The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.

DR MOHD AZAM BIN AHMAD
PENGARAH PENDIDIKAN
JABATAN PENDIDIKAN MELAKA

Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by cikyamzzaidi, 2021-09-06 12:33:37

KOLEKSI UCAPAN PROFESIONAL

DR MOHD AZAM BIN AHMAD
PENGARAH PENDIDIKAN
JABATAN PENDIDIKAN MELAKA

KOLEKSI
UCAPAN
PROFESIONAL

DR MOHD AZAM BIN AHMAD
PENGARAH PENDIDIKAN

JABATAN PENDIDIKAN MELAKA

PESANAN KASIH SAYANG
DARIPADA GURU BESAR

PN.ZAILEENA :

“ SELAMAT MEMBACA DENGAN
MINDA YANG POSITIF DAN
BERSEDIA JIKA DISOAL

PENGARAH BERKAITAN ARTIKEL-
ARTIKEL BELIAU INI”

TAKLIMAT PENGARAH PENDIDIKAN
BAGI

MENINGKATKAN PRESTASI DAN KUALITI KERJA

TAJUK: GAYA KEPIMPINAN DALAM ORGANISASI

Lazimnya, seseorang pemimpin itu akan dilihat dan dinilai daripada pelbagai aspek
seperti seorang pemimpin yang berwawasan, seorang pemimpin yang mempunyai pemikiran
analitik dan strategik, seorang yang teguh nilai diri dan mempunyai ihsan, seorang pemimpin
yang berilmu dan berkemahiran dan sebagainya. Sebenarnya, aspek-aspek yang menjadi
penilaian amat mempengaruhi gaya kepimpinan seseorang pemimpin. Ini bermakna
pemimpin itu amat penting kerana dia dilihat sebagai seorang yang mempunyai keinginan
memformulasikan nilai, visi dan polisi (Eow Yee Leng etal., 2014).

Dalam artikel ini akan dibincangkan secara ringkas tentang gaya kepimpinan. Beberapa
gaya kepimpinan yang boleh dibincangkan seperti gaya kepimpinan coercive, visionary,
affiliative, demokrasi (democratic), pacesetting dan coaching. Walaupun terdapat pelbagai
gaya kepimpinan, seseorang pemimpin itu perlu bijaksana menilai situasi dan perubahan yang
ada dalam organisasi. Hal ini bermakna pemimpin itu tidak boleh statik dengan suatu gaya
kepimpinan tetapi hendaklah bersifat fleksibel dalam mengaplikasi gaya kepimpinan agar
sesuai dan tepat dengan situasi dan perubahan. Pun begitu, seseorang pemimpin itu perlu
mempunyai gaya kepimpinan yang dominan dan menjadi asas dalam mengemudi organisasi.

Gaya kepimpinan coercive mempunyai kecenderungan kepada gaya kepimpinan
autokratik. Gaya kepimpinan ini lebih bersifat memaksa, iaitu “lakukan apa yang saya
suruh” atau “Ini keputusan saya dan anda mesti terima dan anda mesti lakukan”. Gaya
kepimpinan coercive memerlukan seseorang pemimpin itu mempunyai keyakinan diri
(confidence) dan keberanian (courage) yang tinggi dan mempunyai ketegasan (assertive).
Sekali imbas, kedua-dua gaya kepimpinan ini tidak diminati oleh kebanyakan pegawai.
Namun begitu, dalam situasi tertentu seperti mengemudi organisasi yang berada dalam
keadaan lemah dan kritikal, seseorang pemimpin memerlukan gaya kepimpinan coercive dan
autokratik, khususnya apabila pelbagai pendekatan seperti membimbing, menasihati dan
menegur dan sebagainya sudah diambil. Malah, gaya kepimpinan coercive dan autokratik
penting apabila organisasi itu mempunyai pegawai yang suka mempertikaikan keputusan-
keputusan yang telah dibuat berasaskan rasional dan sokongan data. Ini bermakna organisasi
yang mempunyai pegawai yang suka bertelingkah dan berfikiran negatif serta tidak sedar
akan hierarkinya dan nilai diri yang rendah, seseorang pemimpin perlu mempunyai gaya
kepimpinan coercive dan autokratik bagi memastikan matlamat, visi, objektif dan misi
organisasi tercapai.

Bagi organisasi yang berada dalam keadaan kritikal, iaitu prestasi kerja pegawai rendah
akibat faktor ilmu dan kemahiran serta nilai diri, pemimpin organisasi memerlukan seseorang
pemimpin yang mempunyai motivasi yang kuat dan berupaya mengemudi organisasi untuk
mencapai matlamat dan visi serta berupaya menggerakkan misi dengan energetic dan
strategik. Malah, pemimpin bagi organisasi seperti ini tidak mudah mengalah atau berputus
asas dengan kegagalan. Setiap cabaran yang ada akan diambil dengan berani dan melihat
cabaran itu sebagai suatu peluang bagi menggerakan kreativiti baharu. Oleh itu, pemimpin
bagi organisasi seperti ini merupakan seorang pemimpin berkemahiran pakar dan mempunyai
budaya kerja yang tinggi dan menjadi model kepada pegawai di bawahnya. Malah, pemimpin
ini sentiasa memperturunkan tugas dengan teratur dan strategik kerana pemimpin ini amat
menekankan keberkesanan dan pencapaian bagi setiap inisiatif yang dilakukan. Oleh itu,
pemimpin dengan gaya ini adalah pemimpin yang sentiasa menegaskan kecemerlangan.
Inilah gaya kepimpinan pacesetting bagi sesebuah organisasi yang dikategorikan lemah
dan menjadi prioriti untuk diperbetulkan. Sehubungan dengan ini, pemimpin dengan gaya
kepimpinan pacesetting meletakkan setting prestasi yang tinggi untuk kecemerlangan
organisasi dan berharap pegawai di bawahnya turut sama bergerak dengan gerak kerja yang
ditunjukkan. Dalam bahasa mudah, pemimpin pacesetting sentiasa membaca sifir 12 dan

1

pegawai di bawahnya tidak boleh membaca sifir 1 dan sifir 2, iaitu setidak-tidaknya pegawai
di bawahnya mesti dapat membaca sifir 10.

Gaya kepimpinan affiliative adalah gaya kepimpinan yang mendahulukan pegawai
dalam organisasi. Gaya kepimpinan ini memberikan ruang kepada pegawai menggunakan
kebijaksanaan, pengetahuan dan kemahiran serta kreativiti dalam gerak kerja. Pemimpin
dengan gaya affiliative memperlihatkan sikap empati dan toleransi yang tinggi terhadap
pegawai di bawahnya. Pemimpin juga mengambil pendekatan membina hubungan (build
rapport) dengan pegawai di bawahnya. Ini bermakna pemimpin mengambil pendekatan “let
managers manage”. Gaya kepimpinan ini amat sesuai sekira pemimpin itu jelas dan pasti
pegawai di bawahnya mempunyai ilmu pengetahuan, kemahiran dan nilai diri yang tinggi. Hal
ini boleh dikesan daripada penglibatan pegawai dalam perbincangan berkaitan misi organisasi
dan mengenal pasti nilai diri pegawai dalam pelaksanaan gerak kerja dan inisiatif. Sebaliknya,
sekira pegawai mempunyai nilai diri yang rendah dan tidak mempunyai ilmu pengetahuan dan
kemahiran, sikap pemimpin pula amat toleransi bagi tujuan menjaga hubungan akan
mengakibatkan matlamat dan visi organisasi berhadapan dengan gendala sehingga
membawa kepada kegagalan. Hal ini perlu menjadi perhatian pemimpin dengan gaya
kepimpinan affiliative untuk mengadakan kombinasi gaya kepimpinan yang lain.

Gaya kepimpinan demokratik pula menunjukkan seseorang pemimpin itu
mengutamakan kolaboratif dalam pasukan. Pemimpin dengan gaya kepimpinan demokratik
sentiasa menghargai idea dan pendapat pasukannya. Oleh hal demikian, perbincangan
antara pemimpin dan pegawai di bawahnya akan sentiasa berlaku bagi mendapat idea dan
pandangan yang terbaik bagi sesuatu inisiatif. Di sini, pemimpin dengan gaya kepimpinan
demokratik memperlihatkan ciri dan bakat kepimpinan pasukan, iaitu pemimpin tahu membina
pasukan dan segera mengatasi ketidakfungsian pasukan. Dalam gerak kerja, pemimpin
dengan gaya kepimpinan demokratik akan senitasa menyediakan sokongan kemahiran bagi
membolehkan pegawai di bawahnya berupaya melaksanakan inisiatif yang diputuskan.
Malah, pemimpin dengan gaya kepimpinan demokratik juga sentiasa menilai maklum balas
daripada pegawai dan pihak lain. Maklum balas tersebut akan dibincang bersama-sama
pasukan bagi menetapkan keputusan yang betul dan tepat. Pemimpin dengan gaya
demokratik sentiasa berusaha mengutamakan persetujuan atau persefahaman bersama
dalam sesuatu keputusan supaya menjadi keputusan bersama dan bukan keputusan
pemimpin seorang. Gaya kepimpinan demokratik ini amat sesuai bagi pemimpin yang
mempunyai pegawai yang berilmu, berkemahiran dan nilai diri yang tinggi. Ciri-ciri ini menjadi
asas pertimbangan pemimpin dalam menghargai keupayaan dan wibawa pegawai di
bawahnya. Gaya kepimpinan demokratik ini dapat mengelakkan konflik dalam organisasi
kerana wibawa pegawai diambil kira dalam membuat keputusan.

Gaya kepimpinan visionary pula suatu gaya kepimpinan yang memperlihatkan
seorang pemimpin yang strategik. Pemimpin ini berpandangan jauh ke hadapan dengan
kekuatan membuat jangkaan (ability to predict) terhadap unsur-unsur pengaruh yang
memberikan kesan pada masa hadapan sama ada dalam konteks organisasi dan konteks
negara. Menerusi kekuatan membuat jangkaan dengan analisis data dan maklumat,
pemimpin dengan gaya kepimpinan visionary mempunyai kesedaran terhadap perubahan
yang perlu dilakukan. Oleh itu, pemimpin gaya kepimpinan visionary segera menyusun atur
semula strategi sama ada melakukan penggantian, perubahan dan penyusunan semula
terhadap pegawai, inisiatif, petunjuk prestasi utama (KPI), sistem dan bentuk pengurusan dan
sebagainya. Ciri gaya kepimpinan visionary seorang yang analitik, strategik dan mempunyai
keyakinan tinggi dengan maklumat yang ditemui menerusi analisis data secara rasional dan
rapi sentiasa peka dengan perubahan dan kesan pada masa hadapan. Oleh itu, pemimpin
dengan gaya kepimpinan visionary dilihat sentiasa memberikan idea dan pandangan yang
bersifat beyond the mundane atau “berfikiran luar kotak”. Malah, gaya kepimpinan visionary
dilihat sentiasa energetic dan passionate.

