The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.

LAPORAN PENERAPAN NILAI PERPADUAN IAB 2021

Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by mornihanim, 2023-12-08 00:07:23

LAPORAN PENERAPAN NILAI PERPADUAN IAB 2021

LAPORAN PENERAPAN NILAI PERPADUAN IAB 2021

LAPORAN PELAKSANAAN e-KURSUS PENERAPAN NILAI PERPADUAN UNTUK PENGETUA DAN GURU BESAR TAHUN 2021 INSTITUT AMINUDDIN BAKI


1 LAPORAN E-KURSUS PENERAPAN NILAI PERPADUAN UNTUK PENGETUA DAN GURU BESAR BAGI TAHUN 2021 1. Pengenalan Dasar Pendidikan Kebangsaan memperuntukkan bahawa skop pendidikan di sekolah adalah komprehensif dan pelbagai bagi memenuhi keperluan aspirasi negara serta pemupukan perpaduan selaras dengan prinsip-prinsip Rukun Negara. Pengamalan dan penghayatan nilai perpaduan merupakan salah satu teras utama dalam pengekalan keharmonian dan kedamaian hidup bermasyarakat. Asas perpaduan tersebut perlu disemai bermula di peringkat sekolah lagi bagi melahirkan generasi yang menghargai dan meraikan kepelbagaian yang wujud di negara Malaysia ini. Interaksi antara warga sekolah yang terdiri daripada pelbagai latar belakang memberi peluang kepada mereka untuk belajar memahami, menerima, menghormati serta menghargai perbezaan antara mereka. Pemantapan nilai perpaduan dalam kalangan murid, guru malah seluruh warga sekolah adalah penting bagi membentuk Identiti Nasional yang merupakan salah satu aspirasi murid sebagaimana yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013 – 2025). Hasrat KPM adalah untuk melahirkan murid yang memahami, menerima serta menghayati makna kepelbagaian seterusnya berbangga dikenali sebagai rakyat Malaysia tanpa mengira etnik, agama mahupun status sosioekonomi. Justeru, Institut Aminuddin Baki telah diamanahkan untuk melaksanakan lnisiatif 6: Pengukuhan Perpaduan di Sekolah melalui pembangunan Modul Latihan Penerapan Nilai Perpaduan untuk Pengetua dan Guru Besar dan pelaksanaan kursus bermatlamat untuk mengukuhkan kompetensi kepemimpinan PGB di seluruh Malaysia dalam pengurusan perpaduan di sekolah. Ekoran pandemik COVID-19 yang melanda dunia yang menghalang pertemuan secara terbuka, pelaksanaan kursus tersebut telah ditukar kepada mod e-Pembelajaran iaitu secara pembelajaran kendiri melalui platform e-Pembelajaran Pembangunan Profesionalisme Berterusan (eP@CPD) IAB.


2 2. Rasional Pelaksanaan e-Kursus Penerapan Nilai Perpaduan Untuk Pengetua Dan Guru Besar Pendidikan adalah aspek penting yang mampu memberi sumbangan bermakna kepada proses pembinaan negara bangsa yang mantap. Seiring perkembangan pesat dalam era globalisasi, masyarakat perlu meningkatkan pengetahuan dan kompetensi tanpa mengabaikan kualiti sahsiah diri serta pengamalan nilai perpaduan. Pembangunan masyarakat secara bersepadu adalah penting bagi memastikan kelestarian keharmonian hidup bermasyarakat dapat dipelihara dan dipertahankan bagi memperkukuh jati diri warga Malaysia yang berjiwa patriotik. Oleh yang demikian, KPM secara proaktif melaksanakan inisatif ke arah pemantapan perpaduan nasional sebagai asas pembinaan negara bangsa. Hal ini adalah sejajar dengan matlamat pendidikan negara yang berhasrat untuk menyemai elemen perpaduan dalam kalangan murid. Sememangnya sekolah berperanan sebagai agen yang berkesan ke arah menyatupadukan murid-murid yang terdiri daripada pelbagai kaum di negara ini. Pengetua dan Guru Besar (PGB) selaku pemimpin sekolah pula merupakan peneraju utama ke arah menjayakan matlamat pendidikan dengan mengaplikasi pelbagai kaedah melalui pengurusan yang berkesan. Kesedaran dan pengetahuan PGB dalam menyemai elemen perpaduan di dalam perancangan dan pelaksanaan agenda pendidikan di sekolah akan mewujudkan peluang kepada murid pelbagai kaum untuk berinteraksi secara langsung yang seterusnya membawa kepada pemupukan semangat bersatupadu. Bagi mencapai aspirasi kementerian dalam penghasilan impak perpaduan, kepimpinan sekolah perlu meneliti dokumen seperti Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP), Akta Pelajaran, Garis Panduan, Surat Pekeliling dan Suratsurat Siaran yang berkaitan. PGB boleh merujuk kepada SPI Bil.10/2005: Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP), SPI Bil.17/2000: Penubuhan Kelab Rukun Negara di Sekolah, SPI Bil.9/2018: Garis Panduan Pelaksanaan Amalan Harian Bagi Perpaduan Di Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia dan lain-lain yang memberi panduan jelas dalam melaksanakan aktiviti berkaitan perpaduan di sekolah. Selaras dengan hasrat tersebut, IAB sebagai institut latihan kepimpinan pendidikan mengambil inisiatif membangunkan Kursus Penerapan Nilai Perpaduan untuk Pengetua dan Guru Besar bagi memastikan elemen perpaduan dalam Aspirasi Sistem PPPM 2013 – 2025 dapat dicapai dengan jayanya. Di samping menyokong


