The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.

NUR AIN HIDAYATUS SAKINAH BINTI ZAARI

Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by BM60623 Nur Ain Hidayatus Sakinah Binti Zaari, 2023-04-02 02:01:50

PENGHASILAN PRODUK BMMB1104

NUR AIN HIDAYATUS SAKINAH BINTI ZAARI

Menurut Mohd Rosli Saludin (2013) , apabila membicarakan tentang puisi melayu tradisional ,kita sebenarnya membicarakan tentang suatu konsep yang luas , penuh fantasi yang menakjubkan dan misteri yang mengagumkan . Puisi Melayu Tradisional ini adalah pancaran daripada masyarakat Melayu lama . Maka untuk mengenalinya, kenalilah kebudayaan dan masyarakat Melayu terdahulu . Puisi seperti pantun, gurindam , mantera dan teromba adalah contoh Puisi Melayu Tradisional yang merupakan ciptaan asli orang-orang Melayu . Ia mengandungi unsur-unsur emosi , imaginasi dan budi . Pada masa kini , banyak puisi Melayu tradisional yang diciptakan agar tidak hilang ditelan zaman. Puisi tradisional dikatakan sebagai cerminan kepada kehalusan budi , ketinggian ilmu serta pemikiran masyarakat Melayu pada suatu ketika dahulu ketika berbahasa.Pantun dan syair berperanan dalam mencerminkan pemikiran masyarakat dan menggambarkan kehidupan dan persekitaran masa silam. Tema berbentuk nasihat dan nilai murni diterapkan dalam pantun dan syair, seperti nilai kasih sayang, berbudi, dan kesetiaan. Puisi Melayu tradisional, seperti nazam dan dikir atau zikir, pula digunakan untuk tujuan keagamaan. Keduaduanya menjadikan Nabi Muhammad SAW sebagai tema utama dan menyampaikan ajaran agama dan nasihat. Nazam juga membawa pengajaran ilmu tauhid, seperti mengenal Allah dan sifat 20, ilmu fiqah, rukun sembahyang dan rukun iman. Nazam dan dikir selalunya dipersembahkan dalam majlis perkahwinan, khatam Quran, berendoi, berkhatan dan sambutan Maulud serta Israk dan Mikraj.Puisi ini juga merupakan alat yang penting dalam meluahkan perasaan, memberi nasihat dan teguran , menjadi hiburan dan banyak lagi .