Bagi organisasi yang mempunyai pegawai yang rendah dalam ilmu pengetahuan dan
kemahiran tetapi mempunyai nilai diri yang positif seperti mereka mahu belajar demi
kecemerlangan organisasi, gaya kepimpinan coaching amat sesuai diaplikasikan oleh

2

pemimpin. Hal ini kerana gaya kepimpinan coaching mempunyai keinginan untuk
membangunkan orang lain, terutamanya pegawai di bawahnya dalam menggerakkan
organisasi. Oleh itu, pemimpin dengan gaya kepimpinan coaching mesti mempunyai
kemahiran bimbingan yang tinggi dalam aspek bimbingan seperti kemahiran coaching
berasaskan model fuel, grow, clear, solve, oscar dan achieve. Gaya kepimpinan coaching
bukan bermakna pegawai diarahkan melakukan apa-apa yang disuruh. Sebaliknya, pegawai
dibimbing oleh pemimpin untuk mengenali isu dalam gerak kerja dan peranan masing-masing.
Kemudiannya, pemimpin membawa pegawai menggunakan potensi diri bagi mencadangkan
dan melaksanakan inisiatif bagi mengatasi isu yang ada dalam gerak kerja dan peranan
tersebut. Hasilnya, pemimpin akan berupaya membangunkan potensi diri pegawai untuk
menjadi seorang pegawai yang berkaliber dan berkemahiran. Untuk ini, pemimpin dengan
gaya kepimpinan coaching mesti juga mempunyai kemahiran tinggi dalam komunikasi bagi
menggerakkan bimbingan seperti teknik penyoalan yang berupaya membimbing pegawai
melihat dan mengenal pasti isu. Pemimpin juga mesti berupaya menggunakan kemahiran dan
strategi komunikasi bagi mempengaruhi pegawai untuk mencabar diri bagi mencadang dan
melaksanakan idea-idea mereka sendiri. Di sini, setiap kesilapan atau kegagalan dalam
pelaksanaan cadangan tidak dilihat sebagai suatu kesalahan yang diberikan penalti tetapi
pemimpin memimpin pegawai untuk melihat kegagalan itu sebagai peluang untuk belajar dan
memperbaiki potensi diri. Sehubungan dengan ini, pemimpin dengan gaya kepimpinan
coaching hendaklah mempunyai keupayaan tinggi dalam merekayasa program pembangunan
organisasi dalam semua aspek. Keberadaan dan keterlihatan pemimpin dengan gaya
kepimpinan coaching agak menyeluruh dalam organisasi sehingga akhirnya, organisasi
mempunyai pegawai yang berwibawa, kreatif dan kritis terhadap peranan dan fungsi masing-
masing.

Gaya kepimpinan seperti yang dibincangkan ini bukan terhad untuk pemimpin dalam
bahagian pengurusan tetapi gaya kepimpinan yang dibincangkan ini juga dapat diaplikasi oleh
guru dalam bilik darjah. Malah, dalam mengaplikasikan gaya kepimpinan, bukanlah bermakna
pemimpin itu perlu melaksanakan hanya satu gaya kepimpinan sahaja. Sebaliknya, pemimpin
sesebuah organisasi atau guru dalam bilik darjah boleh mengaplikasi beberapa kombinasi
gaya kepimpinan sesuai dengan situasi. Hakikatnya, menerusi gaya kepimpinan yang tepat,
pemimpin dapat membina karisma kepimpinan yang akan dilihat dan dinilai secara senyap
oleh pegawai atau murid masing-masing.

Gaya kepimpinan yang diaplikasi secara betul dan tepat membantu pemimpin
membina organisasi dan pasukan berprestasi tinggi. Hal ini kerana gaya kepimpinan tersebut
memberikan panduan kepada pemimpin untuk mengatasi ketidakfungsian pasukan seperti
dari aspek keberhasilan dan moral. Justeru, gaya kepimpinan yang dipilih oleh seseorang
pemimpin dalam organisasi itu adalah terletak pada kebijaksanaan dan kematangan
seseorang pemimpin. Pemimpin itu lebih arif dan tahu akan gaya kepimpinan berserta ciri
bagi setiap gaya kepimpinan yang dipilih. Hal ini kerana “Kamu lebih tahu akan urusan
dunia kamu”. (HR: Muslim: 2363). Oleh itu, pemimpin perlu melakukan semakan akan gaya
kepimpinan masing-masing dengan merujuk situasi yang ada dalam organisasi masing-
masing. Apa-apapun, dalam mengaplikasikan gaya kepimpinan seperti yang dibincangkan,
setiap pemimpin hendaklah melihat manfaat akan keberadaan dan keterlihatannya dalam
organisasi seperti hadis Nabi SAW, iaitu “Sebaik-baik manusia antara kamu adalah yang
paling banyak manfaatnya kepada orang lain”. (HR: Bukhari dan Muslim, No. 4358)

Wallahu’alam.

DR. MOHD AZAM BIN AHMAD
PENGARAH PENDIDIKAN
JABATAN PENDIDIKAN NEGERI MELAKA
29 OGOS 2021

3

Bibliografi:
1. __________, 2012. Al Quran Tajwid Warna dan Terjemahan, Humaira Bookstore Enterprise,

Bandar Teknologi Kajang, 43500 Semenyih, Selangor, Malaysia.
2. __________, 2020. Mimnbar Dakwah 67: “Sebaik-Baik Manusia”, Kantor Wilayah Kemneterian

Agama, Jawa Barat, Indonesia. https://jabar.kemenag.go.id/portal/read/mimbar-dakwah-sesi-
67-sebaikbaik-manusia
3. Ben Renshaw, 2020. BEING, LID Publishing Limited, London, UK.
4. Danial Zainal Abidin Dr., 2008. Minda Muslim Super, PTS Millennia Sdn. Bhd., Wangsa Melawati,
Kuala lumpur, Malaysia.
5. Badaruddin Bin Yeop, Kepimpinan dan Gaya Kepimpinan.
https://www.academia.edu/6907921/KEPIMPINAN_DAN_GAYA_KEPIMPINAN
6. Eow Yee Leng PhD. etal, 2014. “What Does An Excellent School Leader Do?” dalam Jurnal
Pengurusan dan Kepimpinan Pendidikan, Institut Aminuddin Baki, Kementerian Pendidikan
Malaysia, Bandar Enstek, Negeri Sembilan DK, Malaysia.
7. Jeffery Combs, 2012. Stop Wasting Time and Start Your Life, Advantage Quest Publication
Sdn. Bhd., Petaling Jaya, Malaysia.
8. Muhammad Abduh Tuasikal, 2016. “Ilmu Dunia Engkau Lebih Paham”, Rumasyho. Com.
https://bicarathtl.forumms.net/t253-20-hadith-maqlubah-18-kamu-lebih-tahu-urusan-dunia-
kamu-2017-kamu-lebih-tahu-urusan-dunia-kamu
9. Winnie Choo, 2020. iTraining Expert Global PLT, Kuala Lumpur, Malaysia.
10. Wito Waruwu, 2020. “Tiga Pemimpin Seperti Apakah Kamu? Simak 6 Tipe Pemimpin Ini”,
https://glints.com/id/lowongan/berbagai-tipe-pemimpin/#.YTTAIY4zbIU
_________________________________________________________________________________
“Pendidikan Berkualiti, Insan Terdidik, Negara Sejahtera” #jpnmelakajenamakerajaanno1

4

TAKLIMAT PENGARAH PENDIDIKAN
BAGI

MENINGKATKAN PRESTASI DAN KUALITI KERJA

TAJUK: KESEDARAN YANG PATUT KITA SEDAR

Sedar dan tidak sedar kita telah bergelut dengan pandemik Covid-19 hampir dua tahun,
iaitu dari tahun 2020 hinggalah kini. Sehingga artikel ini ditulis, jumlah kes baharu Covid-19
telah melebihi jumlah 15, 000 orang. Pandemik Covid-19 telah memberikan kesan sama ada
dalam politik, ekonomi, sosial, amalan agama, pendidikan dan sebagainya. Pandemik Covid-
19 memang berlaku dan tidak sesiapa sebelum Mac 2020 boleh mengakui telah melalui
pengalaman ini dengan terpaksa menjaga jarak, dihalang merentasi daerah dan negeri, tidak
boleh makan bersama-sama di kedai dan sebagainya. Ini merupakan cabaran dalam
kehidupan yang disebut sebagai norma baharu.

Warga pendidikan negeri Melaka perlu sedar bahawa bidang pendidikan amat terkesan
dengan pandemik Covid-19. Jumlah hari persekolahan sebanyak 190 hari perlu dipenuhi
menerusi PdPR, iaitu sama ada secara atas talian, pengedaran modular dan koleksi soalan
dan latihan. Semua ini dilakukan menurut kesesuaian dengan fokus utama adalah
menyampaikan kandungan asas kepada murid-murid. Adakah cukup? Inilah persoalan yang
perlu dirungkai bersama-sama bagi memastikan sistem pendidikan yang dilaksanakan,
khususnya warga pendidikan di negeri Melaka dalam memenuhi matlamat dan visi pendidikan
tersebut. Proses pendidikan seharusnya bukan sekadar menyampaikan kandungan ilmu
tetapi proses pendidikan itu adalah lebih besar dan luas. Proses pendidikan seharusnya dapat
memberikan ilmu pengetahuan, membangunkan kemahiran, menyuburkan nilai murni dan
membina keseimbangan emosi dan psikologi murid. Apakah semua ini masih utuh dalam
prinsip profesionalisme guru? Di manakah Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Aspirasi
Murid kita letakkan?

GURU, iaitu KITA tidak boleh kalah dalam peperangan dengan Covid-19. Kita tidak
boleh hari-hari hanya terhad memikirkan jumlah kes baharu Covid-19. kita tidak boleh
menghabiskan masa memikirkan benar atau tidak vaksin yang diberi. Sebaliknya, kita perlu
memikirkan kesan di sebalik pandemic Covid-19 ini. Di sebalik pandemic Covid-19, tersimpan
khazanah tanggungjawab yang perlu kita lakukan. Apabila di sebalik pandemik Covid-19 ini
kita fahami, ia menjadi jiwa bagi kita untuk terus bangun tangkas melunaskan tanggungjawab
pendidikan untuk generasi masa hadapan.

