Nukilan oleh : Hikmah Mantaha
Kampung Berdondey merupakan kampung yang paling hujung sekali
berbanding dengan kampung-kampung yang lain. Kawasannya yang terletak
berhampiran sungai dan hutan yang indah menyebabkan kampung ini sentiasa
terasa aman dan damai. Penduduk di kampung ini mempunyai bilangan
penduduk yang sedikit sahaja jumlahnya. Kebanyakan mereka bekerja sebagai
petani dan penternak binatang.
Mail dan Milah merupakan pasangan
suami isteri yang dikenali ramai oleh penduduk
di kampung itu. Perangai mereka yang suka
bersedekah dan baik hati menyebabkan orang
kampung selalu memuji perangainya.
Mail dan Milah sudah berkahwin lama
dan tiada rezeki untuk memiliki zuriat. Mail
dan Milah juga ada menternak kambing dan
ayam. Selain itu mereka juga bercucuk tanam
seperti menanam sayur-sayuran.
“ Milah, nanti kau hantarlah sayur-
sayuran yang aku petik tadi ke rumah jiran-jiran
kita. Kalau tidak diberikan kepada mereka takut
tak elok pula disimpan lama-lama. Yalah kitakan
berdua sahaja di rumah ini. Mana mampu nak
habiskan sayur-sayur itu” Kata Mail kepada
Milah.
“Baiklah abang, nanti Milah agihkan
sama banyak untuk diberikan kepada jiran-jiran
kita” Kata Milah.
“ Hidup kita di dunia ini bukan hanya
mencari harta sahaja Milah. Harta di akhirat
pun kena cari juga. Amalan bersedekah ni
pahalanya sampai ke akhirat selain daripada
amalan-amalan lain yang kita lakukan di dunia
ini” Sambung Mail lagi.
Sebelah pagi Mail dan Milah akan pergi ke
kebun untuk membersihkan kawasan kebun sayur
mereka. Sebelah petang pula Mail akan ke kandang
kambing dan reban ayamnya untuk memberi makan
dan minum haiwan ternakannya. Walaupun mereka
kuat bekerja namun tuntutan akhirat mereka tidak
dilupakan. Mereka akan berhenti berehat tengah hari
untuk makan dan menunaikan solat Zuhur.
Hasil ternakan dan tanaman Mail dan Milah
semakin hari semakin membuahkan hasil. Mereka
mendapat untung yang lumayan hasil titik peluh
mereka itu. Walaupun meraih untung yang banyak
namun mereka tetap mengamalkan amalan sedekah
kepada jiran-jiran mereka.
“ Lihatlah Milah, hasil usaha kita membuahkan hasil.
Sedikit pun tidak rugi kita bersedekah hasil titik peluh kita
kepada jiran-jiran kita” Kata Mail.
“ Betul tu abang. Semakin kita suka bersedekah
semakin murah rezeki kita dikurniakan oleh Allah S.W T “
Jawab Si Milah.
Kambing-kambing yang diternak oleh Mail kesemuanya
bunting dan menunggu masa untuk dilahirkan. Setelah seminggu
selepas itu kambing-kambingnya pun melahirkan anak. Dalam
banyak-banyak anak kambing itu, Milah tertarik dengan seekor anak
kambing itu. Bulunya berwarna kecoklat-coklatan bercampur warna
kelabu sedikit. Setiap hari Milah akan mengikut Mail ke ladang
kambing. Dia akan membelai anak kambing kesukaannya itu. Mail
hanya memerhatikan sahaja gelagat Milah.
“ Milah, kenapa abang tengok Milah suka sangat dekat anak
kambing yang seekor ni sahaja ya?” Tanya Mail.
“ Entahlah bang, Milah suka tengok warna bulu anak kambing ini.
Warnanya lain dari anak kambing yang lain.” Jawab Milah.
“ Macam-macamlah kau ni Milah. Nasib baik kau tak bawa kambing
ni tidur sama dalam bilik kita. Kalau tak cemburu abang tau. Asyik belai
kambing ni sahaja. Abang ni dibiarkan macam tu sahaja.” Seloroh Mail
kepada Milah. Milah ketawa terbahak-bahak.
“ Ha..ha..ha.. Apalah abang ni. Dengan kambing pun nak
cemburu. Abang ni sentiasa di dalam hati Milah tau bang. Tidak ada
siapa yang dapat gantikan abang dalam hati Milah ni.” Jawab Milah
sambil memandang muka Mail. Mereka bersama-sama ketawa.
“ Milah tak nak beri nama anak kambing tu ke?” Tanya Mail
kepada Milah.
“ Milah nak panggil nama Brown. Ok tak nama tu bang?”
Tanya Milah lagi.
“ Biar abang beri nama anak kambing tu. Abang nak
panggil dia dengan nama HACK.” Kata Mail.
