The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by g-08338698, 2022-01-12 22:45:27

Jatuh Bangun

Jatuh Bangun

Bam!

Bola yang aku cuba sambut jatuh ke lantai. Aku mengetap gigiku sambil tanganku
digenggam kemas. Sekali lagi, mata diperoleh pihak lawan. Satu lagi mata, pihak
lawan akan memenangi set pertama. Aku menumbuk lantai sambil menyalahkan diri
sendiri sebagai ketua pasukan yang tidak bagus. Bahu aku ditepuk oleh Anas. Dia
tersenyum sambil menggelengkan kepalanya kepadaku.

“Belum lagi masanya untuk kau mengalah. Kita belum kalah.” Katanya sambil
menarik aku bangun. Aku menganggukan kepalaku sambil tersenyum.

Aku berlari anak masuk kembali ke gelanggang bola tampar. Kini masanya untuk
pihak lawan melakukan servis. Aku mempersiapkan diriku untuk menyangga
servisnya. Mataku tertumpu pada bola. Suasana disekelilingku sunyi seolah-olah
hanya aku dan pihak lawan yang bakal melakukan servis sahaja.

Aku menarik nafas sedalam-dalamnya dan menahannya selama 10 saat lalu aku
hembuskan secara perlahan-lahan. Aku mengulangi perbuatan tersebut sebanyak
tiga kali. Tumpuan aku kembali kepada server dan bola yang berada di dalam
tangannya. Dia mula melambungkan bola ke atas lalu menamparnya menghala ke
arah ku.

Aku menyambut bola tersebut dengan mudah. Bola tersebut menuju ke arah Amir.
Kelihatan Amir melakukan isyarat bahawa dia akan melakukan serangan serentak.
Aku tersenyum kecil. Kesemua rakan sepasukanku berlari dengan menggunakan
tempo yang berbeza. Amir yang memegang posisi setter menyambut bola lalu
melambungnya ke bahagian diantara kesemua pemain penyerang. Bola tersebut
kemudiannya disambut oleh Anas.

Posisi pertahanan pihak lawan agak keliru dengan serangan yang kami lakukan.
Anas melakukan spike tanpa dihalang oleh blocker dari pihak lawan. Pasukanku
meraih satu mata setelah ketinggalan tiga mata di belakang. Aku menepuk bahu
Anas dan Amir sambil tersenyum bangga.

“Sekali lagi!”, kataku sambil memegang bahu kedua mereka. Mereka tersenyum
sambil cuba mengawal nafas mereka kembali.

“Baik kapten!”, Aku tersenyum senang mendengar respon mereka.

Mereka kembali ke posisi mereka. Manakala sekarang giliran aku untuk melakukan
servis. Aku mengambil bola daripada pengadil. Risiko melakukan servis memang
tinggi dan jika servis tidak berhasil, ia akan mempengaruhi keseluruhan pasukan.

“Nice serve Danial!”, laung jurulatih yang berada di luar gelanggang. Aku menarik
nafas dalam lalu menghembuskannya secara perlahan-lahan. Aku memandang
tempat yang menjadi targetku.

Aku melambung bola tersebut dengan lembut. Kedudukan bola tersebut tidaklah
terlalu tinggi namun tidak juga terlalu rendah. Aku menampar bola tersebut menuju
ke arah yang telah aku tetapkan. Setelah melakukan servis, aku kembali ke posisi
pertahanan.

Aku memerhati pergerakan pihak lawan. Pemain yang berbaju jersi nombor lima itu
cuba untuk menyangga servis milikku. Namun sebaliknya dia mengelak.

“Out!”, laungnya. Aku terdiam. Pihak lawan dah menang set pertama.

Aku menundukkan kepalaku sedikit. Malu untuk melihat wajah rakan sepasukan ku.
Aku berjalan menuju ke luar gelanggang. Rakan sepasukan yang lain juga turut
mendiamkan diri. Rasa bersalah semakin menyelubungi diri. Semangat juang aku
sudah terpadam. Aku harus diganti. Jika tidak, aku akan mempengaruhi ahli
pasukan yang lain. Aku berjalan mendekati jurulatih pasukan kami. Belum sempat
aku membuka mulut, jurulatih telah memberikan jawapan.

“Tak boleh.” Aku mengangkat kepalaku penuh tanda soal.

“Tapi coach… Saya belum cakap apa-apa lagi.” Kataku. Sambil mengerutkan dahi.
Jurulatih mengetuk kepalaku perlahan.

“Kau nak minta supaya kau diganti kan?”, Aku mengangguk perlahan. Seluruh ahli
pasukan melihat aku. Anas melihatku bersama riak tidak puas hati.

