The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.

MUHAMMAD AMIRUL HAFIZ BIN AHMAD BASER (146654)_HGF331 (1)

Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by amirulhafiz278, 2022-01-19 08:40:17

MUHAMMAD AMIRUL HAFIZ BIN AHMAD BASER (146654)_HGF331 (1)

MUHAMMAD AMIRUL HAFIZ BIN AHMAD BASER (146654)_HGF331 (1)

SEMESTER 1 : SIDANG AKADEMIK : 2021/2022
HGF 331 – GEOMORFOLOGI

SOALAN TUGASAN :
HURAIKAN JENIS-JENIS LULUHAWA YANG BERLAKU DI TEMPAT ANDA DAN
BAGAIMANA LULUHAWA TERSEBUT MEMPENGARUHI ALAM SEKITAR DAN

JUGA MANUSIA

DISEDIAKAN OLEH :
MUHAMMAD AMIRUL HAFIZ BIN AHMAD BASER

(146654)

DISEDIAKAN UNTUK :
DR. WAN MOHD MUHIYUDDIN WAN IBRAHIM

PENSYARAH HGF 331
PUSAT PENGAJIAN ILMU KEMANUSIAAN

TARIKH PENGHANTARAN :
31 DISEMBER 2021

1.0 PENGENALAN

Luluhawa merupakan salah satu proses yang berlaku dan juga dikaji terutamanya dalam
bidang geomorfologi. Bidang geomorfologi ini merujuk kepada satu bidang yang mengkaji
tentang tiga aspek yang utama iaitu interkasi, hubungan dan saling kebergantungan antara
proses, faktor dan bentuk di permukaan bumi secara saintifiknya. Bidang geomorfologi ini
secara terperinci merupakan kajian bagi melihat interaksi, hubungan dan saling
kebergantungan antara proses fizikal, kimia dan biologi yang mempengangaruhi dan juga
mengubah landskap fizikal bumi ataupun pandang darat bumi. Luluhawa tergolong dalam salah
satu proses geomorfologi yang disebut sebagai proses eksogenik ataupun proses luaran.
Luluhawa pada dasarnya merupakan satu proses pemecahan dan penguraian batuan yang
disebabkan oleh agen luluhawa ataupun agen di persekitaranya. Antara agen luluhawa yang
membantu proses pemecahan dan penguraian batuan adalah hujan, suhu, fros dan juga biotik.

Luluhawa terdiri daripada tiga jenis iaitu luluhawa mekanikal atau fizikal, luluhawa
kimia atau dalaman, dan juga luluhawa biologi. Setiap jenis luluhawa ini mempunyai prosesnya
tersendiri. Bagi luluhawa mekanikal atau fizikal, proses pemecahan dan penguraian batuan
berlaku dengan bantuan daripada agen luluhawa seperti hujan, suhu, fros dan biotik secara
insitu. Namun proses luluhawa ini tidak mengganggu dan mengubah kandungan kimia batuan.
Terdapat lima proses luluhawa fizikal iaitu secara pengembangan dan pengecutan batuan akibat
perubahan suhu yang ekstrem, tindakan basah dan kering batuan, tindakan ibun atau fros,
penghabluran garam dan pelepasan tekanan. Luluhawa kimia pula merujuk kepada proses
pemecahan dan penguraian batuan melalui bantuan agen seperti hujan dan suhu secara insitu.
Proses ini akan mengubah kandungan kimia atau mineral batu. Terdapat lima proses luluhawa
kimia iaitu melalui larutan, pengkarbonan, pengoksidaan, hidrolisis dan penghidratan.
Luluhawa biologi pula merujuk kepada pemecahan dan penguraian batuan yang berlaku
melalui tindakan akar tumbuh-tumbuhan, tindakan haiwan dalam tanah dan mikroorganisma.
Proses luluhawa yang berlaku sememangnya akan mempengaruhi alam sekitar dan juga
manusia di sekitarnya.

2.0 KAWASAN KAJIAN
Kajian ini dijalankan di Gua kerbau, Kodiang di Kedah. Gua Kerbau ini merupakan gua

batu kapur yang terletak di pekan Kodiang iaitu 50 km dari bandar Alor Setar. Selain itu Kajian
ini juga dijalankan di Gua Batu Putih yang terletak di sekitar atau dibelakang Gua Kerbau. Gua
Kerbau ini dianggarkan telah wujud sejak 200 atau 300 tahun yang lalu. Gua ini kaya
mempunyai sejarah yang menarik selain mempunyai bentuk muka bumi yang menarik seperti
batuan staglatit dan stalagmit. Bentuk muka bumi yang menarik dan batu kapur yang terdapat
pada kawasan ini telah menarik minat ramai pengkaji untuk melakukan kajian di kawasan ini.
Kawasan ini telah menjadi Tapak Terpelihara Geowarisan Kedah. Kawasan ini juga dipilih
kerana mempunyai bukti-bukti bagi proses luluhawa yang berlaku di kawasan tersebut.

