The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.

Karya Muhammad Nafizuddin bin Mohd Kamal IPGK Gaya

Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by Muhammad Nafizuddin, 2023-04-01 12:40:44

Kisah Rusa dan Tanduknya

Karya Muhammad Nafizuddin bin Mohd Kamal IPGK Gaya

Kisah Rusa dan Tanduknya Karya Muhammad Nafizuddin bin Mohd Kamal IPGK GAYA


Pada zaman dahulu, tinggal seekor rusa yang mempunyai tanduknya yang amat cantik. “Wah, hei tengok rusa tu, tanduk dia besar dan cantik sangat, ” kata burung pipit. “Haaa, mana-mana, nak tengok jugak, ” kata burung nuri. “Tepilah, janganlah tolak-tolak, ” marah burung pipit. “Ya, tanduk tu buat rusa nampak kuat dan gagah, ” puji burung nuri. "Hehehe, pujilah lagi. Seronok aku dengar, " ketawa rusa. Rusa kemudiannya berjalan menuju ke sungai untuk meminum air. Sedang rusa minum air, dia ternampak bayangannya di sungai. “Memang tandukku kuat dan cantik, ” ujar rusa. Tiba-tiba, rusa terkejut. “Apa benda yang kurus seperti kayu tu, ” soal rusa. “Haih, kakiku rupanya, ” keluh rusa. “Kenapa aku yang mempunyai tanduk cantik dan kuat, dapat kaki yang kurus dan hodoh begini?” keluh rusa. “Ini tak adil. Apa patut aku buat?” soal rusa. “Haaa, aku kena jumpa dia. Dia haiwan yang bijak. Dia pasti tahu apa nak buat, ” kata rusa. Rusa pun pergi bertemu dengan kancil.


“Haaa, apa kau kata?” terkejut kancil. “Aku nak kau selesaikan masalah kakiku yang kurus dan hodoh ni, ” kata rusa. "Haih, aku tengok, elok je kaki kau tu, ” ujar kancil. "Tak elok, aku inginkan kaki yang kuat dan cantik, ” nafi rusa. "Kau lihat ular? Langsung tiada kaki. Tapi, boleh berjalan dengan menyusur dan masuk ke dalam tunggul-tunggul kayu yang sempit. Tengok ayam, walaupun berkepak, tak boleh terbang tinggi macam burung-burung yang lain. Tapi, suara kokokkannya yang paling nyaring, dan boleh mengejutkan semua penghuni hutan. Haaa, siput tu dah la kecil, berjalan pun perlahan je. Tapi, dia ada cengkerang yang keras untuk melindunginya, " ujar kancil panjang lebar. "Jadi?" soal rusa. "Jadi, setiap mereka ini mempunyai kelebihan dan kekurangannya, " kata kancil. "Tapi, apa kena mengena dengan masalah aku?" tanya rusa. "Haih, sebenarnya kau tiada masalah, ” kata kancil. "Memang tanduk kau cantik dan kuat. Tapi kaki kau dicipta kurus macam tu, mesti ada sebabnya, ” kata kancil. Rusa berlalu pergi dari kancil tanpa pengetahuannya.


"Eh, rusa?" kancil bingung. Tiba-tiba kancil ternampak rusa sedang ketakutan melihat singa. Singa melompat melepasi mereka dan tidak menyedari mereka. Rusa yang melihat kaki singa yang sangat kuat dan gagah berasa kagum dengannya. "Haaa, kau nampak tu kancil, kaki yang macam tu la yang aku nak. Barulah sepadan dengan tandukku yang cantik dan kuat ni, " kata rusa. "Haaa, kaki singa? kau biar betul. Sungguh mana kau nak pun, kau takkan dapat. Kaki kau dah memang kurus macam tu. Tiada apa yang kau atau aku boleh buat, " kata kancil. "Kalau tak nak tolong cakap je lah, " marah rusa. Rusa pun berlalu pergi dari kancil dengan sombong. Takdelah bijak sangat sang kancil tu. Masalah kaki aku pun tak dapat nak selesaikan.


Tiba-tiba, rusa mendengar sesuatu dari arah sungai. Dia ternampak buaya dihempap dengan sebatang dahan yang agak besar. Dia juga melihat kerbau cuba untuk mengangkat kayu balak tersebut dengan tanduknya. "Kuat ke tanduk kerbau nak angkat dahan tu?” soal rusa. “Kuattt hehehe, ” balas burung pipit dan burung nuri. Rusa menyampah mendengar kata-kata burung pipit dan burung nuri. Akhirnya, kerbau berjaya mengangkat dahan besar yang telah menghempap buaya. Rusa terkejut. “Yeay, kerbau kuat!” sorak burung pipit dan burung nuri. Buaya berterima kasih kepada kerbau dan berlalu pergi. “Wah, hebatlah tanduk kau kerbau, ” puji burung pipit. “Haah, walaupun tak cantik, tapi berguna, ” ujar burung nuri.


