The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by fahmikhairul.1, 2023-10-29 13:18:57

CamScanner 10-25-2023 13.27

CamScanner 10-25-2023 13.27

Malaysian Journal of Social Sciences and Humanities (MJSSH) (e-ISSN : 2504-8562) 2023, Volume 8, Issue 4, e002244 DOI: https://doi.org/10.47405/mjssh.v8i4.2244 © 2023 by the authors. Published by Secholian Publication. This article is licensed under a Creative Commons Attribution 4.0 International License (CC BY). Persepsi Guru Novis Bahasa Melayu Terhadap Pengaplikasian Peta Pemikiran I-Think dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu (Novice Malay Teacher’s Perception in Application of I-Think Thinking Map in Teaching and Learning of Malay Language) Akmal Idrus1 , Crispina Gregory K Han2* 1Sekolah Kebangsaan Mesapol, Peti Surat 54, 89857, Sipitang, Sabah, Malaysia. Email: [email protected] 2Fakulti Psikologi dan Pendidikan, Universiti Malaysia Sabah, 88400, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia. Email: [email protected] CORRESPONDING AUTHOR (*): Crispina Gregory K Han ([email protected]) KATA KUNCI: Peta Pemikiran i-Think Kemahiran Berfikir Aras Tinggi Guru Novis Bahasa Melayu KEYWORDS: Thinking Map i-Think Higher Order Thinking Skills Novice Malay Teacher CITATION: Akmal Idrus & Crispina Gregory K Han. (2023). Persepsi Guru Novis Bahasa Melayu Terhadap Pengaplikasian Peta Pemikiran IThink dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu. Malaysian Journal of Social Sciences and Humanities (MJSSH), 8(4), e002244. https://doi.org/10.47405/mjssh.v8i4.2244 ABSTRAK Pelaksanaan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) melalui Program i-Think telah berjalan selama lebih daripada sepuluh tahun. Pendedahan kepada peta pemikiran i-Think pada peringkat sekolah melibatkan semua peringkat guru termasuklah guru novis. Peta pemikiran i-Think juga diperkenalkan bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran (PdP) untuk semua mata pelajaran. Justeru, kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti persepsi guru novis bahasa Melayu terhadap pengaplikasian peta pemikiran i-Think dalam PdP bahasa Melayu. Kajian ini dijalankan secara kualitatif dengan kaedah kajian kes yang menggunakan pensampelan bertujuan yang melibatkan lima orang informan di dua buah sekolah rendah di daerah Sipitang, Sabah. Dapatan kajian yang diperoleh mendapati bahawa terdapat tiga dapatan utama yang menunjukkan persepsi positif guru novis bahasa Melayu terhadap pengaplikasian peta pemikiran i-Think dalam PdP bahasa Melayu. Persepsi tersebut adalah berkaitan kebaikan, keberkesanan dan kewajaran menggunakan peta pemikiran i-Think bagi tujuan PdP. Pendedahan kepada pemikiran i-Think sangat penting dalam usaha meningkatkan kemahiran berfikir aras tinggi dalam kalangan murid. ABSTRACT The implementation of Higher Order Thinking Skills (HOTS) through i-Think Program has been running for more than ten years. Exposure to the i-Think thinking map at the school level involves all levels of teachers including novice teachers. I-Think thinking map also being introduced for teaching and learning (T&L) for all subjects. Thus, this study aims to explore the perceptions of novice Malay teachers (NMT) when applying the i-Think thinking map in T&L. This study was conducted qualitatively with a case


Malaysian Journal of Social Sciences and Humanities (MJSSH) (e-ISSN : 2504-8562) © 2023 by the authors. Published by Secholian Publication. This article is licensed under a Creative Commons Attribution 4.0 International License (CC BY). 2 study method using purposive sampling which involves five informants in two primary schools in Sipitang, Sabah. The findings of the the study show three main themes which show positive perspective of novice Malay teachers in the application of i-Think thinking map in Malay T&L. The perception includes the goodness, effectiveness, and propriety of using the i-Think thinking map for T&L purposes. Exposure to the i-Think thinking map is very important in the effort to improve HOTS among students. Sumbangan/Keaslian: Kajian ini menyumbang kepada literatur sedia mengenai persepsi guru terhadap peta pemikiran i-Think dengan memberi fokus kepada persepsi guru novis bahasa Melayu terhadap pengaplikasian peta pemikiran i-Think dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu. 1. Pengenalan Pendidikan di Malaysia pada hari ini menekankan pemikiran secara kritis dan kreatif. Melalui Transformasi Kurikulum Pendidikan di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan (PPPM 2013-2025), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah memperkenalkan satu program yang dikenali sebagai Program i-Think. i-Think merupakan innovative thinking yang bertujuan untuk meningkatkan dan membudayakan kemahiran berfikir dalam kalangan murid ke arah melahirkan insan yang mempunyai pemikiran kreatif, kritis dan inovatif pada masa yang akan datang. Program tersebut merupakan hasil kerjasama antara KPM dan Agensi Inovasi Malaysia (AIM) dengan sepuluh buah sekolah telah dipilih sebagai sekolah rintis dalam pelaksanaan awal program i-Think sebelum program tersebut disebarluaskan ke semua institusi pendidikan seluruh negara. Program i-Think memperkenalkan peta pemikiran i-Think sebagai alat mahupun bahan bantu mengajar kepada guru-guru dan murid-murid seterusnya membawa manfaat ke arah memudahkan penyampaian ilmu pengetahuan serta turut membantu guru mata pelajaran bahasa Melayu dalam proses PdP bahasa Melayu yang berkesan. Kajian ini memberi fokus kepada guru novis bahasa Melayu (GNBM). GNBM merupakan guru pengkhususan bahasa Melayu baharu yang ditempatkan oleh KPM di sekolah seluruh negara. Guru novis yang turut dikenali sebagai guru permulaan juga perlu memantapkan diri dengan pengetahuan, kemahiran dan motivasi agar kompeten dan mampu melahirkan murid yang mampu berdaya saing pada peringkat global. Pengaplikasian peta pemikiran i-Think dalam PdP bahasa Melayu adalah satu perkara yang berguna serta membawa impak positif ke arah pemantapan ilmu pengetahuan dalam kalangan GNBM. Pendedahan kepada peta pemikiran i-Think semasa dalam kursus praperkhidmatan seharusnya membantu guru-guru baharu amnya dan GNBM khasnya dalam mengaplikasikan ilmu mengenai peta pemikiran i-Think semasa proses PdP berlangsung. Penggunaan peta pemikiran i-Think dalam proses PdP membantu guru-guru dalam mencapai objektif pengajaran. Namun begitu, isu-isu tertentu boleh menyebabkan kurangnya keberkesanan peta pemikiran i-Think bagi tujuan PdP. Berdasarkan kajian Nurhafizah et al. (2015), isu yang telah dikenal pasti ialah kurang pendedahan dan kursus yang masih baharu dalam kalangan guru. Kajian tersebut dijalankan pada peringkat awal Program i-Think diperkenalkan kepada guru-guru dalam perkhidmatan. Oleh itu, pengaplikasian peta pemikiran tersebut dalam PdP masih belum mantap. Kajian


