The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by zul361977, 2021-08-21 23:12:46

al-Sahwah al-Maqasidiyyah

al-Sahwah al-Maqasidiyyah

Keywords: al-Sahwah al-Maqasidiyyah

Al-FIKR AL-MAQASIDIY DI ERA Al-SAHWAH Al-MAQASIDIYAH

zulkiflihasan.com

Pendahuluan

Wacana Maqasid al-Shari’ah kini telah mendapat tempat di kalangan masyarakat dan
semakin giat dibicarakan oleh pelbagai pihak. Umumnya, banyak karya mengenai
Maqasid alShari’ah telah diterbitkan di seluruh dunia termasuk terjemahannya juga
kian meningkat dan mudah didapati di pasaran. Di Malaysia, pelbagai kajian berkaitan
Maqasid al-Shari’ah telah dijalankan dan penerbitan juga semakin rancak
menambahkan lagi rujukan sedia ada yang boleh dimanfaatkan.

Berdasarkan kepada rujukan dan penerbitan Maqasid al-Shari’ah yang ada di
pasaran, mahu tidak mahu kita perlu memahami dan menyedari bahawa masih ramai
pihak yang masih tidak memahami atau kurang arif mengenainya. Ini bukan bermakna
Maqasid al-Shari’ah adalah disiplin ilmu yang sukar untuk difahami tetapi ia lebih
menjurus kepada penguasaan, kemampuan dan kefahaman asas memahami istilah-
istilah tertentu berkaitan.

Melihat kepada trend dan perkembangan wacana Maqasid al-Shari’ah, didapati
wujudnya perbincangan dan perbahasan mengenainya yang tidak bersandarkan
kepada kerangka ilmu yang kemas dan tepat sehinggakan ia boleh menjustifikasikan
hukum yang telah disepakati. Wacana sebegini sebenarnya membuka kepada fitnah
dan tohmahan kepada disiplin ilmu Maqasid al-Shari’ah itu sendiri apabila ia
dibahaskan menerusi metodologi dan kaedah yang salah. Oleh itu, sebarang
perbahasan dan kupasan mengenai Maqasid al-Shari’ah perlu dibuat menerusi
kaedah dan kerangka yang tepat bersandarkan kepada disiplin ilmu yang
dibangunkan oleh ilmuwan dan sarjana Maqasid al-Shari’ah.

Apabita membincangkan Maqasid al-Shariah amat penting untuk memehami peranan
dan fungsinya. Adakah Maqasid Shari'ah ini hanya sebagai falsafah? ataupun
Maqasid al-Shari’ah ini sebagai 'illah ataupun sumber hukum? ataupun Maqasid al-
Shari’ah ini sebagat ‘benchmarking’ atau kayu ukur yang boleh dijadikan asas kepada
polisi atau sesuatu dasar? Ada yang memahami Maqaṣid hanya sebagai ḥikmatul
ḥukum, ertinya tujuan Shari’ah itu bukanlah sebagai hukum, namun hikmah dan kesan
positif pelaksanaanya. Ada juga melihat ia sebagai ‘illatul ḥukum. Persoalan ini
menimbulkan polemik kepada orang awam untuk memahami fungsi dan peranan
sebenar Maqasid al-Shari’ah.

Sebagai asas kepada perbincangan, saya nukilkan petikan Ibn Qayyim
membicarakan Shari’ah. Sesungguhnya dasar Shari’ah adalah hikmah dan kebaikan
manusia di dunia dan akhirat. Shari’ah itu seluruhnya adil, rahmah, hikmah, dan
maslahah. Oleh sebab itu setiap masalah yang lari dari prinsip keadilan kepada
kezaliman, atau dari rahmah kepada sebaliknya, atau dari kebaikan menuju
mafsadah, atau dari hikmah kepada hal yang sia-sia bukan merupakan bagian
Shari’ah meskipun dimasuki melalui ta’wil. Pandangan ini merumuskan bahawa apa-
apa yang mafsadah membawa sia-sia itu bukan Shari'ah walaupun cuba ditafsirkan
sebegitu dari zahirnya.

