PANDUAN SISWA/I UMSKAL
PUSAT PENATARAN ILMU DAN BAHASA UNIVERSITI MALAYSIA SABAH
KAMPUS ANTARABANGSA LABUAN
MODUL KECEMERLANGAN
SISWA/I (KIS)
PANDUAN PRAKTIKAL
MAHASISWA/I BAHARU
SESI 2021/2022
© HAKCIPTA TERPELIHARA
1
PANDUAN SISWA/I UMSKAL
ISI KANDUNGAN Ms.1
Ms. 2
1. Panduan Penghematan Kewangan Ms. 3
2. Panduan Pembelajaran Mangkus Ms. 4
3. Panduan Pengakraban Kemahasiswaan Ms. 5
4. Pembentukan Menyantuni Pensyarah Ms. 6
5. Panduan Pelestarian Kesihatan Ms. 7
6. Panduan Penggilapan Tugasan Ms. 8
7. Panduan Menghadapi Peperiksaan Ms.9
8. Panduan Pencerahan Kerohanian Ms.10
9. Panduan Bahasa Bahasa Inggeris Ms.11
10. Bahasa Arab Ms.12
11. Bahasa Mandarin Ms.13
12. Panduan Penggarapan Masa
13. Hubungan Dengan Kakitangan Pentadbiran
2
PANDUAN SISWA/I UMSKAL
PENGHARGAAN
Naib Canselor
Prof. Datuk ChM. Dr Taufiq Yap Yun Hin
Pengarah KAL
Prof. Dr. Jualang @ Azlan Abdullah Gansau
Dekan PPIB
Prof. Madya. Dr. Lai Yew Ming
Penyelaras PPIB-KAL
Dr. Nurulasyikin Muda
Penyunting
Dr. Nordi Achie
Pereka VITARA
Azizan Had
Pembaca Pruf
Dr. Nordi Achie Dr. Siti Katijah Johari
Idea Akar:
Dr. Nordi Achie
Dr. Romzi Ationg
Azizan Had
Inspirator
Staf Akademik PPIB-KAL Penolong Pendaftar PPIB-KAL
Krew Cetakan dan Edaran
Staf Pentadbiran PPIB-KAL
Seluruh staf PPIB-KAL sangat mengalu-alukan kunjungan
mahasiswa dan mahasiswi. Kalian merupakan NADI negara ini,
WARIS masa depan Malaysia.
Bersatu kita teguh. Bercerai kita roboh.
Salam Silaturahim.
2
PANDUAN SISWA/I UMSKAL
1.Rancang belanjawan. Mudah sahaja iaitu mengikut keperluan seperti yuran,
pembelian buku dan alat tulis, makanan, kediaman dan pengangkutan.
2.Catat aliran perbelanjaan. Buatlah catatan secara konsisten kepada semua
perbelanjaan dan penerimaan duit sama ada menerusi buku nota atau secara maya.
3.Elakkan berhutang. Berhutang pelajar membebani diri dengan belenggu hutang.
Orang yang paling kaya ialah orang yang tidak berhutang.
4.Simpan lebihan. Simpanlah wang yang lebih ditempat yang selamat agar dapat
mengelakkan kecurian. Gunakan wang itu untuk urusan yang penting sahaja.
5.Tabung kecemasan. Simpan beberapa peratus mengikut kemampuan walaupun
sedikit secara berkala untuk tabung kecemasan ketika perlu menghadapi situasi yang
tidak dijangka. Sediakan perahu sebelum air pasang.
6.Membeli secara bijak. Buatlah tinjauan harga ke atas barangan yang perlu dibeli
dan elakkan pembelian yang terburu-buru.
7.Amalkan manhaj hidup sihat. Jauhi rokok, pemakanan dan gaya hidup yang tidak
sihat sekali gus menyebabkan pembaziran. Tabiat buruk ini akan mengundang
penyakit dan terpaksa pula mengeluarkan kos rawatan dan ubatan.
8.Hargai aset seadanya. Gunakan setiap aset yang miliki dengan cermat untuk
mengelakkan pelajar membeli barang-barang yang tidak diperlukan.
9.Bina kekentalan keperibadian. Jangan ikut sikap kawan yang boros berbelanja.
Jadilah pelajar yang bijak untuk kamu sendiri dan menjadi contoh kepada rakan-rakan
yang lain.
10.Dapatkan nasihat. Sekiranya pelajar tidak yakin dan masih keliru langkah
pengurusan belanjawan yang digariskan disini, dapatkanlah nasihat ibu bapa, para
pensyarah dan rakan-rakan yang lebih berpengalaman. Pensyarah ialah guru
kehidupan.
11.Berbelanjalah mengikut keperluan, bukan
mengikut kemahuan. Jangan bersikap kikir,
namun jangan pula membazir. Ikut nafsu,
binasalah.
12.Berbelanjalah di bawah paras kemampuan
kewangan. Pelajar yang bijak,menguasai wang;
pelajar yang kurang bijak,dikuasai wang.
1
PANDUAN SISWA/I UMSKAL
Membuat Persediaan Prakuliah:
1. Pelajar yang bijak akan membaca dan memahami bahan-bahan yang
berkaitan dengan kuli ah sebelum masuk ke dewan kuliah.
