SEKOLAH DAIF
NORHIDAYA BINTI HAZALI (MP2012163T)
NURUL SHARMILA BT JUMANA (MP2012155T)
UNIVERSITI MALAYSIA SABAH
ISI KANDUNGAN MUKA SURAT
1.0 Pengenalan Sekolah Daif 1
2.0 Dasar Dan Model Perubahan Berkaitan Sekolah Daif 5
3.0 Isu Dan Permasalahan Semasa Mengenai Sekolah Daif 10
4.0 Cabaran Dalam Pengurusan Sekolah Daif 15
5.0 Strategi Dalam Pengurusan Sekolah Daif 18
6.0 Implikasi Sekolah Daif 21
24
Rujukan
i
1.0 PENGENALAN SEKOLAH DAIF
Pendidikan memainkan peranan utama dalam pertumbuhan ekonomi dan
pembangunan sesebuah negara. Sekiranya rakyat tidak mempunyai akses atau
penyediaan pendidikan yang sempurna dan berkualiti, maka peluang mereka
menikmati kemajuan ekonomi akan terjejas. Sehubungan itu, menerusi Pelan
Pembangunan Pendidikan Malaysia yang dilaksanakan pleh Kementerian Pendidikan,
asas utamanya ialah memastikan setiap institusi pendidikan terutama pada
peringkat sekolah mempunyai infrastruktur mencukupi bagi pelaksanaan kurikulum
dan kokurikulum yang berkesan.
Selain itu, input pendidikan meliputi guru, peruntukan kewangan, peralatan
pengajaran serta program sokongan perlu diagih secara adil ke semua sekolah bagi
mengurangkan jurang perbezaan antara sekolah di bandar dan di luar bandar.
Namun, agak menyedihkan apabila laporan media menyebut masih wujud sekolah
yang terpinggir daripada arus pembangunan. Sekolah yang dimaksudkan ialah
sekolah daif yang mana bangunan sekolah tersebut adalah bangunan lama, uzur,
tidak selamat dan mempunyai masalah fizikal seperti kebocoran bumbung,
pendawaian elektrik dan bilik darjah yang usang.
Gambar 1: Struktur kayu lama yang telah usang pada bangunan SK Sg
Selidap, Bintangor, Sarawak
1
Sumber: (https://www.mstar.com.my/klik/2019/11/27/sekolah-usang : Rebecca
Rajaendram - 27 November 2019)
Gambar 2: Papan yang menjadi dinding di SK Nibong Pitas, Sabah
Sumber: (https://www.mstar.com.my/klik/2019/11/27/sekolah-usang : Rebecca
Rajaendram - 27 November 2019)
Pelaksanaan projek sekolah daif merupakan titik perubahan yang mana
ianya melibatkan penggantian bangunan sekolah yang lama, yang telah uzur dan
tidak selamat untuk diduduki. Pemilihan projek sekolah daif ini adalah berdasarkan
bangunan sekolah di mana keadaan fizikalnya tidak sempurna, tidak berfungsi, dan
tidak selamat digunakan.
Di dalam pemilihan projek sekolah daif ini, pihak Kementerian Pendidikan
Malaysia telah menggunakan tanda aras berdasarkan sistem skala iaitu Skala 1
hingga 7 di mana Skala 7 merupakan keadaan bangunan yang paling tidak selamat
iaitu tidak sempurna, tidak berfungsi dan berisiko digunakan yang boleh
mendatangkan ancaman atau bahaya berbentuk kecederaan, kecelakaan atau
kehilangan nyawa manusia. Sekolah-sekolah tersebut telah mendapat pengesahan
tidak selamat daripada pihak Jabatan Kerja Raya, Pejabat Pendidikan Daerah dan
Jabatan Pendidikan Negeri.
2
Seperti yang diketahui umum, kaedah pembinaan projek menggunakan
teknologi Sistem Binaan Berindustri atau IBS (Industrialised Building System)
atau mampu disiapkan dalam tempoh yang lebih singkat berbanding kaedah
konvensional. Sehubungan itu, bagi mempercepatkan Pelaksanaan Projek Sekolah
Daif, sebahagian besar pembinaan bangunannya telah menggunakan kaedah IBS.
Tempoh pembinaan yang ditetapkan bagi projek sekolah daif yang menggunakan
kaedah IBS ini adalah antara empat hingga enam bulan.
Gambar 3: SK Kitabu, Sabah kini berwajah baru setelah dinaik taraf
menggunakan kaedah IBS
Sumber: (https://www.mstar.com.my/klik/2019/11/27/sekolah-usang : Rebecca
Rajaendram - 27 November 2019)
Antara tujuan menggunakan sistem ini adalah untuk meningkatkan kualiti
dan produktiviti pembinaan, memudahkan reka bentuk, mengurangkan masa
pembinaan serta mengurangkan pergantungan kepada pekerja asing. Ia juga
membawa kepada penjimatan kos. Walaupun pendekatan IBS lebih murah dan
lebih cepat berbanding kaedah pembinaan konvensional, ia tidak boleh digunakan
dalam semua situasi kerana perlu mengambil kira faktor geografi kawasan tersebut.
3
Projek ini memberi impak dan kesan yang besar kepada pelajar, guru dan
ibu bapa, di mana sekolah-sekolah tersebut akan mendapat bangunan baru yang
lebih sempurna dan selesa. Kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia dan
Kementerian Kerja Raya berterusan menyediakan persekitaran yang kondusif dan
selamat kepada para pelajar terutamanya mereka yang bersekolah di bangunan
sekolah yang daif. Kementerian Pendidikan sedang bekerja keras dalam usaha
untuk memperbaiki dan membina semula sekolah yang dalam keadaan daif di
seluruh negara.
Setakat November 2019, sebanyak 1,200 sekolah yang dalam keadaan
usang sudah dibaik pulih dan sedia untuk digunakan, selain ada yang sedang
dalam proses dibaik pulih serta menunggu kelulusan untuk memulakan kerja-kerja
pengubahsuaian dan pembinaan semula. Bajet yang diperuntukkan setiap tahun
kepada kementerian itu digunakan untuk melakukan proses tersebut.