“wah wah kau… senangnya kau nak larikan diri ye Danial. Daripada kau minta
supaya kau diganti sebab rasa bersalah bagai tu. Lebih baik kau tebus balik markah
yang kau hilang. Itu lagi bagus. Daripada kau tunjuk diri kau yang lemah semangat
ni kemudian kau mempengaruhi ahli pasukan yang lain sebab ketua mereka tu dah
patah semangat. Lebih baik kau tunjuk sifat kau yang melayakkan kau menjadi ketua

pasukan.”, perli Anas sambil mengelap lehernya yang basah lencun disebabkan
peluh.

Aku terpempan dengan kata-kata Anas. Ada betulnya juga kata-kata dia ni. Kalau
aku tunjuk yang aku dah kehilangan semangat juangku, maka ahli pasukan lain juga
akan terpengaruh sama. Malah mungkin kami akan mengalami kekalahan yang
teruk hanya disebabkan tindakan kurang pandaiku tadi.

Faris yang memegang posisi libero mendekatiku. Dia memandangku dengan
pandangan marah. Dia menghayunkan penumbuknya ke arah dadaku. Dia
menumbuk dengan kuat dadaku berkali-kali.

“Semangat sikit Kapten Daniel! Jangan tunjuk yang Kapten ni lemah. Jarang tau
saya nak tumbuk senior ni tapi kapten memang minta ditumbuk! Bersemangat cepat
Kapten!” Ahli pasukan yang lain tergelak dengan tingkah laku Faris.

Aku juga turut tergelak dengan tingkah laku pelajar tingkatan tiga ini. Aku
menangkap pergelangan tangannya yang menumbuk dadaku. Wajahnya yang
begitu serius membuatkan aku tersenyum senang. Jurulatih yang hanya diam dari
tadi juga turut tersenyum kecil. Aku memandang setiap rakan sepasukanku lalu
mengeluh.

“Haihh… disebabkan semua orang tak bagi aku berhenti main. Jadi nak buat macam
mana? Kenalah main juga kan? Nanti aku kene tumbuk lagi hahahaha.”, kataku
sambil menepuk-nepuk bahu Faris yang masih berwajah cemberot.

“Macam itulah baru Kapten! Dah jom.”, Anas berkata sambil mengajak kami
melangkah masuk semula ke dalam gelanggang.

Kali ini kedudukanku di bahagian pertahanan belah kiri. Pihak lawan akan
melakukan servis. Namun kalini aku tak perlu rasa begitu tertekan kerana Faris
sudah masuk ke gelanggang. Maka, pertahanan pasukan kami menjadi semakin
kukuh. Aku tersenyum memandang Anas yang berada di posisi penyerang dan
rakan sepasukan yang lain.

Bola tampar adalah permainan berkumpulan dan semua yang berada di sebalik
jaring adalah lawan manakala yang berada di bahagian kau berdiri ini adalah kawan.
Kali ini pasti menang!

Suasana semakin bingit disebabkan penyokong pihak lawan yang bersorak agar
kemenangan dimiliki oleh sekolah mereka. Memandangkan mereka telah
memenangi set yang pertama. Kelihatan wajah setiap pemain lawan juga agak
fokus.

Pemain berpakaian jersi nombor Sembilan ingin melakukan servis. Suasana stadium
senyap buat seketika waktu. Semuanya meletakkan sepenuh perhatian terhadap
pemain nombor Sembilan itu. Termasuklah aku yang berkemungkinan menyambut
servisnya.Dia melambungkan bola tersebut lalu menamparnya menuju ke arahku.
Aku memerhati dan meramal arah bola tersebut bakal mendarat.

"Out!", Aku melaungkan kata-kata tersebut penuh yakin.

Namun, mata pertama diberikan kepada pihak lawan. Aku terpana seketika. Bola
tadi tidak jatuh di luar gelanggang? Pengiraan aku salahkah sebentar tadi? Aku
mempersoalkan diriku sendiri.

"Sudah! Jangan fikir tentang kesalahan tadi! Rampas balik dari mereka markah yang
kita hilang!", Jerit Anas yang berada di barisan depan.

"Sekali lagi!", Jerit Faris yang berada disebelah kanan ku. Aku berasa tercabar
dengan mereka.

Kami membalas kata-kata Faris dengan laungan yang menandakan kami semua
masih belum kalah.

Dua puluh minit telah berlalu. Pasukanku telah mencapai mata penentuan. Lagi satu
mata untuk kami raih. Kemudian kami akan peroleh seri dan akan berlawan pada set
yang ketiga. Jantung aku berdegup kencang seolah-olah aku tidak punya nafas yang
cukup.Aku menampar kedua-dua belah pipiku berkali-kali.

