*TADABBUR RINGKAS JUZUK 4
(SURAH ALI-IMRAN 92-200 & SURAH AN-NISA’ 1-23)*
_15 Points_
*Sumber: Ust Abdullah Bukhari *
1. Juzuk 4 mengandungi sebahagian besar bahagian kedua Surah Ali-Imran dan bahagian awal Surah An-Nisa’.
2. Ayat 92 ALLAH menceritakan tentang sedekah yang paling baik iaitu sedekah sesuatu yang paling kita sukai.
Antara kisah di sebalik ayat ini adalah kisah sedekah kebun kurma oleh Abu Talhah R.A.
yang mana kebun ini adalah kebun yang paling disayangi
dan kebun ini adalah antara kebun yang paling mahal nilainya yang ada di Madinah pada ketika itu.
3. Dalam Ayat 93 ALLAH menceritakan tentang asal-usul makanan haram bagi Bani Israil,
bagaimana pengharaman daging unta bagi mereka disebabkan Nazar yang dibuat oleh Nabi Yaakub A.S.
4. Ayat 96-97 adalah mengenai rumah ibadat yang pertama dibina dalam sejarah peradaban manusia,
iaitu Kaabah dan ayat ini juga berkenaan dengan pensyariatan Haji.
5. Ayat 103 pula ALLAH memberitahu kepentingan berpegang dengan tali ALLAH (Agama ALLAH)
manakala di dalam ayat 110 umat ISLAM dinobatkan sebagai Umat Terbaik dengan syarat mestilah melaksanakan
Amar Makruf Nahi Munkar dan beriman kepada ALLAH SWT.
6. Menariknya, Perang Uhud diceritakan secara terperinci di dalam Juzuk ini (Ayat 121-158).
Antaranya berkenaan punca kekalahan, post-mortem Perang Uhud, teguran ALLAH kepada Umat ISLAM dsb.
7. Apa yang paling menarik adalah berkenaan ayat 144 yang turun ketika Perang Uhud,
memberitahu bahawa RASULULLAH SAW adalah manusia biasa
yang pasti akan menemui ajalnya pada suatu hari nanti. Ayat ini juga dibaca oleh Khalifah Abu Bakar As-Siddiq
ketika kewafatan NABI SAW sebagai teguran kepada para sahabat yang pada
waktu itu tidak dapat menerima hakikat tersebut.
8. Di dalam ayat 154 dibincangkan bagaimana ALLAH menghantar rasa mengantuk kepada tentera ISLAM
sebagai satu ketenangan apabila mereka kalah di dalam Perang Uhud dan ketika rasa mengantuk itu
hilang, semangat mereka kembali pulih
9. ALLAH juga menceritakan mengenai kelebihan orang yang mati syahid,
di mana mereka sebenarnya kekal hidup di sisi ALLAH (Ayat 169-171).
10. Kisah di sebalik ayat 173 adalah berkenaan Perang Hamraul Asad, yang mana tentera ISLAM
terus menyusuri tentera Abu Sufyan setelah Peperangan Uhud.
Ketika Abu Sufyan melihat tentera ISLAM masih mampu menyusuri mereka walaupun setelah luka parah,
beliau mengupah satu rombongan yang sedang lalu di kawasan itu untuk menakutkan tentera ISLAM,
namun Tentera ISLAM tetap nekad untuk menggempur musuh dengan lafaz
“Cukuplah bagi kami, ALLAH sebagai pembantu”.
11. ALLAH menekankan perihal kepentingan berfikir (Ayat 190-194) yang mana setiap penciptaan
ALLAH di alam semesta ini mempunyai sebab dan musabbab tersendiri.
12. Di dalam Ayat 199, ALLAH SWT memuji sebahagian Ahli Kitab yang beriman kepada ALLAH.
Kisah di sebalik ayat ini adalah berkenaan berita kemangkatan
Raja Habsyah (An-Najashi) yang beriman kepada ALLAH,
lalu NABI SAW terus melakukan Solat Jenazah Ghaib.
Dan inilah Solat Ghaib pertama yang dilakukan dalam sejarah umat ISLAM.
13. Di dalam ayat pertama Surah An-Nisa’ diceritakan asal-usul manusia yang berasal dari Nabi Adam A.S.
dan juga Hawwa’, kemudian berkembang sehingga hari ini.
14. Bermula ayat 2 sehingga 23 diceritakan berkenaan anak yatim, poligami, pembahagian Faraidh
dan juga mahram perkahwinan (Orang yang diharamkan berkahwin).
15. Ayat berkenaan Mahram Perkahwinan disebut secara khusus di dalam Ayat 22-23.
Ia boleh dibahagikan kepada 3 kategori iaitu
; i) Haram kerana hubungan darah, ii) Haram kerana susuan, iii) Haram kerana perkahwinan.