1 Anugerah Terindah Sebentar lagi Doktor Adilah akan menyerahkan keputusan IVF (In-Vitro Fertilization) buat kali ketiga. Penantian yang sungguh menyeksakan dan Ikram, suami Insyirah yang menemaninya di Klinik Obstectric and Ginekology (O&G), Hospital HUKM beberapa kali menoleh ke arah Insyirah seolah-olah tidak sabar menunggu keputusan itu. Kali ini sudah masuk kali ketiga Insyirah menjalani ujian IVF ini. Pemeriksaan demi pemeriksaan telah dibuat dan Insyirah mematuhi prosedur itu dengan baik. Kali ini Insyirah tidak mahu gagal lagi. Sudah berpuluh-puluh ribu ringgit duit melayang untuk membuat IVF ini. “ Maaf puan, percubaan puan kali ini tidak berjaya. Kita sudah berusaha sedaya upaya dan perancangan kita tidak selalunya diizinkan Allah. Ada hikmah di sebaliknya. Allah ingin memberikan yang terbaik kepada puan. Bersabarlah puan ya”, pujuk Doktor Adilah dengan suara yang lembut seolah-olah mengerti perasaan Insyirah yang kecewa dengan keputusan itu. Insyirah merenung wajah Ikram mencari pengertian agar Ikram memahami keadaannya. Tetapi Ikram tidak semudah itu untuk memahami keadaan dirinya. Terasa kekurangan pada diri Insyirah tidak dapat melahirkan zuriat buat suami yang tersayang. “ Kan aku dah cakap engkau tak mahu dengar. Engkau tu tak boleh beranak, senang kata engkau tu mandul!!. Engkau dah keluarkan duit simpanan banyak-banyak pun dah tak ada faedahnya. Buang duit dan masa sahaja. Kalau menjadi tak apalah juga”, bebelan Ikram memanjang sampai ke rumah. Insyirah mendiamkan diri, membatu tanpa mempedulikan Ikram dia masuk ke bilik dan menangis sepuas-puasnya. Insyirah pasrah dan redha. Mungkin kali ini bukan
2 rezekinya untuk mendapatkan anak melalui ujian IVF itu. Senang-senang sahaja Ikram melemparkan tuduhan yang tidak berasas itu. Doktor tidak pernah mengatakan dia tidak boleh mengandung. Ujian kesuburan dan diagnosis menunjukkan rahimnya tidak mempunyai apa-apa masalah untuk mengandung. Ikram juga ada bersamasama ketika dia dan Ikram membuat ujian kesuburan. Cuma rezeki tidak menyebelahi mereka. Ikram sudah lupa semua itu tatkala kemarahannya menyinga dan meletakkan semua kesalahan di atas bahu Insyirah. Tuduhan demi tuduhan terpaksa dia hadapi sepanjang sepuluh tahun berkahwin dengan Ikram. Ikram sekarang jarang mahu bermesra dan menemankan dia ke mana sahaja dia pergi. Dulu di awal-awal perkahwinan mereka seperti belangkas sentiasa berdua ke mana sahaja. Kalau ada peluang cuti mereka memilih tempat-tempat yang menarik untuk berbulan madu bersama dan membuat perancangan untuk kebahagiaan rumahtangga mereka. Namun sejak akhir-akhir ini, kebanyakan masa Ikram banyak dihabiskan di luar rumah melepak bersama kawankawannya. Rumah mereka sunyi tanpa hilaian tawa anak-anak. Insyirah cemburu melihat suami jiran sebelah yang baik dan ringan tulang membantu melayan kerenah isteri dan anak-anak. Ikram jarang membantu melakukan kerja-kerja rumah. Semuanya diserahkan sepenuhnya kepada Insyirah. Insyirah cuba memujuk hati agar tidak mudah berburuk sangka dengan Ikram. Biarlah Ikram menyibukkan diri dengan minatnya dalam bidang perniagaan daripada dia berada di rumah yang akhirnya perbualan menjadi satu pertengkaran dan mempersoalkan kelemahan masingmasing. Biasanya setiap kali pertengkaran, Insyirah akan menangis dan menjeruk rasa bersendirian di dalam bilik. Ikram akan keluar dari rumah dan balik pada jauh malam tanpa mempedulikan sekelumit pun perasaannya.