Citra Maqasid Dari Kelahiran Hingga Kebangkitan

Buku yang ditulis oleh Marwan Bukhari ini mengupas dengan tuntas keperlua-
keperluan ilmu asas bagi memahami disiplin ilmu Maqasid. Saya sendiri membaca
deraf manuskrip dan mencadangkan beberapa penambahan untuk memastikan ia
lebih menyeluruh. Antaranya mencadangkan memasukkan tesis dan kajian serta
seminar Maqasid kontemporari yang boleh dijadikan rujukan kepada semua. Marwan
juga baru sahaja menamatkan pengajian Sarjana dengan tajuk disertasinya A
Maqasid Approach to Contemporary Fiqh of Reference to Illegitimate Child Issues.
Disertasi ini mendapat distinction dan pujian pemeriksa dan disarankan untuk
penerbitan. Saya juga terlibat bersama Marwan dan penyelidik merealisasikan projek
penerbitan Kompendium Maqasid al-Shari’ah kamus pertama seumpamanya dalam
Bahasa Melayu di dunia. Perlu diingatkan, membaca buku ini sahaja tidak mencukupi.
Proses ini tidak boleh terhenti malahan memerlukan usaha untuk terus mendalami
dan menggali ilmu ini.

Buku Citra Maqasid dimulakan dengan menjawab persoalan sejauh mana idea
Maqasid mempunyai asasnya dalam wahyu dan risalah Nabi Muḥammad dan
menjelaskan secara ringkas tentang latar pemikiran keagamaan dan perkembangan
ilmu-ilmu Islam makna dan konsep asas Maqaṣid al- Shari‘ah. Diikuti dengan
perkembangan sejarah Maqasid al-Shari‘ah. Penulis menyebut tentang tokoh-tokoh
utama dan sumbangan signifikan mereka dalam perkembangan ilmu Maqasid al-
Shari‘ah termasuk maklumat bibliografi atau karya-karya berkaitan bidang Maqāṣid al-
Shari‘ah.

Buku ini juga memberikan pencerahan menerusi contoh-contoh dalam al-Quran dan
Hadith serta pendekatan pengalaman pelaksanaan tuntutan nas oleh generasi terawal
selepas zaman Nabi SAW. Hal ini disusuli dengan penerangan mengenai idea awal
kerasionalan nas dalam kalangan generasi tabiin. Bab keenam menelusui pemikiran
Imām al-Shatibi dalam bidang Maqasid al-Shari‘ah dan membicarakan tentang fasa
selepas al-Shāṭibī dengan fokus utama wacana pada abad ke-19 hingga zaman
kontemporari.

Kepentingan Maqasid al-Shari’ah

Al-Syatibi menggunakan beberapa istilah yang berbeza untuk ‘ilmu ini berkaitan
dengan Maqasid al-syari’ah, iaitu Maqasid al-Syari’ah, al-Maqsad as-Syari’iy dan
Qasd as-Syari’. Ahmad ar-Raysouni menyebut idea zaman kebangkitan Maqasid (al-
Sohwah al-Maqasidiyyah).

Maqasid adalah amat penting dalam kehidupan kerana ia memberikan pemahaman
kepada umat Islam terhadap setiap perintah atau prinsip yang diberikan oleh Shari’ah.
Maqasid juga berperanan untuk menjadi pencerah kepada permasalahan yang
semakin rumit dan kompleks tetapi teks atau nas al-Qur’an dan Sunnah kekal tidak
bertambah.

Imam al-Haramain al-Juwaini. Dalam bukunya Ghiyats al-Umam fi al-Tayyats al-
Zhulam (‫)ﻏﯾﺎث اﻷﻣم ﻓﻲ ﺗﯾﺎث اﻟظﻠم‬, menekankan kepentingan Maqasid al-Shari’ah dalam
memahami nas-nas syara’, antaranya beliau menyebut:

‫وﻣن ﻟم ﯾﺗﻔطن ﻟوﻗوع اﻟﻣﻘﺎﺻد ﻓﻲ اﻷواﻣر واﻟﻧواھﻲ ﻓﻠﯾس ﻋﻠﻰ ﺑﺻﯾرة ﻓﻲ وﺿﻊ اﻟﺷرﯾﻌﺔ‬
Dan barangsiapa yang tidak memahami kewujudan Maqasid dalam perintah-perintah
dan larangan-larangan syara’, maka ia tidak memiliki pandangan yang jelas dan benar
tentang syariah.

Al-Raysouni menganggap penguasaan ‘ilmu Maqasid sebagai satu kewajipan kepada
setiap faqih:
‫أن اﻟﻣﻘﺎﺻد ﻻزﻣﺔ ﻟﻠﻔﻘﯾﮫ ﻓﻲ ﺟﻣﯾﻊ اﻟﻣﻧﺎﺣﻲ واﻟوﺟوه اﻻﺟﺗﮭﺎدﯾﺔ‬
Sesungguhnya (pengetahuan berkenaan) Maqasid al-Shari’ah adalah satu keperluan
kepada para fuqaha’ dalam segenap segi dan wajah ijtihad.

