The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by ATHIERAH BINTI MOHD AZRIE IPG-Pelajar, 2023-09-20 09:43:00

PROSES PERTEMBUNGAN BUDAYA

KEBUDAYAAN T2

Menurut Burhanudin Jalal (2018), tarikan utama di Malaysia adalah dari segi kesejahteraan negara yang terdiri daripada kepelbagaian etnik dan kaum yang berbeza. Aspek ini membuatkan negara kita dipandang tinggi dan dicemburui oleh warga negara asing. Sesungguhnya, perkara ini adalah berpunca daripada berlakunya proses pembudayaan iaitu pertembungan budaya yang mempengaruhi persekitaran kehidupan masyarakat (Shaliza Dasuki et al., 2015). Oleh hal yang demikian, kupasan mengenai proses pembudayaan dalam kehidupan Malaysia ini akan dihujahkan satu per satu mengikut aspek yang dikehendaki iaitu adat resam, pakaian, makanan dan perkahwinan. Bagi meraikan kepelbagaian budaya di Malaysia, negara ini mempunyai kebebasan untuk mengamalkan adat resam tanpa halangan (Zuraiha Mohd Zain et al., 2021). Dalam membicarakan aspek ini, adat resam adalah satu amalan yang dilakukan secara turun-temurun. Memandangkan Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum, jadi perkembangan budaya telah berlaku melalui proses akulturasi iaitu penerimaan unsur kebudayaan asing yang lalu diterima dan diolah mengikut kaum tersendiri (Azarudin Awang & Khadijah Mohd Khambali @ Hambali, 2016). Misalnya, adat kematian antara masyarakat Sabah dan Melayu. Umum mengetahui bahawa masyarakat Sabah ini terikat dengan amalan animisme dan Hinduisme sebelum adanya kedatangan Islam di sana (Husin, 1975). Merujuk kepada kajian Azmin Pullong et al., (2023) adat kematian dari aspek amalan menjaga kubur ini telah diamalkan oleh masyarakat Sabah seperti Ubian atas faktor kebimbangan terdapat gangguan makhluk halus terhadap si mayat. Proses akulturasi ini dapat dibuktikan apabila masyarakat Melayu yang beragama Islam turut mengamalkan adat ini cuma terdapat olahan sedikit iaitu keperluan menjaga adab-adab semasa di kawasan perkuburan seperti memperbanyakkan zikir dan menjaga tutur kata. Adat ini dipercayai sebagai satu amalan yang bermanfaat yang mempunyai unsur tersurat dan tersirat. Contohnya, sebagai langkah mengatasi amalan sihir yang terkenal dalam masyarakat Melayu iaitu minyak dagu, minyak pengasih dan sihir pemisah (Muhammad Yusri bin Yusof @ Sallehi & Mohd Anuar Ramli, 2020). Proses penerimaan budaya minoriti dalam masyarakat Ubian terhadap masyarakat Melayu yang telah diolah ini menjadikan adat yang diamalkan itu tidak menjejaskan kepercayaan ataupun identiti pengolah. Seterusnya, pertembungan budaya boleh berlaku dalam aspek pakaian menerusi proses asimilasi iaitu merujuk kepada proses gabungan kebudayaan yang berbeza-beza antara masyarakat untuk membentuk satu kebudayaan yang baharu (Hamidah Abdul Rahman et al., 2009). Menurut Aszulhida Aman et al., (2001), pakaian melambangkan identiti bagi sesebuah


