The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.

MAISARAH BINTI ISMAIL, F12
TEORI JEAN PIAGET

Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by BM9-0620 Maisarah Binti Ismail, 2020-11-03 23:10:22

PENULISAN AKADEMIK EDUP3023

MAISARAH BINTI ISMAIL, F12
TEORI JEAN PIAGET

05

Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu
59990 Lembah Pantai, Kuala Lumpur.

Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan
(Ambilan Jun 2020)

PERKEMBANGAN KANAK-KANAK
(EDUP3023)

Disediakan oleh:

Nama: MAISARAH BINTI ISMAIL
010509-02-0928
No. Kad Pengenalan: 2020192340220
Angka Giliran: F12
Kumpulan/ Unit
TN HJ. OMAR BIN CHEK MAN
Nama Pensyarah:
PENULISAN AKADEMIK
Tajuk Tugasan Projek: 4 NOVEMBER 2020

Tarikh Penyerahan:
Tarikh Menerima Maklum

Balas Daripada
Pensyarah

KANDUNGAN

Penghargaan M/S
Pengenalan i
Apa itu Teori Piaget 1
1
Kepentingan guru menguasai peringkat perkembangan kanak-kanak 1
(Teori Jean Piaget)
5
Kesimpulan 6
Rujukan

PENGHARGAAN

Syukur Alhamdulillah dan setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan
kehadrat ilahi kerana dengan izin kurnia-Nya kami dapat menyempurnakan
tugasan bagi kod kursus Perkembangan Kanak-kanak (EDUP3023) ini
dengan jayanya.
Dengan kesempatan yang ada ini kami amat berbesar hati untuk
menghadiahkan jutaan terima kasih kepada Tn Hj. Omar bin Chek Man selaku
pensyarah kursus ini kerana telah meletakkan sepenuh kepercayaan beliau
kepada kami untuk melunaskan tugasan yang diberikan.
Kami juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang
tidak putus-putus dalam usaha membantu menyempurnakan tugasan ini
terutamanya kepada pensyarah kami, Tn Hj. Omar bin Chek Man atas budi
bicara beliau dalam memberi tunjuk ajar sepanjang masa tugasan ini
dijalankan. Selain itu, kami turut berterima kasih kepada rakan-rakan
seperjuangan kami kerana telah banyak menghulurkan bantuan dan
kerjasama bagi merealisasikan usaha menyempurnakan tugasan ini dengan
jayanya.
Sekian, terima kasih.

i

Pengenalan
Guru merupakan seorang insan yang berperanan untuk menyampaikan ilmu. Di
sekolah, guru memikul tanggungjawab yang besar, bukan sahaja mengajarkan ilmu
akademik, bahkan mengasuh murid-murid dari segi akhlak, rohani, emosi dan
jasmani berteraskan prinsip yang digariskan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Guru mestilah mempunyai kemahiran-kemahiran tertentu agar dapat mengenali
murid dengan lebih baik. Salah satu kemahiran yang wajar dikuasai oleh guru dapat
dilihat menerusi Teori Kognitif Jean Piaget. Teori ini menekankan tentang aspek
pemikiran kanak-kanak yang berbeza mengikut fasa-fasa tertentu dan ia juga mampu
membantu guru sepanjang proses pembelajaran berlangsung.

Apa itu Teori Piaget?
Teori Piaget yang telah diasaskan oleh seorang ahli psikologi kanak-kanak dari
Switzerland, Jean Piaget menerangkan tentang perkembangan kognitif yang dialami
oleh manusia. Perkembangan ini dapat dilihat menerusi perubahan tingkah laku,
percakapan dan pengurusan emosi manusia. Menerusi kajian Piaget, beliau
menyimpulkan terdapat 4 peringkat perkembangan kognitif yang berbeza bagi
kanak-kanak (Fatimah Ibda, 2015). Dalam konteks pengajaran dan pembelajaran
(PdP), teori pembelajaran kognitif merupakan salah satu teori yang terkenal dalam
kalangan guru untuk mengenal pasti tahap perkembangan murid-murid di sekolah
rendah juga sekolah menengah. Teori ini juga memberikan pelbagai faedah kepada
guru semasa menjalankan proses PdP.

