The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by mozas_86, 2022-05-30 20:44:53

MINIT MESYUARAT AGUNG PIBG SKBTS KALI KE 21

MINIT MESYUARAT AGUNG PIBG KE-21

MINIT MESYUARAT AGUNG TAHUNAN
KALI KE 21 / TAHUN 2021

PERSATUAN IBU-BAPA DAN GURU (PIBG)
SK BANDAR TASIK SELATAN
57000 KUALA LUMPUR
BERTARIKH 23 OKTOBER 2021

1

MINIT MESYUARAT AGUNG TAHUNAN
PERSATUAN IBU-BAPA DAN GURU (PIBG)

SK BANDAR TASIK SELATAN,
57000 KUALA LUMPUR

KALI KE-21 / TAHUN 2021

TARIKH : 23 OKTOBER 2021
MASA : 10.00 PAGI
TEMPAT : KEDIAMAN / RUMAH MASING MASING

KEHADIRAN (APLIKASI ZOOM)
URUSETIA : 321 ORANG
: SEMUA AJK PIBG SK BANDAR TASIK SELATAN

1.0 UCAPAN GURU BESAR – ENCIK AHMAD MUZIR BIN ABDUL HALIM

1.1 Encik Ahmad Muzir bin Abdul Halim selaku Guru Besar SK Bandar Tasik Selatan
mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua ibu
bapa yang sudi hadir pada Mesyuarat Agung PIBG Kali Ke-21 ini. Beliau
mengharapkan semua pihak dapat bersabar semasa mesyuarat ini berlangsung
kerana mesyuarat secara atas talian adalah tidak sama seperti mesyuarat
bersemuka.

1.2 Guru Besar seterusnya menerangkan berkenaan operasi pembukaan sekolah
mengikut Pelan Pemulihan Norma Baharu. Untuk makluman, murid-murid di
Pendidikan Khas telah memulakan sesi persekolahan bersemuka tanpa penggiliran
pada 04/10/2021 manakala murid Prasekolah pada 18/10/2021. Bermula pada
01/11/2021 ini, murid-murid Tahap 1 akan hadir ke sekolah secara penggiliran.
Guru kelas telah membahagikan murid-murid kepada dua kumpulan penggiliran
iaitu kumpulan A dan B.

1.3 Guru Besar seterusnya memaklumkan pihak sekolah telah mengedarkan surat
bertarikh 20/10/2021, berkenaan maklumat tarikh-tarikh murid hadir ke sekolah
mengikut kumpulan, melalui anak jagaan masing-masing. Tarikh tersebut bermula
pada 01/11/2021 dan berakhir pada 28/02/2022. Namun begitu, pihak sekolah
masih belum memperoleh keputusan tarikh akhir persekolahan daripada pihak
KPM. Sebarang perubahan dan keputusan akhir daripada pihak KPM akan
dimaklumkan kepada ibu bapa kelak.

1.4 Guru Besar seterusnya menjelaskan, melalui surat tersebut juga, pihak sekolah
telah menetapkan jadual pulang secara berperingkat untuk murid Tahap 1 dan 2.
Pihak sekolah sangat mengharapkan kerjasama ibu bapa untuk mematuhi jadual
penggiliran dan jadual pulang secara berperingkat yang telah ditetapkan. Hal ini
sangat penting kerana dapat mengelakkan kesesakan di hadapan pintu pagar
sekolah semasa murid pulang dari sekolah.
2

1.5 Guru Besar seterusnya memaklumkan, melalui surat tersebut juga, pihak sekolah
telah menyatakan tarikh cuti perayaan Hari Deepavali. Murid Tahap 1 akan
bersekolah selama 2 hari bermula 01 – 02/11/2021 dan kemudian akan cuti
sempena Hari Deepavali bermula 03 – 07/11/2021. Bermula 08/11/2021 pula, murid
Tahap 2 akan mula hadir ke sekolah untuk sesi persekolahan bersemuka secara
penggiliran.

