TUPAI DITIMPA
DURIAN
Sang Tupai tinggal di sebuah dusun buah-buahan. Banyak pokok buah di
situ. Ada pokok durian, rambutan, langsat, duku dan manggis.
Sang Tupai sangat suka tinggal di situ. Pokok buah-buahan di dusun itu
berbuah mengikut musim. Ada musim buah rambutan. Ada musim buah langsat.
Kini tibalah musim buah durian. Buah durian ada banyak duri. Namun,
isinya sangat sedap. Sang Tupai paling suka makan buah durian.
Sang Tupai melompat-lompat dari satu dahan ke satu dahan yang lain.
Sang Tupai ingin mencari buah durian yang baik.
“Berhati-hati Sang Tupai. Nanti terkena duri,” nasihat Sang Kerengga.
Sang Tupai terus menebuk sebiji durian. Sang Tupai dapat makan isinya.
“Haaa……..lihat! Aku dapat makan isinya. Jari-jariku tak luka pun,” kata
Sang Tupai kepada Sang Kerengga.
Sang Tupai hanya makan sedikit isi durian itu. Sang Tupai ingin makan
buah yang lain pula. Sang Kerengga tidak suka akan tindakan Sang Tupai
yang membazir itu.
“Tidak baik kamu berbuat begitu. Siapa yang hendak makan lebihan
kamu?” tegur Sang Kerengga.
“Yang tu rasanya tak sedap. Aku ingin rasa buah yang lain pula,” balas
Sang Tupai.
Sang Tupai membelek sebiji buah yang lain pula. Sang Tupai cuba
menebuk buah itu dengan mulutnya. “Buah itu belum masak lagi. Usah kamu
tebuk,” nasihat Sang Kerengga lagi.
Sang Tupai tidak percaya akan kata-kata Sang Kerengga. Sang Tupai
menebuk buah itu. Memang buah itu masih muda. Isinya keras dan rasanya
tawar.
Sang Tupai tidak berputus asa. Sang Tupai mencari buah yang lain pula.
Tiba-tiba Sang Tupai ternampak sebiji buah durian yang agak besar.
“Mesti rasa isinya sedap,” kata Sang Tupai sambal melompat riang.
“Kamu mesti berhati-hati. Nanti kamu terjatuh,” nasihat Sang
Kerengga.
“Kamu ni banyak cakaplah. Diamlah. Jangan ganggu aku,” bebel Sang
Tupai.
Sang Kerengga terus diam. Sang Kerengga kecewa terhadap sikap Sang
Tupai itu.
“Haa….ini tentu lazat rasanya,” jerit Sang Tupai dengan riang.
Sang Kerengga ternampak akan Sang Tupai berpaut pada sebiji buah
durian yang sudah masak. Buah itu akan gugur pada bila-bila masa.
Sang Kerengga ingin menasihati Sang Tupai. Sebelum Sang Kerengga
berkata apa-apa. Kedengaran bunyi “Gedebum.” Tiba-tiba buah durian itu
gugur ke tanah. Sang Tupai turut terjatuh.
Buah durian itu telah menimpa badan sang Tupai sebelum bergolek ke
tempat lain.
“Aduh, sakitnya!” jerit Sang Tupai. Sang Tupai berasa sangat malu.
Selama ini Sang Tupai berasa dirinya hebat.
Bak kata perpatah, bodoh tidak dapat diajar, cerdik tidak dapat diikat.
AKTIVITI NILAM
Ceritakan semula apa yang telah kamu baca bersama guru dan rakan-rakan.
Lakonkan watak di atas berdasarkan cerita yang kamu baca.
Beri pendapat kamu mengapa Sang Tupai suka makan buah durian…….