Malaysian Journal of Social Sciences and Humanities (MJSSH) (e-ISSN : 2504-8562) © 2023 by the authors. Published by Secholian Publication. This article is licensed under a Creative Commons Attribution 4.0 International License (CC BY). 3 Roselizam et al. (2020), menunjukkan isu yang berkaitan tingkah laku guru terhadap penggunaan peta pemikiran i-Think dalam langkah-langkah pengajaran yang berkaitan set induksi, aktiviti pengajaran, aktiviti penilaian dan rumusan pengajaran bagi mata pelajaran Pendidikan Islam. Hal tersebut menunjukkan guru-guru berada pada tahap sederhana dalam mengaplikasikan peta pemikiran i-Think dalam PdP mereka. Penerapan dan pembangunan kemahiran berfikir aras tinggi dalam kalangan murid adalah amat penting di samping pemerolehan ilmu pengetahuan. Proses pemerolehan ilmu pengetahuan hendaklah berjalan seiring dengan penerapan kemahiran berfikir yang kreatif, kritis dan inovatif. Oleh itu, peranan guru dalam memilih pendekatan pengajaran yang bersesuaian hendaklah diambil perhatian iaitu pendekatan yang digunakan haruslah ke arah penggunaan gambaran, renungan atau bentuk perkataan yang menggalakkan murid agar dapat menggunakan kemahiran berfikir (Hyerle & Alper, 2011). Manakala Abdul Rasid dan Hasmah (2013) pula menyatakan bahawa kecenderungan guru bahasa Melayu dalam menggunakan bakat semata-mata menyebabkan mereka kurang untuk memanfaatkan fungsi bahan bantu mengajar. Hal yang demikian bermakna, peta pemikiran i-Think masih kurang dimanfaatkan sebagai bahan pengajaran dan seterusnya memberi kesan impak terhasap penerapan KBAT dalam kalangan murid. Bagi pelaksanaan sesuatu pengajaran dan kemahiran pula, kompetensi pedagogi juga merupakan suatu perkara penting yang perlu diberi perhatian. Dalam kajian ini, kompetensi pedagogi merujuk pada pengetahuan pengaplikasian peta pemikiran i-Think dalam kalangan GNBM. Menurut Lokman et al. (2014), guru novis berdepan dengan masalah dalam mengaplikasikan ilmu yang diperoleh secara teori semasa dalam pengajian di institusi pengajian tinggi ke dalam situasi sebenar apabila telah bekerja. Transisi daripada guru praperkhidmatan kepada guru permulaan memerlukan mereka berhadapan dengan situasi sebenar guru yang bukan sahaja melaksanakan tugas hakiki iaitu mengajar, malah tugas-tugas sampingan yang lain yang tidak hanya tertumpu kepada PdP di dalam bilik darjah. Walaupun secara teorinya, semua guru novis termasuklah guru novis bahasa Melayu telah mendapat latihan yang sebaiknya daripada institusi latihan masing-masing, namun penerapan teori ke dalam situasi sebenar bukanlah suatu perkara yang mudah 2. Sorotan Literatur Pengaplikasian peta pemikiran i-Think dalam PdP merupakan salah satu pengintegrasian elemen kemahiran abad ke-21 dalam bilik darjah. Penggunaan peta pemikiran i-Think menggalakkan murid untuk menggunakan kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis. Kajian yang dilaksanakan Roselizam et al. (2020) menunjukkan persepsi guru-guru terhadap keberkesanan penggunaan peta pemikiran i-Think semasa menjalankan proses PdP di dalam bilik darjah. Melalui kajian tersebut, responden yang terdiri daripada guruguru Pendidikan Islam mempunyai persepsi penggunaan yang positif terhadap penggunaan peta pemikiran i-Think dalam proses pengajaran di sekolah. Bagi menghasilkan murid yang mempunyai pemikiran kreatif dan kritis, kaedah pengajaran yang bercirikan pembelajaran abad ke-21 adalah amat bertepatan. Dalam konteks kajian ini, peta pemikiran i-Think boleh dimanfaatkan sebagai salah satu kaedah pengajaran kemahiran berfikir terkini dalam sistem pendidikan negara. Pengajaran kemahiran berfikir dalam PdP adalah sangat penting bagi menggalakkan murid agar mampu menghasilkan pemikiran yang rasional.


