E-Portfolio Penilaian Instrumen PBD yang Dilaksanakan dalam Bilik Darjah di Sekolah EDUP3153 PENTAKSIRAN DALAM PENDIDIKAN MAIZATUL AKMAR BINTI ABD GHANI
ISI KANDUNGAN 0 PENGENALAN 1 PENILAIAN INSTRUMEN 1 : LEMBARAN KERJA 02 i) Gambar instrumen ii) Kaedah iii) Aktiviti iv) Tajuk Pdp v) Keupayaan instrumen mentafsir murid vi) Cadangan penambahbaikan 03 PENILAIAN INSTRUMEN 2 : SENARAI SEMAK i) Gambar instrumen ii) Kaedah iii) Aktiviti iv) Tajuk Pdp v) Keupayaan instrumen mentafsir murid PENILAIAN INSTRUMEN 3 : REFLEKSI KENDIRI 04 i) Gambar instrumen ii) Kaedah iii) Aktiviti iv) Tajuk Pdp v) Keupayaan instrumen mentafsir murid vi) Cadangan penambahbaikan 05 RUMUSAN RUJUKAN 06
PENGENALAN
Secara umumnya, pentaksiran merupakan proses mengumpul maklumat dan menilai pengetahuan, kemahiran, sikap dan pencapaian seseorang dalam konteks pendidikan atau menilai prestasi dalam sesuatu pekerjaan. Pentaksiran boleh dilakukan dalam pelbagai cara, termasuk ujian bertulis, projek amali, pembentangan lisan, pemerhatian, dan penilaian prestasi (Kalai Selvan Arumugham, 2020). Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) pula merupakan sebuah pentaksiran yang berterusan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran bagi mendapatkan maklumat tentang perkembangan, kemajuan, kebolehan dan pencapaian murid. Tambahan lagi, PBD juga berlaku secara formatif dan sumatif iaitu meliputi belajar sebagai pembelajaran, untuk pembelajaran dan tentang pembelajaran (Fara Izzati Marnizam & Siti Rahimah Ali, 2021). Sehubungan itu, aspek yang ditaksir dalam PBD termasuklah aspek nilai dan kompetensi yang diperlukan pada masa kini di samping perkembangan kognitif, afektif dan psikomotor seperti dinyatakan dalam DSKP setiap mata pelajaran. Justeru, pelaksanaan PBD yang betul akan memberi gambaran yang jelas tentang penguasaan murid terhadap Standard Pembelajaran yang ditetapkan dalam kurikulum serta maklumat tersebut hendaklah digunakan untuk membantu pihak sekolah dan ibu bapa untuk merancang tindakan susulan ke arah menambah baik penguasaan dan pencapaian murid dalam pembelajaran (Ramlah Ab Khalid et. al, 2015). Bagi pelaksanaan tugasan 2 (Penghasilan Produk) kursus EDUP3153 Pentaksiran dalam Pendidikan, saya telah mengumpulkan tiga instrumen Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) melibatkan mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 5 yang dilaksanakan dalam bilik darjah di sekolah. Dalam konteks ini, saya telah berhubung dan berkolaborasi bersama seorang guru sekolah rendah bernama Puan Khairil Najah binti Ahmad yang merupakan guru mata pelajaran Bahasa Melayu di Sekolah Kebangsaan Teloi Kanan bagi mendapatkan tiga instrumen tersebut. Justeru, guru yang dihubungi sangat memberi kerjasama yang baik dan hal ini membantu saya melaksanakan tugasan e-portfolio ini dengan lancar. Sejajar dengan itu, tiga instrumen PBD yang dapat saya kumpul terdiri daripada instrumen pentaksiran lembaran kerja, senarai semak dan juga refleksi kendiri. Oleh hal demikian, e-portfolio ini akan memfokuskan kepada penilaian instrumen-instrumen PBD yang dilaksanakan dalam bilik darjah di sekolah.