4
2.0 DASAR DAN MODEL PERUBAHAN BERKAITAN SEKOLAH DAIF
Kementerian Pendidikan Malaysia telah membuat pelbagai dasar dan model
perubahan bagi menyelesaikan isu sekolah daif di seluruh negara. Antara yang
telah dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan adalah seperti di bawah:
Projek Pembinaan Peruntukan Peruntukan Akaun
Semula dan Menaik Pembangunan Amanah Insiatif
Taraf Sekolah Daif (P63) Pembiayaan Swasta
2/Private Finance
Initiative II (PFI II)
Peruntukan di Rancangan Projek Sekolah
bawah Pakej Malaysia Ke-11 Daif di Sarawak
Rangsangan (RMKe-11) dan Projek
Ekonomi 2020 Kritikal
Belanjawan
2021
Rajah 1: Dasar dan Usaha Kementerian Pendidikan Dalam Menyelesaikan
Isu Sekolah Daif
Projek Pembinaan Semula dan Menaik Taraf Sekolah Daif adalah projek
yang telah dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan. Sejumlah 534 sekolah di
seluruh Malaysia terlibat dalam projek ini dari tahun 2016 sehingga tahun 2018
dengan peruntukan sebanyak RM1.8 bilion. Projek Pembinaan Semula dan Menaik
Taraf Sekolah Daif yang dijalankan tertumpu kepada sekolah-sekolah daif di luar
bandar yang berada di Skala 7, yang mana keadaan bangunan yang paling tidak
selamat iaitu tidak sempurna, tidak berfungsi dan berisiko digunakan.
5
Gambar 4: Penyerahan Projek Pembinaan Semula Dan Menaik Taraf
Sekolah Daif 2019 SK Bandar Bintangor, Sarawak
Sumber: (http://www.kkr.gov.my/ms/node/42901: Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Kementerian Kerja Raya - 7 Februari 2020)
Bagi tahun 2019, terdapat sebanyak 43 buah sekolah daif telah
dilaksanakan dengan Peruntukan Pembangunan (P63) sebanyak RM128 juta.
Daripada 43 sekolah tersebut, 8 buah di Semenanjung Malaysia dengan peruntukan
sebanyak RM18 juta, tiga buah di Sabah dengan peruntukan sebanyak RM10 juta
dan 32 buah di Sarawak dengan peruntukan sebanyak RM100 juta. Selain daripada
itu, terdapat 19 buah sekolah daif di Sabah telah dilaksanakan dengan peruntukan
Akaun Amanah Insiatif Pembiayaan Swasta 2 atau Private Finance Initiative II (PFI
II) sebanyak RM78 juta. Projek-projek ini merupakan projek yang diluluskan dalam
Rolling Plan 4 (2019) Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11).
Sehingga kini, daripada keseluruhan 62 buah sekolah pada tahun 2019 yang
dilaksana di seluruh negara, bagi Semenanjung Malaysia tujuh buah sekolah telah
siap dan satu buah sekolah masih dalam pembinaan. Manakala di Sabah, tiga
sekolah sedang dalam pembinaan dan 19 masih dalam penilaian tender. Sementara
itu di Sarawak, daripada keseluruhan 32 sekolah iaitu yang melibatkan sebanyak 12
6
pakej, 16 buah telah siap, 14 buah sedang dalam pembinaan dan dua buah lagi di
peringkat perolehan. Projek menaik taraf sekolah daif 2019 di Sarawak dibina
masing-masing di daerah Betong, Saratok, Serian, Samarahan, Kapit, Julau,
Bintangor, Tanjong Manis, Daro, Dalat, Kanowit, Limbang, Lawas, Bintulu Belaga,
Baram, Subis dan Miri.
Bagi tahun 2020, di bawah Peruntukan Pembangunan (P63) sebanyak
RM6.6 juta bagi 22 projek di Semenanjung Malaysia dan 65 projek di Sabah telah
dilaksanakan dengan jumlah peruntukan sebanyak RM226.5 juta. Kesemua projek
tersebut telah diserahkan pelaksanaannya kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri
melainkan tiga projek di Sabah dilaksanakan sepenuhnya oleh JKR Malaysia. Bagi
Semenanjung Malaysia, tujuh projek dijangka tender pada Julai 2020, di mana tiga
projek masih menunggu keputusan Notice Of Change (NOC). Sementara itu, 11
projek ditunda disebabkan projek tersebut tidak memenuhi skop Projek Sekolah
Daif. Manakala di Sabah, tiga projek akan dilaksanakan oleh JKR Malaysia
sepenuhnya secara konvensional perunding. Bagi 55 lagi projek di Sabah dijangka
akan ditender secara berperingkat pada Julai hingga Oktober 2020. Terdapat juga
Projek Sekolah Daif yang melibatkan kerja penyelenggaraan sahaja iaitu empat
projek di Semenanjung Malaysia dan tujuh projek di Sabah.
Terdapat dua lagi program sekolah daif yang bermula pada tahun 2019 iaitu
Projek Sekolah Daif di Sarawak yang bernilai RM1 billion dan Projek Kritikal yang
melibatkan empat buah sekolah masing-masing dua di Sabah dan dua di Sarawak.
Bagi Projek Sekolah Daif di Sarawak dengan peruntukan RM1 billion, Kementerian
Pendidikan Malaysia (KPM) telah melantik JKR Sarawak sebagai agensi pelaksana
dan dipantau sepenuhnya oleh KPM. Manakala bagi empat Projek Kritikal, KPM
telah melantik JKR Malaysia sebagai agensi pelaksana dan telah diserahkan kepada
JKR Sabah dan Sarawak untuk pelaksanaannya.
Sebanyak RM3.06 bilion diluluskan menerusi Rancangan Malaysia Ke-11
(RMKe-11) bagi projek naik taraf dan pembangunan semula 773 sekolah daif di
seluruh negara. Menteri Kanan Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin, berkata
peruntukan itu digunakan untuk menaik taraf atau membina semula kelas, asrama,
bangunan pentadbiran dan kemudahan lain. Daripada keseluruhan peruntukan itu,
7
sebanyak RM1.38 bilion untuk menaik taraf dan pembangunan semula 291 buah
sekolah di Sarawak dan RM1.25 bilion digunakan bagi kerja naik taraf dan
pembangunan semula bangunan daif di 237 sekolah di Sabah. Manakala baki
RM415 juta adalah untuk menaik taraf dan pembangunan semula 245 buah sekolah
di Semenanjung Malaysia.
Berdasarkan status pelaksanaan projek di seluruh negara sehingga 30 Jun
2020, sebanyak 542 projek telah siap. Daripada jumlah itu, 510 projek telah
menerima Certificate of Completion and Compliance (CCC) / Certificate of Partial
Occupancy (CPO) dan 32 projek lagi dalam proses mendapatkan CPO. Selain itu, 53
projek masih dalam fasa pembinaan, 32 projek dalam proses perolehan dan 146
projek lagi dalam fasa pra bina yang meliputi proses reka bentuk, penyediaan
dokumen tender dan kelulusan Kebenaran Merancang oleh Pihak Berkuasa
Tempatan (PBT). Menurut Dr. Mohd Radzi Md Jidin, bagi seluruh Semenanjung,
sejumlah 225 projek telah siap, satu projek masih dalam pembinaan dan 19 projek
di peringkat pra bina.
