Sinopsis Mona Si Rambut Pendek
Pada zaman dahulu, terdapat sebuah kampung yang bernama Kampung Sentosa.
Terdapat seorang kanak-kanak bernama Mona. Mona seorang yang sangat baik hati. Mona
mempunyai ramai kawan. Pada suatu hari, Lisa dan keluarganya baru berpindah ke Kampung
Sentosa. Lisa seorang kanak-kanak yang cantik dan bergaya. Rambutnya sentiasa diikat
dengan kemas oleh ibunya. Kanak-kanak di Kampung Sentosa juga tertarik untuk berkawan
dengannya. Namun, Mona sering berseorangan selepas Lisa berpindah ke kampung itu. Dia
tidak lagi bermain dengan kawan-kawannya sekiranya terdapat Lisa di situ. Mona
merasakan dirinya hodoh apabila melihat Lisa.
Suatu hari, Mona keluar dari rumah tanpa memberitahu ibunya. Dia masuk ke dalam
kawasan hutan untuk mencari cara supaya rambutnya menjadi panjang. Dalam
perjalanannya, Mona terjumpa dengan Sang Serigala. Mona merasa sangat takut. Dalam
keadaan ketakutan, Mona memberanikan dirinya untuk memberitahu Sang Serigala
bahawa dia mahu mengambil sedikit bulu Sang Serigala tersebut.
Maka Sang Serigala pun memberikan sedikit bulunya kepada Mona. Mona
menyambung bulu Sang Serigala di rambutnya. Malangnya, bulu Sang Serigala kelihatan
tidak menarik dan kasar. Kemudian Mona membuang bulu Sang Serigala dan meneruskan
perjalanannya.
Dalam perjalanannya, Mona terjumpa pula dengan Sang Angsa dan meminta bulu
pelepah Sang Angsa tersebut. Sang Angsa memberikan sedikit bulu pelepahnya kepada
Mona. Tetapi Mona berasa panas dan berpeluh setelah melekatkan bulu pelepah Sang
Angsa lalu membuangnya.
Mona meneruskan lagi perjalanannya. Di penghujung jalan, Mona ternampak sebuah
pokok yang besar. Pokok tersebut mempunyai banyak daun. Mona mengambil beberapa
helai daun dan meletakkan di rambutnya. Mona berasa puas hati dan berlalu pergi. Ketika
berjalan, daun di rambutnya semakin layu. Daun-daun di rambut Mona kelihatan kering dan
terbang ditiup angin.
Hari semakin gelap. Akhirnya Mona terpaksa pulang ke rumah. Dia berasa sangat
sedih dan hampa kerana tidak dapat menjadikan rambutnya cantik dan panjang. Apabila
Mona tiba di rumahnya, dia kembali melihat dirinya di cermin. Sedang dia melihat dirinya,
Mona terkejut melihat rambutnya yang pendek terlihat sangat cantik dan sempurna
dengannya.
Mona akhirnya sedar bahawa tiada bulu binatang dan daun-daun yang lagi cantik
berbanding rambut yang dia ada. Mona tidak lagi merasa rendah diri. Dia merasa lebih
yakin untuk bermain dengan Lisa. Mona juga tidak lagi merasa dirinya hodoh kerana dia
telah menerima dan sayang akan dirinya. Kini, Mona selalu bermain bersama Lisa dan
kawan-kawannya seperti dahulu.