A syraf
ABADI
1
TAJUK ISI KANDUNGAN
Pendahuluan MUKA SURAT
Hadiah
Suaikenal 3
Asyraf 4
Anak Cikgu 7
Kehilangan 13
Ujian kedua 16
Takdir kita 19
Penutup 22
27
29
2
PENDAHULUAN
Saban hari yang dilalui, menghadiahkan pengalaman demi pengalaman yang
membawa seribu erti. Suka dan duka, silih berganti. Mana mungkin segalanya
berulang kembali kerana masa terus berlalu pergi. Tiada apa yang perlu dinanti.
Baik buruk pengalaman, ia sentiasa dihargai. Maka, dizahirkan kembali dalam
bentuk penceritaan kerana ia terlalu menyentuh hati. Tidak pernah terduga ia bakal
terjadi dan terukir indah di minda ini.
Andai melalui penulisan ini mampu diperolehi pahala kebaikan, maka pahala itu
kuhadiahkan kesemuanya buat mereka insan kesayangan.
Allahyarham Abdullah bin Hashim
Allahyarham Azhar bin Abdullah
Allahyarhamah Aliza binti Abdullah
3
HADIAH
Tiba masanya untuk aku ke kementerian, mendapatkan surat penempatan semula
bagi meneruskan perkhidmatan. Sepanjang perjalanan aku tak putus berdoa agar
ditempatkan di sekolah yang aku harapkan. Sampai di lobi, sekitar jam sepuluh pagi.
Naik ke tingkat atas berseorangan. Tidak ada tetamu yang lain melainkan aku
seorang. Kaunter kosong, tiada pegawai yang bertugas. Suasana sunyi dan sepi.
Aku duduk di kerusi menanti jika ada sesiapa yang sudi menampakkan diri untuk
aku berurusan. Kira-kira dua puluh minit menunggu, muncul seorang wanita
bertubuh rendah bertanyakan tentang urusan aku.
Aku maklumkan tentang kehadiranku pada pagi ini adalah untuk mendapatkan surat
penempatan semula setelah tamat cuti belajar. Wanita tadi masuk ke dalam dan
muncul semula dengan sekeping kertas di tangan. Diberikan kertas itu kepadaku
sambil meminta aku mencatat nama dan nombor kad pengenalan sebagai akuan
penerimaan surat dalam sebuah buku. Selesai mencatat, aku diminta melaporkan
diri ke negeri tersebut pada tarikh ditetapkan. Tanpa melihat surat, aku akur. Aku
kembali duduk di kerusi sambil membelek helaian surat yang diperolehi tadi.
Aku gosok mata berulangkali. Antara percaya dengan tidak dengan apa yang aku
lihat. Cop yang tertera di atas surat penempatan tersebut ialah negeri Perak, bukan
negeri kelahiranku. Mana mungkin, fikirku. Aku telah berkhidmat di negeri sendiri
sejak berpuluh tahun yang lalu. Sejak aku tamat pengajian peringkat sijil hinggalah
ke diploma dan sarjana. Tidak pernah sekalipun aku memohon bertukar negeri.
4
Bagaimana kali ini boleh jadi begini? Aku ke kaunter semula dan bertanyakan untuk
pengesahan tentang apa yang kulihat. Pegawai bertugas memaklumkan bahawa itu
keputusan mesyuarat dan aku perlu akur.
Aku keliru. Aku buntu. Aku hubungi suami yang menunggu di bawah. aku
maklumkan tentang apa yang berlaku. Suami meminta aku turun ke kereta sambil
dia berusaha menghubungi kenalan yang bertugas di kementerian tetapi berlainan
bahagian. Bagai tiada siapa yang dapat membantu. Aku cuba tenangkan diri.
Perancangan asal untuk bermalam di Kuala Lumpur setelah urusan selesai
dibatalkan. Hadiah ini membuatkan aku bingung hingga hilang selera makan. Aku
dan suami putuskan untuk terus ke Jabatan Pendidikan Negeri Perak.
Kami sampai di jabatan lebih kurang pukul tiga petang. Kurasakan semangat yang
ada semakin menghilang. Hilang kerana tak menyangka akan hadiah kuterima, amat
merobek jiwa. Aku dan suami bertemu pegawai atasan dan memaklumkan tentang
penempatan di luar jangkaan. Bagai diduga, mereka juga tidak mampu membuat
apa-apa. Suami merayu agar aku ditempatkan di sekolah yang berhampiran dengan
sempadan negeri kerana aku akan berulang setiap hari. Harapan suami kepada
pegawai tersebut agar aku ditempatkan di pekan PB. Malangnya, tiada kekosongan
di PB. Maka, aku ditempatkan di BS iaitu empat belas kilometer daripada pekan PB.
Selesai berurusan, aku dan suami mengambil keputusan untuk terus ke sekolah
yang aku bakal bertugas di BS. Sepanjang perjalanan masing-masing diam seribu
5
bahasa. Sukar untuk percaya tetapi ia benar-benar berlaku tanpa pernah disangka.
Segala rasa berkecamuk di minda. Sampai di sekolah hari Khamis jam lima
setengah petang. Sekolah yang mempunyai dua sesi iaitu pagi dan petang. Suami
mencadangkan agar aku terus mendaftarkan diri walau tarikh sepatutnya ialah pada
hari Isnin minggu berikutnya. Aku bertemu dan berurusan dengan Penolong Kanan
Petang. Aku dapatkan maklumat awal tentang sekolah termasuk nama dan nombor
telefon bimbit pengetua untuk aku hubungi.
Badan terasa amat letih. Dalam tempoh satu hari mengharungi perjalanan daripada
Sg Petani ke Putrajaya. Daripada Putrajaya patah balik ke Bandar Ipoh, seterusnya
ke BS. Kemudian bertolak pulang ke Sg Petani kembali. Pergi dengan harapan,
pulang dengan kekecewaan. Itu yang aku rasakan.
