The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by lornadola, 2020-04-07 02:41:55

PERMATA HARAPAN

PERMATA HARAPAN

Adib ialah pelajar Tahun 5 di Sekolah
Kebangsaan Renong. Dia disayangi oleh
guru-guru dan rakan-rakan kerana sikapnya
yang rajin, baik, dan bertanggungjawab.

Adib sentiasa menolong rakan-rakannya dengan
mengadakan kelas perbincangan, selepas waktu persekolahan.
Adib tahu, ilmu pengetahuan yang dikongsikan akan
membolehkan dia memahaminya dengan lebih mendalam lagi.

Adib juga adalah seorang yang periang. Dia aktif
menyertai aktiviti kokurikulum yang dianjurkan oleh pihak sekolah.

Pada suatu hari, selepas waktu persekolahan, Adib
mengadakan perbincangan dengan rakan-rakannya, iaitu
Hisyam dan Kamil. Selepas menyiapkan tugasan yang diberikan
oleh guru, mereka pun pulang ke rumah masing-masing.

Dalam perjalanan pulang ke rumah, Adib tidak dapat
mengawal basikal yang ditunggangnya. Dia dilanggar oleh
sebuah kereta dari belakang. Akibatnya, Adib terjatuh dan
cedera teruk.

Di hospital, doktor telah mendapatkan persetujuan ibu
bapa Adib untuk memotong sebelah kakinya yang telah cedera
parah akibat kemalangan tersebut. Walaupun sedih, mereka

terpaksa membenarkannya untuk menyelamatkan nyawa
Adib.

Setelah sedar, Adib begitu terkejut apabila mendapati
sebelah kakinya telah tiada. Dia enggan bertemu dengan
sesiapa kerana dia malu. Dia berasa dirinya tidak lagi sempurna.

Apabila guru-guru dan rakan-rakan sekolahnya datang
melawat, Adib akan berpura-pura tidur. Dia merasakan dia tidak
layak lagi untuk berkawan dengan mereka kerana kekurangan
pada dirinya.

Tidak berapa lama kemudian, Adib dibenarkan pulang
ke rumah. Dia masih lagi diberikan cuti untuk berehat di rumah.

Adib kini sudah berubah. Dia menjadi seorang pemurung
dan mudah marah. Ibunya terpaksa memujuk Adib untuk
makan. Jika tidak, Adib hanya akan membiarkan makanannya
di atas meja tanpa disentuh.

Pada suatu hari, guru kelasnya datang melawat Adib
bersama-sama dengan Hisyam dan Kamil. Namun seperti biasa,
Adib berpura-pura memejamkan matanya.

"Adib, cikgu tahu Adib tidak tidur! Bukalah mata kamu,
Adib. Hisyam dan Kamil pun ada bersama-sama dengan cikgu,"
lembut sapaan daripada Cikgu Murni.

Adib perlahan-lahan membuka matanya, tetapi dia
masih tidak memandang ke arah mereka. Dia berasa begitu ren-
dah diri dengan keadaan dirinya.

"Adib, kami datang! Kita masih lagi berkawan, bukan?"
Hisyam pula berkata. Namun, Adib masih lagi mendiamkan
dirinya.

"Adib! Walau apapun yang berlaku, ikatan persahabatan
tidak akan putus. Kami rindu pada Adib yang periang seperti
dahulu. Janganlah berdiam diri begini. Kami turut bersedih
dengan apa yang berlaku," kata Kamil.

Kamil cuba memegang tangan Adib. Namun Adib pantas
menarik tangannya.

"Tetapi...kamu semua tidak merasai apa yang aku rasa.
Kamu semua sempurna. Aku sekarang cacat. Aku sudah tiada
berkaki lagi," luah Adib perlahan.

Air mata Adib bergenang di kelopak mata. Adib cuba
menahan air matanya agar tidak kelihatan oleh Cikgu Murni,
Hisyam, dan Kamil. Dia tidak mahu mereka melihat kesedihan
dan kelemahannya.

"Tidak, Adib! Apa yang kurangnya hanya di luar sahaja.
Apa yang penting ialah semangat yang Adib miliki. Tidak ada
orang lain yang mampu mengubahnya, jika Adib sendiri tidak
mahu menolong diri Adib," kata Cikgu Murni.

Kata-kata itu meresap ke dalam jiwa Adib. Tetapi dia
masih tidak mampu mengalihkan pandangannya untuk
berhadapan dengan mereka. Cikgu Murni memegang tangan
Adib dan menghulurkan sekeping sampul surat. Adib cuba
menolak tetapi Cikgu Murni berkeras agar Adib menerimanya.

