Soalan: Huraikan pelaksanaan Tanzimat oleh kerajaan Turki Uthmaniyah untuk
mengembalikan zaman kegemilangannya
Pendahuluan
Tanzimat merupakan gerakan pembaharuan atau reformasi, penyusunan semula dan
pembaik pulih yang dilakukan oleh pemerintah kerajaan Turki Uthmaniyah bermula pada tahun
1839 – 1876. Proses tanzimat ini tidak berlaku secara mendadak sebaliknya tanzimat
merupakan kesinambungan daripada usaha pembaharuan yang dibuat oleh Sultan Salim III
(1789-1807) dan lanjutan kemajuan yang dilaksanakan oleh Sultan Mahmud II. Gerakan
Tanzimat atau pembaharuan ini bermula pada tahu n 1836 oleh Sultan Abdul Majid yang
menggantikan Sultan Mahmud II (1809-1839). Asas kepada pembaharuan yang dilakukan oleh
pemerintah Daulah Uthmaniyah adalah berteraskan kepada Piagam Hatti Syerif dan Hatti
Humayun. Piagam Hatti Humayun yang diperkenalkan pada tahun 1856 ini menyebabkan
berlakunya perubahan dalam institusi kerajaan Daulah Uthmaniyah yang melibatkan aspek
pentadbiran, ekonomi, perundangan, pendidikan, agama dan sosial masyarakatnya.
Bidang pentadbiran
Pemerintahan Sultan Mahmud II telah memulakan perubahan dalam pentadbiran.
Baginda telah mengamalkan dasar demokrasi dalam sistem pemerintahannya. Misalnya, tradisi
Kerajaan Turki Uthmaniyah yang diketuai oleh seorang sultan yang mempunyai kekuasaan
dunia dan rohani. Baginda menggunakan gelaran sultan sebagai pemerintah dunia dan gelaran
khalifah sebagai pemerintah umat Islam. Baginda juga dikenal sebagai sultan yang tidak terikat
dengan tradisi dan menguruskan pemerintahan secara langsung dengan rakyatnya. Baginda
telah muncul di khalayak ramai, memberi ucapan dalam upacara rasmi, menteri dan pembesar
boleh menghadap baginda dan menukar pakaian rasmi kerajaan serta menteri kepada pakaian
yang bercorak sederhana.
Perubahan dalam pentadbiran juga meliputi dengan mewujudkan beberapa
kementerian untuk menyambung kerja-kerja yang dimulakan oleh pemerintah yang
sebelumnya. Antara kementerian yang ditubuhkan ialah Kementerian Kerjaya (1839),
Kementerian Pelajaran (1857) dan Kementerian Polis (1870). Majlis Diraja yang telah
ditubuhkan sebelum ini juga diubah menjadi Majlis Tanzimat yang berfungsi untuk merangka
segala pembaharuan dari segi undang-undang dan mengawal rasuah dalam pentadbiran. Dewan
Tanzimat yang ditubuhkan ini diketuai oleh Muhammad Sadik Rifat Pasya. Walau
bagaimanapun, ahli-ahli yang dipilih dalam majlis ini merupakan mereka yang berpelajaran
barat sahaja. Melalui Tanzimat ini, pegawai kerajaan akan mendapat gaji yang sesuai dengan
jabatannya dan peraturan rasuah juga dikuatkuasakan.
Bidang perundangan
Piagam Gulhane atau dikenal Hatti-i Syarif diperkenalkan oleh Sultan Abdul Majid,
iaitu putera kepada Sultan Mahmud II sekitar tahun 1808 hingga 1839. Piagam ini menjanjikan
keselamatan nyawa, maruah dan harta untuk semua rakyat tanpa mengira agama. Misalnya,
pembaharuan terhadap sistem pemungutan cukai. Cukai pertanian dan kerahan tenaga yang
menindas dihentikan. Cukai yang dipungut diagih-agihkan untuk membawa manfaat kepada
rakyat dan negara. Dalam sistem perundangan pula menekankan bahawa setiap yang bersalah
tidak boleh dikenakan hukuman selagi tidak melalui perbicaraan. Pelanggaran terhadap
kehormatan seseorang juga tidak diperkenankan. Hak milik terhadap harta dijamin dan setiap
orang mempunyai kebebasan terhadap harta yang dimilikinya.
