*TADABBUR RINGKAS JUZUK 20
(SURAH AN-NAML 56-93, SURAH AL-QASAS 1-88 & SURAH AL-„ANKABUT 1-45)
_15 Points_
*Sumber: Ust Abdullah Bukhari *
Diolah: Asyraf Salleh
1. Juzuk ini mengandungi tiga surah iaitu bahagian kedua Surah An-Naml (Semut), Surah Al-Qasas (Kisah) secara lengkap dan bahagian
awal Surah Al-„Ankabut (Labah-labah).
2. Ayat 65 Surah An-Naml menjadi prinsip utama dalam ISLAM yang mana semua perkara ghaib mestilah berdasarkan dalil jelas dari Al-
Quran dan As-Sunnah. Jika ada orang menceritakan perihal perkara ghaib tanpa mendatangkan dalil dan hujah yang nyata dari Al-Quran
dan Hadith, maka tolaklah ia. Di dalam ayat 82 pula menceritakan kisah akan keluarnya sejenis binatang dari perut bumi yang boleh
bercakap apabila dunia sudah menghampiri Kiamat.
3. Ayat 88 mengisahkan tentang gunung-ganang yang bergerak. Ramai saintis mengatakan bahawa ayat ini bertepatan dengan Teori
Pergerakan Plat Tektonik di dalam Ilmu Geologi. Namun begitu, „pergerakan‟ di dalam ayat ini sebenarnya bermaksud pergerakan ketika
berlakunya kiamat nanti yang mana gunung-ganang ini akan bergerak seperti kapas (Ayat 5 Surah Al-Qari‟ah). Jadi sangat tidak tepat
menjadikan ayat ini sebagai sokongan kepada Teori Pergerakan Plat Tektonik.
4. Surah Al-Qasas banyak menceritakan tentang kisah Nabi Musa A.S. dan Firaun yang bermula dari ayat 4 sehingga ayat 48. Antara kisah
di dalam surah ini adalah kisah bagaimana Nabi Musa A.S. tertumbuk orang tanpa sengaja sehingga menyebabkan kematian, lalu Baginda
diburu dan lantas melarikan diri sehingga ke Madyan yang mana di sana Baginda terus menghulurkan bantuan kepada dua orang
perempuan yang memerlukan pertolongan pada ketika itu (Ayat 15-23). Sikap itsar (mendahulukan orang lain) ini adalah akhlaq mulia
yang ditunjukkan oleh Baginda biarpun masih dalam keletihan.
5. ALLAH SWT merakamkan doa Nabi Musa A.S. di dalam ayat 24 ketika mana Baginda merasa berada di dalam kesulitan. Doa ini
sangat baik untuk diamalkan dan ia membawa maksud, “Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku sangat memerlukan kebaikan-kebaikan yang
Engkau turunkan kepadaku”. Selepas Baginda berdoa dengan doa ini, ALLAH SWT menghantar bantuan kepada Nabi Musa satu persatu.
Antaranya ialah Baginda dipanggil oleh bapa kepada dua perempuan yang dibantu tadi, kemudian diberikan kerja dan dijodohkan dengan
salah seorang perempuan tersebut (Ayat 25-27).
6. Ayat 26 memberitahu bahawa benarnya firasat isteri Nabi Musa A.S. yang meminta ayahnya mengambil Baginda untuk bekerja kerana
melihat dua karakter yang baik pada diri Baginda iaitu seorang yang kuat dan bertanggungjawab. Abdullah bin Mas‟ud R.A. ketika
menghuraikan ayat ini mengatakan jika ingin melihat firasat yang betul, maka lihatlah pada ayat 26 Surah Al-Qasas.
7. Ayat 29-35 pula menceritakan kisah Nabi Musa A.S. yang pulang semula ke Mesir dan ketika di dalam perjalanannya, Baginda melihat
terdapat cahaya api yang jauh di padang pasir yang sejuk. Di dalam ayat 29, Nabi Musa A.S. menunjukkan akhlaq budiman yang
menjalankan tanggungjawab sebagai ketua keluarga dengan meminta keluarganya menunggu di situ dan beliau yang pergi melihat api
tersebut secara lebih dekat.