2. Dengan persediaan awal ini, pelajar akan berasa lebih yakin dan mudah
faham dengan kuliah yang disampaikan pensyarah.
3. Malah, pelajar dapat menentukan dengan tepat isi-isi penting yang
sepatutnya dicatatkan dalam nota kuliah, di samping mampu mencetuskan idea-
idea bernas berdasarkan kefahaman pelajar sendiri. Membuat Ulang Kaji
Pascakuliah:
4. Amat sukar untuk pelajar mencatat seluruh butiran kuliah dalam nota masing-
masing.
5. Sebahagian daripada butiran yang tercicir (daripada nota), masih terpelihara
dalam minda, tetapi ini hanyalah untuk sementara waktu.
6. Sekiranya pelajar menyemak nota tidak lama selepas kuliah iaitu semasa
ingatan masih segar, pelajar masih dapat menambah butiran (isi-isi penting) ini
secara efektif.
7. Lebih mudah untuk mentafsirkan singkatan tertentu yang pelajar gunakan
ketika mencatat nota kuliah sejurus selepas kuliah, berbanding menangguhkannya
pada hari-hari berikutnya. Semakin lama pelajar bertangguh, semakin kaburlah
ingatan.
8. Jangan menulis semula nota. Tindakan ini hanya membuang masa. Hanya
perlu mengisi jurang (untuk memasukkan butiran dan isi tambahan), membuat
komen di margin (sediakan ruang kosong di tepi nota), dan kemas kini nota
berdasarkan struktur koheren (mudah difahami dan dikembangkan).
9. Selain itu, pelajar perlu mencatatkan perkara-perkara yang tidak difahaminya
semasa menelaah semula nota kuliah dan mendapatkan penjelasan daripada
pensyarah pada masa terdekat. Lagi cepat lagi bagus. Jangan suka bertangguh-
tangguh.
10. Apabila pelajar memahami subjek yang dipelajarinya (setiap kali selepas
kuliah) dan mengambil sedikit masa untuk menyemak dengan teliti nota kuliahnya,
justeru isi-isi penting kuliah lebih mudah untuk dikekalkan dalam ingatan sambil
menunggu dengan penuh yakin cabaran peperiksaan pada akhir semester.
11. Tanggungjawab pelajar yang lebih
penting ialah untuk hadir setiap kuliah supaya
kemahiran prakuliah dan pascakuliah dapat
diaplikasikan. Ada kalanya, untuk
kursus-kursus tertentu, penilaian dijalankan
dalam kelas.
2
PANDUAN SISWA/I UMSKAL
1. Bermulalah dengan niat yang baik. Apabila seseorang siswa ingin
memulakan dan membangunkan hubungan yang baik sesama siswa, niat
yang baik haruslah menjadi benihnya terlebih dahulu. Jika baik niat, baiklah
kesudahannya. Buat baik berpada-pada (berhati- hati), buat jahat jangan sekali.
Buang yang keruh, ambil yang jernih.
2.Keikhlasan,kepercayaan dan kejujuran dalam hubungan.Keikhlasan,
kepercayaan dan kejujuran itu sangat penting dalam membangun dan menjaga
hubungan yang baik. Keikhlasn bagaikan akar, kepercayaan seumpama baja dan
kejujuran ibarat tanah. Dengan ini, barulah pohon perhubungan berbuah subur.
3.Saling hormat-menghormati.Dengan sikap hormat,pelajar akan memahami cara
pandangan, sikap dan perlakuan serta mempunyai sikap terbuka untuk belajar
(tentang ilmu dan kehidupan) dari teman sesiswa. Jika kamu tidak menghormati
orang lain, masakan orang lain menghormati kamu. Karekter manusia sangat rumit.
Ada kalanya, jiwa mereka sangat rapuh. Oleh itu, janganlah memaksakan kemahuan
atau fikiran kamu terhadap orang lain. Teruslah berlapang dada, bertabah diri.
4.Saling bantu-membantu. Bantulah teman jika mereka mengalami kesulitan
dalam memahami pelajaran, sebagai contohnya. Jangan kedekut dengan ilmu
kerana ilmu ialah amanah Tuhan, bukannya hak milik sesiapa pun. Jangan berdengki
dengan sesama rakan kerana kedengkian berasal daripada sifat Iblis. Ingatlah petua
ini: jika kamu mahu Tuhan membantu kamu, bantulah orang lain.
5.Saling ingat-mengingatkan. Ingat mengingatkan dalam urusan dan kegiatan
positif. Mengingatkan teman itu penting kerana sifat dasar manusia yang pelupa
hampir ada pada setiap manusia. Sedia memberi nasihat dan menerima nasihat
dalam memperbaiki diri dan teman sesiswa. Nasihat adalah agama. Nasihat dengan
teladan lebih baik daripada nasihat dengan kata-kata.
6.Pancarkan kata-kata positif. Rangkaian kata-kata positif yang diberikan akan
membuat teman berasa optimis, percaya diri, semangat, inovatif, kreatif, bahagia
dan lain-lainnya. Elakkan menuturkan kata-kata yang kesat, kotor dan kasar.