6
SUAIKENAL
Hari pertama bertolak dari rumah ke sekolah untuk melaksanakan tugasan, aku
bangun seawal jam empat pagi. Semalaman aku tidak dapat lelapkan mata kerana
memikirkan banyak perkara. Pukul lima setengah pagi, aku dan suami bertolak
meninggalkan rumah. Singgah solat di tempat rehat dan rawat lebuhraya utara
selatan. Sampai di sekolah aku bertemu dengan pengetua. Beliau kulihat seorang
yang sangat aktif dan mempunyai perancangan dan matlamat yang jelas. Aku tidak
pasti sama ada aku faham atau tidak apa yang diperkatakan oleh beliau kerana aku
merasakan aku masih berada dalam situasi kebingungan ditempatkan di sekolah ini.
Selesai berbincang dengan beliau, aku bertemu dan bersuaikenal pula dengan
beberapa pentadbir yang lain serta kakitangan yang ada di pejabat pada ketika itu.
Alhamdulillah semuanya melayan aku dengan mesra. Kemudian aku berjalan
bersendirian ke bangunan PPKI yang berada di seberang jalan. Fikiran aku pada
ketika itu masih tidak tenang. Hati masih rasa tak seronok untuk bertugas di SMKBS
kerana terlalu jauh dari rumah, berlainan negeri dan ditambah pula dengan opsyen
aku ditukar tanpa rela. Daripada seorang guru bimbingan kaunseling sepenuh masa
kepada guru PPKI. Puas aku fikirkan, bagaimana untuk aku berhadapan dengan
anak-anak istimewa yang aku sendiri tiada asas untuk mendidik mereka. Rasa
marah, kecewa, benci, sakit hati saling bercampur baur. Aku berjalan sambil
melayan perasaan. Berjalan sambil bermonolog sendirian.
7
Sekolah ini agak unik bagi aku. Ini kerana kawasan sekolah terbahagi kepada dua
disebabkan adanya sebuah laluan utama ke sekolah rendah yang terletak di sebelah
sekolah aku bertugas dan juga merupakan antara laluan utama masuk ke kampung.
Aku bertemu dengan penolong kanan PPKI iaitu Cikgu Husni. Cikgu Husni seorang
guru yang lebih muda daripada aku. Beliau menerima baik kedatangan aku dan
melayan segala persoalan aku dengan mesra. Begitu juga rakan guru dan pembantu
pengurusan murid yang ada. Semuanya menunjukkan wajah ceria menyambut
kehadiranku yang masih dalam kebingungan sebenarnya.
Sepanjang perbualan bersama mereka, aku difahamkan yang semua murid ppki
pulang pada pukul 1.00 tengahari. Dan semua guru dan murid aliran perdana
dibenarkan pulang pukul 1.30 tengahari. Tamat waktu persekolahan, suami hadir
untuk membawa aku pulang. Sepanjang perjalanan untuk pulang ke rumah yang
mengambil masa antara satu jam hingga satu jam lima belas minit, kuhabiskan
bercerita kepada suami tentang suaikenal aku dengan warga sekolah.
Sampai di rumah hampir pukul empat petang. Aku mandi, solat, makan dan berehat.
Malam aku cuba tidur awal kerana esok aku perlu bangun awal lagi. Kalau terlewat
siapkan diri, akan bertambah lewat aku sampai ke sekolah disebabkan kesesakan di
lebuhraya berhampiran Sungai Dua hingga ke Juru. Minggu pertama aku habiskan
masa di sekolah tanpa memberi tumpuan sepenuhnya dengan apa yang kulakukan.
Sekadar menzahirkan diri demi menurut arahan yang diberi. Emosi aku masih belum
stabil untuk menerima sesuatu yang sukar untuk diterima peringkat awalnya.
8
Bila ada waktu terluang, aku akan merangka surat rayuan untuk dihantar kepada
pihak-pihak yang berkaitan. Surat rayuan untuk mohon agar aku ditukarkan kembali
ke opsyen asal walau tidak dapat bertukar bertugas di negeri sendiri. Aku terus
berusaha dengan menelefon ke pelbagai bahagian dalam kementerian untuk
memastikan aku berjaya, namun hampa. Setelah seminggu berlalu, aku pujuk diri
untuk redha dengan ujian yang diberi. Aku kembali muhasabah diri.
Minggu kedua bertugas, aku dibekalkan jadual pengajaran dan pembelajaran. Aku
mula fokus pada tanggungjawab yang diberikan. Aku susun semua perkara
berkaitan persediaan untuk pengajaran. Apa yang aku tidak faham, aku bertanyakan
kepada semua rakan. Alhamdulillah mereka sangat membantu. Bila sampai masa
untuk aku berada dalam kelas, pembantu pengurusan murid pula aku jadikan
sebagai rujukan. Kerana mereka semuanya ada banyak pengalaman. Alhamdulillah,
seperti rakan guru mereka ini juga banyak memberi tunjuk ajar kepadaku.
Hari demi hari aku rasa makin bahagia. Setiap apa yang dilakukan, aku rasa
semakin bermakna. Rasa kecewa dan terluka, semakin sembuh dengan layanan
mesra rakan sekerja. Aku mula rasa terhibur dan seronok bertugas di sini. Dikelilingi
anak-anak murid yang mula selesa mendekati aku. Begitu juga apabila ku mendekati
mereka. Disebabkan aku langsung tiada asas untuk mendidik murid istimewa, maka
sudah semestinya banyak kelemahan yang aku ada. Perkara yang paling melucukan
apabila aku bercakap seorang diri di depan kelas. Sedangkan anak-anak kefungsian
rendah langsung tidak faham apa yang aku cakap. Mereka sekadar tenung aku dan
tersenyum. Ada juga yang tak peduli langsung pada aku yang mengajar di hadapan.
9
Aku pun tak pasti. Nak menangis atau nak ketawa dengan situasi ini. Tapi aku
memilih ketawa kerana rasa gelihati dan kesian pada diri sendiri. Disebabkan aku
rasa gagal menarik minat murid untuk mengikuti pengajaranku setiap hari, aku
mohon tunjuk ajar daripada rakan guru dan pembantu pengurusan murid pada
setiap peluang yang ada. Mereka banyak membimbing aku tentang cara mengenali
anak istimewa daripada pelbagai aspek. Aku belajar dan belajar untuk memahami
demi anak murid yang aku sedang berhadapan kini.
