The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by Abdul Azim Othman, 2023-07-25 22:27:27

SN30 2023 flipp Book (Abstrak)

SN30 2023 flipp Book

INSTITUT AMINUDDIN BAKI Kementerian Pendidikan Malaysia Kompleks Pendidikan Nilai 71760 Bandar Enstek Tel: 06-7979200


PROSIDING SEMINAR NASIONAL KE-30 Institut Aminuddin Baki Kementerian Pendidkan Malaysia 2023


Diterbitkan oleh: Institut Aminuddin Baki Kementerian Pendidikan Malaysia Kompleks Pendidikan Nilai 71760 BANDAR ENSTEK Nilai, Negeri Sembilan Tel:06-7979200 http://iab.moe.edu.my e-mel:[email protected] Urusan Penerbitan: Jabatan Penerbitan & Dokumentasi Pusat Dokumentasi dan Sumber Pendidikan Institut Aminuddin Baki Kementerian Pendidikan Malaysia Kompleks Pendidikan Nilai 71760 Bandar Enstek ©Hak Cipta Institut Aminuddin Baki 2023 Cetakan Pertama 2023 Hak cipta terpelihara. Tiada mana-mana bahagian daripada terbitan ini boleh diterbitkan semula, Disimpan untuk pengeluaran atau ditukarkan ke dalam sebarang bentuk atau dengan sebarang alat jua pun, sama ada secara elektronik, gambar serta rakaman dan sebagainya tanpa kebenaran bertulis Daripada Pengarah, Institut Aminuddin Baki terlebih dahulu. ISBN Data Pengkatalogan Pengurus Penerbitan Reka Bentuk dan Reka Letak Halaman Pencetak Giga Wise Network Sdn. Bhd. No. 74 Jalan Kapar 27/89, Megah Industrial Park, Seksyen 27, Shah Alam, Selangor


TANGGUNGJAWAB DAN PERANAN PENGETUA , HUBUNG KAIT DENGAN KEPIMPINAN PENGAJARAN DI SEKOLAH MENENGAH DAERAH KUBANG PASU, KEDAH Dr. Azizah Ibrahim SM Sains Pokok Sena [email protected] Dr. Surayah Hj Bongsu [email protected] Dr. Musnin Misdih Universiti Malaysia Sabah [email protected] ABSTRAK Tanggungjawab dan peranan pengetua dalam perkembangan dunia Pendidikan dalam arus permodenan ini semakin mencabar. Setiap kejayaan dan kegagalan sesebuah sekolah selalunya berkait rapat dengan kepimpinan pengetua itu sendiri. Kajian ini bertujuan untuk mengenalpasti tahap komitmen pengetua dalam mengurus sekolah berdasarkan tugas dan tangungjawab dan melihat tahap kepimpinan pengajaran pengetua berdasarkan peranan dan fungsi . Sebanyak 5 buah sekolah menengah dalam daerah Kubang Pasu , Negeri Kedah. Kajian bersifat Kualitatif dan kaedah pemerhatian dan soalselidik kepada beberapa orang responden yang terdiri daripada pengurusan tertinggi setiap sekolah yang dipilih. Kajian ini menggunakan teori kepemimpinan pengajaran yang dibina oleh Hallinger dan Murphy yang menyenaraikan tiga dimensi utama yang membina kepemimpinan pengajaran iaitu (i) mendefinisi matlamat sekolah, (ii) mengurus kurikulum dan pengajaran, serta (iii) memupuk iklim pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Dapatan kajian menunjukkan tahap komitmen pengetua dalam menjalankan tugas pengurusan sangat mempengaruhi tugasan utama dalam melakukan kepimpinan pengajaran namun pengetua masih dapat melaksanakan kepimpinan pengajaran dari sudut memupuk iklim pengajaran pembelajaran di sekolah dengan berkesan . Jesteru cabaran dalam melaksanakan tugasan tidaklah memberi halangan kepada kepimpinan pengetua dalam melaksanakan kepimpinan pengajaran di sekolah. Kata kunci: Tanggungjawab Dan Peranan Pengetua, Kepimpinan Pengajaran


