PERPUSTAKAAN DESA ZON 3 KEDAH
PERPUSTAKAAN DESA KAMPUNG TRADISI
LEMBAH KERIANG
2022
ARTIKEL PILIHAN
Telefon pintar
DISEDIAKAN OLEH:
ADLIN MASTURA BINTI CHE HAD
PEMBANTU PUSTAKAWAN S19
PERPUSTAKAAN DESA KAMPUNG TRADISI LEMBAH
KERIANG
06010 CHANGLUN
KEDAH
PRAKATA
Setinggi-tinggi syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izinnya saya
dapat menyiapkan artikel pilihan bertajuk TELEFON PINTAR.Artikel pilihan
merupakan salah satu daripada perkhidmatan kesedaran semasa kepada
para pengguna yang disediakan di perpustakaan desa.
Artikel pilihan ini diterbitkan sebagai panduan atau rujukan kepada
pengguna perpustakaan desa atau sesiapa sahaja yang ingin
mendapatkan maklumat mengenai topik ini.
Sekalung penghargaan dan terima kasih kepada rakan sekerja dan
pasukan petugas Zon 3 Kedah khususnya atas bantuan dan sokongan
dalam usaha menyiapkan artikel pilihan ini.Semoga artikel ini akan
memberi manfaat buat semua.
Sekian,terima kasih.
Disediakan oleh,
Adlin Mastura binti Che Had
Pembantu Pustakawan
PD Kg Tradisi Lembah Keriang
PERPUSTAKAAN DESA ZON 3 KEDAH
PERPUSTAKAAN DESA KAMPUNG TRADISI LEMBAH KERIANG
BORANG INDEKS ARTIKEL PILIHAN
PERKARA : TELEFON PINTAR
BIL SUMBER JUDUL
1. https://www.astroawani.com/gaya Malaysia di tempat ketiga dalam
-hidup/malaysia-di-tempat-ketiga- senarai ketagihan telefon Bimbit
dalam-senarai-ketagihan-telefon-
pintar-kajian-346548
2. https://www.hmetro.com.my/itmet Kesan penggunaan yang melampau
ro/2020/08/611391/ketagihan- di kalangan pelajar
telefon-pintar
3. https://www.sinarharian.com.my/ Telefon pintar punca ketagihan
article/194391/SUARA- internet?
SINAR/Analisis-Sinar/Telefon-
pintar-punca-ketagihan-internet
4. https://hellodoktor.com/kesihatan- Cara atasi ketagihan telefon
mental/ketagihan/ketagihan-
telefon-pintar/
Malaysia di tempat ketiga dalam senarai ketagihan telefon pintar -
Kajian
Malaysia berada di tempat ketiga di belakang China dan Arab Saudi.
SATU kajian mendedahkan negara yang mempunyai kadar ketagihan
telefon pintar tertinggi di dunia.
Penyelidik di Universiti McGill, Kanada, menggunakan data penggunaan
telefon pintar antara 2014 dan 2020 daripada hampir 34,000 peserta di
seluruh dunia.
Malaysia berada di tempat ketiga di belakang China dan Arab Saudi,
manakala Jerman dan Perancis mempunyai kadar ketagihan paling
rendah.
Kajian tersebut diterbitkan dalam jurnal Computers in Human Behavior.
"Kami menjalankan meta-analisis penggunaan telefon pintar yang
bermasalah, memberi tumpuan kepada golongan belia.
"Penggunaan telefon pintar bermasalah meningkat di seluruh dunia antara
2014 dan 2020, dan kami menjangkakan trend ini akan berterusan," tulis
pasukan itu dalam kertas laporan kajian mereka.