1.6 Guru Besar seterusnya mengingatkan ibu-bapa untuk memastikan anak-anak hadir
ke sekolah mengikut penggiliran kumpulan yang telah ditetapkan. Sekiranya
terdapat murid yang hadir ke sekolah bukan pada penggiliran kumpulannya, pihak
sekolah akan menelefon ibu-bapa murid tersebut untuk diambil dan dibawa pulang
ke rumah. Hal ini kerana kedudukan di dalam bilik darjah telah ditetapkan mengikut
kumpulan penggiliran.

1.7 Guru Besar juga memaklumkan berkenaan tatacara pakaian murid ke sekolah.
Berdasarkan makluman yang telah disampaikan oleh YB Menteri Kanan Pendidikan
sebelum ini, murid-murid yang tidak mempunyai pakaian sekolah atau pakaian
sekolah tidak lagi sesuai untuk dipakai, mereka boleh memakai pakaian yang
sesuai ke sekolah.

1.8 Guru Besar seterusnya memaklumkan, pihak sekolah mencadangkan agar murid
yang memakai baju biasa ini, supaya dapat memakai baju T sekolah dan seluar
sukan. Hal ini adalah kerana sekiranya berlaku sebarang kecemasan dalam
perjalanan pergi atau pulang dari sekolah, maka orang awam dapat mengenal pasti
sekolah murid tersebut berdasarkan lencana sekolah pada baju T.

1.9 Guru Besar seterusnya menjelaskan berkenaan murid-murid yang akan divaksinasi.
Berdasarkan makluman yang telah disampaikan oleh YB Menteri Kesihatan
sebelum ini, hanya murid-murid yang berusia genap 12 tahun dan ke atas akan
divaksin. Murid-murid ini diharap sentiasa peka dengan sebarang makluman
berkenaan tarikh dan pusat vaksin, seperti disalurkan melalui aplikasi MySejahtera
yang didaftarkan atas nama murid-murid.

1.10 Guru Besar seterusnya memaklumkan berkenaan ibu bapa yang masih belum
mahu menghantar anak mereka ke sekolah atas faktor keselamatan atau kesihatan.
Ibu-bapa ini boleh merehatkan anak di rumah dengan syarat mereka mestilah
menulis surat kepada pihak sekolah untuk memaklumkan anak mereka tidak akan
dihantar ke sekolah untuk satu jangka masa tertentu. Di dalam surat tersebut, ibu-
bapa perlu menyatakan nama penuh anak, kelas dan sebab anak tidak akan
dihantar ke sekolah. Pihak sekolah tidak akan memaksa untuk semua murid hadir
ke sekolah mengikut jadual penggiliran kumpulan yang ditetapkan.

1.11 Guru Besar juga memaklumkan kantin sekolah akan dibuka seperti biasa. Murid-
murid akan membeli di kantin secara penggiliran mengikut kelas yang telah
ditetapkan. Murid-murid juga boleh membawa bekal makanan dari rumah. Semua
murid akan makan di dalam kelas dengan pengawasan guru.

3

1.12 Guru Besar seterusnya mengucapkan terima kasih kepada barisan AJK PIBG Sesi
2020/2021. Walaupun kita tidak dapat menjalankan aktiviti secara bersemuka,
namun AJK PIBG terus menyalurkan bantuan, dana dan sebagainya untuk pihak
sekolah menjalankan aktiviti sekolah dari semasa ke semasa.

1.13 Guru Besar juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada YDP PIBG, Encik
Zulkiflee bin Abdul Rahman atas sumbangan yang telah diberikan kepada pihak
sekolah, sepanjang temph berkhidmat dalam PIBG.

1.14 Guru Besar mengakhiri ucapan dengan harapan agar mesyuarat ini dapat berjalan
dengan lancar dan kita dapat mencapai kata sepakat serta keputusan yang baik
dalam setiap permasalahan yang dibincangkan.