"Di dalam sampul itu ada sedikit sumbangan daripada
pihak sekolah, pelajar-pelajar, dan guru -guru buat Adib. Rakan-
rakan yang lain berkirim salam dan mendoakan agar Adib cepat
sembuh.

Mereka tidak sabar untuk datang melawat Adib, tetapi
cikgu suruh mereka tunggu sehingga Adib betul-betul bersedia
untuk menerima kedatangan mereka," kata Cikgu Murni lagi.

Adib sekadar merenung kosong pada sampul surat yang
telah diletakkan di atas telapak tangannya. Dia berasa begitu
terharu tetapi dia masih lagi tidak dapat menyusun kata untuk
berterima kasih kepada Cikgu Murni.

"Lagi satu, pihak Persatuan Ibu bapa dan Guru telahpun
mendermakan sebuah kerusi roda untuk keperluan Adib. Apabila
Adib telah bersedia, kami menunggu kehadiran Adib semula ke
sekolah untuk kembali menceriakan suasana," Cikgu Murni
menyambung kata-katanya.

"Sekolah? Masih bolehkah
saya ke sekolah, cikgu? Saya sudah
cacat. Apa kata pelajar yang lain
nanti? Tentu mereka akan
memanggil saya 'Adib cacat'.

Saya malu, cikgu," akhirnya
terluah juga oleh Adib apa yang
terpendam di dalam hatinya.

"Adib, jangan begitu! Kami semua rindu pada kamu. Tidak
ada sesiapa yang akan memanggil kamu dengan nama begitu.
Kami perlukan kamu, Adib. Kumpulan perbincangan
kita sudah tidak seceria dahulu tanpa kamu sebagai ketuanya,"
Kamil bersuara.

"Ingat, Adib! Semangat dan keinginan itu adalah milik
kamu. Tiada orang lain yang boleh membantu kamu sekarang,
kecuali diri kamu sendiri," Cikgu Murni berpesan sebelum meminta
diri untuk pulang.

Adib mengeluh perlahan. Dia merasakan dirinya terlalu
kerdil.

Adib merenung ke arah kerusi roda yang diletakkan oleh
ayahnya di tepi katilnya. Dia telah mencuba beberapa kali untuk
menggunakan kerusi roda tersebut. Dia tahu, dia masih perlu
berlatih untuk membiasakan dirinya dengan kerusi tersebut.

Ada kalanya, Adib seolah-olah enggan untuk berusaha
membiasakan dirinya dengan kerusi roda tersebut. Dia berasa
benci kepada dirinya sendiri dengan keadaan yang telah
menimpanya.

"Adib, makan nasi ini, nak!" suara emak mengejutkan Adib.

Adib sekadar mengangguk. Dia kembali merenung ke luar
tingkap biliknya.

"Adib, makan, ya? Nanti Adib tidak bertenaga. Adib hendak
emak suapkan?" pertanyaan emaknya hanya dibalas dengan
gelengan kepalanya.

Setelah emaknya meninggalkannya, Adib menolak kerusi
rodanya perlahan-lahan ke tepi meja. Emaknya telah
meletakkan makanan itu. Adib memegang sudu yang telah
emak sediakan, tetapi dia masih lagi tidak berselera untuk
makan.

Tiba-tiba, matanya terpandang pada barisan semut yang
bergerak di tepi mejanya. Setelah direnungnya, Adib mendapati
semut itu sedang mengangkat butir-butir nasi yang jatuh di atas
mejanya pagi tadi.

Begitu asyik Adib memerhatikan pergerakan mereka. Dia
mengambil sebatang pensel dan meletakkannya di antara semut
itu. Tujuannya ialah untuk menghalang pergerakan semut itu.

Sebiji daripada nasi yang diangkat oleh beberapa ekor semut
itu telah terjatuh. Adib tekun memerhatikan bagaimana semut itu
telah berusaha untuk mengangkatnya kembali. Adib juga
memerhati bagaimana semut itu telah mengambil jalan yang
berlainan untuk melepasi halangan itu.

Adib meletakkan pula kotak pensel untuk mengganggu
perjalanan semut tersebut.

Sungguh menarik, semut itu
terus berusaha sehingga berjaya
melepasi halangan kali kedua
yang dibuat oleh Adib.