3 inisistif-inisiatif dan dasar-dasar kerajaan sedia ada dalam pemupukan perpaduan, melalui modul kursus ini juga, IAB melaksanakan peranan memberi kesedaran dan kefahaman kepada pemimpin sekolah tentang kepentingan perpaduan, membuka minda terhadap cabaran-cabaran perpaduan yang dihadapi seterusnya membantu PGB untuk mengurus perpaduan di sekolah dengan berkesan selaras aspek 2.6 Pengurusan Perpaduan dalam SKPMg2. Mereka dibimbing untuk merancang dan melaksanakan program-program yang menyemarakkan perpaduan di sekolah dan komuniti. Hasil yang dihasratkan adalah supaya warga sekolah dapat menerima, menghormati dan mengharggai kepelbagaian latar belakang yang wujud antara mereka sama ada dari segi sosioekonomi, agama, bangsa, budaya, bahasa dan sebagainya, di dalam dan di luar bilik darjah. Nilai dan pengalaman ini diharapkan akan mengupayakan pembentukan identiti nasional seterusnya memupuk perpaduan negara. 3. Latar Belakang Pelaksanaan e-Kursus Penerapan Nilai Perpaduan Untuk Pengetua Dan Guru Besar Pelaksanaan e-Kursus Penerapan Nilai Perpaduan Untuk Pengetua Dan Guru Besar bermula dengan usaha dan kerja keras pensyarah IAB terutamanya daripada Pusat Pembangunan Komuniti membangunkan modul kursus untuk dilaksanakan secara dalam talian ekoran keperluan semasa yang mendesak disebabkan pandemik COVID-19 yang menghalang pelaksanaan kursus secara bersemuka sebagaimana lazimnya. Modul e-Kursus telah berjaya disiapkan pada hujung Oktober 2020 dan telah dimasukkan ke dalam pelantar e-Pembelajaran Pembangunan Profesionalisme Berterusan (eP@CPD) IAB dan bersedia untuk dijalankan secara rintis. Kelulusan untuk melaksanakan rintis bagi e-Kursus Penerapan Nilai Perpaduan Untuk Pengetua Dan Guru Besar diperoleh melalui Minit Bebas Pengarah IAB bertarikh 11 November 2020. e-Kursus secara rintis tersebut telah dilaksanakan dengan jayanya pada 27 November hingga 27 Disember 2020 iaitu selama empat (4) minggu (20 jam latihan) melibatkan penyertaan 332 orang PGB daripada 11 buah negeri.


4 Rajah 1: Peserta Rintis e-Kursus Penerapan Nilai Perpaduan Untuk Pengetua Dan Guru Besar Tahun 2020 Mengikut Negeri Sebelum itu, kursus tersebut dilaksanakan secara bersemuka selama 4 hari menggunakan modul yang dibangunkan dan disiapkan pada tahun 2017 serta mendapat kelulusan daripada Jawatankuasa Teknikal Latihan dan Pembangunan IAB. Kursus rintis telah dijalankan pada tahun 2018 melibatkan 150 orang peserta daripada kalangan PGB. Pada 2019, Kursus Penerapan Nilai Perpaduan Untuk PGB diteruskan dengan penglibatan 60 orang peserta yang di kumpulkan di satu lokasi mengikut Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) yang sama dalam setiap sesi latihan. Kitaran Kursus Penerapan Nilai Perpaduan ini dilengkapkan dengan proses follow up follow through (FUFT) bagi sekolah yang telah terlibat dalam latihan bertujuan memberi bimbingan (coaching) secara lebih dekat (one to one) berkaitan perancangan dan pelaksanaan pihak sekolah mengikut ketetapan yang telah didedahkan dalam kursus. Proses bimbingan tersebut membolehkan sekolah membuat penilaian semula dan membuat penambahbaikan serta penjajaran yang perlu berkaitan pengurusan perpaduan. Melalui proses FUFT, IAB akan mendapat input mengenai tahap pelaksanaannya di sekolah sebagai rujukan dan penandaarasan. Maklumat yang diperoleh hasil pelaksanaan FUFT akan dikongsikan bersama peserta kursus pada sesi latihan seterusnya bagi tujuan pembelajaran. Apabila pelaksanaannya diteruskan secara e-kursus atau e-pembelajaran sepenuhnya iaitu pembelajaran kendiri menggunakan modul yang disediakan, penglibatan peserta pada setiap tahun adalah lebih besar dan melibatkan lebih banyak PPD dan JPN di seluruh Malaysia. Pada tahun 2021, e-Kursus Penerapan Nilai Perpaduan Untuk Pengetua Dan Guru Besar telah disertai oleh 350 orang PGB


