BURUNG
TAKUT
TERBANG
Ibu burung berasa sangat gembira. Telur-telurnya telah menetas. Ibu
burung telah mendapat dua ekor anak. Anak-anaknya sangat comel.
Anak-anak burung itu doberi nama Si Manja dan Si Molek. Mereka
masih belum boleh terbang. Jadi mereka tidak dapat mencari makanan
sendiri.
Tiap-tiap hari ibu burung membawa makanan untuk anak-anaknya. Ibu
burung menyuap makanan dengan penuh kasih sayang. Ibu burung sangat
sayang akan anak-anaknya.
Kini sudah tiba masanya untuk Si Manja dan Si Molek belajar terbang.
Mereka tidak boleh bergantung kepada ibu burung lagi. Mereka mesti
berdikari.
Ibu burung pun mengajar Si Manja dan Si Molek terbang. Si Molek
sangat berminat untuk belajar. Jadi, Si Molek dapat terbang dengan
mudah.
Manakala Si Manja pula sangat penakut. Si Manja tidak mahu belajar
terbang.
“Kamu mesti belajar terbang. Kalau kamu tidak tahu terbang, kamu tak
dapat mencari makanan,” pujuk ibu burung.
“Saya tak nak, ibu. Saya takut jatuh,” jawab Si Manja. Puas ibu
burung memujuk. Si Manja tetap enggan terbang.
Pada keesokannya, ibu burung membawa Si Molek bersiar-siar.
Tinggallah Si Manja sendirian di dalam sarang.
Si Manja berasa sangat lapar. Si Manja mencari sesuatu yang boleh
dimakan.
“Mungkin di bawah sana ada makanan,” kata Si Manja sambil
memandang ke bawah. Si Manja pun keluar dari sarang dan terjun ke
tanah.
‘Tingginya! Nasib baik aku tak apa-apa,” rungut Si Manja. Sang
Belalang ternampak Si Manja terjun. Sang Belalang berasa sangat lucu
melihat gelagat Si Manja.
“Kamu ada sayap. Mengapa tak terbang?” tanya Sang Belalang.
“Saya takut terbang,” jawab Si Manja. Sang Belalang menggeleng kepala
apabila mendengar jawapan Si Manja. Sang Belalang pun menasihati Si
Manja.
“Kamu tidak boleh takut. Kalau kamu takut, sampai bila-bila kamu tidak
boleh terbang,” kata Sang Belalang.
“Aku tak kisah,” balas Si Manja. Si Manja berdegil tidak mahu terbang.
Tiba-tiba mereka terdengar Sang Kucing mengiau. Si Manja teringat
cerita ibunya. Kata ibunya, Sang Kucing sangat suka makan anak burung.
Si Manja berasa sangat takut.
“Baik kamu masuk ke dalam semak sebelum Sang Kucing nampak
kamu,” kata Sang Belalang.
Si Manja pun terus masuk ke dalam semak dan menyorok di situ. Si
Manja mula berasa menyesal kerana tidak mahu belajar terbang. Jika Si
Manja boleh terbang, sudah tentu Si Manja dapat lari dari Sang Kucing.
Selepas Sang Kucing berlalu dari situ, Si Manja segera meminta Sang
Belalang mengajarnya terbang.
Sang Belalang berasa sangat gembira. Sang Belalang mengajar Si
Manja cara-cara untuk terbang.
Mula-mula Si Manja berasa takut-takut untuk terbang. Lama-kelamaan
Si Manja dapat terbang tinggi, sama seperti burung-burung yang lain.
AKTIVITI NILAM.
Ceritakan semula apa yang telah kamu baca di hadapan guru, rakan dan
ibu bapa.
Senaraikan nilai pengajaran daripada cerita yang telah kamu baca.