DITULIS OLEH NUR FATIHAH HAYATI BINTI ZAINI RAHSIA DI SEBALIK DUNIA YANG TERSEMBUNYI
DUNIA NINA Cerita Kanak-kanak Adaptasi Filem ‘The Chronicles of Narnia’
Nina merupakan seorang anak tunggal yang berusia tujuh tahun dan tinggal bersama kedua-dua ibu bapanya. Ayah Nina bekerja sebagai seorang guru , manakala ibunya pula adalah seorang suri rumah. Pada suatu hari, ayah memberitahu Nina yang dia dipindahkan ke tempat kerja yang lain kerana kenaikan pangkat. “Nina, kita perlu berpindah ye. Ayah mendapat tawaran kenaikan pangkat dan telah dipindahkan ke tempat kerja yang lain” , beritahu ayahnya. “Tahniah ayah ! Tak sabar Nina ingin berpindah ke rumah baharu ” , ujar Nina. Lalu, mereka pun berpindah supaya perjalanan ayah Nina ke tempat kerja menjadi lebih dekat dan mudah memandangkan ibu Nina hanya seorang suri rumah sahaja. 1
Setibanya di rumah baharu mereka, Nina berasa sungguh teruja kerana melihat sebuah villa yang tersergam indah di hadapannya. Walaupun villa tersebut di kawasan pedalaman, tetapi Nina dan ibu bapanya sangat suka dengan suasana di kawasan tersebut yang sungguh nyaman. “Abang, cantiknya rumah baharu kita. Terasa sungguh tenang berada di sini” , beritahu ibu Nina kepada suaminya. “Ye, saya sudah lama meninjau kawasan perumahan di sini. Saya mencari rumah yang terbaik dan selesa untuk keluarga kecil kita tinggal bersama ” , ucap ayah Nina. “Ayah, mari masuk” , ujar Nina yang sudah tidak sabar untuk melihat keadaan di dalam rumah” . 2
Mereka sekeluarga hidup aman damai di rumah baharu tersebut. Nina juga merupakan seorang ulat buku. Dia gemar membaca cerita kanak-kanak yang bertemakan dunia imaginasi. Nina sering membayangkan dirinya hidup di dalam dunia khayalan yang penuh dengan fantasi. 3
Pada suatu hari, sedang Nina asyik membaca buku ceritanya, dia terdengar suatu bunyi yang pelik datang daripada dalam sebuah almari lama dan terbiar di hujung sudut biliknya. Nina memberitahu hal itu kepada ibu bapanya, tetapi mereka tidak mempercayai Nina. “Ibu, ayah, Nina terdengar sesuatu bunyi daripada almari lama di bilik Nina ” , beritahu Nina. Ibu bapanya menjawab “mungkin itu hanya imaginasi kamu sahaja. Kamu terlalu banyak membaca buku cerita fantasi” . 4
Namun, Nina masih tertanya-tanya apakah sebenarnya bunyi yang datang daripada dalam almari lama biliknya itu. Hari demi hari, bunyi yang sama berulang – ulang. Akhirnya, Nina memberanikan diri untuk membuka almari tersebut. Alangkah terkejutnya apabila dia mendapati bahawa terdapat pintu rahsia di sebalik baju-baju yang menutupi pintu yang tersembunyi itu. 5
Sifat ingin tahu mula menguasai dirinya. Nina membuka pintu rahsia tersebut dan dia terpaku. Dunia imaginasi ! Itu yang diidamkan oleh Nina selama ini. Segala cerita berkaitan dunia imaginasi yang dibaca olehnya ada di situ. Nina selalu berimaginasi untuk masuk ke dalam dunia seperti itu dan hidup di sana bersama dunia khayalannya. Nina seakan – akan tidak percaya bahawa dunia itu wujud di alam realiti. 6
Apabila mengetahui akan hal itu, Nina segera memberitahu ibu bapanya. “Ibu, ayah, ada pintu rahsia di dalam almari baju lama di bilik Nina. Nina sudah pun buka pintu tersebut dan ada dunia lain di sebaliknya ” . Ibu bapanya terdiam dan saling berbalas pandangan antara satu sama lain Ibunya pula berkata “Nina, ini tempat baharu. Kita tidak tahu apa yang ada di dalam rumah ini. Jangan sesuka hati masuk ke dalam tempat seperti itu. Bahaya. Kamu tidak tahu apa yang akan terjadi di kemudian hari” , pesan ibunya. “Betul Nina, dengar nasihat ibu kamu. Kamu masih kecil. Ayah tidak mahu sebarang perkara yang tidak diingini berlaku kepada kamu ” , sambung ayahnya pula. 7
Namun, Nina tetap pergi ke sana tanpa pengetahuan ibu bapanya. Di sana, Nina mendapat layanan yang sungguh mesra sekali. Kedatangannya seolah – olah disambut dengan penuh riang dan ria oleh orang – orang di sana. Nina disajikan dengan hidangan yang enak dan diberikan baju yang cantik – cantik belaka. Nina berasa sangat gembira dan seronok apabila berada di sana. Dia dilayan seperti seorang Puteri Kayangan Istana sebagaimana yang dibaca olehnya di dalam buku cerita kanak-kanak. 8
“Kamu seronok berada di sini ?” tanya seorang puteri yang sedang melayannya. “Mestilah, sudah lama saya ingin tinggal di dalam dunia seperti ini” , jawab Nina dengan nada keriangan dan gembira. “Baguslah begitu. Makan sehingga kenyang ya ” . Puteri tersebut memandang ke arah rakannya yang lain dan tersenyum sinis. 9