Malaysian Journal of Social Sciences and Humanities (MJSSH) (e-ISSN : 2504-8562) © 2023 by the authors. Published by Secholian Publication. This article is licensed under a Creative Commons Attribution 4.0 International License (CC BY). 4 Penggunaan peta pemikiran i-Think bukan sahaja dapat meningkatkan amalan pengajaran guru, malah dapat menggalakkan peningkatan prestasi pembelajaran murid. Kenyataan ini disokong oleh dapatan kajian Normah et al. (2018). Dapatan kajian mereka menunjukkan peningkatan pencapaian responden iaitu murid selepas peta pemikiran iThink diaplikasikan PdP. Penggunaan peta pemikiran i-Think dalam PdP sebagai bahan bantu mengajar membantu dalam meningkatkan dan mengekalkan minat murid dalam mata pelajaran yang diajar. Begitu juga kajian yang dilaksanakan oleh Rosnidar et al. (2015), mengenai keberkesanan penggunaan peta pemikiran i-Think terhadap pencapaian dan minat murid. Dapatan kajian mereka tersebut menunjukkan penggunaan peta pemikiran iThink dalam PdP membantu guru dalam meningkatkan pencapaian dan minat murid bagi tajuk Sifat Bahan. Hasil kajian tersebut boleh dijadikan panduan kepada pihak-pihak berkepentingan seperti guru, sekolah dan pemegang taruh dalam sistem pendidkan. Kajian yang dijalankan oleh Zarina dan Wan Muna (2021) menunjukkan perspektif guru senior bahasa Melayu dalam penggunaan peta pemikiran i-Think dalam PdP. Berdasarkan kajian mereka, dapat dilihat persepsi yang positif terhadap penggunaan peta pemikiran i-Think. Antaranya ialah guru-guru yang menjadi responden kajian berpendapat bahawa peta pemikiran i-Think dapat membantu meningkatkan KBAT murid, memudahkan murid mengingat isi pelajaran serta membawa perubahan emosi yang positif seperti seronok dan murid lebih aktif serta memberi tumpuan. Penggunaan peta pemikiran i-Think dilihat membawa manfaat kepada kemenjadian murid dalam konteks pengetahuan, kemahiran dan juga sikap. Dapatan kajian Rohaida dan Zamri (2015) juga selaras dengan dapatan kajian tersebut. Melalui kajian mereka mengenai penggunaan peta pemikiran i-Think dalam pengajaran penulisan, didapati bahawa alat berfikir tersebut boleh berfungsi sebagai alat pembelajaran yang dapat membantu murid lebih memahami isi kandungan pelajaran, meningkatkan prestasi dan minat murid dalam penulisan. Kajian tersebut menunjukkan penggunaan kaedah peta pemikiran mampu merangsang penghasilan idea seterusnya membantu murid menyusun idea agar dapat menghasilkan karangan yang baik dan gramatis. Mohd Zikri Ihsan et al. (2019) pula dalam kajian mereka telah menyimpulkan bahawa pengajaran yang menggunakan kaedah yang bersifat terkini seperti peta pemikiran iThink adalah lebih berkesan daripada kaedah yang bersifat tradisional. PdP menggunakan peta pemikiran sebagai alat bantu mengajar merupakan satu kaedah pengajaran yang terkini dan membolehkan guru untuk berkreativiti semasa menggunakan peta tersebut bagi memastikan PdP menjadi lebih berkesan dan menarik. 3. Metod Kajian 3.1. Reka Bentuk Kajian Kajian ini menggunakan pendekatan penyelidikan kualitatif dengan strategi kajian kes. Kajian kes merupakan strategi pengumpulan data dengan pengkaji turun padang dan melihat sendiri suasana sebenar melalui pemerhatian, temu bual dan kaedah lain yang sesuai berdasarkan tempat kajian (Siti Arni et al., 2016). Oleh itu, kaedah pengumpulan data ini sangat bertepatan dengan konsep kajian kualitatif.


Malaysian Journal of Social Sciences and Humanities (MJSSH) (e-ISSN : 2504-8562) © 2023 by the authors. Published by Secholian Publication. This article is licensed under a Creative Commons Attribution 4.0 International License (CC BY). 5 3.2. Pensampalen Pemilihan sampel kajian adalah menggunakan sampel bertujuan yang berasaskan kepada andaian bahawa pengkaji mahu meneroka, mengetahui dan memahami, maka maklumat banyak boleh diperoleh daripada responden (Merriam, 2009). Dalam kajian yang berbentuk kualitatif ini, kajian ini tidak memberi tumpuan terhadap pengumpulan data atau maklumat yang banyak, sebaliknya kaedah penyelidikan menekankan terhadap usaha untuk memperoleh data dan maklumat yang terbaik dengan jumlah sampel yang sedikit (Azizah, 2004). Dalam kajian ini, lima orang informan kajian telah dikenal pasti dan dipilih. Oleh itu, jumlah informan yang telah ditetapkan oleh pengkaji adalah bersesuaian mengikut ciri kajian kualitatif yang tidak memerlukan sampel yang besar, namun data yang berkualiti yang hendak dikumpulkan bagi memenuhi objektif kajian dan menjawab persoalan kajian. Informan yang dipilih adalah dari dua buah sekolah yang berlainan. Pemilihan informan ini juga adalah berdasarkan kriteria ketat iaitu berkaitan pengkhususan guru iaitu bahasa Melayu, pengalaman mengajar guru yang kurang daripada tiga tahun, masih dalam tempoh percubaan dan belum disahkan dalam perkhidmatan. 3.3. Instrumen Kajian Instrumen kajian yang digunakan dalam kajian ini adalah protokol temu bual. Temu bual dijalankan oleh pengkaji secara lisan untuk semua peserta kajian. Temu bual dirakamkan oleh pengkaji. Setelah temu bual dilaksanakan, semua rakaman audio semasa temu bual ditranskripsikan secara verbatim dan dianalisis. Temu bual berbentuk separa struktur digunakan. Soalan temu bual disediakan secara formal dan spontan berdasarkan objektif kajian yang berkaitan dengan persepsi GNBM dalam pelaksanaan PdP bahasa Melayu menggunakan peta pemikiran i-Think. 4. Hasil Kajian Penyelidik menemu bual lima orang informan yang terdiri daripada guru novis bahasa Melayu. Guru-guru tersebut dilabel sebagai Guru A, B, C, D dan E. Terdapat tiga tema utama yang diperoleh daripada analisis kajian berkaitan persepsi GNBM dalam mengaplikasikan peta pemikiran i-Think semasa PdP bahasa Melayu iaitu kebaikan, keberkesanan dan kewajaran menggunakan peta pemikiran i-Think. 4.1. Kebaikan Berdasarkan respons yang diberikan oleh para informan, didapati kesemua informan mempunyai persepsi yang menjurus ke arah kebaikan penggunaan peta pemikiran iThink bagi tujuan PdP. Guru A menyatakan pandangan mengenai kebaikan dalam menggunakan peta pemikiran i-Think yang membawa manfaat kepada murid dalam proses PdP yang dilaksanakan. Manfaat yang dinyatakan adalah berkaitan dengan kebaikan peta pemikiran tersebut sebagai bahan bantu mengajar yang membantu guru melaksanakan PdP bahasa Melayu. ... Peta i-Think membantu sebagai bahan bantu mengajar. Lagipun i-Think dianggap sebagai alat berfikir. Sesuai digunakan untuk menyampaikan apa yang mau diajar di kelas … (Guru A)