Bagi negeri Sarawak, sejumlah 167 projek telah siap, dengan 158 projek
telah menerima CCC / CPO dan sembilan projek dalam proses mendapatkan CPO.
Di samping itu, 49 projek lagi masih dalam pembinaan, 13 projek dalam proses
perolehan dan 62 projek dalam fasa pra bina. Bagi negeri Sabah pula, sebanyak
150 projek siap sepenuhnya dengan 129 daripadanya sudah dikeluarkan Certificate
of Practical Compliance (CPC) atau Certificate of Partial Occupation (CPO),
manakala 21 lagi dalam proses mendapatkan CPO. Baki tiga projek masih dalam
pembinaan, manakala 19 lagi dalam proses perolehan dan 65 di fasa pra bina
dengan ia berdasarkan status pelaksanaan projek di Sabah sehingga 20 Julai 2020.
Kementerian Pendidikan turut menerima peruntukan bernilai RM410 juta di
bawah Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 bagi kerja menaik taraf, baik pulih dan
selenggara kemudahan di sekolah. Semua peruntukan ini sudah disalurkan ke
Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah, pada April 2020. Di
Sabah khususnya, sejumlah RM125 juta sudah disalurkan bagi pelaksanaan projek
ini. Peruntukan ini dijangka akan memberi manfaat kepada sekurang-kurangnya
391 sekolah di Sabah.
8
Pada Belanjawan 2021, sektor pendidikan terus menerima peruntukan besar
yang menyediakan sejumlah RM50.4 bilion atau 15.6 peratus daripada keseluruhan
perbelanjaan kerajaan bagi membiayai bidang ini. Daripada jumlah itu, RM725 juta
diperuntukkan bagi menaik taraf bangunan dan infrastruktur 50 sekolah daif di
seluruh negara, yang dilihat dapat menyediakan persekitaran pembelajaran yang
lebih kondusif kepada pelajar dan guru. Menurut Presiden Kesatuan Perkhidmatan
Perguruan Kebangsaan (NUTP) Aminuddin Awang, jumlah itu berkurangan
berbanding Belanjawan 2020 iaitu RM783 juta, namun peruntukan itu dapat
membantu Kementerian Pendidikan mencapai sasaran menyelesaikan isu sekolah
usang dalam tempoh tiga tahun ini.
9
3.0 ISU-ISU DAN PERMASALAHAN SEMASA MENGENAI SEKOLAH DAIF
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) telah
menyediakan Garis Panduan Infrastruktur Standard bagi membolehkan pihak
sekolah melaksanakan penilaian kendiri mengenai keadaan infrastruktur. Maklumat
tersebut akan ditentusahkan oleh juruteknik KPM dan JKR dengan cara
pemeriksaan ke sekolah untuk tindakan naik taraf dan pembaikan infrastruktur
sekolah.
Bermula tahun 2018, penentuan sekolah daif adalah melalui sistem Skala 1
hingga 7 seperti dibawah:
Skala Butiran/Justifikasi Skala
7 Keadaan fizikal komponen/ fasiliti/bangunan yang tidak sempurna, tidak
berfungsi dan tidak selamat digunakan yang boleh mendatangkan
6 ancaman/bahaya berbentuk kecederaan/kecelakaan atau kehilangan nyawa
manusia atau hidupan yang telah mendapat pengesahan tidak selamat dan
5 mengancam nyawa daripada JKR.
4 Keadaan fizikal komponen/ fasiliti/bangunan yang tidak sempurna, tidak
3 berfungsi dan tidak selamat digunakan yang boleh mendatangkan
ancaman/bahaya berbentuk kecederaan/kecelakaan atau kehilangan nyawa
manusia atau hidupan yang telah mendapat pengesahan daripada
juruteknik yang berada di JPN atau PPD.
Keadaan fizikal komponen/ fasiliti/bangunan yang tidak sempurna, tidak
berfungsi dan tidak selamat digunakan yang boleh mendatangkan
ancaman/bahaya berbentuk kecederaan/kecelakaan atau kehilangan nyawa
manusia atau hidupan berdasarkan persepsi pengguna sekolah.
Keadaan fizikal komponen/ fasiliti/bangunan yang tidak sempurna, masih
selamat, tidak berfungsi serta boleh mendatangkan gangguan/
ancaman/bahaya terhadap sekuriti manusia, hidupan, harta benda dan
alam sekitar berdasarkan persepsi pengguna sekolah.
Keadaan fizikal komponen/ fasiliti/bangunan yang kurang sempurna, masih
selamat tetapi tidak berfungsi mengikut tujuan penggunaan berdasarkan
persepsi pengguna sekolah.
10
2 Keadaan fizikal komponen/ fasiliti/bangunan yang berfungsi tetapi tidak
selesa.
1 Keadaan fizikal komponen/ fasiliti/bangunan yang selesa digunakan.
Jadual 1: Sistem Skala Penentuan Bangunan Sekolah Daif
Memandangkan terdapat sekolah dan kemudahan sekolah di bawah KPM
yang berstatus tidak selamat, tidak sempurna atau tidak berfungsi, maka KPM telah
melaksanakan Program Naik Taraf Dan Pembangunan Semula Sekolah Daif di
seluruh negara. Adalah menjadi tanggungjawab KPM untuk menyediakan
infrastruktur dan fasiliti pendidikan yag kondusif.
Sekolah di bawah Kementerian Pendidikan berjumlah lebih 10,000 buah dan
kebanyakan daripadanya merupakan sekolah lama. Ini adalah punca utama
bangunan sekolah menjadi daif iaitu disebabkan faktor usia bangunan. Berdasarkan
statistik KPM, sebanyak 5,635 buah sekolah di negara ini berusia 50 hingga 99
tahun, manakala 701 buah sekolah pula berusia 100 tahun atau lebih. Usia
bangunan yang telah lama dan uzur, pastinya tidak selamat untuk diduduki dan
mempunyai pelbagai masalah fizikal seperti kebocoran bumbung, pendawaian
elektrik dan bilik darjah yang usang.
Faktor lain yang turut menyumbang kepada bangunan sekolah menjadi daif
termasuk faktor bahan yang digunakan pada ketika dahulu. Ada sekolah yang pada
awalnya dibina daripada kayu menyebabkan ia mudah rosak akibat faktor usia,
cuaca dan serangan anai-anai. Ada juga disebabkan bencana alam apabila sekolah
dibina berhampiran sungai, pantai dan di kawasan rendah, yang mana lokasi itu
menjadi kawasan banjir.