kelompok masyarakat melalui nilai keindahan dan etika yang ditunjukkan pada cara pemakaian masyarakat tersebut. Bukti berlakunya asimilasi dalam aspek ini dapat dirujuk pada kajian Fauziah Ani et al., (2018) yang menyatakan Orang Asli Kuala di Sungai Layau telah mengadaptasi pakaian masyarakat Melayu di Johor sehingga pakaian tersebut dijadikan sebagai pakaian lazim bagi mereka. Contohnya, lelaki Orang Asli Kuala ini akan memakai jubah manakala wanita akan memakai baju kurung dan tudung untuk pergi ke majlis agama. Berdasarkan kajian ini juga, asimilasi ini berlaku disebabkan berlakunya interaksi dan pergaulan antara Orang Asli Kuala di Sungai Layau, Kota Tinggi, Johor ini dengan perkampungan orang Melayu berdekatan dengan mereka iaitu Felda Semenchu, Kota Tinggi, Johor. Menerusi aspek pakaian ini, proses akulturasi juga diterapkan dalam pemakaian masyarakat Chetti (India peranakan). Azrul Affandi Sobry (2010) menyatakan bahawa masyarakat Chetti Melaka lebih banyak menyerap kebudayaan Melayu. Antara yang paling ketara adalah dari segi pemakaian memandangkan akulturasi ini lebih mudah dicapai dalam bentuk kebendaan (Azarudin Awang & Khadijah Mohd Khambali @ Hambali, 2016). Lazimnya, pagi hari Deepavali, lelaki Chetti akan memakai hiasan kepala yang dikenali sebagai ‘talapa’ dan kain pelikat yang telah diasimilasikan dari budaya Melayu berbanding dengan masyarakat India yang memakai pakaian tradisional India iaitu Dhoti (Bernama, 2019). Bagi sesebuah negara yang berbilang kaum, kepelbagaian makanan tradisi dilihat dapat meningkatkan kefahaman dan perpaduan masyarakat terhadap sesuatu kaum yang berlainan. Dalam aspek makanan ini, proses akomodasi telah diterapkan. Secara umumnya, Hamidah Abdul Rahman et al., (2009) menyatakan akomodasi ini adalah kesatuan antara pihak untuk membentuk satu kepuasan hati terhadap pihak yang terlibat. Lazimnya, proses ini merupakan situasi menang-memang (win win situation). Bukti berlakunya proses ini dalam aspek makanan adalah dari segi menghormati isi tersirat dalam sesebuah menu makanan kaum lain. Contohnya, Yee Sang yang dihidangkan sewaktu menyambut perayaan Tahun Baharu Cina yang merupakan simbolik pada kemewahan, kekayaan, kebahagian dan kemakmuran (Soon, 2020). Jika dilihat dari segi cara pemakanannya, terdapat upacara “Lou Hei” yang dilakukan sebelum makan. Upacara ini akan melaungkan “Lou Hei” yang bermaksud “gaul naik” ataupun simbolik kepada pengharapan bertambanya tuah dan pada tahun yang akan datang (Soon, 2020). Dari perspektif masyarakat Melayu yang penuh adat sopan, mencampak-campakkan makanan adalah satu perkara yang tidak baik atau tidak bersyukur atas rezeki yang diberikan. Namun begitu, budaya kaum lain tetaplah dihormati agar tidak berlakunya perselisihan faham. Hal ini turut menunjukkan berlakunya akomodasi apabila masyarakat-masyarakat kaum lain


termasuk Melayu juga yang menyertai upacara makan Yee Sang itu sewaktu rumah terbuka Hari Tahun Baharu Cina. Seterusnya, pertembungan budaya dari aspek perkahwinan turut berlakunya proses pembudayaan amalgamasi. Amalgamasi merupakan satu proses yang terjadi antara budaya atau ras yang bercampur sehingga membentuk satu budaya yang baharu tanpa menuruti budaya asal mereka. Lazimnya, proses ini berlaku dalam perkahwinan campur antara etnik (Sabree Husin, 2009). Sebagai contoh, masyarakat Chetti atau India Peranakan. Masyarakat ini terbentuk daripada orang Hindu yang berkahwin dengan orang tempatan seperti Melayu, China dan India. Menurut Fara Ismail (2020), bukti kewujudan masyarakat ini salah satunya terdapat di Kampung Chetti yang terletak di Gajah Berang. Mereka mengamalkan tradisi dan kebudayaan yang hampir sama dengan negara kita dari segi pakaian dan pemakanan tetapi masih ada beberapa amalan tradisi mereka yang tersendiri. Sebagai contoh adat Sadanggu dan Sadenggu yang khusus kepada anak dara sunti yang telah datang haid pada kali pertama. Dalam adat ini, gadis akan dihias seperti pengantin. Menurut Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara, upacara ini akan diteruskan dengan bacaan jampi serapah yang dibacakan oleh Tok Sami kepada gadis tersebut atas tujuan tertentu. Adat ini juga dimulakan dengan memandikan anak dara sewaktu matahari mula terbit dengan air mandian yang terdapat kunyit dan tujuh jenis bunga di dalamnya. Tujuan upacara mandi ini adalah untuk membuang bala, saka ataupun roh jahat. Jelaslah bahawa setiap aspek-aspek yang dibincangkan di atas telahpun melalui proses pembudayaan menerusi akulturasi, asimilasi, akomodasi dan amalgamasi. Sesungguhnya, kesejahteraan Malaysia pada masa kini adalah kesinambungan daripada proses pembudayaan yang telah diamalkan sejak dahulu lagi. Oleh itu, rakyat negara ini perlulah sentiasa menjaga perpaduan kaum sekali gus mengekalkan keamanan negara dari pelbagai aspek.


