*TADABBUR RINGKAS JUZUK 27*
(SURAH ADZ-DZARIYAT 31-60, AT-TUR 1-49, AN-NAJM 1-62,
AL-QAMAR 1-55, AR-RAHMAN 1-78, AL-WAQI’AH 1-96, AL-HADID 1-29)
_15 Points_
*Sumber: Ust Abdullah Bukhari *
Diolah: Asyraf Salleh
1. Juzuk ini mengandungi tujuh surah bermula dari surah ke-51 iaitu Surah Adz-Dzariyat sehingga Surah Al-Hadid.
2. Adz-Dzariyat bermaksud angin yang bertiup. Ayat 56 surah ini membincangkan tentang tujuan utama jin dan manusia diciptakan iaitu
untuk beribadat kepada ALLAH SWT. Ayat ini perlu difahami sebaiknya dengan menghayati ayat-ayat seterusnya di mana ALLAH
mengatakan bahawa DIA tidak sekali pun memerlukan makhluq, bahkan makhluq lah yang memerlukan ALLAH SWT kerana DIA yang
Maha Pemberi Rezeki dan Maha Kukuh kekuasaan-NYA (Ayat 57-58). Berdasarkan tiga ayat ini, para ulama’ menafsirkan bahawa
ALLAH SWT sangat marah pada hamba-NYA yang sibuk mencari rezeki sehingga lupa menunaikan solat kerana ianya seolah-olah
menjadikan majikannya sebagai tuhan yang memberi rezeki.
3. Dinamakan dengan nama At-Tur kerana di awal surah ini ALLAH SWT bersumpah dengan Gunung Tursinai. ALLAH SWT juga
bersumpah dengan beberapa perkara lain di dalam surah ini selain Gunung Tursinai, iaitu seperti bersumpah dengan Kaabah di Mekah
dan lautan yang mempunyai api di dalamnya.
4. Di dalam Surah At-Tur juga diceritakan tentang balasan bagi orang yang menentang ALLAH SWT dan ganjaran bagi mereka yang
beriman dengan-NYA. Menariknya, ALLAH SWT berjanji bahawa orang beriman akan dikumpulkan bersama dengan zuriat keturunan
mereka di Syurga kelak, dengan syarat mereka semua beriman kepada ALLAH SWT (Ayat 21). Ayat 25-28 adalah perkumpulan semula
(reunion) ahli Syurga yang mana mereka saling berkata tentang amalan mereka di dunia yang menyebabkan mereka diberikan ganjaran
syurga.
5. Peristiwa menarik di dalam Surah An-Najm (Bintang) adalah berkaitan dengan kisah NABI SAW naik ke langit di dalam peristiwa
perjalanan Isra’ dan Mikraj. Bukti NABI SAW Isra’ (bergerak dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa) berada pada ayat pertama Surah Al-
Isra’ manakala Mikraj NABI SAW (naik ke langit) diceritakan di dalam Surah An-Najm bermula ayat pertama sehingga ayat 18 yang mana
berkaitan dengan apa yang telah disaksikan oleh Baginda SAW di langit.
6. Ayat 32 Surah An-Najm adalah teguran ALLAH SWT kepada manusia supaya tidak memuji diri sendiri kerana bersih dari segala dosa
kerana hanya DIA yang tahu siapakah yang bertaqwa dalam kalangan hamba-NYA. Larangan ini bermaksud kita tidak boleh beranggapan
bahawa diri kita lebih baik dan lebih suci dari dosa berbanding orang lain. Menariknya, sekali lagi prinsip di dalam Islam diceritakan pada
ayat 38-39 yang mana tiada sesiapa yang akan menanggung dosa orang lain melainkan dosanya sendiri. ALLAH SWT memberitahu
ketawa dan menangis itu adalah bukti kekuasaan-NYA (Ayat 43). Namun begitu, kita tidak dibenarkan untuk ketawa secara berlebihan
kerana ianya boleh menyebabkan hati kita mati dan memudharatkan kesihatan rohani.
7. Surah Al-Qamar (Bulan) menceritakan tentang kisah-kisah Nabi A.S. seperti Nabi Nuh, Nabi Hud, Nabi Soleh, Nabi Lut dan
sebagainya. Di awal surah ini, diceritakan tentang NABI SAW yang diberikan mukjizat membelah bulan (Ayat 1-2). Ayat 44-45
diturunkan di Mekah dan Aisyah R.A. pada ketika itu masih lagi seorang kanak-kanak. Namun kedua-dua ayat ini dibaca semula oleh
NABI SAW di dalam Perang Badar selepas Baginda SAW berdoa. Ini menunjukkan bukti kekuasaan ALLAH SWT yang mengetahui apa
yang akan berlaku pada masa hadapan kerana ayat ini diturunkan sebelum berlakunya peristiwa tersebut.