Peta 1: Peta Gua Kerbau, Kodiang Kedah yang diperolehi melalui Google Earth

Peta 2: Peta Gua Kerbau, Kodiang Kedah yang diperolehi melalui Google Maps

3.0 ISU DAN PERMASALAHAN

Kawasan ini terkenal dengan batu kapur dan juga bentuk muka bumi atau batuan yang
terdapat di kawasan ini. Walaupun terdapat banyak bentuk muka bumi yang menarik di
kawasan itu, kajian perlu dilakukan untuk menilai sama ada bentuk muka bumi yang terhasil
disebabkan oleh buatan manusia atau berlaku secara semula jadi. Pengkaji melakukan kajian
di kawasan ini untuk melihat sama ada bentuk muka bumi dan batuan yang terdapat di sana
terhasil akibat daripada proses luluhawa tidak kira luluhawa fizikal, kimia dan biologi. Kajian
untuk menentukan sama ada berlakunya proses luluhawa di kawasan itu hanya dilakukan
dengan cara melihat dengan terperinci tanpa menggunakan peralatan tertentu. Pengkaji yang
meneliti secara terperinci untuk mencari bukti-bukti tentang proses luluhawa yang berlaku di
kawasan terebut. Pengkaji juga perlu meneliti tentang pengaruh proses luluhawa tersebut
terhadap alam sekitar dan juga manusia di sekitarnya.

4.0 SOROTAN LITERATUR

Kajian yang dilakukan oleh S. V. Alavi Nezhad Khalil Abad, Edy Tonnizam Mohamad,
Ibrahim Komoo dan R. Kalatehjari yang bertajuk “A typical weathering profile of granitic rock
in Johor, Malaysia based on joint characterization” berkaitan dengan proses luluhawa. Kajian
yang dilakukan oleh mereka merujuk kepada kaitan proses luluhawa dan juga faktornya yang
menghasilkan batuan granit di Johor. Maklumat yang terdapat melalui penulisan mereka dapat
digunakan oleh pengkaji untuk mengetahui serba sedikit tentang proses-proses luluhawa.

5.0 METODOLOGI KAJIAN

Bahagian ini akan menerangkan metodologi yang digunakan oleh pengkaji semasa
melakukan kajian tentang proses luluhawa dan pengaruhnya terhadap alam sekitar dan manusia
di kawasan Gua Kerbau dan Gua Batu Putih.

5.1 Pemerhatian/Melawat lapangan

Kaedah yang digunakan oleh pengkaji untuk melakukan kajian ini adalah dengan
melakukan pemerhatian atau melawat kawasan lapangan. Pengkaji menggunakan kaedah ini
untuk pergi melakukan pemerhatian sendiri dengan mata kasar dan melihat secara langsung
tentang kawasan dan keadaan di kawasan tersebut. Kaedah ini amat penting bagi seorang

pengkaji kerana ianya akan membuktikan bahawa kajian yang dilakukan adalah benar dan
boleh dipercayai. Kaedah pemerhatian ini amat membantu terutamanya apabila pengkaji ingin
melihat jenis, proses dan juga bukti tentang proses luluhawa yang berlaku di kawasan Gua
Kerbau dan Gua Batu Putih. Hal ini membuatkan pengkaji dapat mengkaji dan melihat jenis
dan proses-proses luluhawa tersebut dengan lebih terperinci iaitu tidak meninggalkan bukti-
bukti penting. Kaedah ini juga membuatkan pengkaji lebih faham dan jelas tentang kajian yang
dijalankan.

5.2 Rujukan Kepustakaan

Kaedah ini juga digunakan oleh pengkaji bagi menjayakan kajian berkaitan proses
luluhawa di kawasan tersebut. Maklumat dan bahan rujukan diperolehi melalui akhbar, buku
dan sebagainya. Melalui kaedah ini, bahan rujukan terkini juga boleh diperolehi seperti jurnal-
jurnal berkaitan dengan kaijan jenis dan proses luluhawa di Malaysia dan juga luar negara.
Bahan maklumat yang diperolehi melalui buku ataupun internet berkaitan dengan luluhawa
dapat membantu pengkaji untuk memahami dan dapat mengetahui setiap jenis luluhawa beserta
dengan proses-prosesnya yang terdapat di kawasan kajian. Maklumat-maklumat ini amat
berguna terutamanya semasa pengkaji pergi melakukan pemerhatian di kawasan kajian.