Setiap hari aku ke sekolah ditemani suami. Dia menghantar dan mengambil aku
balik dari sekolah. Jadi sepanjang perjalanan yang jauh, dapatlah aku berehat
sepenuhnya dan kadangkala tertidur keletihan. Makan pagi aku di sekolah, makan
tengahari dan petang di sepanjang perjalanan. Makan malam tak ada lagi. Kerana
malam adalah masa untuk aku rehat dan tidur. Faktor umur juga menjadikan aku
cepat letih dan mengantuk. Jika suami perlu terbang ke Universiti Malaysia Sabah
untuk kuliah bersama mahasiswa di sana atau terlibat dengan program di luar
kawasan, baru aku memandu sendiri ke sekolah.
Melihat situasi ini, pengetua berulangkali menyarankan aku tinggal di kuarters guru
berdekatan. Aku tidak berminat tapi demi menghormati cadangan beliau, aku usaha
juga ke pejabat pendidikan daerah berdekatan untuk berurusan. Tapi bila tidak
mendapat apa-apa jawapan, aku tidak terkilan. Sememangnya aku sayangkan
rumah aku sendiri. Kerana aku selesa dengan segala kemudahan yang ada. Kalau
aku menyewa rumah atau tinggal di kuarters di sini, aku perlu fikirkan kemudahan
internet, penghawa dingin, alat kelengkapan rumah dan lain-lain. Jadi lebih baik aku
10
tinggal di rumah sendiri. Aku rela berulang alik setiap hari walau perlu menempuh
perjalanan jauh sejauh dua ratus kilometer dalam panas dan hujan.
Di sekolah ini, bangunan untuk murid ppki hanya ada satu tingkat. Terletak pula
berhampiran dengan kantin. Tidak sampai sepuluh langkah, dah sampai kantin. Bagi
rakan guru yang kuat suaranya, tidak jadi masalah untuk mereka memesan
makanan hanya dengan tinggikan suara daripada bilik guru. Lainlah aku yang
memang bersuara perlahan sejak azali. Ringkas kata bahagia berada di bangunan
ini kerana serba serbi dekat. Nak ke koperasi, kantin, tandas, bilik aktiviti dan bilik
masakan semuanya dekat. Tak perlu aku berjalan jauh. Aku yang gemar berkasut
tumit tinggi, tak sempat merasa sakit di kaki atau pinggang kerana kelas yang aku
perlu masuk untuk mengajar hanya sederet dengan bilik guru.
Semakin hari, kemesraan kian terjalin antara aku dengan semua guru, pembantu
pengurusan murid dan murid-murid istimewa. Aku makin seronok. Tukang cuci
bangunan pun baik. Selalu saja kami saling bertegur sapa. Tauke dan pekerja kantin
pun baik dengan aku. Sukar untuk mereka letak harga makanan pada setiap
pinggan yang aku ambil kerana aku dah terbiasa makan dengan menu yang ringkas.
Purata harga makanan aku setiap hari adalah dua ringgit. Murah kan?
Setiap hari, bila tiba waktu rehat semua guru, pembantu pengurusan murid dan
murid-murid akan makan bersama-sama di kantin. Jadi suasana sangat meriah dan
menghiburkan. Rasa seakan makan dalam sebuah keluarga yang mempunyai ramai
11
anak. Riuh rendah dan berlaku usik mengusik antara satu sama lain. Dalam ramai
murid yang ada, aku terpandang seorang murid lelaki yang agak berbeza menunya
berbanding murid lain. Setiap hari dia akan membawa bekal sendiri. iaitu sebotol air
masak, sebekas telur rebus dan sebekas keropok bantal. Telur rebusnya pula dua
biji tanpa kuning telur dan dihiris kepada beberapa bahagian dan kelihatan sangat
bersih seperti tuannya.
Setiap kali makan, dia akan mengambil tempat yang sama. Tanpa banyak bicara dia
akan membuka bekal sendiri dan makan. Kulihat hobinya suka juga memerhatikan
kawan dan guru yang lalu lalang dan yang berada di sekeliling. Selesai makan, dia
akan pastikan bekal ditutup rapat dan berjalan kembali ke kelas. Sesekali terdengar
juga dia ketawa bila diusik Cikgu Edi yang kuat menyakat.
12
ASYRAF
Disebabkan aku guru baru yang tiada asas dalam mendidik anak istimewa, maka
aku dipertanggungjawabkan untuk mengajar kelas-kelas kefungsian rendah. Bagi
subjek kemahiran manipulatif untuk kelas kefungsian rendah, ada empat orang guru
termasuk aku yang akan mengajar sebelas orang murid pada satu-satu masa. Jadi
daripada guru-guru yang ada inilah di samping bantuan daripada pembantu
pengurusan murid atau ppm aku pelajari tentang anak-anak istimewa. Aku
perhatikan cara mereka melayan dan membimbing anak-anak istimewa ini dan jika
ada persoalan aku akan ajukan kepada mereka. Dan mereka sangat membantu.
Di sini aku melihat gelagat anak-anak kefungsian rendah dalam pelbagai kategori.
Bagi yang down sindrom ada yang suka kucing, ada yang takut kucing, ada yang
kuat makan, ada yang kuat tidur, ada yang romantik, ada yang manja, ada yang
mampu bercakap dengan jelas dan ada yang sebaliknya. Ada juga anak autism
yang selesa dengan caranya yang tersendiri. Di samping ada anak yang hyperaktif
dan ada juga yang aku masih cuba mengenalpasti kategori setiap daripada mereka.
Melihat semua ini, aku rasa sangat terhibur. Tiada sekelumit dalam diri ini untuk rasa
marah dengan sikap mereka. Walaupun sesekali diuji oleh anak-anak ini memakai
kasut tumit tinggiku untuk bergaya dan berjalan ke tandas, yang sembunyikan beg
tanganku dengan tujuan untuk bergurau dan bermacam lagi. Bila diuji begitu, aku
pula yang bertukar watak seperti kanak-kanak dan melihat sikapku ini mereka pula
rasa terhibur dan ketawa terkekek-kekek. Bahagianya kami.
13
Melalui kelas kemahiran manipulatif inilah aku mula mengenali Asyraf. Murid down
sindrom yang sering membawa bekal telur rebus dan keropok bantai setiap hari.