“Eleh, tanduk aku yang cantik ni pun boleh alihkan dahan tu lah, ” kata rusa dengan sombong. Rusa menuju ke arah dahan besar yang terjatuh ke tanah dan cuba untuk mengangkat dahan tersebut dengan menggunakan tanduknya. Namun usaha rusa siasia kerana dia tidak berjaya mengangkat dahan besar tersebut. “Hahahahaha, ” ketawa kerbau, burung pipit dan burung nuri. Rusa cuba lagi buat kali yang kedua, namun usahanya tetap gagal dan dia pula yang dihempap dahan besar itu. Kerbau bergegas menuju ke arah rusa untuk membantunya. “Rusa, jangan paksa diri, ” ketawa kerbau. “Kaki kau tak kuat, nanti patah, ” kata kerbau. “Betul, bukan kaki je patah, tanduk kau yang cantik tu pun akan patah, ” ujar burung pipit. Kerbau, burung pipit dan burung nuri pun berlalu pergi dari situ sambil mentertawakan rusa. Rusa berasa sangat malu. “Ishh, malunya. Ni semua salah kaki hodoh dan tak guna ni, ” kata rusa dengan kecewa. “Nanti bila aku dapat kaki yang kuat macam singa, barulah aku boleh menunjukkan kebolehan tandukku ni, hehehehe, ” berangan rusa.


Tanpa disangka-sangka, singa muncul di belakang rusa. Rusa terperanjat. “Hmmm, rusa. Sedapnya, kenyanglah aku hari ini. Hehehe, ” kata singa. Singa berjalan ke arah rusa dengan perlahan-lahan. Rusa yang terdiam seribu bahasa tidak mampu untuk melarikan diri. “Jangan! Jangan makan aku!” jerit rusa dengan ketakutan. Singa pun menerkam rusa dengan tiba-tiba. Namun belum sempat singa menerkam rusa, rusa berlari dengan sekuat hatinya menggunakan kakinya yang kurus. Rusa berlari dengan sangat laju sehingga jauh meninggalkan singa di belakang.


Tidak lama setelah rusa berlari daripada singa. “Aik, ada kaki yang kuat dan gagah pun tak dapat kejar aku. Hmph, sia-sia je, ” kata rusa dengan angkuh. “Laju lagi kaki aku yang hodoh dan kurus ni, ” ujar rusa. Rusa pun berlalu pergi dari situ dan memasuki jalan yang mempunyai pohon yang rendang dan dahannya berselirat. Tiba-tiba, tanduk rusa tersangkut pada dahan-dahan pohon yang berselirat. Dia berusaha untuk melepaskan tanduknya daripada dahan tersebut namun tidak berjaya. Dia menjerit meminta pertolongan. “Tolong, tolong!” jerit rusa. Rusa ternampak kancil melintasi di hadapannya lalu memanggilnya untuk meminta bantuan. Kancil pun terus menolong rusa dengan pelbagai cara untuk melepaskan tanduknya namun tetap tidak berjaya. Kancil pun memikirkan jalan penyelesaian yang terbaik untuk membantu rusa melepaskan tanduknya. Akhirnya, kancil dapat memikirkan jalan penyelesaian yang dapat membantu rusa. “Susah ni, kalau nak lepas aku kena patahkan tanduk kau, ” kata kancil. “Haaa, jangan! Kau memang cemburu kan dengan tanduk aku yang cantik ni. Pergi kau, tak payah tolong, ” marah rusa.


Tiba-tiba mereka terdengar ngauman singa yang datang dari arah hadapan mereka. Tanpa berfikir panjang, kancil terus melarikan diri dari situ meninggalkan rusa yang tanduknya masih tersangkut pada dahan pokok. Rusa berusaha sekerasnya untuk meloloskan diri, namun usahanya hanyalah sia-sia. “Cubalah, lari sekarang, ” kata singa. Singa terus menerkam rusa. “Rupa-rupanya, kakiku yang hodoh dan kurus ini yang dapat menyelamatkan aku, tapi tanduk yang cantik ni telah menyusahkan aku, ” kata rusa. Rusa menyesal atas kesombongan diri dan sikapnya yang tidak bersyukur dengan kelebihan yang dia miliki. Namun apakan daya, kekesalannya itu sudah terlambat. Akhirnya, rusa mati dan dimakan singa. “Mati rusa kerana tanduknya, ” kata kancil.


-Tamat-


Tema Keinsafan atau penyesalan seseorang atas sikap sombong diri sendiri serta tidak mensyukuri kelebihan yang dimiliki. Nilai Pengajaran Kesyukuran Kita perlulah bersyukur dengan kelebihan atau kekuatan diri yang kita ada. Rendah diri Kita mestilah merendah diri dan tidak sombong dengan kawan-kawan yang lain. Keinsafan Kita seharusnya insaf dan menyesali kesalahan diri kita. Tolong-menolong Kita mestilah tolong-menolong rakan yang berada dalam kesusahan. Baik hati Kita haruslah baik hati dan tidak sombong sesama rakan.


Click to View FlipBook Version