2.0 UCAPAN YANG DI PERTUA PIBG – ENCIK ZULKIFLEE BIN ABDUL RAHMAN

2.1 Encik Zulkiflee bin Abdul Rahman selaku YDP PIBG mengalu-alukan kehadiran
para ibu bapa, guru-guru dan semua AJK PIBG ke Mesyuarat Agung Tahunan
PIBG Kali Ke-21. Walaupun mesyuarat ini dijalankan secara atas talian namun
matlamatnya adalah tetap sama untuk membincangkan perkara berkaitan
kecemerlangan pendidikan, kurikulum, sahsiah dan infrastruktur untuk murid-murid
di sekolah ini.

2.2 YDP PIBG mengucapkan tahniah kepada pihak pentadbir sekolah dan barisan AJK
PIBG yang telah berjaya menganjurkan Mesyuarat Agung PIBG pada tahun ini
walaupun dalam norma baharu. Sesungguhnya mesyuarat ini merupakan platform
terbaik untuk ibu-bapa bertemu secara maya untuk berkongsi idea dan pendapat
yang bernas untuk melonjakkan lagi kecemerlangan anak-anak dalam pelbagai
bidang.

2.3 YDP PIBG menzahirkan ucapan terima kasih kepada para guru dan ibu bapa yang
berkorban masa pada hujung minggu ini untuk meluangkan masa menyertai
mesyuarat agung PIBG pada hari ini.

2.4 YDP PIBG juga menzahirkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada para guru
yang telah memartabatkan profesion perguruan sehingga mampu melahirkan modal
insan yang berkualiti dari segi akademik dan sahsiah. Semoga kejayaan ini tidak
akan dapat dicapai tanpa komitmen dan kesungguhan para guru dalam
melaksanakan tugas dengan penuh amanah dan dedikasi.

2.5 YDP PIBG juga menzahirkan ucapan tahniah dan terima kasih atas semangat dan
komitmen yang ditunjukkan oleh ibu bapa, yang sentiasa memberikan bimbingan
dan galakan tanpa jemu kepada anak-anak di rumah, lebih-lebih lagi dalam
suasana pandemik Covid-19 yang sedang melanda ketika ini. Sokongan dan masa
daripada ibu bapa adalah sangat diperlukan untuk membantu anak-anak mengikuti
kelas PdPR di rumah selama hampir 5 bulan pada tahun ini.

4

2.6 YDP PIBG juga menzahirkan ucapan penghargaan kepada ibu-bapa yang sanggup
bersusah payah untuk menjayakan PdPR anak masing-masing, di sebalik kekangan
seperti berkongsi gajet dengan adik beradik yang lain, masalah talian internet yang
perlahan dan ketiadaan mesin pencetak.

2.7 YDP PIBG seterusnya memaklumkan pihak PIBG melalui mesyuarat AJK PIBG
bertarikh 28/09/2021 telah bersetuju untuk memutuskan bahawa tiada kutipan
sumbangan PIBG akan dibuat pada tahun 2021 ini. Keputusan ini diambil
memandangkan pihak PIBG memahami situasi yang dihadapi oleh semua ibu-bapa
sepanjang mengharungi pandemik Covid-19 ini. Selain itu, keputusan ini juga
diambil kerana banyak program sekolah yang tidak dapat dilaksanakan secara
bersemuka tetapi hanya dilaksanakan secara atas talian sahaja, yang tidak
melibatkan kos yang tinggi. Diharap langkah ini sedikit sebanyak dapat membantu
urusan seharian semua ibu bapa daripada segi beban kewangan keluarga.

2.8 YDP PIBG seterusnya memaklumkan berdasarkan Notis Mesyuarat Agung PIBG
Kali Ke-21 yang telah diedarkan bersama pautan Google Form Borang Pencalonan
YDP, Naib YDP dan AJK PIBG Sesi 2021/2011 pada 06/10/2021 yang lalu,
berdasarkan undian secara atas talian sehingga 19/10/2021, majoriti semua ibu-
bapa bersetuju untuk mengekalkan AJK PIBG sedia ada. Semua AJK juga akan
dilantik semula untuk tempoh 5 bulan, berakhir bulan Mac 2022. Namun sebarang
perubahan bagi tarikh mesyuarat bagi tahun 2022 akan dimaklumkan oleh pihak
jabatan.