Kepentingan guru menguasai peringkat perkembangan kanak-kanak (Teori
Jean Piaget)
Terdapat pelbagai kepentingan bagi guru menguasai peringkat perkembangan
kanak-kanak menerusi Teori Kognitif Jean Piaget. Antaranya ialah;

Guru dapat merancang PdP dengan baik
Apabila guru mampu menguasai kemahiran ini, ia akan membantu guru merancang
aktiviti pembelajaran dengan baik. Jean Piaget telah menyatakan bahawa terdapat 4
tahap pemikiran bagi kanak-kanak. Peringkat-peringkat itu ialah;

i. Peringkat Sensorimotor (dari usia kelahiran hingga 2 tahun)
ii. Peringkat Pra-Operasi (melibatkan kanak-kanak berusia 2 hingga 7 tahun)
iii. Peringkat Operasi Konkrit (melibatkan kanak-kanak berusia 7 hingga 11 tahun)

1

iv. Peringkat Operasi Formal (melibatkan kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke
atas)

Pengetahuan guru mengenai peringkat-peringkat perkembangan ini dapat membantu
mereka mengajar murid-murid dengan lebih berkesan. Dengan cara ini, murid-murid
akan berasa lebih selesa dan mudah menyerap ilmu yang disampaikan oleh gurunya.
Kefahaman murid-murid dapat dicapai pada tahap maksimum melalui kaedah
pengajaran yang bersesuaian dengan tahap perkembangan kognitif mereka.
Misalnya, pada peringkat Operasi Formal yang melibatkan kanak-kanak dalam
lingkungan usia 12 tahun dan ke atas, guru boleh memperbanyak aktiviti yang
menjurus ke arah menyatakan idea dan pendapat mereka tentang sesuatu topik yang
dipelajari. Hal ini kerana, pada tahap ini naluri dan jiwa remaja serta perubahan
hormon dalam diri murid-murid membuatkan mereka seringkali memberontak dan
inginkan perhatian. Jadi, guru boleh membimbing mereka dengan mengajukan
soalan berbentuk Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT). Menurut Abdul Halim
Abdullah (2015), soalan KBAT mula ditekankan dalam sistem pembelajaran di
Malaysia kerana kemerosotan pelajar Malaysia dalam pentaksiran antarabangsa iaitu
Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) & Programme for
International Students Assessment (PISA). Jadi, guru boleh memperbanyak soalan
berbentuk KBAT serta mengadakan aktiviti pembentangan berkumpulan dengan
menjawab soalan yang berkisar dengan topik yang dipelajari.

Aktiviti sebegini bukan sahaja mampu meningkatkan daya kognitif mereka,
bahkan mengasah bakat berbahasa dan menyemai keyakinan dalam diri murid-murid
semasa bertutur di hadapan khalayak ramai. Soalan KBAT berbentuk ramalan dan
berkait dengan kehidupan dilihat lebih relevan terhadap murid-murid. Contohnya
soalan seperti ‘ramalkan keadaan sebenar botol plastik itu setelah air panas
dituangkan ke dalamnya’. Pada peringkat Operasi Formal ini, murid-murid dapat
berfikir dengan mendalam tentang kesan yang berlaku misalnya dalam ekperimen
Sains di sekolah dan mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian. Maka di sini,
jelaslah bahawa pengetahuan guru tentang peringkat perkembangan kognitif
kanak-kanak dapat membantu untuk merancang aktiviti PdP dengan lebih baik.

