PERANAN DAN CABARAN KELAB FASILITATOR UiTM DI DALAM PROGRAM
MODUL PEMBANGUNAN DAN KEPIMPINAN PELAJAR
UNIVERSITI TEKNOLOGI MARA, SHAH ALAM
Oleh:
Fairus Muhamad Darus Rahim dan Wan Ahman Rahiman Wan Abd
Universiti Teknologi MARA, Shah Alam
1.0 Pengenalan
Dalam alaf baru ini, peranan universiti semakin mencabar. Universiti
dituntut memenuhi tanggungjawab melahirkan sumber tenaga kerja iaitu
penjanaan mahasiswa yang cemerlang dan berketrampilan mengikut keperluan
negara dan pasaran global. Universiti tidak lagi boleh dilihat sebagai menara gading
yang gah dengan status elit lantas terpisah dengan keadaan masyarakat sekeliling.
Tuntutan untuk memasyarakatkan universiti bermakna graduan yang dihasilkan
perlu mempunyai cukup kemahiran untuk menyumbang kepada masyarakat.
Pembentukan individu yang seimbang dari kecerdasan intelektual (IQ), kecerdasan
emosi (EQ) dan oleh disokong kecerdasan Spiritual (ES) serta sahsiah peribadi
unggul adalah elemen-elemen utama yang harus diterapkan pada semua mahasiswa
untuk menjadi seorang individu yang dinamik dan pragmatik.
Menyedari keperluan dan tanggungjawab tersebut pihak pengurusan Universiti
Teknologi MARA (UiTM) telah mengambil langkah proaktif dengan memperkenalkan
Program Modul Pembangunan dan Kepimpinan Pelajar (MPKP) yang merupakan
program pembangunan mahasiwa yang tersusun dan wajib diikuti oleh setiap
mahasiswa di Universiti Teknologi MARA. UiTM merupakan satu-satunya Institut
Pengajian Awam (IPTA) yang melaksanakan program pembangunan mahasiswa
kepada semua penuntutnya.
Pelaksanaan program MPKP bukan sahaja membabitkan kakitangan akademik dan
bukan akademik sebagai fasilitator, malahan turut melibatkan mahasiswa yang
diberi latihan khusus untuk menjadi fasilitator dan bernaung di bawah Kelab
Fasilitator UiTM. Kertas kerja ini membincangkan peranan dan cabaran yang
dihadapi oleh Kelab Fasilitator UiTM di dalam membantu pihak universiti menjaya
program MPKP di kampus Shah Alam.
2.0 Latar Belakang Modul Pembangunan dan Kepimpinan Pelajar
Idea untuk merangka dan membentuk satu modul latihan pembangunan
secara tersusun dan berterusan tercetus hasil daripada Pelan Strategi Pengurusan
Universiti Teknologi MARA menjelang abad 21 yang telah dilancarkan oleh Prof.
Dato Seri Dr. Ibrahim Abu Shah, Naib Canselor semasa penstrukturan UiTM pada
tahun 2001. Pelan strategi tersebut merangka pelbagai aspek pengurusan universiti
bagi tempoh sepuluh tahun iaitu dari 2001 hingga 2010. Antara kandungan pelan
1
strategi yang berkaitan dengan pembangunan pelajar ialah penjelasan ciri-ciri
Model Graduan yang ingin dilahirkan oleh UiTM (Rajah 1).
Usaha merangka dan menggubal Program MPKP telah bermula pada tahun 2003
apabila satu jawatankuasa khusus dibentuk untuk melaksanakan tugas tersebut.
Jawatankuasa ini diletakkan di bawah seliaan Pusat Pembangunan dan Kepimpinan
Pelajar (PPKP, kini dikenali sebagai Pusat Ko-kurikulum dan Kepimpinan, PKKP)
yang dibentuk hasil daripada penstrukturan semula Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan
Alumni UiTM. Draf akhir Modul Pembangunan dan Kepimpinan Pelajar berjaya
disiapkan pada awal tahun 2004 dan kemudiaannya dilaksanakan secara
berperingkat mengikut modul di seluruh kampus UiTM pada Jun 2004.
MODEL GRADUAN UNIVERSITI TEKNOLOGI MARA
1. Berpengetahuan dan Berkemahiran
2. Kreatif, Konstruktif, Saintifik, Progresif, Inovatif, Kritikal, Global dan
Analitikal
3. Rasional, Terbuka, Berpandangan Jauh, Berketerampilan, Bebas dan
Yakin
4. Berdikari dan Berdaya Saing serta Mempunyai Ciri-Ciri Kepimpinan,
Keusahawanan dan Kemahiran Pengurusan yang Tinggi
5. Mempunyai kecerdasan dan ketahanan mental dan fizikal yang
berpanjangan.