2.9 YDP PIBG juga memaklumkan bahawa ucapan beliau dalam mesyuarat kali ini
merupakan ucapan terakhirnya. Hal ini adalah kerana beliau akan melepaskan
jawatan sebagai YDP PIBG, memandangkan anak beliau tidak lagi belajar di
sekolah ini. Hampir 8 tahun beliau berada dalam barisan AJK PIBG SKBTS dan 5
tahun sebagai YDP PIBG, rasanya sudah terlalu lama bagi beliau untuk menerajui
PIBG SKBTS. Masanya sudah tiba untuk jawatan YDP PIBG diserahkan kepada
individu lain.

2.10 YDP PIBG juga memaklumkan banyak ilmu dan pengalaman yang beliau peroleh
sepanjang hampir 8 tahun berada di dalam barisan AJK PIBG SKBTS. Beliau
sentiasa menyokong usaha-usaha yang dijalankan oleh pihak sekolah dan
bersyukur kerana dapat bekerjasama dengan Guru Besar SKBTS, Encik Ahmad
Muzir bin Abdul Halim dan barisan pentadbir yang lain. Barisan pentadbir SKBTS
telah memberikan komitmen yang tinggi kepada pihak PIBG.

2.11 YDP PIBG seterusnya menzahirkan ucapan terima kasih kepada Guru Besar,
barisan pentadbir, guru-guru dan ibu-bapa yang sentiasa memberikan sokongan
kepada pihak PIBG. Beliau juga berharap semua AJK PIBG dapat memberikan
kerjasama kepada YDP PIBG baharu yang akan dilantik sebentar nanti.

2.12 YDP PIBG juga menzahirkan penghargaan kepada isteri dan anak-anak beliau
kerana sudi memberikan masa, ruang, semangat dan idea kepada beliau untuk
memimpin organisasi PIBG SKBTS, selaku YDP PIBG selama ini.

5

2.13 YDP PIBG juga menzahirkan permohonan maaf sekiranya ada kekurangan dari
segi tingkah laku, pertuturan dan kelemahan diri sepanjang beliau bersama PIBG
SKBTS. Beliau juga memohon agar dihalalkan segala makan dan minum dan
berharap agar kita semua sentiasa berada dalam kebaikan.

2.14YDP PIBG kemudian dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim merasmikan Mesyuarat
Agung PIBG Kali Ke-21 SK Bandar Tasik Selatan.

3.0 PEMBENTANGAN DAN PENGESAHAN MINIT MESYUARAT AGUNG PIBG KALI KE-20
BERTARIKH 07/03/2021

3.1 Pengerusi majlis mengumumkan kehadiran ibu bapa ke Mesyuarat Agung PIBG
Kali Ke-21 adalah seramai 321 orang dan menjemput Setiausaha PIBG untuk
membentangkan Minit Mesyuarat Agung PIBG Kali Ke-20.

Tindakan : Setiausaha PIBG

3.2 Setiausaha PIBG, Encik Musafarudin bin Othman membentangkan Minit Mesyuarat
Agung PIBG Kali Ke-20. Hadirin diminta merujuk buku program dalam Hub
Informasi Mesyuarat Agung PIBG Kali Ke-21, halaman 4 hingga 23.

Tindakan : Setiausaha PIBG

3.3 Puan Nurazira binti Abdul Halim mencadangkan minit mesyuarat disahkan dan
disokong oleh Puan Nor Suzera binti Zahari.

