The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by khairyrozaily, 2021-12-10 01:31:07

e folio Etika Dan Peradaban

e folio Etika Dan Peradaban

TAJUK:PEMBENTUKAN MALAYSIA

KOD & NAMA KURSUS : MPU21032 Penghayatan
Etika dan Peradaban

JABATAN:JABATAN KEJURUTERAAN MEKANIKAL

Bil Nama No. Matriks
1. Khairy Rozaily 23DKM19F1102
2. Muhammad Fadhil Bin Zulfaqar 23DKM19F1121
3. Muhammad Danial Hakeem Bin Basir 23DKM19F1135

PENGHARGAAN

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih dan penghargaan
kepada pensyarah Penghayatan Etika Dan Peradaban saya, Encik Mohd Asri Bin
Abd Ghani di atas bimbingan,tunjuk ajar dan saranan yang bernas serta
kesudian beliau meluangkan masa mengadakan sesi perbincangan sepanjang
E-Folio ini dijalankan.Jasa dan sumbangan yang dicurahkan selama ini akan
dihargai dan dikenang buat selama-lamanya.

Penghargaan ini juga ditujukan kepada rakan kumpulan saya yang telah banyak
membantu dan memberikan Kerjasama untuk menyiapkan E-Folio ini.

PENGENALAN

Pembentukan Persekutuan Malaysia pada tahun 1963 mempunyai sejarah
pembentukan yang panjang.Pada peringkat awal, Malaysia dikenali sebagai
Persekutuan Tanah Melayu . Setelah mencapai kemerdekaan, Parti Perikatan
yang memerintah Persekutuan Tanah Melayu mendapati keadaan politik yang
tidak aman di negara-negara jiran yang boleh memberi kesan terhadap
kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu. Justeru, Perdana Menteri Tanah
Melayu yang pertama pada waktu itu, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah
menyuarakan hasrat pembentukan Gagasan Malaysia yang melibatkan Tanah
Melayu, Singapura, Borneo Utara (Sabah), Sarawak dan Brunei. Akan tetapi,
semua perjalan itu membuatkan keadaan Malaysia pada masa kini lebih stabil
dari segi ekonomi dan sosial walaupun terdapat beberapa tahap perubahan
yang Tanah Melayu harus lalui menggunakan masa dan tenaga daripada
pelbagai pihak untuk menjayakan pembentukan Persekutuan Tanah Melayu.

FAKTOR-FAKTOR PEMBENTUKAN MALAYSIA

1)MENGELAKKAN ANCAMAN DAN PENGARUH KOMUNIS

Pengaruh komunis yang semakin meluas di Asia Tenggara membimbangkan
Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu. Pengaruh komunis terutama sekali di
Singapura mula merebak ke dalam parti yang memerintah Singapura sejak
tahun 1959, iaitu Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang dipimpinan oleh Lee Kuan
Yew. Kegiatan dan pengaruh komunis semakin kukuh apabila bekas anggota
PAP berhaluan kiri menubuhkan Barisan Sosialis yang dipimpin oleh Lim Chin
Siong.

Pada tahun 1961, Pengaruh komunis semakin merebak di kawasan Hong Lim
dan Anson iaitu di Singapura. Tunku Abdul Rahman amat bimbang kerana
beliau khuatir Singapura akan dikuasai oleh pihak komunis dan keadaan ini
yang dapat mengancam keselamatan Persekutuan Tanah Melayu. Oleh itu,
Tunku berpendapat bahawa penubuhan Malaysia akan dapat menghalang
pengaruh komunis daripada merebak di Singapura.

2)MEMBERI KEMERDEKAAN KEPADA SABAH, SARAWAK, BRUNEI DAN
SINGAPURA

Negeri-negeri seperti Sabah, Sarawak, Brunei dan Singapura akan
memperolehi kemerdekaan lebih awal daripada yang dijangkakan dengan
penubuhan Malaysia. Semasa cadangan ini disuarakan, negara-negara
tersebut masih lagi berada di bawah penjajahan British. Dalam hal ini, Sabah
dan Sarawak diletakkkan di bawah status negeri jajahan, manakala Singapura
dan Brunei diletakkan di bawah negeri naungan.

Dalam perancangan penubuhan Persekutuan Malaysia, Malaysia akan
ditubuhkan dalam tempoh dua tahun.Akan Tetapi jika Sabah dan Sarawak cuba
mencapai kemerdekaan secara berasingan, besar kemungkinan kemerdekaan
itu tidak akan tercapai biarpun dalam tempoh lima tahun ataupun
sebaliknya.Oleh itu, kemerdekaan Sabah dan Sarawak dapat dipercepatkan jika
menyertai Malaysia.

