*TADABBUR RINGKAS JUZUK 24
(SURAH AZ-ZUMAR 32-75, SURAH GHAFIR 1-85 & SURAH FUSSILAT 1-46)
_13 Points_
*Sumber: Ust Abdullah Bukhari *
Diolah: Asyraf Salleh
1. Juzuk ini mengandungi tiga surah iaitu bahagian akhir Surah Az-Zumar, Surah Ghafir (Allah Maha Pengampun) dan Surah Fussilat
(Dijelaskan Segala-galanya).
2. Ayat 42 Surah Az-Zumar adalah mengenai keajaiban jiwa dan roh manusia. ALLAH SWT memberitahu bahawa DIA yang memegang
jiwa manusia ketika manusia tidur dan mati. Oleh sebab itu, NABI SAW mengajar kita doa sebelum tidur dan selepas bangun dari tidur
ada kaitannya dengan hidup dan mati. Ayat ini juga sangat luas perbincangannya terutama berkaitan dengan roh dan otak manusia.
3. Ayat 53-55 memberitahu kita supaya tidak berputus asa dengan rahmat ALLAH SWT. Ayat 53 merupakan ayat yang mempunyai
harapan paling tinggi kerana padanya terdapat panggilan ALLAH SWT terhadap hamba-hamba yang melampaui batas supaya tidak
berputus asa dengan rahmat-NYA. Ayat ini boleh digunakan sebagai memberi harapan kepada hamba yang melakukan dosa dan kesalahan
agar kembali bertaubat kerana pintu taubat sentiasa terbuka.
4. Kisah berkenaan Ahli Neraka dan Ahli Syurga yang dikumpulkan bersama rombongan masing-masing diceritakan pada bahagian akhir
Surah Az-Zumar (Ayat 71-75). Rombongan Syurga mendapat penghormatan daripada malaikat dan dibawa ke Syurga manakala
rombongan Neraka menerima penghinaan dan dibawa ke Neraka.
5. Surah Ghafir mempunyai dua maksud iaitu; i) Maha Pengampun (Ayat 3), ii) Dikenali juga sebagai Surah Mukmin kerana padanya
terdapat kisah orang beriman yang menyembunyikan imannya (Ayat 28).
6. Ayat 7-9 menceritakan tentang Malaikat Pemikul „Arash yang sentiasa bertasbih kepada ALLAH SWT dan mendoakan keampunan
bagi orang beriman. Antara doa para malaikat adalah kita dimasukkan ke dalam Syurga bersama ahli keluarga kita yang soleh dan
dijauhkan dari azab Neraka. Inilah kelebihan orang beriman yang sentiasa didoakan oleh para malaikat walaupun ketika tidur. Semoga kita
semua tergolong di dalamnya.
7. Ayat 23-46 pula adalah berkenaan kisah Nabi Musa A.S. dan Firaun. Menariknya, di dalam kisah ini, terdapat cerita mengenai seorang
lelaki beriman yang menyembunyikan imannya dalam kalangan bangsa Firaun, yang cuba mempertahankan Nabi Musa A.S. daripada
dibunuh (Ayat 28). Namun, nyawa beliau juga turut terancam dan ALLAH SWT menyelamatkannya dari kejahatan bangsa Firaun (Ayat
45).
8. Namun, keberanian Abu Bakar As-Siddiq lebih hebat dari lelaki ini. Pada suatu ketika, Ali R.A. pernah menceritakan bahawa NABI
SAW diganggu ketika berada di Kaabah. Tiada siapa yang berani mempertahankan NABI SAW pada waktu itu melainkan Abu Bakar As-
Siddiq. Beliau mendekati NABI SAW dan melindungi Baginda SAW daripada dipukul oleh kaum musyrikin Quraisy. Abu Bakar As-
Siddiq menggunakan dialog sama yang digunakan oleh lelaki beriman di dalam ayat 28 Surah Ghafir, “Patutkah kamu membunuh lelaki
ini semata-mata kerana dia mengatakan Tuhannya adalah ALLAH?” Namun, Abu Bakar As-Siddiq lebih berani dari lelaki beriman
tersebut kerana Abu Bakar As-Siddiq mengisytiharkan imannya manakala lelaki tersebut menyembunyikan imannya.
9. Ayat 47-52 menceritakan tentang peristiwa Akhirat yang mana ahli keluarga Firaun dipertontonkan dengan azab pagi dan petang.
10. Dinamakan sebagai Surah Fussilat kerana di dalam Al-Quran dijelaskan semua perkara sebagai panduan kepada umat manusia. Pada
ayat 9-12 diceritakan mengenai peringkat penciptaan alam semesta seperti diciptakan bumi dalam tempoh dua masa, diciptakan gunung
padanya dan diberikan keberkatan, diciptakan langit sebanyak tujuh lapisan dalam tempoh dua masa yang lain dan sebagainya.
11. Ayat 13-18 menceritakan tentang kisah dua umat manusia yang pernah wujud di dunia iaitu kaum „Aad dan kaum Tsamud manakala
ayat 30 adalah mengenai kelebihan orang yang Istiqamah dan konsisten dalam keimanannya. Mereka mendapat khabar gembira dalam
beberapa ketika iaitu; i) ketika meninggal dunia, ii) ketika berada di Alam Barzakh, iii) ketika berada di Akhirat.
12. ALLAH SWT mengajar kita tentang cara menghindari kejahatan syaitan manusia yang sentiasa ingin melakukan kejahatan (Ayat 34-
35). Caranya adalah dengan membalas kejahatan tersebut dengan kebaikan walaupun sukar untuk dilakukan, namun ianya amat berkesan.
Kejahatan untuk menghindari kejahatan syaitan jin adalah dengan meminta perlindungan dari ALLAH SWT (Ayat 36).
13. Pada ayat 37 terdapat prinsip saintifik yang perlu jelas pada diri orang beriman, iaitu walaupun terdapat kehebatan pada penciptaan
malam, siang, langit dan bumi, ALLAH SWT jualah yang selayaknya disembah. Janganlah kita terlalu kagum pada kanvas alam ini yang
menakjubkan, kerana ALLAH SWT adalah pelukis dan penciptannya.