Sumber :
https://www.astroawani.com/gaya-hidup/malaysia-di-tempat-ketiga-dalam-
senarai-ketagihan-telefon-pintar-kajian-346548
KESAN PENGGUNAAN YANG MELAMPAU DALAM KALANGAN
PELAJAR
PENGGUNAAN telefon pintar pada hari ini sudah dianggap sebagai
barangan 'keperluan' kerana ia bukan saja medium komunikasi sebaliknya
menjadi tempat untuk mengetahui maklumat semasa, produktiviti tugasan
harian selain komunikasi antara individu sehingga kepada kelompok besar.
Pada hari ini juga bukan menjadi kehairanan apabila kita melihat kanak-
kanak sudah memegang telefon pintar mungkin untuk menonton kartun
atau sebagainya malah bukan satu perkara pelik, murid di peringkat
sekolah rendah sudah memiliki telefon pintar.
Ia tidak dinafikan bahawa telefon pintar ini memudahkan serta meluaskan
jaringan komunikasi. Jika beberapa dekad lalu, telefon hanya untuk
panggilan saja, kini menerusi telefon kita boleh melaksanakan persidangan
video, menghadiri seminar atas talian dan pelbagai kemudahan lain lagi.
Menghantar mesej, mencari maklumat, merakam suara dan mengambil
gambar dianggap biasa oleh pengguna telefon pintar pada hari ini.
Mungkin satu hari nanti melalui kecanggihan sistem teknologi, mesej yang
dihantar berubah seolah-olah pengirim berada di hadapan penerima yang
menyebabkan pengguna semakin obses dan ketagih menggunakannya.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) melaporkan
bahawa terdapat peningkatan peratusan pengguna Internet dari 76.9
peratus pada 2016 menjadi 87.4 peratus pada 2018.
Tinjauan ini mendapati bahawa rata-rata, pengguna menghabiskan 6.6 jam
dalam talian sehari melayari Internet antaranya melalui medium telefon
pintar.
Persoalannya, mengapakah pengguna menghabiskan masa selama itu
dengan telefon pintar? Adakah wujud ketagihan terhadap telefon pintar?
Kajian menunjukkan sekiranya pengguna kerap menggunakan telefon
pintar lebih dari satu jam sehari dan memberi kesan kepada kesihatan
fizikal dan psikologi, maka ia dianggap satu ketagihan.
PENGGUNA mempunyai kecenderungan sosial yang tinggi cenderung
menggunakan telefon pintar dengan lebih kerap melayari media sosial. -
FOTO Google
Pengguna yang mempunyai kecenderungan sosial yang tinggi cenderung
menggunakan telefon pintar dengan lebih kerap untuk melayari media
sosial.
Namun begitu, ketagihan itu boleh dikawal sekiranya kekerapan
dipengaruhi faktor ingin bersosial dan mengekspresikan diri seiring dengan
perkembangan semasa.
Sewaktu krisis wabak Covid-19 umpamanya dan rakyat diarah mematuhi
peraturan kawalan pergerakan (PKP), ketika inilah kuasa telefon pintar
terserlah.
Penulis percaya, ketika ini telefon pintar dimanfaatkan dengan sebaik-
baiknya bagi memenuhi keperluan mendapatkan maklumat yang berkaitan
serta meluaskan pengetahuan dan kesedaran mengenai sesuatu isu.
Pada asasnya terdapat dua faktor yang mendorong pengguna menjadikan
telefon pintar sebagai sumber maklumat.
Telefon pintar mampu memperkayakan idea pengguna dan
memperagakan sesuatu keadaan secara lebih simbolik yang akhirnya
berupaya menarik sensitiviti pengguna.
Ini bermakna, telefon pintar mengukuhkan lagi maklumat yang sedia ada
dalam diri pengguna dan akhirnya mengikat mereka agar terus kekal
menggunakan telefon pintar.
Pada masa yang sama, faktor keperluan pengguna terhadap gajet seperti
keperluan kognitif, afektif, peribadi, sosial dan keperluan melepaskan
perasaan turut meningkatkan kadar penggunaan telefon pintar.
Hakikatnya, telefon pintar amat berkuasa mempengaruhi pengguna.