4.0 PERKARA-PERKARA BERBANGKIT BERKENAAN MINIT MESYUARAT AGUNG PIBG
KALI KE-20 BERTARIKH 07/03/2021

4.1 Tiada perkara-perkara berbangkit yang dibincangkan.

5.0 PEMBENTANGAN DAN PENGESAHAN LAPORAN KEWANGAN PIBG YANG TELAH
DIAUDIT BERAKHIR 31/08/2021

5.1 Pemangku Bendahari PIBG, Pn. Norhayati binti Muhamed memaklumkan beliau
akan membentangkan 2 laporan kewangan berakhir 31/12/2020 dan 31/08/2021.
Hadirin diminta merujuk Hub Informasi Mesyuarat Agung PIBG Kali Ke-21,
bahagian Laporan Kewangan.

5.1.1 Laporan Kewangan PIBG berakhir 31/12/2020

Baki Akaun PIBG : RM 40,514.90 (Tunai di bank)
Jumlah terkumpul : RM 1,431.55 (Tunai di tangan)
: RM 41,946.45

6

5.1.2 Laporan Kewangan PIBG berakhir 31/08/2021

Baki Akaun PIBG : RM 36,573.90 (Tunai di bank)
Jumlah terkumpul : RM 931.55 (Tunai di tangan)
: RM 37,505.45

5.2 Encik Abdul Rahman bin Tompang mencadangkan penyata kewangan disahkan
dan disokong oleh Encik Muhammad Izwan bin Halim.

6.0 MEMBENTANG, MEMBAHAS DAN MENERIMA USUL-USUL MESYUARAT AGUNG
PIBG KALI KE-21

6.1 Pengerusi majlis meminta hadirin merujuk buku Hub Informasi Mesyuarat Agung
PIBG Kali Ke-21, bahagian Usul.

6.2 PENYATAAN USUL : Memohon penjelasan daripada pihak sekolah berkenaan
program vaksinasi COVID-19 untuk murid berumur 12 tahun dan ke bawah. Adakah
murid diwajibkan untuk mengambil vaksin ini ?

PEMBAWA USUL : Puan Salina binti Ismail (Muhamad Danial bin Kamarudin – 3
Firus)

KEPUTUSAN / MAKLUM BALAS USUL : Guru Besar memaklumkan, berdasarkan
makluman yang telah disampaikan oleh YB Menteri Kesihatan sebelum ini, hanya
murid-murid yang berusia genap 12 tahun dan ke atas akan divaksin. Sekiranya
ada maklumat terkini, pihak sekolah akan segera menyalurkan maklumat tersebut
untuk pengetahuan semua ibu bapa.

6.3 PENYATAAN USUL : Mencadangkan penambahan bangunan sekolah / kelas
memandangkan era endemik COVID-19 sangat menitik beratkan penjarakan fizikal.

PEMBAWA USUL : Encik Marvin Mawan anak Sauh (Alester Ombulls anak Marvin
Mawan - 5 Firus)

KEPUTUSAN / MAKLUM BALAS USUL : Guru Besar memaklumkan pada 2
minggu lepas, pihak sekolah telah menerima surat daripada pihak KPM berkenaan
soal selidik isu kepadatan sekolah. Di dalam surat tersebut, pihak sekolah diberi
ruang untuk mencadangkan pembinaan bangunan tambahan. Soal selidik dalam
surat tersebut telah dijawab oleh 2 orang kakitangan sekolah, 2 orang ibu bapa dan
2 orang pentadbir. Semua responden telah mencadangkan pembinaan bangunan
tambahan 3 tingkat dan sama seperti bentuk bangunan yang sedia ada. Hanya 13
buah sekolah sahaja di Kuala Lumpur yang telah disenarai pendek untuk menjawab
soal selidik ini, disebabkan kepadatan murid dalam kelas di sekolah-sekolah ini.
Pihak sekolah sangat berharap agar cadangan ini diluluskan.

7

6.4 PENYATAAN USUL : Mencadangkan supaya pihak sekolah dengan lebih kerap
mengadakan perjumpaan antara ibu bapa dan guru atau dua hala komunikasi
(Whatsapp / Telegram) bagi memaklumkan prestasi murid-murid.