6. Mempunyai Sifat Jati Diri, Patriotik, Berterima Kasih Dan Bersyukur
7. Bertakwa, Beretika dan Berakhlak Mulia serta Mempunyai Ciri-Ciri
Personaliti yang Seimbang, Harmonis dan Holistik
Rajah 1: Model Graduan Universiti Teknologi MARA
3.0 Pelaksanaan Program Modul Pembangunan dan Kepimpinan Pelajar
Pelaksanaan program MPKP bermula dengan bengkel dan latihan kepada
pensyarah dan Pegawai Pembangunan Pelajar (PPP) UiTM untuk menjadi fasilitator
bagi setiap kandungan modul program MPKP. Latihan ini dibuat secara bersiri dan
berperingkat mengikut zon. Pembahagiannya merangkumi zon utara (kampus di
Perlis, Kedah dan Pulau Pinang), tengah (kampus Perak dan Shah Alam), Zon Pantai
Timur (kampus di Pahang, Terengganu dan Kelantan), selatan (kampus di Melaka
dan Johor) dan Zon Malaysia Timur (kampus di Sabah dan Sarawak). Langkah ini
dilakukan kerana program ini melibatkan kampus UiTM di seluruh Malaysia. Latihan
susulan turut dilaksanakan mengikut keperluan dan permintaan dari masa ke
semasa.
Di peringkat awal iaitu pada Jun 2004 pelaksanaannya hanya melibatkan program
MPKP peringkat pengajian Diploma sahaja kerana modul peringkat Ijazah Sarjana
Muda sedang berada diperingkat akhir pengubalannya. Program MPKP peringkat
Ijazah Sarjana Muda hanya mula dilaksana pada Disember 2004. Pada masa tersebut
pelaksanaan program MPKP di kampus Shah Alam melibatkan tiga bahagian atau
2
entiti iaitu kolej kediaman bagi MPKP peringkat pengajian Diploma, fakulti bagi
MPKP peringkat Ijazah Sarjana Muda dan PPKP sebagai urusetia pemantau dan
menyelaraskan pelaksanaan di kedua-dua bahagian tersebut.
Pada masa kini, pelaksanaan program MPKP di peringkat pengajian Diploma telah
diambil alih oleh Unit Latihan, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni sepenuhnya dan
dibantu untuk PPP di kolej-kolej kediaman. Manakala bagi program MPKP peringkat
Ijazah Sarjana Muda masih dilaksanakan oleh setiap fakulti dan dipantau dan
diselaraskan oleh Unit Latihan.
Bentuk pelaksanaan program MPKP secara umumnya boleh dibahagikan kepada dua
bentuk aktiviti iaitu ceramah dan aktiviti dalam kumpulan. Bagi sesetengah
kandungan modul yang memerlukan maklumat yang bersifat teknikal ianya akan
disampaikan dalam bentuk ceramah dan disusuli dengan aktiviti dalam kumpulan
sebagai pengukuhannya. Justeru itu, pelaksanaan modul ini melibat penceramah
yang memberi ceramah dan juga fasilitator yang mengendalikan aktiviti dalam
kumpulan.
4.0 Kelab Fasilitator UiTM
Sejarah penglibatan mahasiswa sebagai fasilitator program MPKP bermula
pada 10hb hingga 14 hb April 2005, apabila seramai 100 orang mahasiswa daripada
peringkat pengajian Ijazah Sarjana Muda semester 2 dan 3 daripada pelbagai latar
belakang bidang pengajian di kampus Shah Alam telah dipilih mengikuti kursus
fasilitator selama 5 hari 4 malam di Kampus Merbuk, UiTM Kedah. Penglibatan
mahasiswa peringkat pengajian Sarjana Muda sebagai fasilitator program MPKP
peringkat pengajian Diploma adalah bertujuan untuk melatih dan membentuk
pemimpin di samping memberi contoh terbaik kepada mahasiswa yang masih
belajar di peringkat Diploma.