Awalnya Asyraf kulihat tidak banyak bercakap tapi mempunyai sifat kepimpinan
yang sangat tinggi. Selain bertanggungjawab dan rajin berbanding yang lain. Asyraf
banyak memerhati aku dari jauh. Kesempatan yang ada seperti dalam kelas dan
bilik masak aku gunakan untuk mengenali Asyraf dengan lebih dekat.
Hobi aku suka menyakat. Menyakat dengan mimik muka dan sikap keanak-anakkan
yang sengaja aku buat untuk menghiburkan anak-anak istimewa ini. Tapi bagi kelas
kefungsian sederhana, ada ketika aku bergurau dan ada ketika aku bersikap tegas
demi memastikan mereka memperolehi ilmu dalam pengajaran dan pembelajaran
mereka bersama aku sebagai guru. Namun, bila mereka faham dengan cara aku,
mereka juga rasa selesa dan tidak mudah terasa bila aku tinggikan suara.
Asyraf merupakan anak bongsu daripada lima orang adik beradik. Ibunya seorang
surirumah dan ayahnya seorang pesara tentera. Asyraf seorang murid yang sangat
pembersih dan kemas pakaiannya pada bila-bila masa. Walaupun percakapannya
kurang jelas, tapi dia seorang yang rajin dan bijak berkata-kata. Menurut rakan guru,
Asyraf rajin mengikut ayah ke masjid untuk solat berjemaah setiap hari dan hampir
setiap waktu. Betapa aku kagum melihat keperibadian Asyraf yang begitu terpuji
akhlaknya hasil didikan ibubapa dan sokongan adik beradik yang lain.
14
Mungkin disebabkan aku suka mengusik dan menyakat, Asyraf dan kawan-
kawannya dari kelas yang sama semakin hari semakin mesra dengan aku. Namun,
disebabkan yang lain kurang jelas percakapan mereka, maka seringkali Asyraf yang
bertindak menyampaikan kepada aku apa yang mungkin diperkatakan oleh kawan-
kawan yang lain. Dari sehari ke sehari Asyraf semakin rapat dengan aku dan aku
menganggapnya dan murid-murid yang lain macam anak sendiri.
Dalam kelas biasanya, Asyraf akan menjadi orang yang pertama berjaya siapkan
tugasan. Jadi sementara menunggu rakan yang lain siapkan tugasan masing-
masing Asyraf akan mengajak aku bercerita tentang macam-macam perkara.
Perkara yang paling lucu bagi aku, Asyraf ni kalau bab sembang bercakap macam
orang tua-tua. Penuh dengan nasihat dan matang cara dia. Sesekali aku akan
tunjukkan gambar ahli keluargaku satu persatu sambil memperkenalkannya kepada
Asyraf. Panggilan maktok untuk ibuku, panggilan pakcik untuk suamiku dan abang
Ammar serta kak Suha untuk anak-anakku.
Kadangkala Asyraf akan meminta aku membuka rakaman nasyid, zikir, bacaan doa
dan bacaan dalam solat. Asyraf sangat berminat hal keagamaan disebabkan setiap
waktu mengikut ayah solat berjemaah di masjid berdekatan rumahnya. Kadangkala
aku hiburkan Asyraf dan kawan-kawannya dengan video kartun dan nyanyian lagu
kanak-kanak sebagai saguhati kerana berjaya siapkan tugasan atau kerja sekolah
masing-masing. Tersengih semuanya kerana gembira dapat nyanyi bersama-sama.
15
ANAK CIKGU
Keakraban Asyraf denganku semakin hari semakin terasa bagai seorang ibu dengan
anak. Apa saja yang ingin dilakukan atau perlu dilakukan, dia akan mencari aku
dulu. Setiap pagi bila sampai saja ke sekolah, Asyraf akan menjenguk dulu kepala
bulatnya ke dalam bilik guru. Mencari kelibat aku. Bila nampak aku ada di meja, baru
dia ke kelas letakkan beg dan kembali berdiri di tepi pintu bilik guru. Disebabkan
meja aku berada di tepi sekali, dekat dengan pintu jadi seronoklah Asyraf berdiri di
gril pintu mengharapkan aku menegur seperti selalu.
Bila Asyraf melekat di pintu dengan sengaja menunggu aku, akan ada guru atau
ppm meninggikan suara seakan memarahinya kerana mengganggu mereka untuk
keluar masuk ke bilik guru. Sebenarnya bukan mereka marah Asyraf. Tapi saja
menyakat dengan cara mereka. “ Oiii... Aserap, pi sana sikit. Tak payah dok
bergayut kat pintu tunggu Cikgu Ash, sat lagi Cikgu Ash tau la nak pi tapak
perhimpunan sendiri”, jerit Cikgu Sima memecah suasana. Tersengih Asyraf.
Katalah apa pun, Asyraf tetap setia menanti Cikgu Ash untuk bersama dengannya
ke tapak perhimpunan, masuk kelas, ke bilik aktiviti, kantin dan padang.
Pendek kata ke mana saja kalau nak pergi Asyraf akan mendapatkan aku dulu
kecuali ke tandas. Cikgu Fatin, Cikgu Edi dan Cikgu Anim antara guru yang punya
suara yang kuat dan paling suka menyakat Asyraf. Kadangkala mereka sengaja
menghalang pergerakan Asyraf untuk mendekati aku. Maka, panjanglah muncung
Asyraf kerana merajuk. Bila Asyraf merajuk, Cikgu Ani pula ambilalih memujuk.
16
Hari berganti hari, Asyraf mencipta banyak kecemerlangan dalam diri. Sebagai
seorang murid yang mempunyai ciri kepimpinan yang tinggi, berdisiplin, beradab
sopan, menghargai dan mengambilberat kepada semua rakan serta menghormati
orang yang lebih tua. Bukan sahaja dalam kalangan guru ppki, malah guru-guru di
aliran perdana juga mengagumi keperibadian Asyraf.
