The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by TADABBUR AL QURAN 30 JUZUK, 2020-05-19 23:30:33

TADABBUR RINGKAS JUZUK 25

TADABBUR RINGKAS JUZUK 25

*TADABBUR RINGKAS JUZUK 25*

(SURAH FUSSILAT 47-54, SURAH AS-SYURA 1-53,
SURAH AZ-ZUKHRUF 1-89, SURAH AD-DUKHAN 1-59

& SURAH AL-JATSIAH 1-37)

_15 Points_

*Sumber: Ust Abdullah Bukhari *
Diolah: Asyraf Salleh

1. Juzuk ini mengandungi lima surah iaitu muka surat terakhir Surah Fussilat, Surah As-Syura (Mesyuarat), Surah Az-Zukhruf
(Perhiasan), Surah Ad-Dukhan (Asap) dan Surah Al-Jatsiah (Orang yang berlutut).

2. Ayat 53 Surah Fussilat menceritakan tentang tanda-tanda kebesaran ALLAH SWT yang akan didedahkan sedikit demi sedikit pada
tubuh badan manusia dan di ufuk alam maya (gelombang, wifi dsb) bersesuaian dengan perkembangan ilmu manusia. Ayat ini

memberikan galakan untuk membuat kajian-kajian ilmiah yang boleh memberikan manfaat kepada manusia dan membuktikan kebesaran
ALLAH SWT.

3. Dinamakan As-Syura bersempena dengan ayat 38 surah ini yang menyatakan bahawa antara sifat orang beriman adalah sentiasa
melakukan syura (mesyuarat) untuk mencari keputusan yang terbaik. Pada bahagian hujung ayat 11, ALLAH SWT menyatakan bahawa
tiada suatu pun yang boleh menyerupai ALLAH SWT. Justeru itu, kita sangat dilarang untuk menyamakan ALLAH SWT dengan apa

jua makhluk yang ada di alam ini.

4. Ayat 21 Surah As-Syura menyatakan larangan mencipta syariat baru di dalam agama. Orang yang mencipta syariat baru ini sedang
mencabar kuasa ALLAH SWT kerana seolah-olah DIA telah mewahyukan kepada orang tersebut untuk mencipta sebarang syariat baru.
Di dalam ayat 23, kita disuruh supaya berlaku baik kepada Ahlil Bait RASULULLAH SAW manakala di dalam ayat 27-28 diceritakan
mengenai rahsia rezeki yang mana ada manusia yang dilapangkan rezeki dan ada yang disempitkan rezeki. Kesemua itu berlaku dengan
hikmahnya yang tersendiri. Ayat ini juga merupakan dalil jelas yang memberitahu bahawa hujan adalah rahmat dari ALLAH SWT (Ayat

28). Di atas sebab itu jugalah, antara doa yang mustajab adalah ketika turunnya hujan.

5. Ayat 29 menceritakan tentang adanya makhluq yang melata di langit dan bumi. Prof. Dr. Wahbah Zuhaili mengatakan bahawa terdapat
makhluq selain manusia manakala malaikat tidak termasuk di dalam kategori ini kerana ALLAH menggunakan perkataan „Ad-Dabbah‟
yang mana ianya merupakan spiesis seperti manusia dan haiwan. Justeru, ia menjadi persoalan kepada kita untuk membuat kajian

selanjutnya yang lebih mendalam, adakah terdapat makhluq lain (yang kita namakan sebagai makhluq asing), di planet selain Bumi? Allahu
a‟lam.

6. ALLAH SWT memberitahu bahawa segala musibah yang menimpa diri manusia itu adalah disebabkan kesalahan manusia itu sendiri
seperti masalah kesihatan yang berpunca dari kelalaian kita yang tidak menjaganya dengan baik. Namun begitu, menurut seorang Tabiin

yang bernama Adhaq, seorang penghafaz Quran ditimpa musibah melupai Al-Quran disebabkan oleh diri sendiri yang tidak
mengulangkaji hafazan yang telah dihafaz (Ayat 30).

7. Di dalam ayat 49-50 dinyatakan mengenai ujian ALLAH SWT kepada hamba-NYA. Ada yang diberikan anak yang berbeza jantina
seperti yang diinginkan dan ALLAH lah yang menentukan jantina tersebut mengikut kehendak-NYA. Ada yang sudah ditentukan oleh
ALLAH SWT tentang jodohnya dan ada yang dijadikan mandul seperti Nabi Zakaria A.S. pada awalnya sehinggalah Baginda dikurniakan

anak.

8. Ayat 51 Surah As-Syura menceritakan tentang sifat manusia yang tidak boleh melihat ALLAH SWT dan hanya boleh bercakap dengan-
NYA melalui wahyu. Ketika peristiwa Mikraj yang mana NABI SAW naik ke langit, sesetengah sahabat R.A. mengatakan Baginda SAW
melihat ALLAH SWT, namun Aisyah R.A. menafikan perkara tersebut dengan membawakan beberapa dalil dari Al-Quran, antaranya

ialah ayat 51 surah ini dan ayat 103 Surah Al-An‟am. Di dalam ayat 52 pula menyatakan bahawa NABI SAW tidak pernah menyangka
Baginda akan diberikan wahyu oleh ALLAH SWT.

