Sang Kancil
dan Sang Gajah
Bermulalah kisah pada suatu petang sang
kancil yang cerdik bersiar-siar didalam
hutan belantara. Sedang ia bersiar-siar
tiba-tiba sang kancil telah terjatuh ke
jurang yang amat dalam. Ia cuba untuk
keluar berkali-kali malangnya tidak
berjaya.
Setelah segala usaha yang dilakukan
adalah sia-sia, sang kancil pun berfikir;
“Macam mana aku nak keluar dari lubang
yang sangat dalam ini”
Setelah lama berfikir namun tiada idea
yang bernas untuk sang kancil keluar dari
lubang tadi, namun sang kancil tetap tidak
mahu berputus asa.
Dalam kebuntuan mencari idea, sang kancil
telah terdengar bunyi tapak kaki yang
besar.
“Kalau bunyi tapak kaki macamni, ni tak
lain, mesti gajah ni!”
Kemudian Sang Kancil mendapat satu idea
yang bernas untuk menyelamatkan diri
untuk keluar dari lubang.
Kemudian sang gajah yang lalu itupun
menegur sang kancil;
“Eh sang kancil, tengah buat apa?” Tanya
si gajah.
“Menyelamatkan diri!”
“Dari apa?” Tanya gajah lagi.
“Dari bahaya, cuba tengok atas, langit nak
runtuh, dah hitam” Balas sang kancil.
Gajah yang dungu ini pun terus
mempercayai sang kancil bulat-bulat.
“Habis tu macam mana nak selamatkan
diri?” Tanya si gajah.
“Masuklah sekali dalam lubang ini, kalau
langit runtuh pun selamat kita dekat sini”
Tanpa berfikir panjang sang gajah pun
terus melompat ke dalam lubang untuk
menyelamatkan dirinya. Kemudian sang
kancil pun mengambil kesempatan untuk
melompat di atas badan gajah dan terus
keluar dari lubang yang dalam itu.
“Haha, padan muka engkau, selamat aku”
Kemudian sang kancil pun berlalu pergi
meninggalkan sang gajah yang masih
terpinga-pinga di dalam lubang tadi”.
Seronok juga bila membaca cerita kanak-
kanak begini. Teringat masa kecil dulu,
inilah cerita dongeng dan turun temurun
yang diwarisi dari zaman berzaman.
Namun bila difikirkan kembali, apa yang
cuba untuk disampaikan melalui cerita ini?
Jadilah seperti sang kancil yang cerdik
tapi tidak baik?
Atau jadilah seperti sang gajah yang baik
tapi tidak cerdik?
“Orang baik tetapi tidak cerdik akan ditipu,
orang yang cerdik tapi tidak baik akan
menipu”
Jangan jadi sang kancil seperti dalam
cerita tadi kerana sang kancil yang cerdik
tapi tidak baik telah menipu sang gajah
untuk menyelamatkan diri. Juga jangan
jadi seperti sang gajah kerana walaupun
baik tapi tidak cerdik akan ditipu.
Jadi tiada pilihan lain selain jadi orang
yang cerdik dan baik kerana orang yang
sebegini tidak akan ditipu juga tidak
menipu. Dan pengakhiran cerita sang
kancil dan sang gajah itu sepatutnya
begini.
“Eh, sang kancil, tengah buat apa?” Tanya
sang gajah.
“Aku terjatuh dalam lubang yang besar
inilah, dah berkali-kali aku cuba untuk
keluar tapi tak berjaya, bagaimana kalau
engkau berjaya tolong aku untuk keluar
dari sini, aku akan bagi tebu yang paling
besar di dalam hutan rimba ini!” balas
sang kancil.
“Oh, ye ke, baiklah tapi aku nak keluarkan
engkau bagaimana?”
“Cuba engkau tengok sekeliling, mana tau
ada dahan kayu ke pokok tumbang ke untuk
keluarkan aku dari lubang ini”
“Oh, aku nampak ada dahan kayu”
Kemudian sang gajah menggunakan
kekuatannya menolak tunggul kayu dan
menggunakan belalainya untuk menolak
tunggul kayu ke dalam lubang.
Kemudian sang kancil pun keluar dari
lubang itu dan seperti yang dijanjikan,
memberikan sang gajah tebu yang paling
besar dalam hutan rimba.
Moral:
Jadi orang yang cerdik dan baik kerana
orang yang sebegini tidak akan ditipu dan
tidak akan menipu.