The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by abgameeruladhry, 2017-11-29 21:32:23

FSPPP HOMECOMING Dinner

FSPPHOMECOMING

TEKS UCAPAN

PENASIHAT

PROGRAM FSPPP HOMECOMING ALUMNI DINNER

UNIVERSITI TEKNOLOGI MARA CAWANGAN SARAWAK

PROFESOR DATO DR JAMIL HAJI HAMALI

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

Para hadirin sekalian, majlis makan malam ini adalah bertepatan sekali dengan sambutan 50
tahun Jubli Emas kelahiran Diploma Pentadbiran Awam (DPA) yang diraikan pada tahun ini.
DPA telah mulai bertapak di Sarawak sejak 44 tahun yang lalu iaitu pada tahun 1973 di
Kampus ITM Batu Lintang. DPA merupakan program sulung yang diperkenalkan di Sarawak
dan pada ketika itu merupakan salah satu program perintis di ITM Sarawak sekitar tahun
1970an. Pada mulanya program DPA ditawarkan secara sepenuh masa. Namun pada tahun
1974, DPA telah dipindahkan ke ITM Sabah. Sejak itu program DPA hanya ditawarkan secara
separuh masa melalui mod pengajian Kajian Luar Kampus (KLK) sehinggalah ianya
ditawarkan semula secara sepenuh masa pada tahun 1994 di Kampus ITM Semariang,
kemudiannya DPA di teruskan di Kampus Samarahan, dan kini masih di jalankan di Kampus
Samarahan 2.

Disamping menawarkan program peringkat diploma, Fakulti Sains Pentadbiran Awam
dan Pengajian Polisi (FSPPP) yang dulunya dikenali sebagai Fakulti Pentadbiran dan
Undang-Undang juga menawarkan program di peringkat sarjana muda, sarjana dan doktor
falsafah. Di UiTM Cawangan Sarawak, program peringkat sarjana muda telah bermula pada
tahun 2004 dengan menawarkan program Ijazah Sarjana Muda Sains Pentadbiran secara
sepenuh masa yang kemudiannya juga di perkenalkan secara mod Pengajian Jarak Jauh
(PJJ). FSPPP UiTM Cawangan Sarawak seterusnya menawarkan program peringkat
pascasiswazah iaitu program Sarjana Eksekutif Sains Pentadbiran (EMAS) pada tahun 2012
secara separuh masa.

Sejak DPA di perkenalkan, ramai graduan lepasan DPA telah berjaya melanjutkan
pengajian mereka ke peringkat yang lebih tinggi seperti peringkat sarjana muda, sarjana dan
peringkat doktor falsafah dalam pelbagai bidang di universiti tempatan mahupun universiti di
luar negara. Graduan DPA merupakan ‘feeder’ kepada universiti-universiti ini. Bahkan ada
dikalangan mereka menjadi pelajar cemerlang ketika berada di universiti-universiti tersebut.
Pendedahan awal yang diberikan oleh UiTM melalui program DPA telah banyak membantu
graduan DPA untuk berjaya diperingkat pengajian yang lebih tinggi.

Sejak kewujudan program DPA di Sarawak, kita telah melahirkan ramai tokoh-tokoh
dan pegawai-pegawai penting di sektor awam dan swasta. Kita akan berjumpa dan berurusan
dengan para graduan DPA ini di pelbagai organisasi, jabatan dan agensi di peringkat
persekutuan, negeri dan juga kerajaan tempatan. Tidak kurang juga yang menjadi usahawan
membuka perniagaan sendiri dan menawarkan pekerjaan kepada anak-anak muda.

Kita harus ingat bahawa hasil yang kita tuai pada hari ini adalah sebahagian daripada
sokongan dan bantuan kerajaan. Tanpa sokongan kerajaan, kita tidak akan mampu untuk
bertahan dan maju ke hadapan. Oleh yg demikian pihak universiti berharap agar pihak
kerajaan akan terus kekal membantu kita dalam pelbagai bentuk agar UiTM terus kekal
releven. Semoga UiTM terus berdedikasi dalam aspirasinya melahirkan graduan bumiputera
yang cemerlang dalam pelbagai bidang.