5 daripada 11 buah negeri. Laporan pelaksanaan e-kursus ini bagi tahun 2021 akan diperincikan dalam topik 5. Kursus Penerapan Nilai Perpaduan Untuk Pengetua Dan Guru Besar ini sama ada secara bersemuka atau dalam talian mengandungi sembilan (9) submodul iaitu: Submodul 1: Perdu Minda Perpaduan Submodul 2: Konsep Perpaduan Submodul 3: Perpaduan Dalam Perlembagaan Submodul 4: Perpaduan Dalam Dasar-Dasar Kerajaan Submodul 5: Peranan PGB Dalam Pengurusan Perpaduan Submodul 6: Isu Dan Cabaran Pengurusan Perpaduan Submodul 7: RIMUP Submodul 8: Penarafan Kendiri Submodul 9: Pelan Tindakan Perpaduan Kumpulan sasaran bagi kursus ini adalah PGB yang merupakan peneraju utama organisasi sekolah. Dengan mengikuti kursus ini, pemimpin pendidikan berpeluang untuk memahami secara komprehensif perkara-perkara berkaitan perpaduan agar dapat memainkan peranan sebagai peneraju ke arah melahirkan rakyat Malaysia yang menghayati nilai sebagaimana yang dihasratkan dalam Anjakan 3 PPPM 2013-2025. 4. Objektif Kursus Penerapan Nilai Perpaduan Untuk Pengetua Dan Guru Besar Bagi Tahun 2021 4.1 Objektif Umum Secara umumnya, kursus ini bertujuan untuk: i. Memberi kesedaran kepada PGB tentang kepentingan perpaduan kaum ii. Memberi kefahaman tentang peranan pemimpin sekolah dalam usaha memupuk perpaduan iii. Melahirkan warga Malaysia yang hidup bersatu padu dan penuh muhibah


6 4.2 Objektif Khusus Objektif khusus bagi setiap submodul adalah seperti berikut: Submodul 1: Perdu Minda Perpaduan i. Menyatakan kepelbagaian watak manusia dalam mewujudkan perpaduan ii. Menjelaskan proses pembinaan perpaduan Submodul 2: Konsep Perpaduan i. Menjelaskan konsep Pembinaan Negara Bangsa sebagai agenda utama perpaduan ii. Menjelaskan konsep perpaduan nasional sebagai asas pembinaan negara bangsa Submodul 3: Perpaduan Dalam Perlembagaan i. Melahirkan pemimpin pendidikan yang berkeupayaan memainkan peranan dalam memberikan penjelasan mengenai Perlembagaan Persekutuan dan Dasar-dasar Kerajaan yang berkaitan nilai perpaduan ii. Menghasilkan kerangka tugas secara jelas dalam pelaksanaan aktiviti penerapan nilai perpaduan iii. Menilai semula peranan PGB dalam penerapan nilai perpaduan di sekolah selari dengan aspirasi yang terdapat dalam PPPM 2013 - 2025 Submodul 4: Perpaduan Dalam Dasar-Dasar Kerajaan i. Menghuraikan dasar-dasar awam yang berkaitan dengan nilai profesional ii. Menjelaskan dasar-dasar pendidikan yang berkaitan dengan kerja buat di sekolah Submodul 5: Peranan PGB Dalam Pengurusan Perpaduan i. Mengenal pasti peranan Pengetua dan Guru Besar dalam menerapkan nilai perpaduan ii. Mengaplikasi nilai-nilai perpaduan dalam pengurusan di sekolah


7 Submodul 6: Isu Dan Cabaran Pengurusan Perpaduan i. Mengenal pasti isu perpaduan pada masa kini dan masa hadapan yang berlaku dalam sistem pendidikan ii. Mengenal pasti aktiviti atau program yang boleh dilaksanakan berdasarkan isu perpaduan yang telah dikenal pasti Submodul 7: RIMUP i. Menjelaskan konsep pelaksanaan RIMUP bagi meningkatkan perpaduan ii. Menjelaskan strategi pelaksanaan RIMUP bagi meningkatkan perpaduan Submodul 8: Penarafan Kendiri i. Memahami nilai-nilai perpaduan yang perlu diamalkan dalam kehidupan seharian ii. Menghubungkait nilai-nilai kehidupan kemasyarakatan dalam organisasi Submodul 9: Pelan Tindakan Perpaduan i. Menyediakan pelan tindakan perpaduan berdasarkan strategi yang telah dikenal pasti ii. Menyediakan pelan operasi bagi menjelaskan pelan tindakan iii. Menyediakan one page project management (OPPM) 5. Pelaksanaan e-Kursus Penerapan Nilai Perpaduan Untuk Pengetua Dan Guru Besar Bagi Tahun 2021 Pada tahun 2021, e-Kursus Penerapan Nilai Perpaduan Untuk Pengetua Dan Guru Besar telah diadakan pada 1 hingga 30 Jun dengan penglibatan 350 orang PGB daripada 11 buah negeri. Peserta telah diberi Ujian Pra pada awal kursus dan mereka menjawab soalan yang sama sekali lagi di akhir kursus sebagai Ujian Pasca. Laporan lanjut berkaitan demografi peserta dan dapatan daripada analisis data yang diperoleh daripada peserta dikemukakan dalam bentuk deskriptif sebagaimana berikut:


8 5.1 Data Demografi Peserta i. Negeri Jadual 1: Peserta e-Kursus Penerapan Nilai Perpaduan Untuk Pengetua Dan Guru Besar Tahun 2021 Mengikut Negeri Negeri PPD N Peratus (%) Perlis - 14 4.0% Pulau Pinang Seberang Prai Tengah 15 4.3% Kedah Sg. Petani 35 10.0% Perak Batang Padang 35 10.0% Selangor Hulu Langat 35 10.0% WPKL Keramat dan Sentul 28 8.0% Johor Muar 27 7.7% Pahang Lipis 31 8.9% Terengganu Setiu 35 10.0% Kelantan Tumpat 26 7.4% Sabah Kota Kinabalu 34 9.7% Sarawak Sibu 35 10.0% Jumlah 350 100% Rajah 2: Peserta e-Kursus Penerapan Nilai Perpaduan Untuk Pengetua Dan Guru Besar Tahun 2021 Mengikut Negeri 0 1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 NEGERI


9 Peserta e-Kursus Penerapan Nilai Perpaduan Untuk PGB bagi tahun 2021 adalah daripada kalangan PGB yang sedang berkhidmat di negeri Perlis, Pulau Pinang, kedah, Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala lumpur, Johor, Pahang, Terengganu, Sabah dan Sarawak. Setiap negeri akan diurus oleh 2 orang pensyarah sebagai fasilitator kecuali negeri Perlis dan Pulau Pinang yang digabungkan di bawah pengurusan seorang Pengurus dan seorang Pengurus Bersama daripada kalangan pensyarah IAB. ii. Jantina Jadual 2: Peserta e-Kursus Penerapan Nilai Perpaduan Untuk Pengetua Dan Guru Besar Tahun 2021 Mengikut Jantina Jantina N Peratus (%) Lelaki 196 56% Perempuan 154 44% Jumlah 350 100% Rajah 3: Peserta e-Kursus Penerapan Nilai Perpaduan Untuk Pengetua Dan Guru Besar Tahun 2021 Mengikut Jantina Jadual 2 dan Rajah 3 memaparkan taburan peserta dari aspek jantina. Dapat diperhatikan bahawa, daripada keseluruhan 350 PGB yang mengikuti e-kursus pada tahun 2021, bilangan peserta daripada kalangan PGB lelaki adalah lebih ramai (n=196, 56%) berbanding dengan peserta perempuan (n=154, 44%). JANTINA Lelaki (56%) Perempuan (44%)


10 iii. Jawatan Jadual 3: Peserta e-Kursus Penerapan Nilai Perpaduan Untuk Pengetua Dan Guru Besar Tahun 2021 Mengikut Jawatan Jawatan N Peratus (%) Pengetua 110 31.4% Guru Besar 240 68.6% Jumlah 350 100% Rajah 4: Peserta e-Kursus Penerapan Nilai Perpaduan Untuk Pengetua Dan Guru Besar Tahun 2021 Mengikut Jawatan Jadual 3 dan Rajah 4 pula menunjukkan taburan peserta e-Kursus Penerapan Nilai Perpaduan Untuk Pengetua Dan Guru Besar Tahun 2021 mengikut jawatan di sekolah. Daripada jumlah keseluruhan (n=350 orang), peserta daripada kalangan Pengetua adalah seramai 110 orang (31.4%) manakala peserta daripada kalangan Guru Besar adalah seramai 240 orang (68.6%). Ini menunjukkan bilangan Guru Besar adalah lebih ramai menyertai kursus ini. Memandangkan jumlah sekolah rendah adalah lebih banyak berbanding sekolah menengah, sewaktu memohon pencalonan peserta daripada JPN, pihak IAB telah menetapkan spesifikasi bilangan Pengetua dan Guru Besar adalah sekurang-kurangnya pada nisbah 1 : 2. JAWATAN Pengetua (31.4%) Guru Besar (68.6%)


11 iv. Gred Jawatan Jadual 4: Peserta e-Kursus Penerapan Nilai Perpaduan Untuk Pengetua Dan Guru Besar Tahun 2021 Mengikut Gred Jawatan Gred Jawatan N Peratus (%) DG32 1 0.3% DG34 8 2.3% DG38 19 5.4% DG41 3 0.9% DG42 46 13.1% DG44 147 42.0% DG48 17 4.9% DG52 72 20.6% DG54 37 10.6% Jumlah 350 100% Rajah 5: Peserta e-Kursus Penerapan Nilai Perpaduan Untuk Pengetua Dan Guru Besar Tahun 2021 Mengikut Gred Jawatan Seterusnya, Jadual 4 dan Rajah 5 menunjukkan taburan peserta kursus mengikut gred jawatan. Berdasarkan graf di atas, jelas dapat diperhatikan bahawa PGB yang mengikuti kursus ini terdiri daripada mereka yang berada pada gred jawatan yang pelbagai. Hampir separuh daripada peserta (n=147, 42%) berada pada gred DG44 diikuti dengan PGB yang berada pada gred DG52 (n=72, 20.6%). Bilangan yang paling sedikit adalah PGB yang berada pada gred DG32 (n=1, 0.3%) dan gred DG41 (n=3, 0.9%). 0 5 10 15 20 25 30 35 40 45 DG32 DG34 DG38 DG41 DG42 DG44 DG48 DG52 DG54 GRED JAWATAN