MEMBINA KEPIMPINAN INKLUSIF: PERANAN PENTADBIR SEKOLAH DALAM MENYOKONG KESEJAHTERAAN DAN KEJAYAAN MURID BERKEPERLUAN PENDIDIKAN KHAS Noor Syahida binti Md Zuki Sekolah Kebangsaan Bagan Jermal, Pulau Pinang [email protected] ABSTRAK Bidang kepimpinan dan pengurusan pendidikan memainkan peranan penting terhadap jenis kepimpinan yang berkaitan dengan peningkatan dan transformasi sekolah. Ini turut membuktikan bahawa kepimpinan pentadbir sekolah adalah penting untuk kejayaan murid. Walaubagaimanapun, peranan pentadbir dalam memastikan kemasukan dan keperluan murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK) tidak diberikan perhatian yang sewajarnya. Kepimpinan inklusif memainkan peranan penting dalam memastikan kesejahteraan dan kejayaan MBPK. Pentadbir sekolah perlu memainkan peranan dan tanggungjawab dalam menyediakan persekitaran inklusif yang menyokong kepelbagaian dan keperluan MBPK. Isu dan cabaran yang dihadapi adalah kurangnya pemahaman dan kesedaran terhadap kepelbagaian MBPK, kekurangan sumber seperti bahan peralatan dan sokongan, stigma dan persepsi negatif terhadap MBPK. Pentadbir sekolah perlu memperjuangkan perubahan dalam dasar dan struktur sistem pendidikan bagi memastikan sokongan yang diperlukan untuk MBPK.Oleh itu, melalui kepimpinan inklusif adalah penting bagi memberikan peluang yang adil dan inklusif kepada semua murid. Kata kunci: kepimpinan inklusif, murid berkeperluan pendidikan khas, pentadbir sekolah, inklusif


AMALAN KEPIMPINAN TRANSFORMASI BUDAYA ORGANISASI SEKOLAH FOKUS SMK DATO’ SYED ESA, BATU PAHAT, JOHOR. Mohd Fuaad bin Mohd Sarmin ABSTRAK Kajian ini dijalankan bertujuan mengenalpasti amalan kepimpinan tranformasi pengetua menjadi amalan budaya organisasi SMK Dato’ Syed Esa. Pengurusan sekolah merupakan aspek yang penting dalam memastikan kualiti murid dapat dicapai. Penggunaan kaedah “ Tracking” adalah untuk membuat penelitian dalam pengembangan, menemukan bahawa permasalahan dalam eksekusi dapat dilihat dari sasaran organisasi, komitmen untuk sasaran dan dapat dipertanggungjawabkan atas hasil dari eksekunsi tersebut. Tinjauan awal dibuat dengan menggunakan data-data pencapaian murid-murid dalam setiap bidang dan intervensi yang telah dijalankan oleh pihak sekolah. Akhirnya seramai 1415 orang murid dapat meningkat pencapaiannya. Kata Kunci: Kepimpinan transformasi, budaya organisasi, dan eksekusi