Dalam tahun-tahun 1960-an, kerajaan British mempertimbangan untuk
memberi kemerdekaan kepada tanah-tanah jajahannya. Namun,Sabah dan
Sarawak merupakan wilayah jajahan British yang belum bersedia untuk
merdeka apatah lagi untuk berdikari kerana suasana ekonomi dan politiknya
yang kurang memuaskan. Tunku Abdul Rahman berpendapat bahawa kerajaan
British tidak bercadang untuk memberi kemerdekaan kepada Sabah dan
Sarawak walaupun dalam masa lima tahun. Oleh itu, Tunku percaya dengan
menggabungkan Sabah dan Sarawak ke dalam Malaysia akan lebih
memudahkan dan mempercepatkan kemerdekaan dua wilayah ini serta dapat
mengelakkan hasrat komunis untuk membentuk tampuk pemerintahannya.

Pihak British bimbang wilayah tersebut akan dipengaruhi oleh komunis dan
akan menyebabkan British akan hilang kepentingan ekonomi dan sosial jika
kemerdekaan tidak diberikan kepada wilayah tersebut pada masa akan datang.
Disamping itu, terdapat juga pengaruh luar yang berminat terhadap negeri
Sabah, Sarawak dan Brunei, sebagai contoh Filipina dan Indonesia

3)PERKONGSIAN FAEDAH EKONOMI

Negara-negara anggota akan dapat mengadakan kerjasama ekonomi dan
perdagangan untuk faedah bersama melalui Persekutuan Malaysia. Secara
tidak langsung, negara-negara anggota yang kaya dengan sumber ekonomi
dapat membantu negara-negara anggota yang miskin dan kekurangan sumber
ekonomi sekaligus dapat meningkatkan pembangunan ekonomi, terutama di
Sabah dan Sarawak yang masih belum maju dari segi ekonomi.

Manakala Tanah Melayu, Singapura dan Brunei pula akan menjadi
penyumbang kepada negara-negara berkenaan. Ini kerana Tanah Melayu kaya
dengan sumber bahan mentah, Brunei pula kaya dengan sumber minyaknya.
Singapura pula akan lebih selamat dari segi ekonomi sekiranya menyertai
Persekutuan Malaysia.

4)MEMBELA MASYARAKAT BUMIPUTERA DI SABAH DAN SARAWAK.

Nasib penduduk di wilayah Sabah dan Sarawak tidak sama dengan nasib
penduduk di Semenanjung Tanah Melayu sebelum bergabung dengan
Malaysia, khususnya golongan Bumiputera. Kebanyakan jawatan dan kegiatan
ekonomi di wilayah-wilayah tersebut dikuasai oleh bangsa asing. Sebahagian
besar penduduk pula terlibat dalam sektor pertanian dan penggunaan tanah
untuk sistem penanaman tetap hanya pada kadar 3% sahaja. Jika kedua-dua
wilayah tersebut digabungkan ke dalam Persekutuan Malaysia, Kemungkinan
layanan istimewa akan diberikan kepada penduduk Bumiputera Sabah dan
Sarawak adalah lebih besar.

Malahan, kedudukan dan keistimewaan Bumiputera telah termaktub dalam
Perlembagaan Persekutuan Malaysia.Sistem perhubungan di kedua-dua
wilayah ini juga daif kerana infrastrukturnya masih bergantung pada sungai-
sungai dan perjalanan udara. Ianya agak sukar untuk mewujudkan
perhubungan darat secara besar-besaran. Selain itu, kerajaan British tidak
memberikan layanan yang baik pada golongan Bumiputera di kedua-dua
wilayah ini manakala British memberikan perhatian kepada orang luar yang
datang ke wilayah ini. Malah, tahap pendidikan, penguasaan ekonomi, kadar
celik huruf dan pengisian jawatan kerajaan lebih tinggi di kalangan orang luar.
Kaum Bumiputera yang mempunyai pendidikan tinggi sangat sedikit dan ini
menyebabkan peluang untuk mereka menjawat sebarang jawatan dalam
kerajaan terbatas.

5)MENJAGA KEPENTINGAN DAN HAK KAUM BUMIPUTERA

Menurut Tunku Abdul Rahman, gagasan pembentukan Malaysia perlu
menggabungkan wilayah-wilayah Borneo seperti Sabah, Sarawak dan Brunei
bukan hanya terhad kepada Tanah Melayu dan Singapura sahaja. Jika Tanah
Melayu dan Singapura sahaja bergabung, ia akan mengurangkan majoriti
penduduk Melayu. Hal ini demikian kerana Singapura mempunyai 80%
penduduk yang bukan berbangsa Melayu dan apabila dicantumkan dengan
penduduk Persekutuan Tanah Melayu, penduduk bukan berbangsa Melayu
akan menjadi golongan terbesar.