PENILAIAN INSTRUMEN 1 : LEMBARAN KERJA
Kaedah Instrumen PBD yang pertama dapat saya kumpulkan adalah instrumen pentaksiran melalui lembaran kerja. Dalam konteks ini, instrumen lembaran kerja ini dilaksanakan oleh guru bagi mata pelajaran Bahasa Melayu. Lembaran kerja merupakan sehelai kertas atau dokumen yang mengandungi tugasan atau aktiviti yang perlu disiapkan oleh murid di sekolah atau di rumah (Fakhri Abdul Khalil & Mohd Isha Awang, 2016). Kaedah yang digunakan untuk melaksanakan instrumen ini adalah kaedah penulisan iaitu guru menyediakan lembaran kerja dan memberikan kepada murid untuk ditaksir. Bagi penilaian saya, kaedah yang digunakan adalah sesuai kerana melalui aktiviti menulis, murid diberi peluang untuk memproses maklumat dengan lebih mendalam. Hal ini juga kerana proses penulisan membolehkan mereka merumuskan pemikiran mereka sendiri, mengaitkan konsep baharu dengan pengetahuan sedia ada, dan membuat perkaitan yang lebih kukuh antara maklumat yang dipelajari.
Aktiviti Seterusnya, aktiviti yang digunakan oleh guru bagi melaksanakan instrumen lembaran kerja ini adalah aktiviti kerja kumpulan. Dalam hal ini, murid dibahagikan kepada kumpulan dan menjawab lembaran kerja yang disediakan oleh guru. Tambahan lagi, instrumen lembaran kerja ini juga digunakan pada langkah 3 dalam sesi pengajaran dan pembelajaran Bagi penilaian saya, aktiviti yang dijalankan oleh guru untuk melaksanakan instrumen lembaran kerja ini adalah kurang sesuai kerana murid perlu menjawab lembaran kerja secara berkumpulan serta hal ini menyebabkan murid tidak mendapat kebebasan dalam mengeluarkan idea atau isi topik yang dipelajari. Perkara ini juga akan menyebabkan berlakunya pemusatan idea dalam kumpulan yakni terdapat risiko bahawa sesetengah ahli kumpulan akan bergantung pada sumbangan individu yang lebih berkuasa atau dominan, manakala yang lain mungkin kurang aktif atau terpinggir. Hal ini boleh mengurangkan kesamarataan penyertaan dan menjejaskan hasil akhir kerja kumpulan (Mohd Asnorhisham Adam & Abdul Rahim Hamdan, 2017). Walau bagaimanapun, kaedah dan aktiviti yang digunakan dilihat mampu untuk menguji isi pembelajaran yang diajar melalui instrumen lembaran kerja yang lengkap dan meliputi Standard Pembelajaran.
Tajuk PdP (Standard Pembelajaran dan Standard Prestasi) Bagi pelaksanaan instrumen lembaran kerja, guru telah merujuk kepada Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) Bahasa Melayu Tahun 5 dengan mengambil kira Standard Kandungan, Standard Pembelajaran dan Standard Prestasi yang telah ditetapkan. Dalam konteks ini, lembaran kerja yang dihasilkan oleh guru menepati dan selari dengan standard-standard yang ditetapkan dalam DSKP. Standard Kandungan yang digunakan adalah 5.1 Memahami dan menggunakan golongan kata mengikut konteks manakala Standard Pembelajaran yang dipilih untuk melaksanakan instrumen lembaran kerja ini pula adalah 5.1.1 Memahami dan menggunakan kata nama mengikut konteks; (i) kata nama am dan (ii) kata nama khas. Justeru, guru juga merujuk kepada Standard Prestasi yang terkandung dalam DSKP iaitu dari TP 1 sehingga TP 6. Hal ini menunjukkan bahawa instrumen PBD yang dilaksanakan menepati dan selari dengan kandungan DSKP Bahasa Melayu Tahun 5.
Keupayaan instrumen mentafsir murid Di samping itu, instrumen lembaran kerja yang digunakan oleh guru dilihat berupaya untuk mentafsir murid. Hal ini demikian kerana lembaran kerja yang disediakan meliputi kandungan pembelajaran berpandukan DSKP Bahasa Melayu Tahun 5 serta lembaran kerja ini juga mengukur kefahaman murid yakni dengan mentafsir murid melalui lembaran kerja dapat memberikan gambaran sejauh mana setiap murid memahami bahan pelajaran. Hal ini dapat membantu guru mengenal pasti keperluan individu murid dan menyesuaikan pengajaran dengan lebih berkesan. Sejajar dengan itu, instrumen lembaran kerja ini juga mampu mentafsir murid kerana guru mampu menyediakan maklum balas secara berkumpulan. Hal ini kerana dengan memahami kebolehan dan kelemahan setiap murid, guru boleh memberikan maklum balas yang lebih spesifik dan relevan. Perkara ini membolehkan murid mengenal pasti bidang yang mereka perlukan untuk meningkatkan pemahaman mereka dan memberikan bantuan tambahan jika diperlukan.