'Fokus Danial! Dapatkan mata yang terakhir ni!', Monologku sambil menampar
pipiku.

Aku melihat keadaan rakan sepasukan ku yang lain. Kesemuanya bagaikan tidak
cukup nafas. Aku mengelap peluhku yang mengalir di pipi kiri ku.

Disebabkan sebentar tadi pihak lawan telah mendapatkan mata, maka kini mereka
yang akan melakukan servis. Aku memaksa diri untuk fokus. Nafas yang berat aku
hembus sekuat mungkin.

Faris yang berada di luar gelanggang aku pandang. Kini tanggungjawab menyambut
servis hampir sepenuhnya milikku. Aku tak boleh biarkan pihak lawan yang
ketinggalan hanya dua mata di belakang meraih mata. Kami akan memenangi
pertandingan fizikal dan mental ini.

Pihak lawan telah melakukan servis yang ringkas kepada kami. Bola yang menghala
ke arahku agak meragukan. Arahnya langsung tidak dapat dibaca. Ianya seolah-olah
terus menghala ke arah kiri.

Setelah bola tersebut mendekati, aku terus menghala ke arah kiri bagi menyangga
bola itu. Namun bola itu akhirnya mendarat di arah di mana tiada sesiapa pun yang
berada disitu.

"Tch!" Aku berdecit sendirian. Sekali lagi pihak lawan meraih mata. Aku harus
rampas balik mata tadi!

'Jangan lalai… Jangan lalai… Fokus Danial fokus Danial fokus Danial', Aku memberi
peringatan kepada diri sendiri.

Sekali lagi, pihak lawan melakukan servis. Namun servis kalini dilakukan dengan
lebih kuat dan kepantasan bola tersebut makin meningkat. Aku dapat membaca arah
bola tersebut. Lantas aku mengejar bola itu lalu menyangga nya dengan baik. Bola
itu terus menuju ke arah Amir yang berada di posisi setter.

"Amir! Kanan!", Laung Hazrin yang berada di sebelah kanan ku.

Hazrin berlari dengan pantas ke hadapan. Amir yang mendengar laungan Hazrin
terus melambungkan bola itu kepadanya. Hazrin yang mempunyai fizikal yang tegap
dan tinggi itu menampar bola tersebut dengan sekuat hati. Dua blocker berada
dihadapannya mencuba sedaya upaya untuk menghalang bola tersebut. Mereka
berjaya menyentuh bola tersebut.

"One touch!", Laung lelaki yang memakai kaca mata serta memakai jersi bernombor
sebelas tersebut. Aku mengetap gigiku apabila mendengar perkataan tersebut.

“Anas! Ammar! Sedia!”, laungku mengarahkan mereka agar mereka bersedia untuk
menghadang bola tersebut.

Aku memerhati setiap pergerakan pihak lawan yang bakal melakukan serangan.
Mereka menggunakan pelbagai helah untuk memperdaya pertahanan pasukan ku.
Lebih-lebih lagi apabila pemain berjersi nombor sepuluh itu berada di dalam
gelanggang.

Kelihatan setter mereka telah menerima bola dan bakal melambungkannya kepada
salah satu penyerang yang sedang berlari dengan serentak. Aku tak dapat
membaca arah ke mana bola itu bakal pergi kerana tempo pergerakan kedua-dua
penyerang tersebut adalah sama.

‘Kiri atau Kanan?’, monologku sendirian.

Aku memerhati keberadaan Ammar dan Anas. Mereka bersedia di bahagian kiri.
Maka, aku akan bersedia di pertahanan kanan. Andai penyerang di bahagian kanan
itu yang bakal melakukan serangan. Kedua-dua penyerang itu telah mendekati jaring
dan melompat dengan serentak. Bola dilambungkan kepada penyerang di sebelah
kiri.

Anas dan Ammar terus melompat untuk menghadang bola milik mereka. Namun,
pemain berjersi nombor sepuluh tersebut melambatkan tempoh lompatannya dan
menyebabkan penghadangan Ammar dan Anas tidak berhasil. Melihatkan keadaan
tersebut, aku segera berlari mengejar bola yang telah ditampar oleh pemain nombor
sepuluh itu.

Aku berjaya menyangga bola tersebut. Hampir sahaja bola itu jatuh ke lantai jika aku
terleka sebentar tadi. Bola tersebut tidak dihantar terus kepada setter. Sebaliknya, ia
kembali ke jaring pihak lawan. Aku berdecit tidak puas hati.