Apabila pencantuman berlaku antara Tanah Melayu dan Singapura, bilangan
masyarakat Cina akan menjadi 43.5%, sementara orang Melayu menjadi 43%.
Ini merupakan anggaran penduduk Tanah Melayu pada tahun 1960, orang
Melayu kira-kira 50% dan orang Cina 36.9%. Justeru, apabila penduduk Sabah
dan Sarawak diambil kira, bilangan kaum Bumiputera termasuk Melayu akan
menjadi 46.3%, sementara orang Cina menjadi 42.4%. Ini bermaksud ia dapat
menjamin kedudukan orang Melayu dan Bumiputera tidak terancam,
kemasukkan Sabah dan Sarawak juga membolehkan kumpulan Melayu dan
Bumiputera kekal sebagai kumpulan terbesar.

REAKSI NEGARA-NEGARA JIRAN

Terdapat tentangan yang perlu dihadapi dari 2 negara iaitu Filipina dan
Indonesia.Filipina membantah pembentukan Malaysia manakala Indonesia
pula cuba menghalang pembentukan Malaysia.

FILIPINA

Filipina menentang penubuhan Malaysia dan Kerajaan Filipina di bawah
pimpinan Macapagal. Presiden Macapagal dan pegawai-pegawai tinggi
kerajaan Filipina juga sebenarnya pernah membuat tuntutan Sabah dari pada
Kerajaan British dengan menghantar sepucuk surat rasmi pada 22 Jun
1962.Filipina mendakwa Sabah masih sebahagian daripada milik Keultanan
Sulu.Tuntutan ini berdasarkan perjanjian yang telah ditandatangani antara
Sultan Jamalul Alam dengan Baron von Overbeck pada 22 Januari 1878.Baron
von Overbeck kemudian telah menjualkan haknya kepada Alfred Dent pada
tahun 1880.Alfred Dent telah menubuhkan syarikat perdagangan yang telah
berjaya menperoleh Piagam Diraja daripada Kerajaan British.

Pada tahun 1881,syarikat ini Dikenali sebagai Syarikat British Utara
Borneo(SBUB) dan kemudiannya menjadi Syarikat Berpiagam Borneo
Utara.Syarikat Berpiagam telah memerintah Sabah sehingga penjajahan Jepun
sewaktu Perang Dunia Kedua.Pada tahun 1946,Syarikat Berpiagam Borneo
Utara telah menyerahkan pemerintahan Sabah kepada kerajaan
British.Pajakan ini telah diisytiharkan tamat oleh waris Sultan Sulu yang
terakhir,iaitu Sultan Esmail Kiram pada 22 Januari 1953.Menjelang bulan Jun
1966,Filipina telah mengiktiraf penubuhan Malaysia.

INDONESIA

Pada peringkat awal, Indonesia menyokong dalam pembentukan Malaysia
asalkan ia tidak melibatkan negara Indonesia. Menteri luar Indonesia, Dr.
Suhandiri (New York Times – 13 Nov 1961) pernah menyatakan bahawa
Indonesia tidak akan menghalang penubuhan ini sebaliknya mendoakan
supaya kerajaan Persekutuan Tanah Melayu berjaya seperti yang telah
dirancang.

Walau bagaimanapun, sokongan ini tidak tahan lama apabila Indonesia telah
menentang keras dan mengecam pembentukan ini. Presiden Sukarno
mengumumkan dasar konfrantasinya pada 20 Januari 1963 dengan slogan
‘Ganyang Malaysia’. Malah mereka juga telah menyokong tindakan Parti
Rakyat Brunei dalam menentang Pembentukan Malaysia pada 8 Disember
1962. Alasan Sukarno ialah kerana Tanah Melayu membelakangkan Indonesia
semasa penubuhan Malaysia. Tindakan ini kerana penubuhan Malaysia
mengancam idea pembentukan empayar Indonesia Raya. Ianya juga
merupakan taktik mengalih perhatian rakyatnya daripada beberapa masalah
dalaman.

Pada 11 Februari 1963, Dr. Subandrio mengisytiharkan dengan rasmi
penentangan kerajaan Indonesia terhadap pembentukan Malaysia. Mereka
mendakwa bahawa tujuan penubuhan Malaysia adalah untuk menyelamatkan
getah, bijih timah dan minyak untuk British.