Pantun merupakan kaedah rangkapan yang tertua dan aslinya berasal daripada masyarakat Melayu yang digunakan untuk menggambarkan pelbagai keadaan dan kegunaan . Menurut Za'ba (1978) ,semenjak orang Melayu belum tahu bagaimana komunikasi surat menyurat dilakukan , mereka telah pun pandai berpantun dan terbiasa berbalas-balas pantun di antara mereka . Dalam apa juga bentuk fizikalnya , pantun merupakan pengungkapan yang mengandungi unsur pembayang maksud dan maksud . Dari pandangan tokoh tempatan , Harun Mat Piah (1989) mendefinisikan pantun berdasarkan aspek dalaman dan aspek luaran struktur visualnya.Aspek dalaman pantun meliputi unsur estetik dan isi iaitu tema dan persoalan. Keestetikaan pantun pula boleh dilihat dari dua aspek iaitu yang pertama berkaitan dengan lambang-lambang tertentu yang ada dalam pantun mengikut tanggapan dan pandangan dunia masyarakat Melayu. Kedua , berdasarkan perkaitan makna antara pasangan pembayang -pembayang sama ada secara konkrit atau abstrak .Jika dilihat dari aspek isi iaitu tema dan persoalan , pantun biasanya menyentuh hampir kesemua kehidupaan masyarakat Melayu . Pantun K O N S E P Pantun terdiri daripada pelbagai jenis bentuk iaitu pantun dua kerat, pantun empat kerat, pantun enam kerat, pantun lapan kerat dan pantun sepuluh kerat . Pantun yang melebihi empat kerat juga dipanggil sebagai talibun. Dalam masyarakat Melayu , pantun empat kerat kebiasaannya mendapat perhatian dan sering digunakan dalam kebanyakan perkara. Konsep pantun empat kerat ini ialah ia terdiri daripada rima akhir a,b,a,b dengan beberapa variasi dan pengecualian.Setiap rangkap terbahagi kepada dua perkara iaitu rangkap pembayang dan rangkap maksud . Kebiasaannya rangkap pembayang adalah berkait dengan unsur alam .Rangkap maksud pula mewakili nasihat ataupun mesej yang ingin disampaikan oleh penulis .Setiap rangkap ini tidak dapat berdiri sendiri bagi membolehkan isi tersiratnya dapat disampaikan .Ia memerlukan sokongan beberapa rangkap lain bagi melengkapkan keseluruhan idea. Keindahan pantun juga terletak pada bilangan suku kata pada setiap baris. Umumnya , pantun boleh terdiri daripada lapan sehingga 12 suku kata . F U N G S I Pantun Melayu juga digunakan untuk meluahkan perasaan kasih sayang dalam kalangan masyarakat Melayu tanpa kira batasan sama ada rasa sayang teruna kepada dara, suami kepada isteri atau anak kepada ibu bapa. Pantun-pantun sebegini akan disulami dengan kata-kata yang indah, berbunga-bunga, puji-pujian yang menggambarkan perasaan kasih, sayang, cinta dan rindu yang mendalam. Masyarakat Melayu sememangnya mementingkan adat istiadat dalam kehidupan seharian. Oleh itu, pantun juga memainkan peranan yang penting dalam upacara yang melibatkan adat istiadat. Malam majlis merisik, bertunang sehinggalah majlis perkahwinan, pantun akan dilafazkan sebagai mukadimah atau pembuka kata sebagai tanda meminta kebenaran atau untuk menyampaikan hasrat di hati. Pantun-pantun sebegini dikenali sebagai pantun adat. Melalui pantun, ,masyarakat Melayu dapat menyembunyikan perasaan sebenar sama ada kesal, kecewa dan dukacita terhadap sesuatu dengan penyusunan kata-kata yang indah. Hal ini bertujuan mengelakkan berlakunya pertelingkahan dan akhirnya mencetuskan pergaduhan antara mereka. Masyarakat Melayu terutamanya golongan tua gemar menyampaikan nasihat dan teguran bagi tujuan mendidik dengan menggunakan pantun. Penyampaian dalam bentuk ini dilihat mampu memberi makna yang lebih mendalam dan dapat diterima dengan baik oleh semua lapisan masyarakat Pantun terdiri daripada pelbagai jenis pantun seperti pantun adat,agama, nasihat, jenaka, budi dan teka-teki. Setiap pantun yang dicipta mempunyai fungsi atau kegunaannya sendiri.


AKAL BUDI Pemikiran Pendidikan merupakan satu proses yang berterusan bagi mengembangkan potensi individu ke arah kecemerlangan akademik di samping mempunyai kepelbagaian kemahiran yang menyeluruh dan bersepadu selaras dengan hasrat kerajaan iaitu melahirkan generasi yang berketerampilan dan berdaya saing di peringkat global.Pemikiran dalam pantun yang saya cipta adalah berkisar tentang sistem pendidikan di Malaysia yang digubal dengan tujuan untuk meningkatkan pencapaian akademik pelajar berteraskan konsep keseimbangan dari segi jasmani, emosi, rohani, dan intelek . Pantun ini secara halusnya mengkritik tentang bagaimana sistem pendidikan ini telah membebankan murid pada masa kini . Secara tidak sedar , kita menjadi antara negara yang terkebelakang dalam mencipta nama dalam bidang pendidikan. Beberapa standard kurikulum yang dikeluarkan yang dilihat mampu memperbaik sistem pendidikan sebenarnya memberi tekanan yang lebih hebat kepada murid. Generasi muda yang seharusnya menjadi penerus kepada negara ini , kini bergelut dengan silibus pelajaran mereka .Oleh itu , dalam kesibukan mengejar kemajuan serta pembangunan negara , pendidikan perlu diberi perhatian dengan lebih mendalam. Duduk bersimpuh di tepi beranda , Anak gadis bermadah tak sudah , Kalut mengejar nama di persada, Pendidikan yang utama tidak diendah. Pohon cemara di tepi kota, Hinggap sejenak si burung kedidi, Taraf pendidikan megah diperkata, Kian terbeban pemuda pemudi. Sirih hijau tumbuh melata , Disebut herba penyembuh bisa , Guru lelah bersengkang mata, Mendidik permata harapan bangsa. Mana tidak penuhnya ikan , Kalau mengail di lubuk dangkal, Tinggi arasnya standard pendidikan, Silibus kompleks tak terdaya akal. Bunga rampai di dalam puan , Cantik ukiran milik puteri , Perbaharu sistem selari kemampuan, Bagi lahirnya generasi bestari. TEMA : PENDIDIKAN


