KEJORA DI HATI AYAH
Oleh : Siti Noramelia binti Md.Azrin
Langit hatiku mendung kembali. Awan-awan kesedihan berarak menyimpan cerita
pilu. Sesekali langit kesedihanku menjuraikan gerimis apabila aku mengenangkan
nasib diri. Aku bukannya tidak bersyukur dengan nikmat dan takdir yang ditentukan
Tuhan kepadaku. Aku pasrah kerana aku adalah insan yang terpilih diberi dugaan
dan cabaran dalam menempuhi kehidupan. Cuma sebagai insan biasa kadang kala
aku tewas juga dengan liku-liku perjalanan hidupku. Aku berasa kerdil berada dalam
kalangan adik-beradikku yang lain. Sebagai anak sulung aku tahu kedua ibu bapaku
mengharapkan puteri sulungnya merupakan insan yang sempurna, sebaliknya hati
mereka diulit kehampaan kerana zuriat yang ditunggunya selama ini hanyalah zuriat
yang serba kekurangan. Awan pilu masih lagi di langit hatiku. Entah bila mentari
menyinari seluruh alamku yang gulana.
Kata orang aku insan istimewa. Insan yang akan membawa tuah dalam
kehidupan keluargaku. Aku cuba mencari di mana keistimewaan itu, namun yang
kucari tidak kutemui. Bagai mencari jarum yang patah dalam jerami padi. Atau
mencari kerdipan bintang yang ditutup awan kerana hujan bakal turun membasahi
bumi apabila musim tengkujuh tiba. Kata-kata itu juga tidak bisa menyejukkan hati
ayahku, malah aku bagaikan bebanan baginya. Bukan kaca apatah lagi mutiara.
Mungkin hanya palitan lumpur yang memalukannya dengan kurniaan yang tidak
diduga ini.
1
Aku menyingkap tabir yang menutupi jendela. Melihat bintang-bintang yang
berkerdipan di dada langit. Bulan yang mengambang seakan menemani bintang-
bintang sehingga panorama alam begitu indah sekali. Aku ingin sekali menjadi seperti
bulan yang dipagari bintang. Aku juga ingin menjadi seperti bulan yang memancarkan
cahaya kepada alam, tetapi aku tetap aku yang tidak mampu untuk memberi cahaya
kebahagiaan kepada keluargaku. Aku umpama langit yang terlitup awan hitam
sehingga kegelapan membekam kehidupan. Aku ingin menjadi anak kebanggan
ayahku,namun hanya kekesalan tentang kelahiranku jua memenuhi setiap dinding
kalbunya.
Aku tidak pernah meminta dilahirkan begini, gadis sunti yang serba
kekurangan. Ayahku kecewa kerana dikurniakan anak sepertiku. Sepertimana yang
kunyatakan, aku adalah anak sulung dan juga anak harapan ayah dan ibu. Semasa
aku dilahirkan ayahku tidak menyangka aku adalah ‘anak istimewa’ tetapi apabila
usiaku menginjak kedua tahun, kekuranganku itu dapat dihidu apabila aku begitu
sukar untuk meniarap, merangkak dan seterusnya berjalan.. Semuanya ini aku
ketahui apabila ayahku meluahkan perasaannya kepada ibu dan nenek ketika aku
sudah berusia tujuh tahun. Perbualan mereka kudengar ketika nenek berkunjung ke
rumahku. Perbualan mereka di ruang tamu aku terdengar ketika aku menolak daun
pintu. Aku sudah boleh berdiri dan berjalan setelah ibu membawaku melakukan
fisioterafi di hospital. Rupa-rupanya kejayaanku berjalan seperti kanak-kanak yang
lain belum cukup menggembirakan ayahku.
Semasa usiaku tujuh tahun aku bersekolah di SK Mutiara yang ada
menempatkan murid-murid istimewa sepertiku apabila hasil rawatan doktor, aku
didapati mengalami masalah pembelajaran kerana mengalami gangguan iaitu
masalah disleksia. Apabila aku berusia lapan tahun, aku masih lagi sukar untuk
2
bertutur. Aku agak keliru untuk mengenal huruf. Aku sering membuat kesilapan dalam
mengeja dan membaca. Aku ingin sekali berbual dengan ayah dan ibu tetapi
kadangkala aku begitu sukar untuk berbicara. Aku ingin sekali untuk membaca buku
buku cerita yang memaparkan tentang puteri-puteri yang cantik, tentang sang kancil
dan cerita binatang yang lain namun aku sukar untuk membaca, terutama untuk
membaca sesuatu bahan bercetak atau pun yang tercatat di papan putih.
