Mengapa
Bangau Kurus?
Pada suatu hari, Raja Sulaiman memanggil
semua burung datang mengadap. Semua
jenis burung hadir.
“Beta ingin sampaikan berita gembira.
Hari ini genaplah seratus purnama beta
memerintah. Oleh itu beta ingin beri
hadiah istimewa. Kamu boleh minta apa-
apa sahaja. Beta akan tunaikan
permintaan kamu,” titah Raja Sulaiman.
Semua burung berasa gembira. Ada yang
bersorak-sorak. Ada yang melompat-
lompat.
“Bolehkan patik mendapat bulu yang
cantik tuanku? Patik ingin jadi burung
paling cantik di dunia,” kata merak.
“Tentu boleh. Beta akan tunaikan
permintaan kamu itu,” titah Raja Sulaiman
sambil tersenyum.
“Kamu pula hendak apa?” Tanya Raja
Sulaiman kepada kelicap.
“Kalau boleh, patik ingin paruh yang
panjang,” kata kelicap.
“Kenapa minta paruh yang panjang?”
Tanya Raja Sulaiman.
“Patik suka minum madu, tuanku. Kalau
paruh patik panjang, senanglah hisap
madu bunga,” jawab kelicap.
Raja Sulaiman berpaling ke arah burung
tempua. “Patik ingin sarang yang cantik,
tuanku,” kata tempua.
“Kalau begitu, beta akan beri kamu
kepandaian membuat sarang,” titah
baginda.
“Tuanku, tubuh patik ini kecil. Kalau boleh
patik mahu kepala patik berwarna putih.
Dari jauh lagi sudah dapat dilihat,” pinta
pipit.
“Perkara itu mudah sahaja. Akan Beta
tunaikan,” titah Raja Sulaiman lagi.
Semua burung telah meminta hajat
mereka. Kini Cuma tinggal giliran bangau
yang sombong.
“Pintalah segera wahai bangau. Beta pasti
tunaikan,” titah Raja Sulaiman.
“Baiklah tuanku. Patik mahu minta makan
tujuh hari sekali,” kata bangau.
“Apa? Boleh kamu ulang?” soal Raja
Sulaiman. Baginda terkejut.
“Patik mahu minta makan tujuh hari sekali,”
kata bangau lagi.
Semua burung yang ada terkejut. Mereka
hairan dengan permintaan itu. Raja
Sulaiman juga berasa ganjil. Baginda
menyuruh bangau ulangi lagi
permintaannya. Bangau tetap berkata
seperti itu juga. Akhirnya Raja Sulaiman
puas hati. Baginda akan tunaikan
permintaan bangau itu.
Esoknya, bangau pergi ke tepi tasik. Ia
ingin mencari ikan. Namun, seekor pun dia
tidak dapat. Pada hari ketujuh barulah dia
dapat seekor.
Kenapa aku susah hendak dapat
makanan? Bukankah aku minta banyak
makanan daripada baginda? Bisik bangau
dalam hati. Tiba-tiba bangau teringat
kembali kata-katanya dahulu. Ia meminta
makan tujuh hari sekali. Bukan minta makan
tujuh kali sehari.
“Aku dah tersalah cakap. Patutlah semua
burung hairan. Tak seekor pun tolong
betulkan cakap aku. Mungkin kerana aku
sombong. Aku menyesal,” kata bangau
sendirian.
Mulai hari itu bangau sukar dapat ikan.
Badannya semakin kurus. Ia berasa sedih.
Kadang-kadang ia berdiri lama dalam air.
Ia termenung memikirkan nasibnya. Itulah
sebabnya badan bangau kurus.
Moral:
1. Jangan bersikap sombong.
2. Berfikir sebelum membuat keputusan.
3. Terimalah takdir dengan redha.