Dasar konfrantasi Sukarno memuncak dengan penghantaran Tentera Indonesia
di sempadan Sabah dan Sarawak. Indonesia juga menghantar tenteranya di
pantai barat Johor untuk pengintipan. Tindakan ini dapat dibendung sehingga
rancangan konfrantasi ini menjadi semakin lemah. Pada tahun 1965, Sukarno
telah digulingkan oleh Jeneral Suharto. Menteri Luar Indonesia, Adam Malik
membuat perjanjian damai bagi mengakhiri konfrantasi pada bulan ogos 1966.

PROSES PEMBENTUKAN MALAYSIA
Proses perbincangan dan perundingan kearah pembentukan Malaysia adalah
panjang dan rumit. Banyak perkara yang perlu dipertimbangkan dan diatasi
sebelum cadangan ini dapat direalisasikan. Beberapa tindakan juga perlu
diambil bagi memastikan pembentukan ini memuaskan hati semua pihak.

JAWATANKUASA PERUNDINGAN PERPADUAN MALAYSIA(JPMM)
Pada bulan Julai 1961, British telah menubuhkan Jawatan Kuasa Perpaduan
Malaysia. Pengerusi Jawatan Kuasa Perpaduan Malaysia ialah Donald Stephen
yang merupakan anggota Majlis Undangan Sabah. Satu mesyuarat Persatuan
Parlimen Komanwel (PKK) cawangan Tanah Melayu dan Borneo telah diadakan
di Singapura. Semasa mesyuarat ini, pemimpin-pemimpin Persekutuan Tanah
Melayu dan Singapura telah mengambil peluang ini untuk menjelaskan konsep
Malaysia kepada perwakilan Sabah, Sarawak dan Brunei yang hadir ke
mesyuarat tersebut.

Penerangan ini bertujuan untuk mengurangkan salah faham, terutama sekali di
antara kalangan pemimpin tiga wilayah tersebut tentang penubuhan Malaysia.
Kesan daripada persefahaman ini, mesyuarat telah bersetuju untuk
menubuhkan Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia. Jawatankuasa
ini dianggotai oleh wakil-wakil dari semua wilayah yang terlibat dalam
pembentukan. Namun, perwakilan Brunei menganggap diri mereka hanya
sebagai pemerhati kerana ketidaksediaaan Brunei menyertai gabungan.

Secara amnya, jawatankuasa ini berfungsi untuk menerangkan dengan lebih
jelas tentang konsep pembentukan Malaysia pada orang ramai, khususnya
penduduk Sabah, Sarawak dan Brunei. Jawatankuasa akan mengumpul dan
membandingkan idea-idea serta pendapat yang dikemukakan berhubung
pembentukan Malaysia. Keterangan dan perbincangan akan dilaksanakan
dengan lebih giat untuk menyegerakan rancangan pembentukan Malaysia
ini.Selain itu, jawatankuasa juga berusaha mendapatkan kata sepakat daripada
pemimpin-pemimpin politik di semua daerah terbabit. Semenjak
pembentukan jawatankuasa ini, mereka telah mengadakan perjumpaan
sebanyak empat kali, iaitu pertamanya di Jesselton (Kota Kinabalu) pada 21
Ogos 1961, kedua di Kuching pada 18 Disember 1961, ketiga di Kuala Lumpur
pada 6 Januari 1962 dan keempat di Singapura pada 1 Februari 1962.

Dalam perjumpaan ini, jawatankuasa dan usaha-usaha yang dilaksanakan oleh
tokoh dari Tanah Melayu dan Singapura seperti Tunku Abdul Rahman sendiri,
Ismail Yusoff, Datu Ong Yoke Lim dan Lee Kuan Yew memainkan peranan yang
sangat penting. Perjumpaan yang mereka adakan dengan pemimpin-pemimpin
Sabah dan Sarawak telah mencapai hasil yang amat memberangsangkan.

SURUHANJAYA COBBOLD

Suruhanjaya Penyiasat Borneo Utara atau Suruhanjaya Cobbold telah
ditubuhkan setelah satu rundingan dibuat antara kerajaan Persekutuan Tanah
Melayu dengan kerajaan British pada bulan November 1961. Suruhanjaya ini
dilantik secara rasmi pada 16 Januari 1962. Suruhanjaya ini dipanggil
Suruhanjaya Cobbold sempena nama ketuanya, iaitu Lord Cobbold seorang
berbangsa Inggeris. Ahli suruhanjaya ini ialah Lord Cobbold, iaitu bekas
Gabenor Bank England sebagai ketua, Anthony Abell dan David Waterson yang
mewakili kerajaan British, sementara Dato’ Wong Pow Nee dan Tan Sri Mohd.
Ghazali Shafie sebagai wakil kerajaan Persekutuan Tanah Melayu.