Mahasiswa yang terpilih di dalam kursus fasilitator ini melalui beberapa proses
pemilihan yang teliti. Hanya mahasiswa yang mendapat CGPA 3.00 atau ke atas dan
lulus sesi temuduga sahaja yang ditawarkan mengikut kursus fasilitator. Pada
kursus ini mahasiswa yang dilatih adalah untuk menjadi fasilitator bagi program
MPKP peringkat pengajian Diploma. Hasil perbincangan antara penganjur (PPKP)
dan para peserta kursus di penghujung kursus tersebut maka tercetuslah idea untuk
menubuhkan sebuah kelab bagi membolehkan peserta kursus yang diberi tauliah
sebagai fasilitator MPKP peringkat pengajian Diploma untuk bernaung di dalam satu
organisasi bagi memudahkan urusan pentadbiran dan pengurusan. Pada peringkat
permulaan satu jawatankuasa penaja telah dibentuk yang diketuai oleh Saudara
Mohamad Najib Bin Jaafar sebagai Presiden Kelab dan En Fairus Muhamad Darus
sebagai Penasihat Kelab.
Mulai pada Julai 2005, maka bermula khidmat fasilitator daripada Kelab Fasilitator
UiTM untuk memberi khidmat di dalam pelaksanaan program MPKP di Kampus Shah
Alam. Pada masa ini penglibatan ahli Kelab Fasilitator UiTM hanya melibatkan
program MPKP peringkat pengajian Diploma sahaja. Hasil khidmat yang cemerlang
dan berkesan daripada ahli Kelab Fasilitator UiTM bagi menjayakan program MPKP
di kolej-kolej kediaman, maka sekali lagi pihak PPKP menganjurkan kursus
fasilitator siri kedua di Kampus Bukit Mertajam, UiTM Pulau Pinang pada 8hb hingga
13 Disember 2005. Walau bagaimanapun, kursus fasilitator siri kedua ini melibatkan
program MPKP diperingkat Ijazah Sarjana Muda.
3
Kumpulan fasilitator ini merupakan kumpulan perintis, maka kewujudan Kelab
Fasilitator UiTM hanya wujud di Kampus Shah Alam sahaja. Bagi kampus-kampus
UiTM di negeri lain keperluan untuk mewujudkan kelab sebegini masih di dalam
pertimbangan kerana faktor bilangan mahasiswa program Ijazah Sarjana Muda yang
terhad. Namun begitu, sebilangan kecil mahasiswa di Kampus Kedah dan Pulau
Pinang turut terlibat di dalam Kursus Fasilitator yang diadakan di tempat masing-
masing.
5.0 Peranan Kelab Fasilitator UiTM
Kelab Fasilitator UiTM diwujudkan bertujuan untuk mengumpulkan peserta siri
kursus fasilitator program MPKP. Dalam erti kata yang lain, hanya mahasiswa yang
telah mengikuti kursus fasilitator program MPKP sahaja yang layak menjadi ahli
Kelab Fasilitator UiTM. Ini menjadikan kelab ini sebagai sebuah organisasi yang
ekslusif dan unik di mana ahli-ahli perlu melalui proses kelayakan dan pemilihan
yang telah dilaksanakan oleh pihak universiti. Hal ini tidak dapat dielakkan kerana
ahli Kelab Fasilitator UiTM bertanggungjawab membantu pihak universiti untuk
menjayakan program MPKP di samping menjadi contoh dan ikutan oleh mahasiswa
yang lain.
Kehadiran fasilitator di kalangan pelajar bukan bertujuan menggantikan tempat
atau mengambil alih kakitangan akademik atau pegawai pembangunan pelajar
sebagai fasilitator di dalam program MPKP tetapi lebih kepada menyediakan
sumber tenaga penggerak tambahan yang dapat membantu melancarkan lagi
pelaksanaan program MPKP di kampus Shah Alam. Di samping itu juga ahli-ahli
Kelab Fasilitator tidak sahaja sekadar berfungsi sebagai fasilitator tetapi boleh juga
bertugas sebagai urusetia membantu pihak kolej atau fakulti dan Unit Latihan di
dalam penganjuran program MPKP.
Sepanjang sesi Disember 2005 – Mei 2006 sahaja, ahli Kelab Fasilitator UiTM telah
memberi khidmat bakti dan sumbangan di dalam menjayakan program MPKP sama
ada program peringkat Diploma dan peringkat Ijazah Sarjana Muda serta turut
membantu pihak fakulti dan Unit Latihan sebagai urusetia. Rajah 2, Jadual 1 dan 2
menunjukkan bilangan ahli Kelab Fasilitator UiTM yang terlibat di dalam
pelaksanaan program MPKP di Kampus Shah Alam.