3 Begitu juga, apabila balik ke kampung pada hari raya, cuak sekali Insyirah ingin berjumpa dengan ibu mertuanya. Sindiran yang tajam pasti akan keluar daripada mulut ibu mertuanya setiap kali mereka bersua muka. Dia banyak mendiamkan diri dan hanya tersenyum setiap kali bait-bait kata berapi keluar daripada mulut ipar duai dan ibu mertuanya. Meruntun hati Insyirah tiada siapa yang mahu bersimpati. Sudah nasib dirinya tiada tempat dia boleh mengadu. Insyirah beristighfar di dalam hati. Allah hanya menguji dirinya dengan tidak dikurniakan anak sahaja tetapi mengurniakan nikmat yang banyak. Kenapa dia mula mahu merungut dengan takdir yang tertulis pada dirinya. Ramai lagi insan yang tidak bernasib baik berbanding dirinya. Biarlah dia melihat rumput di bumi sebelum mendongak kepalanya ke langit biru. Memang indah melihat awan berarak tenang di langit biru secerah petang hari yang tiada mendungnya di tengahari. Tetapi tiada siapa sangka yang awan berarak mungkin akan mendung dan hujan jua di petang hari. Insyirah memujuk Ikram untuk mengambil anak angkat lelaki. Kakak memaklumkan kepadanya ada seorang remaja perempuan belasan tahun ingin menyerahkan anak lelaki kepadanya. Itupun dia dapat tahu daripada rakan setugasnya yang mengajar di sekolah. Wanita itu telah berkahwin tetapi suaminya seorang penagih dadah yang tegar. Suami perempuan masih berada di pusat serenti. Insyirah cuba memujuk Ikram supaya bersetuju mengambil bayi itu sebagai anak angkat tetapi dilarang keras oleh Ikram. Ikram tetap dengan pendiriannya untuk mendapat zuriat sendiri dan tidak akan sekali-kali mengambil anak angkat. “ Buat apa susah-susah bela anak orang, anak yang tidak tahu entah dari mana, siapa mak bapak dia pun kita tak tahu lepas tu senang-senang nak dapatkan harta kita. Kita susah-susah cari harta lepas tu bagi kat orang yang bukan keturunan kita. Tak naklah saya, kalau awak nak, awak tanggung sendiri jangan babitkan saya!!”, herdik Ikram,
4 marahnya menyinga kepada Insyirah. Puas sudah Insyirah memujuk suaminya. Bermacam-macam cara Insyirah buat untuk mengambil hati Ikram agar bersetuju dengan keputusannya mengambil anak angkat yang disebut-sebut oleh kakaknya. Namun, akhirnya Ikram mengalah tetapi meletakkan beberapa syarat untuk Insyirah. Pertama, Ikram tidak mengizinkan mengambil anak angkat kecuali daripada anak yang sah taraf. Kedua, anak itu tidak akan mewarisi hartanya apabila dia meninggal dan yang ketiga, perbelanjaan untuk membesarkan bayi itu akan ditanggung sendiri oleh Insyirah. Ikram tidak mahu masuk campur apa-apa hal yang berkaitan dengan bayi tersebut. Sedih hati Insyirah mengenangkan sikap Ikram. Insyirah kepingan untuk menatang bayi, mendukung dan mengusapnya. Biarlah anak sesiapapun asalkan dia dapat memiliki bayi itu yang dapat dia peluk dan usap setiap hari. Niatnya hanya satu, memberikan kasih sayang yang sepenuhnya dan membesarkan bayi itu dengan didikan agama yang baik. Apapun yang Insyirah buat kerana Allah bukan kerana suaminya atau sesiapapun. Tidak ada orang yang memaksa dia mengambil bayi itu. Semuanya adalah datang daripada hatinya yang ikhlas. Ikram mengajak Insyirah balik ke kampung halamannya kerana adik bongsu Ikram akan melangsungkan perkahwinan dan kebetulan pula Insyirah ingin pulang ke rumah kakaknya setelah menyelesaikan urusan suaminya. Dia sudah berjanji dengan kakaknya untuk mengambil seorang bayi lelaki yang berusia seminggu daripada pangkuan ibunya. Kakaknya bermurah hati membantu menguruskan pendaftaran dan segala dokumen yang berkaitan untuk mendapatkan bayi tersebut secara sah di sisi undang-undang. Malam itu, secara diam-diam Ikram memaklumkan kepada ibunya tentang hasrat Insyirah untuk mengambil anak angkat.