Namun, ada satu perkara yang membuatkan aku terkilan. Bila mana Asyraf kurang
berpeluang mengikuti apa jua aktiviti luar. Ini disebabkan Asyraf hanya makan telur
rebus putih, keropok bantal bersama air masak sahaja setiap hari. Maka Asyraf tidak
dibenarkan oleh ibubapanya untuk turut serta.dalam apa-apa aktiviti luar kerana
bimbang menyusahkan guru dan ppm untuk menguruskan makan minumnya yang
berbeza. Di rumah pula, Asyraf akan makan makanan tambahan lain iaitu nestum
dan susu yang diminum menggunakan botol susu.
Walau guru dan ppm berkali-kali berjanji untuk menguruskan Asyraf dengan baik,
namun ibubapa tetap berkeras untuk tidak membenarkan Asyraf turut serta. Dan di
pihak Asyraf pula, walau dia ada keinginan untuk bersama guru, ppm dan rakan-
rakan tapi dia anak yang baik. Dia akur dan patuh pada ibubapa. Pernah ada
lawatan ke Pulau Pinang, sedih rasa saat melambaikan tangan kepada Asyraf dan
beberapa orang rakan yang ditinggalkan kerana halangan diri masing-masing untuk
sertai sekali. Tetapi anak-anak ini tidak pernah berkecil hati bila ditinggalkan dengan
seorang wakil guru dan ppm kerana mereka sedar kekurangan diri mereka dan tidak
mahu menyusahkan sesiapa.
17
Penghujung tahun, telah dirancang untuk pelaksanaan Hari Apresiasi untuk murid
istimewa di sebuah hotel di Taiping. Aku teruja untuk melihat situasi ini buat pertama
kalinya dalam hidup. Demi memastikan gambar-gambar yang akan diambil nanti
kelihatan cantik dan menarik, lalu aku taja seorang jurufoto luar untuk merakam
setiap saat sepanjang majlis berlangsung. Sehari sebelum majlis dilaksanakan, aku
bersama dua orang guru menginap di hotel berkenaan untuk membuat persiapan
pentas. Malam, kami keluar makan malam dan membeli belah di bandar.
Berkali-kali aku pesan pada Asyraf, supaya hadir dalam majlis tersebut. Pesanan ini
kerana aku dimaklumkan sebelumnya yang Asyraf belum tentu lagi dapat hadir
kerana ibunya tidak sihat dan dalam masa yang sama mereka sekeluarga
merancang untuk ke Sintok bagi menghadiri majlis konvokesyen salah seorang
kakak Asyraf yang tamat belajar di sana.
Alhamdulillah, sehari sebelum majlis berlangsung, ibubapa Asyraf memberi jawapan
yang positif. Mereka akan hadir untuk memenuhi permintaan Asyraf. Tetapi yang
akan hadir ialah kakak dan abang ipar Asyraf bersama ibunya. Selepas setengah
jam majlis bermula, ibu Asyraf bersama kakaknya meninggalkan majlis seketika
kerana ada temujanji dengan doktor. Yang berada di dewan menemani Asyraf ialah
abang iparnya. Dan Asyraf menunjukkan lagi sikap manjanya bila mana mengajak
aku menemaninya ke tandas, minta betulkan tanjak yang dipakai di kepala dan
macam-macam lagi. Dan aku layankan saja sikap manja anak syurga ini.
18
KEHILANGAN
Berlalunya tahun 2018, muncul tahun baru tahun 2019. Kemunculan tahun baru
dengan semangat yang baru bagi aku. Ilmu yang dikutip daripada pengalaman lalu,
walaupun masih baru tetap memberi keyakinan untuk aku berusaha mengendalikan
anak-anak istimewa dengan lebih baik daripada sebelumnya. Itulah tekad yang
tersemat dalam diri ini. Akan aku buktikan yang aku mampu memberi yang terbaik
buat mereka dengan ilmu dan kemahiran yang aku ada.
Tahun ini aku diamanah sebagi guru kelas Fatanah di mana murid kelas ini
berjumlah lapan orang termasuk Asyraf. Mengusik Cikgu Edi pada satu hari,”Aserap
hang jangan nak mengada-ngada sangat. Tau la tahun ni ada mak dalam kelas,
Cikgu Ash.” Tersengih-sengih Asyraf berbangga bila aku dilantik sebagai guru
kelasnya. Memandangkan dalam kelas Fatanah, Asyraf murid yang paling cerdik
maka sudah semestinya dia kulantik sebagai ketua kelas. Jadi, apa-apa arahan nak
kusampaikan kepada ahli kelas yang lain akan kusampaikan melalui Asyraf. Sengaja
aku berbuat demikian untuk melihat sejauh mana Asraf menjalankan tanggungjawab
sebagai pemimpin kepada rakan yang lain.
Aku perhatikan tindak tanduk Asyraf dari jauh. Boleh tahan juga garangnya dengan
kawan-kawan jika ada yang berdegil. Lebih lagi dengan Vishnu, seorang murid India
yang comel dan montel. Tetapi hiperaktif dan agak sukar dikawal. Tergelak kecil dan
sesekali ketawa besar aku dan Anna, ppm yang bertanggungjawab membantu aku
menguruskan kelas Fatanah.
19
Hari berganti hari, minggu berganti minggu, bulan berganti bulan. Segala aktiviti
termasuk pengurusan ppki, pengajaran dan pembelajaran, program dalam dan luar
sekolah berjalan dengan lancar. Aku berpuashati apabila dapat menjemput
penceramah luar untuk memberi motiavsi kepada anak-anak istimewa di sini. Selain
itu, aku juga berasa bangga atas usaha sendiri menjemput pihak AADK untuk
mengadakan pameran dan ceramah penyalahgunaan dadah kepada semua warga
ppki. Termasuk ibubapa, murid, guru dan ppm serta pekerja di bangunan ppki.
Sehinggalah tiba satu hari yang membawa berita duka yang tidak dijangka. Sedang
aku berada di bilik guru, datang abang ipar Asyraf memaklumkan ingin membawa
Asyraf pulang segera kerana ibunya meninggal dunia. Aku bertakbir dalam hati, atas
kejutan berita yang kuterima ini. Pantas terfikir tentang bagaimana cara untuk aku
dan rakan yang lain memaklumkan kepada Asyraf perkara ini kerana setahu aku
Asyraf amat rapat dengan ibunya. Setelah berbincang, kami putuskan untuk tidak
memakumkan kepada Asyraf apa-apa. Menyerahkan kepada pihak keluarga untuk
memaklumkan apabila sampai di rumah nanti.