Syair merupakan sejenis puisi berlagu yang berangkap dan berasal dari Parsi. Ia dibawa masuk ke Nusantara bersama-sama dengan kedatangan Islam . Syair dikatakan telah diubahsuai mengikut kepada kesesuaian bahasa Melayu klasik pada ketika itu . Walaubagaimanapun , mengikut pandangan A. Teeuw , syair ini merupakan puisi Melayu lama yang telah diubahsuai namanya.Menurut Harun Mat Piah (1989) syair Melayu tidak beracuankan syair daripada tradisi Arab atau mana-mana puisi Arab-Parsi tetapi dalam bentuk dan acuan asli masyarakat Melayu walaupun pada asalnya syair Melayu juga dipengaruhi oleh syair atau puisi Arab (Islam). Za'aba pula mendakwa bahawa syair berasal daripada perkataan "syir" yang membawa maksud perasaan serta pengenalan dengan pancaindera yang selalunya membangkitkan pelbagai perasaan dan pengalaman serta mempunyai bahasa yang indah dan menarik. Syair disampaikan dalam bentuk rangkap dan menjadi kegemaran masyarakat Melayu lama. Syair tidak mempunyai pemilik atau penulis yang khusus. Syair K O N S E P Syair merupakan bentuk puisi terikat yang tidak memerlukan unsur-unsur seperti pembayang. Setiap rangkap syair mengandungi 4 baris dimana satu rangkap syair mempunyai jumlah yang tetap. Seperti pantun , setiap baris boleh terdiri daripada lapan hingga 12 suku kata. Rima akhir bagi setiap baris adalah a, a, a, a. Perkataan dalam baris boleh diisi dengan 4-5 perkataan .Menurut Siti Hajar Abdul Aziz (2009),beliau menyatakan bahawa setiap rangkap tidak dapat berdiri dengan sendiri, tetapi memerlukan rangkap yang lain untuk melengkapkan idea tersebut .Setiap rangkap syair mempunyai pertautan dengan rangkap yang seterusnya . Hal ini kerana syair kebiasaannya berkisarkan tentang kisah , cerita, buah fikiran dan pujipujian . Tema dalam penyampaian syair dapat dibahagikan kepada dua iaitu bentuk naratif dan bukan naratif .Syair bentuk naratif ini mengandungi tema seperti syair romantis yang mengisahkan tentang kasih sayang dan penceritaan melibatkan emosi yang berlebih-lebihan, syair sejarah yang mengungkapkan kejadian yang telah berlalu, syair keagamaan yang berkaitan dengan kisah rukun Islam, kisah hari kiamat serta syair kiasan. Manakala syair bentuk bukan naratif adalah syair bukan cerita yang berunsurkan syair agama mahupun nasihat. F U N G S I Syair bertindak sebagai hiburan sesuai dengan alunannya yang mengasyikkan . Kebiasaanya syair digunakan dalam majlis -majlis tertentu seperti pesta dan keramaian . Syair turut dipertandingkan dalam norma masyarakat Melayu suatu ketika dahulu. Syair menjadi alat untuk menyampaikan cerita-cerita pedoman dan nasihat yang boleh diambil pengajarannya sesuai dengan kehidupan masyarakat . Kebiasaannya menyentuh aspek pengajaran agama Islam dari rukun iman, rukun sembahyang, zakat, puasa dan sebagainya. Syair juga dilagukan atau dinyanyikan sebagai mengiringi tarian-tarian tertentu seperti dabus dan boria .


AKAL BUDI Pemikiran Berdasarkan syair yang telah saya nukilkan , saya mengetengahkan tentang kasih sang ibu yang tidak pernah luput terhadap anaknya dan tetap menatang sang anak seperti minyak yang penuh . 9 bulan lamanya , membawa satu nyawa di dalam rahimnya .Ibu bertarung nyawa melahirkan si anak walaupun tahu adanya kemungkinan dia pergi bertemu Sang Pencipta .Namun begitu , anak yang disangkakan permata ternyata hanyalah suasa semata . Wujud sang ibu tidak dihirau mahupun terlantar kesakitan kerana lebih mengutamakan kerja yang menjadi mata pencarian .Tidak si anak sedar bahawa ibunya adalah kunci kepada rezeki yang dilimpahkan oleh tuhan kepadanya . Walaupun anaknya tidak menghargai jasa dan segala pengorbanan yang telah ditunjukkan dan dicurahkan oleh si ibu , namun doa dan harapan ibu kepada anak yang jauh di perantauan sentiasa dipanjatkan kepada Ilahi. Begitulah suci dan tulusnya kasih ibu kepada anaknya. Setelah diperlakukan sedemikian oleh anaknya , tetap saja merindukan kepulangan diri anaknya dulu . Sesungguhnya tiada cinta yang lebih dalam melainkan cinta sang ibu kepada anaknya . Dengarkan tuan sebuah cerita , Jadi pedoman si anak permata , Kasih si ibu tidak terkata , Menatang anaknya bersengkang mata. Ibu berkorban sepanjang hayat, Tulusnya cinta tidak bersyarat , Demi putera pertaruh riwayat , Itulah permaisuri menurut hikayat . Meski diabai jasa ibunda , Kasihnya tiada pudar dan noda, Jangan dipinta aral melanda , Tingkah teruna harus waspada . Anak terlena dalam kesibukan , Wujud sang ibu terus dilupakan, Hanya harapan ibu panjatkan , Semoga anakanda tiada tertekan . Kasihnya ibu tiada terganti , Janganlah luput cinta dan bakti , Sampai masa ajalnya mendekati, Segala sesalan tidak bererti . TEMA : PENGALAMAN HIDUP