Cadangan penambaikan Sehubungan itu, terdapat juga cadangan penambahbaikan yang dapat dilakukan oleh guru bagi meningkatkan lagi keberkesanan instrumen lembaran kerja yang digunakan. Pada pandangan saya, instrumen lembaran kerja yang disediakan akan lebih berkesan dengan lebih baik sekiranya dilaksanakan secara individu bukannya berkumpulan. Hal ini demikian kerana murid akan dapat mengaplikasi dan menulis tentang topik yang dipelajari dengan lebih baik tanpa berlakunya pemusatan idea. Hal ini penting bagi guru memastikan tahap penguasaan murid terhadap topik tersebut secara individu seterusnya dapat menilai kemajuan murid (Sahrahil Mohd Nor & Zolkepeli Haron, 2023). Justeru, hal ini juga menunjukkan bahawa instrumen lembaran kerja yang dilaksanakan akan lebih berkesan sekiranya aktiviti yang dijalankan adalah sesuai misalnya aktiviti secara individu bagi memastikan murid benar-benar telah menguasai topik yang dipelajari.
PENILAIAN INSTRUMEN 2 : SENARAI SEMAK
Kaedah Instrumen kedua yang dapat saya kumpulkan adalah instrumen senarai semak. Senarai semak merupakan alat bantuan yang digunakan oleh guru untuk membimbing murid daripada melakukan kesilapan atau untuk membuat penilaian terhadap murid (Noorzeliana Idris, 2016). Dalam konteks ini, guru telah menggunakan kaedah lisan bagi melaksanakan instrumen senarai semak. Sehubungan itu, murid akan membentangkan bahan pembentangan secara berkumpulan di hadapan kelas. Oleh hal demikian, guru menggunakan instrumen senarai semak melalui percakapan atau lisan murid semasa membentangkan bahan tersebut. Bagi penilaian saya, kaedah lisan yang digunakan adalah sesuai kerana guru dapat menggunakan instrumen senarai semak bagi menilai kemahiran bertutur murid iaitu selari dengan Standard Kandungan DSKP Bahasa Melayu Tahun 5 melalui pertuturan murid ketika melakukan pembentangan. Hal ini menunjukkan bahawa kaedah yang digunakan sesuai dalam pelaksanaan instrumen senarai semak.
Aktiviti Seterusnya, aktiviti yang dilaksanakan oleh guru untuk menggunakan instrumen senarai semak ini adalah aktiviti pembentangan secara berkumpulan. Dalam hal ini, murid melakukan pembentangan secara lisan menggunakan bahan pembentangan yang telah disediakan oleh murid. Tambahan lagi, instrumen senarai semak ini juga digunakan pada langkah 2 dalam sesi pengajaran dan pembelajaran. Bagi penilaian saya, aktiviti pembentangan berkumpulan yang dilaksanakan adalah bersesuaian dengan instrumen senarai semak kerana pertuturan murid dinilai melalui kriteria-kriteria yang ditetapkan oleh guru dalam senarai semak. Hal ini menyebabkan instrumen ini dapat digunakan dengan baik.
Tajuk PdP (Standard Pembelajaran dan Standard Prestasi) Di samping itu, guru juga telah merujuk kepada DSKP Bahasa Melayu Tahun 5 bagi melaksanakan instrumen senarai semak ini. Dalam konteks ini, guru telah menghasilkan kriteria-kriteria yang perlu dicapai oleh murid semasa melaksanakan aktiviti pembentangan berkumpulan secara lisan. Standard Kandungan yang dirujuk adalah 1.2 Bertutur untuk menyampaikan maklumat dan idea bagi pelbagai tujuan manakala Standard Pembelajaran yang digunakan untuk melaksanakan instrumen senarai semak ini adalah 1.2.2 Bertutur dan menghuraikan maklumat tersurat dan tersirat yang dikenal pasti dengan menggunakan idea yang kritis dan kreatif. Bagi Standard Prestasi pula, guru telah merujuk DSKP iaitu dari TP 1 sehingga T6 yang menilai kemahiran pertuturan murid dalam menyampaikan idea. Hal ini menunjukkan bahawa instrumen senarai semak mampu menilai kemahiran pertuturan murid selari dengan kandungan DSKP Bahasa Melayu Tahun 5.