Kerajaan United Kingdom dan kerajaan Persekutuan Tanah Melayu bersetuju
bahawa dengan memasukkan Borneo Utara dan Sarawak (bersama-sama
dengan lain-lain negeri) ke dalam Persekutuan Malaysia yang dicadangkan itu,
banyak faedah yang diperoleh rakyat di negara yang berkenaan. Matlamat
penubuhan Suruhanjaya Cobbold adalah untuk menyiasat pandangan rakyat
Borneo Utara dan Sarawak berkenaan hal ini.

Suruhanjaya Cobbold telah menjalankan tugasnya yang bermula pada 19
Februari 1962 sehingga bulan April 1962. Dalam tempoh dua bulan tersebut,
Suruhanjaya Cobbold telah mengadakan 50 perjumpaan di 35 buah tempat,
iaitu 20 di Sarawak dan 15 di Sabah serta telah menemui lebih daripada 4000
orang yang mewakili kira-kira 690 buah kumpulan. Selain itu, suruhanjaya ini
juga mempelawa dan menerima surat-surat atau memorandum daripada
orang ramai untuk menyuarakan pendapat mereka. Semasa menjalankan
tugasnya, suruhanjaya telah menerima lebih daripada 2000 (lebih kurang 600
pucuk surat dari Sabah dan selebihnya dari Sarawak ) memorandum yang
dikemukakan sama ada oleh lembaga-lembaga bandaran, ketua kaum, Majlis
Daerah, ahli parti politik, persatuan-persatuan, dewan-dewan perdagangan,
pemimpin agama mahupun orang perseorangan.

Daripada keseluruhan kerja atau tugas yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya
Cobbold ini, jelas mereka membuat tinjauan serta penyiasatan secara
menyeluruh dan mewakili sebahagian besar penduduk di kedua-dua wilayah
tersebut.
Sebuah laporan penyiasatan telah dikemukakan kepada kerajaan British pada
bulan Jun 1962 dimana penyiasatan telah ditamatkan pada 18 April 1962.
Menurut laporan suruhanjaya ini, lebih kurang 80% daripada penduduk Sabah
dan Sarawak menyokong pembentukan ini dan sebahagian besar daripada
mereka ialah kaum Bumiputera. Secara keseluruhan, bentuk sokongan
masyarakat Sabah dan Sarawak terbahagi kepada tiga golongan iaitu:

a)1/3 daripada dua buah negeri ini menyokong penuh penggabungan
tanpa syarat

b)1/3 lagi turut menyokong, tetapi dengan syarat-syarat dan jaminan
tertentu.

c)1/3 lagi separuhnya mahukan kemerdekaan dahulu sebelum bergabung
dan separuhnya yang menentang kerana mahu kekal dalam pemerintahan
British. Bilangan yang menentang ini dicatatkan hanya lebih kurang 20%
sahaja.

JAWATANKUASA ANTARA KERAJAAN

Selepas Suruhanjaya Cobbold membuat laporan yang agak memuaskan, tugas
untuk merangka syarat-syarat Persekutuan secara terperinci telah digubal oleh
sebuah jawatankuasa yang dipanggil Jawatankuasa Antara Kerajaan (JAK) yang
diketuai oleh Lord Landsdowne dan sebagai Pengerusi, Tun Abdul Razak
Hussein sebagai Timbalan Pengerusi, wakil-wakil kerajaan British dan wakil-
wakil negeri Sarawak, Sabah dan Singapura.

Jawatankuasa ini telah membentuk satu perlembagaan khususnya yang
melibatkan permintaan Sabah dan Sarawak berdasarkan memorandum yang
diterima daripada parti-parti politik di Sabah dan Sarawak.