Daripada jumlah keseluruhan sekolah daif di negara ini, sebanyak 1,290
buah sekolah dikenal pasti mempunyai bangunan daif pada skala 7 dan 6.
Sebanyak 1,141 sekolah berada di skala 6 dan 149 lagi di skala 7. Sehingga 19
November 2019, sejumlah 633 sekolah telah dan sedang dinaik taraf dengan
peruntukan RM1.98 bilion. Daripada jumlah itu, 464 projek telah siap sepenuhnya
dan 169 lagi dalam proses pelaksanaan.
11
Bagi negeri Sarawak pula, peruntukan yang tidak mencukupi daripada
Kementerian Pendidikan Malaysia ialah punca utama banyak sekolah daif di
Sarawak tidak dapat diselenggara dan dibaik pulih. Pada tahun 2014, Sarawak
mengemukakan permohohan bagi tujuan menaik taraf 483 sekolah daif di seluruh
Sarawak untuk tahun 2015 berjumlah RM422,562,559. Bagaimanapun, peruntukan
yang diperolehi daripada KPM bagi tahun tersebut hanya RM95 juta.
Laporan menyatakan bahawa lawatan audit ke 145 sekolah di negeri itu,
mendapati 85.5 peratus daripadanya berada dalam keadaan usang, struktur kayu
reput, tanah mendap, struktur konkrit rosak dan mempunyai masalah serangan
anai-anai yang boleh mengancam keselamatan. Laporan itu berpendapat bahawa
infrastruktur yang rosak teruk hendaklah dibaiki dengan segera untuk memastikan
kemudahan asas disediakan bagi menyokong proses pengajaran dan pembelajaran
supaya dapat memberi keselesaan dan keselamatan kepada warga sekolah.
Menurut laporan itu lagi, berdasarkan rekod Jabatan Pendidikan Negeri
Sarawak (JPNS) setakat 31 Disember 2014, sebanyak 388 daripada 1,452 sekolah
di negeri ini diklasifikasikan sebagai rosak teruk, 327 rosak sedikit dan 464 rosak
sederhana. Bagi tempoh 2012 hingga 31 Disember 2014, JPNS telah menerima
peruntukan berjumlah RM202.52 juta untuk penyelenggaraan dan pembaikan
infrastruktur sekolah di negeri itu. Kerja-kerja telah dilaksanakan dengan
memuaskan namun masih terdapat bangunan yang rosak teruk di sekolah
berkenaan yang belum dibaiki disebabkan peruntukan terhad.
Selain masalah mengenai peruntukan yang tidak mencukupi, wujud juga isu
mengenai peruntukan yang lewat. Peruntukan yang lewat ini menyebabkan kos
menaik taraf akan melambung dan meningkat setiap tahun. Sebagai contoh, dalam
tempoh kurang tiga tahun sejak 2016, anggaran kos projek bagi menaik taraf
sekolah di Sarawak meningkat daripada RM2 juta kepada RM48.2 juta. Kita percaya
isu sekolah usang ini bukan hanya membabitkan Sarawak dan Sabah yang
mempunyai kawasan pedalaman yang masih luas, malah isu ini juga meliputi negeri
di Semenanjung Malaysia.
12
Apa yang dibimbangi, isu peruntukan Kerajaan Pusat yang dikatakan tidak
sampai sepenuhnya kepada kerajaan negeri yang kemungkinan disebabkan masih
ada lagi elemen ketirisan dan penyelewengan. Ini akan berlaku lagi sekiranya
sistem penyampaian dipandang remeh sehingga memberi peluang dan ruang
kepada pihak tertentu. Mereka yang terbabit dalam melakukan rasuah atau salah
guna kuasa perlu disiasat dan diseret ke mahkamah agar perkara ini tidak berulang.
Kita tidak mahu sekiranya peruntukan yang sengaja dilewat-lewatkan atau tidak
disalurkan dengan sempurna, ia mungkin mengundang masalah lebih besar yang
bukan sahaja menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran, malah boleh
mengancam keselamatan.
Kementerian Pendidikan juga meluluskan peruntukan yang besar di bawah
peruntukan pembangunan bagi meneruskan pelaksanaan pembangunan sekolah
kebangsaan. Ini bagi memastikan setiap sekolah mendapat peruntukan yang
bersesuaian untuk tujuan bina baru dan penggantian semula. Dalam pada itu,
terdapat cadangan berkenaan peruntukan sebanyak RM250,000 kepada setiap
sekolah berbanding agihan peruntukan mengikut jenis atau kategori sekolah,
namun cadangan untuk memberikan bantuan kewangan penuh tanpa mengira jenis
dan kategori memerlukan penelitian lanjut di peringkat dasar dan tertakluk kepada
keperluan masing-masing. Hal ini kerana adalah sesuatu yang tidak wajar untuk
menyamaratakan peruntukan tanpa mengambil kira faktor sekolah yang lebih
memerlukan dengan sekolah yang sudah lengkap fasilitinya.
Penyaluran peruntukan juga adalah berdasarkan kepada peruntukan belanja
mengurus dan belanja pembangunan yang diluluskan oleh Kementerian Kewangan
dengan mengambil kira kedudukan kewangan semasa negara. KPM membuat
penyaluran kepada Bahagian/Jabatan Pendidikan Negeri atau terus ke akaun
sekolah berdasarkan peruntukan sedia ada. Sekiranya berlaku kekurangan
peruntukan, KPM akan membuat penjajaran peruntukan dalaman mengikut
keutamaan program atau mengemukakan permohonan peruntukan tambahan
kepada Kementerian Kewangan.
KPM telah mewujudkan Akaun Amanah Tabung Penyelenggaraan Sekolah.
Walau bagaimanapun, respons terhadap dana itu masih rendah disebabkan baharu
13
sahaja dilancarkan dan masih belum ramai menyedari tentang kewujudannya.
Kementerian Pendidikan menggalakkan lebih ramai orang untuk tampil dan
memberi sumbangan kepada dana tersebut. Bagi menggalakkan derma yang lebih
besar, insentif yang dilaksanakan ialah badan korporat akan menikmati
pengecualian cukai apabila memberikan sumbangan dana. Kementerian Pendidikan
juga akan turun padang bertemu Persatuan Ibu Bapa dan Guru, pemimpin
masyarakat, universiti dan pihak berkepentingan lain dalam memberi informasi
mengenai keperluan dana dan bagaimana mereka boleh menyumbang ke arah itu.
