1
Kecil kecil bergelak ketawa,
Ada masa berkelahi sahaja,
Kita membesar sentiasa bersama.
Meskipun tak kaya tetap bahagia.
Tiba waktu awal remaja,
Hidup berdikari tinggal di asrama,
Terkadang dihantar ke stesen bas sahaja,
Ke Padang Polo destinasi utama.
Saat dewasa semakin tiba,
Lagi jauh kaki melangkah,
Tinggal keluarga sanak saudara,
Panjang usia bertemu Insya Allah.
Setelah bekerja lain cerita,
Jauh ke selatan diri terasing,
Bina keluarga mencari pahala,
Mulakan hidup dengan orang asing.
2
Kutub Utara Kutub Selatan,
Jenuh memandu berganti-gantian,
Berpakat untuk tinggalkan kawasan,
Rasa tak larat tampung kehidupan.
Setuju menetap di tengah-tengah,
Kulim di utara kononnya murah,
Beli rumah bukan untuk bermewah,
Sementara hidup sebelum berpindah.
Saat kita kuat bertenaga,
Kerja bagai Si Kembang Cina,
Sakit bertamu tidak diduga,
Baru tersedar nikmat kurnia.
Kini menjadi seorang suri,
Hati tenang Allah yang bagi,
Banyak muhasabah kenali diri,
Buat persiapan sebelum pergi.
3
Anak-anak yang kusayangi,
Tuntut ilmu penuhi diri,
Jaga adab dan budi pekerti,
Allah dan Rasul menjadi paksi.
Hidup ini ibarat roda,
Sentiasa berputar tak kira masa,
Tipuan dunia jangan tergoda,
Kelak dirimu terjerumus dosa.
Solat fardu diabai jangan,
Bertemulah Allah diawal waktu,
Ibarat makan satu hidangan,
Perkara sunat sudahlah tentu,
Hidup muafakat adik beradik,
Saling membantu bertanya khabar,
Solat jamaah amalan terbaik,
Bacaan quran sampai terdengar.
4
Kepada Allah Umi berserah,
Agar kalian tetap tabah,
Biar Dia memandu arah,
Moga dapat berkumpul di jannah.
Wahai anak maafkan umi,
Andai kurang dalam mendidik,
Mungkin jahil dan tidak reti,
Harap menjadi saksi yang baik,
Pandai-pandailah membawa diri,
Menginjak dewasa lalu bekerja.
Bila umi dipanggil berundur diri,
Jangan dilupa asuhan keluarga.
Allah tuhan Pencipta kita,
Al-quran pula buku panduan,
Tunai segala yang Allah pinta,
Kelak hidup dalam peliharaan.