12 5.2 Dapatan Analisis Deskriptif Bahagian ini melaporkan dapatan analisis Ujian Pra dan Ujian Pasca yang dijawab oleh peserta bagi menyatakan persepsi mereka berkaitan submodul yang terkandung dalam kursus ini. Hasil pengujian statistik yang dijalankan dengan menggunakan perisian IBM SPSS versi 23.0 dilaporkan satu persatu secara berturutan mengikut submodul kursus yang diikuti oleh PGB. Nilai min yang diperoleh diinterpretasi berpandukan garis panduan ukuran skor min yang dicadangkan oleh Nunnally dan Bernstein (1994) seperti yang ditunjukkan dalam Jadual 1 berikut: Jadual 5: Interpretasi Skor Min Skor Min Tafsiran Min 1.00 hingga 2.00 Rendah 2.01 hingga 3.00 Sederhana Rendah 3.01 hingga 4.00 Sederhana Tinggi 4.01 hingga 5.00 Tinggi Sumber: Nunnally dan Bernstein (1994) i. Submodul 1: Perdu Minda Perpaduan Jadual 6: Tahap Penguasaan Peserta Dalam Submodul 1 Bil Perdu Minda Perpaduan Min Sisihan piawai Tahap 1 Ujian Pra 4.30 0.49 Tinggi 2 Ujian Pasca 4.78 0.34 Tinggi Jadual 6 memaparkan analisis bagi lima (5) item dalam Submodul 1: Perdu Minda Perpaduan. Nilai min bagi keseluruhan item dalam Submodul 1 bagi Ujian Pra adalah pada tahap tinggi iaitu M=4.30, SP=.49. Begitu juga dengan nilai min bagi Ujian Pasca, turut berada pada tahap tinggi iaitu M=4.78, SP=.34. Dapat menunjukkan bahawa tahap pengetahuan dan kefahaman peserta berkaitan Perdu Minda Perpaduan telah meningkat mengikuti Kursus Penerapan Nilai Perpaduan Untuk PGB.


13 ii. Submodul 2: Konsep Perpaduan Jadual 7: Tahap Penguasaan Peserta Dalam Submodul 2 Bil Konsep Perpaduan Min Sisihan piawai Tahap 1 Ujian Pra 4.12 0.60 Tinggi 2 Ujian Pasca 4.78 0.36 Tinggi Bagi mengenal pasti tahap penguasaan peserta dalam Submodul 2: Konsep Perpaduan, data yang diperoleh daripada lima (5) item telah dianalisis. Hasil pengujian yang dilakukan bagi Ujian Pra mendapati, keseluruhan item tersebut menunjukkan nilai min yang tinggi iaitu antara 4.12 dengan sisihan piawai 0.60. Manakala bagi Ujian Pasca, pengujian yang dilakukan menunjukkan terdapat peningkatan (M=4.78, SP=.36) sebagaimana yang dipaparkan dalam Jadual 7 di atas. Ini menunjukkan, Kursus Penerapan Nilai Perpaduan Untuk PGB yang diikuti oleh peserta telah berjaya memberi nilai tambah kepada pengetahuan serta kefahaman mereka berkaitan konsep perpaduan. iii. Submodul 3: Perpaduan Dalam Perlembagaan Persekutuan Jadual 8: Tahap Penguasaan Peserta Dalam Submodul 3 Bil Perpaduan Dalam Perlembagaan Persekutuan Min Sisihan piawai Tahap 1 Ujian Pra 4.01 0.64 Tinggi 2 Ujian Pasca 4.71 0.39 Tinggi Analisis deskriptif yang dikemukakan dalam Jadual 8 adalah untuk melihat keberkesanan Kursus Penerapan Nilai Perpaduan untuk PGB dalam memantapkan pengetahuan dan kefahaman peserta berkaitan elemen Perpaduan Dalam Perlembagaan Persekutuan. Dapatan hasil pengujian menunjukkan peningkatan di mana keseluruhan enam (6) item dalam Submodul 3 bagi Ujian Pra adalah pada tahap tinggi iaitu M=4.01, SP=.64. Nilai min bagi Ujian Pasca juga berada pada tahap tinggi malah lebih baik iaitu M=4.71, SP=.39. Dapatan menunjukkan bahawa pengetahuan dan kefahaman peserta berkaitan Perpaduan Dalam Perlembagaan Persekutuan telah bertambah setelah mengikuti Kursus Penerapan Nilai Perpaduan Untuk PGB.