GURU INSANI MEMACU KECERMELANGAN ORGANISASI Hajjah Nor Hamizah binti Daud Sk Padang Temu, Melaka [email protected] ABSTRAK Sumber manusia merupakan aset yang sangat penting dalam menentukan maju mundurnya sesebuah organisasi Covey (1992), Collins (2002), Fullan (2006). Dalam konteks pengurusan sekolah, guru-guru dan staf sokongan merupakan aset penting dalam memacu kecemerlangan sekolah. Seorang guru besar yang bijak akan menjadikan aspek sumber manusia sebagai agenda utama penggerak kemajuan sekolah. Kepincangan pengurusan sumber manusia di SK Padang Temu, sebuah sekolah luar bandar yang kebanyakan murid datangnya dari keluarga B40 telah mengakibatkan banyak implikasi kepada persekitaran sekolah yang tidak menarik, tidak bermaklumat, taman-taman yang terbiar yang diburukkan lagi dengan masalah disiplin sebahagian warga sekolah baik guru-guru atau staf sokongan. Keadaan ini menyumbang kepada masalah ponteng dalam kalangan murid serta keciciran dalam akademik. Kaedah mendekati guru untuk menyelami masalah sebenar yang dihadapi oleh mereka dalam usaha mencari jalan keluar bagi segala masalah telah dipraktikkan sebagai Guru Besar baharu SK Padang Temu. Guru Besar sama-sama turun padang melaksanakan aktiviti yang dirancang dan guru-guru disantuni dengan penuh keikhlasan. Moto baharu SK Padang Temu yang dijenamakan semula sebagai SEPADU iaitu "Nothing is Imposibble” benar-benar memberi suntikan semangat baharu kepada seluruh warga sekolah untuk membuat transformasi secara menyeluruh baik dari segi persekitaran, budaya kerja dan sikap guru. Akhirnya nama SEPADU menjadi sekolah contoh yang berjaya membangunkan kapasiti guru dan kemenjadian murid di pelbagai peringkat serta mampu berdiri sebaris dengan sekolah-sekolah kluster kecemerlangan yang lain. Kata Kunci: Pengurusan Sumber Manusia, Pengurusan Sekolah, Membangunkan Kapasiti Guru, Kemenjadian Murid, Transformasi Menyeluruh, Agenda Utama


PELAKSANAAN PENYELIAAN KAUNSELING DI SEKOLAH DALAM USAHA MENCAPAI ASPIRASI PENDIDIKAN MALAYSIA MADANI : SATU DAPATAN KAJIAN KEPUSTAKAAN Dr. Ahmad Kamal bin Ariffin Ketua Jabatan Jabatan Pengurusan HEM dan Kaunseling Institut Aminuddin Baki Bandar Enstek [email protected] ABSTRACT In the era of the Malaysia MADANI government led by YAB Datuk Seri Anwar bin Ibrahim, counselling services in schools have a major role to help the government achieve the vision and mission of the Ministry of Education Malaysia. Thus, the implementation of the supervision of fulltime guidance and counselling teachers (GBKSM) in Malaysian Primary and Secondary Schools is one of the main responsibilities among Principals and Head Teachers (PGB) in particular and among GBKSM leaders in general schools. In fact, the practice of supervising GBKSM services in schools will also be carried out by GBKSM service monitoring officers by the Board of Inspectors, Ministry of Education Malaysia (KPM). In general, the practice of supervising GBKSM services is considered to be the backbone of educational excellence in character guidance and student career guidance in schools. The findings of this literature review discuss in general the knowledge related to the clinical supervision of counselling services in Malaysian schools including the value of meaning, function, skills, supervisor quality, supervisor challenges and ethics in educational supervision. The content findings of this study also contain recommendations for the implementation of further studies aimed at advancing the professional implementation of the practice of clinical supervision of counselling sessions by all GBKSM in schools. Key Word: MADANI, Counselling Service, life inspiration


KEBERKESANAN PENILAIAN BERSEPADU PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN (PBPPP) Dr. Mohd Nadzri Ishak, Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara [email protected] Suriati binti Suhaimi Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara [email protected] ABSTRAK PBPPP merupakan penilaian prestasi yang digunakan untuk menilai prestasi semua Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) bawah KPM. Sejak pelancaran PBPPP belum terdapat kajian empirikal dilaksanakan bagi menentusahkan keberkesanan penilaian ini. Kajian ini bertujuan untuk menyelidik peranan keadilan penilaian dalam mempengaruhi keberkesanan PBPPP. Pada masa yang sama peranan pemboleh ubah penyederhana melibatkan gaya kepimpinan autentik diuji bagi menentukan peranannya dalam mempengaruhi keadilan penilaian dan keberkesanan PBPPP. Soal selidik telah diedarkan secara atas talian. Sampel dipilih secara rawak mudah melibatkan guru sekolah menengah kebangsaan seluruh Malaysia. 284 responden telah memberikan maklum balas dalam kajian ini yang kemudiannya dianalisis menggunakan perisian smartPLS3.0. Analisis mendapati amalan PBPPP yang dilaksanakan menunjukkan keadilan penilaian yang tinggi dan berkesan dalam meningkatkan motivasi. Analisis juga menunjukkan semua dimensi keadilan penilaian (keadilan distributif, keadilan prosedur dan keadilan interaksional) mempunyai hubungan yang positif dan signifikan dengan keberkesanan PBPPP. Gaya kepimpinan pengetua (kepimpinan autentik) didapati tidak mempengaruhi keputusan dalam PBPPP. Dapatan ini memberikan gambaran yang jelas kepada KPM bahawa pelaksanaan PBPPP adalah adil dan berkesan serta tidak dipengaruhi oleh gaya kepimpinan pengetua. Dapatan ini menyokong prinsip kesejahteraan yang diutarakan dalam gagasan Malaysia Madani. Kata Kunci: Keadilan penilaian, keadilan distributif, keadilan prosedur, keadilan interaksional, kepimpinan autentik, keberkesanan penilaian prestasi.


