The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.

GISC1082. PB 2. MUHAMMAD FARHAN. BM2.PPISMP.

Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by MUHAMMAD FARHAN BIN AHMAD SHAIFUL BAHARIN IPG-Pelajar, 2025-03-15 13:52:29

GISC1082. PB 2. MUHAMMAD FARHAN. BM2.PPISMP.

GISC1082. PB 2. MUHAMMAD FARHAN. BM2.PPISMP.

1 1.0 PENGENALAN Rasuah merupakan isu global yang memberi kesan negatif terhadap kestabilan politik, ekonomi, dan sosial sesebuah negara. Menurut Hajah Norresah Binti Baharon (2013), istilah “global” merujuk kepada sesuatu yang mencakupi seluruh dunia secara keseluruhan dan umum. Dalam konteks ini, rasuah bukan sekadar masalah domestik tetapi turut menjadi cabaran sejagat yang membimbangkan. Berdasarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (2025), rasuah didefinisikan sebagai penerimaan atau pemberian suapan dalam bentuk wang, hadiah, bonus, perkhidmatan, jawatan, upah, atau diskaun dengan tujuan mempengaruhi tindakan seseorang dalam melaksanakan tugas rasmi. Sebagai contoh, seorang kontraktor boleh menawarkan hadiah berupa jam tangan mewah kepada pegawai kerajaan sebagai balasan untuk mendapatkan kelulusan projek. Dari sudut perundangan, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694] memperincikan beberapa kesalahan utama berkaitan rasuah. Ini termasuk perbuatan meminta atau menerima suapan [Seksyen 16 & 17(a)], menawarkan atau memberi suapan [Seksyen 17(b)], mengemukakan tuntutan palsu [Seksyen 18], serta menyalahgunakan jawatan atau kedudukan bagi mendapatkan suapan dalam kalangan pegawai badan awam [Seksyen 23]. Secara keseluruhannya, amalan rasuah memberi implikasi besar terhadap pembangunan negara, termasuk ketirisan ekonomi, ketidakadilan sosial, dan ketidakstabilan politik. Oleh itu, penelitian mengenai cabaran memerangi rasuah adalah penting bagi mengenal pasti faktor penyebab serta strategi efektif dalam menangani isu ini secara holistik. 2.0 BENTUK-BENTUK RASUAH Rajah 1 menggambarkan bentuk-bentuk suapan rasuah yang sering berlaku (Pihak Berkuasa Peranti Perubatan Malaysia, 2023).


2 2.1 RASUAH DALAM SEKTOR AWAM DAN SWASTA Noraida Harun dan Zaidi Hassim (2017) menyatakan bahawa rasuah dalam sektor awam, khususnya dalam pentadbiran tanah, merupakan isu serius yang boleh menggugat kepercayaan masyarakat terhadap institusi kerajaan. Kesalahan yang sering berlaku dalam sektor ini termasuk penyalahgunaan kuasa, penerimaan suapan, dan pemalsuan dokumen rasmi bagi kepentingan peribadi. Statistik yang diperoleh daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menunjukkan bahawa jumlah tangkapan melibatkan penjawat awam meningkat, mencerminkan ketirisan integriti dalam pentadbiran tanah. Di samping itu, rasuah dalam sektor swasta semakin menjadi kebimbangan apabila pegawai syarikat berkaitan kerajaan turut terlibat dalam amalan sogokan, menunjukkan bahawa isu ini bukan hanya tertumpu kepada sektor awam. Penyalahgunaan kuasa dalam pentadbiran kerajaan berlaku apabila terdapat kerjasama antara pegawai sektor swasta dan awam, terutamanya dalam urusan perolehan (Berita Harian, 2014). Situasi ini bukan sahaja menjejaskan ketelusan tadbir urus tetapi juga memberi kesan negatif terhadap ekonomi negara. 2.2 SALAH GUNA KUASA DALAM PENTADBIRAN KERAJAAN Salah guna kuasa dalam pentadbiran kerajaan merujuk kepada tindakan pegawai awam atau pemimpin politik yang menyalahgunakan jawatan mereka bagi memperoleh keuntungan peribadi atau kepentingan tertentu. Sarah Dina Mohd Adnan dan Mohd Adib Ismail (2013) menyatakan bahawa tindakan ini melibatkan penyalahgunaan kepercayaan yang diberikan oleh masyarakat untuk mendapatkan keuntungan ekonomi atau manfaat lain yang tidak sah. Salah guna kuasa dalam pentadbiran kerajaan sering dikaitkan dengan amalan rasuah, pemalsuan dokumen, serta pengaruh politik yang tidak beretika. Menurut Ahmad Nasyran Azrae Haji Nasir (2018), penyalahgunaan kuasa dalam sektor awam melibatkan tindakan yang memanfaatkan kedudukan seseorang untuk kepentingan peribadi, termasuk memperoleh wang, jawatan, atau keistimewaan tertentu. Perkara ini sering berlaku dalam proses penganugerahan kontrak kerajaan, pemberian lesen, serta kelulusan projek infrastruktur, di mana pengaruh politik dan hubungan peribadi menjadi faktor utama dalam keputusan yang dibuat. Selain itu, kajian oleh Noraida Harun dan Zaidi Hassim (2017) menekankan bahawa salah guna kuasa dalam pentadbiran awam berkait rapat dengan kelemahan sistem kawal selia, yang memberi ruang kepada pegawai awam untuk bertindak di luar batas peraturan tanpa pemantauan ketat. Kelemahan ini membuka peluang kepada penyelewengan yang lebih meluas, yang apabila tidak ditangani dengan baik, boleh membawa kepada ketirisan dana awam serta ketidakcekapan dalam tadbir urus kerajaan.