14 iv. Submodul 4: Perpaduan Dalam Dasar-Dasar Kerajaan Jadual 9: Tahap Penguasaan Peserta Dalam Submodul 4 Bil Perpaduan Dalam Dasar-Dasar Kerajaan Min Sisihan piawai Tahap 1 Ujian Pra 3.92 0.62 Tinggi 2 Ujian Pasca 4.66 0.40 Tinggi Jadual 9 menunjukkan hasil analisis bagi lima (5) item dalam Submodul 4: Perpaduan dalam Dasar-Dasar Kerajaan. Nilai min bagi keseluruhan item dalam Submodul 4 bagi Ujian Pra adalah pada tahap sederhana tinggi iaitu M=3.92, SP=.62. Manakala nilai min bagi Ujian Pasca pula berada pada tahap tinggi iaitu M=4.66, SP=.40. Dapatlah dikatakan bahawa tahap pengetahuan dan kefahaman peserta berkaitan Perpaduan Dalam Dasar-dasar Kerajaan telah berjaya ditingkatkan melalui pelaksanaan Kursus Penerapan Nilai Perpaduan Untuk PGB. v. Submodul 5: Peranan PGB Dalam Pengurusan Perpaduan Jadual 10: Tahap Penguasaan Peserta Dalam Submodul 5 Bil Peranan PGB Dalam Pengurusan Perpaduan Min Sisihan piawai Tahap 1 Ujian Pra 4.24 0.52 Tinggi 2 Ujian Pasca 4.83 0.33 Tinggi Berdasarkan Jadual 10 di atas, dapat diperhatikan peningkatan tahap pengetahuan dan kefahaman peserta berkaitan Submodul 5: Peranan PGB Dalam Pengurusan Perpaduan daripada Ujian Pra (M=4.24, SP=.52) kepada tahap yang lebih tinggi dalam Ujian Pasca (M=4.83, SP=.33). ini menunjukkan bahawa pelaksanaan Kursus Penerapan Nilai Perpaduan telah berjaya membantu PGB mengenal pasti peranan mereka dalam menerapkan dan mengaplikasikan nilai perpaduan dalam pengurusan di sekolah.


15 vi. Submodul 6: Isu Dan Cabaran Pengurusan Perpaduan Jadual 11: Tahap Penguasaan Peserta Dalam Submodul 6 Bil Isu Dan Cabaran Pengurusan Perpaduan Min Sisihan piawai Tahap 1 Ujian Pra 4.00 0.60 Tinggi 2 Ujian Pasca 4.73 0.40 Tinggi Dapatan analisis data deskriptif berkaitan Submodul 6: Isu Dan Cabaran Pengurusan Perpaduan dipaparkan dalam Jadual 11 di atas. Dapat diperhatikan peningkatan penguasaan PGB berkaitan isu dan cabaran yang wujud berdasarkan nilai min bagi keseluruhan enam (6) item dalam Submodul 6 bagi Ujian Pasca yang menunjukkan tahap lebih tinggi iaitu M=4.73, SP=.40 berbanding Ujian Pra (M=4.00, SP=.60). Dapat dirumuskan bahawa Kursus Penerapan Nilai Perpaduan yang dijalankan telah memberi impak yang positif kepada PGB. vii. Submodul 7: RIMUP Jadual 12: Tahap Penguasaan Peserta Dalam Submodul 7 Bil RIMUP Min Sisihan piawai Tahap 1 Ujian Pra 4.07 0.56 Tinggi 2 Ujian Pasca 4.75 0.38 Tinggi Merujuk kepada Jadual 12 pula, analisis bagi lima (5) item dalam Submodul 7: RIMUP menunjukkan nilai min bagi keseluruhan item submodul tersebut dalam Ujian Pra dan Ujian Pasca juga berada pada tahap tinggi dengan peningkatan yang memberangsangkan iaitu daripada M=4.07 dan SP=.56 kepada M=4.75 dan SP=.38. Hal ini memberi petanda positif bahawa dasar kerajaan yang diterjemahkan melalui usaha KPM untuk memperluas dan memperkukuhkan lagi pelaksanaan program Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) di sekolah rendah dan menengah disambut baik oleh PGB. Diharapkan pelaksanaan program RIMUP di sekolah sentiasa ditambahbaik dan terus diperkasakan.


16 viii. Submodul 8: Penarafan Kendiri Jadual 13: Penarafan Kendiri Penghayatan Nilai Perpaduan Peserta Nilai Peratus (%) Bersikap terbuka 86% Toleransi 89% Bekerjasama 91% Percaya 84% Berhemah tinggi 95% Menghargai 95% Prihatin 95% Adil 95% Amanah 96% Rasional 94% Keseluruhan 92% Jadual 13 memaparkan respon peserta berdasarkan soal selidik yang dijalankan menggunakan satu instrumen yang mengandungi 100 item (10 item bagi setiap nilai) bertujuan untuk mengenal pasti sejauh mana mereka mengamalkan dan menghayati nilai perpaduan. Pilihan skor bagi setiap pernyataan yang diberi adalah “tidak akan sama sekali”, “sekali sekala”, “kerap kali” dan “sentiasa”. Secara keseluruhannya, pengamalan nilai perpaduan dalam kalangan PGB adalah tinggi iaitu 92%. Aspek yang paling tinggi diamalkan adalah nilai kesembilan iaitu Amanah dengan skor 96%. Ini menunjukkan PGB telah melaksanakan tugas kepemimpinan dengan penuh amanah tanpa diskriminasi kaum. Mereka mengakui telah mencurahkan khidmat untuk kaum lain dengan penuh tanggungjawab, berkata benar apabila berurusan dengan kaum lain, menyampaikan maklumat yang betul kepada kaum lain, mengagihkan dana sekolah secara telus kepada murid kaum lain, menyerahkan sepenuhnya apa yang menjadi milik kaum lain, melakukan perkara yang bermanfaat untuk kaum lain, membuat pertimbangan berasaskan perundangan sekolah dalam mengenakan tindakan disiplin kepada murid kaum lain, memberi ganjaran kepada kaum lain bersesuaian dengan pencapaian, melaksanakan tanggungjawab pengajaran yang bersungguh-sungguh kepada murid kaum lain dan