Keupayaan instrumen mentafsir murid Selaras dengan itu, instrumen senarai semak yang digunakan oleh guru dilihat berupaya untuk mentafsir murid. Hal ini demikian kerana murid dapat mencapai standard pembelajaran yang telah ditetapkan melalui aktiviti pembentangan berkumpulan secara lisan. Dalam konteks ini, guru menggunakan instrumen senarai semak ini dengan menilai kemahiran pertuturan murid secara individu. Hal ini dilaksanakan dengan adanya senarai semak yang meliputi kriteria-kriteria yang ingin dinilai. Justeru, instrumen senarai semak yang dilaksanakan menepati kandungan DSKP bagi memastikan murid dapat mencapai isi pembelajaran dalam topik tersebut. Tambahan lagi, keupayaan instrumen senarai semak dalam mentafsir murid dapat dilihat dari segi kaedah pelaksanaan guru iaitu guru menggunakan kaedah lisan bagi menilai kemahiran bertutur murid. Hal ini menunjukkan bahawa instrumen senarai semak ini mampu dan berupaya untuk mentafsir bagi topik dan standard pembelajaran yang ditetapkan dalam DSKP.
PENILAIAN INSTRUMEN 3 : REFLEKSI KENDIRI
Kaedah Instrumen PBD ketiga yang dinilai adalah instrumen refleksi kendiri. Dalam konteks ini, refleksi kendiri merujuk kepada satu proses di mana seseorang secara sedar memikirkan, menilai, dan memahami pengalaman, tindakan, dan pemikiran mereka sendiri (Kausalya Gopala Pilai & Faridah Mydin Kutty, 2022). Bagi pelaksanaan instrumen refleksi kendiri ini, guru telah menggunakan kaedah penulisan bagi menilai kefahaman murid tentang tajuk memahami dan membina pelbagai jenis ayat mengikut konteks ayat seruan dan ayat perintah. Bagi penilaian saya, kaedah penulisan yang digunakan untuk melaksanakan instrumen refleksi kendiri ini adalah sesuai kerana murid dapat memahami dan menulis semula contoh ayat seruan dan ayat perintah semasa menjalankan aktiviti dalam kelas. Hal ini membolehkan guru dapat menilai ketepatan isi yang ditulis oleh murid berdasarkan ayat yang ditulis dalam aktiviti mini book.
Aktiviti Seterusnya, aktiviti yang digunakan untuk melaksanakan instrumen refleksi kendiri adalah aktiviti penghasilan mini book. Dalam konteks ini, murid akan menghasilkan sebuah mini book yang mengandungi contoh ayat seruan dan ayat perintah serta ayat-ayat tersebut hendaklah ditulis sendiri oleh murid. Oleh hal demikian, guru telah menggunakan instrumen refleksi kendiri bagi menilai murid iaitu murid perlu mengisi borang instrumen kendiri yang disediakan oleh guru tentang rumusan pembelajaran perkara yang diajarkan pada hari tersebut. Tambahan lagi, instrumen refleksi kendiri ini juga digunakan pada langkah 3 dalam sesi pengajaran dan pembelajaran. Bagi penilaian saya, aktiviti penghasilan mini book yang digunakan oleh guru adalah sesuai bagi pelaksanaan instrumen refleksi kendiri kerana guru dapat menilai murid dari segi pengalaman murid sendiri semasa menghasilkan mini book. Hal ini menunjukkan bahawa aktiviti penghasilan mini book yang digunakan adalah sesuai dalam menilai murid melalui instrumen refleksi kendiri.
