*TADABBUR RINGKAS JUZUK 23
(SURAH YAASIN 28-83, SURAH AS-SAFFAT 1-182, SURAH SODD 1-88 & SURAH AZ-ZUMAR 1-31)
_12 Points_
*Sumber: Ust Abdullah Bukhari *
Diolah: Asyraf Salleh
1. Juzuk ini mengandungi empat surah iaitu bahagian kedua Surah Yaasin, Surah As-Saffat, Surah Sodd dan Surah Az-Zumar.
2. Ayat 28-31 Surah Yaasin menceritakan tentang kesudahan penduduk sebuah negeri (dikatakan sebagai Antoqiah, Turki) yang
mengingkari arahan Rasul yang diutus kepada mereka lalu mereka dimusnahkan oleh ALLAH SWT dengan satu jeritan kuat oleh Jibril
A.S. Di dalam surah ini juga ALLAH SWT menceritakan tentang kuasa-NYA pada bumi, tanaman, kapal di lautan dan sebagainya.
3. Ayat 51-54 ALLAH SWT menceritakan mengenai peristiwa Akhirat seperti berlakunya tiupan sangkakala lalu manusia terkejut dan
mereka mempersoalkan siapa yang mengejutkan mereka daripada tidur yang lama (Ayat 52). Ayat 55-58 pula adalah mengenai dialog Ahli
Syurga yang menyatakan kegembiraan mereka berada di dalam syurga kerana mendapat buah-buahan dan semua hajat yang mereka
kehendaki. Dan ALLAH SWT juga mengatakan ucapan kesejahteraan daripada Tuhan Yang Maha Pengasih. Ini berlaku ketika para Ahli
Syurga sedang menikmati pelbagai nikmat di Syurga, lalu ALLAH SWT datang kepada mereka dengan memperlihatkan wajah-NYA
kepada mereka. Sesungguhnya ini adalah nikmat yang paling tingggi di dalam Syurga.
4. Di akhir Surah Yaasin ini ALLAH SWT menceritakan tentang seorang lelaki biadap pada zaman NABI SAW (dikatakan namanya
adalah Ubai Bin Khalaf) yang membawa tulang hancur berjumpa dengan NABI SAW. Baginda ditanyakan siapa yang mampu
menghidupkan tulang tersebut sedangkan ianya sudah hancur berkecai di dalam tanah lalu ALLAH SWT menjawab bahawa jika
ALLAH mampu mencipta tulang yang pada asalnya tiada, maka tidak mustahil bagi-NYA untuk menghidupkan kembali tulang yang
sudah hancur itu (Ayat 77-83).
5. Dinamakan dengan Surah As-Saffat sebagai merujuk kepada para malaikat yang berada di dalam sof yang teratur kerana melaksanakan
arahan ALLAH SWT. Ayat 1- 10 menceritakan mengenai sifat para malaikat dan langit yang dekat dihiasi dengan bintang-bintang sebagai
perhiasan langit kepada manusia. Ia juga menjadi penjaga daripada pencerobohan jin dan syaitan. Disebabkan itulah kebanyakan orang
yang mempelajari Ruqyah akan membaca 10 ayat ini kerana disebut di dalamnya bagaimana jin dan syaitan yang cuba mencuri khabar dari
langit akan dikejar tahi bintang.
6. Pada ayat 11-74 diceritakan mengenai peristiwa Akhirat di mana para Ahli Neraka saling menyalahi antara satu sama lain manakala
diceritakan juga mengenai nikmat Ahli Syurga. Perkara yang menarik di dalam ayat ini adalah bagaimana ahli syurga bersosial sesama
mereka dan mereka cuba mencari teman mereka yang dahulu sewaktu di dunia kufur kepada ALLAH SWT. Lalu ALLAH menawarkan
kepada mereka untuk mencari teman-teman mereka yang berada di tengah-tengah neraka Jahannam (Ayat 54).