17 menggunakan peruntukan pengajaran dan pembelajaran untuk keperluan murid kaum lain. Aspek yang mendapat penarafan paling rendah pula adalah nilai keempat iaitu ‘percaya’ dengan catatan skor 84%. Item-item yang dibuat penarafan kendiri oleh PGB di bawah aspek ‘percaya’ adalah meminta tolong daripada kaum lain, berkongsi berita baik dengan kaum lain, berkongsi masalah dengan kaum lain, membeli barang di kedai kaum lain, meminta pandangan daripada kaum lain, menyerahkan hak kepada kaum lain untuk membuat keputusan, mengundi kaum lain sebagai ketua, menggunakan barang yang dihadiahkan oleh kaum lain, meminta kaum lain mengadili sesuatu pertandingan dan bekerja dengan bimbingan kaum lain. Skor yang diberi oleh peserta menunjukkan seolah-olah masih ada sedikit kesangsian di hati PGB apabila melibatkan urusan dengan kaum lain. Hal ini perlu diatasi dan nilai perpaduan perlu diperkasakan agar kita dapat hidup dalam suasana lebih harmoni di negara Malaysia yang terdiri daripada masyarakat majmuk ini. Rajah 6 di bawah menggambarkan dengan lebih jelas penarafan kendiri penghayatan sepuluh (10) nilai perpaduan oleh peserta e-Kursus Penerapan Nilai Perpaduan Untuk Pengetua Dan Guru Besar Tahun 2021 Rajah 6: Penarafan Kendiri Penghayatan Nilai Perpaduan Peserta e-Kursus Penerapan Nilai Perpaduan Untuk Pengetua Dan Guru Besar Tahun 2021 75 80 85 90 95 100 PENARAFAN KENDIRI PENGHAYATAN PERPADUAN


18 ix. Submodul 9: Pelan Tindakan Perpaduan Jadual 14: Tahap Penguasaan Peserta Dalam Submodul 9 Bil Pelan Tindakan Perpaduan Min Sisihan piawai Tahap 1 Ujian Pra 3.90 0.65 Tinggi 2 Ujian Pasca 4.66 0.44 Tinggi Jadual 14 di atas menunjukkan analisis bagi lima (5) item dalam Submodul 9: Pelan Tindakan Perpaduan. Nilai min bagi keseluruhan item dalam Submodul 9 bagi Ujian Pra adalah pada tahap sederhana tinggi iaitu M=3.90, SP=.65. Kemahiran peserta dalam menyediakan Pelan Tindakan Perpaduan berdasarkan strategi yang dikenal pasti untuk organisasi masing-masing telah menunjukkan peningkatan ke tahap yang tinggi (M=4.66, SP=.44) setelah mengikuti Kursus Penerapan Nilai Perpaduan Untuk PGB. x. Keseluruhan Submodul Jadual 15: Tahap Penguasaan Peserta Dalam Keseluruhan Submodul Bil Keseluruhan Submodul Min Sisihan piawai Tahap 1 Ujian Pra 4.07 0.52 Tinggi 2 Ujian Pasca 4.74 0.33 Tinggi Keseluruhan 4.18 0.67 Tinggi Secara keseluruhannya, tahap pengetahuan dan kefahaman PGB dalam keseluruhan submodul adalah tinggi iaitu M=4.07 dan SP=.52 pada peringkat awal berdasarkan data yang diperoleh daripada Ujian Pra. Penguasaan peserta menunjukkan peningkatan dalam Ujian Pasca dengan nilai min 4.74 dan sisihan piawai 0.33, iaitu pada tahap yang lebih baik. Ekoran pencapaian tersebut, dapatlah disimpulkan bahawa Kursus Penerapan Nilai Perpaduan Untuk PGB yang dilaksanakan secara e-pembelajaran adalah berkesan.


19 xi. Pilihan Medium Pelaksanaan Kursus Melalui satu instrumen soal selidik yang diedarkan kepada peserta selepas menamatkan e-Kursus Penerapan Nilai Perpaduan, mereka diminta membuat pilihan berkaitan medium pelaksanaan kursus dengan menjawab soalan “Jika diberi pilihan, saya lebih selesa untuk mengikuti Kursus Penerapan Nilai Perpaduan Untuk PGB ini secara…”. Pilihan yang disediakan ialah sama ada secara e-pembelajaran, bersemuka secara maya (dalam talian), bersemuka secara fizikal di satu lokasi atau pun hibrid. Pilihan yang popular adalah bersemuka secara fizikal di satu lokasi dengan mendapat undian sebanyak 50.2%. Pilihan kedua popular pula adalah secara ePembelajaran dengan undian 32%. Medium bersemuka secara maya iaitu secara dalam talian adalah pilihan yang mendapat undian terendah dalam kalangan PGB. Jadual 16 dan Rajah 7 di bawah memaparkan pilihan peserta secara lebih jelas dan mudah difahami. Jadual 16: Pilihan Medium Pelaksanaan Kursus Oleh Peserta Medium Peratus (%) e-Pembelajaran 32% Bersemuka secara maya (dalam talian) 8% Bersemuka secara fizikal di satu lokasi 50.2% Hibrid 9.8% Keseluruhan 100% Rajah 7: Pilihan Medium Pelaksanaan Kursus Oleh Peserta