Tajuk PdP (Standard Pembelajaran dan Standard Prestasi) Di samping itu, instrumen refleksi kendiri yang dilaksanakan oleh guru adalah untuk menilai pembelajaran mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 5 yang bertajuk Memahami dan membina ayat mengikut konteks dari aspek tatabahasa. Standard Pembelajaran yang digunakan pula adalah 5.3.2 Memahami dan membina pelbagai jenis ayat mengikut konteks ayat seruan dan ayat perintah. Justeru, merujuk kepada kemahiran yang terdapat pada standard pembelajaran, instrumen refleksi kendiri murid kurang sesuai kerana guru tidak dapat menilai penguasaan murid tentang topik pembelajaran dengan jelas dan tepat. Justeru, bagi standard prestasi pula ditetapkan dari tahap penguasaan 1 sehingga 3 kerana guru tidak dapat memberikan standard prestasi yang betul kepada murid. Hal ini berlaku kerana instrumen refleksi kendiri yang diisi oleh murid tidak menunjukkan kefahaman mereka terhadap pembelajaran mereka.
Keupayaan instrumen mentafsir murid Sejajar dengan itu, instrumen refleksi kendiri yang digunakan oleh guru bagi menilai tahap penguasaan murid terhadap topik memahami dan membina pelbagai jenis ayat mengikut konteks ayat seruan dan ayat perintah adalah kurang sesuai dan dilihat kurang berkesan untuk mentafsir murid. Hal ini demikian kerana saya mendapati bahawa instrumen refleksi kendiri yang saya dapat kumpulkan tidak menyatakan keseluruhan tentang perkara yang murid pelajari pada hari tersebut sebaliknya mereka hanya menulis tentang apa yang mereka lakukan dan suasana semasa pengajaran guru. Hal ini menyebabkan guru tidak dapat mentafsir murid melalui instrumen refleksi kendiri yang telah ditulis oleh murid sendiri. Justeru, hal ini juga menunjukkan bahawa instrumen refleksi kendiri tidak dapat membantu guru untuk mentafsir murid dengan baik.
Cadangan penambahbaikan Sehubungan itu, terdapat cadangan penambahbaikan yang boleh dilakukan oleh guru bagi menambahbaik instrumen tersebut. Pada pendapat saya, instrumen yang lebih sesuai bagi menilai murid bagi topik memahami dan membina pelbagai jenis ayat mengikut konteks ayat seruan dan ayat perintah adalah instrumen senarai senmak. Hal ini demikian kerana guru dapat menilai tahap penguasaan murid melalui kriteria-kriteria yang perlu dicapai dalam senarai semak berdasarkan aktiviti penghasilan mini book. Hal ini bagi memastikan guru dapat menilai secara terus terhadap tahap penguasan murid tentang topik dan penilaian yang dilakukan lebih jelas dan tepat (Hazuriana Hajmi & Khairul Jamaludin, 2022).
RUMUSAN
Secara tuntasnya, ketiga-tiga instrumen yang telah saya kumpulkan mempunyai kekuatan dan kelemahan tersendiri. Dalam konteks ini, instrumen lembaran kerja dilihat sesuai dalam menilai murid namun aktiviti yang digunakan oleh guru untuk melaksanakan instrumen tersebut dilihat kurang sesuai kerana tidak memberi kebebasan kepada murid untuk berfikir secara kendiri dan tidak dapat menjelaskan perkara yang difahami oleh murid. Instrumen kedua pula iaitu instrumen senarai semak pula dilihat sesuai untuk menilai murid dan berupaya dalam mentafsir dengan kaedah pelaksanaanya secara lisan serta aktivitinya pembentangan secara berkumpulan. Hal ini membolehkan murid dapat dinilai kemahiran pertuturannya melalui lisan semasa aktiviti pembentangan tersebut. Sehubungan itu, instrumen ketiga pula dilihat sesuai dari segi kaedah pelaksanaanya serta aktiviti yang digunakan namun dilihat kurang sesuai bagi guru menilai murid tentang tahap penguasaan mereka tentang isi kandungan pembelajaran. Hal ini demikian kerana murid menulis refleksi kendiri tentang pembelajaran bukannya tentang isi pembelajaran yang dipelajari. Konklusinya, setiap instrumen yang dinilai dapat ditambah baik lagi pada masa akan datang bagi memastikan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) dapat dilaksanakan dengan lancar.
RUJUKAN
TERIMA KASIH Disediakan oleh: Maizatul Akmar Binti Abd Ghani