5 “ Anak angkat? tak pernah ada dalam keluarga kita mengambil anak angkat. Keluarga kita ini tak ada sorang pun yang mandul. Nasib kaulah Ikram kahwin dengan perempuan yang mandul. Kalau ikutkan hati Mak, engkau kahwin dengan perempuan lain, lagi senang tak payah dok pening-pening macam ni”, tutur Ibu Ikram penuh emosi. Ikram terkejut dengan reaksi Ibunya dan Ikram tidak menyangka ibunya akan memberi cadangan seperti itu untuk menyelesaikan masalah yang dihadapinya. “ Mak, Insyirah adalah cinta hati saya dan dia telah banyak berkorban untuk saya. Kami tidak ada masalah untuk memiliki anak. Cuma rezeki dan masanya belum sampai lagi. Saya sangat sayangkan Insyirah.”, luah Ikram cuba mempertahankan Insyirah. “Ikut suka hati lah Ikram. Ibu tak nampak apa-apa kelebihan pada perempuan itu. Tengoklah apa yang dah jadi sekarang sampai sekarang pun tak dapat-dapat zuriat sendiri. Padan dengan muka. Tergila-gilakan sangat dengan perempuan tu !! ”, ibu Ikram membebel dan Ikram tunduk diam membisu. Malas dia hendak menjawab kata ibunya dan dia tidak mahu memburukkan lagi keadaan. Insyirah yang mendengar perbualan antara suami dan ibu mertuanya dari dalam bilik menangis tersedu-sedan. Puas sudah dia menahan air mata yang mengalir dan entah ke berapa kali dia menangis. Rasanya dia ingin lari daripada penderitaan ini. Tak tertanggung rasanya menahan gelora di jiwa yang kian pedih. Tiada siapa yang memahami isi hatinya. Bukan atas kehendaknya semua ini terjadi. Tiada pasangan yang berkahwin yang tidak berhasrat memiliki anak kandung sendiri tetapi apakan daya semuanya berlaku adalah dengan kehendak Ilahi. Insyirah memujuk diri supaya tidak mudah tersentuh dengan kata-kata Ibu mertuanya. Baik atau buruk ibu mertuanya, dia tetap ibu Ikram. Biarlah dia makan hati dengan perlakuan ibu Ikram dan dia sudah lama memaafkan ibu mertuanya. Bukan salah ibu mertuanya juga tetapi keadaan memaksanya membenci Insyirah. Setiap kali pulang ke kampung pasti Insyirah akan diperlinya
6 seolah-olah semua yang dilakukan Insyirah serba tak kena. Tetapi Insyirah sentiasa bersabar dan tidak melawan cakap ibu mertuanya. Dia cuba menahan sabar dan memandang positif dengan setiap apa yang berlaku ke atas dirinya. Dia memujuk Ikram untuk menghantarnya pulang ke kampung halamannya di Kota Bharu, Kelantan setelah habis majlis kenduri adik Ikram. Mujurlah Ikram bersetuju lagipun Insyirah mendapat keizinan daripada ketua jabatannya dan diluluskan permohonan cutinya selama seminggu. Sudah lama dia tidak pulang ke kampung. Setibanya di rumah kakak pada pukul 10.00 malam....Tuk-Tuk…. Pintu diketuk dan salam diberikan kepada tuan rumah. ”Waalaikumussalam..dah sampai pun mama kamu,” kakak menjemput Insyirah dan Ikram masuk ke dalam rumah sambil memangku bayi lelaki dalam pangkuannya. Selepas bersalaman dengan kakak, bayi itu dirangkul Insyirah penuh kasih dan ciuman bertalu-talu hinggap di pipi comel bayi tersebut. “ Kakak dah siapkan bilik tetamu untuk kamu berdua. Tidurlah dulu tentu penat seharian memandu jauh . Tak apa malam ini kakak jagakan bayi ni. Namanya akak cadang nanti esok Syirah pilihkan namanya yang baik-baik ya “, pesan kakak sambil tersenyum memandang Insyirah yang begitu gembira dapat menatang bayi comel itu. Insyirah mengangguk lesu tetapi matanya masih lagi tidak lekang daripada menatap wajah bayi tersebut. Gembira hatinya bukan kepalang. Terbayang –bayang kehidupannya yang indah bersama bayi lelaki tersebut. Semoga bayi ini akan menjadi penyeri hidup rumahtangga mereka berdua nanti dan terubatlah kesunyian dalam kamar hidupnya. Ikram juga buat pertama kalinya teruja mendukung bayi itu tetapi dia berlagak seperti tiada apa yang terjadi dan pura-pura mengantuk. Ikram terus meluru