Pandemik Covid-19 sebenarnya mempercepatkan digitalisasi dalam kehidupan apabila
banyak urusan kehidupan hari ini bertukar gaya dan kaedah. Kita jauh di Nyalas, Batang
Melaka, Pegoh dan lain-lain adalah tidak perlu ke kedai menikmati asam pedas yang ada di
bandar Melaka. Sebaliknya, kita boleh menikmati asam pedas dengan memberikan pesanan
menerusi aplikasi. Kemudian nanti asam pedas dihantar kepada kita oleh Food Panda atau
Food Grab ke muka pintu rumah kita. Seorang guru yang berada di Sarawak boleh mengajar
murid di Melaka apabila link sesi pengajaran dan pembejaran atas talian guru tersebut
disebarkan. Malah, aktiviti agama juga boleh dilaksanakan secara atas talian seperti belajar
al Quran, nikah dan sebagainya. Akhirnya, apa? Tentunya kehidupan di hadapan ini akan di
bawah pengaruh Teknologi Komputer dan Komunikasi. Lebih lanjut lagi kehidupan akan
datang akan dipengaruhi secara kuat oleh Teknologi Kebijaksanaan Rekaan atau Teknologi
Artificial Intelligence (AI). Apakah ini telah kita fahami akan cabaran besar yang ada secara
sedar?

Ya, setiap hari kita dengar pelbagai rungutan, iaitu dari jumlah kes baharu Covid-19, kes
kematian baharu Covid-19, situasi politik, keresahan ibu bapa dan guru berhubung
pelaksanaan PdPR, kesusahan rakyat, iSinar dan sebagainya. Apakah ini sahaja yang
dibincang dan diperdebat? Sehingga bila tamatnya kita pun tidak tahu. Sebaliknya, kesan dan
gaya kehidupan yang dipengaruhi oleh digitalisasi dan teknologi AI tidak pula rancak di medan
perbincangan. Sedangkan, orang lain telah mempunyai angka yang tepat berhubung keadaan

1

pekerjaan, peluang ekonomi, jumlah bakat dan kepakaran serta bidang yang perlu diberikan
perhatian pada masa hadapan. Bagaimanakah kita?

Pernahkah kita terfikir bahawa sudah cukupkah kita menghantar koleksi soalan dan
latihan menerusi Instagram, Whatsapp, Telegram dan sebagainya. Sebaliknya, apabila
menggunakan aplikasi tersebut, apakah kita terfikir bahawa dalam aplikasi tersebut juga
membolehkan murid kita mengeksplorisasi pelbagai perkara negatif seperti laman porno dan
judi? Oleh itu, cukupkah kita hanya menghantar koleksi soalan atau latihan tersebut sebagai
makna bahawa sudah selesai tugas kita mendidik murid? Tidakkah pernah kita fikirkan secara
kreatif dan pemikiran kritis, iaitu di samping kita menghantar koleksi soalan dan latihan itu,
kita mesti memastikan koleksi tersebut mengandungi elemen pembangunan nilai, emosi dan
psikologi. Ini penting untuk guru fikirkan kerana kita sayang akan anak atau murid kita dan
generasi masa hadapan kita.

Retrospeksi pembelajaran secara atas talian membawa kita boleh berkomunikasi dan
berinteraksi dengan ramai secara serentak. Apakah kita fikir akan kesan pada aspek sosial
terhadap generasi akan datang? Mungkinkah murid kita nanti tidak perlu memikirkan
perkahwinan dan hidup berkeluarga kerana cukup bagi mereka mempunyai pasangan secara
atas talian tanpa mempunyai tanggungjawab berkeluarga? Apakah akan terjadi kepada
ummah dan masyarakat? Apakah kita fikirkan secara sedar dalam kita melaksanakan PdPR
secara atas talian ini? Patutkah proses pembelajaran itu menyampingkan aspek nilai, emosi
dan psikologi ini dalam proses mendidik itu?

Cukuplah dahulu, iaitu tahun-tahun 1997-1999, kita dilanda dengan ledakan Blackberry,
telefon atur dan sebagainya. Bersama-sama itu kita tidak fikir dengan penuh sedar apakah
bentuk masyarakat yang akan muncul natijah daripada Blackberry dan telefon atur yang
menjadi lambang kemajuan dan status hidup. Nah, sekarang kita rasa kesannya apabila hidup
kita haru-biru dengan adu domba dan fitnah. Ada suami dan isteri bercerai-berai dek
Whatsapp. Isteri orang bercinta dengan suami orang. Bagaimanakah harapan untuk dilindungi
daripada dajal sedang kehidupan yang ada mengamalkan tingkah laku dajal? Takkah kita
sayangi anak atau murid kita dan tidakkah kita sayang generasi masa hadapan kita? Apakah
kita sedar akan bentuk dan proses pendidikan yang perlu kita laksanakan dalam post
pandemik Covid -19 dan beralih kepada ICT dan AI? Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan
Aspirasi Murid masih relevan menjadi panduan tetapi di manakah semua ini dalam pendidikan
post pandemik Covid-19 yang kita laksanakan?

Kita selusuri dunia lain dalam mendepani pandemik Covid-19. Apakah yang mereka
sudah tahu? Masyarakat luar telah melakukan kajian untuk melihat kesan daripada pandemik
Covid-19. Mereka telah menggerakkan pendidikan dan sektor lain ke arah apa-apa yang
mereka telah tahu daripada kajian yang dilakukan.

US dijangkakan akan mengalami kekurangan bakat sebanyak 6.1 juta dalam bidang
pengkomputeran dan matematik pada tahun 2030. Kekurangan bakat dan kepakaran dalam
architecture dan kejuruteraan akan meningkat, iaitu 60,000 pada tahun 2020 kepada 1.3 juta
pada tahun 2030. Sementera itu, lebihan pekerja dalam bidang teknologi dan sokongan
pengurusan meningkat daripada 1.4 juta pada tahun 2020 kepada 3.0 juta pada tahun 2030.Di
Germany pula, dijangkakan akan hilang bakat dan kepakaran dalam bidang pengkomputeran
dan matematik sebanyak 1.1 juta pada tahun 2030. Kekurangan bakat dalam pendidikan dan
keperpustakaan sebanyak 346,000 ribu. Kekurangan bakat dalam penjagaan kesihatan dan
teknikal sebanyak 254,000. Lebihan tenaga kerja dalam sektor pengeluaran meningkat
daripada 764,000 pada tahun 2020 kepada 801,000 tahun 2030, iaitu kesan daripada
perubahan kepada teknologi pengacaraturan dan penyelenggaraan pengeluaran berasaskan
teknologi. Australia pula mendapati kekurangan bakat sebanyak 333,000 dalam bidang
komputer dan matematik pada tahun 2020 dan dikuti oleh bidang pengurusan, penjagaan
kesihatan, sokongan teknikal, operasi perniagaan dan perbankan. Dijangkakan lebihan bakat
dalam pekerjaan dalam sektor seperti pengurusan pejabat, iaitu kesan daripada teknologi
pengacaturan.Dijangkakan juga berlaku lebihan pekerja sebanyak 800, 000 pada tahun 2030,
iaitu kesan daripada pengaplikasian teknologi dan kesan buruk Covid-9. (Rainer Strack et.,
2021).

2

Lihatlah betapa tingginya kesedaran dan cepatnya mereka sedar serta bertindak
berikutan pandemik Covid-19 terhadap masa hadapan genarasi dan negara mereka. Mereka
telah mempunyai maklumat berhubung sektor ekonomi dan ilmu pengetahuan serta
kemahiran untuk masa hadapan dengan jelas. Maklumat yang ada itu telah diambil tindakan
pada hari ini dalam semua bidang termasuk pendidikan. Apakah kita sedar? Sekira kita tidak
bergerak pada hari ini, murid kita akan ketinggalan dalam ilmu pengetahuan dan kemahiran
bidang yang penting pada masa hadapan. Bagi kita, ianya adalah lebih, iaitu nilai, emosi dan
psikologi.

Dengan persaingan yang tinggi dalam bidang pekerjaan serta berlaku lebihan bakat dan
kepakaran, tentu sahaja murid kita akan terjebak dalam cabaran hidup yang hebat. Dek
kerana kita tidak sedar bahawa pendidikan hari ini bukan sekadar memenuhi jumlah hari
persekolahan 190 hari dan memberikan kandungan ilmu pengetahuan dan kita terlupa pula
membina kemahiran, nilai dan emosi serta psikologi, anak kita terperangkap dengan
kehidupan berasaskan gig ekonomi dan AI. Sanggupkah kita melihat mereka hidup “beraja di
mata, bersultan di hati” atau “membujur lalu, melintang patah”. Andai kata mereka gagal
menyantuni kehidupan yang besar cabaran itu dan mereka lapar, tidakkah kita hari ini
bersalah. Sedangkan pegangan kita adalah “Tidak termasuk orang yang beriman, orang
yang kenyang sementara jiran tetangganya kelaparan” (HR: Ath Tabrani, no. 12579).
Jangan sekadar melihat mereka yang lapar pada hari ini tetapi lihatlah juga kelaparan pada
masa hadapan kerana kehidupan masa hadapan itu juga ada tanggungjawab kita pada hari
ini. Apakah kita sedar bahawa jika ilmu, kemahiran, nilai, emosi dan psikologi murid tidak
mampu kita bangunkan pada hari ini untuk kehidupan tersebut, mampukah mereka hindari
dajal? Masukkah kita ke syurga Allah SWT? Kita tahu sudah bahawa kehidupan anak atau
murid kita pada masa hadapan itu dari aspek bentuk dan gayanya. Gagalnya kita pada hari
ini dalam mendidik mereka, mereka mungkin mengamalkan sikap dan perangai dajal tanpa
nilai dan ihsan.

Kesedaran ini perlu kita fahami bersama-sama. Mari kita bina generasi masa hadapan
yang berilmu berpengetahuan, berkemahiran tinggi, menghayati nilai hidup yang benar serta
utuh emosi dan psikologinya. Ya, kita bukan pembina dasar pendidikan untuk merekayasa
bentuk pendidikan baharu tetapi kita ada ilmu pengetahuan, kemahiran, kreativiti dan
pemikiran kritis untuk menyantuni anak kita pada hari ini tanpa mengabaikan panduan yang
diberikan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Lebih penting daripada itu, kita ada
kesedaran dan keinsafan bahawa anak kita adalah pewaris untuk kita sandarkan harapan
agama, bangsa dan negara. Kita sayang anak atau murid kita. Kita mahu mereka menjadi
insan terdidik untuk berupaya menyantuni kehidupan yang berbeza daripada hari ini.
“Kasihanilah penduduk di bumi, kelak kamu akan dikasihani oleh penghuni yang
berada di langit ( HR: Ath Tabrani: Sahih). Janganlah kita zalimi anak atau murid kita pada
hari ini untuk kehidupan pada masa hadapan, sedangkan kita pada hari ini tetap kenyang dan
memperoleh gaji yang penuh walaupun sekadar BDR. “ Janganlah kamu menzalimi kerana
sesungguhnya kezaliman itu menjadikan kegelapan-kegelapan pada hari kiamat ( HR:
Muslim : Sahih )

Ayuh, kita terus berjuang dalam jihad pendidikan ini. Kita tidak boleh kalah dalam
peperangan pandemik Covid-19 yang menderaskan lagi kepada kehidupan berasaskan
teknologi ICT dan AI. Kita santuni cabaran ini dengan sabar tetapi sabar itu bukan bermakna
kita diam dan lihat. Sebaliknya, sabar hendaknya bersama-sama dengan usaha, strategi dan
pendekatan.
Wallahu’alam.