KAJIAN PENGETAHUAN DAN KEMAHIRAN KEPIMPINAN BERDAYA TAHAN BAGI MENGHADAPI KRISIS DALAM KALANGAN PEMIMPIN SEKOLAH Aziah binti Adi Jabatan Kepimpinan Pendidikan Komuniti dan Berkeperluan Khusus Institut Aminuddin Baki Cawangan Genting Highlands [email protected] Hemathy Kunalan, Ph.D Jabatan Dokumentasi, Penerbitan dan Promosi Institut Aminuddin Baki Cawangan Genting Highlands [email protected] ABSTRAK Dalam dunia pendidikan di Malaysia, pengetua dan guru besar (PGB) telah melalui transformasi yang signifikan dalam peranan dan beban kerja mereka. Ini telah mencabar kemampuan mereka untuk menyesuaikan diri, menjadi fleksibel dan membentuk kepimpinan berdaya tahan. Dalam pengertian ini, kepemimpinan berdaya tahan memerlukan pemimpin untuk memimpin dalam menghadapi apa jua krisis. Tujuan kajian ini adalah mengkaji tahap pengetahuan dan kemahiran kepimpinan berdaya tahan bagi menghadapi krisis dalam kalangan pemimpin sekolah di Malaysia. Satu set soal selidik telah diedarkan bagi mendapatkan data-data melibatkan seramai 500 orang PGB. Kaedah statistik deskriptif dan temubual telah digunakan bagi menganalisis data dan hasil kajian menunjukkan bahawa 30% PGB belum pernah mengambil langkah mewujudkan organisasi berdaya tahan dan 80% pemimpin mengambil tindakan hanya untuk mengatasi risiko banjir dan pandemik Covid-19. 70% pemimpin pula mengambil tindakan disebabkan arahan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan keperluan semasa. Justeru, pemimpin di sekolah perlu memikirkan kaedah untuk memastikan organisasi yang dipimpin mampu berdaya tahan dalam menghadapi apa juga krisis. Kata kunci: Kepimpinan, berdaya tahan, krisis, kemahiran, pengetahuan


KEPIMPINAN DIGITAL DAN KOMITMEN GURU Fatimatuzzahrah binti Roslan SK Kundang Ulu, Tangkak, Johor [email protected] ABSTRAK Perubahan drastik dalam pendidikan menunjukkan perubahan pengurusan dari segi kepimpinan yang selari dengan PPM 2013-2025 yang mana kini telah memasuki gelombang ketiga PPM (2021-2025). Responden kajian terdiri daripada 400 orang pentadbir yang bertugas di 100 buah sekolah yang dipilih secara rawak. Dapatan kajian menunjukkan tahap komitmen bagi responden adalah tinggi. Dalam kajian ini, instrumen yang diguna pakai adalah soal selidik dan menggunakan perisian Statistic Packages For Social Sciences (SPSS) untuk mendapatkan data yang lebih jelas dan mudah difahami. Dapatan kajian juga menunjukkan tahap pengetahuan responden dalam kepimpinan digital berada pada tahap sederhana. Manakala dari aspek komitmen guru tahap responden adalah sederhana. Dari dapatan kajian juga, terdapat perkaitan antara komitmen responden dengan kepimpinan digital di sekolah-sekolah harian. Data yang diperoleh telah dianalisis dengan menggunakan statistik deskriptif, Ujian-t berpasangan, ANOVA Sehala dan Dua Hala, dan Korelasi Pearson. Dapatan kajian juga turut menunjukkan bahawa tidak terdapat perbezaan secara signifikan tahap kepimpinan digital dalam membuat keputusan berdasarkan lokasi dan gred sekolah. Kesimpulannya, kajian ini mendapati bahawa sokongan organisasi menjadi moderator terhadap hubungan antara kepimpinan digital dan komitmen guru. Kata Kunci : Pemimpin Digital, Komitmen Guru, Transformasi, PPPM 2013-2025