7 masuk ke bilik tidur meninggalkannya sendirian di ruang tamu bersama dengan bayi itu. Insyirah mendukung dan memeluk bayi tersebut dengan erat. Terasa tidak mahu dilepaskannya. Dia tersenyum puas melihat bayi itu tidur nyenyak di pangkuannya. Insyirah menatap wajah comel bayi itu. Insyirah merasa simpati dan kasihan. Insyirah yakin ibunya tidak akan mudah memberikannya kepada orang lain seandainya ibu kandung bayi tersebut mampu memelihara dan membesarkannya dengan cukup sempurna dan mendapat sokongan yang kuat daripada keluarga. Tiba-tiba air mata Insyirah jatuh berderaian membasahi pipinya. Insyirah berjanji akan memelihara ‘amanah’ itu dengan baik dan tidak akan sekali-kali mempersiakannya. Insyirah hanya ingin menumpahkan kasih dan membesarkannya dengan didikan agama yang baik. Insyirah bersyukur sekurang-kurangnya dia tidak lagi kesepian dan bayi tersebut dapat menemankannya melalui kehidupan yang penuh dengan keceriaan dan kebahagiaan. Itulah harapan yang disandarkan agar rumahtangganya ceria dengan kehadiran bayi yang ditunggu-tunggu selama ini. Segala keresahan, kesuraman dan kesunyian yang mewarnai hidupnya tidak lagi menjadi igauan ngeri hanya mimpi indah bersulamkan senyuman yang melakari seluruh kehidupannya. Ikram sudah memberi keizinan dan Insyirah berharap lama kelamaan Ikram dapat menerima dan menatang bayi tersebut dengan penuh kasih sayang. Kasih sayang bertamu di hati menghilangkan resah di jiwa Insyirah yang kian lara kini kembali ceria secerah sinar mentari di pagi hari. Insyirah bangkit lebih awal daripada tidur. Insyirah mengerling matanya ke arah Ikram di sebelah yang masih lagi nyenyak tidur. Selepas solat subuh dan membaca al-Quran, Insyirah bingkas bangun dan mengetuk pintu bilik kakaknya. Teruja dia ingin menatang bayi itu lagi. Tak puas rasanya semalam sekejap sahaja dia merangkul bayi itu dipangkuannya. Kebetulan kakak baru sahaja selesai solat subuh berjamaah
8 bersama abang iparnya. Mereka berdua saling memandang ke arah Insyirah lalu tersenyum. Seperti memahami kehendak Insyirah, kakak Insyirah terus mendapatkan bayi tersebut yang berada dalam buaian lalu diserahkan kepada Insyirah. Bayi lelaki itu sedang nyenyak tidur dan tidak merengek pun apabila diangkat. Bayi itu dikucup dan ditatapnya penuh kasih sayang. Wajah mulus bayi itu amat menenangkan hati dan menggamit sayang Insyirah padanya. Hati Insyirah amat tersentuh apabila bayi itu mula membuka mata dan memandang tepat mata Insyirah. Naluri keibuannya mula hadir menyentuh kalbu. Dicium pipi bayi itu bertalu-talu tanda sayang yang teramat. Pagi itu, usai dia mendodoikan bayi yang belum diberi nama itu, dia meletakkan bayi itu yang masih lagi nyenyak tidur di dalam biliknya. Ikram baru selesai menunaikan solat subuh. Insyirah meluru ke dapur menyiapkan sarapan pagi untuk keluarga mereka. Kakak, abang ipar dan anak-anak saudaranya sudah mula bersiap untuk ke pejabat dan sekolah. Insyirah menyiapkan hidangan sarapan pagi yang ringkas. Nasi goreng kampung, roti bakar dan air teh sebagai hidangan pagi mereka. Usai bersarapan, kakaknya berpesan supaya anak angkatnya itu dimandikan dengan air mandian herba cina kerana jaundisnya masih tinggi. Selepas menyelesaikan urusan pendaftaran di Jabatan Pendaftaran Negeri (JPN) Kota Bharu dan mendaftarkan nama bayi tersebut, Insyirah segera kembali ke rumah kakaknya. Insyirah bersiap-siap untuk pulang ke Kuala Lumpur memulakan tugasnya. Setibanya di rumah kakak, kelihatan Ikram duduk di beranda rumah sedang mendukung bayi itu dan mengagahnya. Terserlah sifat kebapaan suaminya dan rasa kasih antara keduanya. Senang hati Insyirah melihat suaminya dapat menerima kehadiran bayi itu dalam hidup mereka. Insyirah merasa lega dan gembira dengan perubahan sikap Ikram. Harapan Insyirah semoga Ikram dapat menerima segalanya atas suratan takdir untuk mereka. Ikram mengucup tangannya lalu tersenyum “abang
9 minta maaf selama ini abang tidak pernah menghargai kasih sayang Insyirah. Kita mulakan hidup baharu ya, sayang”, kata-kata Ikram amat menyentuh hatinya. Gembira hati suaminya bermakna bahagialah Insyirah. Insyirah merasa bersyukur Ikram sudah mula berubah. Doa Insyirah semoga tautan hati mereka suami isteri bersemi selamanya…