PEMBAWA USUL : Puan Nurulassikin binti Abdul Kadir (Mhammad Hamizan bin
Mohd Yusari – 6 Firus)

KEPUTUSAN / MAKLUM BALAS USUL : Guru Besar memaklumkan sejak
bermulanya Covid-19 ini, semua kelas telah mempunyai kumpulan Whatsapp
masing-masing. Pihak sekolah sentiasa terbuka kepada sebarang pertanyaan
daripada ibu bapa berhubung prestasi semasa pembelajaran anak-anak mereka.
Ibu bapa boleh terus bertanya kepada guru-guru mata pelajaran yang terlibat
melalui kumpulan Whatsapp kelas anak masing-masing. InshaAllah kita akan
mengadakan pembelajaran bersemuka dalam tempoh 2 minggu lagi dan kita akan
dapat mengenal pasti prestasi pembelajaran murid dengan lebih jelas.

7.0 PEMBUBARAN AHLI JAWATANKUASA PIBG SESI 2020/2021 OLEH ENCIK
ZULKIFLEE BIN ABDUL RAHMAN.

7.1 Encik Zulkiflee bin Abdul Rahman mengumumkan pembubaran AJK PIBG Sesi
2020/2021 secara rasmi.

8.0 PELANTIKAN PENGERUSI SEMENTARA MESYUARAT AGUNG PIBG KALI KE-21

8.1 Puan Zurifah binti Abd Rahman mencadangkan Encik Zulkiflee bin Abdul Rahman
sebagai Pengerusi Sementara Mesyuarat Agung PIBG Kali Ke-21 dan disokong
oleh Puan Norlaili binti Muhamad.

9.0 PELANTIKAN AHLI JAWATANKUASA PIBG SESI 2021/2022

Berdasarkan pada Google form yang telah diedarkan, semua ahli PIBG bersetuju
dikekalkan jawatankuasa sedia ada dan jawatan YDP akan dipegang oleh Dr Wan Su Emi
Yusnita binti Wan Yusof dan jawatan Naib YDP oleh Puan Nurul Suzilyana binti Mohd Saat
tanpa ada sebarang bantahan.

9.1 Senarai AJK PIBG Sesi 2021/2022 :

1. YANG DIPERTUA PIBG : Dr Wan Su Emi Yusnita binti Wan Yusof
2. NAIB YANG DIPERTUA PIBG : Puan Nurul Suzilyana binti Mohd Saat
3. SETIAUSAHA : Encik Musafarudin bin Othman
4. NAIB SETIAUSAHA : Puan Nasiha binti Mohd Sharif
5. BENDAHARI : Puan Norhayati binti Muhamed
6. NAIB BENDAHARI : Encik Azmi bin Alias @ Mohamad

8

AJK GURU:
7. Puan Zurifah binti Abd Rahman
8. Puan Noridayu binti Nordin
9. Puan Siti Suhaili binti Ismail
10. Puan Ainon Bariah binti Husin
11. Puan Nurul Hooda Farrah binti Dorahim
12. Puan Siti Aisyah Ilyani binti Bahri

AJK IBU-BAPA
13. Encik Khairul Nizam bin Mokhtar
14. Puan Nor Afidah binti Abdul Jamil
15. Encik Abdul Rahman bin Tompang
16. Encik Muhammad Ikram bin Abd Karim

WAKIL IBU-BAPA PPKI
17. Kapten (Bersara) Mohamad Fahmi bin Saarani

JURUAUDIT
18. JURUAUDIT DALAMAN : Encik Muhammad Syafiq bin Hazman
19. JURUAUDIT LUAR : Encik Muhammad Muzafar bin Abd Aziz

Tindakan : Setiausaha PIBG
Makluman : Semua ahli PIBG

10.0 HAL-HAL LAIN

10.1 Guru Besar menzahirkan ucapan terima kasih kepada pihak PIBG kerana telah
bersetuju untuk memutuskan bahawa tiada kutipan sumbangan PIBG akan dibuat
pada tahun 2021 ini.