Malaysian Journal of Social Sciences and Humanities (MJSSH) (e-ISSN : 2504-8562) © 2023 by the authors. Published by Secholian Publication. This article is licensed under a Creative Commons Attribution 4.0 International License (CC BY). 6 Guru B dan guru C pula menyatakan bahawa peta pemikiran i-Think memudahkan guru menyampaikan kandungan pelajaran yang telah dirancang sebelum melaksanakan pengajaran yang sebenar dalam bilik darjah. ... Peta i-Think ni konsep dia macam peta minda. Cuma dia ada fungsi Ikut jenis. Dalam BM, peta i-Think ni boleh diguna untuk sampaikan maklumat, latihan dan memudahkan guru untuk mengajar … (Guru B) ... Peta pemikiran i-Think ni bagi saya memang sesuai la digunakan untuk mengajar bahasa Melayu sebab dapat memudahkan murid untuk memahami sesuatu topik yang diajar dengan lebih mudah selain dapat melatih murid pembelajaran kendiri …. (Guru D) Respons yang diberikan oleh guru C turut menunjukkan bahawa peta pemikiran iThink membawa kebaikan kepada proses pelaksanaan PdP bahasa Melayu. ... Pada pendapat sayalah, penggunaan peta pemikiran i-Think dalam bahasa Melayu adalah sesuai kerana dapat meningkatkan kemahiran berfikir aras tinggi dalam kalangan murid. Penggunaan i-Think secara tidak langsung membolehkan kita untuk melatih serta meningkatkan KBAT murid melalui aktiviti menjana idea, mencari maksud tersurat dan tersirat di samping dapat membantu murid untuk memahami dengan jelas tentang sesuatu maklumat … (Guru C) ... Murid-murid berupaya untuk terjemah kefahaman dorang tentang satu-satu topik dalam bentuk yang lebih mudah melalui pemilihan peta i-Think yang sesuai … (Guru C) Kesemua informan turut memberi respons yang sama terhadap soalan temu bual yang menjurus kepada persepsi mengenai kebaikan peta pemikiran i-Think iaitu kos penyediaan bahan yang murah dan berpatutan. ... Penyediaan peta i-Think tidak melibatkan sebarang kos. Paling-paling dakwat marker pen saja. Kalau guna printer, kos kertas dengan ink printer sahaja … (Guru A) ... Penggunaan peta i-Think tidak melibatkan kos yang tinggi. Sebab i-Think ni mudah sahaja. Kita lukis, kita suruh murid lukis. Jadi tiada kos sangat pun keluar. Kalau mahu lagi kemas, kita print la peta kosong … (Guru B) ... Setakat ni tidak melibatkan sebarang kos yang berjumlah besar. Paling-paling pun guna kertas atau cetak sendiri … (Guru C) ... Bagi saya, tidaklah melibatkan kos yang banyak pun. Kita hanya perlu lukis di papan tulis atau paling senang, kita print saja sebagai edaran untuk murid. Kalau edar terus yang sudah


