan apabila menerima pengaruh Islam dan mula tersebar luas. Antara sastera istana yang terdapat ialah sastera hikayat iaitu sastera yang berdasarkan unsur-unsur Hindu, Islam dan Hindu-Islam seperti Hikayat Gul Bakawali. Seterusnya, sastera undang-undang pula ialah bahan kajian sistem pentadbiran dan susun lapis masyarakat lama (Azman Rahmat et al., 2022). Sastera ini terbahagi kepada dua iaitu Adat Temenggung dan Adat Perpatih. Selain itu, sastera epik ialah sastera pahlawan yang bersifat sejagat manakala sastera panji merupakan cerita tentang perjalanan, peperangan dan percintaan watak yang bernama Panji. Akhir sekali, sastera agama yang menceritakan tentang kehebatan Rasulullah SAW menghadapi cabaran ketika menyebarkan agama Islam. Contohnya, kisah tersebut diceritakan dalam Hikayat Bulan Berbelah.
Prosa Moden Hasil karya sastera selepas tahun 1800 Masihi digolongkan dalam sastera moden (Annas Ahmad, 1988). Terdapat beberapa jenis prosa moden. Antaranya ialah cerpen. Cerpen merupakan gabungan dua perkataan iaitu cerita dan pendek. Perkembangan kegiatan surat khabar pada tahun 1930-an menyebabkan cerpen semakin dikenali ramai. Cerpen ini biasanya digunakan untuk menceritakan tentang sesuatu kejadian atau peristiwa yang menjadi tumpuan utama. Penyutikan perasaan dan emosi yang menarik dalam cerpen menyebabkan pembaca dapat merasai pengalaman yang diceritakan tersebut. Selain itu, prosa moden novel pula ialah prosa rekaan panjang yang mengandungi sebahagian tentang kehidupan. Manakala menurut Shahnon Ahmad (1987), novel merupakan satu bentuk pentafsiran rencam hidup manusia yang terbina dalam bentuk sastera cereka. Kisah yang diceritakan dalam novel meliputi tiga faktor yang utama iaitu pengalaman peribadi, realiti rencam hidup dan imaginasi. Antara novel yang diterbitkan adalah bercorak semangat kebangsaan iaitu novel Pahlawan Rimba Malaya pada 1946. Novel ini mengisahkan tentang semangat kebangsaan pejuang gerila Melayu menentang penjajahan Jepun. Malahan prosa novel menjadi terkenal pada tahun 1960-an seperti novel Desa Pingitan karya Ibrahim Omar. Seterusnya, drama juga merupakan antara prosa moden yang bermaksud karya sastera yang mempunyai banyak mesej dan disampaikan melalui lakonan serta dialog. Drama ini antara jenis karaya sastera yang dibangunkan oleh unsur intrinsik (Erwan Juhara, 2014). Unsur yang perlu ada dalam drama ialah skrip, pengarah, pelakon dan pentas. Bagi melaksanakan pementasan drama tersebut, terdapat beberapa perkara yang diterapkan iaitu cahaya, bunyi, kostum dan tata rias.
Puisi Tradisional Puisi tradisional merupakan sastera terawal yang mana masyarakat Eropah menggunakan puisi ini dalam dua buah epik iaitu Iliad dan Odyssey manakala masyarakat Hindu menggunakan puisi untuk melahirkan Mahabharata dan Ramayana. Manakala masyarkat Arab pula menggantung puisi yang terbaik di dalam Ka'bah pada zaman jahiliah (Azman Rahmat et al., 2022). Pada pandangan Harun Mat Piah (1989) pula, genre yang terdapat di dalam puisi tradisional ialah pantun, syair, gurindam, seloka dan lain-lain. Antara jenis puisi tradisional ialah pantun. Pantun berasal masyarakat Melayu dan merupakan kaedah rangkapan yang tertua. Buktinya, masyarakat Melayu dulu sudah pandai berpantun walaupun masih belum tahu menulis (Za'ba, 1965). Ciri-ciri pantun ialah mengandungi unsur pembayang dan maksud. Selain itu, terdapat juga dua rangkap, empat rangkap, enam rangkap, lapan rangkap dan pantun berkait, Manakala dalam satu baris mengandungi empat hingga enam patah perkataan dan diakhiri dengan rima a,b,a,b. Seterusnya, Raja Ali Haji telah memperkenalkan 'Gurindam Dua Belas' pada tahun 1846 yang merupakan satu bentuk puisi Melayu tradisional. Gurindam ini berbentuk terikat dan mempunyai dua baris dalam satu rangkap. Rima akhir bagi gurindam ialah a, a. Malahan gurindam ini juga menggunakan bahasa yang bernas dan serius yang mengandungi penuh nasihat dan pengajaran. Menurut Sultan Muhamad Zain, gurindam mempunyai dua baris dengan baris pertama disebut sebagai syarat dan baris kedua ialah akibat.