Antara contoh menarik yang dipetik dalam buku Citra Maqasid ini merujuk kepada
kepentingan memahami nas melangkaui literal atau zahirnya. Di mana sepotong hadis
yang diriwayatkan oleh Jabir RadiyAllahu’anhu menunjukkan kefahaman literal boleh
menyebabkan kematian. Akibat daripada kejahilan dan tidak bertanya, pemahaman
literal terhadap tuntutan mandi wajib menyebabkan sahabat yang luka parah ditimpa
batu menemui kematian. Sedangkan boleh sahaja ia diganti dengan tayammum.
Rasulullah saw mengingatkan para sahabat untuk bertanya kepada orang yang tahu
dan juga menggunakan rasional pensyariatan sesuatu hukum.

Perkembangan Ilmu Maqasid

Al-Raysuni, menjelaskan bahawa ilmu Maqaṣid al-Shari‘ah tidak hanya tumbuh dalam
bidang Usul al-Fiqh. Malah, ia tumbuh dalam banyak bidang lain dalam karya-karya
fiqh, qawa‘id fiqhiyyah, ilmu kalam, karya-karya tafsir dan tasawuf termasuk sosiologi
dan sejarah seperti Muqaddimah Ibn Khaldūn.

Zaman Nabi dan Sahabat- al-Shaṭibi menyebut bahawa (para sahabat) mengetahui
Maqasid al-Shari‘ah dan mencapai pengetahuan mengenainya. Mereka
mengasaskan kaedah-kaedahnya dan meletakkan prinsip-prinsip fundamentalnya.

Zaman Imam Mazhab- Ahmad Wifaq Mokhtar dalam kajiannya menegaskan bahawa
Imam al Syafii merupakan tokoh terawal yang menggunakan istilah Maqaṣid al-
Shari’ah sebagaimana dinukil oleh al-Juwayni dalam bukunya al-Burhan. Beliau juga
mendatangkan hujah dan bukti yang jelas bahawa elemen-elemen asas (seperti ta‘lil
dan pemeliharaan lima perkara ḍaruri dalam perbincangan Maqasid al-Shari‘ah jelas
kelihatan dalam pemikiran al-Shafī‘i. Beliau menyenaraikan 80 contoh ta‘lil maqasidi
(ta‘lil dengan menyebut peraihan maṣlaḥah dan penolakan mafsadah) yang terdapat
dalam karangan beliau iaitu al-Umm.

Iḥya’ ‘Ulum al- Din pula merupakan antara praktik bagi teori Maqasid al-Shari’ah.
Perhatian yang diberikan beliau tentang rahsia dan hikmah di sebalik amalan seperti
bersuci (taharah), solat, puasa, haji. Al-Ghazali merupakan guru kepada al-Shatibi
sekalipun jarak mereka berbeza tiga kurun lamanya. Mustafa al-Zarqa’ berpandangan
bahawa Imam al-Ghazali telah meletakkan biji-biji benih topik (Maqasid al-Shari‘ah)
dalam bukunya al-Mustasfa, kemudian al-Shaṭibi telah menumbuhkannya dalam al-
Muwafaqat dengan sebaik-baik penumbuhan sehingga menjadi kebun yang
mengandungi pepohon merimbun.

Kesan pemikiran al-Shāṭibī masih tenggelam dan tidak diberikan hak yang selayaknya
selama kurang lebih lima kurun. Konteks sosio-politik yang melatari zaman al-Shatibi
juga dianggap sebagai antara faktor tenggelamnya al-Muwafaqat dalam wacana Usul
al-Fiqh dalam kalangan ulama selepasnya sejak beliau meninggalkan dunia.

Al Mawdudi dan Al Dehlawi. Al-Mawdudi mencadangkan al-Muwafaqat untuk
diterjemah. Syah Waliyullah al-Dehlawi menerusi Hujjatullah al-Balighah menegaskan
dalam bidang berkaitan hadith, ilmu rahsia agama (asrar al-din) iaitu lmu yang mencari
hikmah di sebalik hukum-hakam merupakan ilmu yang tertinggi, paling mendalam.

