Anjing dengan
Bayang-Bayang
Kredit: Pesanan Tok Ayah
Pada zaman dahulu, Sang Anjing dan
Sang Bangau berkawan baik. Mereka
sangat suka tolong-menolong antara satu
sama lain. Mereka sering keluar berjalan
bersama-sama pada waktu petang di
dalam hutan. Pada suatu hari, Sang Anjing
menjemput Sang Bangau datang ke
rumahnya untuk menikmati makan tengah
hari. Sang Bangau berasa sanat gembira
dan bersetuju untuk pergi ke rumah Sang
Anjing.
Sang Anjing telah menyediakan makanan
yang lazat untuk Sang Bangau. Namun
begitu, Sang Bangau tidak dapat
menikmati makanan tersebut kerana
makanan tersebut disediakan di dalam
sebuah pinggan.
Sang Bangau berasa sangat sedih
kerana Sang Anjing tidak memikirkan
keadaan Sang Bangau yang sukar untuk
makan kerana keadaan paruhnya yang
panjang. Sang Bangau pun pulang ke
rumah dengan perasaan yang hampa.
Ketika dalam perjalanan, Sang Bangau
terserempak dengan Sang Kancil lalu
menceritakan kejadian yang berlaku di
rumah Sang Anjing.
Sang Kancil menasihatkan Sang Bangau
supaya bersabar dan tidak berdendam
dengan Sang Anjing. Namun begitu, Sang
Bangau telah berjanji akan membalas
perbuatan Sang Anjing yang
mementingkan diri itu.
Pada keesokan harinya, Sang Bangau
pergi berjumpa dengan Sang Anjing untuk
menjemputnya datang ke rumah Sang
Bangau untuk makan tengah hari. Sang
Anjing berasa sangat gembira kerana
Sang Bangau ingin membalas budinya
mengajaknya makan tengah hari yang lalu.
Sebaliknya, Sang Bangau telah merancang
sesuatu untuk membalas perbuatan Sang
Anjing yang bersikap mementingkan diri
dan tamak itu.
Ketika tiba di rumah Sang Bangau, dia
menghidangkan makanan di dalam
sebatang buluh kepada Sang Anjing. Sang
Anjing mencuba beberapa kali untuk
memasukkan mulutnya ke dalam buluh
tersebut namun gagal. Sang Anjing
berasa sangat marah kerana Sang
Bangau hendak mengenakannya.
Sang Bangau menjelaskan bahawa dia
hendak mengajar Sang Anjing supaya
tidak mementingkan diri sendiri dan tamak.
Sang Anjing berasa sangat malu dan
terus meninggalkan Sang Bangau. Sang
Anjing berjalan pulang sambil memikirkan
perbuatannya dan berasa letih kerana dia
belum makan apa-apa sejak pagi lagi.
Tiba-tiba, Sang Anjing terhidu bau
makanan yang lazat. Tanpa membuang
masa, Sang Anjing mencari bau makanan
tersebut. Akhirnya, Sang Anjing berjaya
menemui seketul tulang yang besar. Sang
Anjing berasa sangat gembira.
Sang Anjing menggonggong tulang
tersebut untuk dibawa pulang. Ketika
dalam perjalanan pulang, Sang Anjing
terpaksa melintasi sebuah anak sungai.
Tiba-tiba, Sang Anjing ternampak seekor
anjing di dalam sungai. Sang Anjing
tertarik dengan tulang yang digonggong
oleh anjing tersebut.
Akibat sifat tamaknya, Sang Anjing
menyalak ke arah anjing itu sehingga
menyebabkan tulang yang digonggongnya
terjatuh ke dalam sungai. Sang Anjing
terus terjun ke dalam sungai untuk
menyelamatkan tulang miliknya. Namun
begitu, tulang tersebut telah hanyut di
bawa arus sungai.
Sang Anjing berasa sangat menyesal
kerana sikap tamak dan mementingkan
dirinya sendiri. Sang Anjing baru tersedar
bahawa anjing yang dilihatnya di dalam
sungai tadi merupakan bayang-bayangnya
sendiri. Sang Anjing berjalan pulang
dengan perasan kesal, lapar dan
keletihan.
Moral:
i. Janganlah kita bersikap tamak.
ii. Kita hendaklah sentiasa bersyukur
dengan rezeki yang diberikan
iii. Kita hendaklah menghormati orang
lain.