3 3.0 PUNCA BERLAKUNYA AMALAN RASUAH DI MALAYSIA Faktor rasuah di Malaysia terbahagi kepada dalaman dan luaran. Faktor dalaman merangkumi kelemahan peribadi, kurangnya integriti, serta disiplin kerja yang rendah. Faktor luaran pula melibatkan gaji rendah, tekanan kewangan, dan dasar kerajaan yang kurang berkesan dalam menangani rasuah (Azman Ab Rahman et al. 2023). 3.1 STANDARD NILAI INTEGRITI YANG RENDAH Integriti merupakan prinsip moral dan etika yang menjadi asas kepada kejujuran serta ketelusan dalam pentadbiran. Individu yang mempunyai tahap integriti rendah cenderung melakukan tindakan yang bertentangan dengan nilai moral dan etika, termasuk rasuah dan penyalahgunaan kuasa (Suhardi Mohd, 2016). Faktor dalaman seperti sikap, nilai, dan personaliti memainkan peranan penting dalam menentukan integriti seseorang. Manakala, faktor luaran seperti tekanan organisasi, budaya kerja yang tidak sihat, serta pengaruh rakan sekerja turut menyumbang kepada kemerosotan nilai integriti (Azizi Yahaya, 2008). Menurut Jamiah Manap et al. (2007), kelemahan integriti dalam sektor perkhidmatan awam boleh mengakibatkan ketidakcekapan, pelanggaran disiplin, serta peningkatan amalan penyelewengan. Selain itu, faktor persekitaran seperti budaya, agama, dan nilai masyarakat turut mempengaruhi pembentukan moral seseorang dalam membuat keputusan berkaitan etika (Azizi Yahaya, 2008). Oleh itu, tahap integriti yang rendah bukan sahaja memberi kesan negatif kepada individu tetapi juga merosakkan kredibiliti organisasi serta menghakis kepercayaan masyarakat terhadap institusi awam. 3.2 TEKANAN KEWANGAN Tekanan kewangan merupakan salah satu faktor utama yang mendorong seseorang melakukan rasuah. Individu dengan pendapatan rendah atau yang mempunyai tanggungan ramai sering berdepan kesukaran memenuhi keperluan asas, terutama dengan peningkatan kos sara hidup (Sofea, 2021). Dalam sektor pekerjaan, tekanan industri juga menyebabkan segelintir pekerja terpaksa menerima rasuah untuk mencapai sasaran yang ditetapkan syarikat, terutama apabila matlamat tersebut dianggap tidak realistik (Mukhriz, 2022). Data daripada Presiden Kongres Kesatuan PekerjaPekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) juga mendapati dalam sektor awam, halangan kenaikan pangkat, pertukaran kerja yang tidak menentu, dan gangguan jadual kerja turut menyebabkan sesetengah penjawat awam berdiam diri terhadap aktiviti rasuah yang melibatkan pihak atasan. Akibatnya, banyak kes rasuah dalam kalangan penjawat awam berpangkat rendah sukar