“Ibu, ayah tak sayang kakak.”
Ibu memelukku erat. Mutiara jernih berlinangan dari kelopak mata ibu. Aku
membalas pelukan ibu.
“Kakak disleksia bu,” aku bersuara perlahan.
“Jangan cakap begitu sayang. Cikgu kakak ada memberitahu ramai tokoh-
tokoh yang terkenal yang mengalami masalah disleksia tetapi berjaya di dalam hidup.
Boleh cemerlang seperti orang lain contohnya Albert Einstein, Lee Kwon Yew, Walt
Disney, Tom Cruise, dan peninju dunia yang terkenal iaitu Muhammad Ali. Mereka
semua boleh berjaya walaupun mengalami gangguan disleksia.
Hanya ibu yang memahami perasaanku, tetapi tidak dengan ayah. Aku
rindukan belaian kasih sayangnya. Ayah sering memarahiku apabila aku gagal
membaca dengan lancar setiap kali dia ingin mengajarku. Lengkingan suaranya yang
keras mematikan seluruh semangatku.
Apabila usiaku tiga belas tahun aku bersekolah pula di SMK Seri Amar yang
juga ada menempatkan kelas yang khas untuk pelajar-pelajar istimewa sepertiku.
Kelas Pendidikan Khas di sekolah baharuku itu ada juga menempatkan pelajar-pelajar
yang mengalami masalah pendengaran, penglihatan dan juga kekurangan-
3
kekurangan yang lain sehingga mereka berada dalam katergori ‘istimewa’ sepertiku.
Bertemu dengan Cikgu Lim membuatkan aku lebih bersemangat.
Berada di sekolah juga membuatkan hatiku menjadi lebih bahagia apabila cikgu
Lim Po Lian, guru kelasku banyak memberikan dorongan dan semangat. Melalui
Cikgu Lim, semangatku yang layu kembali berkembang dan berbunga. Cikgu Lim
menyiramiku dengan kata-kata semangat, membajaku dengan kasih sayang. Dia
sering memberikan aku dan ibuku harapan.
Suatu hari aku menonton video Jurassic Park, Jaws, dan ET. Filem tersebut
diarahkan oleh pengarah yang terkenal di seluruh dunia iaitu Steven Speilberg.
Menurut Cikgu Lim, Steve Speilberg adalah penghidap disleksia. Namun, akhirnya
mampu menjadi tokoh lagenda dalam perfileman. Rentetan daripada itu aku mula
mencari apakah yang harus aku tonjolkan dalam kehidupan ini. Akhirnya, aku tahu
aku berbakat dalam ilmu melukis setelah beberapa kali aku memenangi pertandingan
melukis poster, pemandangan dan potret peringkat sekolah dan daerah.
“Elina, lihat iklan ini. Ada pertandingan melukis poster untuk pelajar pendidikan
khas bagi kategori 13 tahun. Sekiranya awak memenangi pertandingan ini, awak
boleh mewakili daerah untuk ke peringkat negeri serta kebangsaan. Poster
bertemakan ‘Negaraku Sehati Sejiwa’.”
Mulai saat itu jariku sentiasa menari-nari melakar sesuatu di atas kertas
lukisan. Melukis garis-garis membentuk sebuah lukisan dengan gabungan warna
yang menarik. Wajah tokoh Bapa Kemerdekaan iaitu Allahyarham Tunku Abdul
Rahman terletak pada paparan di samping Jalur Gemilang menghiasi poster tersebut.
Perkataan ‘Negaraku Sehati Sejiwa’ terpampang di bawah Jalur Gemilang yang
berkibar.
4
“Elina binti Razak, pemenang tempat pertama Pertandingan Melukis Poster
Sempena Bulan Kemerdekaan Malaysia yang ke-60.”
Lamunanku terhenti apabila namaku disebut. Aku memeluk Cikgu Lim yang
berada di sebelahku dan juga ibu. Aku merasakan alangkah bahagianya sekiranya
saat ini ayah turut bersama meraikan kejayaan ini. Tetapi aku hanyalah sebatang lilin
yang tidak mampu menerang alam kerana kadangkala sumbunya yang menyala kerap
padam ditiup pawana yang datang di kiri dan kanan. Aku tidak mampu menjadi kejora
yang bergemerlapan di dada langit yang menjadi kekaguman setiap mata
memandang. Aku bagaikan bintang yang tidak bersinar kerana selalu bersembunyi
di balik awan kelam.
