*TADABBUR RINGKAS JUZUK 30*
37 surah bermula dari Surah An-Naba’ sehingga
surah terakhir iaitu Surah An-Naas.
_10 Points_
*Sumber: Ust Abdullah Bukhari *
Diolah: Asyraf Salleh
1. Juzuk terakhir ini mengandungi 37 surah bermula dari Surah An-Naba’ sehingga surah terakhir iaitu Surah An-Naas.
2. Kebanyakan surah di dalam juzuk ini menceritakan berkenaan Kiamat seperti Surah An-Naba, An-Nazi’at, Surah ‘Abasa, Surah At-
Takwir, Al-Infitor, Al-Insyiqaq, Surah Al-Ghashiyah dan sebagainya.
3. Terdapat sedikit kisah berkenaan Nabi Musa dan Firaun di dalam Surah An-Nazi’at yang mana Firaun mengaku dirinya sebagai tuhan
pada ayat 15-26 manakala pada bahagian awal Surah ‘Abasa adalah teguran ALLAH SWT kepada NABI SAW kerana Baginda berpaling
dan tidak melayan soalan seorang sahabat yang buta, iaitu Abdullah bin Umi Maktum ( ayat 1-12 ).
4. Ayat 8-9 Surah At-Takwir adalah berkenaan bayi yang ditanam hidup-hidup. Sebahagian dari kita akan mengaitkan ayat ini dengan
kisah Umar Al-Khattab sebelum beliau memeluk Islam yang mana popular di kalangan kita, beliau membunuh anaknya hidup-hidup.
Tiada riwayat yang sahih untuk kisah tersebut dan ianya adalah tidak benar serta merupakan fitnah terbesar ke atas diri sahabat NABI
SAW tersebut. Isteri NABI SAW yang bernama Hafsah adalah anak sulung Umar Al-Khattab, jadi anak yang manakah dibunuh oleh
beliau?
5. Diceritakan berkenaan orang yang menipu di dalam Surah Al-Mutoffifin yang mana mereka diancam dengan azab yang amat berat di
Akhirat kelak. Bermula ayat 7 sehingga akhir surah adalah kisah berkenaan kitab amalan dan tempat akhir bagi Ahli Syurga dan Ahli
Neraka. Menariknya, pada ayat 29 surah ini, ALLAH SWT menempelak kembali orang musyrikin yang dahulunya mentertawakan orang
beriman, dan di Akhirat kelak, mereka akan ditertawakan oleh orang beriman yang telah mendapat nikmat Syurga.
6. Di dalam Surah Al-Buruj, terdapat kisah berkenaan parit yang dipenuhi dengan api yang besar. Ianya dibuat oleh seorang raja di satu
negeri yang taksub dengan agamanya sendiri dan membakar rakyat negerinya yang beriman kepada ALLAH SWT ( ayat 4-10 ).
Kisah ini diceritakan secara panjang lebar di dalam Hadis NABI SAW dan terkenal dengan tajuk ‘Ghulam Dakwah’ (Kanak-kanak yang
Berdakwah).
7. Surah At-Toriq menceritakan tentang Kiamat dan kejadian manusia manakala Surah Al-A’la adalah berkenaan ALLAH yang Maha
Tinggi dan suruhan supaya bertasbih kepada-NYA.
Surah Al-Fajr menceritakan tentang bagaimana manusia diuji dengan kesenangan dan kesusahan. Manusia yang buta mata hatinya
beranggapan bahawa ujian kesusahan itu sebagai satu penghinaan manakala ujian kesenangan itu adalah satu kemuliaan, sedangkan ianya
terpesong dari maksud sebenar yang disampaikan di dalam surah ini ( ayat 15-16 ). Di hujung Surah Al-Fajr diceritakan tentang panggilan
ALLAH SWT kepada orang beriman dan mempunyai hati yang tenang untuk kembali kepada Tuhan dalam keadaan yang berbahagia (
ayat 27-30 ).
8. Surah Al-Balad menceritakan sifat manusia dan bumi Mekah. ALLAH SWT menekankan bahawa manusia diberikan dua mata, dua
bibir dan satu lidah untuk mereka menunaikan tanggungjawab agama yang tertentu ( ayat 8-10 ).
Surah As-Syams dan Al-Lail adalah berkenaan sumpah ALLAH SWT kepada beberapa makhluknya seperti matahari, bulan, waktu
malam dan sebagainya. Di dalam Surah As-Syams juga diceritakan tentang kepentingan menjaga nafsu dari merosakkan diri manusia (
ayat 7-10 ).
9. Surah Al-‘Alaq adalah surah pertama yang diturunkan kepada NABI SAW. Di dalam surah ini terdapat celaan kepada Abu Jahal apabila
dia mengganggu NABI SAW menunaikan solat dan ALLAH SWT menyuruh Baginda SAW untuk tetap menunaikan solat secara
sempurna tanpa mempedulikannya ( ayat 9-17 ). Ayat terakhir surah ini ( ayat 19 ) adalah salah satu dalil yang mengatakan bahawa sujud
adalah waktu yang paling hampir dengan ALLAH SWT dan pada ketika ini jugalah adalah waktu dimakbulkan doa kita.
10. Kemuncak Islam berada pada Surah Al-Ikhlas kerana keseluruhan surah ini adalah berkenaan Tauhid dan ia menyamai 1/3 AL-Quran.
Mesej dan tema utama Al-Quran terbahagi kepada tiga, iaitu; i) Aqidah kepada ALLAH SWT, ii) Kisah para Nabi dan umat terdahulu
sebagai pengajaran dan, iii) Hukum-hakam di dalam Islam.
Allahu a’lam.
Sebagai penutup kepada Tadabbur RIngkas 30 Juzuk Al-
Quran, kita mestilah berinteraksi dengan Al-Quran melalui 2
kaedah iaitu;
i) KUANTITI:
Bacalah Al-Quran sebanyak mungkin dan jadikan ia sebagai
aktiviti seharian kerana satu huruf Al-Quran yang dibaca
bersamaan dengan 10 ganjaran pahala,
ii) KUALITI:
Tadabbur dan memahami ayat Al-Quran secara lebih
mendalam dan berperingkat-peringkat.