Guru dapat mengenal pasti masalah murid-murid
Penguasaan guru mengenai perkembangan kanak-kanak bukan sahaja membantu
guru merancang aktiviti PdP, malah ia membantu guru mengenal pasti masalah serta
kecenderungan murid-murid. Selain daripada 4 peringkat perkembangan

2

kanak-kanak dalam Teori Jean Piaget, guru juga perlu cakna mengenai 9
Kecerdasan Pelbagai yang mungkin ada pada diri murid-murid. Sembilan
Kecerdasan Pelbagai yang telah dinyatakan oleh Howard Gardner ini ialah;

i. Logik-matematik
ii. Muzik
iii. Naturalis
iv. Intrapersonal
v. Interpersonal
vi. Linguistik
vii. Eksistensial
viii. Kinestetik
ix. Visual-ruang

Kecerdasan pelbagai ini amat penting untuk diketahui oleh guru agar boleh mengenal
pasti kelebihan dan kekurangan dalam diri murid-muridnya. Ikhsan Othman dan
Rohizani Yaakub (2010) berpendapat perkembangan kecerdasan minda murid perlu
diberi penegasan dalam pendidikan supaya mereka dapat mengadaptasikan diri serta
lebih bersedia menghadapi masa hadapan. Misalnya, ada murid yang sukar
memahami subjek yang melibatkan pengiraan seperti Matematik, namun dia
mempunyai kelebihan dalam subjek kebahasaan iaitu kelebihan dalam linguistik, iaitu
salah satu daripada sembilan kecerdasan pelbagai. Dengan cara ini, guru dapat
membantu murid menambah baik kelebihan pada dirinya dan membaiki kelemahan
yang telah dikesan.

Berdasarkan kelebihan dan kelemahan murid yang telah dinyatakan tadi, guru
dapat mengambil langkah penambahbaikan dengan cara mendekati murid tersebut
dan bertanyakan masalah dan pandangannya mengenai subjek yang kurang
difahaminya iaitu Matematik. Seterusnya, guru juga boleh mengadakan kelas
tambahan dengan murid tersebut dan memberikan fokus penuh terhadap murid yang
lemah dalam subjek itu. Penggunaan bahasa yang baik ketika mengajar akan
membuatkan murid selesa untuk bertanyakan soalan yang tidak difahami dan pada
masa sama memudahkan proses kefahaman mereka terhadap subjek itu.

3

Guru dapat menyemai nilai murni dalam diri murid-murid
Menerusi pengetahuan guru terhadap perkembangan kanak-kanak dalam Teori Jean
Piaget, nilai-nilai murni dapat dipupuk dalam diri murid-murid. Hal ini mampu
direalisasikan melalui tingkah laku guru itu sendiri. Tingkah laku guru yang bersopan,
beradab dan berakhlak mulia dapat menjadi contoh yang terbaik buat murid-murid.
Penggunaan bahasa yang baik seiring dengan cara yang sesuai dalam mendidik
murid-murid semestinya mampu membantu mereka memahami pelajaran dengan
mudah. Contohnya, pada peringkat Operasi Konkrit yang melibatkan kanak-kanak
berusia 7 hingga 11 tahun, mereka mempunyai sifat ingin tahu yang mendalam
terhadap pelbagai perkara. Proses pembelajaran secara interaksi sosial yang
melibatkan interaksi dengan rakan sebaya atau orang yang lebih dewasa ini mampu
mencambahkan pemikiran murid-murid (Ridho Agung Juwantara, 2019). Guru boleh
mengaitkan pelajaran dengan dunia luar, misalnya isu pencemaran alam sekitar yang
mengakibatkan pelbagai kesan negatif seperti haiwan kehilangan habitat, pemanasan
global dan sesak nafas.

Di sini, guru boleh menyemai sikap menghargai alam sekitar dalam diri murid,
lalu dapat ditafsirkan melalui tindakan misalnya murid akan mengelakkan diri
daripada membuang sampah di merata-rata tempat atas sebab ingin menjaga alam
sekitar. Di samping itu, antara contoh lain ialah menepati masa. Perkara ini perlu
dimulai oleh guru, yang perlu menepati masa ketika masuk ke kelas. Hal ini penting
bagi menyuburkan rasa tanggungjawab dalam diri murid-murid dalam melakukan
apa-apa perkara. Jelaslah, guru sangat berperanan untuk menjadi model nilai murni
yang terbaik dalam diri murid-murid.