KEPIMPINAN INSTRUKSIONAL GURU BESAR DAN HUBUNGANNYA DENGAN PENGLIBATAN IBU BAPA MASYARAKAT ORANG ASLI : KAJIAN KES DI NEGERI PERAK Siti Nor’ain Mohd Hashim Fakulti Pengurusan dan Ekonomi Universiti Pendidikan Sultan Idris [email protected] ABSTRAK Kajian ini bertujuan untuk menganalisis hubungan antara kepimpinan instruksional guru besar dengan penglibatan ibu bapa masyarakat Orang Asli di daerah Muallim dan Batang Padang Perak. Kajian ini menggunakan pendekatan kuantitatif dengan reka bentuk kajian secara tinjauan berdasarkan soal selidik. Ia melibatkan 60 orang guru sekolah kebangsaan yang mempunyai enrolmen murid dari masyarakat Orang Asli di 2 daerah ini. Pemilihan sekolah serta responden di buat menggunakan persampelan secara awak mudah, berstrata dan bersistematik. Data telah di analisis dengan menggunakan ujian deskriptif. Dapatan menunjukkan bahawa penglibatan ibubapa masyarakat Orang Asli adalah pada tahap sederhana dengan nilai purata min = 3.03 berdasarkan 6 dimensi yang diukur merangkumi aspek keibubapaan, komunikasi, sukarelawan, pembelajaran di rumah, pembuatan keputusan dan kerjasama dengan komuniti. Kesimpulannya, usaha yang lebih proaktif perlu ditunjukkan oleh pentadbir bagi memastikan tidak terdapat jurang dalam mensamaratakan taraf penerimaan dan pencapaian murid dari kumpulan minoriti ini. Kata Kunci: Kepimpinan Instruksional, Penglibatan ibu bapa, masyarakat orang asli, kajian kes, negeri perak


MODEL KEPIMPINAN PENGETUA SEKOLAH PULAU DI NEGERI SABAH: SATU KAJIAN KES Dexter Silam Institut Aminuddin Baki [email protected] ABSTRAK Kompetensi kepimpinan dan kepimpinan instruksional pengetua sekolah merupakan satu isu dalam pendidikan ke arah meningkatkan keberkesanan dan kecekapan pengurusan sesebuah sekolah. Kajian ini bertujuan untuk meneroka kompetensi kepimpinan dan amalan kepimpinan instruksional dan pelaksanaannya oleh pengetua sekolah pulau di negeri Sabah. Kajian kualitatif ini menggunakan pendekatan kajian kes. Seramai 12 orang peserta kajian yang terdiri daripada pengetua, penolong kanan kurikulum dan guru mata pelajaran yang terlibat dalam kajian ini. Proses pengumpulan data dibuat dengan menggunakan kaedah temu bual, pemerhatian dan analisis dokumen. Data-data kajian diproses dan dianalisis dengan menggunakan perisian ATLAS.ti 8. Dapatan data berpandukan teori kompetensi kepimpinan dan kepimpinan instruksional. Kompetensi kepimpinan merangkumi tingkah laku, pengetahuan dan kemahiran. Manakala kepimpinan instruksional melibatkan tiga domain utama iaitu mendefinisi misi sekolah, mengurus program instruksional dan membentuk iklim sekolah yang positif. Dapatan kajian menunjukkan bahawa kompetensi kepimpinan dan kepimpinan instruksional sangat penting bagi pengetua sekolah di pulau untuk memastikan kecemerlangan sekolah dapat dicapai. Kata Kunci : kompetensi kepimpinan, kepimpinan instruksional, pengetua, sekolah pulau