Zaman Kontemporari- Khayruddin al-Tunisi, Muḥammad ‘Abduh, ‘Abdul Rahman al-
Kawakibi dan Rashid Rida, sehinggalah diteruskan oleh tokoh abad ke-20 seperti Ibn
‘Ashur, ‘Allal al-Fasi, Mustafa al-Zarqaini ’. Buku Citra Maqasid juga menyenaraikan
beberapa tesis berkaitan Maqasid al-Shari‘ah yang dihasilkan era kontemporari.

Ibn ‘Ashur (mengakui bahawa beliau memanfaatkan idea al-Shatibi dalam menulis
Maqasid al-Shari‘ah al-Islamiyyah. ‘Allal al-Fasi penulis buku Maqasid al-Shari’ah wa
Makarimuha. Muḥammad ‘Abduh juga terpengaruh dengan al-Shatibi. al-Raysuni
menyenaraikan tiga lagi dimensi pembaharuan dalam pemikiran al-Shaṭibi iaitu
perbincangannya mengenai Maqasid al-Mukallaf, metode untuk mengetahui Maqaṣid
al-Shari‘ah dan peletakan kaedah-kaedah Maqasid al- Shari‘ah (Qawa‘id al-Maqasid).

Buku Maqaṣid al-Shari‘ah al-Islamiyyah oleh Ibn ‘Ashur mengetengahkan idea
Maqasid al-Sharī‘ah malah dipraktikkan dalam karya-karya lain termasuk tafsir beliau
yang berjudul al-Tahrir wa al-Tanwir. Ibn ‘Ashur turut dikenali sebagai tokoh yang
menyingkap sebilangan Maqāṣid baharu seperti penegasan beliau bahawa
kesamarataan (al-musawah) dan kebebasan (al-hurriyyah) ialah antara Maqasid
penting Shari‘ah. Jasser Auda seterusnya datang dengan menawarkan pendekatan
baharu dalam pemikiran Islam. Pendekatan ini dinamakan sebagai metodologi
Maqasid atau al-manhajiyyah al-maqasidiyyah.

Kajian Maqasid al-Shariah

Antara yang sering diperbahaskan ulama ialah persoalan mengenai makna dan tujuan
Sharī‘ah dalam Uṣul al-Fiqh. Ia boleh dibahagi kepada dua pandangan utama. 1)
Maqasid ialah sebahagian bidang Usul al-Fiqh dan tidak boleh menjadi suatu disiplin
yang sendiri. Jamaluddin ‘Atiyyah dan Bin Bayyah 2) Pandangan kedua pula
menyatakan bahawa Maqasid merupakan suatu disiplin yang tersendiri.

Dari aspek prinsip Maqasid al Shariah, al Raysuni menggariskan tiga prinsip utama
iaitu al-Ta‘lil, al-Istislah dan Ma’alat al-Af‘al. Ta‘lil atau ‘illah merujuk kepada alasan
bagi hukum atau hikmah dan maṣlaḥah yang terkandung dalam sesuatu perintah dan
keharusan, serta mafsadah yang terkandung dalam larangan. Istislaḥ bererti membina
hukum-hakam fiqh berdasarkan tuntutan al-maslahah al-mursalah. Ma’alat al-Af‘al
pula merujuk kepada kesan dan implikasi di sebalik perbuatan.

Boleh dirumuskan bahawa disiplin ilmu Maqasid al-Shari’ah semakin berkembang dan
ini merangkumi al-Ijtihad al-Maqasidiy (‫ )اﻻﺟﺗﮭﺎد اﻟﻣﻘﺎﺻدي‬iaitu proses ijtihad yang
dijalankan menurut kerangka Maqasid Syari’ah dan prinsip-prinsipnya. Al-Fikr al-
Maqasidiy (‫ )اﻟﻔﻛر اﻟﻣﻘﺎﺻدي‬bermaksud minda Maqasidiy yang memahami nas-nas syara’

menurut neraca Maqasid al-Shari’ah, dan cara berfikir yang bertitik-tolak daripada
gagasan Maqasid serta prinsip-prinsipnya. Manakala al-Tafsir al-Maqasidiy ( ‫اﻟﺗﻔﺳﯾر‬
‫ )اﻟﻣﻘﺎﺻدي‬atau al-Tafsir al-Maudhu’iy iaitu satu manhaj tafsir al-Quran menurut neraca
Maqasid al-Shari’ah dan tema-tema tertentu.