Tamat waktu persekolahan, aku terus pulang ke rumah. Kata suami, “esoklah kita pi
ziarah Asyraf dan keluarga. Hari ni biaq kawan-kawan yang lain pi dulu. Depa dok
dekat. Kita dok jauh”. Aku bersetuju dengan cadangan suami dan dalam masa yang
sama berdoa agar Asyraf kuat menghadapi situasi ini. Baru kutahu selama ini ibu
Asyraf mengidap penyakit kanser hati yang kritikal. Patutlah semasa di majlis hari
apresiasi tempoh hari si ibu kelihatan lemah dan kurang bermaya. Tapi disebabkan
aku sibuk menguruskan majlis, aku tidak sempat bertanya apa-apa.
20
Selepas dua hari kematian si ibu, aku bersama tiga rakan guru yang lain termasuk
penolong kanan ke rumah Asyraf untuk menyerahkan sumbangan. Melihat aku
sampai, Asyraf menangis. Kata dia,”Ash, mak tak dak dah. Mak mati”. Sebak aku
seketika sambil menahan airmata. Aku mengajak Asyraf duduk di atas buaian. Aku
memujuk dengan cara aku yang juga seorang ibu. Mungkin antara faham dengan
tidak, aku tiupkan kata-kata semangat buat Asyraf. Aku berpesan supaya Asyraf
berdoa untuk ibu supaya nanti dia dapat berjumpa ibu di syurga dan bermacam lagi
ayat kulontarkan untuk meredakan kesedihan yang dialaminya.
Aku berpesan kepada dia agar hadir ke sekolah kerana aku dan kawan-kawan
sentiasa ada untuknya. Sama-sama belajar dan mengiburkan hati. Dan Asyraf
mengangguk lemah. Dalam perjalanan pulang ke sekolah semula, tak mampu lagi
untuk menahan airmata. Simpati dan empati dengan takdir yang menimpa dirinya.
Namun, aku bersyukur kerana Asyraf mempunyai ayah dan adik beradik yang
mengambil berat dan menyayangi dirinya.
Alhamdulillah, selang beberapa hari Asyraf hadir semula ke sekolah. Saat melihat
kehadirannya, aku berjanji dalam diri. Untuk membahagiakannya seperti mana
seorang ibu membahagiakan anaknya. Aku menjaga hati anak ini dengan
sebaiknya. Perlahan-lahan Asyraf kembali seperti biasa. Bergurau senda bersama
rakan-rakan dan guru seperti selalu. Cuma, bila tiba hari Jumaat sudah menjadi
kebiasaan kami membaca surah yaasin beramai-ramai. Dan pada ketika ini Asyraf
sebak merindui arwah ibunya. Tangisan Asyraf membuatkan semua guru dan ppm
turut sama menangis kerana faham apa yang dirasakannya.
21
UJIAN KEDUA
Di sekolah, bukan sahaja aku dipanggil dengan nama, malah guru-guru lain pun
serupa. Walau diajar berulangkali, akhirnya tetap juga sama. Kami semua sekadar
senyum, ketawa dan geleng kepala bila Asyraf selesa memanggil masing-masing
dengan panggilan nama sahaja. Hilang panggilan cikgu untuk aku, Fatin, Anim dan
beberapa orang lagi. Yang lucunya, Cikgu Ani yang paling tua antara kami semua
dipanggil Kak Ani saja oleh Asyraf. Namun, semua guru tak berkecil hati. Sebaliknya
menganggap itu sekadar hiburan tersendiri oleh anak-anak istimewa yang kami
kasihi dan sayangi.
Jika tahun lepas aku sangat mengharapkan agar aku dapat bertukar dan kembali
bertugas di daerah dan negeri sendiri tetapi pada tahun ini aku rasa hatiku berbelah
bagi. Ini kerana semakin hari aku semakin selesa dan seronok dengan semua rakan
guru dan ppm yang ada. Mereka sangat baik dan mudah memberi kerjasama. Saling
membantu dan langsung tidak kedekut ilmu. Ditambah pula dengan bangunan
setingkat tempat aku bertugas ini yang memudahkan pegerakan aku ke mana
sahaja tanpa perlu bersusah payah naik turun tangga.
Aku sayang semua anak muridku. Rasanya seperti aku belum bersedia untuk
tinggalkan mereka, terutama sekali Asyraf yang baru saja kehilangan bonda tercinta.
Aku suka bertugas di sini kerana dikelilingi insan-insan yang sangat positif. Bergurau
senda sudah menjadi lumrah bagi kami dari pagi hingga ke tengahari. Sukar untuk
bermasam muka kerana ada saja gurauan yang membahagiakan perasaan.
22
Sesekali berselisih dan bertemu pengetua dan beliau seringkali menegur aku
dengan mengatakan,” Li, hang tak dapat tukaq tahun ni. Hang dok sini jugak sebab
hang baru setahun di sini. Hang cuba lagi tahun depan. Lagi satu sebab hang rajin.
Kalau boleh lepaih pun, aku tak bodo nak lepaih hang tukaq. Kalau hang malaih,
ha...awai aku rekomen hang balik kampung”. Hihihi.... Aku akur dan tidak sedikit pun
rasa kecewa. Sebaliknya aku hanya senyum dan menganggukkan kepala tanda
menghormatinya. Hormat sebagai pentadbir yang aku pun kadangkala sedikit pening
dengan sikapnya yang huru hara tapi tinggi wawasan dan cita-citanya.
Kulalui hari-hari seperti biasa. Aku mengajar, aku lakukan aktiviti bersama murid-
murid, guru-guru dan ppm seperti yang kami rancang sebelumnya. Jika tahun lepas
aku berjaya wujudkan sudut bercerita dan menjalankan aktiviti bercerita, seterusnya
program motivasi untuk semua murid ppki, pada tahun ini aku rancang dan
laksanakan pula program pendidikan pencegahan dadah kepada semua waris dan
murid ppki. Alhamdulillah, program ini mendapat kerjasama sepebuhnya daripada
AADK Daerah Kerian dan NGO Anak Wawasan.