Maklum balas yang diterima daripada kakitangan akademik, pegawai pembangunan
pelajar serta pentadbir fakulti adalah sangat positif. Kebanyakkan pegawai begitu
kagum dengan kemampuan dan kebolehan ahli Kelab Fasilitator UiTM di dalam
mengendalikan program MPKP. Selain itu juga, maklum balas yang ditunjukkan oleh
peserta program MPKP di dalam borang maklum balas menunjukkan majoriti
peserta turut memberi komentar yang memberansangkan.
4
Modul Ijazah Modul Diploma
120
100 96
80
60
40 29 31 34 31
20 15
0
Jan Feb Mac
Rajah 2: Graf menunjukkan bilangan ahli Kelab Fasilitator UiTM yang terlibat di dalam
pelaksanaan MPKP bagi semester Dis 2005 – April 2006 di Kampus Shah Alam.
Jadual 1: Penglibatan ahli Kelab Fasilitator UiTM di dalam pelaksanaan Modul peringkat
Diploma
Modul Tarikh Tempat Bil Ahli Kelab
Diploma Fasilitator UiTM
15 Januari 2006 Kolej Anggerik
Modul 2 21 Januari 2006 Kolej Puncak Perdana yang terlibat
Modul 1 21 Januari 2006 8
Modul 3 22 Januari 2006 Kolej Anggerik 7
Modul 1 22 Januari 2006 Kolej Anggerik 2
Modul 1 11 Februari 2006 Kolej Puncak Perdana 2
Modul 1 12 Februari 2006 Kolej Cempaka/Kenanga 10
Modul 1 12 Februari 2006 Kolej Cempaka/Kenanga 9
Modul 2 25 Februari 2006 Kolej Puncak Perdana 9
Modul 2 Kolej Cempaka/Kenanga 6
Modul 3 4 Mac 2006 Kolej Cempaka/Kenanga 10
Modul 4 12 Mac 2006 Menara S & T 10
5
5
Jadual 2: Penglibatan ahli Kelab Fasilitator UiTM di dalam pelaksanaan Modul peringkat
Ijazah
Modul Ijazah Tarikh Tempat Bil Ahli Kelab
Fasilitator UiTM
Modul 1 7 Januari 2006 FSPPP
Modul 1 14 Januari 2006 FKK yang terlibat
Modul 1 14 Januari 2006 FKM 4
Modul 2 14 Januari 2006 FKM 4
Modul 3 15 Januari 2006 FKM 14
Modul 1 15 Januari 2006 FPM 12
Modul 1 15 Januari 2006 FPP 7
Modul 2 21 Januari 2006 FKE 11
Modul 2 22 Januari 2006 FKE 22
Modul 3 18 Februari 2006 FKPM 11
Modul 2 19 Februari 2006 FKPM 11
Modul 1 19 Februari 2006 FSG 5
Modul 1 & 3 25 Februari 2006 FTSMK 9
Modul 2 26 Februari 2006 FTSMK 11
Modul 3 FP 3
Modul 1 4 Mac 2006 FSG 3
Modul 2 5 Mac 2006 FP 10
Modul 1 5 Mac 2006 FSG 9
11 Mac 2006 4
8
Kemampuan dan kebolehan ahli Kelab Fasilitator UiTM turut mendorong ramai
mahasiswa yang telah mengikuti program MPKP untuk melibatkan diri sebagai
peserta Kursus Fasilitator bagi Sesi Disember 2005 – Mei 2006. Hampir sebahagian
besar mahasiswa yang menghadiri temuduga terbuka bagi menyertai Kursus
Fasilitator menyatakan antara sebab mereka ingin mengikut kursus tersebut adalah
disebabkan keinginan untuk menjadi seorang mahasiswa yang berketrampilan,
berkeyakinan dan kemahiran komunikasi yang baik seperti mana yang telah
dipamerkan oleh ’abang-abang atau kakak-kakak’ fasilitator semasa mengendalikan
mereka di dalam program MPKP.
Ini membuktikan bahawa peranan ahli Kelab Fasilitator UiTM bukan sahaja
bertindak sebagai fasilitator atau pengerak program MPKP tetapi berupaya menjadi
contoh tauladan dan ikutan atau ’role model’ untuk diikuti oleh mahasiswa yang
lain.