Penulis adalah Ketua Laboratori Generasi Siber, Institut Pengajian
Sains Sosial (IPSAS), Universiti Putra Malaysia (UPM)
Sumber:
https://www.hmetro.com.my/itmetro/2020/08/611391/ketagihan-telefon-
pintar
Telefon pintar punca ketagihan internet?
Penggunaan telefon pintar di sekolah dikhuatiri mengundang lebih banyak
masalah di kemudian hari termasuk kebimbangan berlakunya ketagihan
internet dalam kalangan murid.
TELEFON pintar sudah menjadi keperluan penting dalam kalangan
masyarakat hari ini kerana banyak memudahkan urusan harian seperti
perniagaan, kewangan, pembelajaran, malah dalam urusan tempahan
makanan dan minuman.
Dengan kelajuan capaian internet terutama di bandar besar meningkatkan
penggunaan telefon pintar bagi segenap lapisan masyarakat tanpa
mengira batasan umur, pekerjaan mahupun taraf sosial.
Kemunculan pelbagai aplikasi dan permainan dalam talian, laman media
sosial, portal jual beli dan perkhidmatan penstriman mula mempengaruhi
gaya hidup masyarakat terutama golongan remaja. Sedar atau tidak, ia
turut menyebabkan berlakunya ketagihan internet yang boleh
menyumbang kepada gangguan psikologi, masalah kesihatan,
kemurungan, komunikasi dan interaksi sosial.
Menurut Laporan Eksekutif Dapatan Kajian Tanda Aras Tahap
Keselamatan Siber Dalam Kalangan Murid Sekolah dan Ibu Bapa
2021/2022 yang dikeluarkan Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan
(BSTP) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), terdapat beberapa tanda
menunjukkan seseorang itu mengalami masalah ketagihan internet.
Antaranya ialah marah apabila tidak dibenarkan menggunakan telefon
pintar dan tidur lewat kerana leka melayari internet di telefon pintar.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa sebelum ini
berkata, kadar ketagihan internet di Malaysia ketika ini tinggi berbanding
kebanyakan negara-negara lain.
Kajian mendapati ketagihan internet berlaku disebabkan tahap kesedaran
yang rendah dalam kalangan ibu bapa dan boleh mengundang risiko
keselamatan siber terhadap generasi muda.
Kajian Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) dan
Universiti Utara Malaysia (UUM) terhadap 2,007 responden dari seluruh
negara juga mendapati lebih 60 peratus golongan belia berusia 18 hingga
25 tahun di Malaysia dikesan menghabiskan masa lebih lima jam sehari
untuk melayari internet, terutama bahan berunsur hiburan.
Kajian turut menunjukkan majoriti mereka menghabiskan masa dengan
WhatsApp dan Facebook sehingga berisiko mengalami simptom
keresahan berpunca daripada ketagihan Laman Rangkaian Sosial (SNS).
Masalah capaian internet masih hantui pelajar
Berdasarkan kesemua hasil kajian yang dijalankan itu menunjukkan
bahawa penggunaan telefon pintar menyumbang kepada masalah
ketagihan internet dalam kalangan remaja di negara ini dan akan terus
meningkat sekiranya tiada kawalan daripada diri sendiri, ibu bapa dan
pihak berwajib.
Oleh kerana itu, masih ramai golongan ibu bapa yang skeptikal mengenai
kebenaran membawa telefon pintar ke sekolah untuk tujuan pengajaran
dan pembelajaran (PdP) atau aspek keselamatan bagi memudahkan
pemantauan keberadaan anak masing-masing. Penggunaan telefon pintar
di sekolah dikhuatiri mengundang lebih banyak masalah di kemudian hari
termasuk kebimbangan berlakunya ketagihan internet dalam kalangan
murid dan gangguan ketika proses PdP sekiranya tiada kawalan dibuat.
Dalam pada itu, terdapat juga barisan pendidik dan ibu bapa yang
berpendapat sudah tiba masanya membenarkan pelajar membawa peranti
pintar ke bilik darjah tetapi perlu ada peraturan untuk mengelakkan
kebenaran tersebut disalahgunakan.