Malaysian Journal of Social Sciences and Humanities (MJSSH) (e-ISSN : 2504-8562) © 2023 by the authors. Published by Secholian Publication. This article is licensed under a Creative Commons Attribution 4.0 International License (CC BY). 7 berprint lagi cepat kerja. Sebab kita tau la kan kalau lukis sendiri ni macam mana … (Guru D) ... Memang adalah juga kos tu. Cuma tidaklah sebesar mana. Paling-paling guna kertas A4 sama ink printer. Kalau betul-betul mau jimat atau cepat, suruh murid lukis sendiri … (Guru E) Selain itu, persepsi yang timbul bagi tema kebaikan peta pemikiran i-Think kepada guru bahasa Melayu yang menjadi informan dalam kajian ini adalah berkaitan penyediaan bahan yang tidak membebankan. Guru C berpendapat bahawa penyediaan bahan berkaitan peta pemikiran i-Think tidak memberi beban. ... Bagi saya, penyediaan bahan berkaitan i-Think tidak membebankan sama sekali. Pada masa kini, kita boleh mencari bahan yang diperlukan daripada pelbagai sumber yang melalui teknologi maklumat. Tambahan pula peta ini boleh boleh dilukis oleh sendiri oleh murid-murid … (Guru C) Kenyataan tersebut turut disokong oleh Guru D yang turut berpendapat bahawa penyediaan bahan berkaitan peta pemikiran i-Think tidak membebankan guru-guru. ... Penyediaan bahan berkaitan i-Think ni tidaklah menbebankan kerana contoh peta i-Think sudah ada, tinggal kita untuk lukis, tulis ataupun mahu print sahaja. Kalau saya, saya pilih benda yang mudah macam mau menyediakan bahan peta i-Think ni. Yala kan, buat apa mau buat yang susah-susah kalau boleh buat yang mudah … (Guru D) 4.2. Keberkesanan Keberkesanan penggunaan peta pemikiran i-Think turut dikenal pasti sebagai tema dalam melihat persepsi guru-guru novis bahasa Melayu yang dijadikan informan. Jika dilihat pada respons yang diberikan oleh guru A, keberkesanan peta pemikiran i-Think dalam sesi PdP adalah berdasarkan kemampuan murid menerima dan memahami isi pelajaran. … Pendapat sayalah, keberkesanan penggunaan peta pemikiran iThink adalah mengikut kemampuan murid. Ada murid yang cepat tangkap, laju saja dia buat kerja ikut i-Think tu. Jadi kira berkesan lah tu kan bantu mereka berfikir. Ada juga murid yang lambat sikit, perlu dibantu sampailah mereka betul-betul menguasai i-Think … (Guru A) Kenyataan tersebut turut disokong oleh respons yang diberikan oleh Guru B yang menyatakan bahawa keberkesanan peta pemikiran i-Think adalah berdasarkan kefahaman murid. ... Kalau kira, i-Think ni berkesan ikut kefahaman murid la. Bila murid faham sudah konsep i-Think, jadi mudahlah murid gunakan. Peranan guru juga mau kasi faham budak ni sebenarnya … (Guru B)


Malaysian Journal of Social Sciences and Humanities (MJSSH) (e-ISSN : 2504-8562) © 2023 by the authors. Published by Secholian Publication. This article is licensed under a Creative Commons Attribution 4.0 International License (CC BY). 8 Respons yang diberikan oleh guru C, guru D dan guru E juga menunjukkan dapatan yang hampir sama berkaitan pandangan mereka mengenai keberkesanan peta pemikiran i-Think dalam kalangan murid adalah berdasarkan kefahaman murid terhadap konsep peta pemikiran i-Think dan kemampuan mereka memahaminya. … Bagi saya, itu bergantung kepada kemampuan murid yang kita ajar tu sendiri. Bagi murid yang cerdas mereka mampu menyelesaikan kerja yang diberi dengan lebih cepat menggunakan peta pemikiran. Berbeza dengan murid yang tahap sederhana atau kurang sikit. Mereka perlu dibimbing oleh guru … (Guru C) … Penggunaan i-Think ini bergantung kepada murid juga. Ada sesetengah murid yang dapat menjana idea sendiri berdasarkan bahan yang diberi dan mengolah bahan tersebut dalam bentuk iThink tetapi ada sebahagian murid yang agak lambat untuk mengolah bahan tersebut ke dalam bentuk lain … (Guru D) ... Keberkesanan i-Think ni bergantung kepada pemahaman murid tu sendiri terhadap pertama peta i-Think tu sendiri. Yang ini maksudnya, adakah murid tu faham dan tahu guna peta iThink tu untuk apa. Kedua, pemahaman murid mengenai topik yang dipelajari. Jadi sekiranya, murid memang faham konsep dan penggunaan peta I-Think yang betul dan juga dapat mengaplikasikan i-Think tu mengikut topik yang diajar oleh guru, kira berkesan la penggunaan i-Think tu semasa proses pengajaran … (Guru E) 4.3. Kewajaran Melalui respons yang diberikan oleh kesemua informan, tema kewajaran turut dikenal pasti dalam persepsi GNBM terhadap pengaplikasian peta pemikiran i-Think dalam PdP bahasa Melayu. Kewajaran dalam konteks ini adalah merujuk kepada kewajaran peta pemikiran i-Think untuk digunakan dan diteruskan penggunaannya dalam PdP bahasa Melayu. Kesemua informan menunjukkan persepsi yang sama mengenai kewajaran peta pemikiran i-Think untuk digunakan dan diteruskan penggunaannya dalam PdP bahasa Melayu. Misalnya, respons yang diberikan oleh, guru C dan guru D. ... Bagi saya wajar diteruskan. Sebab dapat memudahkan murid untuk faham apa yang dipelajari dalam bentuk yang lebih mudah dengan syarat guru hendaklah memahami dengan jelas setiap fungsi setiap jenis peta pemikiran itu. Di samping itu, dapat membimbing murid untuk mengenali kaedah yang mudah untuk mereka mencatat maklumat. Penggunaan peta pemikiran ini bukan sahaja digunakan dalam pendidikan semata-mata. Tapi murid juga boleh mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian … (Guru C) ... Peta i-Think ni wajar diteruskan dalam PdP untuk