Kalimah positif mempunyai pengaruh yang menakjubkan terhadap kekuatan
hubungan dan jiwa manusia..
7.Sederhana pada serba - serbi nya.
Sederhana bermakna menjaga batas-
batasan hubungan sesama siswa kerana
segala sesuatu ada batasannya. Ini dapat
membina kualiti pergaulan yang sihat dalam
suasana hidup di kampus yang banyak
cabaran. Jauh daripada ibu bapa, jauh
daripada keluarga. Kuasai diri, kawal diri
dan hisablah diri sendiri
3
PANDUAN SISWA/I UMSKAL
Menghormati Pensyarah:
1. Caranya sangat mulia iaitu dengan mengucapkan salam
sekiranya bertemu dengan pensyarah, tidak mengganggu rakan-
rakan lain ketika sesi kuliah dan menunjukkan kerajinan untuk
hadir ke kelas.
2. Berdedikasi menyiapkan tugasan yang diberikan mengikut
tempoh masa yang diberikan (utamakan kualiti dan integriti ilmu),
menumpukan perhatian kepada isu yang dibincangkan ketika
pensyarah menyampaikan kuliah dan berterima kasih terhadap
ilmu yang dicurahkan oleh pensyarah.
3. Selain itu, adalah perlu sekiranya pelajar menjalin komuniksai
berkesan dengan pensyarah dengan menganggap beliau selaku
mentor sekalipun pada hakikatnya pihak universiti mungkin telah
melantik seorang pensyarah tertentu sebagai mentor rasmi.
Mengarifi Pensyarah:
1. Tidak mudah bagi seorang pensyarah untuk mengenali setiap pelajarnya tetapi mereka sentiasa
berusaha untuk mengingat nama setiap pelajar. Mengingati nama pelajar membolehkan mereka
mengenali pelajar dengan lebih jelas melalui komunikasi positif.
2. Lebih penting daripada ini, pelajar juga harus mengingati nama pensyarah mereka. Terlupakan
nama pensyarah ibarat terlupakan nama ibu bapa sendiri. Pensyarah ialah ibu bapa kedua
untuk setiap pelajar di universiti.
3. Mengarifi pensyarah bukan bermakna mengampu atau membodek
pensyarah.Hubunganakrabantarapensyarahdanpelajarsememangnyamerupakan salah satu
asas pemantapan proses pengajaran dan pembelajaran di universiti.
4. Hubungan profesional antara pensyarah dan pelajar merupakan salah satu tunjang kepada
keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran di institusi pengajian tinggi.
5. Dengan mengenali pensyarah, terbentuklah mandala akademik yang lebih luas ke arah
peningkatan minat pensyarah untuk menyalurkan lebih banyak ilmu kepada pelajar.
6. Dalam masa yang sama, hubungan konstruktif antara pensyarah dan pelajar turut memacu
perkembangan minat pelajar untuk menimba ilmu sebanyak mungkin daripada
pensyarah.Namun, jangan menyalahgunakan hubungan erat dengan pensyarah untuk
kepentingan peribadi. Hubungan terlarang!
7. Hubungan kohesif antara pensyarah dan pelajar semestinya mendatangkan lebih manfaat
kepada pelajar. Oleh yang demikian, adalah wajar sekiranya pelajar berusaha untuk membentuk
hubungan murni dengan pensyarah
4
PANDUAN SISWA/I UMSKAL
1. Badan–Mandisekurang-kurang duakali sehariadalah rutinharianyangperlu dilakukan
untuk menjauhkan diri daripada penyakit kulit. Gosok gigi sebaik- baiknya lima kali
sehari. Bersihkan badani, sucikan jiwani, suburkan mindawi.
2. Pakaian – Malaysia beriklim khatulistiwa, tubuh kita cepat berpeluh. Kita perlu
menukar pakaian tiap hari. Pastikan bantal dan selimut dijemur.
3. Pencegahan – Sesetengah penyakit adalah pembunuh senyap. Pemeriksaan
kesihatan membolehkan kita mengetahui tanda awal sesuatu penyakit.
4. Pemakanan – Antara pengurusan amalan makan yang tidak sihat:
Tidak mengambil makanan semasa waktu makanan utama iaitu sarapan pagi
dan makan tengah hari. Amalan ini akan menyebabkan kita berasa terlalu lapar
dan makan dengan lebih banyak. Akhirnya, terkena gastrik (kanser perut).
Tidak ketagihan makanan ringan. Amalan nini akan menyebabkan tubuh badan
tidak mendapat pelbagai zat yang diperlukan.
Mengambil snek yang tidak sihat seperti aiskrim, jeruk dan kek secara
melampau.
Mengambil secara berlebihan makanan yang mempunyai kandungan gula
yang tinggi. Amalan ini akan mendedahkan seseorang kepada risiko
mendapat penyakit diabetis.
Mengambil secara berlebihan makanan yang tinggi kadar lemak dan minyak.
Amalan ini akan mengumpulkan lebihan lemak dalam tubuh badan.