Kalau ada sumur di ladang
Boleh kita menumpang mandi
Kalau ada umur yang panjang
Boleh kita berjumpa lagi

Sekian, Terima Kasih.

TEKS UCAPAN

PENGERUSI

PROGRAM FSPPP HOMECOMING ALUMNI DINNER

UNIVERSITI TEKNOLOGI MARA CAWANGAN SARAWAK

PROFESOR MADYA DR HAJAH RASHIDAH MAHDI

Assalamualaikum dan Salam UiTM Di Hatiku

Perubahan keadaan ekonomi dan polisi pendidikan negara hari ini sedikit sebanyak
mempunyai impak terhadap perjalanan sektor pendidikan dan universiti awam khasnya,
termasuk UiTM. Meskipun menghadapi pelbagai cabaran, namun ia bukanlah satu
penghalang kepada warga UiTM untuk merealisasikan sistem pendidikan negara dan
memenuhi aspirasi kewujudan UiTM. Kami terus berjuang dengan penuh keikhlasan dan
kesungguhan demi memastikan kelangsungan UiTM sebagai sebuah institusi yang
mementingkan kecemerlangan akademik anak-anak bumiputera. Sebagai sebuah institusi
pendidikan yang terbesar di Malaysia, dengan pengwujudan cawangan UiTM di seluruh
negara, sudah tentu kita memerlukan dana yang mencukupi untuk manjalankan pelbagai
aktiviti akademik, kegiatan pelajar dan aktiviti kajian untuk memastikan graduan kita
mempunyai bukan sahaja kecemerlangan akademik tetapi juga mempunyai kemahiran insani
yang sangat baik. Ini sejajar dengan keperluan industri hari ini yang sangat mementingkan
keupayaan graduan untuk berkomunikasi, keupayaan untuk bersaing dan graduan yang lebih
kreatif dan inovatif.

Kejayaan Alumni dalam jumlah yang banyak menjadi kebanggaan dan kekuatan untuk
UiTM sekiranya mereka sanggup menyumbang balik kepada universiti untuk memastikan
kesinambungan kejayaan ini. Alumni boleh menjadi penceramah, pakar rujuk, penasihat, dan
rakan kolaborasi untuk mengadakan aktiviti-aktiviti akademik ataupun kemasyarakatan.
Mereka juga boleh mengambil pelajar-pelajar UiTM untuk latihan sangkutan di tempat kerja
masing-masing dan memberi maklumbalas kepada pengurusan universiti agar kurikulum
pengajaran dan pembelajaran dapat dimantapkan mengikut keperluan semasa. Sumbangan
berbentuk monetari seperti memberi wakaf juga di perlukan untuk membangunkan pasarana
pembelajaran di UiTM Cawangan Sarawak, memandangan pengurangan kos pengoperasian
oleh Kementerian Pendidikan. Saya dengan rendah hati menyeru agar Alumni memikirkan
sejenak di manakah kita tanpa ITM atau UiTM. Oleh itu bantulah UiTM dalam menjamin
kelestariannya sebagai sebuah institusi yang membangunkan anak-anak bumiputera yang
sentiasa menjadi pilihan utama industri.

Alumni yang ada pada hari ini merupakan Ikon kepada mahasiswa dan mahasiswi
yang masih berada dalam alam pengajian. Dengan adanya hubungan dengan Alumni ini, para
siswa dan siswi akan mengenali Ikon Alumni dan secara langsung Alumni ini akan menjadi
penyuntik semangat dan aspirasi kepada para siswa dan siswi ini. Kesungguhan dan
keinginan mereka untuk menjadi Ikon Alumni yang berjaya patut menjadi budaya yang diwarisi
agar mereka dapat meneruskan legasi yang telah dicipta oleh Alumni-Alumni sebelum
mereka.

Akhir kata, saya berharap Alumni terus menjalinkan hubungan dengan Fakulti Sains
Pentadbiran & Pengajian Polisi dan UiTM Cawangan Sarawak, biarlah kita umpama
peribahasa “Pinang pulang ke tampuk”. Terima kasih kerana hadir dalam majlis ini dan kami
sangat mengalu-alukan kerjasama dengan UiTM pada masa-masa akan datang.