Projek menaik taraf dan membangunkan semula sekolah daif yang telah
diluluskan bagi tahun 2020 adalah sebanyak 136 projek. Berdasarkan jangkaan
awal Jabatan Kerja Raya (JKR), sebanyak 52 projek yang berstatus dalam
pembinaan disasarkan dapat disiapkan. Bagaimanapun, unjuran ini terpaksa
dikurangkan berikutan kesan pandemik COVID-19 yang menyebabkan kerja-kerja
di tapak terpaksa ditangguhkan. Oleh yang demikian, hanya 32 projek dijangka
dapat disiapkan dalam tahun 2020.
Bagaimanapun, menurut Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Md
Jidin menyatakan bahawa KPM akan terus bekerjasama rapat dengan JKR Malaysia,
JKR Sarawak, JKR Sabah, Kerajaan Negeri Sarawak dan Kerajaan Negeri
Sabah termasuk PBT bagi memastikan kejayaan pelaksanaan projek sekolah daif ini
dapat diselesaikan.
14
4.0 CABARAN DALAM PENGURUSAN SEKOLAH DAIF
Kementerian Pendidikan Malaysia menghadapi cabaran dalam berdepan dengan
pelbagai isu berkenaan pengurusan sekolah daif di Malaysia. Ianya berupa cabaran
yang baharu akibat daripada situasi semasa yang wujud mahupun cabaran yang
telah berterusan dalam satu jangka masa yang panjang. Antaranya ialah cabaran
dalam menyelesaikan isu peruntukan yang tidak sampai kepada pihak sekolah, isu
rasuah dan integriti dalam kalangan pemegang taruh, serta yang terkini cabaran
dalam mengurus sekolah daif ketika berhadapan dengan pandemik COVID-19.
Cabaran yang selalu diperkatakan dalam pengurusan sekolah daif di
kawasan luar bandar dan pedalaman adalah keadaan bentuk muka bumi sekolah
pedalaman yang menyebabkan bantuan atau kerja-kerja penyelenggaraan sukar
dilakukan. Kedudukan sekolah yang jauh di pedalaman selain kekurangan dari
sudut infrastruktur seperti jalan raya tidak berturap, tiada sumber air dan elektrik
masih menjadi permasalahan yang belum berpenghujung sehingga kini. Di Malaysia,
khususnya Sabah dan Sarawak, masih terdapat banyak sekolah berstatus daif yang
terletak di luar bandar dan pedalaman tanpa kemudahan jalan raya berturap.
Pelawat terpaksa melalui jalan yang berdebu semasa musim kemarau, berlumpur
apabila tiba musim tengkujuh, menaiki sampan dan bot, menaiki kenderaan pacuan
empat roda dan bermacam lagi mod perjalanan untuk sampai ke sesebuah sekolah.
Akhirnya, projek penyelenggaraan tidak dapat dibuat atau dilaksanakan seadanya
sedangkan peruntukan sudah pun diagihkan di peringkat atasan. Ini menyebabkan
isu bantuan tidak dapat disalurkan menjadi suatu isu yang tidak berkesudahan
selagi mana pihak kerajaan tidak menaik taraf jalan-jalan utama dimana
terletaknya sesebuah institusi pendidikan.
Setiap tahun, kerajaan Malaysia sentiasa memberikan peruntukan jutaan
malah billion ringgit kepada Kementerian Pendidikan Malaysia dalam usaha menaik
taraf dan menyelenggara sekolah berstatus daif di seluruh negara. Kementerian
Pendidikan Malaysia menyasarkan 29, 875 murid bakal mendapat manfaat
penambahbaikan sekolah daif menjelang tahun 2020 yang melibatkan hampir 200
buah sekolah sepanjang tahun 2018 dan 2019. Pada belanjawan terkini tahun 2021,
kerajaan telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM725 juta bagi tujuan
15
menaik taraf infrastruktur sekolah-sekolah daif di Malaysia, (Belanjawan 2021).
Walaubagaimanapun, pelbagai dasar baharu yang diwujudkan sering menimbulkan
pelbagai perubahan lebih-lebih lagi apabila berlaku proses peralihan jawatan dalam
kementerian yang menyebabkan pengurusan isu sekolah daif tenggelam timbul,
biarpun setiap tahun peruntukan bagi mengurus sekolah-sekolah daif khusus di
kawasan luar bandar dan pedalaman dimasukkan dalam pembentangan bajet
kewangan negara.
Terdapat juga isu peruntukan jutaan ringgit yang dikhaskan buat sekolah-
sekolah daif tidak berjaya disalurkan sepenuhnya kepada yang berhak. Proses
menaik taraf insfrastruktur berlaku secara ala kadar dan tidak mengikut spesifikasi
yang ditetapkan. Ini juga merupakan salah satu cabaran di mana kita berdepan
dengan isu integriti para pemegang taruh yang dipertanggungjawabkan
menyalurkan dana tersebut selain berdepan dengan pelbagai karenah birokrasi,
lebih-lebih lagi apabila melibatkan peruntukan yang besar. Menurut kajian yang
dilaksanakan oleh Jafni bin Haron (2020), beliau menyatakan data yang diperolehi
dari Laporan Ketua Audit Negara siri 2,2017, sepanjang tempoh 2016 hingga 2018,
projek pembinaan semula dan menaik taraf sekolah daif secara Sistem Binaan
Berindustri (IBS) yang diuruskan oleh Jabatan Kerja Raya telah mengalami
kelewatan. Hampir 78% atau sebanyak 416 projek mengalami kelewatan
berbanding hanya 22% atau 118 daripada 534 berjaya disiapkan mengikut tempoh
masa. Di sini, kerajaan berhadapan cabaran dalam membina jati diri dan
melahirkan para pegawai yang berintegriti tinggi agar dapat mencapai hala tuju
secara bersama sebagai sebagai sebuah organisasi pendidikan serta dalam
memastikan dana yang diperuntukan dapat disalurkan dengan betul.
Berdepan dengan pandemik COVID-19, Kementerian Pendidikan Malaysia
menghadapi satu cabaran baru dalam menguruskan isu sekolah daif selain
memastikan setiap murid tidak tercicir dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Sebelum kemunculan pandemik, keadaan sudah sememangnya sukar bagi kerajaan
menyalurkan bantuan ke kawasan pedalaman apatah lagi dengan situasi semasa
yang telah mengehadkan pergerakan di seluruh negara. Projek-projek membaik
pulih bangunan dan prasarana sekolah daif tergendala dan terjejas akibat daripada
pandemik ini. Pihak kementerian perlu mewujudkan strategi dalam memastikan
16
proses pembangunan sekolah daif terus berjalan disamping bersama dengan
kerajaan dalam membendung pandemik COVID-19. Dalam waktu-waktu sukar ini,
kementerian perlu memastikan setiap murid memperolehi akses terhadap
pendidikan walaupun tidak berada dalam bilik darjah.