4 dikesan. Justeru, tekanan kewangan yang berterusan mendorong individu memilih jalan pintas seperti rasuah bagi mengatasi beban ekonomi mereka. 4.0 IMPLIKASI AMALAN RASUAH TERHADAP NEGARA Rasuah memberi kesan buruk kepada kestabilan negara, merosakkan sistem pentadbiran, serta menghakis kepercayaan rakyat terhadap pemimpin dan institusi. Ia menyebabkan ketirisan hasil negara, kemerosotan ekonomi, serta ketidakstabilan politik dan sosial, sekali gus menghalang pembangunan dan kesejahteraan masyarakat secara menyeluruh. 4.1 IMPLIKASI KEPADA SOSIOEKONOMI NEGARA Mohd Adib Ismail dan Mohd Adnan (2013) menyatakan bahawa rasuah melemahkan organisasi dan menghakis kepercayaan rakyat terhadap golongan profesional. Hal ini juga menyebabkan kehilangan hasil negara akibat ketirisan dana awam. Selain itu, rasuah menggantikan cukai yang sepatutnya dikutip, menyebabkan hanya segelintir pihak mendapat manfaat. Akibatnya, pentadbiran menjadi tidak stabil, ekonomi merosot, dan kebajikan rakyat terabai. Malah, budaya rasuah yang berleluasa boleh membawa kepada kejatuhan kepimpinan negara, sebagaimana yang berlaku dalam pemerintahan Presiden Marcos di Filipina akibat rasuah yang tidak terkawal. Rasuah bukan sahaja menjejaskan ekonomi tetapi juga menimbulkan ketidakstabilan politik yang boleh mengancam kestabilan negara. 4.2 IMPLIKASI KEPADA TAHAP KEPERCAYAAN DAN KEYAKINAN MASYARAKAT Nurhafilah (2014) menyatakan bahawa rasuah yang berleluasa merosakkan kepercayaan rakyat terhadap institusi dan pemimpin negara, mencipta ketidaksamarataan serta menghakis keyakinan masyarakat. Hal ini membawa kepada ketidakstabilan politik dan sosial, serta ketidakadilan dalam sistem pentadbiran. Selain itu, rasuah meningkatkan kos sara hidup akibat dasar yang berat sebelah dan peraturan yang berpihak kepada individu atau organisasi tertentu. Akibatnya, masyarakat keseluruhan menanggung beban ekonomi dan kesejahteraan rakyat terjejas. Situasi ini memburukkan keadaan negara dari segi keselamatan dan kestabilan ekonomi, sekaligus memberi kesan negatif jangka panjang terhadap pembangunan negara. Apabila kepercayaan rakyat terhadap institusi merosot, pelaburan asing juga terjejas kerana pelabur cenderung menghindari negara dengan tahap rasuah yang tinggi. Keadaan ini menghalang pertumbuhan ekonomi dan memperlahankan pembangunan infrastruktur.


5 5.0 LANGKAH MENGATASI CABARAN RASUAH DALAM KONTEKS REVOLUSI INDUSTRI SEMASA DAN ERA GLOBALISASI Rasuah merupakan ancaman yang serius terhadap integriti pentadbiran dan kesejahteraan masyarakat. Dalam era Revolusi Industri semasa dan globalisasi, cabaran menangani rasuah semakin kompleks akibat kemajuan teknologi digital, keterbukaan maklumat, serta peningkatan interaksi ekonomi secara global. Oleh itu, pelbagai langkah strategik perlu diperkenalkan bagi memastikan ketelusan, akauntabiliti serta sistem tadbir urus negara yang lebih berkesan. Antara pendekatan utama termasuk pelaksanaan pusingan kerja, kajian berterusan secara holistik, serta pengintegrasian nilai-nilai Islam dalam pentadbiran. 5.1 PELAKSANAAN PUSINGAN KERJA DALAM ERA DIGITAL DAN GLOBALISASI Pelaksanaan pusingan kerja adalah pendekatan di mana penjawat awam dipindahkan antara jabatan atau kementerian bagi mengelakkan salah laku serta meningkatkan kecekapan pengurusan. Menurut Ahmad Murtadha Mohamed (2021), strategi ini dapat mengurangkan risiko penyalahgunaan kuasa dan membendung amalan rasuah dalam sektor awam. Dalam konteks Revolusi Industri 4.0, pelaksanaan pusingan kerja boleh diperkukuh melalui penggunaan teknologi digital seperti kecerdasan buatan (AI) dan analitik data raya (big data) bagi mengenal pasti potensi ketidaktelusan serta corak salah laku dalam pentadbiran. Di samping itu, sistem pemantauan digital juga dapat mengesan individu yang mempunyai kecenderungan untuk menyalahgunakan kuasa, sekali gus memastikan akauntabiliti yang lebih tinggi dalam pentadbiran sektor awam dan swasta. Beberapa negara maju telah mula menerapkan sistem ini bagi meningkatkan ketelusan pentadbiran, dan Malaysia wajar mengadaptasinya dalam konteks pentadbiran moden. 5.2 MENINGKATKAN KAJIAN SECARA HOLISTIK BERASASKAN TEKNOLOGI Kajian yang berterusan amat penting dalam mendalami pemahaman mengenai punca dan corak rasuah di Malaysia. Aqilah Nior Kamarulbaid (2022) menegaskan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh menjalankan pelbagai kajian bagi membangunkan modul pendidikan serta mempromosikan tadbir urus yang lebih berkesan. Dalam era globalisasi dan kemajuan Revolusi Industri 4.0, kajian ini dapat diperkukuh melalui penerapan teknologi seperti blockchain bagi memastikan ketelusan dalam transaksi kewangan serta pentadbiran kerajaan. Penggunaan data raya juga dapat membantu dalam menganalisis kelemahan sistem pentadbiran, sekali gus membolehkan pelaksanaan intervensi yang lebih berkesan. Selain itu, modul yang dihasilkan daripada kajian ini boleh diterapkan dalam institusi pendidikan bagi