Mengambil makanan yang tinggi kandungan garam seperti ikan masin. Amalan
ini dikenal pasti sebagai faktor risiko untuk penyakit tekanan darah tinggi.
5. Berat Badan–Aktiviti fizikal yang cergas adalah satu indikator untuk kesihatan tubuh
badan. Aktiviti fizikal akan meningkatkan high density lipoprotein (HDL) atau lemak darah
berkepadatan tinggi yang baik untuk melindungi jantung.
6. Tekanan – Tekanan (stress) adalah tindak balas fizikal, emosi dan mental terhadap
perubahan dan cabaran kehidupan. Amalkan pemikiran dan komunikasi yang positif.
Dapatkan bantuan (pensyarah, kaunselor dan rakan) jika tidak mampu menguruskan
tekanan dengan sendiri.
7. Cara Melestarikan Kesihatan – bersenam setiap hari, selaraskan nisbah ph tubuh,
banyakkan minum air dan tidur secukupnya.
5
PANDUAN SISWA/I UMSKAL
1. Kenali bahan yang dicari – suatu kajian mendapati bahawa kebanyakan
pelajar tidak mementingkan sumber rujukan ilmiah tetapi lebih mengutamakan
betapa mudahnya sumber berkenaan didapati – jadi lebih ramai pelajar suka
menggunakan bahan dari internet seperti blog, wikipedia dan carian google
berbanding bahan bercetak.
2. Pelajar perlu tahu bahawa bagi bahan bercetak pun tidak semua layak digunakan.
Contohnya, karya kreatif secara amnya tidak boleh digunakan sebagai bahan rujukan
untuk tugasan (esei) ilmiah (melainkan untuk kursus kesusasteraan).
3. Laman web – blog dan kebanyakan bahan di internet lebih memudahkan pelajar
terjebak ke lembah plagiarisme, fakta kurang tepat dan markah rendah. Sebaiknya
gunakan laman web berautoritatif, sumber berwibawa dan terpercaya.
4. Perkara lain yang perlu dititik beratkan dalam menilai sumber ialah adakah sumber
berkenaan bersifat terkini, mengandungi maklumat objektif (tidak bias, dogmatik dan
propagandikal) dan bersandarkan sumber rujukan autoritatif?
5. Sumber rujukan khusus bagi sesuatu kursus – biasanya bagi semua kursus di
universiti, pensyarah akan menyenaraikan senarai rujukan (bibliografi) utama kursus
(perhatian: biasanya tersimpan di di bahagian Bertanda Merah di perpustakaan,
dapatkan bantuan pustakawan). Sekiranya pelajar ingin meminjam bahan-bahan
rujukan di bahagian rujukan umum, pelajar perlu membuat pinjaman awal kerana
ramai pelajar lain turut memerlukannya.
6. Bertanya kepada pensyarah dan tutor – pensyarah lebih mengetahui rujukan
berwibawa bagi kursus masing-masing. Jadi pelajar perlu membuat temu janji atau
berjumpa terus kepada pensyarah (atau tutor) untuk mendapatkan bahan rujukan,
pensyarah biasanya tidak keberatan untuk meminjamkan buku mereka asalkan pelajar
memulangkan buku tersebut.
7. Membuat perancangan bagi setiap kerja kursus – pelajar harus membuat jadual kerja
yang anjal. Contohnya: fasa 1 (mencari bahan rujukan), fasa 2 (mengemukakan idea
hipotetikal), fasa 3 (membuat rangka esei), fasa 4 (menulis dan menyunting) fasa 5
(penggilapan) dan fasa 6 (penghantaran). Jangan membuat tugasan pada saat-saat
akhir. Ini merupakan tabiat yang amat buruk.
8. Bagi tugasan berkumpulan, pelajar memerlukan pengagihan tugas dan sesi
perbincangan untuk setiuap fasa gerak kerja. Jika terdapat ahli kumpulan yang curi
tulang, laporkan kepada pensyarah. Pilihlah ketua yang tegas dan mesra. Semua ahli
harus menepati masa dan menghasilkan kerja yang berkualiti dan berintegriti. Markah
yang tinggi sedang menunggu pelajar.
6
PANDUAN SISWA/I UMSKAL
Sebelum peperiksaan:
1. Pelajar perlu mengetahui keperluan bagi setiap kursus dan peratusan bagi setiap penilaian
bagi merangka persediaan yang secukupnya. Mulakan persediaan sejak permulaan
semester dengan fokus dalam kuliah dan segera dapatkan penjelasan daripada
pensyarah/guru bahasa/tutor jika terdapat sebarang kemusykilan dalam pembelajaran.
2. Semak nota dan pemahaman sendiri terhadap kursus dengan belajar dalam kumpulan.Jika
pelajar lebih selesa untuk belajar secara persendirian, pastikan dahulu nota dan keperluan
kursus adalah lengkap. Elakkan mengulang kaji pelajaran pada saat-saat akhir.
3. Pelajar digalakkan untuk cuba menjawab soalan-soalan semester lepas bagi mengukuhkan
lagi pemahaman terhadap kursus. Pastikan alat tulis dan keperluan lain mencukupi sebelum
memasuki dewan peperiksaan.