Laporan yang dibuat oleh jawatankuasa ini menggunakan Perlembagaan
Persekutuan Tanah Melayu 1957 dan Laporan Suruhanjaya Cobbold serta
cadangan yang dibuat oleh Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia
sebagai asas. Perlembagaan yang dibentuk ini disahkan oleh kerajaan British
pada 9 Julai 1963. Antara perkara yang menjadi teras utama dalam
perlembagaan tersebut ialah :

a) Agama Islam dijadikan agama rasmi bagi seluruh Persekutuan Malaysia,
kecuali di Sabah dan Sarawak.

b) Bahasa Melayu telah dijadikan sebagai bahasa rasmi Persekutuan
Malaysia, tetapi kelonggaran diberikan kepada Sabah dan Sarawak untuk
menggunakan bahasa Inggeris dalam perkara-perkara rasmi selama 10 tahun
selepas kemasukan ke dalam Persekutuan.

c) Kuasa kawalan imigresen di Sabah dan Sarawak akan diserahkan
kepada kerajaan negeri masing-masing walaupun peruntukan tersebut di
bawah kawalan kerajaan pusat. Ini adalah untuk memberi keyakinan kepada
Sabah dan Sarawak bahawa tujuan Tanah Melayu bukanlah untuk menjajah
negara tersebut.

d) Sistem pendidikan masih dikekalkan sehingga Majlis Negeri membuat
pindaan.

e) Sabah diberikan 24 perwakilan Parlimen, manakala Sarawak 16 dan
Singapura 15 buah kerusi.

REFERENDUM SINGAPURA

Jika peristiwa di Sabah dan Sarawak melibatkan penyiasatan oleh Suruhanjaya
Cobbold, Singapura turut membuat satu pungutan suara yang dipanggil
Referendum Singapura. Cara meninjau pendapat penduduk Singapura untuk
mendapatkan kepastian dan pendirian rakyat Singapura berhubung
penubuhan Malaysia ialah dengan mengadakan referendum oleh kerajaan
Singapura. Secara keseluruhan, pungutan suara ini bukan bertujuan untuk
membenarkan rakyat Singapura menolak penubuhan Malaysia, tetapi untuk
menerima cadangan ini dengan pendirian mereka yang tersendiri.

Kerajaan Singapura membuat keputusan ini kerana yakin sebahagian besar
parti politik di Singapura menyokong cadangan Malaysia, cuma pandangan dan
pendirian mereka juga perlu diambil kira. Soal menolak sudah tidak wujud,
tetapi soal penubuhan perlu dibincangkan. Dalam pungutan suara ini, rakyat
Singapura diberi tiga pilihan, iaitu :

Pilihan A – rakyat bersetuju untuk bergabung dengan syarat-syarat yang
telah ditetapkan oleh kerajaan Singapura dan Persekutuan Tanah Melayu
melalui Kertas Putih pada bulan November 1961 (secara keseluruhan, pilihan
ini mendapat 397 626 undi).

Pilihan B – rakyat bersetuju untuk bergabung tanpa syarat dan
kedudukan Singapura akan menjadi seperti negeri-negeri Melayu lain di dalam
Persekutuan Tanah Melayu (secara keseluruhan, pilihan ini mendapat 9442
undi).

Pilihan C – rakyat bersetuju untuk bergabung dengan syarat dan faedah
yang hampir sama seperti yang diperoleh wilayah-wilayahBorneo dengan
penyertaan ini (secara keseluruhan, pilihan ini mendapat 144 077 undi).

Referendum Singapura ini telah diadakan pada 1 November 1962. Barisan
Sosialis dan pihak komunis yang tidak bersetuju untuk bergabung dengan
Persekutuan Tanah Melayu telah memulau pungutan suara dengan membuang
undi kosong. Namun selepas referendum selesai, laporan menunjukkan 71%
pengundi menyokong pembentukan Malaysia.

Penganalisis sejarah mendakwa sokongan Singapura ini adalah ekoran
kejayaan kerajaan PAP yang meyakinkan rakyat berhubung tiada kemungkinan
taraf kerakyatan mereka akan dilucutkan dengan penggabungan, perdagangan
antarabangsa Singapura mungkin merosot jika mereka tidak bergabung dan
ancaman komunis akan dapat dibendung dengan jayanya dengan
pembentukan ini. Secara keseluruhannya, keputusan ini menunjukkan rakyat
Singapura bersetuju untuk menyertai Malaysia dengan memilih syarat A, iaitu
pilihan yang dicadangkan oleh kerajaan Singapura sendiri.

PEMISAHAN SINGAPURA

Semenjak Singapura menyertai Malaysia, banyak perselisihan yang timbul
antara kerajaan Singapura dengan kerajaan Persekutuan di Kuala Lumpur.
Perselisihan ini menjadi semakin rumit dan melibatkan banyak isu yang tiada
akhirnya. Malahan tidak mungkin untuk Singapura terus kekal dalam Malaysia
tanpa suasana tegang yang boleh mencetuskan keganasan. Keputusan
pemisahan Singapura dari Malaysia diambil sendiri oleh Tunku Abdul Rahman
Putra Al-Haj ketika beliau di London pada tahun 1965. Ketika itu beliau bercuti
selama 53 hari bagi mendapatkan rawatan di sebuah klinik di London.
Keputusan ini merupakan jalan keluar terbaik untuk mengatasi pelbagai krisis
yang timbul, demi kepentingan perpaduan kaum, kestabilan ekonomi dan
menghindarkan konflik politik yang berterusan. Akhirnya Singapura berpisah
dari Malaysia pada Ogos 1965.