Puisi Tradisional Selanjutnya, syair yang berasal daripada puisi Arab iaitu 'sy'ir' tetapi bentuk syair Melayu sangat berbeza dengan bentuk syair dalam kesusasteraan Arab (Mohd. Yusof Md. Nor, 1985). Puisi ini berasal daripada Parsi yang dibawa masuk bersama agama Islam. Syair juga mengandungi unsur nasihat atau kiasan dan diceritakan dengan idea yang lengkap. Manakala syair mempunyai empat baris untuk satu rangkap dan berakhir dengan rima a, a, a, a. Akhir sekali, menurut Harun Mat Piah (1989), istilah 'seloka' berasal daripada perkataan Sanskrit 'Shloka' yang bererti berseloroh, berjenaka atau menyindir. Seloka banyak dipengaruhi oleh agama Hindu. Hal ini terbukti antara naskhah syair terawal ialah teks Mahabharata yang mengandungi 100,000 rangkap. Selain itu, seloka juga berbentuk terikat dan tidak terikat. Contoh seloka tidak terikat ialah Seloka Pak Kaduk.
Menurut Hashim Awang (1984), sajak ialah puisi baharu yang popular lahir sebagai pilihan kepada puisi tradisional. Oleh itu, sajak merupakan satu-satunya genre puisi dalam puisi moden. Ciri-ciri sajak ini ialah berbentuk lebih bebas yang terikat pada sesuatu pola khusus walaupun ada masanya memerikan ciri matra, rima dan rentak (Azman Rahmat et al., 2022). Kebanyakan penyair yang menulis sajak adalah untuk meluahkan perasaan atau suara hati. Sajak ini bukan sekadar kata semata-mata namun mempunyai banyak gagasan yang dapat memberi pengajaran kepada masyarakat. Puisi Moden
Fungsi Sastera Melayu Kesusasteraan Melayu ini adalah sangat indah yang terlihat melalui gaya bahasa, struktur cerita dan peranan dikdaktik yang disokong oleh sastera itu sendiri. Malah sastera telah lama wujud dalam kalangan masyarakat Melayu. Secara tidak langsung, sastera telah memainkan peranan yang penting dalam segenap kehidupan masyarakat Melayu. Kemajuan yang sesuai untuk kemaslahatan hidup dapat dicapai kerana suatu pemikiran bijaksana yang dapat memimpin manusia diwujudkan oleh fungsi sastera Melayu ini. Manakala sastera Melayu berfungsi dari segi hiburan, pendidikan, dakwah dan kritikan sosial. Karya sastera juga dapat memberi keseronokan yang indah dengan mewujudkan karya yang menghiburkan. Hiburan ini dapat dihasilkan melalui kata-kaat yang indah dan irama atau rentak tersusun. Hal ini secara tidak langsung dapat membelai emosi pembaca dengan unsur kelucuan dan sebagainya. Contoh karya sastera rakyat yang mempunyai unsur hiburan ialah cerita jenaka seperti cerita Pak Kaduk yang gila berlaga. Cerita ini bukan sahaja memberi hiburan namun penuh dengan mesej dan pengajaran yang tersirat disampaikan. Seterusnya, selain daripada dapat memberi hiburan sastera juga mampu untuk menjadi alat pendidikan kepada masyarakat. Kebanyakan pengarang menulis karya sastera mengenai pengalaman mereka dalam pelbagai bidang ilmu. Pengalaman ini dijadikan prosa atau puisi yang dapat dijadikan pengajaran atau ilmu pengetahuan secara tidak langsung berlakulah proses pendidikan. Malahan mata pelajaran Kesusasteraan Melayu juga diperkenalkan di negara kita untuk menanam nilai murni atau patriotisme dalam jiwa rakyat.
Fungsi Sastera Melayu Selain itu, kesusasteraan Melayu juga berfungsi dalam menyebarkan dakwah kepada para pembaca. Menurut Siddiq Fadzil (2012), sastera dalam Islam itu perlu jelas berciri waqi'iy, realistik, "dalam erti melihat apa adanya". Sastera ini dikenali sebagai sastera Islam yang kebanyakannya dikarang oleh para pendakwah Islam. Ketika zaman Alam Melayu, terdapat teks-teks cerita mengenai kepahlawanan Islam yang mampu menandingi teks-teks Hindu iaitu Ramayana dan Mahabharata (Zahir Ahmad, 2005). Dalam masa yang sama, sastera Islam mampu membentuk akhlak manusia Melayu dengan menerapkan kisah-kisah para nabi dan berunsurkan kerohanian dalam penulisan seperti puisi, hikayat, novel dan cerpen. Contohnya, Syair Perahu dan Syair Dagang yang dikarang oleh Hamzah Fansuri yang menyampaikan ajaran Islam. Akhir sekali, sastera juga mampu menjadi alat untuk mengkritik sosial yang mengfokuskan masyarakat, kehidupan dan manusia serta menjadi tempat untuk menunjukkan perasaan. Kebanyakan pengarang menghasilkan karaya yang mengandungi banyak isi tersirat dan tersurat yang mampu mengkritik sosial masyarakat dan secara tidak langsung mampu memberi penagajaran serta teguran kepada masyarakat. Contohnya, cerita Pak Kaduk seorang yang lurus bendul menyebabkan beliau selalu diperbodohkan oleh orang sekeliling. Hal ini jelas banyak nilai moral dapat diambil dalam kritikan sosial yang ada dalam sastera.