4. Pelajar juga perlu bersedia secara fizikal, mental dan emosi. Rehat secukupnya, makan
secara berkhasiat dan sentiasa beriadah. Sentiasa berfikiran positif dan jangan cepat
mengalah kerana peperiksaan merupakan satu perkara yang perlu dihadapi oleh semua
orang. Jaga hubungan baik dengan orang sekeliling seperti pensyarah, rakan-rakan, ibu
bapa dan sebagainya. Minta restu dan doa daripada mereka.
Semasa Peperiksaan:
1. Patuhi setiap arahan peperiksaaan yang digariskan oleh pihak universiti. Sebarang
kecurangan akademik boleh menjejaskan masa hadapan pelajar. Jangan meniru dengan
apa-apa cara sekalipun. Pelajar perlu memahami setiap permintaan soalan yang diutarakan.
Meminta bantuan ketua pengawas/pengawas/ pembantu pengawas jika menghadapi
masalah dalam dewan peperiksaan.
2. Bertenang dan jangan terburu-buru ketika menjawab peperiksaan. Masa yang diberi untuk
menjawab kertas peperiksaan adalah mencukupi jika digunakan sebaiknya. Jika pelajar tidak
mengetahui/lupa jawapan untuk soalan tertentu, elakkan menghantar kertas jawapan yang
kosong atau keluar awal dari dewan peperiksaan. Cuba untuk ingat kembali dengan
mengingat kembali kata kunci dalam kuliah-kuliah yang lepas.
3. Semak setiapjawapan yang telah diberi bagimengesan sebarangkesilapan dari segi ketepatan
maklumat, penggunaan terma yang betul dan tatabahasa yang tepat.
Selepas Peperiksaan:
1. Elakkan untuk berbincang mengenai peperiksaan yang telah berlalu sejurus keluar dari
dewan peperiksaan. Jika pelajar dapat menyiapkan kertas peperiksaan awal, jangan
mengganggu pelajar lain yang masih menjawab soalan.
2. Fokus kepada kertas peperiksaan yang bakal dihadapi seterusnya. Simpan buku-buku dan
nota yang berkaitan dengan kursus kerana pelajar pasti memerlukannya pada masa
hadapan.
7
PANDUAN SISWA/I UMSKAL
Mendekati Tuhan:
1. Tuhan merupakan sumber kerohaniaan terunggul yang dapat memenuhi keperluan
rohani pelajar.
2. Keyakinan terhadap Tuhan dapat mewujudkan pengharapan dan pergantungan yang
kukuh dalam diri pelajar.
3. Dapat memberikan kekuatan disaat pelajar lemah, menumbuhkan kesabaran dan
pengharapan di kala pelajar kecewa dan putus harapan, keberaniaan di saat
ketakutan.
4. Kepercayaan kepada keadilan dan rahmat Tuhan dapat memberikan kesihatan jiwa
dan kekuatan rohani kepada pelajar.
Ketulusan jiwa:
1. Perjalanan hidup manusia mewakili substans abstrak yang tersirat dalam hati (niat).
2. Cetuskan kembara perjuangan kamu sebagai seorang pelajar dengan niat yang
tulus dan ikhlas untuk menguasai ilmu pengetahuan untuk manfaat diri, keluarga,
masyarakat, negara dan agama.
3. Pelajar tetap bertahan dalam perjuangan menuntut ilmu, sentiasa memelihara
ketulusan hati dan matlamat perjuangan ilmiah kamu dari semasa ke semasa.
Amalan agama:
1. Kekuatan rohani tidak hanya berpaksikan keyakinan dan pergantungan kepada
Tuhan semata-mata tanpa melakukan amalan- amalan yang dapat mendidik jiwa
dan melatih emosi manusia.
2. Amalan-amalan keagamaan seperti solat, puasa, doa, melakukan yoga, meditasi
dan sebagainya merupakan terapi jiwa selain daripada tuntutan agama yang perlu
dilakukan oleh pelajar mengikut agama masing-masing.
3. Amalan kerohaniaan inilah yang menjadi cahaya penyuluh antara pelajar dengan
Tuhan dan merupakan talian hayat sepanjang masa.
8
PANDUAN SISWA/I UMSKAL
Sikap ingin belajar – Pelajar perlu memupuk sikap ingin belajar bahasa Inggeris
dan ini harus bermula dengan mengubah persepsi pelajar terhadap bahasa
tersebut. Pelajar sering kali beranggapan menguasai bahasa Inggeris adalah sukar.
Oleh itu, anggapan ini akan menyekat pelajar daripada menguasai bahasa Inggeris.
Justeru, persepsi ini haruslah diubah dengan melihat kepentingan dan kelebihan
dalam menguasai bahasa Inggeris.
• Motivasi – Pelajar perlulah beristiqamah dalam memotivasikan diri untuk menguasai
bahasa Inggeris. Dinasihatkan supaya pelajar dapat mengenal pasti sebab utama
mengapa mereka perlu menguasai bahasa tersebut. Contohnya, dengan menguasai
bahasa Inggeris, ini dapat membantu pelajar dalam mendapatkan pekerjaan yang lebih
baik dan dapat dijadikan sebagai motivasi untuk mempelajari bahasa ini dengan lebih
gigih.
