*TADABBUR RINGKAS JUZUK 26*
(SURAH AL-AHQAF 1-35, MUHAMMAD 1-38, AL-FATH 1-29,
AL-HUJURAT 1-18, QAF 1-45 & ADZ-DZARIYAT 1-30)
_15 Points_
*Sumber: Ust Abdullah Bukhari *
Diolah: Asyraf Salleh
1. Juzuk ini mengandungi enam surah iaitu Surah Al-Ahqaf (Bukit Pasir), Surah Muhammad, Surah Al-Fath, Surah Al-Hujurat, Surah
Qaf & Surah Adz-Dzariyat.
2. Surah Al-Ahqaf bermaksud bukit pasir. Ia adalah tempat tinggal Kaum ‘Aad, bertempat di Yaman yang diutuskan kepada mereka Nabi
Hud A.S. Ayat 4 surah ini mempunyai satu perkataan yang perlu dibaca dengan cara yang unik dan tidak mengikut kaedah yang biasa
( ). Ayat 9 pula adalah penegasan NABI SAW bahawa Baginda tidak mengetahui perkara ghaib manakala ayat 15 adalah perbincangan
tentang tanggungjawab seorang anak untuk berlaku baik terhadap ibu bapa.
3. Ayat 15 ini menekankan untuk berbakti kepada ibu dek kerana tempoh kandungan dan susuannya adalah selama 30 bulan. Di dalam
ayat 223 Surah Al-Baqarah dinyatakan bahawa tempoh penyusuan lengkap selama 2 tahun lengkap. Jadi, tempoh minimum mengandung
adalah selama 6 bulan. Berdasarkan fakta inilah, para ulama’ berfatwa, kandungan yang berusia 6 bulan dan ke atas dikira sebagai anak sah
taraf. Ayat ini juga membincangkan umur dewasa bagi seorang lelaki adalah 40 tahun. Jadi, dinasihatkan kepada mereka yang telah
mencapai umur ini agar segera bermuhasabah tentang diri sendiri dan mentaati ALLAH SWT.
4. Ayat 20 pula ALLAH menyatakan tentang hari di mana orang kafir didedahkan dengan azab neraka, lalu hilanglah semua kenikmatan
yang mereka rasai ketika di dunia dulu. Para sahabat sangat bimbang perkara ini berlaku ke atas mereka ketika membaca ayat ini.
5. Menariknya, pada ayat 29-32, terdapat kisah mengenai sekumpulan jin yang dihadapkan oleh ALLAH SWT kepada RASULULLAH
SAW untuk diperdengarkan bacaan Al-Quran. Lalu para jin ini pulang dan berdakwah kepada bangsa mereka. Adab supaya fokus dan
diam apabila mendengar Al-Quran dibacakan disebut di dalam ayat 29 Surah Al-Ahqaf ini sama seperti ayat 204 Surah Al-A’raf.
6. Dinamakan Surah Muhammad bersempena dengan nama NABI SAW kerana di awal surah ini disebut mengenai Baginda SAW. Ayat 4
surah ini menceritakan tentang apa yang perlu dilakukan semasa dan selepas peperangan. Ayat ini sering disalah fahami oleh sesetengah
golongan ekstrem yang mengatakan bahawa Islam memberi kebenaran untuk umatnya memenggal kepala orang kafir. Walhal, ayat 4 ini
perlu difahami di dalam konteks peperangan.
7. Ayat 15 Surah Muhammad menceritakan tentang empat batang sungai yang ajaib di dalam Syurga iaitu; i) Sungai dari air bersih yang
tidak berubah warna dan rasa, ii) Sungai dari susu yang tidak berubah warna dan rasa, iii) Sungai dari arak yang boleh diminum dan iv)
Sungai dari madu yang bersih.
8. Di dalam ayat 19 pula, NABI SAW diminta agar berdoa untuk keampunan di atas dosa yang dilakukan dan memohon keampunan
untuk seluruh orang beriman. Dua perkara menarik di dalam ayat ini; 1) ALLAH SWT mengajar NABI SAW supaya bersikap rendah diri,
walaupun Baginda adalah seorang yang maksum (dilindungi dari melakukan dosa), Baginda SAW pun digalakkan untuk berdoa, ii)
Selitkan bersama doa memohon keampunan untuk seluruh orang beriman, lelaki dan perempuan di dalam doa.
9. Ayat 37-38 adalah nasihat ALLAH SWT kepada umat Islam supaya bersedekah. Sesungguhnya sedekah yang diminta itu cumalah
sedikit kerana ianya boleh menyebabkan kamu menjadi bakhil dan menimbulkan kemarahan, dengki dan sebagainya. Inilah hikmah
pengeluaran zakat yang mana ianya dapat membersihkan jiwa dan hati manusia dari sifat buruk.
10. Surah Al-Fath bermaksud Pembukaan atau Kemenangan. Secara umumnya surah ini adalah kisah mengenai kemenangan Umat Islam
selepas Perjanjian Hudaibiyah dan surah ini sangat menggembirakan hati RASULULLAH SAW.
11. Pada ayat 27, ALLAH SWT membenarkan mimpi yang dilihat oleh NABI SAW yang mana Baginda bermimpi menunaikan umrah
bersama-sama dengan para sahabat R.A. Berikutan mimpi tersebut, NABI SAW keluar menuju ke Mekah untuk menunaikan umrah pada
tahun ke-6 Hijri. Namun, Baginda SAW dihalang dan termeterai lah Perjajian Hudaibiyah.
12. Surah Al-Fath turun sekembalinya NABI SAW dari Hudaibiyah. ALLAH SWT memberikan jaminan kemenangan dan kejayaan
untuk umat Islam seluruhnya. Para ulama’ mentafsirkan, jika tidak terjadinya Perjanjian Hudaibiyah dan umat Islam tidak dihalang, sudah
tentu kemenangan Islam dalam menakluki semula Mekah pada tahun ke-8 Hijrah tidak akan berlaku.
13. Surah Al-Hujurat yang bermaksud bilik-bilik, membincangkan tentang adab-adab bersosial. Surah ini sangat sesuai untuk difahami
dan dihayati pada era penggunaan media sosial yang tiada sempadan seperti hari ini. Berita disebar tanpa disemak kesahihannya, ejek-
mengejek sesama manusia, sindir-menyindir berlaku, berburuk sangka, mengumpat secara besar-besaran dan sebagainya. Semua adab dan
sikap yang sepatutnya diamalkan ketika bersosial sesama manusia, diajar dan diberitahu di dalam Surah Al-Hujurat. Ianya juga boleh
menjadi benteng penghalang dari terlibat di dalam dosa-dosa sosial yang berlaku tanpa kita sedari.
14. Surah Qaf yang merupakan Surah Makkiyyah (diturunkan di Mekah) menceritakan perihal Akhirat. Di dalam ayat 18 surah ini,
ALLAH SWT menyatakan bahawa setiap perkataan yang kita sebut akan dicatat oleh malaikat samada yang baik mahupun yang buruk.
Pada zaman media sosial yang berleluasa, segala tulisan yang ditulis oleh tangan juga akan dicatat dan dipertanggungjawabkan di Akhirat
kelak.
15. Ayat 22 pula menceritakan perihal Hari Kebangkitan di mana manusia dibangkitkan semula dan diperlihatkan suasana Akhirat yang
dahulunya mereka tidak percaya dan beriman dengannya. Allahu a’lam.