RUJUKAN Aszulhida Aman, Ros Mahwati Ahmad Zakaria, Zuliskandar, & Nurfarahhana Ismail. (2020). Perkembangan dan Evolusi Pakaian Alam Melayu [Paper presentation]. Seminar Antarabangsa Susatera, Bahasa dan BudayaNusantara Azarudin Awang & Khadijah Mohd Khambali @ Hambali. (2016). Perkaitan Akulturasi Budaya dan Hubungan Antara Agama:Kajian Terhadap Komuniti Cina Pra Konversi Di Negeri Terengganu. Jurnal Hadhari. 8 (1). 85 – 102. http://journalarticle.ukm.my/10421/1/14124-38816-1-SM.pdf Azmin Pullong, Saifulazry Mokhtar & Mohd Sohaimi Esa. (2023). Adat Kematian Masyarakat Islam Di Sabah: Analisis Dari Perspektif Islam. Journal of Islamic, Social, Economics and Development. 8(52). 84-92 Azrul Affandi Sobry. (16 Julai, 2010). Generasi muda mahir permainan tradisional, minat selami warisan budaya. Berita Harian. Bernama. (26 Oktober, 2019). Deepavali: Rupanya ada beza antara Chetti dan India. Sinar Harian Online. https://www.sinarharian.com.my/article/54160/ berita/nasional/deepavali-rupanya-ada-beza-antara-chetti-dan-india-jom-baca Burhanudin Jalal. (15 Disember, 2018). Kepelbagaian agama, budaya perlu dihormati. Berita Harian Online. https://www.bharian.com.my/kolumnis/2018/12/509258/kepelbagaian agama-budaya-perlu-dihormati#google_vignette Fara Ismail. (10 Disember, 2020). Kewujudan masyarakat Chetti Melaka. Melaka First. https://melakafirst.com/2020/12/10/kewujudan-masyarakat-chetti-melaka/ Fauziah Ani, Rosman Md Yusoff, Zahrul Akmal Damin, Lutfan Jaes, Siti Sarawati Johar, Shah Rul Anuar Nordin, Sharifah Khadijah Syed Abu Bakar, Akbal Abdullah, Khairul Azman Mohd Suhaimy, & Fadillah Ismail. (2018). Menyelusuri Asimilasi Budaya Kaum Orang Asli Suku Kuala Di Sungai Layau, Kota Tinggi. INSAN 2018 E-Proceeding, 121-129. https://publisher.uthm.edu.my/periodicals/index.php/hsp/article/view/1221


Hamidah Abd Rahman, Norlin, Abdul Wahab & Shah Rollah. (2009). Konsep-konsep asas hubungan etnik di Malaysia: Perspektif Teori dan Praktik. UTM Press: Skudai, Johor. Jabatan Kesenian dan Kebudayaan. (n.d). Adat Resam Dan Budaya Masyarakat Chetti Melaka: Sadanggu Atau Sadenggu. Pemetaan budaya. https://pemetaanbudaya.jkkn.gov.my/culture/dis/198 Muhammad Yusri Yusof @ Sallehi & Mohd Anuar Ramli. (2020). Kearifan Tempatan Dalam Adat Kematian Masyarakat Melayu Dari Perspektif Uruf. Journal of Fatwa Management and Research. 21(1). 21-37. Sabree Husin. (11 Oktober, 2009). Konsep-konsep asas hubungan etnik. http://hubungan etnik.blogspot.com/2009/10/konsep-amalgamasi.html Soo, L. W. (21 Januari, 2020). 'Tuah' Yee Sang pada tahun baru Cina. Malaysia Kini.https://www.malaysiakini.com/news/507849 Zuraiha Mohd Zain, Noraini Sulaiman & Siti Aishah Othman. (2021). Adat resam masyarakat Malaysia. Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah: Kedah.


Click to View FlipBook Version