• Praktis – Para pelajar haruslah membiasakan diri dengan mempraktikkan penggunaan
bahasa Inggeris dalam aktiviti-aktiviti seharian. Penggunaan bahasa Inggeris ini tidak
hanya terbatas sewaktu pembelajaran di kelas, malah melibatkan aktiviti selepas waktu
pembelajaran. Kemahiran berbahasa Inggeris bukan sahaja terhad kepada
percakapan malah merangkumi aspek pemikiran, pendengaran, pembacaan dan
penulisan.
• Pendedahan intensif – Ini dapat dilakukan dengan dengan cara: bercakap dengan
diri sendiri, berkomunikasi dengan rakan, mendengar audio (lagu, ucapan,
perbualan dan lain-lain), menonton rancangan tv dan filem tanpa sari kata,
membaca bahan bahasa Inggeris berkaitan dengan bidang yang diminati, menulis
surat, diari, jurnal, esei, sajak dan lain-lain.
• Jangan takut dengan kesilapan – Salah satu faktor pelajar enggan
menggunakan bahasa Inggeris kerana mereka takut terlakukan kesilapan dan
berasa malu, walhal tidak ada manusia yang sempurna. Bagi mereka, dengan
membuat kesilapan akan menunjukkan mereka tidak tahu atau tidak pandai.
Walhal, kesilapan itulah yang akan membantu mereka dalam menguasai bahasa
tersebut. Namun, harus dingati, kesilapan itu haruslah dicatat seterusnya
diperbaiki agar tidak diulangi pada masa akan datang.
• Jangan bertangguh – Pelajar haruslah memberanikan diri untuk menggunakan
bahasa Inggeris dengan secepat mungkin sekiranya ingin menguasai bahasa
tersebut dalam tempoh pengajian. Ingatlah, pelajar hanya mempunyai tiga hingga
empat tahun sahaja. Jika pelajar tidak mula menggunakan bahasa tersebut
sekarang, mereka akan ketinggalan j a u h berbanding rakan-rakan sekuliah yang
telah pun menguasai bahasa Inggeris. Sikap bertangguh-tangguh ialah perangkap
syaitan.
9
PANDUAN SISWA/I UMSKAL
Langkah Bertunas:
1. Ingat perkataan baru – lima perkataan setiap hari.
2. Tulis ayat pendek – bertatih dahulu, berlari kemudian.
3. Muat turun aplikasi mainan bahasa Arab – seronok dan santai.
4. Baca buku cerita dalam bahasa Arab – cerita menyuburkan minat.
Langkah Berbunga:
5. Dengar lagu Arab – suara dan jiwa bersatu dalam irama lagu.
6. Masukkan perkataan Arab dalam perbualan harian – pasti bermanfaat.
7. Rajin guna kamus – catatkan dan ingatkan kosa kata menarik.
8. Taip pesanan ringkas dalam bahasa Arab – padat, tepat dan pantas.
Langkah Berganda:
9. Cari rakan Arab di laman sosial – kefasihan datang daripada interaksi.
10. Tonton video dan tv Arab – belajar dan menikmati dengan cara mendengar.
11. Rumuskan video pendek Arab berdasarkan kefahaman pelajar sendiri.
12. Berlatihlah menulis ayat yang sama dengan menggunakan kesesuaian tatabahasa yang
berbeza – lancar kaji kerana diulang, diulang dan diulang.
13. Latih tubi menjawab aktiviti ringan dalam buku mudah Arab – lagi banyak, lagi bagus.
14. Tulis diari dalam bahasa Arab – jika tidak dipecahkan ruyung, masakan dapat sagunya.
15. Beritahu nombor telefon dalam bahasa Arab.
Langkah Bersemuka:
16. Membiasakan diri menyapa kenalan di kampus dengan menggunakan bahasa Arab.
17. Berani menyapa orang atau pelancong) Arab –bayangkan diri kamu ialah orang Arab.
18. Melancong ke negara Arab.
10
PANDUAN SISWA/I UMSKAL
PANDUAN PENGUASAAN BAHASA MANDARIN
Pembelajaran Bersepadu:
1. Karakter (aksara) yang berfungsi untuk memberi makna dalam kosa kata Bahasa
Mandarin.
2. Pada mulanya, pelajar akan mengalami kesukaran kerana terdapat karakter
Cina yang berbeza tetapi menggunakan bunyi yang sama. Contohnya,
sebutan perkataan sungai adalah ‘he’ dan perkataan ‘dan’ juga disebut
sebagai ‘he’.
3. Pelajar perlu mempelajari bahasa Mandarin secara bersepadu; kemahiran
bertutur dan membaca perlulah dibangunkan dan dilatih secara serentak.
4. Ramai yang ingin mempelajari Bahasa Mandarin hanya untuk tujuan perbualan
sahaja, namun bahasa Mandarin tidak membenarkan pelajar untuk mempelajari
salah satu kemahiran sahaja.
Sistem Pinyin dan Empat JenisNada:
1. Sistem Pinyin adalah sistem romanisasi rasmi untuk menyebut karakter-karakter
Cina.