Dari Kimanis ke Pulau Labuan,
Ke Labuan sewaktu pagi;
Sungguh manis budimu tuan,
Tidak tuan siapalah lagi?

Burung bangau tenang di kolam,
Kolam ada di Teluk Likas;
Kilai-kemilau indah pualam,
Budi juga tetap berbekas.

Sekian, Terima Kasih.

TEKS UCAPAN

TIMBALAN PENGERUSI

PROGRAM FSPPP HOMECOMING ALUMNI DINNER

UNIVERSITI TEKNOLOGI MARA CAWANGAN SARAWAK

ZALINA MOHD DESA

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Alhamdulillah saya panjatkan rasa kesyukuran ke hadrat Allah SWT yang telah
memanjangkan dan mengurniakan kesempurnaan akal, menganugerahkan kesihatan jasad
serta memberikan keupayaan sehingga membolehkan kita dapat berkumpul dan bertemu di
program FSPPP Homecoming Alumni Dinner, UiTM Sarawak.

Sayang kumbang mencari makan,

Terbang seiiring ditepi kali,

Selamat Datang kami ucapkan,

Moga diiring restu Ilahi.

Sarung ketupat berisi inti,

Dibawa budak sambal berlari,

Kehadiran semua sangat dihargai,

Moga majlis bertambah seri.

Bagi pihak Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi (FSPPP) UiTM Cawangan
Sarawak saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengalu-alukan kehadiran semua
Alumni. Program ini merupakan program yang julung kalinya diadakan oleh fakulti ini dengan
kerjasama Unit Penyelidikan dan Jaringan Industri (PJI). Program ini juga sejajar dengan
sambutan 50 tahun penawaran Diploma Pentadbiran Awam yang disambut secara serentak
di seluruh kampus cawangan UiTM iaitu, di Kampus Machang, Sungai Petani, Raub, Kota
Kinabalu dan tidak ketinggalan Kampus Samarahan 2.

Saya mewakili fakulti, ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan
terima kasih diatas kesudian seluruh warga Alumni FSPPP untuk hadir ke majlis ini.
Pertemuan ini, diharapkan bukanlah pertemuan kita yang terakhir. Pertemuan ini diharapkan
dapat menjadi wadah untuk bersinergi di dalam usaha bagi menjayakan dan melestarikan
pelbagai program UiTM pada masa akan datang.

Justeru, sebagai inisiatif bagi mengenalpasti dan memastikan hubungan kerjasama
bersama seluruh warga Alumni ini dekat dengan UiTM, UiTM Cawangan Sarawak telah
mewujudkan satu pengkalan data Alumni yang boleh diakses oleh semua. Setakat ke hari ini,
terdapat 2,399 Alumni FSPPP yang berdaftar. Saya yakin, masih ramai lagi yang masih belum
mendaftar. Justeru, besarlah harapan kami agar makluman ini dapat disampaikan kepada
seluruh warga Alumni FSPPP supaya dapat mengemaskini dan membuat pendaftaran bagi
tujuan perkembangan jaringan FSPPP dan Alumni pada masa yang akan datang.

Di kesempatan ini, saya juga ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada pihak
urus setia program di atas pencapaian yang cemerlang dalam usaha untuk memastikan
kelancaran program ini. Moga pertemuan kita kali ini akan menjadi pencetus kepada
pertemuan bermakna yang berganda selepas ini, seperti kata pepatah “Seikat bagai sirih,
serumpun bagai serai”.

Akhir kata, sekali lagi saya mewakili seluruh warga FSPPP berharap agar jaringan
hubungan dikalangan seluruh warga Alumni FSPPP ini akan sentiasa terjalin dan dipergiatkan
melalui pelbagai aktiviti dan program kerjasama bersama bagi melahirkan graduan yang
berkualiti, berwibawa dan berketrampilan tinggi.

Kalau ada kepuk diladang,
Bolehlah juga tumpang mandi;
Diberi Allah usia nan panjang,
Bolehlah kita bersua lagi.

Sekian, terima kasih.


Click to View FlipBook Version