6
6.0 Sumbangan Kelab Fasilitator UiTM
Meskipun tujuan kewujudan Kelab Fasilitator UiTM adalah menyediakan tenaga
pengerak tambahan di dalam menjayakan program MPKP. Sumbangan kelab ini
tidak terbatas terhadap program tersebut sahaja. Kelab ini juga menjadi landasan
atau ’platform’ kepada ahli-ahlinya untuk membina dan membangunkan sahsiah
dan keperibadian serta kepimpinan mereka. Hasil daripada latihan dan
mendedahan serta pengalaman yang diterima sebagai fasilitator, sebahagian kecil
daripada ahli Kelab Fasilitator UiTM telah dipilih dan terpilih sebagai Exco Majlis
Perwakilan Pelajar (MPP), Yang Dipertua atau Exco Jawatankuasa Kolej (JPK),
Presiden atau Exco Persatuan atau kelab di peringkat universiti, fakulti atau kolej.
Jadual 3 menunjukkan sebahagian nama-nama Persatuan dan jawatan yang
disandang oleh ahli Kelab Fasilitator UiTM di Kampus Shah Alam.
Jadual 3: Senarai Persatuan dan Jawatan yang dianggotai oleh ahli Kelab Fasilitator UiTM
Sesi Disember 2005 – Mei 2006
Bil Nama Organisasi atau pesatuan Jawatan yang disandang
1. Majlis Perwakilan Pelajar Exco Hal Ehwal Fakulti
2. Jawatankuasa Kolej Teratai Yang Dipertua
3. Jawatankuasa Kolej Teratai Exco Kebudayaan
4. Persatuan (Permata) Presiden
5. Persatuan Mahasiswa Teknologi Persekitaran Presiden
Selain daripada itu, Kelab Fasilitator UiTM turut terlibat dan diberi kepercayaan di
dalam menjaya program-program universiti selain daripada program MPKP. Kelab
ini kerap dijemput dan dipelawa oleh mana-mana persatuan atau kelab untuk
berganding bahu menjayakan sesuatu program. Perkara sebegini berlaku
disebabkan komimet dan keperibadian serta kepimpinan yang ada pada setiap ahli
Kelab Fasilitator UiTM. Kehadiran ahli kelab ini di dalam sesuatu kominiti atau
program sentiasa dihargai dan dihormati.
7.0 Cabaran Kelab Fasilitator UiTM
Kelahiran Kelab Fasilitator UiTM di bumi Kampus Shah Alam merupakan permulaan
bagi satu perjalanan yang jauh dan penuh berliku. Dalam usia yang masih
merangkak dan muda banyak perkara yang dipelajari dan pelbagai cabaran serta
rintangan yang dihadapi. Sebagai mana kelab-kelab yang lain, Kelab Fasilitator
turut tidak dapat mengelak daripada isu-isu dalaman dan luar yang mengugat
prestasi dan imej kelab ini.
Kredibiliti
Kelab Fasilitator UiTM pada masa kini merupakan satu-satunya kelab yang diberi
kepercayaan untuk membantu pihak universiti bagi menjayakan program MPKP di
Kampus Shah Alam. Justeru itu, kemampuan dan kebolehan ahli-ahlinya untuk
mengendalikan program tersebut menjadi satu keutamaan yang harus dipandang
7
serius. Demi memastikan kredibiliti atau kewibawaan ini, maka menjadi perkara
utama bagi kelab yang hanya menerima keahlian eksklusif iaitu daripada mahasiswa
yang telah berjaya mengikut Kursus Fasilitator anjuran pihak universiti dan
mendapat surat lantikan daripada pihak universiti yang membolehkan mereka
memberi khidmat sebagai fasilitator di dalam program MPKP.
Selain daripada latihan formal yang diberi melalui Kursus Fasilitator, ahli-ahli kelab
turut dimestikan menghadiri latihan tidak formal atau perbincangan sebelum
sesuatu program MPKP dilaksanakan pada setiap minggu. Ini bagi memastikan ahli-
ahli kelab memahami dan menguasai sepenuh modul-modul MPKP yang bakal
dilaksanakan, di samping dapat bertukar-tukar pengalaman dan pandangan sesama
mereka.
Imej
Ahli Kelab Fasilitator UiTM yang bertindak sebagai barisan hadapan apabila menjadi
fasilitator perlu mempamerkan imej dan penampilan sahsiah diri yang baik supaya
menjadi contoh dan tauladan kepada para peserta di dalam program MPKP. Imej
yang baik bukan terhad kepada penampilan semasa menjalankan program tetapi
sepanjang mereka berada di universiti. Selain itu, pencapaian akademik ahli Kelab
Fasilitator UiTM juga harus dipertingkatkan dan sentiasa berada dalam prestasi baik
supaya dapat dicontohi oleh rakan-rakan dan juga ’adik-adik’ peserta program
MPKP.