MEMBANGUNKAN BAKAT KEPEMIMPINAN SEKOLAH DALAM ERA TANPA SEMPADAN MELALUI PENDEKATAN MENTORING DAN MENTORING Adi bin Hassim Mohd Mursyid bin Arshad, PhD ABSTRAK Kepimpinan coaching dan mentoring dipercayai merupakan salah satu pendekatan bagi melaksanakan bimbingan profesional yang berupaya membangunkan bakat dan potensi kepemimpinan sekolah. Pendekatan bimbingan profesional yang tidak semata-mata terikat dalam bentuk proses yang dilaksanakan secara teknikal, memerlukan amalan kemahiran coaching dan mentoring yang tinggi dalam kalangan pengetua dan guru besar. Proses coaching dan mentoring merupakan peranan yang sesuai dilaksanakan oleh pengetua dan guru besar bagi mendepani era revolusi industri yang melangkah dari industri 4.0 kepada industri 5.0 dengan situasi persekitaran organisasi yang bersifat tanpa sempadan. Peranan pemimpin sekolah sebagai peneraju dan pembimbing begitu penting serta perlu dipercayai oleh orang yang dipimpin yang memberi kesan kepada karakter kepemimpinan sekolah. Hal ini berkaitan pelaksanaan gagasan yang ingin memastikan matlamat utama ke arah murid ceria, guru bahagia, sekolah bitara dan negara sejahtera mencapai tujuannya. Manakala pihak pengetua dan guru besar yang kurang mahir sehingga mengabaikan elemen bimbingan profesional melalui pendekatan kepimpinan coaching dan mentoring, boleh mengakibatkan pengabaian bakat dan potensi yang tidak dikeluarkan secara optimum. Pengabaian bakat dan potensi kepemimpinan sekolah yang tidak dimanfaatkan sepenuhnya secara tidak langsung peluang untuk mereka berkarya, berdaya kreativiti dan berinovasi memberi kesan terhadap kesiapsiagaan pemimpin pelapis pada masa hadapan. Justeru, kesan positif melalui pendekatan kepimpinan coaching dan mentoring boleh menjadi nilai tambah yang besar sebagaimana membina kedaulatan negara bangsa yang terisi jiwa setiap warga dengan memiliki jati diri kenegaraan, membudayakan ilmu, memotivasikan masyarakat dan mencelikkan komuniti sebagai warganegara yang baik iaitu tahu menghormati orang lain dengan meletakkan sesuatu pada tempatnya berteraskan adab dan akhlak. Kata kunci: Coaching, Mentoring, Bakat, Kepemimpinan, Peneraju dan Pembimbing.