“Maaf!”, laungku bersama wajah yang berkerut.

Kali ini pihak lawan seperti cuba untuk melakukan teknik yang sama. bola yang telah
diterima mereka laju sahaja dihantar kepada pemain nombor sembilan yang
memegang posisi setter. Aku memerhati pergerakan setiap pemain. Kelihatan Anas
dan Ammar semakin peka dengan pergerakan pemain nombor sepuluh tersebut.
Aku yakin kali ini pemain nombor sepuluh hanyalah umpan buat pasukanku.

Seperti mana perlawanan mereka sebelum ini yang telah aku saksikan. Kebanyakan
pasukan yang menjadi pihak lawan mereka tertipu dengan umpanan pemain nombor
sepuluh yang terlalu menyerlah. Sehinggakan mereka terleka akan pemain lain yang
memegang posisi penyerang juga akan mengambil peluang tersebut bagi
melakukan serangan tanpa sebarang halangan.

Entah kenapa secara tiba-tiba aku rasa begitu tercabar dengan strategi mereka.
Seolah-olah mereka ingin menunjukkan betapa ramainya penghadang yang lalai dan
terlalu fokus terhadap yang paling hebat dan terkuat sehingga lupa untuk
memberikan perhatian kepada yang ‘biasa-biasa’ yang juga mempunyai peluang
besar untuk memberikan mata buat pasukan. Aku gelak sinis sendirian.

“Jangan leka! perhatikan pemain yang lain juga! Kemungkinan besar pemain
nombor sepuluh hanyalah umpan untuk memperdaya pertahanan kita!”, aku
memberikan amaran serta arahan kepada rakan sepasukan ku agar sentiasa peka
dengan setiap pemain.

“Baik!”, sahut mereka. Aku tersenyum puas dengan jawapan mereka.

‘Ayuhlah ke mari pemain nombor sembilan dan juga pemain nombor sepuluh!’,
Laungku di dalam hati.

Kelihatan pemain nombor sembilan tersebut menarik nafas yang dalam. Sebaik
sahaja dia menerima bola, dia terus menyilangkan tangannya dan menolak bola
tersebut ke dalam jaring kami. Aku cuba untuk menangkap bola tersebut. Namun
gagal. Aku memandang pemain nombor sembilan itu bersama wajah yang jelas
tidak berpuas hati. Dia hanya tersenyum seolah-olah mengatakan bahawa aku telah
ditipu olehnya.

“Wah!” Aku mendengar keriuhan pihak lawan yang telah memenangi set dua dan
melayakkan mereka untuk bermain di pusingan akhir.

Namun, situasi pasukanku adalah sebaliknya. Kesemuanya hanya diam sambil
memandang pasukan lawan yang sedang meraikan kemenangan mereka bersama
wajah cemburu dan iri hati. Aku juga yang masih terduduk di lantai menggenggam
penumbuk ku erat. Tubir mataku yang mula bertakung air aku kesat dengan kasar.

Aku berdiri dari duduk bersama senyuman yang dipaksa olehku. aku menarik bahu
Ammar dan Anas yang masih diam memandang pasukan lawan yang sedang
bergembira. Mereka memandangku. Aku hanya tersenyum menunjukkan bahawa
aku bangga dengan prestasi mereka pada hari ini.Aku juga turut memandang rakan
sepasukanku yang lain.

“Kalian dah lakukan yang terbaik. Aku bangga dengan kau semua.Terima kasih
untuk semua yang kita dah tempuh sepanjang tahun ni ya!” Kataku bersama
senyuman yang manis sebelum kami bergerak untuk melakukan aktiviti bersalaman
dengan pihak lawan.

Kami bersalaman dengan pihak lawan sambil mengucapkan tahniah kepada
mereka. Aku juga memuji sikap tenang dan kepantasan merangka strategi Tobio.
Kami mengemas barang untuk pulang ke rumah dan rehat secukupnya setelah
seharian bermain bola tampar. Banyak peristiwa yang berlaku hari ini.Kekalahan
yang telah kami peroleh setelah bertarung fizikal serta mental.

Cukup mengajarku pelbagai istilah dan motivasi untuk terus maju dalam sukan bola
tampar ini. Mungkin kekalahan hari ini ada hikmah disebaliknya. Mungkin ia untuk
membuatkan pasukanku serta diriku sedar bahawa setiap kali jatuh pasti ada
bangunnya. Setiap kejayaan pastinya bermula dengan kejatuhan dan usaha untuk
kembali bangkit.

-tamat-


Click to View FlipBook Version