Tindakan : Setiausaha PIBG
Makluman : Semua ahli PIBG

10.2 Guru Besar memaklumkan pihak sekolah memohon sumbangan kewangan
daripada pihak PIBG untuk menampung penyelenggaraan kemudahan dan
infrastruktur sekolah yang mengalami kerosakan segera kerana pihak sekolah tidak
mempunyai dana penyelenggaraan yang mencukupi.

Tindakan : Bendahari PIBG

10.3 Guru Besar seterusnya memaklumkan ibu bapa murid Tahun 1/2021 perlu
menjelaskan bayaran peralatan untuk Pendaftaran Murid Tahun 1/2021 sebanyak
RM 30.00. Bayaran ini meliputi pembelian fail tebal, tanda nama sulam dan tanda
nama minggu transisi. Surat makluman berkenaan pembayaran ini akan diedarkan
kepada semua ibu-bapa murid Tahun 1/2021 oleh pihak sekolah.

Keputusan : Mesyuarat bersetuju sebulat suara.

Tindakan : YDP dan Bendahari PIBG
9

10.4 Guru Besar seterusnya memaklumkan ibu bapa murid Tahun 6/2021 perlu
menjelaskan bayaran sebanyak RM 30.00 untuk pembelian folder file sekolah dan
gambar sebagai kenangan di sekolah rendah.
Keputusan : Mesyuarat bersetuju sebulat suara.

Tindakan : YDP dan Bendahari PIBG

10.5 Guru Besar memaklumkan pihak sekolah belum menerima maklumat terkini
daripada pihak KPM berkenaan tarikh Mesyuarat Agung PIBG Tahun 2022, sama
ada perlu dibuat sebelum hujung bulan Mac 2022 atau dilanjutkan ke satu tempoh
lain.
Tindakan : Setiausaha PIBG

10.6 Guru Besar seterusnya memaklumkan apabila sesi persekolahan secara
bersemuka bermula nanti, murid daripada kumpulan yang berada di rumah akan
menjalani pembelajaran kendiri. Murid-murid ini akan dibekalkan dengan modul dan
lembaran kerja untuk dibuat di rumah.
Tindakan : Ibu-bapa

10.7 Puan Norlaili binti Muhammad mencadangkan supaya pihak PIBG memberikan
penghargaan kepada ibu bapa yang komited membantu anak-anak dalam
menjalani PdPR. Hal ini secara tidak langsung dapat mewujudkan program
SARANA antara ibu bapa dan pihak sekolah.

MAKLUM BALAS GURU BESAR : Guru Besar memaklumkan pihak sekolah
sentiasa menghargai pengorbanan masa, tenaga dan wang ringgit daripada ibu-
bapa dalam memastikan anak-anak menjalani PdPR dengan sempurna. Guru-guru
kelas telah mempunyai senarai pendek nama-nama murid yang aktif dan
menunjukkan prestasi cemerlang sewaktu menjalani PdPR. Pihak sekolah akan
memberikan penghargaan kepada semua murid ini, seterusnya mewakili
penglibatan ibu-bapa mereka yang komited sewaktu PdPR berlangsung.

Tindakan : Guru mata pelajaran

10.8 Encik Irwan bin Ismail mencadangkan supaya guru kelas memaklumkan prestasi
pembelajaran murid-murid melalui video conference berjadual.

MAKLUM BALAS GURU BESAR : Guru Besar memaklumkan semasa PdPR
berlangsung, guru-guru masih menjalankan Penilaian bilik Darjah (PBD). Melalui
penilaian tersebut, guru-guru memantau perkembangan pembelajaran murid-murid.
Pihak sekolah akan mencetak laporan PBD untuk diedarkan kepada semua ibu
bapa supaya ibu bapa mengetahui prestasi pembelajaran anak masing-masing.