Malaysian Journal of Social Sciences and Humanities (MJSSH) (e-ISSN : 2504-8562) © 2023 by the authors. Published by Secholian Publication. This article is licensed under a Creative Commons Attribution 4.0 International License (CC BY). 9 meningkatkan KBAT dalam kalangan murid. Peta i-Think ni alat berfikir yang diperkenal KPM. Jadi mesti benda ni bawa manfaat kepada murid-murid kan kalau kita gunakan dalam sesi PdP. Kita dapat latih KBAT supaya lagi kritis dan kreatif … (Guru D) Berdasarkan temu bual ke atas kelima-lima orang informan tersebut, dapatlah dikenal pasti bahawa persepsi guru terhadap pengaplikasian peta pemikiran i-Think dalam PdP bahasa Melayu adalah sangat positif. Penggunaan peta pemikiran tersebut mengikut pandangan guru novis bahasa Melayu dilihat membawa kebaikan kepada guru dalam menyampaikan isi pelajaran dan turut memudahkan murid untuk memahami perkara yang diajarkan oleh guru. Bahan pengajaran yang digunakan bagi menghasilkan peta pemikiran i-Think pada peringkat perancangan dan penyediaan juga tidak melibatkan kos yang besar dan tidak membebankan guru. Persepsi guru-guru yang ditemu bual turut menunjukkan bahawa mereka bersetuju bahawa penggunaan peta pemikiran i-Think mempunyai keberkesanan yang berbeza-beza yang bergantung kepada kefahaman dan juga kemampuan murid. Setiap murid mempunyai kefahaman dan kemampuan yang berbeza dalam menerima suatu pengetahuan, maklumat dan informasi yang baharu. Justeru, keberkesanan pengaplikasian peta pemikiran i-Think dalam kalangan murid adalah tidak sama mengikut individu. Seterusnya, kesemua informan turut bersetuju bahawa penggunaan peta pemikiran i-Think yang boleh dimanfaatkan sebagai alat berfikir wajar untuk diteruskan penggunaannya bagi tujuan PdP atas impak positif dan keperluan untuk membudayakan KBAT dalam kalangan murid. 5. Perbincangan Kajian Peta pemikiran i-Think adalah satu kaedah pengajaran terkini yang boleh digunakan guru dalam melaksanakan sesi PdP. Dapatan kajian berdasarkan perspektif GNBM memberi gambaran umum mengenai penggunaan peta pemikiran i-Think diterima secara positif dalam kalangan guru. Dapatan kajian menunjukkan terdapat respons mengenai kebaikan peta pemikiran i-Think. Peta pemikiran i-Think membawa manfaat sebagai bahan bantu mengajar yang membantu guru semasa proses PdP bahasa Melayu. Dapatan kajian ini selaras dengan dapatan kajian Mohd Zikri Ihsan et al. (2019). Dapatan kajian tersebut menunjukkan bahawa pengajaran menjadi lebih efektif dengan penggunaan peta pemikiran i-Think berbanding pengajaran yang menggunakan kaedah tradisional. Proses PdP yang memanfaatkan peta pemikiran i-Think membolehkan guru untuk lebih berkreativiti semasa PdP. Penggunaan peta pemikiran tersebut secara kreatif dan disesuaikan mengikut topik pengajaran membolehkan guru mengaplikasikannya sebagai bahan atau alat bantu mengajar yang membawa manfaat kepada proses pemerolehan ilmu pengetahuan yang bermakna kepada murid-murid. Seterusnya, dapatan kajian pengkaji berkaitan persepsi GNBM juga menunjukkan kebaikan peta pemikiran i-Think yang membantu memudahkan guru dalam menyampaikan kandungan pelajaran yang telah dirancang sebelum melaksanakan pengajaran yang sebenar dalam bilik darjah. Dapatan tersebut selaras dengan dapatan kajian Zarina dan Wan Muna (2021). Dapatan kajian mereka menunjukkan bahawa guruguru yang menjadi peserta kajian memberi respons yang positif mengenai penggunaan peta pemikiran i-Think yang membantu guru dalam proses PdP dan seterusnya membantu dalam meningkatkan KBAT murid, memudahkan murid mengingat isi


Malaysian Journal of Social Sciences and Humanities (MJSSH) (e-ISSN : 2504-8562) © 2023 by the authors. Published by Secholian Publication. This article is licensed under a Creative Commons Attribution 4.0 International License (CC BY). 10 pelajaran serta membawa perubahan emosi yang positif seperti seronok dan murid lebih aktif serta memberi tumpuan semasa PdP. Dapatan kajian Zarina dan Wan Muna (2021) turut selaras dengan dapatan kajian pengkaji bagi konteks kebaikan peta pemikiran i-Think membantu memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Hal yang demikian menunjukkan bahawa penggunaan peta pemikiran i-Think dalam proses PdP membolehkan berlakunya proses PdP yang lebih berimpak positif kerana fungsi peta pemikiran i-Think dapat memudahkan penyampaian isi serta kandungan pelajaran dengan lebih efektif berbanding pengajaran menggunakan kaedah tradisional. Seterusnya, dapatan kajian Zarina Ashikin et al. (2021) pula menunjukkan dapatan yang bertentangan dengan dapatan kajian pengkaji mengenai kebaikan peta pemikiran iThink yang membantu memudahkan guru dalam menyampaikan isi pelajaran. Dapatan kajian tersebut menunjukkan bahawa terdapat responden dalam kajian tersebut yang merasakan peta pemikiran i-Think adalah membebankan. Dapatan kajian yang bertentangan tersebut tidaklah menggambarkan keburukan penggunaan peta pemikiran i-Think secara keseluruhan. Persepsi yang positif atau negatif adalah mengikut individu masing-masing dan tidak sama antara individu yang berbeza. Dapatan kajian pengkaji yang seterusnya mengenai persepsi GNBM adalah berkaitan keberkesanan peta pemikiran i-Think tersebut dalam PdP bahasa Melayu. Keberkesanan penggunaan peta pemikiran i-Think dalam sesi PdP adalah berdasarkan kemampuan dan kefahaman murid terhadap perkara yang diajarkan oleh guru. Dapatan kajian tersebut selaras dengan dapatan kajian Rosnidar et al. (2015). Dapatan kajian yang diperoleh daripada kajian tersebut menunjukkan peta pemikiran iThink berkesan dalam membantu meningkatkan pencapaian dan minat murid. Kemampuan dan kefahaman murid memahami konsep peta pemikiran i-Think membolehkan pengaplikasian peta pemikiran i-Think dalam PdP menjadi lebih efektif seterusnya meningkatkan pencapaian murid dan minat murid terhadap mata pelajaran yang diajar. Dalam konteks ini, kemampuan dan kefahaman murid terhadap konsep peta pemikiran i-Think berkait rapat dengan kaedah yang digunakan oleh guru dalam mengaplikasikan peta pemikiran tersebut dalam pengajaran dalam bilik darjah. Setiap guru mempunyai kaedah mereka yang tersendiri dalam melaksanakan sesi PdP. Oleh itu, guru memainkan peranan yang sangat penting dalam memilih kaedah pengajaran yang sesuai dengan mengaplikasikan peta pemikiran i-Think secara optimum agar sesi PdP berjalan lancar dan objektif pembelajaran tercapai pada akhir sesi PdP. Dapatan kajian pengkaji yang terakhir berkaitan persepsi GNBM terhadap pengaplikasian peta pemikiran i-Think ialah berkaitan kewajaran peta pemikiran i-Think dalam PdP bahasa Melayu. Peta pemikiran i-Think sesungguhnya wajar untuk digunakan dan diteruskan dalam sesi PdP bahasa Melayu. Dapatan tersebut selaras dengan dapatan kajian Nik Rosnizasuzila et al,. (2015). Dapatan kajian tersebut menunjukkan bahawa Program i-Think wajar untuk dilaksanakan supaya pemikiran murid dapat dirangsang sesuai dengan pendidikan pada masa kini. Keberkesanan peta pemikiran i-Think dalam sesi PdP tidak dapat dinafikan dengan melihat kepada dapatan kajian-kajian lepas. Dapatan daripada kajian tersebut turut menyatakan bahawa peta pemikiran i-Think sangat penting dan harus diteruskan pada masa yang akan datang. Peta pemikiran iThink boleh dijadikan sebagai alat berfikir dan bermanfaat dalam meningkatkan KBAT. Pengaplikasian peta pemikiran i-Think dalam sesi PdP bahasa Melayu wajar untuk