2. Pinyin banyak membantu penutur bahasa lain untuk mempelajari bahasa
Mandarin dengan berkesan.
3. Pelajar perlu sedar cara penyebutan abjad dalam Pinyin berbeza dengan sebutan
huruf Inggeris. Selain konsonan dan vokal, Pinyin juga menggunakan konsep
nada (tone).
4. Terdapat empat jenis nada yang perlu dipelajari: nada pertama adalah rata (flat),
nada kedua semakin menaik (rising), nada ketiga menlengkung (dipping), dan
nada keempat menurun (falling sharply).
5. Pada awalnya, pelajar akan terkesima semasa mempelajari nada nada ini. Setiap
nada berfungsi dalam penghasilan makna dan nada ini juga membantu dalam
berbahasa Mandarin dengan lebih fasih.
Karakter Cina: Mempelajari tentang Hanzi
1. Karakter Cina juga dikenali sebagai
Hanzi. Dalam mempelajari Hanzi,
pelajar perlu mengikuti cara
penulisan goresan tersebut dengan
berhati-hati dan mengingati urutan
bagi goresan tersebut.
2. Pelajar baharu memerlukan latihan
yang kerap bagi meningkatkan
kemahiran mekanik penulisan
Hanzi. Kadangkala, anda mungkin
dapat menghafal banyak kosa kata
Mandarin dalam tempoh untuk
mempelajari cara penulisan Hanzi.
11
PANDUAN SISWA/I UMSKAL
PANDUAN PENGGARAPAN MASA
Tidur awal, bangun awal – tidur sekitar jam 10.30 malam dan bangun jam 5 pagi. Pelajar
perlu tidur antara 6-8 jam sehari agar pelajar senatiasa ceria dan bersemangat setiap hari.
Jika penat belajar, berehatlah secukupnya.Hargai masa diri, hormati masa orang lain.
Jangan membuang masa (berjam- jam lamanya) menonton tv, membaca akhbar, bermedia
sosial, bersembang dan sebagainya.Jangan melakukan banyak perkara dalam satu masa.
Yang terbaik, fokus satu perkara.
Sentiasa mendahului masa–kunci jam 5-10 minit lebih cepat.Selalu datang awal, hadir
awal dalam semua urusan. Ini dapat menjamin masa sentiasa cukup untuksetiapaktiviti.
Sikapselalulewatakanmengakibatkanpelajarterkejar-kejar ke sana ke mari dan
termengah-mengah tidak keruan. Masa ibarat pedang. Pan- cunglah masa sebelum
masa memancung kamu. Masa ibarat pedang. Pancunglah masa sebelum masa
memancung kamu.
Rebutkan masa, manfaatkan masa–setiap orang diberikan 24 jam secukupnya. Bagi
pelajar yang bijak memanfaatkan masa, waktu berlalu begitu pantas dan mendatangkan
kepuasan jiwani. Bagi pelajar yang gagal mengurus masanya dengan bijak, masa berlalu
begitu lambat sekali gus menekan emosinya. Justeru, asalkan ada masa lapang, terus
isikan masa lapang dengan kegiatan positif. Jika tidak, masa yang sangat berharga itu
akan berlalu sia-sia atau terbazir begitu sahaja. Di mana- mana pun kamu berada,
bacalah buku. Jangan cuba-cuba hidup tanpa membaca.
Buat jadual harian anjal dan selesa – bahagikan masa 24 jam sehari secara
sistematik dan dinamik. Tentukan masa untuk persiapan diri, kuliah, tutorial,
diskusi, ulang kaji, perpustakaan, kegiatan kolej, makan, sukan, rehat, solat, hemat
diri, hiburan, tidur dan sebagainya. Ini merupakan asas disiplin diri yang sangat
penting. Jadual ini boleh diubah mengikut keperluan dan kesesuaian pelajar. Tidak
perlu terikat mati dengan jadual kerana manusia bukanlah robot. Menguasai
masa, merajai hidup.
Segala sesuatu harus mempunyai perancangan (masa merancang, masa bertindak)
– setiap perkara yang hendak dilakukan, pelajar harus membuat perancangan terlebih
dahulu, bukannya bertindak semberono. Perancangan teliti dapat membantu pelajar
menyelesaikan semua urusan, keperluan dan masalah mereka dengan teratur. Fikiran
menjadi tenang, hati menjadi lapang. Sebaliknya, bertindak tanpa perancangan akan
menyebabkan fikiran berserabut, perangai kecoh-kepoh, hidup kelam- kabut. Ingatlah,
jika kamu gagal merancang, kamu merancang untuk gagal.
Selesaikan setiap urusan mengikut keutamaan – berpegang kepada prinsip
emas iaitu utamakan yang utama. Setiap hari, buat skala prioriti: perkara terpenting,
penting dan kurang penting. Selesaikan urusan terpenting dan penting terlebih
dahulu. Pasti ada masa yang secukupnya untuk perkara penting. Sementara itu,
perkara kurang penting boleh ditangguhkan atas sebab-sebab tertentu buat
sementara waktu dan diselesaikan pada kesempatan berikutnya.
