The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.

PERANAN GURU SEBAGAI PEMACU TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA DAN LANGKAH-LANGKAH YANG HARUS DIAMBIL OLEH GURU UNTUK MENINGKATKAN PROFESIONALISME KENDIRI DEMI ME

Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by g-06544647, 2024-02-03 07:31:00

PERANAN GURU SEBAGAI PEMACU TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA DAN LANGKAH-LANGKAH YANG HARUS DIAMBIL OLEH GURU UNTUK MENINGKATKAN PROFESIONALISME KENDIRI DEMI ME

PERANAN GURU SEBAGAI PEMACU TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA DAN LANGKAH-LANGKAH YANG HARUS DIAMBIL OLEH GURU UNTUK MENINGKATKAN PROFESIONALISME KENDIRI DEMI ME

1 1.0 Pengenalan Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2005), guru ditakrifkan sebagai orang yang mengajar, pendidik, pengajar dan pengasuh. Guru merupakan tenaga ikhtisas di dalam bidang pendidikan untuk melahirkan masyarakat yang berilmu, bersahsiah dan mengamalkan nilai murni. Pendidikan berakar umbi daripada perkataan didik dan dihuraikan sebagai satu proses yang berterusan untuk memajukan kehidupan manusia dan melahirkan insan-insan yang berpengetahuan, bersifat baik dan mengamalkan amalan nilai murni dalam kehidupan seharian. Pendidikan merupakan suatu cara untuk mengembangkan keterampilan, kebiasaan, dan sifat-sifat yang berpotensi untuk menjadikan seseorang individu yang baik untuk masyarakat mahupun negara. (Syed Ismail Syed Mustapa dan Ahmad Subki Miskon, 2016) Tema Hari Guru Tahun 2018 ialah ‘Guru Pemacu Transformasi Pendidikan’. Tema ini digunakan kerana guru merupakan agen yang penting dalam usaha menjayakan transformasi pendidikan negara dan menyahut cabaran Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 melalui peringkat akar umbi pendidikan. Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) (2013-2025) telah dirangka untuk menghadapi cabaran abad ke-21 dan pelan ini memberi tumpuan kepada usaha membangun dan meneruskan perkembangan, serta menambah baik sistem pendidikan secara berterusan. Guru memainkan peranan sebagai pemacu dalam memastikan transformasi pendidikan negara dapat dicapai dengan lebih cepat dan berkesan pada peringkat Gelombang 2 PPPM (2016-2020).


2 2.0 Peranan Guru Sebagai Pemacu Transformasi Pendidikan Negara Guru merupakan pembentuk modal insan. Guru bertanggungjawab untuk memastikan kejayaan dan aspirasi dasar-dasar transformasi negara tercapai dengan lebih cepat dan berkesan. Guru berperanan untuk menterjemahkan semua dasar dan aspirasi negara melalui pendidikan. Guru perlu berusaha untuk memastikan setiap murid mencapai potensi sepenuhnya demi mencapai hasrat sistem pendidikan Malaysia. Setiap murid perlu mempunyai pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, etika dan kerohanian dan identiti nasional sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. (Noriati A. Rashid, Lee Keok Cheong, Zulkufli Mahayudin dan Zakiah Noordin, 2016) Pada peringkat asas, setiap murid perlu menguasai sepenuhnya kemahiran literasi dan numerasi dan menguasai mata pelajaran teras seperti Matematik dan Sains serta pengetahuan dan kemahiran dalam bidang lain. Guru berperanan untuk membentuk murid yang berpengetahuan. Setiap murid perlu menguasai kemahiran berfikir kerana berfikir ialah proses kognitif yang membolehkan maklumat diperoleh, pengetahuan berkembang dan ilmu dijana. Seterusnya, kemahiran memimpin juga perlu ada pada setiap murid untuk membantu murid bekerja dengan berkesan dan mempunyai ciri kepimpinan. Guru bertanggungjawab untuk membentuk murid yang mempunyai kemahiran memimpin kerana pembangunan negara memerlukan generasi yang dapat menerajui kepimpinan dengan baik. Setiap murid perlu menguasai bahasa Malaysia iaitu bahasa kebangsaan dan bahasa Inggeris sebagai bahasa komunikasi antarabangsa. Guru berperanan untuk memupuk etika dan kerohanian dalam diri setiap murid sebagai persiapan menghadapi cabaran yang akan ditempuhi dalam kehidupan dewasa. Guru berperanan untuk menyuntik perasaan perpaduan dalam kalangan anak murid. Identiti nasional perlu wujud dalam diri setiap murid supaya mereka berbangga dikenali sebagai rakyat Malaysia dan mencintai negara serta mempunyai semangat perpaduan yang kukuh. Peranan guru adalah penting dalam usaha memacu transformasi pendidikan kerana guru merupakan orang yang mendidik modal insan yang bakal menerajui negara ke arah menjadi negara maju yang sejahtera, berinovasi dan berdaya saing dalam pelbagai bidang di peringkat global.