9. ALLAH SWT menceritakan tentang pemberian nikmat-NYA yang pelbagai kepada manusia seperti kenderaan yang disebut di dalam
ayat 12-14 Surah Az-Zukhruf. Pada ayat 13-14 terdapatnya doa yang sesuai diamalkan sebelum menaiki kenderaan. Ayat 18-19 pula adalah

tempelak ALLAH SWT kepada kaum musyrikin yang mengatakan bahawa malaikat itu adalah anak perempuan ALLAH SWT.
Berdasarkan ayat ini, para ulama‟ tafsir mengatakan bahawa anak perempuan dibolehkan untuk memakai perhiasan, tidak pada anak lelaki.

10. Kisah Nabi Ibrahim A.S. diceritakan pada ayat 26-32 yang mana menceritakan bagaimana Baginda A.S. meletakkan kalimah Tauhid
sebagai kalimah yang kekal untuk zuriat keturunan Baginda (Ayat 28) manakala diceritakan juga mengenai kisah Nabi Musa A.S. dan
Firaun pada ayat 46-56.

11. Ayat 57 Surah Az-Zukhruf boleh disalah tafsir jika tidak difahami dan dibaca bersama ayat 98 Surah Al-Anbiya‟. Ketika NABI SAW
membacakan ayat 98 Surah Al-Anbiya‟ kepada kaum musyrikin, mereka berasa gementar dan berdiam diri. Namun, datang seorang
penyair, Ibnu Ziba‟ri mencabar NABI SAW dengan mengatakan bahawa Nabi Isa A.S. juga termasuk sembahan selain ALLAH yang
disembah oleh orang Nasrani, adakah Nabi Isa A.S. juga akan dimasukkan ke neraka jika berdasarkan ayat 98 tersebut? Apabila kaum
musyrikin mendengar hujah ini, lalu mereka pun bersorak gembira (seperti yang dinyatakan di dalam ayat 57 Surah Az-Zukhruf).

12. Hujah tersebut adalah hujah yang sangat rapuh kerana perkataan “wa ma” di dalam ayat 98 Surah Al-Anbiya‟ adalah merujuk kepada
sesuatu yang tidak berakal seperti berhala, patung dsb sedangkan Nabi Isa A.S. itu adalah seorang manusia.

13. Ayat 67 menceritakan tentang teman rapat kita di dunia ini akan menjadi musuh di Akhirat kelak melainkan orang yang bertaqwa
kerana persahabatan orang bertaqwa adalah persahabatan sejati yang kekal sehingga ke Akhirat. Di dalam ayat 71 pula diceritakan tentang

nikmat syurga yang akan diberikan kepada orang yang beriman. Menariknya, apabila Al-Quran menceritakan tentang nikmat syurga
kepada kaum lelaki, biasanya disebut perihal bidadari syurga, namun ayat 71 memberitahu nikmat syurga secara umum yang diberikan
kepada kaum perempuan. Mengapa? Ini kerana kehendak lelaki lebih tertumpu kepada wanita manakala kehendak wanita adalah lebih luas
skopnya seperti suka kepada emas, perak, kain dan sebagainya. Ini bermakna ALLAH SWT sangat adil dalam meraikan fitrah manusia

yang pelbagai. Subhanallah!!

14. Asap yang diceritakan di dalam Surah Ad-Dukhan bukanlah asap akhir zaman, tetapi ia merujuk kepada asap disebabkan oleh kemarau
panjang yang menimpa musyrikin di Mekah sebagai bala ALLAH SWT kepada mereka. Ayat 12 surah ini adalah merupakan doa kaum
musyrikin agar dihindarkan azab tersebut barulah mereka akan beriman kepada ALLAH dan Rasul-NYA. Kisah kematian Firaun yang

tidak diterima dan ditangisi pun oleh langit, bumi serta penduduknya diceritakan pada ayat 29. Hal ini berbeza dengan orang beriman yang
akan ditangisi kematiannya oleh langit dan bumi.

15. Dinamakan sebagai Surah Al-Jatsiah bersempena dengan kisah manusia yang dikumpulkan di Mahsyar kelak, mereka berada dalam
keadaan ketakutan yang teramat sangat tatkala melihat azab ALLAH SWT. Lalu mereka jatuh berlutut di atas lutut mereka dan tidak
mampu lagi berdiri dek kerana terlampaunya rasa takut yang menimpa diri mereka. Mesej utama surah ini adalah pada ayat 23 yang
mengatakan bahawa nafsu boleh menjadi tuhan sembahan manusia yang gila. Nafsu hanyalah sebagai pelengkap di dalam kehidupan
manusia. Tanpa nafsu, manusia mungkin tidak akan berkembang, namun keterlaluan mengikut nafsu menjadikan manusia lebih teruk

berbanding haiwan. Allahu a‟lam.

Sumber: Ust Abdullah Bukhari

Diolah: Asyraf Salleh


Click to View FlipBook Version