Guru dapat mempelbagaikan kaedah PdP
Seterusnya, penguasaan guru terhadap perkembangan kanak-kanak ini juga
membantu guru mempelbagaikan kaedah PdP. Dalam konteks ini, guru perlulah
sentiasa kreatif dalam menyediakan aktiviti yang seiring dengn pembelajaran.
Misalnya, dalam Teori Jean Piaget, terdapat peringkat bagi kanak-kanakyang berusia
2 hingga 7 tahun, iaiatu peringat Pra-Operasi. Pada peringkat ini, kanak-kanak masih
dalam proses mempelajari cara menulis, yakni mereka masih dalam proses
menggerakkan otot-otot jari dan tangan sama ada ketika menulis atau memegang
sesuatu benda (Sharifah Nor Puteh & Aliza Ali, 2016). Hal ini menunjukkan guru
perlulah memperbanyakkan aktiviti berunsurkan ‘hands on’ atau berunsurkan amali
agar proses PdP bagi murid-murid bagi usia ini dapat dijalankan dengan berkesan.

4

Antara aktiviti yang boleh dilaksanakan ialah dengan menggunakan
bahan-bahan di sekeliling murid-murid untuk mengajar seperti menjalankan aktiviti
mengira menggunakan batu dan ranting sebagai salah satu medium pengajaran.
Pendekatan yang melibatkan benda-benda di sekeliling murid-murid mampu
membantu mereka menyerap pelajaran yang hendak disampaikan oleh guru dengan
lebih mudah.

Di samping dapat menyampaikan ilmu dengan berkesan, guru dapat
mewujudkan suasana pembelajaran yang menarik dan seimbang serta sesuai
dengan usia mereka ketika itu. Keceriaan murid-murid semasa hadir ke sekolah
setiap hari juga menjadi antara faktor utama kaedah pembelajaran yang digunakan
oleh guru dilaksanakan dengan efektif. Jadi, guru perlulah sentiasa kreatif dalam
menyediakan kaedah-kaedah pengajaran yang sesuai dengan tahap umur
murid-murid agar proses pembelajaran dapat dijalankan dengan lancar.

Kesimpulan
Jelaslah, guru sememangnya perlu menguasai peringkat perkembangan
kanak-kanak agar dapat menjayakan usaha meningkatkan kualiti pendidikan di
Malaysia. Peringkat perkembangan kanak-kanak yang telah digariskan oleh Jean
Piaget amat membantu guru mengetahui tahap pemikiran dan keupayaan
murid-murid dalam pembelajaran. Perkara ini memudahkan guru merancang aktiviti
pembelajaran yang bersesuaian dengan tahap kognitif murid-murid, lalu mewujudkan
suasana belajar yang kondusif, seterusnya merealisasikan misi dan visi negara
melahirkan generasi masa hadapan yang serba boleh, berakhlak mulia dan
berpengetahuan tinggi.

5

Rujukan
Abdul Halim Abdullah. (September 2015). KBAT: Tugas Guru Semakin Mencabar.

Dewan Masyarakat, 39-41.
Fatimah Ibda. (2015). Perkembangan Kognitif: Teori Jean Piaget. Jurnal Intelektualita,

3(1), 1-12
https://www.jurnal.ar-raniry.ac.id/index.php/intel/article/view/197
Ikhsan Othman. Rohizani Yaakub. (2010). Aplikasi Teori Kecerdasan Pelbagai dalam
Pelaksanaan Kurikulum. Asia Pacific Journal of Educators and Education, 25.
21-32
https://core.ac.uk/download/pdf/83543461.pdf
Ridho Agung Juwantara. (2019). Analisis Teori Perkembangan Kognitif Piaget pada
tahap anak usia Operasional Konkret 7-12 tahun dalam pembelajaran
Matematika.
Al-Adzka: Jurnal Ilmiah Pendidikan Guru Madrasah Ibtidaiyah, 9(1), 27 – 34.
https://core.ac.uk/download/pdf/327227393.pdf
Sharifah Nor Puteh. Aliza Ali. (2016). Pendekatan Bermain dalam Pengajaran Bahasa
dan Literasi Pendidikan Prasekolah. Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu,1(2),
1-16.
http://spaj.ukm.my/jpbm/index.php/jpbm/article/view/26

6


Click to View FlipBook Version