Gurindam merupakan suatu bentuk puisi Melayu tradisional yang telah diperkenalkan oleh Raja Ali Haji pada tahun 1846. Beliau membawakan hasil karangan beliau iaitu ‘Gurindam Dua Belas’ sebagai suatu pendekatan untuk mengetengahkan salah satu bentuk sastera Melayu . Menurut Za'ba , gurindam adalah sebuah bentuk puisi Melayu lama yang tidak mempunyai bentuk ataupun sukatan yang tetap. Istilah gurindam berasal daripada bahasa Sanskrit. Walaupun begitu , bentuk gurindam itu aslinya dicipta oleh masyarakat Melayu sendiri dan berkembang dalam tradisi lisan Melayu. Isinya mengandung buah fikiran yang bernas dan disertai keestetikaan bahasa Melayu itu sendiri . Gurindam kebiasaannya dicipta bagi tujuan menyampaikan nasihat , pengajaran , kebenaran serta pernyataan perasaan cinta . Gurindam terbahagi kepada beberapa jenis iaitu : -Gurindam serangkap dua baris -Gurindam serangkap empat baris -Gurindam bebas Gurindam K O N S E P Gurindam merupakan sebuah puisi bebas atau disebut sebagai puisi tidak terikat . Kebiasaannya rangkap gurindam terhasil daripada dua baris atau lebih baris. Setiap baris perlu mempunyai dan membawa mesej yang sampai supaya dapat membawa makna yang lengkap. Pada baris pertama , penulis akan menyatakan sesuatu pemikiran (syarat) atau peristiwa manakala pada baris kedua , dinyatakan pula keterangan (jawapan) yang menyokong kepada baris pertama.Bagi gurindam bentuk bebas ,perkataan bagi setiap baris adalah tidak tetap.Begitu juga dengan jumlah suku kata . Rimanya juga bebas dan tidak perlu sama .Bagi gurindam bentuk yang terikat , jumlah perkataan sebaris adalah di antara 2/3/4 hingga 5/6.Manakala bagi suku kata sebaris pula di antara 8/9/10 hingga 12/13/14. . Dalam gurindam juga terkadang ada diselitkan dengan unsur ataupun ciri puisi seperti asonansi, aliterasi, dan gaya bahasa tertentu. Sesebuah gurindam sarat dengan tema dan perutusan yang bersifat nasihat, keagamaan, dan pengajaran. F U N G S I Gurindam berfungsi sebagai dokumentasi gambaran masyarakat yang dapat memancarkan kreativiti , estetika dan daya intelektual masyarakat Melayu lama dalam menguruskan hal-hal seharian kehidupan mereka. Gurindam digunakan sebagai medium komunikasi dalam majlis-majlis yang berkait rapat dengan adat Melayu dan majlis formal Gurindam dijadikan sebagai hiburan masyarakat Melayu dan sering didendangkan bagi menaikkan suasana