8. Di situlah Nabi Musa A.S. diberikan wahyu oleh ALLAH SWT yang didahului dengan pelbagai suruhan dari ALLAH SWT seperti
mencampakkan tongkat dan menyeluk tangan sehingga keluar cahaya (Ayat 32). Sebagai manusia biasa, Baginda akan ketakutan
menghadapi situasi ini. Lantas di dalam ayat ini ALLAH SWT mengajar Baginda agar memekap tangan ke dada untuk menghilangkan
ketakutan tersebut.
9. ALLAH SWT memuji Ahli Kitab di dalam ayat 52-55 yang mana mereka beriman dengan Nabi Musa A.S. dan Nabi Isa A.S.
Kemudian para Ahli Kitab ini menyambung keimanan mereka kepada Kenabian RASULULLAH SAW lalu diberikan kepada mereka
dengan ganjaran pahala sebanyak dua kali ganda (Ayat 54) manakala di dalam ayat 56 memberitahu bahawa hidayah itu secara mutlaknya
adalah milik ALLAH SWT. Dikatakan oleh para ulama‟ tafsir bahawa ayat ini ditujukan kepada RASULULLAH SAW kerana Baginda
SAW sangat berharap ayah saudara Baginda, Abu Talib memeluk ISLAM dan meninggal dunia dalam keadaan beriman.
10. Ayat 71-73 menceritakan nikmat yang jarang disyukuri iaitu nikmat siang dan malam. ALLAH SWT memberikan dua Persoalan; i)
Apakah akan terjadi sekiranya malam berterusan sehingga Kiamat dan siapakah yang mampu membawa cahaya? ii) Apa akan terjadi
sekiranya siang berterusan sehingga Kiamat dan siapa yang mampu membawa malam untuk berehat? Semoga dengan persoalan ini
mampu menerbitkan rasa syukur kepada ALLAH SWT di atas dua nikmat ini.
11. Kisah Qarun dan keangkuhannya diceritakan di dalam ayat 76-82. ALLAH SWT memberikan mesej bahawa pentingnya menjadi
orang berilmu kerana tatkala orang awam sangat kagum dan mengharapkan agar memiliki kekayaan seperti Qarun, orang berilmu melihat
perkara itu hanya perkara yang kecil jika dibandingkan dengan Akhirat. Ayat 82 menceritakan penyesalan dan kesedaran orang jahil
tentang apa yang dikatakan oleh orang berilmu selepas kematian Qarun. Jelas berdasarkan ayat ini bahawa orang berilmu akan sentiasa
melihat sesuatu itu beberapa langkah ke hadapan. Maka, berusahalah kita agar menjadi orang yang berilmu.
12. Ayat 85 merupakan motivasi dan janji yang diberikan kepada RASULULLAH SAW ketika mana Baginda berhijrah keluar dari Mekah
dan menyebabkan timbul rasa rindu yang teramat kepada tanah kelahiran Baginda SAW.
13. Dinamakan Surah Al-„Ankabut kerana di dalamnya ALLAH SWT memberi perumpamaan pegangan (Aqidah) orang yang
menyembah selain-NYA sangat rapuh seperti rapuhnya sarang labah-labah. Surah ini juga dikenali sebagai Surah Ujian kerana di
dalamnya terdapat dua kisah Nabi yang menerima ujian yang lebih berat berbanding ujian terhadap RASULULLAH SAW.
14. Ayat 2-4 Surah Al-„Ankabut memberitahu bahawa ujian itu pasti akan dirasai oleh setiap dari kita semua. Kisah pertama adalah ujian
yang dihadapi oleh Nabi Nuh A.S. yang dihantar untuk bersama kaumnya selama 950 tahun (Ayat 14). Ini sangat banyak jumlahnya jika
dibandingkan dengan 23 tahun NABI SAW diuji untuk menyempurnakan tugasan Baginda SAW. Kisah kedua adalah ujian yang
menimpa Nabi Ibrahim A.S. yang dibakar lalu diselamatkan oleh ALLAH SWT (Ayat 24).
15. Ayat 45 merupakan suruhan ALLAH SWT supaya kita membaca Al-Quran dan mendirikan solat. Dua perkara ini perlulah bergerak
seiring kerana solat itu mencegah perkara yang keji dan mungkar. Jika kita menjaga solat kita, insyaALLAH ia akan menjaga diri kita dari
perbuatan mungkar. Allahu a‟lam.