Walaupun mempunyai peruntukan khusus untuk membaik pulih sekolah daif,
namun pihak Kementerian Pendidikan Malaysia tetap berhadapan dengan cabaran
terutamanya kemampuan kewangan pada fasa sebelum pelaksanaan projek-projek
penyelenggaraan dan menaik taraf sesebuah sekolah. Keperluan skop kerja semasa
yang lebih luas memerlukan pelaburan lebih besar. Jumlah keperluan untuk
menyiapkan keseluruhan sekolah daif perlu diberi keutamaan dan dianggarkan
mencecah RM4 bilion bagi tempoh tiga tahun. Tetapi, anggaran keperluan
peruntukan ini adalah tertakluk kepada skop, lokasi dan kaedah pelaksanaan projek
sama ada secara IBS ataupun konvensional.
Cabaran lain adalah untuk mendapatkan kontraktor yang sesuai kerana
pemilihan kontraktor berwibawa adalah amat penting dalam menjamin pelaksanaan
projek mengikut spesifikasi dan jadual yang ditetapkan. Sementara cabaran yang
dihadapi semasa pelaksanaan pula adalah kedudukan sekolah di kawasan luar
bandar atau pedalaman yang menyukarkan proses pelaksanaan dan pemantauan,
pengaruh luar kawalan seperti cuaca, bentuk muka bumi serta perubahan kos
projek disebabkan faktor lokaliti dan keadaan persekitaran tapak projek.
17
5.0 STRATEGI DALAM PENGURUSAN SEKOLAH DAIF
Pendidikan merupakan nadi dalam perkembangan dan kemajuan sesebuah negara.
Pendidikan berkualiti mampu melahirkan modal insan yang berkualiti serta mampu
bersaing dalam menghadapi cabaran era globalisasi. Isu pendidikan luar bandar
dan penaiktarafan sekolah-sekolah daif telah menjadi fokus utama kerajaan dalam
usaha mencapai matlamat melahirkan modal insan cemerlang (Zarina &
Muhammad Hussin, 2011).
Isu sekolah daif bukanlah suatu isu baru tetapi ianya isu yang telah sekian
lama belum berjaya ditangani sepenuhnya. Justeru, amat penting bagi setiap
individu agar lebih cakna terhadap isu ini kerana ianya sangat mempengaruhi
matlamat utama negara dalam melahirkan modal insan yang seimbang sebagai
permata negara. Dalam berhadapan dengan pelbagai isu dan cabaran yang wujud
dalam proses mengurus sekolah-sekolah daif, Kementerian Pendidikan Malaysia
perlu bersedia dengan langkah yang strategik untuk menangani isu tersebut.
Pelbagai usaha telah dijalankan oleh kerajaan dalam meningkatkan taraf
hidup masyarakat luar bandar terutamanya dari segi pendidikan seperti yang
digariskan dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010 dengan
memberi fokus terhadap penyediaan kemudahan asas luar bandar dan usaha ini
diteruskan lagi dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia(PPPM) 2013-2025,
dengan hasrat pendidikan luar bandar telah berubah ke tahap yang lebih baik
dengan murid-muridnya mendapat tahap pendidikan yang lebih berkualiti.
Antara strategi yang telah diambil adalah mewujudkan sistem paparan
(dashboard) berkenaan status pelaksanaan penyelenggaran sekolah-sekolah daif di
seluruh negara. Dashboard tersebut memaparkan data yang jelas berkenaan projek
yang dilaksanakan pada tahun semasa, projek yang sedang berjalan serta senarai
sekolah yang terlibat dalam penyelenggaraan. Pembinaan dashboard sekolah daif
ini menunjukkan usaha kementerian yang bersungguh-sungguh dalam memberikan
perkhidmatan dan menaik taraf status sesebuah sekolah daif. Ianya turut
memperlihatkan bahawa pihak kementerian sentiasa berusaha telus terutama
dalam isu yang melibatkan peruntukan yang banyak.
18
Dalam mengenal pasti dan menentukan sama ada sesebuah sekolah
berstatus daif serta memerlukan tindakan penyelenggaraan, pihak kementerian
mewajibkan setiap sekolah mengemaskini maklumat penyelenggaraan kemudahan
yang terdapat di sekolah melalui Sistem Emis atau Modul Pengurusan Sekolah.
Jawatan guru pembangunan juga diwujudkan bagi mengenal pasti kerosakan
bangunan serta menentukan tahap kerosakan, menyelia sebarang projek
penaiktarafan dan memastikan projek tersebut siap sepenuhnya. Di sini guru
pembangunan juga membuat perbandingan sama ada peruntukan yang diturunkan
oleh kementerian setara dengan hasil atau projek yang telah dilaksanakan. Proses
pemantauan sebegini perlu dilakukan dalam usaha menjadikan setiap pihak yang
terbabit bekerja dengan telus.
Kementerian Pendidikan Malaysia juga bersungguh-sungguh dalam
menangani isu sekolah daif dengan membuat kerjasama dengan Jabatan Kerja
Raya melalui penggunaan sistem skala sebagai Garis Panduan Penilaian
Infrastruktur. Sistem ini mempunyai 7 skala beserta justifikasi yang menetukan
tahap keseriusan atau kedaifan infrastruktur yang terdapat di sekolah. Sekolah-
sekolah yang berada di tahap 7 yang mana keadaan fizikal komponen, fasiliti atau
bangunan yang tidak sempurna atau tidak selamat digunakan serta boleh
mengancam nyawa dan mendapat pengesahan daripada Jabatan Kerja Raya akan
didahulukan dalam senarai penerima projek penaiktarafan. Menurut Datuk Dr Mohd
Ghazali Abas dalam keratan akhbar bertarikh 27 Nov 2019, sekolah yang dinilai
pada skala paling maksimum akan menerima bantuan segera berbanding sekolah
daif yang lain.
Berikutan kos naik taraf dan pembangunan semula sekolah daif di seluruh
negara perlu dilakukan setiap tahun dan jumlah peruntukan tidak dapat
menampung keseluruhan keperluan penyelenggaraan semua sekolah, KPM telah
mewujudkan Akaun Amanah Tabung Penyelenggaraan Sekolah. Tabung ini
memberi peluang kepada bekas pelajar, industri dan orang ramai agar dapat
memberi sumbangan bagi membantu melengkapkan fasiliti sekolah. Sumbangan itu
boleh disalurkan kepada sekolah-sekolah tertentu yang dipilih oleh penderma.
