Kerana
Manisnya Epal
Kredit: Kisah Tauladan
"Indah sungguh suasana di tepi sungai ini.
Airnya mengalir tenang dan anginnya
bertiup lembut. Biarlah saya duduk di sini
untuk berzikir kepada Allah," kata Abu
Salleh sendirian lalu duduk di tepi sungai.
Sungai itu terletak di sebuah pekan kecil
bernama Jilan. Di situlah tempat tinggal
Abu Salleh. Dia berasal dari keturunan
Imam Hassan, salah seorang cucu Nabi
Muhammad.
Ketika dia sedang berzikir, terpandang
olehnya sebiji epal hanyut di tebing sungai.
Perutnya yang memang belum diisi sejak
awal pagi berbunyi beberapa kali.
"Mungkin ini rezeki untuk saya," katanya lalu
mengambil epal itu.
Abu Salleh memakan sebiji epal itu
sehingga habis. Tiba-tiba dia berdiri
dengan wajah yang terkejut, “Saya
memakan epal ini tanpa izin tuannya.
Tentu pemilik epal ini berada di hulu
sungai."
Abu Salleh berjalan menyusur tebing
sungai menghala ke hulu sambil memerhati
kesekeliling kalau-kalau ada pokok epal di
situ. Jauh dia berjalan meninggalkan
pekan Jilan. Dia terus berjalan sehingga
akhirnya dia menemui sebuah ladang epal
"Syukurlah akhirnya saya menemui ladang
epal. Saya yakin epal yang saya makan
tadi datang dari ladang ini. Lebih baik
saya segera menemuinya."
Abu Salleh terus masuk ke ladang epal itu
dan menemui pemiliknya. Pemilik itu
bernama Sheikh Abdullah, berasal dari
keturunan Imam Hussin, salah seorang
cucu Nabi Muhammad juga. Beliau ialah
eorang yang kuat beribadat dan disegani
oleh penduduk di kawasan itu.
"Saya mohon maaf dan mohon dihalalkan
sebiji epal yang saya telah makan" pinta
Abu Salleh kepada Sheikh Abdullah.
Sheikh Abdullah memerhatikan Abu Salleh
untuk beberapa ketika lalu tersenyum. Dia
menarik nafas panjang dan berkata,
"Saya boleh memaafkan saudara dengan
satu syarat."
"Katakanlah apakah syarat itu? Saya akan
memenuhinya."
"Saya mahu saudara bekerja di ladang
epal ini selama dua belas tahun!"
Tanpa banyak soal, Abu Salleh
mengangguk dan menyatakan
persetujuannya. Bekerjalah Abu Salleh di
ladang epal milik Sheikh Abdullah itu
selama dua belas tahun dengan penuh
amanah dan tanggungjawab. Sheikh
Abdullah memerhatikan tingkah laku Abu
Salleh sepanjang tempoh itu dan mula
tertarik hati. Dia bercadang untuk
mengahwinkan puterinya dengan Abu
Salleh.
Akhirnya tamatlah tempoh dua belas
tahun lalu Abu Salleh menemui Sheikh
Abdullah. "Saya sudah menunaikan syarat
tuan. Halalkanlah epal yang saya makan
itu."
Sheikh Abdullah terpegun dengan kata-
kata Abu Salleh yang jelas
menggambarkan dia adalah seorang anak
muda yang jujur lalu dia berkata, "Saya
akan mengenakan satu lagi syarat ke atas
saudara."
"Katakanlah syarat itu, saya akan
tunaikan."
"Syaratnya ialah, saudara mesti
mengahwini puteri saya. Tetapi biarlah
saya berterus terang tentang keadaan
puteri saya itu."
"Katakanlah! Saya akan mematuhinya."
"Puteri saya bernama Ummu Khair
Fatimah. Dia seorang yang lumpuh, pekak,
buta dan bisu. Mahukah saudara
mengahwini puteri saya itu sebagai syarat
kedua untuk saya memaafkan saudara?"
Sejenak Abu Salleh termenung
membuatkan dada Sheikh Abdullah
berdebar-debar. Akhirnya Abu Salleh
memandang ke arah Sheikh Abdullah dan
tersenyum, "Saya akan mengahwini puteri
tuan sekiranya tuan menghalalkan sebiji
epal yang saya makan tanpa izin dua
belas tahun yang lalu."
"Baiklah. Saya akan menghalalkan sebiji
epal yang saudara makan itu sekiranya
saudara mengahwini puteri saya."
Maka berlangsunglah satu majlis
perkahwinan di antara Abu Salleh dan
Ummu Khair Fatimah. Pada malam
perkahwinan itu, Abu Salleh masuk ke bilik
pengantin dan memberi salam kepada
isterinya. Sebaik sahaja isterinya menoleh
ke arahnya, wajah Abu Salleh berubah
kerana dia amat terkejut lalu berlari ke
ruang tamu menemui bapa mertuanya,
Sheikh Abdullah.
"Adakah seorang perempuan lain di dalam
bilik pengantin? Di manakah isteri saya
yang lumpuh, buta, pekak dan bisu itu?"
Sheikh Abdullah tersenyum mendengar
pertanyaan Abu Salleh lalu menjawab,
"Perempuan yang berada di dalam bilik
pengantin itu ialah puteri saya, Ummu
Khair Fatimah. Saya mengatakan dia
lumpuh kerana kakinya tidak pernah
menjejak ke tempat maksiat. Saya
mengatakan dia pekak kerana dia tidak
pernah mendengar perkara yang
terlarang. Saya katakan dia buta kerana
dia tidak pernah melihat perkara yang
haram dan saya mengatakan dia bisu
kerana dia tidak pernah menuturkan
sesuatu yang sia-sia."
Tersenyumlah Abu Salleh sebaik sahaja
Sheikh Abdullah menghabiskan kata-
katanya lalu dia menadah tangan, "Ya
Allah! Hambamu mengucapkan syukur yang
tidak terhingga!"
Hasil perkawinan Abu Salleh dan Ummu
Khair Fatimah ini lahirlah seorang ahli
agama yang terkenal diberi nama Sheikh
Abdul Kadir Jailani. Beliau digelar
Mahyuddin yang bermaksud, Yang
menghidupkan Agama!
Pengajaran:
i. Menghargai hak orang lain
ii. Sabar, rajin dan amanah dalam
melakukan sesuatu pekerjaan
iii. Amalan yang baik akan dibalas
dengan kebaikan oleh Allah s.w.t