Pertandingan Inovasi Pensyarah TVET 2021 Peringkat Kebangsaan (PERISA ’21) WARNACH CRISP Anis Mastura binti Ahmad Fuad, Asriani binti Karim Kolej Komuniti Lahad Datu Abstrak Ipomoea aquatica atau lebih dikenali sebagai kangkung adalah jenis sayuran berdaun tropika yang tumbuh meliar dan banyak ditemukan di beberapa wilayah Asia Tenggara, India dan Cina bahagian Tenggara. Kebiasaannya juadah kangkung dinikmati dengan cara direbus ataupun ditumis. Kangkung menjadi sayur pilihan terutamanya bagi golongan berpendapatan rendah kerana ia murah dan mudah didapati. Selain itu, ia mempunyai banyak khasiat yang baik untuk kesihatan dan tinggi kandungan vitamin A, C dan zat besi. Namun begitu, penggunaan kangkung dalam penghasilan makanan tidak begitu meluas. Justeru, penghasilan keropok keping berasaskan kangkung ini adalah bagi memvariasikan penggunaan kangkung dalam produk makanan dipasaran. Hasil daripada proksimat analisis menunjukkan kandungan nutrisi bagi Warnach Crisp adalah sebanyak 0.7% protin, 29.7% lemak, 64.5% karbohidrat, 2.94% serabut diet dan 528 kcal tenaga bagi 100 g berat produk. Berdasarkan nutrisi tersebut, penghasilan WarNach Crisp dapat membantu pengguna yang tidak menggemari pengambilan sayur dalam menu seharian untuk mendapatkan khasiat dan zat daripada sayur kangkung. Ujian tahap penerimaan yang dilaksanakan juga menunjukkan produk yang dihasilkan boleh diterima oleh pengguna. Kata Kunci: Keropok, Kangkung, Inovasi 1.0 PENGENALAN Kangkung merupakan sejenis sayuran tropika yang banyak didapati di kawasan garisan khatulistiwa (Ng et al., 2016). Kebiasaannya kangkung tumbuh subur di kawasan tanah yang lembab dan menjalar dialiran berlumpur (Li & Li, 2009; Jampeetong et al., 2012). Terdapat dua jenis sayur kangkung iaitu kangkung darat dan kangkung air. Kangkung darat adalah kangkung yang ditanam atas tanah, tumbuh menegak dan diusahakan secara komersial. Manakala, kangkung air adalah jenis kangkung yang tumbuh dalam kolam atau tali air yang menjalar. Kangkung merupakan satu jenis sayuran jenis daun yang popular dan mudah ditanam kerana mempunyai pasaran yang besar. Kangkung mempunyai banyak khasiat yang diperlukan oleh badan kerana ia mengandungi fosforus, magnesium, kalsium dan kalium yang tinggi (Singh et al., 2010). Selain itu, ia juga mempunyai nutrient penting seperti protien, karbohidrat, mineral, vitamin dan unsur surih yang lain (Itanna, 2002). Kangkung juga senang ditanam dan mudah diperoleh. Ia juga merupakan salah satu jenis sayuran yang murah. Maka, tidak hairanlah sayur ini selalu
Pertandingan Inovasi Pensyarah TVET 2021 Peringkat Kebangsaan (PERISA ’21) menjadi pilihan pengguna dalam juadah harian terutamanya bagi golongan yang berpendapatan rendah. Namun begitu, kangkung hanya terhad dinikmati selepas ditumis, digoreng ataupun direbus sahaja. Ini menjadikan terdapat banyak lambakan sayur kangkung yang tidak digunakan sepenuhnya selepas dituai. Selain daripada itu, tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 menunjukkan, sebanyak 94% rakyat Malaysia tidak makan buahbuahan dan sayur-sayuran seperti yang disyorkan iaitu lima hidangan setiap hari, dimana ianya meningkatkan risiko mendapat penyakit tidak berjangkit. Hal ini sangat membimbangkan kerana kesihatan setiap individu menjamin kesejahteraan masyarakat. Justeru, dengan adanya penghasilan WarNach Crisp ini diharapkan dapat menarik minat pengguna terutamanya golongan kanak-kanak dan dewasa yang tidak gemarkan sayuran. Rasa asli kangkung yang terdapat dalam WarNach Crisp ini sedikit sebanyak dapat menggalakkan pengguna merasai kelazatan sayur kangkung dan mendapatkan khasiat daripadanya. 