FAKTOR YANG MENYEBABKAN PEMISAHAN SINGAPURA DARI MALAYSIA

1)PERLEMBAGAAN

Kebanyakkan soal yang berkaitan dengan perlembagaan berkisar tentang isu
ekonomi dan kewangan. Mengikut perjanjian Malaysia, Singapura diberi kuasa
untuk memungut cukai kastam, cukai eksais dan cukai pendapatan. Selain
beberapa kekecualian, semua hasil yang dikutip akan dibahagikan berasaskan
60% untuk Singapura dan baki 40% lagi untuk kerajaan Persekutuan. Oleh
sebab beban cukai Singapura paling ringan dan bertambahnya perbelanjaan
pertahanan, akibat konfrontasi, kerajaan Persekutuan bercadang mengkaji
semula agihan hasil dan Singapura perlu menyerahkan 60% daripada jumlah
hasilnya dan bukanya 40% seperti yang dipersetujui sebelumnya. Cadangan ini
dibantah oleh Singapura kerana mengikut perjanjian Malaysia, terdapat satu
persetujuan bahawa sehingga bulan Disember 1968, kerajaan Persekutuan
perlu mendapat kebenaran kerajaan Singapura sebelum mengenakan cukai
import yang baharu. Kebenaran itu boleh ditangguhkan, jika sesuatu jenis cukai
itu boleh menjejaskan perdagangan bebas Singapura.

Pada bulan Disember 1964, apabila kerajaan Persekutuan membentangkan
belanjawan bagi tahun 1965, terdapat pelbagai cukai baharu yang dikenakan.
Kerajaan Singapura membantah pengenalan cukai-cukai baharu kerana mereka
dikatakan tidak dibawa berunding terlebih dahulu. Pada akhir bulan Februari
1965, Menteri Kewangan, Tan Siew Sin mengarahkan para pengusaha di
Singapura berunding dahulu dengan kerajaan Persekutuan tentang
perlindungan tarif, sebelum membuka kilang. Arahan ini menimbulkan
kemarahan para pengusaha di Singapura sehingga mendapat liputan media
yang meluas.

2)PERSAINGAN POLITIK ANTARA PAP DAN MCA

Keadaan ini dapat dilihat apabila pada 9 September 1963, Lee kuan Yew telah
menyatakan bahawa kegiatan politik PAP hanya terbatas di Singapura dan PAP
tidak bercadang untuk mengambil bahagian dalam pilihanraya di anah Melayu
dalam tempoh lima tahun selepas penyatuan. Kemudianya, PAP mengubah
keputusan itu dan bertanding dalam pilihanraya umum di Tanah Melayu pada
tahun 1964. Pada masa tersebut Tunku Abdul Rahman menegaskan bahawa
PAP tidak diperlukan di Tanah Melayu atas sifatnya sebagai sebuah parti
perkauman Cina. Penglibatan PAP yang terlalu awal dalam kegiatan politik di
Tanah Melayu juga menjejaskan perpaduan kaum, terutama hubungan UMNO
dengan MCA. Malahan, PAP dikatakan berminat untuk mengantikan MCA bagi
mewakili kaum Cina dalam Kerajaan Perikatan.

3)MASALAH PERKAUMAN

Masalah perkauman ini dapat dilihat pada hubungan antara UMNO dengan
PAP yang menjadi semakin renggang akibat beberapa peristiwa yang berlaku di
Singapura. Setelah menyertai Malaysia, orang Melayu di negeri itu ‘berasa diri
mereka diabaikan’ dan kerajaan Singapura tidak mengambil tindakan untuk
membaiki kedudukan mereka. Oleh itu, beberapa buah pertubuhan yang
mewakili orang Melayu menemui Tunku Abdul Rahman untuk melaporkan
perkara itu.

Keadaan menjadi semakin rumit selepas Setiausaha Agong UMNO, Syed Jaafar
Albar menuduh pemimpin PAP, Lee Kuan Yew cuba memecahkan perpaduan
masyarakat Melayu di Singapura. Kerajaan Singapura sering mengencam
golongan yang disifatkan sebagai ‘pelampau’ dalam kerajaan Persekutuan,
terutama Syed Jaafar Albar yang dituduh oleh para pemimpin PAP sebagai
bertanggungjawab menyebabkan tercetusnya rusuhan kaum di Singapura pada
bulan Julai dan September 1964.