3 3.0 Langkah-langkah Yang Harus Diambil Oleh Guru Untuk Meningkatkan Profesionalisme Kendiri Syed Ismail Syed Mustapa dan Ahmad Subki Miskon (2016) mentakrifkan guru yang profesional sebagai seorang guru yang mengetahui cara untuk menghasilkan kerja yang bermutu tinggi dalam bidangnya. Perubahan sistem pendidikan yang semakin mencabar mendorong para guru untuk mengambil langkah dalam usaha meningkatkan profesionalisme kendiri. Antara langkah yang harus diambil ialah guru harus mempersiapkan diri dengan ilmu pengetahuan yang luas dan khususnya bidang mata pelajarannya. Sebagai contoh, sebelum mengajar guru harus menyiapkan diri dengan kemahiran tertentu dari aspek pengurusan kelas, menyoal soalan dan penerangan yang jelas tentang topik yang hendak diajar. Pengajaran dan pembelajaran yang berkesan merupakan matlamat bagi setiap guru yang profesional. Demi menjamin pengajaran dan pembelajaran yang berkesan, seseorang guru perlu membuat persediaan yang komprehensif dari segi mental dan fizikal. Seorang guru yang mempunyai pengetahuan yang banyak dan luas dapat melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah dengan lebih ceria dan efektif. Guru perlu meningkatkan kebolehan untuk membimbing murid demi melaksanakan konsep pengajaran dan pembelajaran abad ke-21 yang menerapkan pembelajaran yang kondusif, terbuka dan berpusatkan murid. Pengajaran dan pembelajaran abad ke-21 dapat membina Kemahiran Berfikir Aras Tinggi dalam diri murid. (Rujuk Lampiran 1) Hal ini dapat memaksimumkan hasil pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Seterusnya, guru harus mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat untuk meningkatkan keberkesanan dalam pengajaran dan pembelajaran masing-masing demi meningkatkan profesionalisme kendiri. Sebagai contoh, guru dapat menambah pengetahuannya melalui pembacaan, menghadiri kursus dan latihan dan juga mengikuti kursus penyelidikan. Para guru memerlukan kemahiran ikhtisas untuk membantu mereka dalam menyampaikan ilmu pengetahuan kepada anak murid. Kaedah seperti menjalankan kajian atas keberkesanan aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah dan penggunaan teknik refleksi perlu dikuasai oleh para guru untuk meningkatkan teknik pengajaran dalam bilik darjah. Amalan refleksi membantu para guru


4 untuk menilai kekuatan dan kelemahan pengajaran dan pembelajaran lalu mencari ikhtiar untuk mengatasi kelemahannya. Selain itu, guru perlu meningkatkan perkembangan kendiri masing-masing. Perkembangan tersebut akan melibatkan pembentukan konsep kendiri dan mempengaruhi cara kerja seseorang guru. Guru yang mempunyai konsep kendiri yang baik seperti yakin, bersikap terbuka, percaya dan mempunyai nilai-nilai diri yang baik akan membantu guru tersebut melaksanakan tanggungjawabnya dengan lebih berkesan dan meningkatkan profesionalisme keguruannya. Tambahan pula, guru harus peka terhadap perkembangan pendidikan dan teknologi terkini. Mereka harus sentiasa memperkembangkan ilmu pengetahuan dari semasa ke semasa mengikut perkembangan zaman. Setiap guru juga perlu bersedia menerima sebarang perubahan sistem pendidikan agar pengetahuannya selari dengan keperluan masa kini.


5 4.0 Kesimpulan Intihanya, bidang pendidikan sentiasa mengalami perubahan dari semasa ke semasa. Pembangunan dalam bidang pendidikan sentiasa diutamakan oleh kerajaan kerana bidang ini merupakan bidang asas untuk pembangunan negara kita. Hal ini kerana bidang ini dapat melahirkan modal insan yang dapat menyumbang tenaga dalam pembangunan negara dan mewujudkan masyarakat yang celik huruf dan bersahsiah serta memupuk perpaduan antara rakyat yang berbilang kaum di Malaysia. Guru yang berada di barisan hadapan dalam sistem pendidikan negara memainkan peranan yang penting. Oleh demikian, setiap guru seharusnya meningkatkan profesionalisme kendiri supaya dapat memainkan peranan sebagai pemacu transformasi pendidikan dengan baik. 972 patah perkataan


6 Bibliografi Abdul Ghani Ahmad. (2018, Mei). Melangkah Ke Hadapan Fokus Dan Gerak Kerja KPPM 2018. Pendidik, 123: 10-11. Ismail Sualman. (2018, 20 Mei). Guru Produktif Pemacu Transformasi Pendidikan. Sinar Harian. Muat turun pada 16 Julai, 2018, daripada http://www.sinarharian.com.my/mobile/kolumnis/ismail-sualman/guru-produktifpemacu-transformasi-pendidikan-1.836555 Kamus Dewan Edisi Keempat. (2005). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Kementerian Pendidikan Malaysia. (t.t). Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Kementerian Pendidikan Malaysia. Akses pada 20 Februari 2018, daripada https://www.moe.gov.my/index.php/my/dasar/falsafah-pendidikan-kebangsaan Kementerian Pendidikan Malaysia. (2013). Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (Pendidikan Prasekolah hingga lepas menengah). Kementerian Pendidikan Malaysia. Akses pada 25 Januari 2018, daripada https://www.moe.gov.my/index.php/my/dasar/pelan-pembangunan- pendidikan-malaysia-2013-2025 Noriati A. Rashid, Lee Keok Cheong, Zulkufli Mahayudin dan Zakiah Noordin. (2016). Falsafah dan Pendidikan di Malaysia. Selangor: Oxford Fajar Sdn. Bhd. Syed Ismail Syed Mustapa & Ahmad Subki Miskon. (2016). Pengantar Pengajian Profesional. Petaling Jaya: Sasbadi Sdn. Bhd.


7 Lampiran 1


8


Click to View FlipBook Version