2.0 PENYATAAN MASALAH Amalan gaya hidup sihat semakin dipraktikkan dalam kalangan masyarakat saban hari ini. Kesedaran yang positif ini secara tidak langsung dapat meningkatkan mutu kehidupan seseorang menjadi lebih proaktif. Masyarakat kini sangat menitik beratkan pengambilan makanan seharian mereka. Menu-menu sihat menjadi pilihan santapan juadah mereka untuk dinikmati. Namun begitu, tarikan untuk menjamah kudapan ringan seperti snek dan keropok yang mengandungi banyak bahan pengawet dan perasa makanan sukar untuk ditolak oleh para pengguna disemua peringkat umur. Keropok ikan juga sering menjadi pilihan kudapan masyarakat Malaysia. Namun begitu, pembuatan keropok yang memerlukan penggunaan ikan sebagai bahan utama menjadi suatu halangan kepada pengusaha keropok menghasilkan produk. Hal ini disebabkan oleh harga ikan mentah semakin hari semakin meningkat dan stok untuk mendapatkan bekalan amat terhad kerana mengikut musim semasa. Faktor ini menyebabkan pengeluar keropok ikan seringkali mengeluh kerana pengeluaran keropok ikan akan berkurang dan mereka terpaksa menaikkan harga keropok ikan. Implikasinya, keuntungan yang diperoleh mereka akan sedikit terjejas dek kerana bilangan pembeli juga berkurang. Selain daripada itu, lambakan kangkung di pasar dan tumbuh meliar menjadi satu kerugian jika tidak digunakan sepenuhnya. Justeru, inovasi ini bertujuan untuk menghasilkan keropok kangkung hasil daripada campuran kangkung dan tepung sagu. Malah, hasilan keropok ini juga bukan sahaja dapat
Pertandingan Inovasi Pensyarah TVET 2021 Peringkat Kebangsaan (PERISA ’21) zat dan nutrisi dalam keropok, malah dapat menvariasikan penggunaan kangkung dalam penghasilan produk makanan. 3.0 OBJEKTIF INOVASI Objektif penghasilan WarNach Crisp ini adalah untuk: i. menghasilkan snek yang menggunakan kos rendah ii. menggalakkan pengambilan snek yang berasaskan sayur dalam kalangan kanakkanak iii. mengetengahkan dan menonjolkan lagi nilai komersial kangkung dalam penghasilan produk makanan 4.0 CIRI-CIRI INOVASI Inovasi ini berasaskan snek makanan yang selalunya menjadi pilihan pengguna untuk dinikimati sebagai kudapan di petang hari atau pada waktu senggang. Snek ini diolah mengikut citarasa penduduk Asia dan menggalakkan pengguna memilih snek yang dihasilkan daripada sayuran. Malah, inovasi WarNach Crisp ini juga mengetengahkan konsep makanan “ready-to-eat” iaitu boleh dinikmati dalam masa yang singkat dan pada bila-bila masa. Malah, inovasi ini juga mampu menghasilkan snek makanan yang berkhasiat hasil nilai tambah daripada penggunaan sayur kangkung. 5.0 CARA OPERASI Peringkat yang terlibat dalam pemprosesan WarNach Crisp ditunjukkan dalam Rajah 1 dan Rajah 2. Bagi permulaan proses penghasilan WarNach Crisp, kangkung dikisar menjadi pes terlebih dahulu sebelum dicampur dengan bahan-bahan asas untuk membuat keropok. Semua bahan-bahan perlu diadun sebati sebelum dikukus selama 30 minit. Setelah itu, hasil kukusan perlu disejukkan dan dibekukan di dalam peti sejuk beku selama semalaman sehingga betul-betul pejal. Kemudian, keropok akan dihiris nipis dan dikeringkan sebelum sedia untuk digoreng.