KEMAHIRAN KEPIMPINAN DALAM KALANGAN PEMIMPIN PERTENGAHAN DI SEKOLAH PEDALAMAN SABAH Sainah Limbasan, Ph.D Institut Aminuddin Baki Cawangan Sabah [email protected] Annilin Apat Institut Aminuddin Baki Cawangan Sabah [email protected] ABSTRAK Inisiatif merealisasikan sistem pendidikan ke arah Malaysia Madani yang bersepadu dan holistik memerlukan kemahiran kepimpinan pemimpin sekolah yang berkesan dan berkualiti. Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti kemahiran kepimpinan dari segi kemahiran teknikal, kemahiran manusia dan kemahiran konsep dalam kalangan pemimpin pertengahan yang memiliki dwiperanan iaitu sebagai pendidik dan bertanggungjawab melaksanakan pengurusan organisasi yang efesien. Responden dalam kajian ini terdiri daripada penolong-penolong kanan di sekolah pedalaman negeri Sabah. Kajian dijalankan dengan mengaplikasikan pendekatan kuantitatif dan soal selidik digunakan sebagai instrumen untuk memperoleh data. Pengkaji mengadaptasi instrumen kemahiran kepimpinan yang telah dibangunkan oleh Northouse (2009) bagi mengukur kemahiran kepimpinan pemimpin pertengahan. Data dianalisis dengan menggunakan perisian Statistical Package for the Social Sciences (SPSS) versi 27.0. Dapatan kajian menunjukkan skor min keseluruhan kemahiran kepimpinan yang melibatkan kemahiran teknikal, kemahiran manusia dan kemahiran konsep adalah tinggi (min=4.10). Skor min keseluruhan elemenelemen yang terkandung di dalam kemahiran teknikal (min=3.95), kemahiran manusia (min=4.29) dan kemahiran konsep (min=4.08). Hasil dapatan kajian ini menjelaskan bahawa pemimpin pertengahan mempunyai kemahiran kepimpinan yang tinggi untuk menerajui kecemerlangan organisasi berterusan dan merealisasikan kepimpinan pemimpin berprestasi tinggi. Kajian ini memberi nilai tambah yang bermanfaat kepada sistem pendidikan khususnya kepada pemimpin pertengahan agar bijaksana mengurus organisasi dan bersedia mendepani perubahan-perubahan pendidikan masa kini yang semakin mencabar. Kata kunci: Kemahiran kepimpinan, pemimpin pertengahan, sekolah pedalaman.


ISKANDAR MULTIMEDIA SUPERCORRIDOR THE BEGINNING OF A NEW LEGACY DALAM MENERAJUI KEPIMPINAN TRANSFORMASI SEKOLAH 2025 Datin Hajah Zamhirah binti Hj Osman SMK Tunku Mahmood Iskandar, Johor [email protected] ABSTRAK Iskandar Multimedia Super Corridor ‘The Beginning of a New Legacy, Iskandar The Great merupakan satu metamorphosis yang berlaku di STMI pada tahun 2020 iaitu perubahan secara total ‘new facelift’ bermula dari pagar sekolah hingga ke hujung padang. Transformasi meliputi semua bilik darjah menjadi bilik darjah bertema dan dilengkapi dengan kemudahan akses internet, bilik-bilik khas menjadi studio eksklusif, perpustakaan, ruang interaktif iaitu Iskandar Celebrity Studio (Iskandar fm dan Iskandar TV), ruang legar, taman sumber, surau, koperasi, kantin ,tandas dan bilik guru. IMSC dengan tagline iPower menepati matlamat TS25 iaitu penyediaan suasana pembelajaran bermakna ,kemenjadian murid dan sekolah kualiti dalam menghadapi dunia VUCA. IMSC ini telah memberi impak maksima apabila buat pertama kalinya STMI mencatat peratus kehadiran murid tertinggi di daerah Batu Pahat pada Mac 2021 iaitu 99.89% kehadiran pada pembukaan sekolah selepas menghadapi pendemik covid 19. Pengwujudan Iskandar Digital Area (IDEA) telah menyebabkan berlaku peningkatan kemahiran teknikal ICT dan keyakinan diri murid berbual bicara dengan tetamu VIP dan tetamu VVIP melalui saluran Iskandar FM dan Iskandar TV yang dikenali sebagai Iskandar Celebrity Studio . Selain itu IMSC telah meningkatkan penyertaan murid dalam aktiviti koakademik serta meningkatkan bilangan bahan bacaan dalam kalangan murid dengan adanya 15 lokasi “Books On The Move Library. Tambahan lagi IMSC telah meningkatkan hubungan dua hala sekolah dengan berkolaboratif dengan sekolah dari daerah dan negeri lain, badan-badan kerajaan serta masyarakat setempat.. Impak maksima IMSC juga menyebabkan LMS SPM 2022 meningkat iaitu daripada 91.75 % kepada 100 % pencapaian terbaik untuk tempoh 20 tahun dan STMI antara 9/30 sekolah yang mendapat kelulusan 100% di daerah Batu Pahat serta berlaku peningkatan GPS sekolah dari 4.71 kepada 4.44 dalam SPM 2022 iaitu pencapaian terbaik dalam tempoh 10 tahun. IMSC juga menepati enam aspirasi murid dan terkandung dalam sebelas anjakan utama dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025. Kata kunci : IMSC- Iskandar Multimedia Supercorridor, STMI –SMK Tunku Mahmood Iskandar