7. Bermula ayat ke 76 hingga akhir surah ini diceritakan mengenai kisah para Nabi seperti Nabi Nuh, Nabi Ibrahim, Nabi Ishak, Nabi Ilyas
dan sebagainya. Ayat 79 merupakan pujian kepada Nabi Nuh A.S. oleh semua makhluk di alam semesta kerana Baginda merupakan bapa
kedua manusia yang bertanggungjawab menyelamatkan zuriat manusia. Ada yang menggunakan ayat ini untuk mengelakkan bahaya dari
binatang berbisa seperti ular dan kala jengking. Namun, di sana terdapat doa yang lebih sahih daripada NABI SAW yang terlebih dahulu
sepatutnya diamalkan untuk mengelakkan diri dari bahaya makhluq jahat termasuk binatang berbisa.
8. Ayat 83 menceritakan mengenai Nabi Ibrahim A.S. yang memusnahkan berhala, kemudian Baginda dibakar oleh musuh dan
diselamatkan ALLAH SWT. Lalu Baginda lari menyelamatkan diri dan berdoa agar dikurniakan zuriat yang soleh (Ayat 100). Kemudian,
Nabi Ibrahim A.S. diberikan arahan untuk menyembelih anaknya sendiri yang akhirnya digantikan dengan sembelihan yang lain (Ayat
102-107).
9. Ayat 139-148 adalah cerita berkenaan Nabi Yunus A.S. yang mana terdapat dua perkara menarik di dalam kisah ini; i) ALLAH SWT
memberitahu kenapa doa Nabi Yunus A.S. ketika berada di dalam perut ikan dimakbulkan (Ayat 143). Ayat ini bermaksud sejauh mana
ALLAH SWT akan memakbulkan doa ketika di dalam kesusahan adalah bergantung sebanyak mana ingatnya kita kepada ALLAH SWT
ketika di dalam kesenangan. ii) Selepas Nabi Yunus A.S. dimuntahkan oleh ikan, Baginda jatuh sakit, kemudian ditumbuhkan sejenis
pokok untuk melindungi Baginda (Ayat 145-146). Timbul persoalan di sini kenapa ALLAH SWT menurunkan dua ayat tersebut secara
berturutan.
10. Di dalam Surah Sodd juga terdapat kisah para Nabi, antaranya Nabi Daud A.S. yang menyelesaikan pertikaian antara dua pihak yang
bertelagah (Ayat 21-26). Nasihat Nabi Daud A.S. pada ayat 24 relevan sehingga sekarang terutama sebagai peringatan kepada mereka yang
membuat perkongsian perniagaan yang boleh melakukan kezaliman sesama mereka kecuali orang yang beriman dan saling menjaga
amanah.
11. Kisah Nabi Sulaiman A.S. juga disebut di dalam surah ini, bagaimana Baginda diuji dan Baginda berdoa agar diberikan kerajaan dan
kelebihan yang tidak akan diberikan kepada mana-mana manusia lain selepasnya (Ayat 35). Ketika menafsirkan ayat ini, para ulama’
mengaitkannya dengan kisah di mana NABI SAW diganggu oleh iblis (dikatakan Jin Ifrit), lalu Baginda menangkapnya dengan izin
ALLAH SWT dan bercadang untuk mengikatnya pada tiang Masjid Nabawi agar semua manusia boleh mengenali bagaimanakah rupa
iblis. Namun Baginda SAW bersabda, kalau bukan kerana doa Nabi Sulaiman pada ayat 35 Surah Sodd ini, pastinya manusia boleh
mengenali rupa jin dan syaitan.
12. Surah Az-Zumar yang bermaksud rombongan-rombongan merujuk kepada Ahli Syurga dan Ahli Neraka yang berada di dalam
rombongan masing-masing untuk ke destinasi mereka (disebut di akhir surah ini). Ayat 17-18 surah ini menceritakan bagaimana ALLAH
SWT memberikan khabar gembira kepada mereka yang mendengar percakapan manusia, lalu memilih apa yang terbaik darinya. Mereka
ini adalah golongan yang mendapat hidayah ALLAH SWT dan diberikan akal yang bijak. Berdasarkan ayat ini, kita mesti menjadi orang
yang pandai memilih yang terbaik dan ayat ini boleh dijadikan doa untuk kita semua amalkan. Allahu a’lam.