Mahu atau tidak, lambat laun penggunaan telefon bimbit di sekolah perlu
dilaksanakan kerana tuntutan PdP berasaskan teknologi digital yang akan
menjadi sebahagian elemen penting dalam institusi pendidikan di masa
akan datang.
Penulis juga berpendapat sudah tiba masanya semua pihak mencari
solusi, garis panduan konkrit, kaedah pelaksanaan dan kawalan supaya
kebenaran menggunakan telefon bimbit di sekolah tidak menimbulkan isu
berbangkit atau mendatangkan lebih banyak keburukan berbanding
kebaikan.
Penghujungnya, perkara pokok yang kita semua mahukan ialah melihat
anak-anak dapat meneruskan pembelajaran dengan lancar dan tidak
tercicir dalam penggunaan teknologi digital, dalam masa sama generasi
muda tidak berdepan dengan masalah ketagihan internet pada masa
depan.
Sumber :
https://www.sinarharian.com.my/article/194391/SUARA-SINAR/Analisis-
Sinar/Telefon-pintar-punca-ketagihan-internet
Cara Atasi Ketagihan Telefon
Ketagihan bukan hanya melibatkan isu seperti dadah atau minuman
beralkohol, tetapi juga telefon pintar. Ini cara mengatasi ketagihan telefon
pintar yang anda perlu tahu.
Maksud ketagihan telefon pintar
Perasan tak, anda mungkin menghabiskan lebih banyak masa di media
sosial atau bermain permainan daripada berinteraksi dengan individu
sebenar.
Anda juga mungkin tidak boleh menahan diri daripada berulang kali
memeriksa mesej, e-mel, atau aplikasi di telefon pintar walaupun ia
mempunyai kesan negatif dalam hidup anda.
Mungkin sudah sampai waktunya untuk anda menilai semula penggunaan
teknologi anda.
Ketagihan telefon bimbit juga kadangkala dikenali sebagai “nomophobia”
(takut hidup tanpa telefon bimbit). Ia sering didorong oleh masalah
penggunaan internet atau gangguan ketagihan internet.
Bukan telefon atau gajet itu yang menjadi puncanya, tetapi permainan,
aplikasi, dan dunia dalam talian yang membuatkan kita ketagihan.
Tanda-tanda anda ketagihan telefon pintar
Berikut adalah antara tanda-tanda jika anda sudah menggunakan telefon
secara berlebihan:
1. Bermasalah menyelesaikan tugas di tempat kerja atau di rumah
Adakah anda perasan banyak tugasan anda di rumah tidak dapat
diselesaikan pada waktunya? Atau mungkin juga anda bekerja lebih lewat
kerana tidak dapat menyelesaikan tugasan tepat pada waktunya?
Ia mungkin kerana anda banyak menghabiskan masa dengan berbual di
WhatsApp, atau bermain permainan video.
2. Mengasingkan diri daripada keluarga dan rakan-rakan
Adakah kehidupan sosial anda menjadi semakin teruk kerana anda
menghabiskan banyak masa dengan telefon atau gajet lain sepanjang
masa?
Sekiranya anda sedang melepak atau berbual dengan rakan, adakah anda
tidak dapat mengikuti apa yang dikatakan kerana kerap bermain dengan
telefon?
Atau adakah rakan atau ahli keluarga anda ada menyatakan kebimbangan
mereka mengenai jumlah masa yang anda habiskan di telefon?
Kesemua ini membawa maksud bahawa anda telah mengasingkan diri
anda daripada dunia sebenar.
3. Menyembunyikan penggunaan telefon
Jika anda pernah menyelinap keluar ke tempat lain semata-mata untuk
menggunakan telefon, atau menyembunyikan penggunaan telefon pintar
daripada bos dan keluarga, ini tanda anda mengalami ketagihan.