Malaysian Journal of Social Sciences and Humanities (MJSSH) (e-ISSN : 2504-8562) © 2023 by the authors. Published by Secholian Publication. This article is licensed under a Creative Commons Attribution 4.0 International License (CC BY). 11 diteruskan lantaran kebaikan yang boleh diperoleh dalam membantu guru dalam proses PdP seterusnya membantu dalam penyaluran ilmu berkaitan bahasa dapat dimaksimumkan. 6. Implikasi Implikasi daripada kajian, persepsi yang positif dapat dilihat dalam kalangan guru mengenai peta pemikiran i-Think yang telah diaplikasikan ke proses pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu. Peta pemikiran tersebut merupakan satu kaedah yang diperkenalkan oleh KPM dalam usaha bagi membantu guru untuk menerapkan KBAT dalam kalangan murid. Dengan itu, kemahiran berfikir murid akan dapat dikembangkan dengan lebih berkesan. Bagi memudahkan proses PdP yang merangkumi semua mata pelajaran, peta pemikiran i-Think yang mempunyai pelbagai fungsi mengikut jenis pemikiran merupakan satu kaedah yang boleh dipertimbangkan untuk diaplikasikan di dalam bilik darjah. Hal yang demikian bermakna, guru perlu bijak dan kreatif dalam menggunakan peta pemikiran mengikut cara dan kefahaman mereka agar fungsi peta pemikiran i-Think sebagai alat atau bahan bantu mengajar dapat dimanfaatkan sebaik mungkin. Oleh itu, guru perlu mempunyai memiliki kesedaran dan kemahuan untuk menambah baik kemahiran dan pengetahuan pedagogi agar keberkesanan proses pengajaran dapat dilihat dengan jelas seperti mana yang diinginkan. Kajian ini turut memberi impikasi bahawa wujudnya kepelbagaian kaedah pengaplikasian peta pemikiran i-Think yang boleh diaplikasikan guru secara kreatif. Dengan pengalaman budaya berfikir yang tinggi dalam kalangan guru, sudah semestinya membantu para guru untuk mengaplikasikan peta pemikiran i-Think mengikut kaedah mereka tersendiri. Kaedah pengajaran yang bergerak seiring dengan keperluan pendidikan yang menekankan kepada kemahiran berfikir seperti peta pemikiran i-Think perlu diteruskan dan dibudayakan agar KBAT dalam kalangan murid dapat ditingkatkan. 7. Kesimpulan Secara keseluruhannya, KPM telah memperkenalkan peta pemikiran i-Think sebagai satu alternatif dalam mempelbagaikan kaedah PdP bagi semua mata pelajaran amnya dan mata pelajaran bahasa Melayu khasnya. Peta pemikiran i-Think yang berfungsi sebagai alat berfikir dalam Program i-Think sesungguhnya masih relevan untuk digunakan bagi PdP pada hari ini walaupun telah lama diperkenalkan sejak tahun 2013 lagi. Dalam konteks persepsi guru semasa mengaplikasikan peta pemikiran i-Think bagi tujuan pengajaran, kita perlu sedar bahawa setiap individu mempunyai persepsi yang berbeza sama ada berbentuk positif mahupun negatif. Hal tersebut bergantung kepada pengalaman yang dilalui semasa menggunakan peta pemikiran tersebut semasa mengajar yang seterusnya memberikan guru sudut pandang mereka yang tersendiri. Guru perlu bijak dalam menyesuaikan jenis peta pemikiran i-Think mengikut topik pengajaran dalam bilik darjah. Peta pemikiran i-Think dalam Program i-Think sesungguhnya mempunyai kebaikan dan kelemahannya yang tersendiri. Konklusinya, manfaat peta pemikiran i-Think dalam memudahkan proses PdP guru tidak boleh dinafikan atas dasar kepentingan penerapan kemahiran berfikir yang berkualiti yang seterusnya membawa impak positif ke atas pembelajaran murid.