20 6. Isu dan Cabaran Beberapa isu dan cabaran telah dihadapi oleh IAB dalam memberi latihan kepada PGB berkaitan penerapan nilai perpaduan dan pengurusan perpaduan di sekolah melalui pelaksanaan e-Kursus Penerapan Nilai Perpaduan Untuk PGB. Namun ianya diterima dengan fikiran yang positif dan optimis. Semua pihak harus berganding bahu, mengambil langkah yang perlu dan sewajarnya sebagai usaha bagi menanganinya agar kursus yang akan dijalankan pada masa akan datang memberi impak yang lebih baik. Antara isu dan cabaran adalah PGB tidak meletakkan penerapan nilai perpaduan sebagai agenda utama dalam pendidikan di sekolah. 7. Cadangan Penambahbaikan (Way Forward) Maklum balas peserta berkaitan cadagan ke arah pembudayaan amalan perpaduan di sekolah turut diperoleh melalui instrumen soal selidik yang diedarkan bagi menggantikan sesi FUFT. Respon yang diberi telah ditemakan seperti berikut: i. Perancangan pengurusan perpaduan di sekolah. Antaranya: a. Memasukkan elemen perpaduan dalam perancangan strategik sekolah tahun 2021 - 2025 b. Mengadakan vision board perpaduan bagi menyebar luas hala tuju sekolah berkaitan perpaduan c. Memupuk semangat jati diri sebagai rakyat Malaysia merentas aktiviti PdPc, HEM dan kokurikulum d. Memainkan peranan school as a centre of community dengan mewujudkan kerjasama erat dengan PIBG, ibu bapa dan komuniti. ii. Pelaksanaan program-program pemupukan nilai perpaduan dalam kalangan warga sekolah sepanjang tahun. Antaranya: a. Sukan sekolah b. MGS COVID-19 concern program c. Program silang budaya d. Program permainan rakyat e. Sambutan kokurikulum maya f. Projek Rimbunan Kasih g. Program kemasyarakatan dan sosial melibatkan NGO


21 iii. Pembudayaan amalan harian. Antaranya adalah: a. Murid berbilang bangsa makan bersama-sama b. Murid pelbagai latar belakang bermain bersama-sama c. Berkomunikasi menggunakan Bahasa Melayu d. Mengintegrasikan murid dalam aktiviti kumpulan Dalam mengorak langkah untuk memastikan Kursus Penerapan Nilai Perpaduan Untuk PGB ini kekal relevan dengan keperluan pembangunan profesional terkini, IAB turut memainkan peranan dengan melakukan penambahbaikan dari semasa ke semasa. Antara aspek yang diberi perhatian, sedang dan akan dilakukan oleh pihak IAB ialah: i. Pelaksanaan kursus pada tahun 2022 Dalam perancangan takwim, telah dimasukkan perancangan bagi pelaksanaan kursus sebanyak sebelas (11) kali iaitu satu kali secara bersemuka dan sepuluh (10) kali secara e-Pembelajaran melibatkan PGB daripada negeri Johor, Melaka, Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu, Pahang, Kelantan, Kedah, Perak dan Sarawak. ii. Melaksanakan FUFT pada tahun hadapan bagi mengenal pasti kekuatan dan kelemahan dalam pengurusan, pelaksanaan, pemantauan serta pematuhan garis panduan dalam pelaksanaan program perpaduan di sekolah serta isu dan cabaran yang dihadapi. iii. Mengadakan bengkel kerja bagi menyemak semula modul, Instrumen Ujian Pra dan Pasca, Instrumen Penarafan Kendiri serta Instrumen FUFT. iv. Mengenal pasti PGB yang mencapai tahap pengurusan perpaduan cemerlang yang boleh dilantik menjadi Jurulatih Utama Perpaduan atau Ikon Pemimpin Perpaduan. Cadangan-cadangan di atas dikemukakan bertujuan untuk meningkatkan keberkesanan pelaksanaan Kursus Penerapan Nilai Perpaduan Untuk PGB pada masa akan datang.


22 8. Rumusan Pelaksanaan Kursus Penerapan Nilai Perpaduan Untuk PGB ini perlu dilaksanakan dengan sebaik-baiknya agar dapat memberi impak yang tinggi terhadap usaha memantapkan nilai perpaduan di sekolah. Selain itu, secara tidak langsung dapat melahirkan pemimpin berprestasi tinggi dan berupaya mengurus perpaduan di organisasi sekolah dengan berkesan demi merealisasikan aspirasi KPM dalam Anjakan ke-3 PPPM 2013-2025 iaitu melahirkan rakyat Malaysia yang mampu menghayati nilai. Ini adalah kerana dengan mengikuti kursus ini, PGB berpeluang untuk memahami secara komprehensif perkara-perkara berkaitan perpaduan dan memainkan peranan sebagai peneraju ke arah melahirkan rakyat Malaysia yang menghayati nilai perpaduan dengan lebih berkesan. Pendekatan dan kandungan Kursus Penerapan Nilai Perpaduan Untuk PGB yang sarat dengan mesej perpaduan ini diharapkan dapat menyumbang kepada keberhasilan agenda KPM ke arah pembinaan negara bangsa.


Click to View FlipBook Version