Satu hari, lebih kurang seminggu lagi keputusan pertukaran guru antara negeri
diumumkan, aku mendapat ucapan tahniah daripada kakitangan pejabat yang
memberi gambaran yang aku berjaya bertukar. Aku jadi keliru. Keliru kerana bila
terserempak dengan pengetua, beliau masih ulang ayat yang sama memaklumkan
aku tidak berjaya. Yang mana satu betul pun aku tak pasti. Malah, menambah sakit
di kepala memikirkan perbezaan info yang diterima.
23
Hingga tiba ke satu tarikh sebenar pertukaran dan penempatan antara negeri
dikeluarkan. Aku semakin berdebar-debar. Aku ingat lagi, hari itu hari Jumaat.
Berkali-kali aku diasak oleh kawan-kawan supaya aku menyemak dalam sistem
sama ada aku berjaya atau sebaliknya. Bila diasak berulangkali, aku rasa tidak
selesa. Mungkin mereka tidak rasa apa yang aku rasa. Berdebar, bimbang, risau
dan bermacam lagi perkara yang aku fikirkan di sebalik senyuman yang aku
zahirkan. Apa yang aku mampu lakukan hanyalah dengan meminta mereka
bersabar seperti mana aku yang bersabar dalam debar.
Balik dari sekolah, aku bertenang dan rehatkan diri. Menanti jam menunjukkan pukul
enam petang. Kerana makluman demi makluman diterima mengatakan bahawa
sistem pertukaran guru akan dikemaskini untuk disemak hanya pada jam tersebut.
Lebih kurang pukul enam lima belas minit petang, aku cuba semak sekali lagi.
Alhamdulillah, tertera aku berjaya bertukar balik ke negeriku. Aku maklumkan
kepada suami dan anak-anak terlebih dahulu. Kemudian baru aku maklumkan
kepada rakan guru dan ppm. Masing-masing bersedih, apatah lagi aku yang sangat
terhutang budi dengan mereka yang baik hati.
Sabtu dan Ahad, cuti. Aku di rumah berseorangan,sibuk menyenaraikan semua
perkara tentang apa yang aku perlu selesaikan sebelum aku berpindah. Berkaitan
serahan tugas, saguhati untuk rakan guru, ppm dan anak-anak syurga yang aku
sayangi dan bermacam lagi. Aku senaraikan dan ambil tindakan satu persatu agar
tidak ada yang tercicir atau terlepas pandang.
24
Hari Isnin, aku ke sekolah seperti biasa. Sebaik sampai di sekolah, aku ke bilik tuan
pengetua. Aku ingin berjumpa beliau untuk mengucapkan terima kasih kepadanya.
Aku yakin, beliau adalah individu yang bertanggungjawab membantu aku dalam
proses pertukaran ini. Andaian kubenar. Di bilik pejabatnya, beliau memaklumkan
kepada aku bahawa beliau telah berusaha dengan sebaik mungkin untuk
memastikan aku dapat bertukar.
“Tahniah Li hang dapat tukaq. Memang aku call kementerian dua kali sebab nak
tolong hang bagi dapat tukaq. Orang kementerian marah aku balik pasai aku kata
kesian hang berulang jauh”. Depa kata kat aku,”biaq pi cikgu tu berulang jauh, hang
pengetua Lan hang toksah dok layan sangat cikgu. Jenuh kalau semua hang nak
layan.” Depa call aku mula tanya, betui ka nak bagi hang balik Kedah. Sebab hang
baru dok sekolah ni setahun. Dan kalau hang tukaq balik Kedah, depa tak boleh
ganti cikgu baru sebab tengah tahun. Aku kata tak pa. Aku sanggup.Tu yang hang
dapat Li. Alhamdulillah tahniah Li.”
“Aku sayang kat hang Li. Hang ni seorang guru yang rajin. Walaupun hang masuk
sekolah ni baru berapa bulan, aku suruh hang buat itu ini, semua hang buat. Hang
tak cakap banyak. Pagi aku tengok pukul 6.50 hang dah sampai sekolah. Kalau ikut
hati aku, aku ada hak sebagai pengetua. Aku tak mau lepaih hang. Tapi aku kesian
kat hang”. “Aku minta maaf Li kali kedua kementerian call, aku muhong depa kata
Cikgu Li la ni jadi murung hampa tau. Cakap sorang sorang-sorang. Makan pun dak.
Baik hampa bagi dia tukaq kaih. Aku tak tau kalau dia bunuh diri ka apa lepaih ni.”
25
Mendengar bicara pengetua kali ni buat aku nak ketawa besar tapi tak berani.
Sampai hati pengetua bohong kat pegawai di kementerian kata aku gila.
Hihihi....Pengetua minta maaf daripada aku, sebab bagi alasan sedemikian. Aku
angguk sambil ketawa kecil. Sikit pun aku tak ambil hati. Kerana aku tau sikap ketua
aku ni bagaimana. Setiap hari, ikut suka dia ja nak panggil aku dengan panggilan
Cikgu Li atau Li. Kata pengetua lagi,”kalau aku tak muhong depa lagu tu, hang tak
boleh tukaq. Aku kesian kat hang”. Dan aku pun angguk kepala mengiyakannya.
Hampir sejam lebih kami berbual. Kemudian aku minta izin untuk kembali ke blok
ppki. Sampai di blok, rakan guru dan ppm menyambut aku dengan sedih bercampur
gembira. Sedih kerana aku akan bertukar. Gembira kerana aku tidak perlu lagi
merentasi perjalanan jauh ulang alik ke sekolah setiap hari. Aku juga teramat sedih
sebenarnya. Kerana mereka adalah insan-insan yang terlalu baik bagi aku.
Kebanyakannya berpangkat adik kerana lebih muda daripada aku.
Selesai bab pengetua dan rakan setugas, aku kembali fikirkan tentang Asyraf. Anak
angkat kesayangan aku sekeluarga. Tentu dia bertambah sedih bila mendapat tahu
perkhabaran ini. Aku tidak sampai hati memberitahu Asyraf. Sudahlah mak kandung
baru meninggal, sekarang aku pula bakal meninggalkannya. Aku biarkan rakan yang
lain memberitahu Asyraf. Dan bila perkara ini diberitahu kepada Asyraf, dia datang
berjumpa aku. Kata Asyraf,” Ash, betui ka Ash nk pindah? Jangan tinggai adik.”