AKAL BUDI Pemikiran Pemikiran yang terdapat dalam gurindam yang telah saya bentangkan adalah bertemakan tentang kepentingan ilmu terhadap masyarakat . Ilmu memainkan peranan penting dalam kehidupan masyarakat. Ia membantu masyarakat memahami dunia yang kompleks dan dinamis dengan lebih baik. Ilmu membantu masyarakat memahami masalah sosial yang dihadapi, seperti kemiskinan, kejahatan, diskriminasi, dan lain sebagainya. Dengan memahami masalah ini, masyarakat dapat bekerja sama untuk mengatasi dan memperbaiki situasi yang ada.Inilah yang dimaksudkan dalam rangkap kelima gurinda yang telah saya cipta . Seterusnya ilmu membuka peluang baru bagi masyarakat, seperti kesempatan untuk mendapatkan pekerjaan yang lebih baik, pendidikan yang lebih baik, dan kesempatan lain yang mungkin tidak terbuka tanpa pengetahuan yang memadai. Bukan itu sahaja , malah dengan adanya pengetahuan yang luas, masyarakat dapat memperbaiki kualiti hidup mereka secara keseluruhan, seperti meningkatkan tahap kesihatan, memperbaiki ekonomi, dan memperbaiki taraf hidup.Maka dengan itu , pentingnya untuk setiap individu mencari dan meluaskan ilmu pengetahuan baik dari segi yang formal mahupun tidak supaya dapat menjalani kehidupan dengan lebih baik dan bermakna. Ilmu adalah kunci kejayaan , Tuntun masyarakat ke arah kemajuan . Ilmu adalah harta berharga , Panduan hidup setiap warga. Ilmu adalah jendela peradaban , Bentuk keharmonian bebaslah beban . Ilmu adalah cahaya penerang, Membentuk insan bukan sebarang . Ilmu adalah senjata rohani, Melawan yang batil dari menghuni . TEMA : ILMU


Rujukan Abu Zar. (2016). Syair Siti Zubaidah . Dewan Bahasa dan Pustaka . Asmiaty Amat , Mashor Awang Long , & Mazni Mustapha . (2021) . Akhlakul Karimah dalam puisi tradisional Melayu dan peranannya sebagai medium dakwah Bil-Qalam. Akademi Seni dan Teknologi Kreatif UMS . Dr. Azman bin Rahmat , Dr. Mohd Nazri bin Zainuddin , Shamsudim bin Abu Bakar , Haji Abdul Rani bin Hassan , & Dr. Hasnah binti Awang . (2022) . Kesusasteraan dan kebudayaan Melayu . Pustaka Al- Ehsan . Harun Mat Piah. (1989) . Puisi Melayu tradisional . Dewan Bahasa dan Pustaka. Ismail Yusof . (2008) . Kesusasteraan Melayu lama dan baru . Penerbit UUM Press. Norazimah Zakaria . (2017) . Akal budi dan cerminan jati diri Melayu dalam pantun . UPSI. Maulana Al-Fin & Nurhashimah Jalaluddin . (2022) . Fenomena alam dalam pantun Melayu . UKM . Siti Zaleha M. Hashim . (2016) . Kenali puisi tradisional kita . Dewan Bahasa dan Pustaka . Syed Muhammad Naquib al-Attas. (2020) . Falsafah sejarah . UKM . Puisi Melayu tradisional adalah bentuk puisi yang berasal dari masyarakat Melayu dan telah ada sejak ratusan tahun yang lalu. Bagi menghargai seni warisan budaya kita , setiap golongan masyarakat perlulah giat menjalankan usaha agar tidak hilang ditelan zaman . Individu memiliki peranan penting dalam melestarikan puisi Melayu tradisional dengan cara mempelajarinya, menghargai, dan menggunakannya dalam kehidupan sehari-hari. Usaha melalui individu juga termasuklah menuliskan puisi-puisi Melayu tradisional dan mempromosikannya melalui media sosial atau acara budaya.Selain itu ,agensi seperti organisasi kebudayaan dan lembaga pendidikan memiliki peranan penting dalam mempromosikan dan mengajarkan puisi Melayu tradisional kepada masyarakat. Mereka dapat mengadakan pelatihan ataupun bengkel untuk meningkatkan pemahaman masyarakat tentang puisi Melayu tradisional. Agensi-agensi ini juga dapat menyediakan sarana dan prasarana untuk memfasilitasi kegiatan melestarikan puisi Melayu tradisional, seperti ruang baca dan perpustakaan yang memiliki koleksi puisi-puisi Melayu tradisional.Akhir sekali , badan kerajaan memiliki tanggungjawab untuk melestarikan dan mempromosikan budaya Melayu, termasuk puisi Melayu tradisional. Hal ini dapat dilakukan melalui program-program kebudayaan, seperti pertunjukan seni, festival, dan pameran seni. Selain itu, badan kerajaan juga dapat memberikan sokongan kewangan dan pelatihan kepada individu dan organisasi yang bekerja untuk melestarikan puisi Melayu tradisional. Jelaslah , langkah yang proaktif perlu dilakukan demi memelihara keluhuran seni Melayu.


Click to View FlipBook Version