Kisah Si
Tukang Kayu
Kredit: Kisah Tauladan
Di suatu masa, terdapat seorang tukang
kayu yang semakin dimamah usia. Dia
bercadang untuk bersara daripada
kerjanya sebagai tukang kayu yang
bertanggungjawab membuat rumah di
sebuah syarikat pembinaan.
Dalam fikirannya, dengan tenaga yang
semakin kurang, dia ingin menghabiskan
sisa-sisa hidupnya bersama keluarga
tersayang. Tukang kayu ini tidak akan
menerima lagi upah sekiranya beliau
bersara. Lalu, tukang kayu itu
memberitahu majikannya tentang
hasratnya itu.
Apabila majikannya mendengar luahan
hati tukang kayu yang berpengalaman itu,
dia merasa sedih dan memujuk tukang
kayu tersebut agar menarik balik
keputusannya. Akan tetapi, tukang kayu itu
tidak berganjak dan tetap dengan niat
untuk bersara. Akhirnya, majikannya
bersetuju dengan keputusan tukang kayu
itu, tetapi dengan satu syarat.
Permintaan terakhir majikannya ialah
menyuruh tukang kayu itu membina sebuah
rumah buat kali terakhir.
Tukang kayu itu merasa gembira dan
bersetuju dengan syarat yang telah
ditetapkan oleh majikannya. Tetapi,
kegembiraannya untuk bersara mengatasi
semangat dan kemahiran yang ditunjukkan
semasa bekerja. Akibatnya, rumah yang
dibina buat kali terakhir itu telah disiapkan
dengan sambil lewa, tanpa penelitian
khusus serta menggunakan kayu yang
rendah kualitinya. Rumah itu berjaya
disiapkan dalam jangkamasa yang singkat.
Apabila majikannya melihat rumah itu, dia
mengambil kunci pintu utama rumah
tersebut dan memberikannya kepada
tukang kayu itu seraya berkata "Inilah
hadiah persaraan daripada saya kepada
kamu. Selamat bersara."
Tukang kayu itu terkejut besar dengan
kata-kata majikannya. Beliau tidak
menyangka bahawa rumah yang dibinanya
buat kali terakhir itu adalah rumah untuk
kegunaannya sendiri. Alangkah
menyesalnya dia kerana menyiapkan
rumah itu secara tergesa-gesa dan jika
dia tahu sebelum itu, dia akan membina
rumah tersebut dengan penuh teliti dan
menggunakan bahan yang bermutu tinggi.
Moral :
Senario ini mungkin pernah berlaku di
dalam hidup kita seharian. Hidup ini boleh
diibaratkan sebagai membina sebuah
rumah untuk kegunaan dan kemudahan kita
dimasa hadapan. Kita pula sering
mengambil mudah dengan kehidupan
sekarang, kita merasa selesa kerana ibu
bapa kita sentiasa berada di samping
kita, memberi sokongan dan membantu
kita. Tetapi, sedarkah kita apabila mereka
tiada nanti, siapakah yang akan
bertanggungjawab ke atas hidup kita? Tak
lain dan tidak bukan adalah diri kita sendiri.
Belajarlah bertanggungjawab dan bijak
merancang masa depan kita. Gunakan
masa muda ini dengan belajar
bersungguh-sungguh mengejar cita-cita
untuk menjadi seorang manusia berguna
kepada agama, keluarga, bangsa dan
negara.