SIPUT DAN
CANGKERANG
Sang Siput tinggal di kebun sayur. Sang Siput suka makan daun sayur-sayuran. Di
kebun sayur itu ada pelbagai jenis sayur seperti bayam, kubis, sawi, dan kangkung.
Di belakang Sang Siput mempunyai cangkerang. Sang Siput sentiasa membawa
cangkerangnya ke mana-mana Sang Siput pergi. Sang Siput tidak pernah berpisah dengan
cangkerangnya.
Tetapi Sang Siput berasa cangkerang itu memberikan masalah kepadanya. Cangkerang
itu agak berat. Sang Siput terpaksa berjalan perlahan-lahan.
Sang Cacing, iaitu jiran Sang Siput berasa kasihan melihat Sang Siput. Sang Cacing
memberikan cadangan supaya Sang Siput membuka cangkerangnya.
“Kalau kamu buka cangkerang, kamu boleh berjalan laju,” kata Sang Cacing.
“Betul juga kata kamu. Baik aku buka cangkerang ini. Lagipun, cangkerang ini tidak
memberikan faedah kepadaku,” kata Sang Siput.
Tanpa berfikir Panjang, Sang Siput pun membuka cangkerangnya.
‘Ah, lega rasanya apabila tiada beban di atas belakangku lagi!” kata Sang Siput.
“Patutnya dari dulu lagi kamu tanggalkan cangkerang ini,” sampuk Sang Cacing.
Sang Siput dan Sang Cacing berjalan dengan riang. Kini Sang Siput boleh berjalan laju.
Sang Siput tidak lagi terkedek-kedek seperti dahulu.
Tiba-tiba hujan turun dengan lebatnya. Sang Cacing segera masuk ke dalam tanah untuk
berlindung manakala Sang Siput tercari-cari tempat untuk berteduh. Sang Siput berasa
sangat sejuk.
Sang siput cuba berteduh di bawah pokok sawi. Malangnya sang Siput tetap terkena
tempias hujan.
“Sejuknya. Apa yang harus aku buat?” kata Sang Siput.
Sang Siput teringat akan cangkerangnya. Sang Siput amat memerlukan
cangkerangnya.
“Kalaulah ada cangkerang, sudah tentu aku tidak ditimpa hujan. Barulah aku sedar
cangkerang berguna untuk aku,” kata Sang Siput.
Apabila hujan telah reda, Sang Siput segera keluar dari pohon sawi itu. Sang Siput ingin
mencari cangkerangnya semula.
Sang Siput pun mencari cangkerangnya. Sang siput sudah tidak sabar untuk bertemu
dengan cangkerangnya. Sang Siput ingin memakai cangkerang itu semula. Sang Siput tidak
mahu membukanya lagi.
Malangnya cangkerangnya sudah tiada lagi. Cangkerangnya telah hancur kerana dipijak
oleh manusia. Sang Siput sangat sedih lalu menangis.
Setelah puas menangis, Sang Siput menemui Sang Cacing. Sang Siput menceritakan
perkara yang berlaku kepada Sang Cacing.
“Maafkan aku Sang Siput. Aku yang bersalah. Aku yang menyuruh kamu membuka
cangkerang itu,” kata Sang Cacing.
“Kamu tidak salah. Sebenarnya, aku yang bodoh. Sepatutnya aku berfikir dahulu
sebelum membukanya,” balas Sang Siput.
Sang Siput berasa sangat kesal kerana membuka cangkerangnya. Namun, semuanya
sudah terlambat. Sang Siput tidak dapat berbuat apa-apa lagi kerana cangkerangnya itu
sudah musnah.
AKTIVITI NILAM.
Ceritakan semula apa yang telah kamu baca bersama guru dan
rakan-rakan.
Cari makna perkataan cangkerang, sedih, tempias berteduh dan
riang berdasarkan kamus.
Pada pendapat kamu, mengapa siput berasa sedih………………………
(Kemahiran Aras Tinggi)