MALAYSIA DAN SEAMEO "MEMIMPIN MELALUI PENDIDIKAN" Nur Azwa binti Zynuddin Bahagian Perancangan Strategik dan Hubungan Antarabangsa Kementerian Pendidikan Malaysia [email protected] ABSTRAK Pertubuhan Menteri Pendidikan Asia Tenggara atau Southeast Asian Ministers of Education Organization (SEAMEO) ialah sebuah organisasi antara kerajaan serantau yang ditubuhkan pada tahun 1965 di kalangan kerajaan negara-negara Asia Tenggara. SEAMEO bermatlamat untuk meningkatkan persefahaman, kerjasama dan pembangunan serantau serta perpaduan dalam kalangan negara anggota dalam bidang pendidikan, budaya dan sains dengan menyediakan platform untuk dialog dasar, dan memupuk kepimpinan dan kerjasama dengan negara anggota SEAMEO dan pihak berkepentingan. Badan penggubal dasar tertinggi organisasi ini ialah Majlis SEAMEO, yang terdiri daripada sebelas Menteri Pendidikan Asia Tenggara. Hubungan antarabangsa atau hubungan lintas sempadan setiap negara anggota SEAMEO adalah diterajui oleh Menteri Pendidikan disusuli kepimpinan oleh pegawai-pegawai tinggi kanan kerajaan setiap negara anggota. SEAMEO mempunyai 26 institusi pakar di negara Asia Tenggara yang menjalankan program latihan dan penyelidikan dalam pelbagai bidang pendidikan, sains dan budaya. Artikel ini akan membincangkan kepemimpinan lintas sempadan pemimpin negara dan pegawai tinggi kerajaan dengan menggunakan motto SEAMEO iaitu “Memimpin Melalui Pendidikan”. Kata kunci: SEAMEO; Antarabangsa; Pusat Serantau; Negara Anggota; Pendidikan


MEMPERKASAKAN KONSEP MODAL SOSIAL DALAM PEMBANGUNAN KEPIMPINAN PENDIDIKAN MALAYSIA MADANI Mohamad Rushdan bin hj Azizan, PhD. Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara [email protected] Adz Jamros binti hj Jamali Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara adzjamros@ iab.moe.gov.my Mohd Amir Shaukhi bin hj Ahmad Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara amirshaukhi@ iab.moe.gov.my ABSTRAK Pembangunan pendidikan sebuah sekolah sama ada berupa fizikal mahupun akademik, kokurikulum serta sahsiah adalah tanggungjawab bersama-sama antara pihak sekolah dan masyarakat. Sekolah adalah sebahagian daripada masyarakat dan saling lengkap melengkapi. Masyarakat, guru dan murid perlu merasakan sekolah adalah milik mereka dan perlu bersama-sama bertanggungjawab terhadap kemajuan dan kejayaan sekolah. Hubungan antara sekolah dengan masyarakat perlu erat dan berbentuk dua hala. Namun, kemahiran pemimpin pendidikan dalam mengimplementasikan kitaran permuafakatan dua hala secara 'hand's on' belum dapat dilaksanakan secara konsisten. Aspek kesedaran dan kemahiran insaniah dalam kalangan pemimpin pendidikan untuk membangunkan modal sosial organisasi sebagai teras hubungan dua hala wajar diberi perhatian. Justeru, dalam konteks Malaysia Madani, kertas konsep ini akan mengemukakan kemahiran pemimpin pendidikan yang perlu diperkasakan dalam menerapkan konsep modal sosial yang melibatkan elemen kepercayaan, efikasi dan manfaat bersama. Elemen tersebut perlu diselarikan dengan nilai-nilai keinsanan yang berteraskan aspek karamah insaniah, keyakinan, hormat dan ihsan bagi memastikan permuafakan yang dijalankan akan dapat mencapai matlamat yang diharapkan. Kata kunci: modal sosial, pemimpin pendidikan, permuafakatan


Click to View FlipBook Version