Pertandingan Inovasi Pensyarah TVET 2021 Peringkat Kebangsaan (PERISA ’21) Rajah 1: Carta alir pemprosesan WarNach Crisp Rajah 2: Ilustrasi pemprosesan WarNach Crisp Timbang semua bahan mentah mengikut formulasi yang ditetapkan. Kangkung yang telah dibersihkan dikisar sehingga halus. Masukkan kesemua bahan mentah yang lain ke dalam pengisar kecuali minyak dan tepung. Kisar sehingga sebati. Adun bahan kisar bersama tepung. Apabila sudah sebati, masukkan minyak. Masukkan adunan kedalam loyang dan kukus sehingga masak selama 30 minit. Setelah selesai dikukus, sejukkan seketika sebelum disimpan dan dibekukan di dalam peti sejuk beku semalaman. Keropok dihiris nipis dengan menggunakan mesin penghiris pada ketebalan 0.2 cm. Keropok dikeringkan di dalam proofer semalaman pada suhu 60oC. Keropok digoreng sehingga kembang. WarNach Crisp sedia untuk dihidangkan.
Pertandingan Inovasi Pensyarah TVET 2021 Peringkat Kebangsaan (PERISA ’21) 6.0 GAMBARAJAH INOVASI Rajah 3 menunjukkan WarNAch Crisp yang telah siap dihasilkan. Rajah 3: WarNach Crisp 7.0 IMPAK INOVASI Penghasilan WarNach Crisp daripada kangkung adalah untuk menghasilkan snek makanan yang tinggi kandungan nutrisinya. Berdasarkan analisis proksimat yang telah dijalankan mendapati kandungan nutrisi bagi WarNach Crisp adalah sebanyak 0.7% protin, 29.7% lemak, 64.5% karbohidrat, 2.94% serabut diet dan 528 kcal tenaga bagi 100 g berat produk. Kandungan serabut diet yang terdapat dalam WarNach Crisp hasil daripada penggunaan kangkung sedikit sebanyak membantu pengguna mendapatkan sumber serat daripada makanan yang sangat diperlukan dalam sistem pencernaan. Selain itu, produk ini juga sebagai salah satu cara untuk memvariasikan dan memanfaatkan penggunan kangkung dalam penghasilan produk makanan. Hal ini dapat membuka mata semua pengguna bahawa penggunaan kangkung tidak terhad kepada masakan sayur goreng dan ulaman sahaja, malah dapat dinikmati dalam bentuk keropok yang setanding dengan keropok ikan yang banyak terdapat dipasaran. Seterusnya, penghasilan WarNach Crisp ini juga dapat membantu meningkatkan ekonomi masyarakat setempat dengan menghasilkan produk makanan yang menggunakan kangkung. Produk ini juga dapat dipraktikalkan dan sedia untuk dimakan. Secara konklusinya, WarNach Crisp ini dapat menggalakkan masyarakat memilih dan menikmati snek yang berkhasiat serta sesuai dinikmati oleh pelbagai peringkat umur. 8.0 CADANGAN PENAMBAHBAIKAN Inovasi ini boleh ditambahbaik dengan cara menukarkan bentuk potongan keropok menjadi bulat. Cara ini dapat mengurangkan masalah keropok menjadi hancur dan
Pertandingan Inovasi Pensyarah TVET 2021 Peringkat Kebangsaan (PERISA ’21) memudahkan proses pembungkusan. Selain itu, perasa untuk WarNach Crisp boleh divariasikan lagi seperti perasa tomyam, disira dan pelbagai lagi untuk menarik lebih ramai lagi pelanggan untuk membeli dan merasa produk ini. WarNach Crisp ini juga boleh dijual secara mentah. Cara ini dapat menggalakkan pengguna menikmati WarNach Crisp dengan cara tersendiri dan dinikmati dimanapun mereka berada. 9.0 KESIMPULAN Kesimpulan yang kami dapati ialah, tujuan kami menghasilkan inovasi ini untuk mengkomersialkan lagi sayur kangkung dalam penghasilan produk makanan. Selain itu, kita selalunya menggunakan sayur kangkung hanya untuk juadah. Oleh itu, kami memilih sayur kangkung sebagai inovasi kami untuk memperkenalkan lagi produk makanan yang berasaskan sayur kangkung.