“ HACK?Ermmmm..uniknya nama anak kambing tu
bang. Mana abang dapat nama tu?” Tanya Milah.
“ He..he..he..sudah seminggu abang perhatikan Milah
dengan anak kambing tu. Dari situ abang dapat ilham nak beri
nama anak kambing tu. Disebabkan Milah hanya suka dan cinta
dekat anak kambing tu sahaja jadi abang berilah nama dia HACK.
HACK tu maksudnya Hanya Aku Cintakan Kau. Ha..ha..haa”
Jawab Mail sambil ketawa terbahak-bahak.
“ Apalah abang ni. Suka hati je cakap Milah cintakan
kambing. Milah masih normal lagi tau bang. Boleh bezakan mana
satu cinta hati Milah. Tapi kan... sedap juga nama HACK tu.”
Jawab Milah tersenyum tersipu-sipu.
Sejak kewujudan HACK Milah setiap hari mengikut Mail ke
kandang untuk memberi makan dan minum binatang ternakannya.
Milah pula akan bermain dengan Si HACK.
Setelah selesai menjalankan tanggungjawab sebagai
penternak Mail dan Milah akan pulang ke rumah. Milah akan
menyediakan makan malam mereka berdua.
Pada keesokan harinya, sedang leka Milah bermain dengan Si HACK,
ada seekor ular sawa yang sedang menghampiri HACK. Milah berasa panik
melihat seekor ular sawa yang sangat besar.
“ Abanggg. Tolong Milah bang. Ada ular sawa bang.” Panggil Milah
sekuat hati. Namun panggilannya itu tidak didengar oleh Mail kerana pada
masa itu Mail berada jauh dari kandang kambing. Mail pergi ke reban ayam
untuk memberi makanan dan minuman kepada ayam-ayamnya.
Milah semakin resah kerana Mail tidak
datang setelah dipanggilnya. Dalam fikiran Milah
dia hanya hendak menyelamatkan HACK daripada
ditelan ular itu. Milah pun cuba mengusir ular sawa
itu dengan menggunakan sebatang kayu. Namun
nasib malang menimpa Milah. Ular itu telah
mematuk kakinya. Milah mengaduh kesakitan dan
akhirnya Milah pengsan.
Setibanya Mail di kandang kambing
dia kehairanan kerana HACK berlari laju ke
arahnya. Dia pelik melihat tiada kelibat
Milah bersama dengan HACK.
“ Mana tuanmu yang cantik tu HACK?”
Dia bertanya kepada HACK. HACK mencium-
cium tangan Mail seolah-olah hendak
memberitahu sesuatu.
Hatinya tiba-tiba tidak sedap dan
jantungnya berdegup kencang. Mail terus
berlari ke tempat yang selalu Milah
bermain dengan HACK. Luluhnya hati Mail
apabila melihat Milah sedang terbaring di
atas rumput.
“ Ya Allah Milah. Kenapa ni
Milah? Bangunlah Milah. Bangunlah.” Mail
menangis melihat muka Milah yang sudah
pucat lesi. Dia mengendong Milah untuk
meminta bantuan orang kampung
menghantar isterinya ke hospital.
“ Mail,harap kau bersabar ya Mail. Milah
sudah tiada. Bisa ular tu dah merebak ke
seluruh badan Milah.” Jelas Tok Penghulu
itu.
“Innalillahhiwainnailaihirojiun.” Kalimat
itu sahaja yang mampu keluar dari mulut
Mail.
Mail sangat sedih atas pemergian isteri tercinta. Dia
berasa menyesal kerana meninggalkan Milah
keseorangan semasa dia pergi ke reban ayam.
Sejak hari itu, Mail berasa sangat sunyi kerana
tiada lagi kedengaran celoteh daripada isterinya. Tiada
lagi orang yang menemankan dia pergi ke kandang
kambing dan reban ayam. Tiada lagi yang menemaninya
di dalam rumah.
Lebih menyedihkan Mail lagi apabila
melihat HACK. HACK seakan-akan memahami
bahawa Milah sudah tiada. HACK pun tak lalu
makan dan minum. HACK tidak seaktif seperti
sebelum ini. Mail sering terbayang-bayangkan
gelagat HACK yang ceria semasa bermain
dengan Milah.
Mail menyimpan hasrat untuk memajukan lagi hasil ternakannya. Dia
ingin membuka perniagaan berasaskan daging kambing. HACK membesar
dengan sihat dan sudah banyak melahirkan anak-anaknya. Akibat terlalu tua
dan uzur HACK pun mati. Semakin hari semakin banyak hasil ternakan Mail.
Mail berjaya membuka sebuah kilang di bandar. Kilang itu ialah kilang
memproses daging kambing dan menghasilkan pelbagai produk berasaskan
daging kambing. Kasih sayang yang sangat mendalam ke atas arwah isterinya
menyebabkan Mail menamakan syarikat perniagaannya dengan nama HACK.