10.9 Puan Hanania bertanyakan adakah pihak sekolah masih mengadakan ujian ?

MAKLUM BALAS GURU BESAR : Guru Besar memaklumkan bermula tahun
2018, tiada lagi ujian dijalankan kepada murid Tahap 1. Penilaian dilaksanakan
dengan melihat prestasi di dalam kelas (PBD) dan penglibatan murid dalam aktiviti-

10

aktiviti yang dianjurkan oleh pihak sekolah dan sebagainya. Ujian hanya dijalankan
kepada murid Tahap 2.

Makluman

10.10 Guru Besar memaklumkan pada hari Khamis minggu hadapan, sebelum murid
Tahap 1 memulakan sesi persekolahan bersemuka, pihak sekolah akan
mengadakan majlis bacaan Yasin dan doa selamat. Pada minggu berikutnya akan
diadakan pula majlis bacaan Yasin dan doa selamat untuk murid Tahap 2. Semua
ibu bapa dijemput menghadiri majlis ini.
Makluman

10.11 Guru Besar memaklumkan berdasarkan saranan yang dibuat oleh YB Menteri
Kesihatan, ibu bapa digalakkan untuk membuat saringan kendiri Covid-19 bagi
memastikan kita sentiasa berada dalam keadaan selamat. Saringan kendiri ini tidak
diwajibkan.
Makluman

10.12 Guru Besar memaklumkan apabila sesi persekolahan bersemuka bermula nanti,
ibu bapa akan diedarkan Borang Kebenaran Murid Menjalani Saringan Kendiri oleh
Unit HEM. Sekiranya murid tidak sihat semasa hadir ke sekolah, murid tersebut
akan menjalani saringan kendiri Covid-19. Saringan ini akan dilakukan sendiri oleh
murid tersebut dengan pemantauan guru yang ditugaskan.
Makluman

11.0 UCAPAN PENANGGUHAN MESYUARAT AGUNG PIBG KE-21 OLEH YDP PIBG

11.1 YDP PIBG Sesi 2021/2022, Dr Wan Su Emi Yusnita binti Wan Yusof
memperkenalkan diri kepada semua hadirin. Beliau merupakan seorang pensyarah
di Fakulti Pengurusan dan Pengajian Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional
Malaysia (UPNM).
Makluman

11.2 YDP PIBG mengucapkan terima kasih kepada mantan YDP PIBG, Encik Zulkiflee
bin Abdul Rahman atas jasa dan sumbangan beliau kepada pihak PIBG dan
SKBTS. Saya akan berusaha melaksanakan amanah yang diberi ini.

Makluman

11.3 YDP PIBG memohon usul dan persetujuan daripada ibu bapa agar membenarkan
dibuat pemilihan penggantian AJK untuk melantik seorang AJK baharu Puan
Masitah binti Salleh yang menarik diri kerana telah berpindah ke tempat lain.
Pelantikan akan dibuat di peringkat mesyuarat AJK PIBG sahaja.

Dicadang oleh : Dr. Wan Su Emi Yusnita binti Wan Yusof
Disokong oleh : Encik Irwan bin Ismail dan Encik Nor Azmi bin Fazli

KEPUTUSAN : Usul dipersetujui sebulat suara. Makluman
11

11.4 YDP PIBG menyeru agar semua ibu bapa terus memberikan sokongan dan
kerjasama kepada PIBG dan sekolah untuk meningkatkan kecemerlangan murid-
murid dalam semua aspek di SK Bandar Tasik Selatan.

Makluman

12.0 PENUTUP

Mesyuarat ditangguhkan pada jam 11.40 pagi.

…………………………............... ……………………….……………………………...
(MUSAFARUDIN BIN OTHMAN) (DR WAN SU EMI YUSNITA BT. WAN YUSOF)
SETIAUSAHA PIBG SESI 2021/2022, YDP PIBG SESI 2021/2022,
SK BANDAR TASIK SELATAN, SK BANDAR TASIK SELATAN,
57000 KUALA LUMPUR. 57000 KUALA LUMPUR.

12


Click to View FlipBook Version