DR. MOHD AZAM BIN AHMAD
PENGARAH PENDIDIKAN
JABATAN PENDIDIKAN NEGERI MELAKA
06 OGOS 2021
_________________________________________________________________________________

“Pendidikan Berkualiti, Insan Terdidik, Negara Sejahtera” #jpnmelakajenamakerajaanno1

3

PERUTUSAN DR. MOHD AZAM BIN AHMAD
PENGARAH PENDIDIKAN JPN MELAKA

BERSEMPENA SAMBUTAN HARI GURU TAHUN 2021

TEMA: BERGURU DEMI ILMU BINA GENERASI BAHARU
________________________________________________________________

Assalamualaikum wbr
Salam Melakaku Maju Jaya … Rakyat Bahagia, Menggamit Dunia
Salam JPN Melaka … Pendidikan Berkualiti, Insan Terdidik, Negara Sejahtera
#jpnmelakajenamakerajaanno1.

1. Bersyukur kita kehadrat Allah SWT atas segala limpah dan kurnia-Nya kepada kita dan
tidak saya lupakan juga, iaitu salam dan selawat kepada junjungan besar Nabi
Muhammad SAW, iaitu penghulu segala nabi dan suri teladan guru sepanjang zaman.

2. Hari ini tanggal 16 Mei, kita dikurniakan kesempatan untuk meraikan Hari Guru dengan
tema “Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu”. Lebih istimewa lagi sambutan hari
Guru pada kali ini adalah sambutan untuk kali ke-50 yang disebut sebagai Jubli Emas.
Oleh itu, marilah kita warga guru, khususnya warga guru negeri Melaka menjadikan
tanggal 16 Mei ini untuk kita bersama-sama membaharui azam dan tekad untuk kita
menjayakan tanggungjawab dan amanah, iaitu membina generasi untuk agama,
bangsa dan negara dengan pelbagai kemahiran dan ilmu baharu sesuai dengan
perubahan dan dinamika kehidupan.

3. Sambutan Hari Guru tahun 2021 adalah sama seperti sambutan Hari Guru tahun 2020,
iaitu sambutan Hari Guru berlangsung dalam suasana pandemic Covid 19 yang sedang
melanda negara. Namun begitu, saya menyeru warga pendidikan negeri Melaka tidak
patah semangat untuk terus mendidik anak bangsa.

4. Marilah kita jadikan ancaman pandemik Covid 19 ini sebagai suatu peluang keemasan,
iaitu peluang untuk kita mencabar diri. Kita cabar diri kita untuk lebih berdaya tahan dan
berdaya saing, kita cabar diri kita untuk lebih kreatif dan inovatif dan kita cabar diri kita
untuk lebih kritis. Karektor guru yang berdaya tahan dan berdaya saing yang tinggi,
kreatif, inovatif dan kritis membolehkan warga guru negeri Melaka menjayakan
pendidikan kalis cabaran. Inilah peluang yang boleh diraih di sebalik pandemic Covid
19 yang melanda ini. Saya percaya cabaran yang dilakukan kepada diri sendiri akan
membantu kita untuk terus berjaya menggalas tanggungjawab dan amanah. Kita tidak
boleh lesu dan longlai kerana murid-murid kita perlu dibangunkan dan dibentuk untuk
menjadi generasi pewaris yang berkualiti. Oleh itu, saya mengajak warga guru negeri
Melaka agar sentiasa berfikiran positif dan rasional. Jangan sesekali kita melihat
pandemic Covid 19 ini sebagai ancaman. Sebaliknya, ancaman ini adalah peluang
untuk membina kekuatan baharu sebagai guru.

5. Kekuatan baharu yang dilihat sebagai fundamental adalah digitalisasi pendidikan.
Proses pendidikan secara bersemuka sepenuhnya sebelum ini mungkin bukan lagi
suatu norma. Sebaliknya, adunan antara proses pendidikan bersemuka dan secara
atas talian serta hybrid menjadi norma baharu. Tentu sahaja proses pendidikan norma
baharu seperti atas talian dan hybrid memerlukan aplikasi digital. Oleh itu, warga guru
negeri Melaka hendaklah melihat pendigitalan dalam pendidikan suatu elemen yang
perlu dipelajari dan diperkukuh kemahiran yang ada. Di sini saya mengajak warga guru
negeri Melaka untuk menghayati tema Hari Guru, iaitu “Berguru Demi Ilmu”.
Kesediaan warga guru negeri Melaka untuk belajar dan terus belajar demi
meningkatkan ilmu pengetahuan dalam bidang digital, tentu sahaja akan membantu kita
membangunkan pendidikan negeri Melaka mencapai taraf Pendidikan Berkualiti,

Insan Terdidik, Negara Sejahtera dan memastikan guru negeri Melaka adalah jenama
kerajaan nombor 1.

6. “Berguru Demi Ilmu” menggambarkan keseronokan untuk belajar dan menimba ilmu.
Justeru, saya turut mengajak warga guru negeri Melaka untuk terus belajar bagi
mendalami pelbagai bidang ilmu pengetahuan. Dengan pelbagai bidang ilmu
pengetahuan yang ada pada kita, tentu sahaja nanti dapat kita memperkukuh murid-
murid dengan pelbagai kemahiran dan pengetahuan, di samping kita memperkukuh nilai
akhlak mereka. Natijahnya, warga guru negeri Melaka berupaya melahirkan murid-
murid sebagai generasi yang ampuh dalam pelbagai aspek untuk mendepani corak dan
gaya kehidupan masa hadapan yang penuh cabaran dan berbeza dengan kehidupan
hari ini. Inilah tanggungjawab dan amanah yang tersirat pada tema Hari Guru, iaitu
“Bina Generasi Baharu”.

7. Marilah kita sedari bahawa kita sebagai guru bukan sekadar mengajar mata pelajaran.
Sebaliknya, menerusi mata pelajaran dan kandungan kurikulum, kita MENDIDIK. Ini
bermakna kita bukan hanya mahukan murid-murid kita menguasai ilmu pengetahuan
tetapi kita mahukan murid kita menguasai pelbagai kemahiran, membangun nilai dan
akhlak diri dan kukuh rohani, psikologi dan emosi. Semua perkara ini adalah
tanggungjawab dan amanah yang ada pada kita sebagai guru kerana kita tidak
membina sebuah jambatan, reban, rumah dan bangunan pencakar langit. Kita adalah
guru sebagai jurutera yang membina generasi masa hadapan, iaitu generasi yang
mampu menggalas tanggungjawab dan amanah agama, bangsa dan negara.

8. Oleh itu, saya menyeru warga guru negeri Melaka untuk menghayati semula Falsafah
Pendidikan Kebangsaan dan Matlamat Strategik bersama-sama Aspirasi Sistem
dan Aspirasi Murid dalam kita mendidik murid-murid. Semua ini kita sama-sama
jayakan walau apa-apapun cabaran yang ada kerana janji kita dalam lagu keramat Guru
Malaysia adalah “mendidik dan memimpin putra putri negara kita” dan “Apa yang
kami janji, tunai tetap kami tunaikan”.

9. SELAMAT HARI GURU … BERGURU DEMI ILMU BINA GENERASI BAHARU …
TERIMA KASIH CIKGU!

Sekian. Terima kasih.
16 Mei 2021

TAKLIMAT PENGARAH PENDIDIKAN
BAGI

MENINGKATKAN PRESTASI DAN KUALITI KERJA

Tajuk: Set Jangkaan Prestasi Yang Jelas

Kemahiran dalam kepemimpinan adalah penting bagi memastikan sesebuah organisasi
itu berjaya atau sebaliknya. Kemahiran dalam kepemimpinan ini bukan sekadar seseorang
guru itu berada di pejabat tetapi turut berlaku dalam bilik darjah. Justeru, amat penting
seseorang itu menilai potensi diri bagi memastikan diri mempunyai kemahiran kepemimpinan
yang responsif dengan situasi semasa bagi memastikan organisasi tidak lesu dan tidak
berdaya saing.

Seseorang sama ada di pejabat atau dalam bilik darjah hendaklah jelas terhadap set
jangkaan prestasi yang hendak dicapai. Sekira set jangkaan prestasi ini tidak jelas, tentu
akan menjadikan seseorang itu bekerja secara business as usual dan dibuai oleh comfort
zone. Mungkin bagi dirinya berasa selesa tetapi pegawai atau murid di sekeliling akan
membuat penilaian terhadap kepemimpinannya. Sebenarnya, tiadanya set jangkaan prestasi
yang jelas menjadikan seseorang ketua atau pemimpin itu sama ada di pejabat atau dalam
bilik darjah (guru) menjadi penghalang utama mereka memperlihatkan potensi diri. Akhirnya,
ketua atau pemimpin ini hanya sekadar memenuhi tempat kosong dalam posisi dan tidak lebih
daripada itu. Untuk menidakkan prestasi, mereka lebih suka terhadap perkara-perkara yang
tidak signifikan terhadap prestasi organisasi. Malah, mereka tidak terasa atau tidak sedar
bahawa organisasi yang dipimpin sedang merudum.

Ketua atau pemimpin organisasi yang tidak mempunyai set jangkaan prestasi yang
jelas tidak berdaya dan tidak mampu melonjakkan prestasi organisasi. Mereka tidak berdaya
menganalisis dan mencerakin akan kekuatan dan kelemahan serta ancaman dan peluang
yang ada dalam kalangan pegawai atau dalam konteks bilik darjah adalah murid-murid.
Pemikiran adalah statik, cara bekerja adalah lapuk dan tidak berupaya membawa perubahan
kepada pegawai dan organisasi. Mereka tidak mampu menjadi role model. Organisasi hanya
bergerak atas inisiatif pegawai yang ada kesedaran dan integriti tanpa perancangan yang
sistematik yang digerakkan oleh ketua atau pemimpin tersebut.

