KENYATAAN MEDIA
YAB PERDANA MENTERI
Strategi dan dasar kesihatan awam di bawah Pelan Pemulihan Negara
(PPN) telah menunjukkan kesan positif dan manfaatnya bakal dinikmati
oleh negeri-negeri lain di seluruh Malaysia dalam waktu terdekat ini.
Berpandukan kadar vaksinasi lengkap 2 dos di bawah Program Imunisasi
COVID-19 Kebangsaan (PICK), Wilayah Persekutuan Labuan telah
mencapai 92.4% imuniti kelompok bagi populasi dewasa. Perkara ini
disokong oleh data yang menunjukkan trend kes positif COVID-19 harian
di Labuan yang telah menurun kepada satu digit secara konsisten selama
12 hari berturut-turut. Malahan kadar penggunaan katil di Unit Rawatan
Rapi (ICU) di Labuan kini telah menurun ke angka sifar (0%) berbanding
30% pada bulan sebelumnya.
Mengambil kira keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Majlis
Keselamatan Negara (MKN) dan atas nasihat Kementerian Kesihatan
Malaysia (KKM), kerajaan hari ini mengumumkan peralihan Fasa Pelan
Pemulihan Negara (PPN) di Wilayah Persekutuan Labuan daripada
Fasa 3 kepada Fasa 4.
Antara kelonggaran yang akan dinikmati penduduk di Labuan dengan
peralihan kepada Fasa 4 adalah seperti:
1) Semua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi dengan kapasiti
pekerja 100% tertakluk kepada Prosedur Operasi Standard (SOP)
yang berkuatkuasa.
1
2) Seminar, bengkel, kursus, dan aktiviti berkaitan mesyuarat
bersemuka dibenarkan dengan kapasiti ruang 50%.
3) Majlis sosial seperti kenduri-kendara, sambutan perayaan,
pertunangan, retreat, reunion dan lain-lain majlis sosial dibenarkan
dengan had 50% berdasarkan kapasiti premis/ dewan dengan
mengamalkan penjarakan fizikal.
Semua kebenaran ini tertakluk kepada SOP yang dikuatkuasa.
Manakala, bagi Negeri Sembilan, keadaan COVID-19 juga bertambah
baik dengan menunjukkan trend penurunan penggunaan wad ICU
daripada lebih 120% kapasiti pada hujung Mei kepada kurang daripada
40% semalam (23 Ogos 2021). Perkembangan tersebut adalah selaras
dengan pencapaian kadar vaksinasi yang semakin tinggi iaitu 72.3%
daripada kalangan populasi dewasa yang telah menerima 2 dos. Ini
menunjukkan bahawa Negeri Sembilan berada pada landasan yang betul
untuk mencapai sasaran imuniti kelompok dalam masa terdekat.
Sehubungan dengan itu, kerajaan mengumumkan peralihan Fasa PPN di
Negeri Sembilan daripada Fasa 1 kepada Fasa 2. Keputusan ini
diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas MKN dan atas nasihat
KKM.
Antara kelonggaran yang akan diberikan kepada penduduk Negeri
Sembilan adalah sama seperti negeri-negeri lain yang telah beralih
kepada Fasa 2 berdasarkan PPN adalah seperti:
1) Pergerakan rentas daerah dibenarkan bagi individu yang lengkap 2
dos vaksin.
2) Pasangan suami isteri jarak jauh dibenarkan merentas negeri bagi
tujuan berjumpa pasangan masing-masing, dengan syarat kedua-
duanya telah lengkap 2 dos vaksin.
2
3) Ibu bapa/ penjaga yang mempunyai anak di bawah umur 18 tahun
serta menetap di negeri lain dibenarkan merentas negeri untuk
berjumpa, dengan syarat kedua ibubapa/ penjaga mestilah lengkap
2 dos vaksin.
4) Aktiviti solat di masjid dan surau dibenarkan bagi individu yang
lengkap 2 dos vaksin, tertakluk kepada ketetapan dan SOP oleh
Pihak Berkuasa Agama Negeri. Aktiviti keagamaan di rumah ibadat
agama lain bagi individu yang lengkap menerima 2 dos vaksin
tertakluk kepada ketetapan Kementerian Perpaduan Negara (KPN).
5) Hanya pelanggan yang telah lengkap menerima 2 dos vaksin
dibenarkan untuk dine-in di restoran, warung dan premis kedai
makan, manakala pemilik premis pula WAJIB memaparkan notis
penerimaan pelanggan yang telah lengkap divaksinasi.
6) Aktiviti pelancongan hanya dibenarkan dalam negeri yang sama
sahaja, dengan syarat WAJIB telah menerima 2 dos vaksin bagi
mereka yang ingin menginap di hotel dan homestay.
Pengumuman peralihan ini berkuatkuasa bermula 26 Ogos 2021 bagi
Wilayah Persekutuan Labuan dan Negeri Sembilan.
3
Berikut dipaparkan statistik terkini jumlah kadar vaksinasi lengkap
berjumlah 13,315,774 juta individu (iaitu 56.9% daripada kalangan
populasi dewasa) dan jumlah kadar vaksinasi 1 dos ialah 18,476,589
individu (iaitu 78.9% daripada kalangan populasi dewasa).
Statistik kadar vaksinasi bagi setiap negeri sehingga 23 Ogos 2021
adalah seperti berikut:
Bil Negeri Lengkap 2 Dos Peratusan Populasi Dewasa
Lengkap 2 Dos (%)
1 WP Labuan 63,271 92.4
2 Sarawak 1,744,895 85.4
3 Lembah Klang 5,250,427 85.2
4 Negeri Sembilan 72.3
5 Perlis 588,880 62.4
6 P. Pinang 113,124 47.1
7 Melaka 643,909 46.8
8 Terengganu 316,899 42.8
9 Pahang 346,163 42.7
10 Perak 502,644 41.4
11 Johor 771,988 38.8
12 Kedah 1,052,497 38.3
13 Kelantan 589,604 37.6
14 Sabah 465,245 31.4
866,228
Maklumat mengenai Prosedur Operasi Standard (SOP) yang lebih
terperinci boleh didapati di laman sesawang www.mkn.gov.my
Walaubagaimanapun, seluruh rakyat diingatkan untuk terus mematuhi
SOP dan amalkan kawalan kendiri demi menjaga keselamatan diri dan
keluarga.
4
Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Agensi-Agensi
Penguatkuasaan yang lain juga akan mempertingkatkan kawalan
daripada segi sekatan jalan raya (SJR) bagi mengawal pergerakan rentas
negeri sekaligus mengekang penularan jangkitan COVID-19 di seluruh
negara.
Amalkan “lockdown kendiri”. Kekal di rumah dan amalkan gaya hidup
sihat bersama keluarga dalam lingkungan kawasan rumah sendiri.
Terima kasih.
#KeluargaMalaysia
#StaySafeStayHome
#AmalkanKawalanKendiri
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI YAAKOB
PERDANA MENTERI
24 OGOS 2021
5