Nina sungguh leka berada di sana sehingga tidak mahu pulang. Dia tidak sedar bahawa ibu bapanya sedang menantikan kepulangan anak tunggalnya itu. 10
“Awak, di mana anak kita ni?” , ujar ibu Nina dengan penuh kerisauan. “Mari kita periksa pintu yang dikatakan oleh Nina tempoh hari. Saya merasakan dia telah masuk ke dalam pintu tersebut” , jawab ayah Nina dengan harapan dia dapat mencari anaknya dan membawanya pulang. Ayah Nina membuka almari tersebut dan menyelak baju – baju yang tergantung di dalamnya untuk mencari pintu rahsia. “Awak, pintu tersebut tidak wujud. Sudah berulang kali saya menyelak baju – baju ini, tetapi saya tidak menjumpai pintu rahsia itu ” , beritahu ayah Nina kepada isterinya. Isterinya semakin risau mengenangkan anak kecilnya yang masih berumur tujuh tahun itu. Nina hilang tanpa jejak. 11
Sedang asyik bersuka ria, salah seorang puteri yang melayan Nina mengajaknya pergi ke suatu tempat. Khabarnya, tempat tersebut lebih cantik dan menyeronokkan. “Nina, mari kita pergi ke tempat yang lebih menarik. ” Pelawa puteri itu kepada Nina. “Wah, ada tempat yang lebih menarik ? Apa agaknya ada di sana ye ?” jawab Nina dengan penuh rasa teruja. Puteri tersebut hanya tersenyum. 12
Apabila sampai di sebuah kawasan tanah lapang, Nina melihat ramai orang yang telah berkumpul di situ. Semua memandang ke arahnya dengan pandangan yang tajam. Nina mula berasa ketakutan dan teringat akan pesan ibu bapanya. Nina buntu. Dia sudah berada di dunia itu dan tiada jalan keluar. 13
Tiba-tiba salah seorang ketua di kawasan itu mengarahkan orang-orangnya untuk mengikat tangan Nina dan dibawa ke dalam kurungan bawah tanah. “Tarik dan ikat manusia itu ke dalam kurungan kita!” perintahnya. Nina meminta untuk dilepaskan,namun tiada siapa yang mengendahkan kata-katanya. 14
Nina menjerit ketakutan memanggil ibu bapanya tetapi sudah terlambat. Dia telah ditarik masuk ke dalam kurungan bawah tanah. “Ibu, ayah, tolong Nina ! Tolong !” . Rupanya ramai kanak – kanak yang telah menjadi mangsa dan dikurung di dalam kurungan tersebut. Nina berterusan menjerit untuk meminta pertolongan. “Tolong Nina, ibu ! Tolong Nina, ayah !” . Namun, tiada sesiapa yang dapat mendengar suara Nina. Kini, dia dan ibu bapanya berada di dua dunia yang berbeza. 15
Tiba – tiba Nina terdengar suara lembut memanggil namanya. “Nina, bangun ! Kenapa ni ?” . Suara ibunya. Nina tersedar daripada lena. Dia terus bangun dan memeluk erat ibunya sambil mengalirkan air mata. Nina berasa sungguh lega kerana semua yang dialaminya sebentar tadi hanyalah mimpi semata-mata. 16
“Ibu, Nina janji akan menjadi seorang anak yang baik dan mendengar kata. Nina sayang ibu dan ayah” ucap Nina dengan penuh kesedihan. Ibu yang mendengarkan perkara itu hanya tersenyum dan membalas pelukan anaknya. Meskipun dia tidak tahu apa yang dimimpikan oleh Nina, tetapi dia tahu ada sesuatu yang berlaku sehingga anaknya berkata-kata seperti itu. 17
Sejak hari itu, Nina menjadi lebih berhati – hati dalam setiap tindakannya. Dia akan meminta keizinan ibu bapanya sebelum melakukan sesuatu perkara. Nina benar-benar insaf. 18
Anak tunggal Anak yang tidak memiliki adik beradik Buntu Fikiran yang terhalang atau tersekat, tidak berfikir panjang Enak Makanan atau minuman yang sedap, rasa yang nyaman Fantasi Angan-angan yang tidak dibatasi oleh kenyataan, imaginasi yang tidak terbatas Imaginasi Kemampuan menggambarkan sesuatu dalam fikiran dan angan-angan Insaf Memahami sesuatu hingga menimbulkan kesedaran Khayalan Gambaran atau bayangan secara rekaan dan ciptaan oleh akal sendiri GLOSARI
Leka Lalai dalam melakukan sesuatu perkara Suri rumah Wanita yang sudah berkeluarga dan tidak bekerja untuk menguruskan kerja-kerja di rumah Teruja Timbul minat atau keinginan yang kuat terhadap sesuatu perkara Tersergam Kelihatan tinggi dan besar daripada lainlain (rumah, gunung dan lain-lain) Terpaku Duduk atau berdiri dalam keadaan tidak bergerak Ulat buku Orang yang suka membaca buku Villa Rumah mewah yang biasanya dibina di desa GLOSARI
SINOPSIS Seorang kanak-kanak bernama Nina yang tinggal bersama kedua-dua ibu bapanya telah berpindah ke rumah baharu di kawasan pedalaman. Namun, terdapat perkara pelik yang berlaku di dalam rumah tersebut. Segala yang berlaku memberi pengajaran besar dalam hidup Nina. Apakah yang ada di dalam rumah tersebut ? Apakah kesudahannya ?