6.0 PERBINCANGAN/DAPATAN KAJIAN

6.1 Jenis Luluhawa

Hasil daripada kajian yang dilakukan di Gua Kerbau dan Gua Batu Putih, jenis
luluhawa yang berjaya dikesan adalah sebanyak tiga jenis luluhawa iaitu luluhawa fizikal,
luluhawa kimia dan luluhawa biologi. Luluhawa Fizikal dapat dikesan di kawasan kajian. Hal
ini dapat dibuktikan melalui proses-proses luluhawa yang terjadi di kawasan kajian. Antaranya
adalah proses pelepasan tekanan. Proses ini merujuk kepada pengurangan tekanan pada batuan.
Apabila bongkah batuan tertanam di dalam bumi, tekanan batuan yang terletak di atasnya kan
menyebabkan bongkah batuan itu berada dalam keadaan kecut. Agen-agen luluhawa akan
menghakis tanah lapisan di atas batuan tersebut sehingga menyebabkan batuan itu terdedah ke
permukaan bumi. Pendedahan batuan ke permukaan bumi dikenali sebagai proses pelepasan
tekanan. Hal ini telah menyebabkab batuan tersebut mengembang akibat daripada tekanan yang
berkurangan dan kemudiannya menyebabkan batuan itu merekah dan retak. Proses pelepasan
tekanan yang berterusan menyebabkan kepingan batuan terpisah daripada batuan induk. Selain

itu, tindakan basah dan kering juga merupakan bukti bahawa terdapatnya luluhawa fizikal di
kawasan kajian. Proses ini berlaku di kawasan yang berlakunya musim hujan dan kering.
Apabila musim hujan berlaku, batuan yang basah akan mengembang manakala semasa musim
kering batuan tersebut akan berlakunya sejatan yang mana akan mengakibatkan batuan tersebut
mengecut. Seperti proses pelepasan tekanan, tindakan basah dan kering yang berlaku secara
berterusan dan berulang akan meyebabkan batuan tersebut merekah dan akhirnya pecah.

Gambar 1: Kawasan batuan yang berlakunya proses pelepasan tekanan

Gambar 2: Batuan yang terlibat dalam proses luluhawa tindakan basah dan kering.
Luluhawa kimia juga berlaku di kawasan Gua Kerbau dan Gua Batu Putih. Hal ini dapat

dibuktikan dengan adanya batuan yang membentuk stalagtit di kawasan kajian. Pembentukan
staglatit ini dikaitkan dengan proses luluhawa kimia yang berlaku secara pengkarbonan. Proses
pengkarbonan ini merujuk kepada tindak balas yang berlaku antara bahan mineral yang
terdapat dalam batuan dengan karbon dioksida di udara, air hujan dan asid karbonik. Proses ini
terjadi di Gua Kerbau dan Gua Batu Putih apabila tindak balas berlaku antara kalsium karbonat

yang terdapat dalam batu kapur dengan air hujan. Proses ini selalunya berlaku di kawasan batu
kapur seperti kawasan kajian ini. Proses ini telah menjadikan atau membentuk banyak bentuk
muka bumi yang menarik di kawasan kajian ini sebagai contoh batuan berbentuk staglatit.

Gambar 3: Batuan berbentuk Staglatit di Gua Kerbau dan Gua Batu Putih

Kajian yang dijalankan turut mendapati berlakunya proses luluhawa biologi di Gua
Kerbau dan Gua Batu Putih. Hal ini dapat dibuktikan dengan pemerhatian beserta gambar yang
diambil oleh pengkaji. Luluhawa biologi di kawasan kajian ini berlaku disebabkan oleh
tindakan akar tumbuh-tumbuhan. Luluhawa biologi ini berlaku apabila akar pokok mengalami
proses pembesaran khususnya pada bahagian akr tunjang yang mampu meretakkan dan
memecahkan batuan. Apabila sesuatu akar pokok memasuki rekahan di batuan, akar tersebut
akan membesar secara perlahan-lahan. Tindakan tersebut berupaya untuk merekahkan dan juga
memecahkan batuan yang terdapat di kawasan tersebut. Selain daripada tindakan akar tumbuh-
tumbuhan, tindakan haiwan di dalam tanah juga memainkan peranan dalam proses luluhawa
biologi di kawasan kajian. Hidupan dalam tanah seperti cacing secara tidak langsung
membantu proses luluhawa. Hidupan dalam tanah ini bertindak untuk melonggarkan struktur
tanah. Apabila struktur tanah longgar, air hujan mampu memasuki lubang-lubang yang terhasil
akibat kelonggaran struktur tanah tersebut sehingga menyebabkan berlakunya luluhawa di
dalam tanah.