6 membentuk generasi yang lebih celik teknologi serta mempunyai kesedaran tinggi terhadap bahaya rasuah dalam pembangunan negara. Kajian yang bersifat pencegahan jangka panjang ini boleh digunakan sebagai asas untuk merangka dasar anti-rasuah yang lebih komprehensif dan efektif. 5.3 PENGINTEGRASIAN PENERAPAN NILAI-NILAI ISLAM DALAM ETIKA DIGITAL DAN SOSIAL Dalam Islam, rasuah adalah dosa besar yang bertentangan dengan keadilan serta mengancam keharmonian masyarakat. Nooraini Othman (2009) menegaskan bahawa penjawat awam perlu menerapkan nilai-nilai Islam kerana mereka merupakan aset pembangunan negara. Penerapan nilai Islam dalam pentadbiran membantu individu mengelak jenayah dengan menyedari kesan buruk rasuah terhadap masyarakat dan ekonomi negara. Dalam era Revolusi Industri dan globalisasi, pendekatan ini boleh diperluaskan dengan memastikan sistem pentadbiran digital dan ekonomi dalam talian dikawal selia berlandaskan prinsip etika Islam seperti kejujuran, akauntabiliti, dan integriti. Pendidikan moral dan etika dalam sistem digital juga penting bagi membentuk budaya kerja yang berlandaskan nilai Islam dalam penggunaan teknologi moden. Sebagai contoh, pemantauan ketat terhadap etika dalam e-kerajaan, transaksi digital, dan perniagaan atas talian perlu diperkenalkan bagi memastikan setiap urusan dilakukan secara telus dan bebas daripada unsur rasuah. 6.0 PENUTUP Rasuah merupakan isu global yang memberi kesan negatif kepada kestabilan politik, ekonomi, dan sosial sesebuah negara. Ia merosakkan integriti institusi, melemahkan pentadbiran kerajaan, serta menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap pemimpin. Punca utama amalan rasuah termasuk kelemahan integriti, tekanan kewangan, dan sistem kawal selia yang longgar. Akibatnya, negara mengalami ketirisan ekonomi, ketidakstabilan politik, serta pengabaian kebajikan masyarakat. Langkah-langkah seperti pelaksanaan pusingan kerja, kajian berterusan, dan penerapan nilai Islam penting untuk membendung rasuah. Oleh itu, usaha memerangi rasuah perlu bersifat holistik dengan melibatkan semua pihak bagi memastikan ketelusan, akauntabiliti, dan pembangunan negara yang mampan. Tanpa tindakan tegas, rasuah akan terus menjadi penghalang kepada kemajuan negara dan kesejahteraan rakyat.


