APAKAH
PROBIOTIK?
Apa Itu Probiotik ?
Probiotik adalah bakteria dan ragi yang baik untuk anda. Apabila
ditelan, mereka akan hidup dalam usus anda dan membantu anda dengan
tugas harian seperti pencernaan.
Probiotik ialah mikro organisma hidup yang apabila dimakan boleh memberi
manfaat kesihatan. Ia boleh dimakan dalam bentuk suplemen, produk
kesihatan preskripsi atau produk makanan asli, seperti yogurt dan kimchi.
Apabila populasi mikrobiota usus tidak seimbang kerana masalah cirit-birit
atau selepas rawatan antibiotik, probiotik boleh dimakan untuk memulihkan
nisbah mikrobiota baik dan buruk yang normal di dalam usus.
Usus dipenuhi dengan bakteria baik dan buruk dan mereka semua
menyumbang kepada kesihatan usus anda dalam beberapa cara atau yang
lain. Mempunyai probiotik akan menambah lebih banyak bakteria yang baik
ke sistem.
Jenis Probiotik
Ada banyak spesies mikrobiota berbeza yang dikelaskan sebagai probiotik.
Ia terdiri daripada bakteria dan yis. Malah, tubuh kita mengandungi trilion
bakteria, virus dan yis serta kira-kira 400 jenis bakteria probiotik yang
berbeza. Antara spesies probiotik yang biasa termasuk:
a. Lactobacillus ialah kumpulan bakteria probiotik terbesar di dalam
usus. Terdapat lebih daripada 50 spesies lactobasilli, seperti L.
acidophilus, L. rhamnosus GG, dan L. bulgaricus. Ia boleh ditemui secara
semula jadi di dalam sistem penghadaman, urinari, genital serta makanan
asli dan tambahan.
b. Bifidobacterium meliputi kira-kira 30 spesies yang berbeza, seperti
B. bifidum, B. lactis dan B. longum. Ia adalah antara spesies bakteria
pertama yang membiak di dalam usus bayi, terutama bayi yang diberi susu
ibu dan boleh membantu menghadam susu ibu.
Penyusuan susu ibu membantu mengembangkan mikrobiota usus bayi.
Kanak-kanak yang diberi susu ibu untuk sekurang-kurangnya enam bulan
didapati mempunyai lebih banyak Bifidobacteria berbanding yang diberi
susu formula. Bifidobacterium, sebagaimana Lactobacillus, juga digunakan
untuk membantu mencegah atau merawat pelbagai masalah usus, jangkitan
dan masalah kulit.
c. Streptococcus thermophilus yang boleh dijumpai di dalam usus besar,
menghasilkan kuantiti enzim laktase yang banyak untuk mengurai laktosa
di dalam susu menjadi asid laktik. Ia banyak digunakan dalam penghasilan
yogurt dan keju
d. Saccharomyces boulardii berbeza daripada probiotik yang disebutkan
sebelum ini. S. boulardii ialah keluarga terdekat S. cerevisiae, yang dikenali
sebagai yis ibu roti. Bagaimanapun, ia mempunyai suhu pertumbuhan optimum
lebih tinggi iaitu pada 37 darjah Celsius dan bertahan lebih baik dalam pH
berasid, membolehkannya sampai ke usus dalam keadaan aktif. Ia juga tidak
perlu disimpan dalam peti sejuk.
. Kerana itu ia berguna terutama untuk merawat penyakit cirit-birit akut
dan cirit-birit yang berkaitan dengan penggunaan antibiotik. S. boulardii
boleh ditemui di dalam makanan yang ditapai, seperti kefir atau kombucha,
yang mempunyai kombinasi yis dan probiotik bakteria
TAHUKAH ANDA
Probiotik adalah sumber pemakanan yang penting dalam diet kita untuk penjagaan kesihatan
usus. Selain makanan yang disebut di atas, kita juga boleh mendapatkan probiotik daripada
makanan tradisi yang ditapai seperti tempe mentah dan tapai pulut.
Probiotik juga boleh digunakan untuk mencegah atau mengurangkan simptom banyak masalah
usus seperti sembelit, sindrom usus rengsa, cirit-birit akut, cirit-birit berkaitan dengan
penggunaan antibiotik dan pelbagai masalah lain.
Bagaimanapun, setiap strain probiotik adalah unik apabila ada strain tertentu yang lebih
berkesan merawat masalah tertentu, seperti mana setiap individu mempunyai cap jari yang
unik. Adalah penting mendapat nasihat daripada doktor untuk penggunaan probiotik yang
paling sesuai bagi menjamin kesihatan usus anda
RUJUKAN
https://www.hmetro.com.my/hati/2019/05/456630/probiotik-untuk-usus