Aku segera naik ke pentas. Beberapa orang jurugambar dari pihak media
merakam saat gembira itu. Aku mendaki anak tangga dengan berhati-hati kerana risau
tersalah langkah. Dari atas pentas, aku melihat berpuluh-puluh cahaya kamera
berkelip-kelip menangkap foto tanpa henti. Aku melihat ibu dan ada manik jernih
menempiasi pipinya. Diriku sendiri turut dilimpahi air mata kegembiraan. Selepas
berdiri seketika di atas pentas membenarkan kamera merakam wajahku, aku segera
menuruni pentas itu.
Langkahku terhenti apabila ada satu suara memanggil namaku. Suara yang
aku kenali. Suara yang kurindui. Suara yang telah lama tidak memanggil namaku. Aku
memusingkan badanku ke arahnya utuk kepastian. Sangkaanku tidak meleset apabila
berdirinya satu figura yang wajahnya tidak garang seperti selalu. Figura yang
kuurindui kasih sayang sejak bertahun lama.
“Tahniah, Elina. Ayah berbangga dengan pencapaian kamu ini.” Ucap ayah
kepadaku. Aku bagai terpana dan tidak percaya.
5
Wajah ayah aku tatap. Aku masih lagi tergamam. Hujan turun dari langit
kesedihanku. Kali ini turunnya amat lebat. Jika dahulu turunnya kerana kekecewaan
tetapi kini turunnya kerana kegembiraan. Awan pilu kini bertukar dengan
kegembiraan.
“Ayah…..”
Kami berpelukan. Terasa bahang kehangatan cinta ayah kepadaku
membahang. Dadaku sebak. Sudah lama aku menunggu saat ini, saat yang aku
rasakan aku benar-benar dihargai sebagai seorang anak.
“Maafkan ayah sayang.”
“Elina juga minta maaf. Elina selalu hampakan impian ayah. Elina tidak
sempurna macam adik beradik yang lain. Macam angah, macam acik, dan usu.”
“Jangan cakap begitu sayang. Ayah selama ini tidak dapat melihat cahaya
kejora di hati ayah. Terima bunga ini sayang.”
Aku menerima jambangan bunga tersebut. Tercatat perkataan, ‘Tahniah, Elina
adalah kejora di hati ayah.’ Aku yakin pada keikhlasan dan kejujuran bicara dari ayah
tadi. Bibirku menguntum sejambak senyuman dalam linangan air mata jernih. Jari
jemariku meraup mukaku yang dibasahi mutiara jernih sebagai satu tanda penzahiran
kesyukuran kepada Ilahi.
Ibu dan adik beradikku yang lain menghampiriku untuk mengucapkan tahniah.
Ibu sendiri terkejut melihat kehadiran ayah di sisiku. Adik beradikku yang lain
memelukku. Hari ini aku bagaikan kejora yang di kelilingi oleh bintang-bintang yang
lain sehingga cahaya kehidupanku terang benderang di cakerawala kehidupan.
6
“Eh, abang kata abang bekerja di luar kawasan?” Tanya ibu kehairanan.
“Sepatutnya abang memang bekerja di luar kawasan. Tetapi Cikgu Lim telah
menelefon abang utuk memaklumkan tentang Elina yang berada di majlis ini,” jelas
ayah.
“Ibu, ayah mari kita ambil foto bersama-sama. Setahu Elina, kita tidak pernah
ada foto keluarg bersama.”
“Mari saya tolong ambilkan gambar kamu sekeluarga,” Cikgu Lim menawarkan
diri untuk membantu mengambil gambar aku sekeluarga.
“Baiklah. Sedia semua. Satu..Dua..Tiga!”
Awan lamunanku lenyap apabila angin kuat menghempas jendela bilikku. Kuat
aku memegang bingkai gambar yang mempunyai foto kami sekeluarga. Wajah ayah
tidak lagi seperti selalu. Senyumnya mekar berbunga. Aku juga begitu kerana aku
rasa seperti dihargai dan disayangi. Rakaman gambar itu sungguh bermakna. Aku
menghela nafas lega. Ayah tidak lagi mengabaikan aku malah mencurahkan kasih
sayang yang amat aku dahagakan dahulu. Peristiwa ketika penyampaian hadiah itu
masih segar di ingatan walaupun hari berganti minggu, minggu berganti bulan, bulan
berganti tahun. Kasih sayang kami sekelurga semakin utuh. Aku meneruskan
kemahiran dalam melukis. Beberapa kejayaan kuperolehi dalam beberapa
pertandingan. Aku benar-benar membanggakan ayah. Akulah kejora di hati ayah.
7
8