Malaysian Journal of Social Sciences and Humanities (MJSSH) (e-ISSN : 2504-8562) © 2023 by the authors. Published by Secholian Publication. This article is licensed under a Creative Commons Attribution 4.0 International License (CC BY). 12 Kelulusan Etika dan Persetujuan untuk Menyertai Kajian Para penyelidik menggunakan garis panduan etika penyelidikan yang disediakan oleh Jawatankuasa Penyelidikan dan Inovasi, Universiti Malaysia Sabah. Semua prosedur yang dilakukan dalam kajian ini yang melibatkan subjek manusia telah dijalankan sesuai piawaian etika jawatankuasa penyelidikan institusi. Kebenaran dan persetujuan mengikuti kajian turut diperoleh daripada semua peserta kajian dan turut mendapat kebenaran daripada Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan (BPPDP, KPM) Penghargaan Terima kasih diucapkan kepada para peserta kajian, pentadbir sekolah dan penyelia yang telah banyak membantu dalam menjayakan dan menyempurnakan kajian ini. Kewangan Kajian ini tidak mendapat sebarang bantuan kewangan atau sebarang tajaan daripada mana-mana pihak. Konflik Kepentingan Penulis tidak mempunyai sebarang konflik kepentingan dalam menjalankan dan penerbitan artikel ini. Rujukan Azizah Hamzah. (2004). Kaedah Kualitatif dalam Penyelidikan Sosiobudaya. Jurnal Pengajian Media Malaysia, 6(1), 1-10. Abdul Rasid Jamian & Hasmah Ismail (2013). Pelaksanaan Pembelajaran Menyeronokkan Dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu. Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu, 3(2), 49-63. Hyerle, D., & Alper, L. (2011). Student Sucess With Thinking map Second Edition (second edition). United States of America: Corwin A SAGE Company. Lokman Mohd Tahir, Mohd Nihra Mohd Said, Roslee Ahmad, Khadijah Daud, Bambang Sumitono & Suhana Yusoff. (2014). Exploring the Induction Program for Novice Teachers. Life Science Journal, 11(8), 394-406. Merriam, S. B. (2009). Qualitative research: A guide to design and implementation. San Fransisco: Jossey-Bass. Mohd Zikri Ihsan Mohamad Zabhi, Shamsudin Othman, Abdul Rasid Jamian & Azhar Md. Sabil. (2019). Penggunaan Peta Pemikiran Dalam Pembelajaran Cerpen Komsas Tingkatan Lima. Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu, 9(1), 47-55. Nik Rosnizasuzila Nik Hassan, Azlina Mohd Kosnin & Zakiah Mohamad Ashari. (2015). Keperluan Modul i-Think dalam Proses Pengajaran dan Pembelajaran di Sekolah. In:2nd International Education Postgraduate Seminar, 20-21 Dis, 2015, Johor Bahru, Johor. Normah Zakaria, Azita Ali, Nur Izeanty Hamidon & Suhaili Abd Rasap. (2018.) Aplikasi Peta Pemikiran i-Think dalam Meningkatkan Kemahiran Berfikir ArasTinggi (KBAT). Online Journal for TVET Practitioners, 3, 19-26.


Malaysian Journal of Social Sciences and Humanities (MJSSH) (e-ISSN : 2504-8562) © 2023 by the authors. Published by Secholian Publication. This article is licensed under a Creative Commons Attribution 4.0 International License (CC BY). 13 Nurhafizah Zaidi, Roslinda Rosli, & Mohamed Yusoff Mohd Nor. (2015). Aplikasi Peta Pemikiran i-Think Dalam Proses Pengajaran dan Pembelajaran Matematik. World Academic And Research Congres 2015. Rohaida Yusop & Zamri Mahamod. (2015). Keberkesanan Peta Pemikiran (I-Think) dalam Meningkatkan Pencapaian Penulisan Bahasa Melayu Pelajar Tahun 6. Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu, 5(2), 31-37. Roselizam Daud, Roslan Ab Rahman & Noradilah Abdul Wahab. (2020). Sikap dan Tingkah Laku Guru Terhadap Penggunaan Peta Pemikiran i-Think dalam Proses Pengajaran Pendidikan Islam di Sekolah. Asian People Journal (APJ), 3(2), 24-35. Rosnidar Mansor, Haeidatul Nashrah Hassan, Norazilawati Abdullah & Nik Azmah Nik Yusof. (2015). Keberkesanan Penggunaan i-Think Terhadap Pencapaian dan Minat Murid dalam Tajuk Sifat Bahan, Sains Tahun 4. Jurnal Pendidikan Sains & Matematik Malaysia, 5(2), 98-116. Siti Arni Basir, Nurul Syafiyah Mohd Noor, Mohd Zaidi Abd Rahman & Monika @ Munirah Abd Razzak. (2016). Peranan Pemimpin dalam Pelaksanaan Etika Kerja Islam: Kajian Kes di Johor Corporation (JCorp). Jurnal Usuluddin, 44, 45-84. Zarina Abu Baker & Wan Muna Ruzanna Wan Mohammad. (2021). Keberkesanan Penggunaan peta i-Think Dalam Kalanngan Guru Senior Bahasa Melayu Sekolah Kebangsaan Di Daerah Seremban. Jurnal Dunia Pendidikan, 3(2), 32-43. Zarina Ashikin Zakaria, Norhana Abdullah, Normazla Ahmad Mahir, Suzannah Selamat & Kharyati Md Bahir. (2021). Kesan Penggunaan Peta Pemikiran Dalam Program iThink Terhadap Peningkatan Tahap Penguasaan Pelajar Dalam Mata Pelajaran Pendidikan Islam. Jurnal Sains Insani, 6(1), 150-154.


Click to View FlipBook Version