Mengoperasikan Maqasid al-Shari’ah

Perkara yang sangat penting pada waktu ini ialah bagaimana untuk mengoperasikan
Maqasid al-Shari’ah. Bagi maksud ini, saya ingin mengetengahkan usaha untuk
menjadikan Maqasid al-Shariah sebagai indeks rujukan dan asas polisi atau dasar.

Sudah ada beberapa kajian yang mengukur dan juga menilai sejauh mana Maqasid
al-Shari’ah itu dipenuhi. HDI (Human Development Index) antara indeks yang baik
untuk dirujuk. Kita lihat bagaimana mereka mengukur Maqasid al-Shari’ah iaitu sejauh
mana negara itu mengamalkan atau mencapai Maqasid al-Shari’ah. HDI
menggunakan ‘life expectancy index’ untuk hifzul nafs. ‘education index’ sebagai hifzul
aqal, ‘GDP index, carbon dioxide, admission freedom index, family value index’
sebagai hifzun nasab, fiqh index sebagai hifzud deen’.

Selain HDI, menarik untuk merujuk ‘Islamicity index’ (indeks kelslaman) yang
dibangunkan oleh Profesor 'Eshkari yang melibatkan 208 negara. Kajian ini
menggunakan 12 ‘variables’ mewakili nilai-nilai yang bersifat ‘universal’ dan pastinya
selari dengan prinsip Maqasid al-Shari’ah. Kajian ini merumuskan bahawa negara
majoriti bukan Muslim adalah lebih memenuhi Maqasid al-Shari’ah berbanding negara
Islam.

Maqasid Shari'ah Development index diperkenalkan oleh Islamic Development Bank
menerusi institute penyelidikannya iaitu IRTl. IRTI mengkaji elemen kemiskinan dan
kaitannya dengan Maqasid al-Shari’ah di Pakistan. Syed Salman Ali, penyelidik IRTI
ini telah menjalankan kajian ke atas 2000 responden dengan menggunakan ‘world
value survey’ sebagai rujukan. Kajian ini mendapati bahawa di antara punca utama
kemiskinan di Pakistan adalah gagal atau cuai memelihara aspek hifzul maal. Kajian
mendapati kemiskinan adalah sangat berkait rapat dengan Maqasid memelihara
harta.

Malaysia juga memperkenalkan Indeks Syariah atau dikenali sebagai ISM. ISM ini
adalah antara indeks Maqasid al-Shari’ah paling komprehensif dibangunkan oleh
kerajaan. ISM melibatkan responden yang terdiri daripada masyarakat umum,
pelaksana dasar dan pembuat dasar. Pemerintah (pembuat dasar): sejauh mana
undang-undang, dasar dan polisi yang dirangka serta program-program dan aktiviti-
aktiviti yang diatur mematuhi dan bertepatan dengan Maqasid al-Syariah. Agensi
(pelaksana dasar); sejauh mana undang-undang, dasar-dasar dan polisi-polisi yang
dirangka serta program-program dan aktiviti-aktiviti yang diatur, mampu direalisasikan
dan dilaksanakan dengan jayanya. Masyarakat (penerima manfaat): penilaian dan
persepsi masyarakat terhadap undang-undang, dasar-dasar dan polisi-polisi yang
dilaksanakan serta program-program dan aktiviti-aktiviti yang dijalankan. ISM ini
merekodkan bahawa Malaysia mencapai indek Maqasid al- Shari’ah sebanyak 75%
secara keseluruhan di mana 87% perundangan Islam, 70% politik, 82% pendidikan,
65% ekonomi, 74% kesihatan, 66% budaya, 62% prasarana dan persekitaran dan
69% sosial.

Contoh-contoh indeks di atas menunjukkan beberapa usaha untuk mengukur Maqasid
al-Shari’ah itu secara realistik dan secara objektif. Saya melihat bahawa Maqasid al-
Shari’ah ini sangat sesuai digunakan sebagai ‘benchmark’ atau kayu ukur serta
falsafah sebagai asas untuk menentukan setakat mana amalan dan perlaksanaan
memenuhi tuntutan Syariat. Ia bukanlah sebagai sumber hukum semata-mata untuk
menentukan halal dan haram tetapi ia merupakan satu polisi yang digunakan untk
menentukan sama ada ianya memenuhi tuntutan Syariat itu sendiri.