Berulang kali Asyraf menyatakan ayat yang sama. Ya, Allah ya Tuhanku. Kuatkan
semangat aku untuk berhadapan dengan anak ini. Aku berdoa dalam hati.
26
TAKDIR KITA
Sejak hari pertama Asyraf tahu aku akan bertukar, dia menjadi semakin manja
dengan aku. Dan berulangkali masih menyatakan permintaan yang sama. Supaya
aku tidak bertukar dan meninggalkannya. Aku nafikan seketika kesedihan yang aku
rasa. Aku layan Asyraf seperti biasa. Saat aku dan Asyraf kebingungan antara sedih
dan kecewa dengan perpisahan yang bakal menjelma, ada saja rakan sekerja yang
mengusik Asyraf mengatakan aku nak pindah sebab tak sayang Asyraf lagi, sebab
itu dan sebab ini. Ada-ada saja. Aku sekadar senyum bagi menjaga hati Asyraf.
Aku faham perangai masing-masing. Bukan sengaja mereka nak bagi Asyraf sedih.
Saja seronok mengusik. Di hari terakhir, sebelum majlis perpisahan bermula Asyraf
hadiahkan aku sepasang telekung putih. Sepanjang hari terakhir itu jugalah dia asyik
nak berkepit dengan aku sambil terus memujuk aku untuk tidak berpindah. Aku
katakan pada Asyraf bahawa sekalipun aku berpindah, Asyraf dan kawan-kawan
tetap anak aku. Dan aku berjanji. jika diizinkan Tuhan aku akan ke sini selalu untuk
menziarahi mereka. Kasih aku takkan berubah untuk anak-anak ini.
Pada hari tersebut aku pulang dengan hati yang terlalu pedih. Pedih untuk
meninggalkan semua yang kukasihi di sekolah ini. Aku memandu sendirian sambil
mengalir airmata perlahan-alahan. Bila pandangan kukabur terhalang oleh airmata
yang berterusan mengalir, aku berhenti rehat seketika di kawasan rehat lebuhraya.
Aku menarik nafas dalam-dalam. Bila kembali tenang, aku terus memandu pulang.
27
Bagi aku, ini adalah takdir terindah untuk aku lalui. Dalam kegembiraan dapat
bertukar, terselit secebis kesedihan meninggalkan insan-insan yang kusayang. Aku
mengambil masa beberapa hari untuk redakan kesedihan itu dan kembali rasional
dengan apa yang aku perlu lakukan seterusnya.
Selama bertukar, aku akan hubungi Asyraf bertanyakan khabarnya dan kawan-
kawan. Disebabkan Asyraf tiada telefon bimbit, maka setiap kali ingin mendengar
suara dan cerita daripadanya, aku akan hubungi si ayah. Bila cuti panjang, aku dan
suami ke rumah Asyraf untuk membawanya keluar berjalan-jalan. Aku bawa Asyraf
untuk bersukaria di sebuah taman tema di Ipoh. Asyraf siap bawa bekal air masak,
telur rebus putih dan keropok bantal seperti kebiasaannya. Beberapa jam kami
habiskan masa di taman tema tersebut. Terpancar kegembiraan di wajah Asyraf.
Kami naik buai laju sama-sama, menonton wayang 5D dan pelbagai aktiviti lagi. Bila
aku dan suami pesan makanan, Asyraf akan buka bekalan yang dibawa.
Sesekali aku mengusik,” ni tak bawa botoi susu ni sat lagi baby Asyraf gheiau pulak,
jenuh cikgu.” Terkekek-kekek Asyraf ketawa. Bila tiba waktu solat Asyraf akan
meminta suamiku untuk berhenti di mana-mana masjid dengan segera kerana dia
ingin solat berjemaah. Bila telah terdidik baik akhlaknya begitu, memang di mana-
mana Asyraf kekal dengan kebaikan itu. Kami tiba malam di rumah Asyraf. Sebelum
aku tinggalkan Asyraf, si ayah ada memberitahu suamiku yang selama ini dia tak
pernah membenarkan Asyraf keluar dengan sesiapa kecuali ahli keluarga. Tapi kali
ini si ayah izinkan kerana anak kesayangannya itu terlalu sayangkan Cikgu Ash.
Hari-hari bercerita tentang Cikgu Ash. Syukur Alhamdulillah.
28
PENUTUP
Sesungguhnya, aku berterima kasih kepada Tuhan atas ujian yang diberikan. Sakit
yang kurasakan di peringkat awalnya, sebenarnya satu pengalaman yang sarat
dengan keindahan untuk aku kenang selamanya. Tanpa kuduga, dii sini aku
dipertemukan dengan insan-insan yang berhati mulia. Tanpa mereka, aku tak
mampu mengenali dan mengendali anak istimewa dengan sebaiknya. Terima kasih
buat kesemua mereka yang sentiasa bertakhta di hati ini.
Roslan Hassan (Pengetua)
Muhammad Husni Abd Radzak (PK PPKI)
Rohani Abd Rahman
Bashiroh Omar
Fatin Ismail
Asmahani Mohamad Yusoff
Nazirah Daraman Sah
Aini Roziana Mohd Razali
Saw Bee Tee
Wan Norsuriani Wan Manan
Nor Asima Abu Bakar
Mohamad Shaidi Arshad
Ahmad Puad Nazli
Norulabkhoriah Abd Rahman
Rogayah Abdullah
Ruzianna Ahmad Mokhtar
Rohaizan Said
&
Anak-anak istimewa PPKI SMKBS
Tuhan, kau kurniakanlah kepada insan-insan ini dengan rezeki yang berlipat ganda,
kecemerlangan dalam melakukan apa jua perkara. Limpahkanlah mereka dengan
ketenangan hati dan kebahagiaan perasaan bagai sebuah keluarga. Tak termampu
untuk aku membalas kesemua jasa mereka. Setiap saat bersama mereka adalah
kenangan terindah dan tak mungkin kulupa.
29
-Terima kasih -
30