12
PANDUAN SISWA/I UMSKAL
HUBUNGAN DENGAN KAKITANGAN PENTADBIRAN
1. Pelajar harus memahami bahawa pihak pentadbiran berperanan untuk memberikan
khidmat profesional yang konsisten untuk manfaat pelajar. Di PPIB misalnya, pihak
pengurusan menawarkan secukupnya kursus-kursus wajib dan umum universiti
kepada pelajar-pelajar untuk setiap semester.
2. Pelajar harus prihatin terhadap perkhidmatan yang responsif. Oleh itu, pihak PPIB
memaklumkan senarai kursus yang bakal ditawarkan kepada pelajar dalam tempoh
dua minggu sebelum semester bermula, di samping cepat memberi respons kepada
setiap urusan pelajar dengan memastikan setiap urusan di kaunter pejabat dapat
diselesaikan dalam tempoh 15 minit.
3. Pelajar harus bersikap sopan dan santun jika mempunyai masalah tertentu kerana
pihak pentadbiran sentiasa memastikan aduan-aduan dan surat menyurat secara
bertulis diberi jawapan selewat-lewatnya dalam tempoh 2 minggu.
4. Pelajar harus berterima kasih kerana pihak pentadbiran berkomitmen untuk menjawab
dan memberi jawapan yang tepat bagi memudahkan urusan pelajar. Arahan,notis,
borang dan panduan perkhidmatan mudah difahami dan tidak mengelirukan pelajar.
5. Pelajar harus bersikap apresiatif kerana pihak pentadbiran nekad memberikan
khidmat profesional yang cekap kepada para pelajar mengikut peraturan dan proses
yang ditetapkan, selain memberikan layanan mesra dan ramah kepada semua
pelajar,malah dengan rela hati mendengar, memahami dan melayan pelajar dengan
penuh rasa hormat.
6. Pelajar harus menggunakan semua kemudahan yang disediakan oleh pihak
pentadbiran dengan amanah, bukan dengan merosakkan kemudahan tersebut. Pihak
pentadbiran telah menyediakan ruang menunggu yang selesa,tempat duduk dan
kaunter perkhidmatan untuk manfaat pelajar.
13
PANDUAN SISWA/I UMSKAL
MAKLUMAT PERHUBUNGAN
DR NURULASYIKIN MUDA (PENYELARAS PPIB KAL)
No Telefon: 019-9366634
E-mel: [email protected]
DR SITI KATIJAH JOHARI
No Telefon:013-8687166
E-mel: [email protected]
DR NORDI ACHIE
No Telefon: 012-8200425
E-mell: [email protected]
DR LOI CHEK KIM
No Telefon: 017-3742836
E-mel: [email protected]
DR.SOON CHIOW THAI
No Telefon: 013-8666846
E-mel: [email protected]
DR. MOHD NUR HIDAYAT HASBOLLAH HAJIMIN
No Telefon: 014-5602094
E-mel: [email protected]
AZIZAN HAD
No Telefon : 013-8591998
E-mel : [email protected]
NURUL AIN ZULHAIMI
No Telefon: 013-2292667
E-mel: [email protected]
HENRY BATING
No Telefon: 013-8580885
E-mel: [email protected]
KU CHEN JUNG @ NUR ALLIYAH KU
No Telefon: 019-8975563
E-mel: [email protected]
SITI NURUL AISHAH ABDUL HAMID
No Telefon: 017-8137033
E-mel: [email protected]
NUR SHAFIEKAH SAPAN
No Telefon: 016-8396235
E-mel: [email protected]
SITI AISHAH RAMLI
No Telefon: 014-8521045
E-mel: [email protected]
CHONG SIAK LAN
No Telefon :013-8673343
E-mel : [email protected]
JOHARI SAFAR (PENOLONG PENDAFTAR)
087-503000 ext 100562
E-mel : [email protected]
PEJABAT AM PPIB KAL
087-503000 ext 410600/410605
E-mel : [email protected]
14
PANDUAN SISWA/I UMSKAL
SENARAI PENYUMBANG MAKALAH
Dr. Nurulasyikin Muda
Dr. Romzi Ationg
Dr. Siti Katijah Johari
Dr. Nordi Achie
Dr. Loi Chek Kim
Dr. Soon Chiow Thai
Azizan Had
Siti Halimah Putung
Nurul Ain Zulhaimi
Henry Bating
Ku Chen Jung @ Nur Alliyah Ku
Siti Nurul Aishah Abdul Hamid
Siti Aishah Ramli
Nur Shafiekah Sapan
BAHAGIAN TEKNIKAL PENERBITAN
Dr. Mohd Nur Hidayat Hajimin Hasbollah
Chong Siak Lan
Johari Safar
Norfaizah Wahid
Siti Rafidah Suin
Asmadi Abas
15
PANDUAN SISWA/I UMSKAL
DITERBITKAN OLEH:
PUSAT PENATARAN ILMU DAN BAHASA
UNIVERSITI MALAYSIA SABAH
KAMPUS ANTARABANGSA LABUAN
© HAKCIPTA TERPELIHARA
Cetakan Pertama 2019
Cetakan Kedua 2020
Cetakan Ketiga 2021
16