Gambar 4: Tumbuhan akar yang berada dalam batuan dan memecahkan batuan
di sekitarnya

6.2 Pengaruh luluhawa di Gua Kerbau dan Gua Batu Putih terhadap alam sekitar dan
manusia.

Antara pengaruh proses luluhawa di kawasan kajian terhadap alam sekitar adalah
menghasilkan bentuk muka bumi yang baru dan juga menarik. Luluhawa fizikal dan kimia
yang berlaku di kawasan ini telah menghasilkan bongkah-bongkah batuan yang menarik seperti
staglatit. Bentuk batuan staglatit ini menjadikan permandangan di kawasan kajian ini terlihat
indah. Selain itu, luluhawa di kawasan ini juga telah menjadi kawasan kepada habitat fauna
seperti kelawar. Pengaruh luluhawa di kawasan ini terhadap manusia pula dari segi
pelancongan dan rekreasi. Gua Kerbau dan Gua Batu Putih ini telah diiktiraf oleh kerajaan
negeri Kedah sebagai Tapak Terpelihara Geowarisan Kedah. Kawasan ini sesuai dijadikan
tempat pelancongan kerana mempunyai keindahan bentuk muka bumi yang sangat menarik
hasil daripada proses luluhawa dan lain-lain. Kawasan ini dijadikan tempat pelancongan dan
rekreasi seperti gua batu kapur yang lain. Antaranya adalah gua batu kapur di Lembah Kinta,
Perak yang dibuka kepada orang awam untuk mererokai kawasan tersebut. Pengaruh luluhawa
di kawasan ini terhadap manusia dapat dilihat dengan jelas dari segi ekonomi penduduk di
sekitar itu. Hal ini demikian kerana pengusaha kedai makan dan juga pengusaha homestay di
kawasan itu memperolehi manfaat daripada kedatangan pengunjung yang ramai di kawasan
ini. Pengusaha homestay memperolehi manfaat melalui kedatangan pengunjung dari luar
negeri yang menyukai aktiviti luaran kerana mereka akan menginap di kawasan tersebut bagi

merasai pengalaman dan menikmati keindahan bentuk muka bumi di situ. Hal ini semestinya
sangat membantu para pengusaha tempatan di kawasan tersebut. Penduduk sekitar juga
mengunjungi kawasan tersebut bagi melakukan aktiviti riadah bersama keluarga dan rakan.

7.0 KESIMPULAN

Kajian ini sememangnya sangat baik kerana pengkaji dapat melihat dan merasai
keindahan bentuk muka bumi yang terhasil daripada proses luluhawa di kawasan Gua Kerbau
dan Gua Batu Putih. Kajian ini juga membolehkan pengkaji memahami proses luluhawa
dengan lebih jelas kerana pengkaji melihatnya sendiri di kawasan kajian dan berjaya mengenal
pasti jenis luluhawa yang berlaku di kawasan tersebut. Proses luluhawa telah memhasilkan
bentuk muka bumi yang sangat menarik sehingga menarik kedatangan pengunjung untuk
menikmati keindahan kawasan tersebut. Tapak Geowarisan ini mempunyai keunikannya
tersendiri. Kawasan ini perlu dijaga dengan baik supaya geowarisan yang terdapat di kawasan
ini terus wujud. Jadi, aktiviti yang tidak mendatangkan kebaikan seperti pencerobohan kawasan
haruslah dikawal agar keindahan kawasan ini kekal wujud sehingga ke generasi hadapan.

8.0 RUJUKAN
Abad S. V. A. N. K., Tonnizam E., Komoo I. & Kalatehjari. R. (2014). A typical weathering

profile of granitic rock in Johor, Malaysia based on joint characterization. Arabian
Journal of Geosciences, DOI 10.1007/s12517-014-1345-7.
Generasi942smpo. (1 Julai 2018). Proses Geomorfologi. Dicapai melalui
http://generasi942smpo.blogspot.com/2018/07/21-proses-geomorfologi.html
Haralhaj. (28 Ogos 2014). Luluhawa. Dicapai melalui
https://www.slideshare.net/haralhaj/luluhawa-38438499
Jusoh A. & Sabin Y. S. (2021). Gua Batu Kapur di Lembah Kinta, Perak Dari Perspektif
Pelancongan Warisan. Conference: International COnferenceon Social Sciences and
Humanities 2021 (ICSSH2021)At: Tanjung Malim, Perak, Malaysia
Lindamasehat. (n.d). Gua Kerbau, Kodiang Kedah. Dicapai melalui
https://lindamasehat.com/2021/07/gua-kerbau-kodiang-kedah/
Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia. (n.d.). Kawasan Rekreasi Dan Pelancongan.
Dicapai melalui http://kodiang.pimaxis.my/pelancongan.html

LAMPIRAN


Click to View FlipBook Version