Kritikan Maqasid

Di samping melihat Maqasid dari perspektif yang positif, adalah amat penting juga
untuk menelusuri kritikan dan persoalan-persoalan yang ditimbulkan. Saya sendiri
Ketika mengunjungi Akram al Nadwi di London, beliau menimbulkan beberapa
persoalan mengenai Maqasid yang akhirnya membuka ruang untuk dipergunakan
oleh segelintir pihak.

Buku Citra Maqasid ini menyebut Abū Ya‘rib al-Marzūqī menerusi penulisan
Ishkaliyyah Tajdid Usul al-Fiqh dan artikel Shukūk ‘ala Nazariyyah al-Maqasid. Beliau
mengkritik Maqasid al Shariah antaranya ialah 1) Mengingkari bahawa hukum-hakam
adalah berdasarkan Maqasid di sebaliknya. al-Marzuqi mendakwa bahawa
bagaimana seseorang boleh mendakwa dia mengetahui objektif tuhan, adakah dia
mengetahui dengan menyeluruh ilmu-Nya? 2) Beramal dengan maqasid akan
menyebabkan manusia meninggalkan tuntutan nas. Maqāṣid menjadikan hukum
berubah menurut zaman. Kritikan yang menyamaratakan semua golongan yang
membawa perbahasan Maqasid syariah termasuk dalam kelompok yang menolak nas
syariah dan seterusnya menjerumuskan perbahasan ke kancah takfiri adalah
keterlaluan. Sebagai contoh, SIS menggunakan alasan Maqasid al-Shari’ah untuk
mengharamkan poligami. Joint Action Group for Gender Equality juga cuba
menjustifikasikan kebebasan untuk tidak bertudung menerusi Maqasid al-Shariah atas
nama hak kebebasan manusia.

Walaupun begitu, perkara ini telah pun dijawab oleh ulama kontemporari seperti
Raysuni dalam kitab al-Fikru Al-Maqasidiy: Qawaiduhu wa Fawaiduhu (Pemikiran
Maqasidiy: Kaedah dan Faedahnya). Al Raysuni juga telah membangunkan Qawa‘id
al-Maqasid sebagai panduan dan kaedah menggunakan pendekatan Maqasid al-
Shari’ah.

Kesimpulan

Secara umumnya, Maqasid al Shari’ah merancakkan semula wacana dan perbahasan
mengenai dinamika Shari’ah itu sendiri. Di samping tidak menafikan sumbangan
ulama terdahulu dan kontemporari, usaha dan idea hebat Imam Shatibi telah
mencetuskan dan menghidupkan perbahasan Maqasid secara sistematik. Kita perlu
meneruskan advokasi dan pengembangan ilmu Maqasid al-Shariah agar ia bukan
sahaja capaiannya kepada golongan terpelajar malahan kepada rakyat amnya.

Bersetuju dengan saranan buku Citra Maqasid mengenai keperluan untuk
melengkapkan para pengkaji dengan ilmu yang mendalam agar mereka tidak
bercukup dengan karya para penulis moden sahaja. Keperluan memahami al-Qur’an
dan al-Sunnah menurut kerangka maqasidi sama ada Maqasid al-Qur’aniyyah al-‘Ulya

al-Ḥakimah) iaitu al-Tawḥid (Keesaan tuhan), al-Tazkiyah (kesucian jiwa) dan al-
‘Umran (peradaban).

Menjadi keperluan juga untuk menyemak beberapa pandangan terdahulu dan
disesuaikan dengan Maqaṣid al-Sharīah. Al-Kawakibi mencadangkan 25 perkara
untuk dikaji dan diteliti semula. Menguasai teks juga tidak mencukupi bahkan ia perlu
diikuti dengan mempelajari pemikiran semasa agar boleh berusaha memahami
dengan baik dan mengaplikasikan Maqasid al-Shari’ah secara berhikmah.

Harus diingat untuk sentiasa berhati-hati golongan tertentu sama ada penguasa atau
liberal kerana mereka mempunyai niat tertentu menjustifikasi sebahagian tindakan
mereka dengan hujah maslahah dan maqaṣid. Oleh itu, sudah sampai masanya kita
membangunkan dan meneroka dhawabit atau parameter Maqasid al-Shari’ah yang
komprehensif. Dhawabith al-Maslahah fi al-Syari’ah al-Islamiyyah oleh Sa’id
Ramadhan al-Buthi boleh dijadikan asas dan panduan bagaimana ia boleh
diaplikasikan dan disesuaikan dengan tatbiq maqasid al-Shari’ah.


Click to View FlipBook Version