Ketua atau pemimpin yang tidak mempunyai set jangkaan prestasi yang jelas bukan
sahaja gagal merancang tetapi sebenarnya, tanpa disedari bahawa mereka telah
merancang untuk gagal. Mereka kabur akan conerstone untuk melonjakkan prestasi
organisasi atau pencapaian murid dalam bilik darjah. Mereka menyebut akan prestasi tetapi
hanya sekadar berharap “yang pipih datang melayang, yang bulat datang bergolek”.
Namun semua itu tidaklah begitu. Sebaliknya, lonjakkan prestasi sesebuah organisasi itu
mesti datang dengan perancangan yang sistematik dengan eager dan spirit seorang ketua
atau pemimpin yang sentiasa teruja dan responsif. Ketiadaan perancangan berserta eager
dan spirit terhadap fungsi dan peranan serta sebab dia berada di posisi tersebut, ketua atau
pemimpin itu akan membiarkan organisasi berjalan seperti biasa. Pegawai atau murid dalam
bilik darjah begerak atas inisitif sendiri atau secara silo atau dalam kumpulan yang kecil.
Kelemahan dan ancaman yang ada terhadap organisasi tidak dapat diselesaikan dengan
kreativiti dan pemikiran kritis. Konflik dalam organisasi yang mengancam prestasi organisasi
tidak mampu diselesaikan secara tuntas. Ketua atau pemimpin juga tidak mampu menilai
potensi pegawai atau murid-murid dalam bilik darjah bagi dieksploitasi dan dikembangkan
untuk melonjakkan prestasi organisasi. Ketua atau pemimpin akan selesa dengan comfort
zone dan complacent. Hal ini juga akan membuat mereka mudah dipengaruhi oleh individu
atau kumpulan tertentu dalam organisasi yang membawa mereka kepada aktiviti-aktiviti yang
tidak membangunkan dan memajukan organisasi. Ketua atau pemimpin organisasi yang tidak
mempunyai set jangkaan prestasi yang jelas tidak ubah hanya sebagai fill in the blank dan
bukan replacement yang signifikan, iaitu mampu menyatakan ekspektasinya terhadap
pegawai atau murid dalam bilik darjah secara jelas dan kukuh.

1

Berdasarkan prinsip “do the things”, seseorang ketua atau pemimpin di pejabat atau
bilik darjah, iaitu guru-guru mesti mempunyai set jangkaan prestasi yang jelas. Dengan set
ini, perlu diringi dengan eager dan spirit bagi menggerakkannya. Tanpa eager dan spirit ,
tentu akan menjadikan mereka seorang ketua atau pemimpin tidak gagal untuk
menggerakkan perancangan.

Ketua atau pemimpin organisasi yang mempunyai set jangkaan prestasi yang jelas
adalah tahu akan cornerstone dalam organisasi untuk mereka memulakan pimpinan.
Berdasarkan cornerstone, mereka menggerakkan organisasi dengan melakukan perubahan,
penyesuaian dan penggantian sama ada dari aspek budaya kerja, susunan struktur
kemahiran pegawai, sistem pengurusan dan sebagainya. Semua ini dilakukan atas faktor
kepentingan organisasi dan pelan perancangan organisasi. Gerak kerja dan perubahan yang
digerakkan terhadap usaha mencapai set jangkaan prestasi adalah konsisten, responsif dan
tepat, di samping boleh memberikan toleransi secara rasional dengan memberikan maaf
terhadap kesilapan dan menghargai usaha gigih pegawai.

Ketua atau pemimpin yang mempunyai set jangkaan prestasi yang jelas mesti
seorang yang approachable. Ketua atau pemimpin ini mudah dan senang didekati dan
mendekati. Keadaan ini akan memudahkan mereka menyampaikan visi dan rasional di
sebalik inisiatif. Ketua atau pemimpin ini tidak hanya berharap orang-orang tertentu dalam
memperkukuh visi dan matlamat organisasi tetapi turut turun padang. Set-set gerak kerja yang
difikirkan, dibina sendiri atau bersama-sama dengan kumpulan pemikir agar dia memahami
semasak-masaknya dan mengetuai sesi bimbingan dan dialog bersama-sama pegawai. Sesi
bersama-sama pegawai akan dirasai saksama dan adil untuk semua pegawai, iaitu ketua atau
pemimpin memberikan bimbingan dan pimpinan kepada semua pegawai tanpa favouritisme.
Pegawai juga diberikan peluang yang meluas untuk menyampaikan idea dan pandangan bagi
kepentingan organisasi. Sesi bersama-sama pegawai adalah sesi yang mesra dan bukan sesi
mewujudkan konflik dan memfokuskan kesalahan kepada individu atau kumpulan.

Demikian sikap guru dalam bilik darjah yang approachable akan sentiasa mendekati
dan didekati murid. Guru akan lebih memahami kehendak murid dan akan membina inisiatif
dalam pedagogi yang bersesuaian dengan aras dan kehendak murid. Kelemahan organisasi
diambil dengan penuh tanggungjawab dan tidak sewenang-wenang meletakkan kelemahan
itu pada individu atau kumpulan tertentu dalam organisasi. Sikap ini merupakan elemen
penting sebagai ketua atau pemimpin organisasi yang mempunyai set jangkaan prestasi yang
approachable. Mereka tahu akan way forward dan milestone organisasi dan kumpulan
yang terlibat dan bukannya hanya sebagai rubber stamp.

Selanjutnya, ketua atau pemimpin organisasi yang mempunyai set jangkaan prestasi
yang jelas juga memperlihatkan budaya berbincang, iaitu berbincang tentang halangan dan
cabaran organisasi dalam menggapai kemajuan. Dengan ini, mereka sentiasa mewujudkan
brainstorming session bagi meraih pandangan dan idea yang kreatif daripada pemikiran
kritis dalam kalangan pegawai. Tentu sahaja brainstorming ini akan menginspirasi dan
memotivasi pasukan untuk bersama-sama melangkah lebih jauh untuk kemajuan organisasi.

Bagaimanakah dalam bilik darjah? Guru tentu tahu bahawa pedagogi dalam bilik darjah
lebih kepada membina karektor murid, iaitu kemahiran berfikir seperti menganalisis,
mencerakin, membuat justifikasi, membina rumusan dan sebagainya, di samping membina
nilai berdaya tahan, menghargai, bekerjasama dan lain-lain. Oleh hal demikian,
brainstorming session ini digunakan dalam kaedah pedagogi seperti perbincangan, project
based learning dan pembentangan. Memang sukar untuk mendapatkan hasil yang segera
untuk ini tetapi ia boleh dicapai sekira ada usaha dari awal dan diteruskan bimbingan setelah
diketahui cornerstone dalam bilik darjah dan subjek guru. Justeru, guru perlu berubah
kepada prinsip TS25@Melaka daripada sekarang.

Ketua atau pemimpin yang mempunyai set jangkaan prestasi yang jelas hendaklah
sentiasa belajar kerana ketua atau pemimpin itu tidak tahu semua perkara atau bidang. Oleh
itu, seseorang ketua atau pemimpin itu hendaklah “Don’t be a know-it all; be a learn-it all”.
Sikap malas belajar atau sombong dengan posisi membuatkan seseorang ketua atau

2

pemimpin itu tidak relevan dan hilang karisma kepemimpinan. Sikap mahu belajar walaupun
daripada seorang pegawai biasa merupakan elemen penting kualiti seseorang ketua atau
pemimpin. Oleh itu, seseorang ketua atau pemimpin mesti sentiasa melibatkan diri secara
aktif dalam sesi perbincangan atau dialog, bukan sahaja untuk meneliti prestasi gerak kerja
organisasi tetapi untuk mendapatkan idea dan pengetahuan baharu yang boleh digunakan
untuk memperkukuh set pelan perancangan organisasi.

Ketua atau pemimpin yang telah mempunyai set jangkaan prestasi yang jelas hendaklah
“ terus buat !” (Just do it ! ). Sikap tunggu dan tunggu akan membuatkan eager dan spirit
yang ada mati. Yang lebih ditakuti adalah elemen negatif seperti terpengaruh dengan
pandangan kolot dan momokan yang akan membuatkan set jangkaan prestasi terbengkalai.
Dengan itu, tanggungjawab, fungsi dan peranan yang ada diambil untuk dilaksanakan atau “
terus buat !” dengan pelbagai cara, teori, kaedah dan pendekatan. Bagaimanapun, hendaklah
pula tidak bersikap sombong untuk mengaplikasi set-set kepimpinan dan gerak kerja terbaik
daripada kalangan pemimpin yang ada. Oleh itu, bagi memastikan jangkaan prestasi dicapai,
seseorang ketua atau pemimpin organisasi itu hendaklah fokus terhadap kemahiran
kepimpinan yang dimiliki dan di samping itu tidak ragu-ragu menyertai kumpulan pemimpin
lain bagi bertukar-tukar pandangan dan amalan terbaik dalam kepemimpinan.

Set jangkaan prestasi organisasi pada hari ini berhadapan dengan cabaran. Namun
begitu, kita tidak boleh sesekali untuk gagal merancang, apatah lagi merancang untuk gagal.
Set jangkaan prestasi yang jelas sudah ada tetapi perlu ada perubahan dan penyesuaian
semula atau responsif terhadap cabaran semasa. Oleh itu, digitalisasi dalam set gerak kerja
menjadi elemen tambah baik dalam pelan perancangan organisasi suatu yang fundamental.
Oleh itu, cabaran kepada ketua atau pemimpin kini adalah meneraju, membimbing dan
mendorong digitalisasi dalam organisasi. Demikianlah seorang ketua atau pemimpin
organisasi yang telah mempunyai set jangkaan prestasi yang jelas, iaitu memastikan
pendidikan ini mencapai taraf Pendidikan Berkualiti, Insan Terdidik, Negara Sejahtera dan
#jpnmelakajenamakerajaanno1 tidak akan sesekali gagal untuk merancang untuk
memacu kejayaan organisasi, apatah lagi merancang untuk gagal.

Wallahu’alam.

DR. MOHD AZAM BIN AHMAD
PENGARAH PENDIDIKAN
JABATAN PENDIDIKAN NEGERI MELAKA
15 MEI 2021
________________________________________________________________________

“Pendidikan Berkualiti, Insan Terdidik, Negara Sejahtera”
#jpnmelakajenamakerajaanno.1

3

TAKLIMAT PENGARAH PENDIDIKAN
BAGI

MENINGKATKAN PRESTASI DAN KUALITI KERJA

Tajuk: NARATIF MEMPERKUKUH BIDANG TUMPUAN

Pernah suatu waktu, terdapat kata-kata yang mengatakan bahawa ungkapan
“pelajaran” tidak tepat. Sebaliknya, bagi mereka ungkapan yang tepat adalah
“pendidikan”. Hujah yang dikemukakan bahawa guru bukan sekadar mengajar
subjek tetapi lebih besar daripada itu adalah “mendidik”. Apa-apapun yang lebih
penting warga pendidikan memahami dengan kukuh tugas sebagai guru.