Sebagai contoh, seseorang boleh menyumbang dan khusus untuk bekas
19
sekolahnya dan kementerian akan melaksanakan amanah itu. Penderma juga boleh
menyatakan sumbangan itu digunakan untuk membaiki tandas atau membina
tanjakan untuk kegunaan pelajar kurang upaya. Sebagai rakyat Malaysia, semua
pihak harus memastikan masyarakat terpinggir seperti di kawasan luar bandar dan
OKU mendapat manfaat sebaiknya. Sumbangan ini adalah bagi memastikan pelajar
dapat menimba ilmu dengan selesa.
Peruntukan jutaan malah berbilion ringgit yang diperuntukan kepada
sekolah-sekolah daif menunjukkan bahawa kerajaan serius dalam menyelesaikan
isu ini. Pemimpin negara yang bersilih ganti juga tidak pernah mengenepikan isu
sekolah daif yang turut diperkatakan di peringkat parlimen. Pada tahun 2019,
Menteri Pendidikan ketika itu, Dr. Maszlee Malik telah menggunakan medium
membawa plakad ketika ucapan penggulungan Perbahasan Titah Diraja Peringkat
Dasar yang kemudiannya menarik perhatian ahli dewan berkenaan usul mengenai
perkembangan projek penaiktarafan sekolah-sekolah daif di Sabah dan Sarawak.
Dalam pembentangan tersebut, pelaksanaan naik taraf dan pembangunan semula
sekolah daif di Sarawak melibatkan 198 buah sekolah berbanding 26 sekolah pada
tahun 2017 dan 66 buah sekolah berjaya siap pada tahun 2018. Ini menunjukkan
peningkatan hampir tiga kali ganda hasil daripada pemantauan yang lebih rapi oleh
pihak kementerian.
Strategi jangka masa pendek dan jangka masa panjang yang telah
dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia bagi menaik taraf sekolah-
sekolah daif ini, menunjukkan komitmen pihak kerajaan bagi mengurangkan jurang
di antara sekolah bandar dan luar bandar. Ini juga menjadi bukti keprihatinan
kementerian untuk menyediakan fasiliti, prasarana dan infrastruktur yang selesa
kepada semua murid agar sesi pengajaran dan pembelajaran dapat dijalankan
dengan lebih berkesan.
20
6.0 IMPLIKASI SEKOLAH DAIF
Keadaan sesebuah institusi pendidikan yang berada dalam kedaifan pastinya
memberi impak atau implikasi terhadap pelbagai pihak. Ianya menyumbang kesan
yang negatif antaranya terhadap perkembangan pembelajaran serta keselamatan
murid, komitmen guru serta ibu bapa dan komuniti luar bandar. Seterusnya impak
tersebut bakal menjejaskan sistem pendidikan negara di peringkat nasional malah
di peringkat antarabangsa.
Sekolah daif di kawasan luar bandar biasanya berdepan dengan masalah
bilik darjah yang tidak kondusif, bangunan sekolah diperbuat daripada kayu yang
telah wujud sejak puluhan tahun lalu dan tidak diselenggara dengan baik.
Persekitaran sebegini tidak menyumbang dalam mewujudkan budaya pembelajaran
selaras dengan hasrat kementerian dalam Pembelajaran Abad ke-21. Murid-murid
belajar dalam keadaan yang serba kekurangan, dengan keadaan kerusi meja yang
usang dan bilik darjah yang menanti roboh. Jauh sekali mengharapkan pembinaan
makmal komputer yang lengkap dengan jaringan internet seperti yang dikecapi
kebanyakan sekolah di bandar, sedangkan kemudahan serta infrastruktur asas pun
tidak terselia dengan baik. Selain menyumbang dalam pembelajaran yang tidak
kondusif, murid-murid turut terkesan dan terancam dari aspek keselamatan
sewaktu berada di kawasan sekolah.
Menurut kajian yang dijalankan oleh Hazura (2012) di kawasan luar bandar
di negeri Johor, mendapati peratusan pemilikan komputer dan penggunaan alat
teknologi adalah rendah sementara kemahiran asas teknologi berada pada aras
sederhana. Ia menunjukkan terdapat jurang digital yang merupakan salah satu isu
yang berterusan di kawasan luar bandar. Keadaan sosio ekonomi luar bandar telah
meletakkan teknologi di luar capaian rakyat atas alasan tidak mampu membeli
komputer.
Komitmen dan motivasi dalam kalangan guru di luar bandar pula berada
dalam kadar yang rendah kerana merasakan mereka dipinggirkan, berjuang
bersendirian dalam memastikan murid tetap belajar walau dalam keadaan apa
sekalipun. Namun lumrah manusia sentiasa memerlukan sokongan dalam
21
meneruskan sesuatu pekerjaan, menjadikan guru-guru semakin kurang
bersemangat. Prasarana seperti rumah guru, kemudahan air dan elektrik, jaringan
internet serta kemudahan asas yang tidak diselenggara menyebabkan guru-guru
tidak bertahan untuk berkhidmat lebih lama di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Dalam kajian yang dijalankan oleh Azrul & Hafiza (2009), Jabatan
Pendidikan Negeri Sabah masih menghadapi kesukaran menempatkan guru-guru
terlatih dan berpengalaman terutama bagi mata pelajaran kritikal seperti Bahasa
Inggeris di luar bandar. Ketiadaan rumah guru dan sekiranya ada pun rumah guru
yang disediakan, ianya berada dalam keadaan daif. Guru juga mengalami masalah
pengangkutan ke sekolah, masalah bekalan air dan elektrik. Hal ini merupakan
punca utama guru-guru tidak berminat mengajar di sekolah luar bandar. Guru yang
tidak bermotivasi akan melaksanakan proses pengajaran yang kurang berimpak
akhirnya melahirkan murid yang tidak bermotivasi untuk belajar serta kurang
berprestasi dari sudut pencapaian akademik dan kokurikulum. Selain itu,
profesionalisme guru juga tidak dapat ditingkatkan jika perkara ini berlarutan.