Seseorang yang obses telefon juga akan berasa jengkel atau naik angin
sekiranya diganggu semasa menggunakan telefon.
4. Berasa takut jika ketinggalan
Tidak senang jika ketinggalan sebarang berita atau maklumat penting
daripada telefon, atau anda sering bangun malam hanya untuk memeriksa
telefon; ini tanda-tanda ketagihan telefon pintar.
5. Rasa takut, cemas, atau panik jika anda tertinggal telefon
Anda akan berasa cemas atau panik jika telefon anda tidak berada
bersama anda setiap masa.
Anda juga akan berasa hal yang sama sekiranya bateri telefon anda
semakin berkurangan atau telefon anda tidak dapat dihidupkan.
Cara mengatasi ketagihan telefon pintar
Bagi sesetengah individu, pengawalan terhadap penggunaan internet dan
telefon pintar mungkin akan menjadi sedikit sukar. Namun, matlamat anda
hanyalah untuk mengurangkan penggunaannya kepada tahap penggunaan
yang lebih sihat.
Antara perkara yang boleh dilakukan sebagai cara mengatasi ketagihan
telefon pintar adalah seperti berikut:
#1. Tetapkan matlamat bilakah anda boleh menggunakan telefon
pintar
Sebagai contoh, anda mungkin boleh menentukan penggunaan telefon
pintar pada waktu-waktu tertentu sahaja dalam sehari.
Jadikan penggunaan telefon sebagai ganjaran untuk anda setelah selesai
tugasan rumah atau pekerjaan anda.
#2. Matikan telefon anda pada waktu-waktu tertentu dalam sehari
Matikan telefon anda pada waktu tertentu seperti ketika anda memandu,
dalam mesyuarat, di gim, makan malam, atau bermain dengan anak-anak
anda.
Jangan bawa telefon anda ke tandas atau bilik mandi.
#3. Jangan bawa telefon atau tablet anda ke tempat tidur
Lampu biru yang dipancarkan oleh skrin telefon boleh mengganggu tidur
anda jika digunakan dalam masa dua jam sebelum waktu tidur.
Matikan telefon anda dan biarkannya di bilik lain semalaman untuk dicaj.
#4. Gantikan penggunaan telefon pintar anda dengan aktiviti yang
lebih sihat
Sekiranya anda bosan dan kesepian, tahan keinginan untuk menggunakan
telefon pintar boleh menjadi sesuatu yang sangat sukar.
Lakukan perkara lain yang lebih menyihatkan untuk mengisi masa anda,
seperti bermeditasi, membaca buku, atau berbual dengan rakan secara
langsung.
#5. Buang aplikasi media sosial daripada telefon anda
Untuk memeriksa akaun media sosial anda, gunakan aplikasi di komputer
berbanding telefon.
Dengan itu, anda tidak akan meluangkan banyak masa anda hanya di
telefon sahaja. Ingat, apa yang anda lihat mengenai orang lain di media
sosial kadangkala bukanlah gambaran sebenar kehidupan mereka.
Jangan bandingkan diri anda dengan mereka, kerana berkemungkinan
kehidupan anda jauh lebih baik dari segi realiti.
Kesimpulan
Gunalah telefon anda untuk keperluan sahaja. Jangan jadikan hidup anda
dikawal oleh telefon pintar 100%. Ikuti cara mengatasi ketagihan telefon
pintar yang telah kami kongsikan ini.
Sumber :
https://hellodoktor.com/kesihatan-mental/ketagihan/ketagihan-telefon-
pintar/
RUJUKAN
https://www.irujukan.my/kesan-telefon-bimbit/
https://www.hmetro.com.my/itmetro/2020/08/611391/ketagihan-telefon-
pintar
https://www.sinarharian.com.my/article/194391/SUARA-SINAR/Analisis-
Sinar/Telefon-pintar-punca-ketagihan-internet
https://hellodoktor.com/kesihatan-mental/ketagihan/ketagihan-telefon-
pintar/