Pegangan asas dalam tugas sebagai guru adalah Falsafah Pendidikan
Kebangsaan (FPK). Asas tugas warga pendidikan sama ada di peringkat JPN Melaka,
Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan di peringkat sekolah adalah untuk melahirkan
insan yang seimbang dari aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani (IREJ). Berpegang
kepada asas FPK ini, setiap guru hendaklah memastikan murid-murid yang dididik
dalam sistem pendidikan yang dilaksanakan itu menjadi insan yang terdidik. Lantaran
itu, warga pendidikan hendaklah tahu dengan kukuh akan bidang tumpuan proses
pendidikan, iaitu sepanjang sembilan tahun merupakan tempoh pendidikan adalah
untuk membangunkan dan memastikan pertumbuhan kemenjadian murid. Oleh hal
demikian, proses pendidikan tersebut, iaitu enam tahun di peringkat sekolah rendah
dan tiga tahun di peringkat sekolah menengah rendah adalah proses pembelajaran
murid berorientasikan pembangunan dan pertumbuhan kemenjadian. Proses
pembelajaran murid adalah untuk membolehkan murid memperolehi ilmu mengikut
tahap kemampuan masing-masing dan setidak-tidaknya melepasi tahap minimum,
pembinaan nilai diri seperti patriotisme, kerjasama, integriti kerajinan, menhormati,
berdaya saing tinggi, keberanian dan lain-lain. Sementara pembangunan kemahiran
insaniah pula seperti komunikasi dan berfikir secara kritis dan kreatif dan pengukuhan
psikologi dan emosi.

Untuk menjayakan bidang tumpuan dalam proses pendidikan ini, warga
pendidikan negeri Melaka mesti berubah daripada mindset lama, iaitu proses
pendidikan berorientasikan peperiksaan kepada proses pendidikan yang
dilaksanakan untuk membina karakter murid sebagai seorang insan yang seimbang
dari semua aspek kemenjadian diri. Justeru proses pendidikan atau proses
pembelajaran yang dilakukan oleh guru atau dilalui oleh murid adalah berorientasikan
pertumbuhan atau pembangunan. Hal ini tidak menjadikan ada kumpulan murid yang
tertinggal atau tercicir. Jadi, tempoh sembilan tahun, iaitu dari sekolah rendah
sehingga menengah rendah bukan beban sama ada kepada guru atau murid dalam
mengharungi proses pendidikan atau proses pembelajaran. Sebaliknya, guru akan
menjayakan proses pembelajaran secara kreatif dan profesional tanpa terbeban
dengan keputusan peperiksaan. Murid pula akan melalui proses pembelajaran yang
lebih komprehensif dan lebih menyeronokkan. Ini bermakna proses pembelajaran
sepanjang sembilan tahun ini berfokus kepada pembangunan “manusia” atau “orang”
dan bukannya berorientasikan peperiksaan.

Sehubungan dengan ini, warga pendidikan negeri Melaka hendaklah memahami
kurikulum yang ada untuk sekolah rendah dan menengah rendah dilaksanakan bukan
sekadar untuk membolehkan murid memperoleh pengetahuan dan kemahiran khusus
mengikut tahap upaya masing-masing. Sebaliknya, kurikulum yang dilaksanakan
dengan penuh kreativiti dan inovatif dalam amalan pedagogi menjadi alat bagi murid
membangunkan nilai, kemahiran insaniah, psikologi dan emosi yang utuh untuk
menjadi seorang “manusia” atau “orang” yang berkualiti. Untuk ini, warga pendidikan

1

harus sentiasa menilai proses pembelajaran yang dijayakan untuk murid-murid adalah
bagi mencapai aspirasi seperti Pengetahuan, Kemahiran Berfikir, Kemahiran
Dwibahasa, Kemahiran Memimpin, Nilai dan Kerohanian dan Identiti Nasional.

Transformasi ini perlu difahami dengan jitu dan dapat diterjemahkan dengan
perubahan dalam amalan dan proses pembelajaran. Proses pembelajaran bukan
bersifat latih tubi semata-mata untuk peperiksaan. Sebaliknya, proses pembelajaran
lebih kreatif, menyeronokkan dan memberikan peluang luas kepada murid melalui
pelbagai situasi dan pengalaman dalam membina dan memajukan diri dari aspek
pengetahuan, kemahiran, nilai dan sahsiah, pembangunan jasmani dan rohani,
psikologi dan emosi. Elemen ini lebih besar maknanya terhadap pembangunan
karektor diri murid berbanding nombor peperiksaan dalam tempoh sembilan tahun.

Marilah kita berubah dalam proses pendidikan untuk sembilan tahun murid-
murid. Marilah kita lakukan transformasi dalam mengajar dan mendidik murid-murid
untuk tempoh sembilan tahun ini. Ini kerana setiap murid itu asasnya adalah dijadikan
sebagai sebaik-baik kejadian seperti firman Allah SWT dalam Surah at-Tiin menerusi
ayat 4 yang bermaksud, “Sesungguhnya benar Kami (Allah SWT) ciptakan manusia
dengan bentuk yang sebaik-baiknya”.

Untuk ini, semua sekolah negeri Melaka telah dijadikan sebagai SEKOLAH
TS25. Ini bagi memastikan pencapaian matlamat strategik, iaitu Sekolah Berkualiti
dan Kualiti Kemenjadian Murid. Ini bermakna trasnformasi seperti susun atur kerusi
dan meja dalam bilik darjah berubah dari susunan meja peperiksaan kepada susunan
meja berkumpulan bagi memudah murid berdiskusi dan berkolaboratif. Pengajaran
yang bersifat menyalin nota berubah kepada proses pembelajaran yang lebih hidup
dengan bersoal jawab, membentang dan aktiviti aktiviti inkuri penemuan seperti
Project Base Learning (PBL) yang merangsang kemahiran Berfikir Aras Tinggi
(KBAT). Pengajaran guru yang bersifat “Chalk and Talk” bertukar kepada proses
pembelajaran berteraskan digital learning seperti flipped classroom, quizee, kahoot
dan lain-lain. Di samping ini, program strategik seperti Guru Penyayang, SUMUR dan
PAFA, Amalan Baik, Guru Penyayang, HIP dan DLP mesti digerak dengan berkesan
sebagai inisiatif dalam transformasi sekolah ini.

Guru-guru bukan stand alone dalam meneraju proses pembelajaran. Sebaliknya,
guru-guru bersifat profesional dengan bergerak dan bertindak atas prinsip connecting
the dots dan beyond the mundane menerusi amalan Professional Learning
Community (PLC) seperti Problem Solving Group (PSG), Teacher Sharing Session,
Lesson Study, Video Critic dan sebagainya. Semua ini dilakukan bagi memastikan
proses pembelajaran yang membolehkan “murid memperolehi pendidikan”. Oleh
itu, ukuran yang digunakan bukan nombor peperiksaan tetapi ukuran yang digunakan
adalah Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) yang bersifat holistik tentang diri murid.

Guru Besar dan pengetua hendaklah juga bergerak bersama-sama pasukan
masing-masing di sekolah bagi menjayakan naratif proses pembelajaran
berorientasikan pertumbuhan kemenjadian diri dan pembangunan karektor murid.
Guru besar dan pengetua hendaklah memainkan peranannya dengan sebaik mungkin
dalam melakukan transformasi dengan meneraju, membimbing dan mendorong
warga pendidikan di sekolah masing-masing. Pelan pemajuan pendidikan, pelan
pemajuan instruksional dan pelan pemantuan gerak kerja serta pemantauan prestasi
dibina dan dilaksanakan bersama-sama dengan pasukan. Bagi memperkukuhkan
transformasi ini dan menjayakan naratif bidang tumpuan ini, pegawai di peringkat JPN
Melaka mesti mampu melaksanakan tugas sebagai koordinator atau konsultan
dengan berkesan dan profesional. Begitu juga pegawai di peringkat PPD mesti

2

berupaya melaksanakan fungsi sebagai pembimbing yang berkesan dan berkualiti.
Oleh hal demikian, inisiatif Dialog Prestasi menjadi instrumen yang menjadi
fundamental sama ada di peringkat JPN Melaka, PPD dan sekolah bagi meneliti
prestasi gerak kerja dan pencapaian.

Sekiranya bidang tumpuan untuk sembilan tahun dalam proses pendidikan ini
dapat dijayakan, nescaya apa-apa yang diidam-idamkan, iaitu murid berjaya di
peringkat menengah atas, khususnya dalam Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) akan
lebih terserlah bagi murid negeri Melaka. Hal ini mudah difahami dengan kita meneliti
dialog di bawah:

A : Murid ini pandai…!
B : Dia ini memang suka bertanya. Dia seorang murid yang rajin,

sopan dan berani.

A : Murid ini, kenapa teruk keputusan peperiksaannya.
B : Dia murid yang nakal, suka melawan guru, pemalas dan suka

ponteng.

Dua dialog di atas mudah difahami untuk memperkukuh pemahaman terhadap naratif
bidang tumpuan yang dibincangkan.

Memang diakui, warga guru berada dalam dilema antara membangunkan murid
menjadi “manusia” dengan nombor peperiksaan. Oleh hal demikian, menjadi
tanggungjawab kita bersama-sama memberikan penjelasan yang jitu dan terang
kepada pihak luar akan naratif transformasi berhubung bidang tumpuan ini. Lantaran
itu, penguasaan dan pemahaman yang kukuh terhadap PBD mesti dikuasai oleh
semua warga pendidikan negeri Melaka bagi membolehkan kita memberikan
penjelasan terhadap pertumbuhan kemenjadian diri murid kepada ibu bapa sehingga
ibu bapa dan masyarakat yakin dan terang akan proses pembelajaran dan
pertumbuhan kemenjadian anak-anak mereka melalui alat pentaksiran, iaitu PBD.
Kegagalan warga pendidikan memahami dan melaksanakan PBD adalah duri dalam
daging yang membunuh peranan “mendidik”. Kegagalan ini menyebabkan ibu bapa
dan masyarakat tidak yakin akan proses pendidikan yang dilaksanakan dan kembali
semula kepada mindset lama, iaitu peperiksaan.

Sesungguhnya, “pendidikan” atau “mendidik” yang dikatakan sebagai ungkapan
yang tepat bagi menjelaskan tugas guru adalah tidak bertentangan dengan bidang
tumpuan ini. Malah, meneliti dan menjayakan bidang tumpuan dengan berkesan
bermakna tugas guru untuk memastikan murid kita menjadi insan terdidik dengan guru
mampu mengupayakan dan memuliakan mereka. Hal ini adalah selari dengan firman
Allah SWT dalam surah al Isra’ menerusi ayat 70, iaitu:

Dan sesungguhnya Kami (Allah SWT) muliakan anak cucu Adam
dan Kami membawa mereka ke daratan dan lautan dan Kami beri
mereka rezeki daripada yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka
atas kebanyakan daripada sesiapa saja yang Kami (Allah SWT)
ciptakan dengan kelebihan yang sempurna.