8. Surah Ar-Rahman bermaksud ALLAH SWT yang Maha Pemurah dan kemuncak sifat Pemurah ALLAH SWT disebut di dalam ayat
1-2 yang mana surah ini dimulakan dengan menyebut AL-Quran. Ini menunjukkan bahawa Al-Quran adalah bukti ALLAH SWT Maha
Pemurah. Dengan adanya Al-Quran, semua perkara wujud. Di dalam surah ini diulang sebanyak 31 kali ayat sama yang menyoal sekalian
manusia dan jin, apakah nikmat ALLAH SWT yang hendak didustakan?
9. Di dalam Surah Ar-Rahman ini juga terdapat kisah ahli Neraka (Ayat 35-45) dan ahli Syurga (46-78). Terdapat dua jenis syurga
diceritakan di dalam surah ini iaitu Syurga Kelas Tinggi dan Syurga Kelas Rendah.
10. Sebahagian ulama’ tafsir membuat empat pecahan pada 31 ayat sama yang diulang-ulang dalam surah ini, iaitu (8-7-8-8); i) Lapan
pengulangan yang pertama adalah berkenaan pelbagai nikmat ALLAH SWT berikan, nikmat yang manakah manusia dan jin akan
beriman? ii) Tujuh pengulangan yang berikutnya diulang kepada ahli Neraka, kerana pada Neraka itu terdapat tujuh pintu, iii) Lapan
pengulangan yang berikutnya apabila menceritakan tentang nikmat Syurga Kelas Tinggi dan, iv) Lapan pengulangan yang terakhir apabila
diceritakan tentang nikmat Syurga Kelas Rendah. Lapan kali pengulangan ini kerana pada Syurga itu terdapat lapan pintu.
11. Pecahan ini juga bermaksud, sesiapa yang beriman dengan lapan nikmat yang pertama, akan dihindarkan dari tujuh yang kedua (iaitu
Neraka) dan akan dimasukkan pada salah satu lapan yang ketiga (Syurga Kelas Tinggi) atau lapan yang keempat (Syurga Kelas Rendah).
Ini antara contoh keajaiban Surah Ar-Rahman.
12. Surah Al-Waqi’ah menceritakan perihal peristiwa Kiamat. Jadi, kurang tepat untuk mengatakan bahawa sesiapa yang membaca surah
ini akan dimurahkan rezeki kerana tiada dalil yang sahih mengatakan begitu. Isi kandungan sebenar surah ini menceritakan tentang tiga
kumpulan yang terbentuk apabila berlakunya kiamat. Kumpulan Pertama adalah golongan yang mempunyai keimanan yang tinggi
terhadap ALLAH SWT dan Rasul-NYA (Ahli VIP Syurga). Kumpulan Kedua adalah golongan yang menerima buku amalan dengan
tangan kanan (Ahli Syurga) manakala Kumpulan Ketiga (Ahli Neraka) adalah golongan yang menerima buku amalan dengan tangan kiri.
Apabila membaca surah ini, berdoalah supaya dimasukkan bersama Kumpulan Pertama dan Kedua dan dihindarkan dari menjadi
Golongan Ketiga.
13. Pada awal Surah Al-Hadid (Besi) diceritakan tentang kelebihan bersedekah (Ayat 7), yang mana ALLAH SWT mengatakan harta yang
ada di sisi kita adalah milik ALLAH SWT dan kita hanyalah pemegang amanah sahaja. Ayat 10 menceritakan tentang perbezaan ganjaran
yang diterima oleh para sahabat yang bergantung pada ketika mana mereka beriman samada sebelum atau selepas Pembukaan Kota
Mekah. Ayat 22-23 menceritakan tentang segala yang berlaku di bumi tidak terjadi dengan kebetulan melainkan ianya telah berada di
dalam pengetahuan ALLAH SWT. Ayat 25 mnceritakan tentang asal-usul kejadian besi yang mana asalnya adalah daripada langit.
14. Dalam ayat 25, diturunkan dua perkara kepada Rasul yang diutuskan oleh ALLAH SWT, iaitu Kitab yang mempunyai neraca
timbangan ilmu dan besi. Ulama’ berpendapat bahawa kedua-dua perkara itu (Kitab dan Besi) adalah bagaimana Islam yang akan dibawa
oleh para Rasul dan ianya adalah kiasan yang membawa maksud; i) Kitab sebagai hujah dan, ii) Besi itu adalah Peperangan yang berlaku
untuk mempertahankan diri dan mesti diikuti bersama dengannya Adab Berperang.
15. Dalam pendapat lain pula, ALLAH SWT menggunakan perkataan (Kami Turunkan) untuk kedua-dua perkara tersebut untuk
menjaga keaslian dan kehebatan Bahasa Al-Quran. Kemudian hujah ini dikuatkan dengan mengatakan bahawa segala perkara yang ada di
bumi adalah sebenarnya berasal dari langit seperti air dan juga besi (di dalam ayat ini) dan ianya berlaku ketika fasa awal penciptaan alam
semesta. Allahu a’lam.