7 7.0 RUJUKAN Ahmad Murtadha Mohamed. (2021, April 4). Tingkat moral, integriti diri elak terjebak amalan rasuah. Berita Harian. https://www.bharian.com.my/rencana/lain-lain/2021/04/806072/tingkat-moral- integriti-diri-elak-terjebak-amalan-rasuah Ahmad Nasyran Azrae Haji Nasir. (2018). Penglibatan rasuah di kalangan agensi penguatkuasaan kerajaan: Satu analisis laporan berita tempatan. International Journal of Law, Government and Communication. Aqilah Mior Kamarulbaid. (2022, April 4). Rasuah di Malaysia sudah tidak terkawal. Utusan Malaysia. https://www.utusan.com.my/rencana/forum/2022/04/rasuah-di-malaysia-sudah-tidak- terkawal/ Azizi Yahaya. (2008). Keluarga dalam pembentukan moral. Journal of Science & Mathematics Education. Azman Ab Rahman, Md Yunus Abd. Aziz, Ahmad Zaki Bin Salleh, & Anis Nabilah Kamrulazman. (2023). Gejala rasuah dan implikasi terhadap masyarakat Malaysia menurut perspektif syarak. Journal of Fatwa Management and Research, 28(2), 1–10. https://doi.org/10.33102/jfatwa.vol28no2.538 Berita Harian. (2014, Disember 1). Rasuah dalam sektor swasta dalam pemantauan SPRM. Berita Harian. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2014/12/20938/rasuah-dalam-sektor- swasta-dalam-pemantauan-sprm. Hajah Noresah Bt Baharon. (2013). Kamus Dewan Edisi Keempat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Jamiah Manap, Azimi Hamzah, Ezhar Tamam, Sidek Mohd. Noah, Amini Amir, Norizan Yahaya, Halimah Alma Othman, & Hanina Halimatus Saadiah Hamsatun. (2007). Pemantapan nilai integriti individu sebagai teras pembangunan staf berkualiti. Universiti Putra Malaysia, Serdang.


8 Mukhriz Mat Husin. (2022). Terpaksa ambil rasuah akibat tekanan industri. Sinar Harian. https://www.sinarharian.com.my/article/183314/KHAS/Sinar-Rasuah-Buster/Terpaksa-ambil- rasuah-akibat-tekanan-industri. Mohd Adib Ismail & Mohd Adnan, S. D. (2013). Impak rasuah kepada pertumbuhan ekonomi. Prosiding Persidangan Kebangsaan Ekonomi Malaysia ke VIII (PERKEM VIII), 1, 246–253. Noraida Harun & Zaidi Hassim. (2017). Rasuah dalam pentadbiran tanah: Penyelesaian menurut Islam. Jurnal Islam dan Masyarakat Kontemporari, 15(1), 37–50. https://doi.org/10.37231/jimk.2017.15.1.219 Nooraini Othman. (2009). Keseimbangan personaliti dan akademik sebagai teras pembangunan modal insan. Jurnal HEP & ALUMNI, UiTM, 1(1). Nurhafilah. (2014). Penerapan konsep mas’uliyyah dan amanah dalam pentadbiran ke arah bersih rasuah – Kajian di Majlis Perbandaran Kota Bharu – Bandar Raya Islam (MPKB-BRI). Jurnal Keputeraan, 3, 1435H/2014M. Pihak Berkuasa Peranti Perubatan Malaysia. (2023, Disember 29). Kenali bentuk suapan rasuah. Kementerian Kesihatan Malaysia. https://www.mda.gov.my/index.php/ms/infographics/1337- kenali-bentuk-suapan-rasuah Rasuah dalam sektor swasta dalam pemantauan SPRM. (2014, Disember 1). Berita Harian. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2014/12/20938/rasuah-dalam-sektor-swasta- dalam-pemantauan-sprm Sarah Dina Mohd Adnan, & Mohd Adib Ismail. (2013). Impak rasuah kepada pertumbuhan ekonomi. Persidangan Kebangsaan Ekonomi Malaysia ke VIII 2013 (PERKEM VIII), 1, 246–253. Sofea Azahar. (2021). Gaji tidak padan dengan kos sara hidup. Sinar Harian. https://www.sinarharian.com.my/article/130814/KHAS/Pendapat/Gaji-tidak-padan-dengan- kos-sara-hidup.


9 Suhardi Mohd. (2016). Birokrasi awam pentadbiran Kabupaten Bintan dan penerapan sumbangan falsafah budaya Melayu (Tesis PhD). Universiti Teknologi Malaysia. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. (2025). Apa itu rasuah? https://www.sprm.gov.my


Click to View FlipBook Version