Oleh hal demikian, berikanlah pendidikan yang bermakna kepada anak murid untuk tempoh
sembilan tahun ini. Tempoh ini cukup untuk kita membangunkan murid dari semua aspek.
Setelah mereka dibangunkan, barulah mereka semua dihantar kepada peringkat pendidikan
menengah atas. Di sini, murid akan mula menggunakan segala upaya dan wibawa yang ada

3

untuk dizahirkan dalam SPM. Peringkat ini adalah selari dengan hala tuju masa hadapan
mereka sama ada meneruskan pengajian di peringkat tinggi atau alam pekerjaan.

Fahamilah bidang tumpuan dalam pendidikan yang kita laksanakan supaya barulah
betul untuk kita bersama-sama melangkah jauh dan memastikan murid mampu
melangkah lebih jauh menerusi naratif pendidikan.
Wallahu’alam.
DR. MOHD AZAM BIN AHMAD
PENGARAH PENDIDIKAN
JABATAN PENDIDIKAN NEGERI MELAKA
15 APRIL 2021
________________________________________________________________________

“Pendidikan Berkualiti, Insan Terdidik, Negara Sejahtera”
#jpnmelakajenamakerajaanno.1

4

TAKLIMAT PENGARAH PENDIDIKAN
BAGI

MENINGKATKAN PRESTASI DAN KUALITI KERJA

Tajuk: Visi dan Aspirasi Warga Pendidikan Negeri Melaka

Setiap organisasi mempunyai visi dan slogan. Kadang kala, visi dan slogan yang
dilaungkan itu agak sukar diterjemahkan, apatah lagi kadang kala visi dan slogan itu
sendiri tidak dapat difahami oleh semua warganya. Lantaran itu, visi dan slogan yang
ada itu hanya sekadar sebuah laungan kosong dan menjadi bahan kosmetik penghias
dinding.

Jabatan Pendidikan Negeri Melaka telah menetapkan visi bermula tahun 2020,
iaitu Pendidikan Berkualiti, Insan Terdidik, Negara Sejahtera. Penetapan visi ini
adalah untuk sama dan selari dengan visi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Visi ini juga hendaklah diguna pakai oleh semua Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di
Melaka dan sekolah-sekolah di Melaka. Visi yang ditegaskan sejak tahun 2020 di JPN
Melaka turut mempunyai aspirasi, iaitu aspirasi sistem dan aspirasi murid sebagai
kekuda yang mesti wujud dalam setiap gerak kerja pendidikan berkualiti.

Dalam menyelusuri kefahaman terhadap visi dan aspirasi ini, ia menuntut satu
anjakan minda dan anjakan sikap dalam kalangan guru, sekolah, PPD dan JPNM.
Sehubungan dengan ini, warga pendidikan negeri Melaka mesti menjadi pegawai dan
agensi yang berkesan, berkualiti dan cemerlang. Justeru bagi anjakan minda dan
anjakan sikap, guru-guru, sekolah-sekolah, PPD dan JPN negeri Melaka sudah
menjadi suatu yang fundamental untuk menjadi jenama kerajaan nombor 1. Ini
merupakan aspirasi JPN Melaka bagi merangsang dan menderaskan anjakan minda
dan anjakan sikap tersebut dalam kalangan guru dan pegawai supaya terbitnya
mindset baharu.

Visi Pendidikan Berkualiti, Insan Terdidik, Negara Sejahtera bersama-sama
aspirasi sistem dan aspirasi murid dapat dijayakan, terutama apabila kita memasuki
Gelombang Ketiga Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2012-2025.
Ya, memang boleh sekira guru dan pegawai pendidikan negeri Melaka mempunyai
iltizam yang tinggi untuk menjadi jenama kerajaan nombor 1. Untuk menjadi jenama
kerajaan nombor 1, perlu adanya refleksi dan transformasi pada setiap guru dan
pegawai. Guru dan pegawai mesti berjiwa besar untuk melakukan refleksi dan
transformasi terhadap nilai dan budaya kerja serta pengetahuan dan kemahiran bagi
membolehkan proses penambahbaikan dilaksanakan.

Suatu mindset yang ada apabila sebagai jenama kerajaan selalu dikaitkan
dengan ketidakcekapan, lewat dan lembab, kurang kesungguhan dan tidak komited,
tidak sistematik, banyak bercakap dari bekerja, kurang integriti, tidak kreatif dan
inovatif dan pelbagai lagi momokan yang negatif. Sebaliknya, apabila dikaitkan
dengan jenama persendirian dan jenama swasta, ianya akan segera dikaitkan dengan
kecekapan dan keberkesanan, sistematik, kesungguhan bekerja, segera dan pantas,
berintegriti, kreatif dan inovatif serta pelbagai lagi kecemerlangan. Betul atau tidak
mindset ini, boleh bertanya kepada diri sendiri untuk jawapannya. Apa-apapun
tanggapan dan jawapan, warga pendidikan negeri Melaka mesti menjadi jenama
kerajaan nombor 1. Warga pendidikan negeri Melaka komitmed dan menyimpan
iltizam yang tinggi untuk memastikan visi Pendidikan Berkualiti, Insan Terdidik dan
Negara Sejahtera tercapai.

Bagi menjadi jenama kerajaan nombor satu, guru dan pegawai hendaklah
memberikan sepenuh jiwa dan raga untuk pendidikan ini. Setiap guru dan pegawai

1

mesti berasa bangga menjadi seorang guru. Imej profesionalisme sebagai guru
sentiasa dipelihara dengan meningkatkan imej, pengetahuan, kemahiran dan nilai diri.
Lantaran ini, akan lahir guru dan pegawai yang bekerja dengan penuh kesungguhan,
kejujursan dan keikhlasan. Malah, guru dan pegawai akan kreatif dan inovatif
melaksanakan tugas dan kerja. Guru dan pegawai juga bukan bekerja untuk sekadar
makan gaji tetapi guru dan pegawai tahu dan faham akan matlamat pendidikan dalam
konteks negara.

Guru dan pegawai mesti sentiasa meningkatkan ilmu pengetahuan dan
kemahiran. Ini boleh dilakukan menerusi perbengkelan, kursus, PLC dan sebagainya.
Menerusi proses pembelajaran dan perkongsian ini, guru dan pegawai akan sentiasa
relevan pada ilmu pengetahuan dan kemahiran. Tugas yang dilaksanakan juga
bersifat beyond the mundane dan bukan bersifat business as usual. Tentu ini akan
memberikan kesan pada aspriasi JPN Melaka yang komited menjadi jenama kerajaan
nombor 1.

Menjadi guru dan pegawai jenama kerajaan nombor 1, budaya kerja hendaklah
menunjukkan budaya kerja yang bersifat bertenaga (energetic) dan tangkas (agile).
Kehadiran ke bilik darjah, sekolah, PPD dan JPN Melaka sebagai jenama kerajaan
nombor 1, bukan atas prinsip “datang kerja” tetapi “datang bekerja”. “Datang kerja”
hanya sekadar datang ke bilik darjah, datang ke sekolah, datang ke pejabat sama ada
di PPD dan JPN Melaka. “Datang kerja” itu lebih pada memenuhi arahan dan
peraturan. Sebaliknya, “datang bekerja” adalah datang bukan sekadar memenuhi
arahan tetapi datang guru dan pegawai itu ke bilik darjah, sekolah atau pejabat adalah
datang bersama-sama semangat dan roh guru yang tinggi. Pelbagai inisiaitif yang
strategik dilaksanakan bagi mencapai matlamat dan objektif serta visi kerja. Justeru
sistem penyampaian kerajaan dalam bidang pendidikan menjadi sistem yang
berkesan, khususnya dalam melahirkan insan terdidik dari segi akademik, kemahiran,
nilai, psikologi dan emosi.

Guru dan pegawai negeri Melaka sebagai jenama kerajaan nombor 1 yang
bergerak membawa pendidikan negeri Melaka mencapai visi Pendidikan Berkualiti,
Insan Terdidik, Negara Sejahtera akan sentiasa komited menjayakan program-
program strategik seperti Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT), Pendidikan Abad
Ke-21 (PAK 21), Dialog Prestasi, PLC, Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), SUMUR,
PAFA, HIP, DLP dan lain-lain. Guru dan pegawai tidak ketinggalan dalam inisiaitif
terkini yang dibawa oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Guru dan pegawai
memahami akan bidang tumpuan dalam sistem pendidikan yang dilaksanakan, iaitu
sembilan tahun untuk pertumbuhan kemenjadian murid. Selepas Sembilan tahun
murid-murid dibangunkan potensinya, barulah guru dan pegawai membawa murid-
murid memasuki fasa kedua, iaitu kecemerlangan. Fokus guru dan pegawai jelas dan
mantap terhadap pendidikan anak bangsa. Setiap orang anak murid itu dibangunkan
tanpa membiarkan berlakunya defisit pengetahuan, kemahiran, nilai, psikologi dan
emosi.

Wallahu’alam.

DR. MOHD AZAM BIN AHMAD
PENGARAH PENDIDIKAN
JABATAN PENDIDIKAN NEGERI MELAKA
15 MAC 2021
________________________________________________________________________

“Pendidikan Berkualiti, Insan Terdidik, Negara Sejahtera”
#jpnmelakajenamakerajaanno.1

2

TAKLIMAT PENGARAH PENDIDIKAN
BAGI

MENINGKATKAN PRESTASI DAN KUALITI KERJA

TAJUK: Tauhidid Warga Pendidikan Negeri Melaka- Satu Nasihat dan Rayuan
dalam Memartabatkan Pendidikan Berkualiti, Insan Terdidik, Negara Sejahtera

dan #jpnmelakajenamakerajaanno1

Michael Sutton (2010) mengatakan bahawa pekerjaan dan peranan kita sebagai
pemimpin, iaitu pemimpin sebuah jabatan, pemimpin sebuah pejabat, pemimpin sebuah
sekolah mahupun pemimpin sebuah bilik darjah adalah perlu melakukan perubahan pada
setiap hari. Perubahan itu bukanlah sesuatu yang dibawa dengan menunggu sehingga ia
sempurna. Sebaliknya, perubahan yang dilakukan itu adalah pengalaman yang berterusan.
Hal ini merupakan prinsip transformasi yang telah pun disebut oleh Nabi Muhammad SAW
seperti diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, iaitu:

Sesungguhnya orang yang paling berjaya ialah orang yang hari ini lebih
baik daripada semalam dan orang yang gagal adalah orang yang hari ini
lebih teruk daripada semalam, manakala orang yang terpedaya adalah
orang yang hari ini sama dengan hari semalam. (Nik Hasnah Ismail, 2017)

Sehubungan dengan ini, bagi memastikan pendidikan negeri Melaka mencapai visi
Pendidikan Berkualiti, Insan Terdidik, Negara Sejahtera dan menjadikan pendidikan
negeri Melaka sebagai jenama kerajaan nombor 1, warga pendidikan negeri Melaka
hendaklah mempunyai kepercayaan yang betul terhadap jawatan yang disandang, iaitu
sebagai guru atau cikgu. Menerusi kepercayaan yang betul, warga pendidikan negeri Melaka
dapat melakukan anjakan minda dan anjakan sikap bagi melakukan transformasi dengan
tindakan yang bukan bersifat business as usual.