Manifestasi Akal Budi Ada anjung tingkapnya empat, satu pintu hadap ke laut, anak dagang datang mencari tempat, sebagai ajal ditunda maut. Sengkalang kayu sengkawang, Ketiga dengan kayu kelat, Dagang saya sudah terbuang, Sebagai ikan di luar belat. Anwar Ridhwan ( penelenggara ) Hati Mesra Pantun Melayu Sebelum 1914,2004 Dewan Bahasa dan Pustaka Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (2007), manifestasi bermaksud perbuatan yang memperlihatkan sesuatu manakala maksud paling mudah bagi perkataan budi ialah mewakili tempat perasaan, kesedaran, keyakinan dan dorongan. Akal Budi dalam Pantun Tema bagi pantun di atas adalah tentang kemanusiaan dan kemasyarakatan yang berkait dengan kehidupan anak dagang. Pada rangkap pertama, penulis menyatakan bahawa anak dagang atau perantau terpaksa menempuh getir hidup mencari tempat tinggal yang sesuai. Dia juga perlu bergantung kepada nasib bagi mencari tempat tinggal untuk mengumpulkan kekayaan dan menaik taraf hidup. Manakala maksud rangkap kedua pula, anak dagang menyatakan kesedihannya dan ketidakpedulian masyarakat terhadap mereka yang miskin ini menyebabkan mereka berasa hina.
Akal Budi dalam Syair Jauhi semua perbuatan jahat, Jauhi pula perbuatan mkasiat, Mari kita segera bertaubat, Supaya kita selamat dunia akhirat. Syair bertemakan unsur keagamaan. Maksud bagi rangkap syair di atas ialah kita haruslah menjauhi semua perbuatan jahat yang bertentangan dengan agama kita terutamanya perbuatan maksiat yang mengundang kepada penzinaan. Selain itu, penulis juga menyeru agar segera bertaubat agar kita semua selamat daripada seksaan neraka serta dunia.
Akal Budi dalam Gurindam Barang siapa mengenal yang tersebut Tahulah ia makna takut Barang siapa meninggalkan sembahyang Seperti rumah tiada bertiang Barang siapa meninggalkan puasa Tidaklah mendapat dua termasa Barang siapa meninggalkan zakat Tiadalah hartanya beroleh berkat Barang siapa meninggalkan haji Tiadalah ia menyempurnakan janji. Gurindam tersebut merupakan gurindam fasal kedua yang ditulis oleh Raja Ali Haji. Beliau telah menerapkan Rukun Islam dalam gurindam tersebut. Berdasarkan rangkap gurindam itu menyatakan tentang kewajipan solat, puasa, zakat dan haji merupakan ibadah wajib yang patut dilakukan oleh semua umat Islam. Jika kewajipan itu ditinggalkan maka akan mendapat akibatnya. Malahan rukun Islam merupakan pegangan hidup orang Islam yang perlu diikuti dalam kehidupan seharian.
Akal Budi dalam Seloka Baik budi Emak Si Randang, Dagang lalu ditanakkan Tiada kayu rumah diruntuhkan, Anak pulang kelaparan, Anak di pangku diletakkan, Kera di hutan disusui, Dagang pergi awak terhutang, Beras habis padi tak jadi. Md. Ali Bachik (Penyelenggara) Khazanah Puisi Klasik Melayu, 2003 Dewan Bahasa dan Pustaka Tajuk seloka ini ialah Seloka Emak Si Randang yang bertemakan sikap masyarakat yang terlalu mengagungkan orang luar berbanding ahli keluarga senidiri. Seloka ini menceritakan tentang Emak Si Randang yang baik hati kerana sanggup memasak makanan untuk orang dagang yang tidak dikenali sehingga dia tidak kisah jika rumahnya runtuh asalkan dapat melayan tetamunya secara habis-habisan. Namun, dalam masa yang sama dia telah mengabaikan anaknya dan setelah orang dagang itu beredar dia terpaksa menaggung hutang. Hal ini kerana dia telah menghabiskan semua berasnya dan padi yang ditanamnya tidak menjadi.
Rujukan