Ibu bapa dan komuniti sekolah di luar bandar yang kebanyakan tidak
mempunyai tahap pendidikan yang tinggi dan berpendapatan rendah turut terkesan
bila mana sekolah tidak dapat melahirkan murid-murid yang mampu bersaing
seterusnya berjuang demi mengubah nasib keluarga. Mereka tetap berada dalam
keadaan seperti sebelumnya, bekerja sebagai petani, nelayan, buruh kasar dan
lain-lain. Menurut Masayu (2008), ibu bapa di kawasan luar bandar sedar akan
kepentingan mempunyai pendidikan tinggi dan mencuba pelbagai kaedah dalam
memastikan anak-anak mereka menjadi insan yang berpendidikan. Namun keadaan
persekitaran yang tidak memberansangkan di samping keadaan keluarga yang
miskin, menyebabkan mereka terus menerus hidup dalam kesusahan. Terdapat
juga dalam kalangan ibu bapa dan komuniti yang begitu taksub dengan budaya
hidup sehingga menolak sebarang proses pembangunan. Mereka lebih suka anak-
anak mereka meneruskan kerja keluarga daripada menuntut ilmu di sekolah. Ini
juga merupakan salah satu cabaran yang perlu dihadapi dalam menjadikan proses
penambahbaikan sekolah mencapai matlamat akhir.
22
Kesemua implikasi yang wujud ini akhirnya akan menyumbang kepada
terencatnya proses pembangunan modal insan negara yang dihasratkan dalam
dasar-dasar kerajaan. Pelaburan billion ringgit dalam memastikan sekolah daif di
luar bandar diselenggara, agar dapat menjalankan fungsi seperti sekolah-sekolah di
bandar sehingga mampu melahirkan murid yang berdaya saing, adalah merupakan
satu kerugian besar kepada negara jika hasilnya tidak seperti yang diharapkan.
Apabila sistem pendidikan tidak dapat membangunkan modal insan kepada negara,
maka ianya akan memberi kesan kepada ekonomi dan kemajuan negara. Hal ini
kerana pendidikan memainkan peranan utama dalam pertumbuhan ekonomi dan
pembangunan sesebuah negara.
23
RUJUKAN
Azrul, I. & Hafiza, S. & Mohd Fakeri. (2009). Pemerkasaan Mutu dan Kualiti
Pendidikan Sekolah-sekolah Luar Bandar, Negeri Sabah. Konvensyen MPP
Kebangsaan.
Faezah Muda, 30 Oktober 2019. Agihan Peruntukan Penyelenggaran Sekolah Ambil
Kira Keperluan Sebenar. https://www.gpsbestari.com/mobile/berita/agihan-
peruntukan-penyelenggaraan-sekolah-ambil-kira-keperluan-sebenar-
1.930701
Fahmy A Rosli, 16 Julai 2020. Sekolah Daif di Sabah Akan Dinaik Taraf.
https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2020/07/711598/sekolah-daif-
di-sabah-akan-dinaik-taraf
Haika Khazi, 16 Julai 2020. RM3 Bilion Naik Taraf Sekolah Daif.
http://www.pnbbcportal.com/2020/07/16/rm3-bilion-naik-taraf-sekolah-daif/
Hazura, M., Hairuliza, M. J., Siti Fadzilah M. N. & Zawiyah m. Y. (2012). Jurang
Digital dan Pendidikan Luar Bandar: Tahap Literasi Teknologi Maklumat dan
Komunikasi Pelajar. Journal Teknologi Maklumat dan Multimedia Adia Pasifik,
1(2):1-13
Jafni bin Haron. (2020). Kelewatan Projek Pembinaan Sektor Awam Negeri Perak.
Fakulti Kejuruteraan, Universiti Teknologi Malaysia.
Kementerian Kerja Raya, 26 Jun 2020. Kenyataan Media Ketika Lawatan YB Menteri
Kanan Kerja Raya Ke Sekolah Daif Di Sarawak.
Kementerian Pelajaran Malaysia. (2012). Laporan Awal Pelan Pembangunan
Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025. Pusat Sumber Bahagian Teknologi
Negeri Selangor.
24
Kementerian Pendidikan Malaysia. (2019). Kenyataan Media: Menteri Pendidikan
Bawa Plakad, Jelaskan Isu Sekolah Daif di Dewan Rakyat. Pejabat Menteri
Pendidikan.
Maklumat Projek Daif Link Website KPM, 31 Julai 2019. Status Pelaksanaan Projek
Pembangunan Semula Sekolah-Sekolah Daif di Sabah, Sarawak, Labuan dan
Semenanjung Malaysia 2016-2018.
Patricia Gari, 25 Nov 2015. Peruntukan Terhad Punca Sekolah Terus Daif.
https://www.utusanborneo.com.my/2015/11/25/peruntukan-terhad-punca-
sekolah-terus-daif
Portal Rasmi Kerajaan Malaysia Kementerian Kerja Raya, 7 Februari 2020.
Penyerahan Projek Pembinaan Semula Dan Menaik Taraf Sekolah Daif 2019.
http://www.kkr.gov.my/ms/node/42901
Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM). (2012). Pusat Sumber Bahagian
Teknologi Negeri Selangor.
Rebecca Rajaendram, 27 Nov 2019. Cekap Tangani Isu Sekolah Daif, Kementerian
Pendidikan Sasar Selesai Tiga Tahun Lagi.
https://www.mstar.com.my/klik/2019/11/27/sekolah-usang
Rohaniza Idris, Suzalina Halid dan Muhammad Yusri Muzamir, 27 Julai 2020.
RM125b Naik Taraf 237 Sekolah Daif di Sabah.
https://www.bharian.com.my/amp/berita/nasional/2020/07/715252/rm125b
-naik-taraf-237-sekolah-daif-di-sabah
Rosmalis Anuar. (2018). KPM Fokus Lima Strategi Perkasa Modal Insan di Bawah
RMK11. Bernama.
Siti Baaqiah Mamat, 11 Nov 2020. Naik taraf sekolah daif bantu pembelajaran dan
pengajaran lebih selamat.
https://www.bernama.com/bm/ekonomi/news_belanjawan.php?id=1900015
25
Siti Masayu Rosliah binti Abdul Rashid. (2008). Peluang dan Cabaran Pendidikan
Dalam Kalangan Masyarakat Luar Bandar: Satu Kajian Kes Isi Rumah
Melayu Miskin di Jajahan Bachok, Kelantan. Universiti Sains Malaysia.
Wan Normi Hasan, 26 November 2019. Isu sekolah daif: KPM JKR guna sistem
skala sebagai garis panduan penilaian infrastruktur.
https://www.gpsbestari.com/mobile/artikel/rencana/isu-sekolah-daif-kpm-
jkr-guna-sistem-skala-sebagai-garis-panduan-penilaian-infrastruktur-
1.931313
Zarina Md Zain & Muhammad Hussin. (2011). Kualiti Pendidikan Luar Bandar Masih
Ketinggalan?. Fakulti Pendidikan. Universiti Kebangsaan Malaysia.
26