Warga pendidikan negeri Melaka harus sedar bahawa dahulunya kita ditawarkan
jawatan guru atau cikgu. Kita yang berkuasa untuk menerima atau menolak tawaran tersebut.
Apabila kita menerima tawaran jawatan guru atau cikgu sama ada untuk berkhidmat di
sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri Melaka (JPNM),
kta perlu sedar bahawa jawatan yang kita terima itu bukan untuk meraih kekayaan dan harta
benda. Dalam bahasa yang mudah, jika ingin kaya bukanlah dengan menjadi guru atau cikgu.
Sebaliknya, jawatan guru atau cikgu ini merupakan amanah yang besar, iaitu melahirkan
generasi masa hadapan yang berkualiti yang bersatu padu bagi membina negara bangsa
yang sejahtera. Amanah ini dapat dilakukan andai fokus diberikan dengan sepenuh jiwa dan
raga terhadap peranan masing-masing sama ada di bilik darjah, PPD dan JPNM.

Apabila disebutkan jiwa dan raga, tentunya ia berkait rapat dengan hati dan bukan wang
ringgit dan harta benda. Dengan itu, amanah yang ada mesti difahami dan dihayati agar dapat
dilaksanakan dengan sempurna kerana pegangan kukuh kita terhadap kepercayaan yang
betul, iaitu:

Tunaikan amanah kepada sesiapa yang mengamanahkan kepada kamu
dan jangan kamu khianati sesiapa yang mengkhianati kamu. (HR:
Ahmad-15424, Ath Tirmidzi- 1264 dan Abu Daud-3534)

Kerajaan telah memberikan segala keistimewaan dari segi gaji, elaun rumah, elaun bil telefon,
elaun keraian, elaun perumahan dan sebagainya kepada warga pendidikan dalam
melaksanakan amanah membina generasi masa hadapan dan negara bangsa. Justeru tidak
wajar warga pendidikan negeri Melaka menodai amanah yang diberikan, apatah lagi
memberikan fokus kepada aktiviti lain bagi meraih kekayaan. Untuk itu, warga pendidikan
negeri Melaka hendaklah mempunyai kepercayaan yang betul tentang kekayaan, iaitu:

1

Kaya bukan diukur dengan banyaknya harta (kemewahan dunia). Namun
kaya adalah hati (yang selalu merasa cukup). (HR: Bukhari : 6448 dan
Muslim : 1051)

Berpegang teguh pada amanah yang diberikan oleh kerajaan, jelas ia harmoni dengan
hati. Amanah itu menuntut untuk dilaksanakan dengan jujur dan ikhlas. Andai hati itu jujur dan
ikhlas dalam menunaikan amanah, tentunya hati akan tenang, fikiran akan tenteram dan hidup
akan bahagia. Semua ini tidak dapat dibeli dengan wang ringgit dan ditukar ganti dengan
harta. Oleh itu, andai fokus telah lari untuk mencari kekayaan dengan menodai amanah besar
ini, eloklah kepercayaan benar, iaitu biarlah tak kaya janji amanah dijadikan pegangan.
Justeru warga pendidikan negeri Melaka harus fokus pada amanah mendidik generasi masa
hadapan dengan memberikan pendidikan berkualiti, memastikan anak didik menjadi insan
terdidik dan bersama-sama berusaha membina negara bangsa yang sejahtera dan
khususnya bagi negeri Melaka pula adalah diharapkan warga pendidikan negeri Melaka
menjadikan sistem pendidikan di negeri Melaka ini yang berupaya menghasilkan natijah untuk
menjadikan Melakaku Maju Jaya, Rakyat Bahagia, Menggamit Dunia.

Marilah kita lihat wajah-wajah anak didik yang sempat hadir ke sekolah atau kita cuma
mampu bayangkan wajah-wajah anak didik yang hanya berkesempatan belajar secara atas
talian atau pembelajaran dan pemudahcaraan di rumah (PdPr). Hati kita mestilah ada rasa
seni, iaitu kita hendaklah terasa sayu kerana rindu akan mereka yang sesi persekolahan
terhalang oleh pandemik Covid 19. Hati kita juga hendaklah terasa sebak dan menyesakkan
dada kerana yang sempat berada dalam bilik darjah terkejar-kejar menghitung hari sebelum
tibanya peperiksaan. Malah, hari-hari yang dilalui itu penuh ancaman virus Covid 19.
Hakikatnya, wajah-wajah anak didik itu adalah wajah kita. Mereka hanya berbinkan dan
berbintikan bukan nama kita tetapi mereka adalah anak-anak kita. Anak-anak ini yang kita
akan sandarkan harapan agama, bangsa dan negara apabila mereka dewasa kelak.
Sewajarnya, warga pendidikan negeri Melaka hendaklah melihat anak-anak didik dengan
penuh kasih sayang. Sesungguhnya, mereka masih lemah dan perlukan sokongan dan
bimbingan tanpa berbelah bahagi daripada warga pendidikan negeri Melaka. Ingatlah
bahawa:

Kamu hanyalah mendapat pertolongan dan rezeki dengan sebab adanya
orang-orang lemah dalam kalangan kamu. (HR: Bukhari : 2896)

Siapakah orang lemah dalam kalangan warga pendidikan negeri Melaka? Kalau bukan
anak-anak didik kita. Mereka lemah psikologi, lemah emosi, lemah nilai, lemah kemahiran dan
lemah ilmu pengetahuan. Sedarlah bahawa kerana mereka semua, kita diberikan rezeki
dengan gaji dan elaun walaupun hanya melaksanakan PdPr.

Insaflah wahai warga pendidikan negeri Melaka bahawa orang lain dalam situasi
pandemik Covid 19 ini telah kehilangan pekerjaan dan tergugat pendapatan. Kita warga
pendidikan negeri Melaka tetap menikmati gaji dan elaun sepenuhnya hanya melaksanakan
PdPr yang kita sendiri boleh nilai untuk dibandingkan dengan apa-apa yang kita perolehi pada
setiap hujung bulan. Mari kita insafi dan bermuhasabah, iaitu barisan hadapan di hospital pun
menerima gaji dan elaun yang penuh seperti apa-apa yang kita dapat. Bagaimanapun,
mereka bekerja siang dan malam dan adakalanya dapat pulang untuk mendakap suami atau
isteri dan tidak dapat mencium pipi gebu anak-anak. Semua itu dilakukan demi negara dan
negeri tercinta ini. Begitu juga ada kalangan pekerja syarikat swasta yang kehilangan
pekerjaan. Oleh itu, warga pendidikan negeri Melaka untuk pasangkan tekad, iaitu kalau
hendak seribu daya, kalau tak hendak seribu dalih. Kita berikan pengorbanan yang kecil
ini untuk pendidikan anak-anak didik kita sebelum kita bercakap tentang pengorbanan yang
lebih besar.

Marilah kita bersyukur dengan menzahirkan semangat, komitmen dan iltizam yang tinggi
bagi memberikan sokongan dan bimbingan terbaik untuk anak-anak didik. Semoga kebaikan
yang diberikan oleh kerajaan kepada warga pendidikan, khususnya warga pendidikan negeri
Melaka, kita balas dengan kualiti kerja yang cemerlang sebagai tanda bersyukur kita kepada

2

Allah SWT. Ia juga tanda kita bersyukur kepada anak-anak didik yang sudi bersekolah,
lantaran itu kita masih dapat pekerjaan. Inilah kepercayaan yang menjadi pegangan kita
bahawa:

Yang paling pandai bersyukur kepada Allah SWT adalah orang yang
paling pandai bersyukur kepada manusia. (HR: Ath Tabrani)

Janganlah kita jadikan cabaran yang ada seperti pandemik Covid 19 atau cabaran yang
lain untuk kita menjadi lemah dan longlai. Sebaliknya, setiap cabaran yang ada itu kita jadikan
pembakar semangat untuk bekerja dengan penuh bertenaga, tangkas, kreatif dan strategik
walaupun kita kini dalam situasi VUCA World. Andai kita jadikan cabaran yang ada untuk
melaksanakan peranan secara santai, takut-takut kita mengkhianati anak-anak didik kerana:

Orang yang mencari penghidupan itu adalah kawan Tuhan (Allah SWT)
(HR: al Bukhari )

Siapakah yang sedang mencari penghidupan dalam kalangan kita? Tentunya yang
sedang mencari penghidupan dalam kalangan kita adalah anak-anak didik kita. Mereka
berhadapan dengan situasi tidak menentu untuk ke sekolah, mereka masih kabur dengan
perjalanan hidup yang masih jauh untuk membina kehidupan. Kehidupan mereka amat
kompleks dengan pelbagai cabaran dan dugaan. Justeru, bolehkah kita berkata kita ikhlas
dalam bekerja andai anak didik ini tidak “menjadi” pada tangan kita angkara kita tidak
bertenaga, tidak tangkas, tidak kreatif dan tidak strategik melaksanakan amanah membina
generasi masa hadapan ini? Ayuh …, wahai warga pendidikan negeri Melaka sama ada yang
ada di sekolah, PPD dan JPN Melaka, kita mesti menang untuk terus bersemangat
membangunkan dan mendidik anak-anak didik bagi memastikan mereka menjadi insan
terdidik bagi sebuah negara dan negeri yang sejahtera menerusi pendidikan berkualiti.

Ya…, saya sebagai Pengarah Pendidikan JPN Melaka amat yakin bahawa amanah
besar untuk agama, bangsa dan negara yang ada di atas pundak ini dapat dilaksanakan
kerana saya ada cikgu-cikgu sekalian. Jom …, kita lakukan anjakan minda dan anjakan sikap
untuk aspirasi ini kerana warga pendidikan negeri Melaka merupakan guru atau cikgu jenama
kerajaan nombor 1. Sekolah-sekolah negeri Melaka adalah jenama kerajaan nombor 1. PPD
dan JPNM adalah agensi jenama kerajaan nombor 1. Meh …, warga pendidikan negeri
Melaka, kita sederap dalam langkah tersusun, bertenaga dan penuh strategik untuk kita
berikan seluruh jiwa dan raga kepada pendidikan negeri Melaka ini dengan bekerja kuat
kerana:

Seseorang bekerja keras, ia akan diampuni Allah SWT”. (HR: Tabrani dan
Bukhari)

Wallahu’alam.

DR. MOHD AZAM BIN AHMAD
PENGARAH PENDIDIKAN
JABATAN PENDIDIKAN NEGERI MELAKA
30 Januari 2021
________________________________________________________________________

“Pendidikan Berkualiti, Insan Terdidik, Negara Sejahtera”
#jpnmelakajenamakerajaanno1

3


Click to View FlipBook Version