Adib masih belum berpuas hati. Dia mengambil pula
kamus yang terletak di hujung mejanya. Perlahan-perlahan, Adib
meletakkannya bagi tujuan yang sama.

Adib berasa kagum. Makhluk kecil itu tidak berputus asa.
Semut itu bekerjasama merentasi halangan yang dibuat. Ada
yang memilih jalan yang lain, asalkan dapat mengatasi halangan
tersebut.

Pergerakan dan usaha semut tersebut menyebabkan
Adib memikirkan keadaan dirinya.

Dia adalah seorang pelajar yang periang dan bijak. Dia
tidak pernah ditimpa sebarang masalah sepanjang persekolahan.
Setelah ditimpa kemalangan tersebut, dia telah berubah. Dia
menjadi seorang yang pemurung dan mudah putus asa.

"Kenapa aku tidak menjadi seperti semut itu? Walau
apapun halangan yang datang, semut itu tidak mengenal erti
putus asa. Semut itu terus berusaha dan mencari jalan untuk
sampai ke tempat yang hendak dituju. Kenapa aku tidak boleh
menjadi seperti mereka?" fikir Adib.

Kata-kata Cikgu Murni kembali terngiang-ngiang di
kepalanya. Semangat dan kemahuan itu ada dalam dirinya.

Dia perlu menggerakkan semangat itu kerana tidak ada
orang lain yang mampu untuk melakukannya, melainkan dirinya
sendiri.

Adib merasakan satu suntikan semangat baharu di dalam
dirinya. Dia telah mempersia-siakan dua bulan masanya untuk
merintih musibah yang menimpanya. Dia telah membuatkan
dirinya tersisih daripada apa yang berlaku di luar sana.

Adib merasakan dia perlu melakukan sesuatu untuk
mengubah keadaan dirinya. Dia tidak mahu berterusan menjadi
pemurung dan berkurung di dalam bilik tersebut.

"Emak! Bolehkah emak tolakkan kerusi ini ke halaman
rumah?" permintaan Adib mengejutkan emaknya. Bapanya
tersenyum memandang ke arah Adib. Beliau dapat merasakan
Adib telah berubah.

Bermula hari itu, Adib semakin bersemangat untuk
meneruskan hidupnya. Dia berazam untuk membina hidup yang
baharu. Dia yakin bahawa dia akan dapat mencapai cita-
citanya. Dia ingin menjadi seorang doktor yang berjaya, walaupun
dengan kekurangan yang ada padanya.

"Saya hendak ke sekolah, ayah!" tegas Adib.

Ayah Adib tersenyum mendengar permintaan tersebut.
Sebenarnya ayah Adib telahpun membincangkan perkara
tersebut dengan pihak sekolah. Pihak sekolah telah bersetuju untuk
menempatkan kelas Adib di aras bawah agar memudahkan
pergerakan Adib.

Kawan-kawan sekelasnya juga telah berjanji untuk mem-
bantu Adib di sekolah.

Mereka hanya menunggu ketika Adib
bersedia untuk ke sekolah kembali.

Pada hari pertama persekolahan, Adib
telah disambut dengan gembiranya oleh
kawan-kawan sekolahnya. Guru-guru juga turut
gembira melihat kembalinya 'permata harapan'
ke sekolah.

Adib terharu dengan sambutan dan layanan yang
diterimanya.

Adib kembali menjadi seorang yang periang dan bijak. Dia
juga terus membantu rakan-rakannya dalam pembelajaran
mereka. Dia tidak mahu lagi memikirkan masa dua bulan yang
telah dipersia-siakannya.

Dia mahu kembali menjadi pelajar contoh, walaupun da-
lam keadaannya yang tidak sesempurna pelajar lain.

Kata-kata semangat Cikgu Murni dan ketekunan makhluk
kecil ciptaan Tuhan, iaitu Sang Semut, telah membakar semangat
Adib untuk meneruskan perjuangannya. Dia bertekad, suatu hari
nanti, dia akan membuktikan dia juga mampu berjaya seperti
orang lain.

Semangat baharu yang ditemui itu menyemarakkan
keinginan Adib untuk terus berjaya.

NILAI MURNI
Sesuatu kegagalan tidak semestinya akan terus

menyebabkan kegagalan.
Kegagalan adalah disebabkan oleh sikap tidak

ingin terus gigih berusaha. Sekiranya sesuatu perkara itu
terus dilakukan dengan gigih dan tekun pasti akan
membawa kepada kejayaan.

CERITA DARI ZOOM A


Click to View FlipBook Version