Sikap para pemimpin politik di Singapura yang memperjuangkan konsep
Malaysian Malaysia juga kurang disenangi oleh para pemimpin UMNO. Konsep
ini seolah-olah mengenepikan institusi dan mencabar kedudukan istimewa
orang Melayu. Pada bulan Mei 1965, Lee Kuan Yew menubuhkan Malaysian
Solidarity Convention sebagai satu pakatan dikalangan parti pembankang
dengan slogan A democratic MalaysianMalaysia untuk menandingi parti
Perikatan. Beliau menyeru diwujudkan satu ‘persamaan hak bagi semua”
melalui satu ideologi politik, sosial dan ekonomi yang sama untuk semua kaum.

Kedudukan negeri-negeri di Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak
dalam Persekutuan Malaysia juga ditimbulkan oleh para pemimpin Singapura.
Mereka menggalakkan negeri-negeri itu menimbulkan soal perbezaan taraf
ekonomi dan prinsip-prinsip perlembagaan yang telah dipersetujui sehingga
sesetengah pemimpin di Sarawak, Sabah dan negeri-negeri lain bertindak
balas. Memandangkan sebahagian besar pihak pembangkang terdiri daripada
bukan Melayu, keadaan ini seolah-olah mencerminkan penentangan mereka
terhadap orang Melayu yang menguasai kerajaan. Keadaan yang berlaku bukan
lagi berbentuk pertikaian antara PAP dengan UMNO, tetapi lebih menjurus
rebutan kuasa politik antara kaum Melayu dengan bukan Melayu

4)PERBEZAAN PENDEKATAN ANTARA PARTI PERIKATAN DAN PAP

PAP berhasrat untuk mewujudkan masyarakat ‘bukan perkauman’ secara
serta-merta dan berpendapat konflik timbul akibat wujudnya dua bentuk
masyarakat yang berlainan. PAP berminat untuk berdebat secara terbuka
dalam hampir semua isu politik dan melaksanakan dasar-dasar baharu dengan
segera. Parti Perikatan terutama UMNO merupakan parti yang dibentuk
dengan struktur perkauman berdasarkan masyarakat majmuk yang sedia
wujud di Malaysia. Parti Perikatan berpendapat perbincangan secara terbuka
tentang perbezaan kaum boleh mencetuskan ketegangan dan kekacauan.
Perbezaan pendekatan dalam menghadapi isu-isu perkauman ini mencetuskan
pergeseran antara Parti Perikatan dengan PAP.

KESIMPULAN

Hubungan yang tegang antara Singapura dengan Kerajaan Persekutuan
akhirnya tiba dikemuncaknya menjelang Mei 1965 sehingga menimbulkan
kebimbangan Tunku Abdul Rahman yang berpendapat Singapura perlu
disingkirkan dari Malaysia. Pada 9 Ogos 1965, Tunku Abdul Rahman membuat
pengumuman rasmi di Parlimen dan membentangkan rang undang-undang
pemisahan Singapura. Rang undang-undang tersebut diluluskan dan tiada yang
menentang atau berkecuali dan keputusan itu diambil tanpa dihadiri oleh
perwakilan Singapura. Pemisahan ini menamatkan pertikaian politik yang
berlarutan antara kerajaanPersekutuan dengan kerajaan Singapura. Pertikaian
itu jika dibiarkan berterusan boleh memburukkan lagi keadaan sehingga
mencetuskan rusuhan kaum dan pertumpahan darah. Setelah
pemisahanSingapura, Malaysia hanya terdiri daripada Persekutuan Tanah
Melayu, Sabah dan Sarawak.

SUMBER:
1)Buku Rujukan XPRESS SUKSES SPM SEJARAH TINGKATAN 4&5(SASBADI
Sdn.Bhd.)
2)Buku Rujukan PETA MINDA VISUAL SPM SEJARAH KERTAS 3 TINGKATAN
4&5(PNI NEURON Sdn.Bhd.)
3)Buku Teks Sejarah Tingkatan 5.
4)https://ms.wikipedia.org/wiki/Proses_Pembentukan_Persekutuan_Malaysia
_1963
5. http://pembentukanmalaysia97.blogspot.com/2015/10/pemisahan-
singapura-semenjak-singapura_10.html


Click to View FlipBook Version