Pada tahun 1856 M, Sultan Abdul Majid mengisytiharkan pula Hatti-I Humayun
atau Piagam Humayun. Piagam ini merupakan satu pengesahan segala janji yang dibuat melalui
Perjanjian Gulhane. Piagam ini mengandungi pembaharuan terhadap kedudukan orang Eropah
dan bukan muslim yang berada di bawah kekuasaan Turki Uthmaniyah sehingga tiada lagi
perbezaan antara orang Eropah dan rakyat Islam Turki. Hal ini bererti mereka mempunyai hak
yang sama dalam hukum. Pembaharuan dalam bidang ekonomi juga dilaksanakan. Antaranya
ialah penubuhan bank asing,pengenalan undang-undang perdagangan baharu kemasukan
pelaburan dan modal dari negara Eropah dan penerimaan orang bukan Islam dalam Dewan
Perundangan. Malahan, dalam piagam ini juga menambahbaikan perkhidmatan awam dan
peluang saksama dalam jawatan perkhidmatan awam kepada pelbagai lapisan masyarakat.
Bidang ketenteraan
Sultan Mahmud II telah memodenkan bidang ketenteraan dan menghapuskan
tentera janisari. Satu pasukan tentera baharu, iaitu nizam-i cadid ditubuhkan. Sekolah tentera
juga ditubuhkan untuk memberikan latihan ketenteraan kepada pegawai-pegawai mengikut
sistem ketenteraan Eropah. Orang awam juga telah diberi peluang untuk meyertai pasukan
ketenteraan. Hal ini dibuktikan apabila orang awam yang mempunyai hubungan kekeluargaan
dan rapat dengan istana akan dibenarkan untuk berkhidmat dalam bidang ketenteraan, malah
anak-anak golongan rakyat terutama para penghuni-penghuni bandar diberi peluang untuk
menyertai pasukan ketenteraan Turki uthmaniyah. Pemerintahan Sultan Abdul Majid pula
membentuk polis militeri dan menghantarnya ke seluruh wilayah. Selain itu, baginda juga
memanggil pakar-pakar dari Eropah bagi memberikan latihan kepada pegawai tentera. Baginda
turut memberi peluang kepada semua rakyat untuk menyertai pasukannya.
Bidang Pendidikan
Sultan Mahmud II telah mengadakan perubahan dalam kurikulum madrasah
dengan menambah pengetahuan-pengetahuan umum di dalamnya. Baginda masih
mengekalkan madrasah tradisional dan dalam masa yang sama telah mendirikan dua sekolah
pengetahuan umum. Maktab Ma’arif atau Sekolah Pengetahuan Umum dan Maktab-i Ulum-u
Edebiye atau Sekolah Sastera. Pelajar-pelajar untuk kedua-dua sekolah itu dipilih dari lulusan
madrasah yang bermutu tinggi. Selain itu, Sultan Mahmud II juga mendirikan Sekolah Tentera,
Sekolah Teknik, Sekolah Kedoktoran dan Sekolah Pembedahan. Lulusan madrasah banya
meneruskan pelajaran di sekolah-sekolah yang baru didirikannya. Sultan Mahmud II juga
menghantar pelajar-pelajar ke Eropah dan lulusan luar negara ini banyak mengetengahkan
idea-idea baru dalam kerajaan Turki Uthmaniyah.
Kesimpulan
Tanzimat yang dilakukan kerajaan Turki Uthmaniyah bagi mengembalikan
kegemilangannya diteruskan oleh khalifah-khalifah lain seperti Sultan Abdul Hamid II.
Namun, pembaharuan yang dilaksanakan ini telah membawa idea sekular dan peranan ulama
diketepikan sehingga menyebabkan umat Islam berpecah belah.