Seperti yang telah dimaklumkan sebelum ini, mereka yang menjadi ahli Kelab
Fasilitator UiTM merupakan mahasiswa yang terpilih yang memiliki penampilan,
keperibadian dan pencapaian akademik yang baik. Adalah menjadi cabaran kepada
ahli kelab untuk mengekal dan meningkat prestasi mereka masing-masing. Imej
yang dibawa bukan terhad kepada imej individu tetapi juga membawa nama pihak
universiti yang bertanggungjawab melaksanakan program MPKP.
Komitmen
Meskipun kehadiran ahli Kelab Fasilitator UiTM di dalam program MPKP sebagai
tenaga pengerak tambahan, peranan dan sumbangan yang ditunjukkan setakat ini
menagihkan komitmen daripada ahli kelab. Berdasarkan pengalaman pelaksanaan
program MPKP sesi Disember 2005 – Mei 2006 yang mengambil tempoh masa
pelaksanaan selama hampir tiga bulan. Dalam erti kata yang lain hampir setiap
minggu dalam tempoh tersebut terdapat aktiviti penganjuran program MPKP yang
dijalankan sama ada di fakulti mahupun di kolej kediaman.
Ahli-ahli kelab yang terlibat terpaksa mengorbankan masa hujung minggu dan
menyusun jadual belajar mereka untuk memberi khidmat dan sumbangan di dalam
pelaksanaan program MPKP. Pengorbanan ini tidak dapat dilaksanakan tanpa ada
kesedaran, rasa bertanggungjawab dan keikhlasan daripada ahli-ahli kelab. Adalah
menjadi cabaran untuk setiap ahli kelab mengekalkan komitmen sebegini demi
memastikan hasrat universiti di dalam program MPKP tercapai.
Kemahiran dan Pengalaman
Kemahiran dan pengalaman menjadi penentu di dalam membentuk kredibiliti ahli
Kelab Fasilitator UiTM untuk menjayakan program MPKP di kampus Shah Alam.
Meskipun diperingkat permulaan latihan formal terhadap asas fasilitator dan
kandungan modul MPKP diberikan kepada setiap ahli, latihan yang berterusan
8
kepada ahli adalah perlu untuk meningkatkan tahap kemahiran dan memberi
pengalaman kepada mereka.
Dalam hal ini, faktor masa menjadi satu cabaran kepada Kelab Fasilitator UiTM
untuk menyusun jadual latihan kerana sebahagian masa yang ada telah diisi dengan
program melaksanakan modul MPKP. Selain itu juga, komitmen ahli untuk
menghadiri program-program latihan sama ada formal atau tidak formal perlu
dipertingkatkan supaya tahap kemahiran dan pengalaman ahli turut sama dapat
dipertingkatkan.
8.0 Penutup
Kejayaan pelaksanaan program MPKP adalah penting untuk memastikan model
graduan UiTM dapat dicapai di dalam melahirkan graduan universiti bertaraf dunia.
Kelab Fasilitator UiTM berasa bangga kerana diberi penghormatan dan kepercayaan
untuk turut bersama-sama berusaha menjaya hasrat murni. Adalah menjadi
tanggungjawab Kelab Fasilitator UiTM bagi memastikan ahli kelab yang telibat
memahami dan menghayati peranan dan sumbangan yang harus diberikan kepada
pihak universiti. Di samping itu, cabaran-cabaran yang diharungi oleh kelab ini
harus ditangani dengan cermat dan berhemah demi memastikan kelansungan Kelab
Fasilitator UiTM di Kampus Shah Alam.
--------------------------------------------
Rujukan:
Rancangan Malaysia Ke-9 Pembangunan Pelajar (Bahagian Hal Ehwal Pelajar): 2006-
2010. Universiti Teknologi MARA.
Penstrukturan Universiti Teknologi MARA: 2001 – 2010.
Model Graduan Universiti Teknologi MARA. 2005. Pusat Pembangunan dan
Kepimpinan Pelajar, UiTM.
Fairus Muhamad Darus, Norzailahan Ahmad dan Syed Yusainee Syed Yahya. (2005).
Modul Pembangunan dan Kepimpinan Pelajar (MPKP) di Universiti Teknologi
MARA: Visi dan Realiti. Seminar Pengurusan Asrama Peringkat Kebangsaan
(SPARK) 2005. Hotel Century Mahkota, Melaka. 27 – 30 Nov. 2005.
9